Thursday 9 April 2015

AKU DAN 1B3K BAB 7

BAB 7

Ketika aku balik dari surau Bos 1B3K masih berbual dengan Cik Azira, tapi di luar bilik bos, betul-betul di hadapan meja kerja aku.  Ya Rabbi, belum habis lagi berborak?  Ini nak berurus niaga ke nak berurus cinta?

 “Saya balik dululah Encik Rifqi.  Terima kasih kerana beli peluang kepada syarikat saya.  Nanti saya akan hantarkan proposal dan quotation baru as per your requirement.”  Azira bercakap dengan lemah gemalai.  Wajahnya dimaniskan.  Tengok gaya dia macam hendak menggoda saja. 

Bos senyum.  Wah, banyak pahala dia dapat hari ini sebab banyak sedekahkan senyuman.  Bos hulur tangan untuk bersalam.  Tadi macam tidak mahu lepaskan tangan Priya.  Sekarang dengan Azira bos siap genggam tangan perempuan tu dengan tangan kirinya.  Betullah kata Datin bos suka melayan perempuan lawa.

Azira ucapkan selamat tinggal kepada aku dengan senyuman yang masih meleret di wajahnya.  Kemudian dia berjalan melenggang lenggok meninggalkan kami.  Aku nampak mata bos melekat pada tubuh Azira sampailah kelibat dia menghilang di sebalik pintu kaca.  Eloklah tu, yang perempuan menggoda dan yang lelaki nampak macam sudah tergoda.

“Kau pergi mana hah, lama kau hilang?”  Bos soal aku dengan suara yang agak keras nadanya.  Wajah bos sudah tidak manis lagi.

“Solat.”  Aku jawab sepatah.  Aku tinggalkan dia dan masuk ke dalam biliknya untuk mengutip fail-fail.

 “Aku nak keluar sekejap.  Kau jangan balik dulu.  Aku ada kerja sikit nak buat.”  Dia bercakap dan terus keluar dari bilik.  Hah!  Kerja apa lagi?  Sudah hampir pukul dua petang dan dia masih hendak bekerja?  Kalau dia tidak buang tabiat, aku rasa dia sudah biul.  Mungkin aku kena tukar daripada 1B3K kepada 2B3K.  Kena ada dua B sebab bos bengkeng ini sudah biul.

“Bos!”  Aku laung sambil berlari anak keluar dari bilik dia.  Dia berhenti dan berpaling.

“Saya tak boleh tunggu.  Saya ada hal. Saya nak balik sekarang.”

“Hal apa?”

Bos bertanya sambil memandang aku dengan renungan tajam dan mencekak pinggang.  Suka sangat cekak pinggang.  Ingat aku takut ke?

“Saya ada date.  Pukul tiga.  Jadi saya kena balik sekarang.”

Cancel your date.  Bagi tau boyfriend kau yang kena kerja hari ni.” 

“Tak boleh.  Boyfriend saya tau saya tak kerja hari Sabtu.”

Then tell him, from today onwards, kau kena kerja setiap hari Sabtu.” 

 “Tak nak.  Bos tak boleh arahkan saya macam tu.  Polisi syarikat kita waktu pejabat ialah Isnin hingga Jumaat, lapan setengah pagi sampai lima setengah petang.  Kita dah panjangkan waktu bekerja sebab tu kita tak kerja hari Sabtu.”  Aku bertegas.  Tidak sekali-kali akan aku benarkan dia membuli aku.

 Bos 1B3K mara ke arah aku.  Sekali lagi dia mencekak pinggangnya betul-betul depan aku.  Aku tahu dia tidak suka dengan apa yang aku cakapkan tapi aku peduli apa.  Mentang-mentang dia bos, suka-suka dia suruh aku kerja hari ni. 

“Ei, tolong sedar diri sikit.  Kau cakap apa tadi, syarikat kita?  Aku nak ingatkan kau ini syarikat aku.  Aku bos dan kau pekerja.  Sebagai bos aku boleh suruh mana-mana pekerja yang aku nak untuk datang bekerja pada hari Sabtu, malahan Ahad sekali pun.” 

Muka dia kelam.  Aku tahu dia marah tapi aku sikit pun tidak takut.  Bukan kerana Datin sudah beri aku green light untuk bantah dia kalau dia tidak betul.  Tapi kerana aku rasa dia sengaja hendak membuli aku.  Masa di surau tadi aku teringat semalam dia mendengar perbualan aku dan Naani.  Maknanya dia sudah tahu program aku hari ini dan sengaja suruh aku datang kerja untuk rosakkan program aku.  Mungkin ini strategi dia supaya aku tidak tahan bekerja dengan dia.

Bila aku diam dia berpaling semula dan berjalan ke arah pintu.  Aku cepat-cepat kejar dia.  Apa-apa pun, aku tetap hendak balik. 

 “Bos!  Pernah tak bos sayangkan seseorang selain daripada ibu bapa dan adik beradik bos?”  Aku jerit sikit walaupun jarak aku dan dia tidak jauh supaya dia boleh dengar dengan jelas soalan aku.  Dia berhenti berjalan dan pusingkan tubuhnya.

