Saturday 18 April 2015

AKU DAN 1B3K BAB 9

Assalam.  Jemput baca ya, bagaimana dalam diam Bos 1B3K membuli Fina dan Fina yang selamba membalas balik.  Tapi lepas ni dah tak ada bab buli-buli dah, sebab ..... (sila isi tempat kosong, nge hehehehe)

BAB 9

Bila Kak Rina dan Abang Izelan balik awal-awal pagi lagi rumah mama sudah riuh rendah.  Makanya selepas solat Subuh aku pun turun.  Sembang-sembang dengan Kak Rina, Kak Mirsya (isteri Abang Izelan) dan mama yang sedang sibuk di dapur.  Patutlah bau harum semerbak pagi ni.  Rupa-rupanya Kak Mirsya sedang kukus nasi lemak.  Lagi bagus.  Kalau sarapan di rumah saja bolehlah aku keluar awal untuk pergi tolong Naani.  Semalam sudah mungkir janji jadi hari ini aku mesti tolong dia. 

Sambil menikmati nasi lemak kukus yang diiringi oleh sambal sotong yang dimasak oleh Kak Rina, telur rebus, kacang dan ikan bilis goreng kami berbual-bual.  Aku tidak terasa canggung berada dalam keluarga mama.  Mereka melayan aku dengan baik.  Kak Rina dan Abang Izelan sudah menganggap aku sebagai adik mereka sendiri.

Selepas mengemas meja makan aku bermain-main dengan anak Kak Rina, Tania Nisya yang tua setahun daripada Nabil Iman, anak sulung Along. Tania baru bangun tidur dan sedang menggigit puting botol susunya.  Tania sangat cantik dan petah bercakap.  Wajahnya lebih mirip Abang Aeril (suami Kak Rina).

Aku kerling jam dinding.  Sudah pukul sembilan setengah pagi.  Aku naik ke bilik, tukar pakaian dan capai beg sandang.  Selepas memberitahu mama dan bersalaman dengan Kak Rina dan Kak Mirsya, aku keluar.    Ketika sedang menghidupkan enjin motorsikal aku teringatkan peristiwa malam tadi.   Rasa marah dan bengang belum hilang.  Bos 1B3K suka-suka hati kata aku gatal.  Merah padam muka dia selepas aku simbah dengan air sirap.  Dia tenung aku macam singa lapar tenung mangsa.  Selepas itu dia langsung tidak bercakap dengan aku.  Tapi dia hantar aku ke pejabat semula untuk ambil motorsikal aku.  Aku tidak takut pun kalau dia tidak mahu hantar sebab Nafiz ada. 



Ketika aku sampai di rumah Naani, Thia belum sampai.  Aku tunggu di luar kerana tidak elok kalau aku berdua-duan dengan Naani dalam rumah.  Aku dongak ke atas dan pandang rumah Naani yang dibeli selepas dia mengikat tali pertunangan dengan Thia.  Timbul rasa bangga kerana kawan baik aku sudah ada harta.  Rezeki Naani murah sejak dia bekerja sebagai PA Dato’ Ibrahim.  Dato’ puas hati dengan kerja Naani dan beri dia bonus yang banyak.

Semua wang bonus yang diperolehi disimpan untuk majlis perkahwinan dan melengkapkan rumahnya.  Dia mahu Thia masuk rumah yang sudah lengkap.  Sebab itulah sejak dua minggu lepas, selain daripada sibuk dengan persiapan majlis, mereka juga sibuk melengkapkan rumah ini yang bakal mereka diami selepas nikah nanti.

Bahu aku ditepuk.  Terkejut beruk aku dibuatnya.  Thia tersengeh.  Dia sudah sampai bersama adiknya Shaza. 

“Jauhnya kau termenung.  Ingat bos yang kacak dan kaya tu ke?”

Aku jeling Thia.  “Issh, tak ada maknanya aku nak ingatkan dia.” 

“Manalah tau, lepas berdating dengan dia semalam, persepsi kau terhadap dia berubah.”

 “Mana ada dating.  Aku kena kerjalah.  Sengal betul dia tu.  Bila masa entah dia telefon supplier dan suruh dia orang datang hari Sabtu.  Aku kena kerja sampai ke petang tau tak?” 

“Kau berdua sajalah dengan dia kat pejabat?”

“Yalah.”  Aku jeling Thia lagi sekali.  Shaza sudah pun masuk dalam rumah.  Naani sudah muncul depan pintu.  Dia tersenyum mendengar perbualan aku dan Thia.

“Beraninya engkau.  Buatnya dia apa-apakan engkau, macam mana?”

“Beranilah dia sentuh aku.  Aku belasah dia nanti.”

