Sunday 13 April 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 30

“Masalah mama dengan papa sebenarnya dah lama.  Mama pun tak ingat bila kami mula ada masalah, tapi perlahan-lahan, sikit-sikit mama dan papa makin renggang.  Papa sibuk dengan hal kerja, mama sibuk uruskan keluarga kita dan restoran.”  Latifah mula bercerita sebaik saja Samirah menyimpan telefon bimbitnya.

“Bila Aidid dan Ira meningkat remaja, kamu berdua lebih banyak habiskan masa dengan aktiviti sekolah, tiusyen, keluar dengan kawan-kawan.  Mama fikir, bila anak-anak dah besar… papa akan ada masa untuk mama.  Lebih-lebih lagi bila perniagaan papa sudah stabil.  Tapi rupa-rupanya… dugaan lain pula yang datang.”

Pandangan Latifah terpaku pada balkoni apartmentnya.  Fikirannya melayang jauh, mengingati detik yang paling getir sepanjang perkahwinannya dengan Baharin.  Samirah merenung wajah mamanya, cuba menduga apa yang bermain dalam fikiran mamanya. 

“Papa khianati cinta mama.  Dalam kesibukannya, rupa-rupanya ada wanita lain dalam hati papa.”  Airmata Latifah jatuh.  Dagu Samirah pun jatuh.  Tak mungkin, kata hatinya yang tak percaya.  Tak mungkin papa curang.  Papa baik, papa sayangkan mama.  Takkanlah papa tergamak lukakan hati mama.

“Ke… kenapa Ira tak tau tentang tu?  Kenapa mama tak cerita pada Ira dan Aidid sebelum ni?”

“Ira di Amerika, Aidid di Australia.  Kamu berdua jauh dan mama tak mau susahkan hati kamu, takut pelajaran kamu berdua terganggu.  Bila mama dapat tau, tentulah mama marah.  Papa minta maaf dan putuskan hubungan dengan perempuan tu.  Tapi walau pun mama dah maafkan papa, hubungan kami tetap dingin.  Mama cuba jernihkan semula hubungan kami, tapi hanya mama yang berusaha.  Papa bagaikan sudah tak ada hati lagi dengan mama.”

Samirah raih tangan mamanya dan genggam kuat-kuat.  Airmata mama masih bercucuran.  Samirah sebak. 
“Papa keluar pagi dan balik malam.  Di rumah pun papa sibukkan diri, seolah-olah mahu menjauhkan diri dari mama.  Tahun lepas mama jual restoran dan berhenti dari aktiviti persatuan.  Mama fikir dapat rapatkan semula hubungan dengan papa.  Tapi papa tak suka.  Kami bergaduh besar.  Kata papa mama memandai buat keputusan sendiri.  Tapi sebenarnya dua tiga kali mama cuba berbincang dengan papa.  Papa kata suka hati awaklah.”

“Selepas pertengkaran tu, papa hilang seminggu.  Ke mana dia pergi, dengan siapa, berapa lama semuanya mama tak tau.  Selepas dua hari papa tak balik, mama telefon tapi papa tak jawab.”

“Bila papa balik, mama ajak berbincang.  Mama minta papa jujur dengan mama, kalau dalam hati papa sudah tak ada lagi cinta untuk mama… mama redha. Tapi papa tak mau bincang.  Banyak perbuatan papa yang mengguris hati mama, tapi mama sabar.  Akhirnya selepas berates-ratus kali berfikir, mama nekad.  Mama failkan permohonan cerai… dan akhirnya… dua minggu sebelum Ira balik, kami sah bercerai.  Mama minta papa dan Aidid rahsiakan dari pengetahun Ira kerana tak mau Ira sedih.” 

            Samirah mengesat airmatanya.  Di wajah Latifah terpancar kesedihan dan kekesalan.  Namun terpamer juga ketabahan seorang wanita dalam mengharungi kemelut rumah tangganya.  Samirah paut bahu mamanya.  Mereka berpelukan dan sama-sama menangis.  Dalam esak tangisnya Latifah sebenarnya merasa lega kerana segala yang terbuku di hati akhirnya sudah diluahkan. 