“Apa yang kau merepek ni?”  Dahi dia berkerut.  Tangan dia naik ke pinggang.

“Kalau bos pernah menyayangi seseorang, tentu bos faham perasaan saya.  Saya tak boleh batalkan date saya.  Saya tak sampai hati nak hampakan perasaan orang yang saya sayangi.  Tolonglah bos bagi saya balik sekarang.”  Aku cakap dengan nada suara yang paling lembut.  Aku buat juga muka minta belas ihsan.  Harap-harap dapat lembutkan hati dia.

Bos diam.  Lama.  Dia garu dahi kanan, dekat dengan kening.  Nampak macam berfikir.  Aku berdoa dalam hati dia akan benarkan aku balik.  Walaupun aku boleh bantah, tidak wajar kalau aku tinggalkan saja pejabat.  Mana tau dia betul-betul ada kerja yang perlu dibuat?  

“Okey,” akhirnya bos bersuara.  “Kau boleh balik.”

Yes! Yes! Yes!  Aku cuba sorokkan senyuman walaupun hati sudah gumbira. 

“Tapi aku nak ikut kau pergi dating.”

Eerrk, dia nak ikut aku?  Sah dia ni biul.  Mana ada dalam dunia ini seorang bos yang ikut pekerjanya pergi dating

“Errm bos, emak dan abah saya pun… tak pernah ikut saya pergi dating.”  Aku cakap dengan lemah lembut juga supaya dia tidak perasan apa yang ada dalam hati aku.  Kalau Along dengar aku bercakap macam ini, mesti Along muntah.  Adik dia yang becok dan kecoh tiba-tiba sudah jadi ala-ala suci.

“Aku bukan emak dan abah kau.”  Bos jawab dengan selamba.  Muka dia macam orang tidak ada perasaan.  Bukan macam.  Memang tidak ada perasaan. 

 “Sekejap ya bos, saya tanya date saya.”  Tadi dia buat muka selamba, sekarang aku pun buat selamba.  Macam tidak kisah dengan syarat mengarut dia.  Aku dail nombor Nafiz.  Sekejap saja dia sudah jawab panggilan aku.  Seperti sebelum-sebelum ini, terasa sesak nafas bila dengar suara Nafiz dalam telefon.  Mana tidaknya, suara garau dia bunyi jantan sangat. 

“Nafiz, malam ni… kalau… ermm kalau… saya bawak bos saya… boleh tak?”  Tentu Nafiz di hujung talian kehairanan kenapa aku bercakap dengan manja.  Tapi dia tidak tanya apa-apa.  Itulah Nafiz, tidak banyak mulut.  Berbeza dengan aku yang kata Along sejak azali becok.

Nafiz kata boleh.  Dia pesan datang awal sikit.  Aku ucapkan terima kasih dan matikan talian.  Aku pandang bos yang masih bercekak pinggang memerhatikan aku bercakap dengan Nafiz.  Aku dapat kesan riak kehairanan di wajah bos.  Mesti dia hairan boyfriend jenis apa Nafiz ni, tidak kisah bos kekasihnya ikut berdating.  Lantaklah bos hairan ke tidak, yang penting aku dapat balik. 

Setengah jam kemudian kami sampai ke tempat dating pertama aku dengan menaiki kereta bos.  Muka bos berkerut.  Mesti dia rasa pelik kerana di hadapan kami ada sebuah rumah banglo dua tingkat yang sudah usang.  Ada sebuah bangunan setingkat di belakang rumah tersebut.  Aku yakin sangat dalam hati dia tertanya-tanya kenapa aku berdating di tempat macam ini.

            Umi Sarah menyambut kedatanganku.  Kami bersalaman dan berpelukan seperti selalu.  Wajah tabah Umi Sarah yang penuh dengan sifat keibuan sangat mendamaikan hatiku.  Sudah dua tahun aku mengenali Umi Sarah dan semakin aku mengenalinya semakin aku kagum dengan ketabahan ibu berusia lima puluh lima tahun yang sentiasa murah dengan kasih sayang.

            “Umi, ini bos Fina.”  Aku kenalkan bos yang memandang aku dan Umi Sarah dengan penuh kehairanan.  Sambil tersenyum Umi Sarah mempelawa Bos 1B3K masuk. Aku terus melangkah masuk ke dalam rumah dan duduk di sofa yang sudah usang.  Bos duduk di sebelah aku.  Seronok pulak aku tengok wajah dia yang macam blur.

            “Minggu lepas Fina tak datang, mereka bertanya.”  Kata Umi Sarah.

            “Minggu lepas Fina balik kampung.  Hari ni pun nyaris tak dapat datang, bos suruh kerja.”  Sengaja aku bercakap begitu sambil mengerling ke arah bos.  Mata dia sedang merayap ke segenap ruang tamu kecil banglo.  Aku pasti dalam benaknya penuh dengan tanda tanya.