“Itulah salah satu sebab Datin pilih kau.  Kau ada tali pinggang hitam taekwando.  Kalau 1B3K tu nak ambil kesempatan atas kau, kau boleh pertahankan diri.”  Naani menyampuk perbualan aku dan Thia. 

            Aku toleh ke arah Naani.  Terasa hendak tahu apa lagi alasan Datin pilih aku untuk jadi pengurus Bos 1B3K. 

            “Sebab yang lain apa?”

“Kau cantik dan pakai tudung.”

            “Tapi si bengkeng tu tak suka perempuan bertudung.  Dia kata semua perempuan yang pakai tudung hipokrit.  Kurang ajar kan?”

            “Dia cakap macam tu kat engkau?  Memang kurang ajar.  Apa kau jawab?”  Thia yang terlebih emosional.  Sebagai perempuan yang berhijab, tentulah Thia terasa juga.

            “Aku tak jawab apa-apa.  Kalau dijawab nanti berpanjangan.  Aku nak kerja.  Macam mana nak kerja kalau hati sakit.  Jadi baik aku diamkan.  Tapi, esok-esok… kalau dia melampau aku tak akan berdiam diri.”

            Telefon aku berbunyi.  Alamak!  Apa dia nak? 

            “Sebelum pukul tiga kau mesti sampai rumah parents aku.  Esok aku bagi kau off, ganti semalam dan hari ni.”

Aku matikan talian.  Malas hendak bertanya dan membantah.  Hati rasa tidak seronok kerana Bos 1B3K sudah kacau program aku.  Walaupun dia kata akan bagi aku cuti esok, tetap tidak sama.  Aku hendak tengok final Piala Thomas petang ini, bukannya petang esok.

Selepas makan tengahari dan solat Zohor di rumah Naani, aku bergerak ke rumah Datin.  Bos kata mesti sampai sana sebelum pukul tiga.  Alahai, pukul tiga itulah waktu perlawanan badminton Piala Thomas bermula.

Ketika aku sampai kereta Bos 1B3K tidak ada.  Kereta Datin ada dan kereta Kak Iqa pun ada.  Ini kali ketiga aku datang ke rumah Datin Nuridah.  Kali pertama semasa jamuan hari raya tahun lepas, kali kedua ketika Datin mengadakan majlis tahlil tidak lama selepas Dato’ Ibrahim diserang strok.  Semua kakitangan dijemput dan diminta membacakan Yassin serta mendoakan Dato’ cepat sembuh.

Daripada Naani aku dapat tahu proses penyembuhan Dato’ Ibrahim agak perlahan.  Walaupun dia sudah boleh berjalan, pergerakan kakinya perlahan.  Jari kanannya masih keras dan tidak boleh memegang apa-apa.  Pertuturannya sudah beransur pulih dan sudah boleh difahami, tetapi masih belum kembali ke tahap normal.

Aku menegur Kak Iqa yang kebetulan ada di ruang tamu bersama anaknya.  Kami bersalaman dan bertanya khabar.  Aku kenal Kak Iqa, anak sulung Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah kerana pernah melatih anak sulungnya taekwando.  Masa itu anaknya hendak masuk pertandingan kebangsaan.  Dia minta Naani carikan orang yang boleh melatih anaknya.  Seminggu aku tinggal di Alor Setar melatih anaknya dari pagi sampai petang.  Dengan izin Allah anaknya dapat pingat gangsa.  Aku pula dapat bayaran yang boleh tahan lumayan.                                                     

Datin Nuridah masuk ke ruang tamu.  Dia terkejut nampak aku. 

“Encik Rifqi suruh saya datang.”  Aku menerangkan kepada Datin.

“Lah Rifqi ni, apalah angin dia?  Semalam dia suruh kamu kerja.  Hari ni suruh datang rumah pula.  Dia nak buli kamu agaknya.  Nanti dia.  Dia balik sekejap lagi saya akan marah dia.”

Datin tahu pasal semalam?  Baguslah.  Tapi yang sekarang ni apa kes?  Dia suruh aku datang tapi dia sendiri tiada di rumah.  Memang sah dia nak ganggu program aku.  Kalau semalam program aku hanya tercuit sikit sebab tidak dapat tolong Naani dan Thia, aku kena pastikan program hari ini tidak terganggu.

Aku jeling jam, pandang Datin dan berkata, “tak apalah Datin.  Mungkin Encik Rifqi betul-betul ada kerja untuk Fina buat.  Sementara dia balik, boleh tak Fina tumpang tengok TV?  Nak tengok final Thomas Cup.”

“Eh boleh, boleh.  Dato’ pun ada di bilik TV.  Pergilah temankan dia tengok badminton.”

Leganya hati.  Aku senyum kepada Kak Iqa dan Datin.  Lepas itu ikut bibik ke bilik TV sambil dalam hati berkata yes! yes! yes!  Selepas telefon mama dan beritahu dia aku balik lewat petang nanti, aku menegur Dato’ Ibrahim. 