“Kenapa semua ni harus terjadi?  Ira tak pernah terfikir keluarga kita akan berpecah belah.  Selama ni Ira sangka mama dan papa bahagia, keluarga kita sempurna… tapi rupa-rupanya…”

Kerongkongnya bagaikan tersekat, hingga Samirah tak mampu menghabiskan ayatnya.  Latifah mengusap lembut belakang Samirah.  Dia faham tentu sekali sukar bagi Samirah menerima kenyataan hidup, tapi hakikat tidak boleh diubah.

            “Jangan kita menyesali takdir Ira.  Allah sudah rencanakan begini, mama redha dan mama harap Ira dan Aidid juga begitu.  Mama sedih sebab Aidid tak beri peluang kepada mama untuk menjelaskan masalah yang mama hadapi dengan papa.”

            “Ira tak faham, kenapa papa boleh jadi macam tu.”

            “Mama tak salahkan papa seratus peratus.  Mungkin ada juga salah mama.  Mama juga tak bencikan papa.  Sudah takdirNya, usia rumah tangga kami hanya setakat ini.”

            Airmata Samirah gugur lagi.  Betapa kenyataan ini terlalu pahit untuk ditelan.



Hish Ira ni, aku bergurau sikit pun tak boleh.  Saja nak mengusik tapi dia anggap serius, tak pasal-pasal pipi kiri kena sabun basuh pinggan.  Minggu lepas dagu sebelah kanan kena tumbuk.  Lepas ni entah apa pula yang terjadi.  Hati Aish berbicara ketika dia meraba pipi kirinya sambil memandang cermin.  Dia basuh tangan dan kemudian keluar dari tandas.

            Malas hendak pulang ke rumah, jadi Aish berjalan-jalan di Queens Bay Mall.  Sekejap lagi dia akan berjumpa dengan Wizan, kawan rapat yang dikenali sejak di sekolah menengah.  Wizan sekarang bekerja di KL .  Bila dia balik bercuti di Penang, pasti dia keluar dengan Aish. Masih ada banyak masa jadi Aish masuk ke dalam sebuah kedai menjual pakaian sukan.  Sedang dia membelek t-shirt, seorang gadis Cina menegurnya. 

            “Hello Aish, how are you?”  tegur Molly dengan ramah. 

            “Fine, what about you?

            “I am good.  I temankan adik I shopping.  You pun shopping ke?”

            ‘Taklah.  Just window shopping.  I am meeting a friend in half an hour time.”

            “Oh.  Seorang saja ya?”  Aish mengangguk sambil merenung wajah manis Molly.

            “Sorry to hear about you and Luna.”  Ayat Molly buat senyuman di wajah Aish hilang.  Muncul kerutan di dahinya.  Benaknya diselubungi tanda tanya.

            “I am sure you can find a better girl than Luna.  She’s a gold digger, so it’s good that you break-off with her.”  Belum hilang persoalan dalam benaknya, muncul pula debaran dalam dada Aish bila mendengar kata-kata Molly.  Seorang gadis menghampiri mereka dan bercakap dalam bahasa Cina kepada Molly.

            “I pergi dulu.” Sambil tersenyum Molly berlalu bersama gadis remaja yang mungkin adiknya.  Aish memerhatikan Molly pergi dengan hati yang berat.  Kalau boleh dia ingin bertanya Molly tentang apa yang disampaikan tadi.  Bila masa pula dia putus dengan Luna? 



“Aku nak bagi tau kau satu perkara, tapi sebelum tu aku harap kau jangan melenting bila kau dengar berita ni,” kata Wizan kepada Aish setengah jam kemudian.  Mereka duduk dalam kafe Starbuck sambil menikmati kopi.

            Dada Aish berdebar.  Dia rasa tak sedap hati.  Wajah Wizan yang beriak selamba ditenung.          

            “Dah dua kali aku jumpa Luna di KL.”  Wizan pandang wajah Aish.  Aish nampak tenang walaupun dalam dadanya sudah ada paluan yang kuat.

            “Di kedua-dua kali tu, dia bersama seorang lelaki.  Mesra bukan main dia dengan lelaki tu.  Kalau lelaki tu bukan suami dia, aku agak lelaki tu kekasih dia.  Kalau lelaki tu kekasih dia, kau siapa pada dia?”

            Riak tenang di wajah Aish hilang, diganti dengan wajah muram.  Kalau tadi perkhabaran dari Molly menimbulkan persoalan, perkhabaran dari Wizan pula bagaikan jawapan kepada persoalan itu.  Bagaikan satu aturan yang baik dari yang Maha Esa, kedua-dua perkhabaran diperolehi di hari yang sama. 