            “Duduk sekejap ya.  Umi ambil air.  Lepas minum nanti kita pergi ke belakang.”  Umi Sarah terus berlalu ke belakang.

            “Fina.”  Bos panggil.  Bila aku toleh ke arahnya, bos bertanya “ini rumah boyfriend kau?”  Aku jawab dengan anggukan saja.  Terasa hendak ketawa tengok wajah bos. 

            Umi Sarah keluar bersama sebiji dulang berisi dua biji cawan tidak berpiring, sepiring biskut Marrie dan sebiji teko.  Bila Umi Sarah letakkan dulang di atas meja, aku terus capai teko dan tuangkan air teh ‘o’ ke dalam cawan.  Aku hulurkan kepada bos.  Dia teragak-agak hendak mengambil cawan itu.

            “Jemput minum Encik.  Air bujang dengan biskut kering saja.”  Umi Sarah mempelawa.  Bos mengangguk dan cuba senyum.  Nampak macam tidak ikhlas saja senyuman bos. 

            “Air bujanglah elok Umi.  Tak ada susu macam ni lagi elok.  Kan susu tu manis.  Biskut kering ni pun bagus.  Tak manis sangat, tak masin.  Kalau yang ada krim bagai tu dahlah manis, ada pewarna.  Fina rasa ini terbaik.”

            Aku angkat ibu jari dan tunjuk kepada Umi Sarah. Sambil baca bismillah aku patah dua sekeping biskut Marie, celup dalam teh ‘o’ dan sumbat dalam mulut.  Pandang Umi Sarah yang sedang tersenyum memandang aku.  Toleh pula ke arah bos.  Cawan masih dipegang, belum cecah pun ke bibir dia.

            “Bos duduk sekejap ya, saya nak tukar baju.”  Kataku kepada Bos 1B3K selepas habis secawan teh aku teguk.  Lima minit kemudian bila aku kembali ke ruang tamu, bos tengok aku atas bawah, atas bawah.  Berkerut lagi dahi dia. 

            “Kenapa pakai macam ni?  Kita nak pergi mana?”  Bos bertanya sambil bangun dari kerusi.  Rasa nak gelak bila tengok dia terpinga-pinga.

Aku sarung selipar dan berjalan ke belakang rumah.  Di belakang rumah Umi Sarah ada sebuah gelanggang badminton.  Sekumpulan kanak-kanak dalam lingkungan usia dua ke dua belas tahun sedang bermain di situ.  Makcik Piah dan Makcik Leha sedang memerhatikan mereka.  Makcik Piah dan Makcik Leha adalah adik beradik dan mereka sepupu Umi Sarah. 

Amri, budak berusia sepuluh tahun nampak aku datang dan terus berteriak nama aku.  Bila yang lain dengar mereka semua berlari ke arah aku.  Aku pun berlari-lari anak ke arah mereka.  Perasaan kami serupa, saling merindu dan gembira dapat bertemu.  Seorang demi seorang menyalami dan mencium tangan aku.  Tiba-tiba terasa seluarku ditarik.  Aku pandang ke bawah.  Anak yatim yang paling kecil, Sakinah sedang memandang aku dengan penuh harapan.  Aku bongkokkan badan dan dukung Sakinah.  Aku cium pipinya yang gebu.  Dia buat aku teringatkan Nur Zety Aishah, satu-satunya anak saudara perempuan yang aku ada.

“Kak Fina, kenapa minggu lepas tak mai?” soal Huda.  Dia berusia sebelas tahun dan anak yatim yang paling tua di sini.  Ibu bapanya berasal dari Baling, Kedah.  Bapanya sudah meninggal dan ibunya bekerja di kilang.  Huda menetap di sini bersama adiknya Hamdan dan Husna.

Sorry sayang, Kak Fina balik kampung.”

“Kak Fina, bawak coklat tak?”  Lokman pula bertanya.  Kalau tak salah aku umur Lokman sembilan tahun.

Sorry Man, Kak Fina kerja hari ni, ni Kak Fina datang terus dari pejabat.  Tak sempat beli coklat.  Lain kali Kak Fina bawa ya.”

“Kami dah lama tak makan coklat,” kata Shuib.  Rasa bersalah menyelinap dalam hati aku.  Ini semua Bos 1B3K punya pasal.  Kalau dapat keluar awal tadi, tentu aku sempat belikan mereka coklat.  Aku paling ke belakang. 

Bos sedang pandang Shuib dan kemudian pandang aku.  Aku gamit dia.  Bila dia sudah berdiri di samping aku, aku serahkan Sakinah kepadanya.  Elok saja bos dukung Sakinah, tidak kekok.

            “Ini bos Kak Fina.  Nama dia Uncle Rifqi.  Bagi salam kat Uncle Rifqi.”

Dengan suara yang nyaring mereka serentak mengucapkan “assalammualaikum Uncle Rifqi.”  Bos tidak jawab.  Matanya masih tertancap pada anak-anak yang berdiri depan kami.  Dari riak wajahnya aku mengagak dia terpempan dengan apa yang dilihatnya.


No comments:

Post a Comment