“Dato’ sihat?”

Dia mengangguk.  Kemudian kami menonton perlawanan akhir badminton Piala Thomas bersama-sama.  Kak Iqa, suaminya dan anak-anaknya pun ada.  Seronok juga menonton dengan mereka kerana bila Dato’ Lee Chong Wei dapat kutip mata, mereka turut bersorak.  Jadi aku pun tidak segan bersorak.  Selain daripada taekwando, aku juga minat sukan badminton.

Sekali sekala Dato’ Ibrahim bertanya soalan dan aku jawab.  Dia tanya perlawanan ini antara siapa dengan siapa.  Aku kata Jepun lawan Malaysia.  Dia tanya siapa nama pemain Jepun dan Malaysia.  Aku kata Tago lawan Chong Wei.  Bila kami bersorak dia tanya sudah berapa mata.  Aku beritahu Chong Wei sedang mendahului dengan lima belas mata.  Tago baru pungut sembilan mata.  Chong Wei sudah menang set pertama, kalah set kedua.  Sekarang bermain di set penentuan.

Di pertengahan perlawanan Dato’ Ibrahim terbatuk.  Kesian tengok dia batuk.  Kak Iqa urut belakang dada ayahnya.  Aku bangun dan pergi ke dapur.  Di dapur aku minta segelas air suam dari bibik.  Ketika aku membawa gelas ke bilik TV satu susuk tubuh menangkap mata aku.

Bos 1B3K yang memakai seluar bermuda paras lutut dan singlet biru berdiri di jenang pintu sambil memandang aku dengan mata yang tajam.  Suka sangat pakai seluar bermuda.  Agaknya selepas setahun setengah tinggal di Eropah dia sudah tidak tahan cuaca panas di Malaysia.    Aku buat tidak tahu dan terus masuk ke bilik TV.  Aku hulurkan gelas kepada Kak Iqa.  Menular rasa simpati terhadap Dato’ Ibrahim ketika aku melihat Kak Iqa menuangkan air perlahan-lahan di bibir Dato’. Habis segelas air dia ucakan terima kasih kepada aku.  Kemudian dia tanya boleh tak bawa dia berjalan di luar.

Alahai, perlawanan badminton belum habis dan ini set penentuan.  Aku serba salah.  Belum pun aku beri jawapan Dato’ Ibrahim sudah berdiri.  Bila aku pandang Kak Iqa matanya bagaikan mengisyaratkan aku agar menuruti permintaan Dato’.  Sudahnya aku capai tongkat dan hulurkan kepada Dato’ Ibrahim.  Aku pegang lengannya dan pimpin dia keluar dari bilik TV. 

Di jenang pintu yang terbuka mata aku bertaut pandang dengan mata Bos 1B3K.  Segaris senyuman sinis terbentuk di bibirnya.  Sukalah tu dapat rosakkan program aku. Ketika aku melintas di depannya dia cuit siku aku.  Aku toleh ke arahnya dan dia membisik “untungnya orang tu, hari ni dapat tengok final badminton dengan mama dia.”

Dia ejek aku!  Tidak serik agaknya kena simbah dengan air sirap semalam.  Aku pandang ke lantai, tepat-tepat ke kaki dia.  Gelas air suam yang sudah kosong aku lepaskan betul-betul di atas kaki dia.

Buntang mata dia pandang aku.  Aku tidak pasti mata bos buntang sebab dia terkejut gelas jatuh dekat kaki dia, atau sebab dia nampak ada dua tanduk atas kepala aku.  Aku pura-pura minta maaf kemudian tunduk pandang lantai.  Gelas yang diperbuat daripada kaca berkualiti tinggi tidak berkecai tetapi pecah kepada beberapa kepingan kaca. 

Dato’ Ibrahim pandang kami.  Kak Iqa dan suaminya pun pandang kami.  Aku dengar suami Kak Iqa melarang anak-anaknya mendekati kami, takut terkena kaca.  Kak Iqa juga menyuruh aku terus membawa daddynya keluar dan kemudian memanggil bibik untuk membersihkan lantai.

Aku pandang Bos 1B3K semula dan angkat kening aku.  Dia memandang aku seperti hendak makan aku.  Aku pegang lengan Dato’ Ibrahim dengan lebih kemas dan pimpin dia keluar.  Dato’ Ibrahim pandang aku.  Aku rasa mata aku tidak salah bila aku nampak Dato’ senyum.  Aku balas senyuman Dato’.  Dato’ tepuk lembut tangan aku yang melilit lengannya.


Aku harap kaki Bos 1B3K kena kaca gelas yang aku ‘terjatuhkan’ tadi.

No comments:

Post a Comment