“Hati-hati dengan perempuan macam Luna tu.  Aku takut dia tak ikhlas dengan kau.  Cuba kau fikir perempuan high-maintenance macam tu nak ke dengan ikan bilis macam kita ni?  Esok-esok bila joran dia dah digigit jerung, ikan bilis macam kita ni dia buang saja dari jala.” 

            Aish sekadar memerhatikan Wizan yang beria-ia bercerita.  Terasa bagaikan ada ketulan besar yang menyekat kerongkongnya.  Dia kehilangan kata-kata. 



Bunyi ketukan pintu mengalihkan perhatian Samirah daripada masalah keluarganya. Dia turun dari katil dan menuju ke pintu.

“Ira, Aunty tak mengganggu kan?” suara lembut Aunty Kelly menyapa telinga Samirah dan wajah keibuannya menjelma di balik pintu.  Samirah buka pintu biliknya dengan lebih luas untuk membolehkan Aunty Kelly masuk.  Khalilah terus masuk dan duduk di birai katil.

            “Ira belum tidur lagi.  Ada apa Aunty?”  soal Samirah sambil menutup pintu bilik.

            “Ira tak pergi jumpa mama lagi?”  Samirah menggeleng.  Sejak pertemuan pada hari Ahad sudah dua hari dia tidak berjumpa mamanya, hanya sekadar menghantar SMS untuk bertanya khabar.  Malam Ahad, sebaik saja pulang Samirah telah menceritakan kepada Khalilah tentang pertemuannya dengan mamanya.  Namun perkara yang berkaitan dengan hal rumah tangga mamanya dirahsiakan.

            “Sebenarnya… Aunty ada perkara nak tanya Ira,” kata Khalilah sebaik saja Samirah duduk di sebelahnya.  “Dari hari Khamis lepas, Aunty tengok Aish muram.  Sejak hari Ahad lepas, lagi teruk.  Dia banyak termenung dan tak banyak cakap.  Walaupun dia tak keluar, dia memerap saja dalam biliknya.  Selalunya kalau dia tak keluar, dia akan tengok tv dengan aunty dan uncle, borak-borak dengan kami dan ikut kami ke masjid. Aunty nak tanya, kalau-kalau Ira tau Aish ada masalah ke?”

            “Maaf Aunty, Ira tak tau.”  Ujar Samirah sambil menggeleng.  Kasihan pula dia melihat riak wajah Aunty Kelly.  Sebenarnya Samirah perasan sejak Ahad malam Aish memang kelihatan muram.  Pada sangkaan Samirah mungkin Aish masih marah dengannya kerana menyapu pipi Aish dengan air sabun pencuci pinggan, jadi dia buat tak peduli saja dengan perubahan sikap Aish.  Lagi pun Aish bukannya gemar berbual dengan dia, waima mereka sekereta pergi dan balik kerja.

            “Kata uncle kamu pada hari Khamis lepas, masa Aish baru balik dari jumpa Luna, dia tegur Aish.  Dia tanya kenapa muram, bergaduh dengan Luna ke?  Aish tinggikan suara dan kata pada uncle kenapa papa nak tau?  Kan papa dan mama tak suka Luna, tak payahlah tanya pasal Aish dan Luna.  Lepas tu terus Aish memerap dalam biliknya.”

            Khalilah menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembuskannya perlahan-lahan.  “Memang aunty dan uncle tak berapa gemarkan Luna.  Tapi kalau Aish dah berkenan sangat, kami terima sajalah.  Tak pernah kami suruh dia berhenti berkawan dengan Luna.  Entah kenapa mood dia teruk sangat kebelakangan ni.  Dia tak bercerita dengan Ira ke?”

            Samirah menggeleng lagi.  Jeda.  Khalilah bagaikan termenung.  Layanan baik yang diberikan oleh Aunty Kelly dan Uncle Sam membuatkan Samirah rasa terpanggil untuk menolong mereka.

            “Aunty, kalaulah kehadiran Ira di sini punca Abang Aish bermasalah… Ira minta maaf.”

            “Eh Ira, kenapa cakap macam ni.  Kami sekeluarga tak ada masalah dengan Ira.”  Khalilah menepuk lembut bahu anak saudaranya.            “Bila Ira ada, taklah Aunty rasa sunyi.  Ada kawan nak diajak bersembang.  Janganlah Ira terasa dengan mulut Aish tu.  Aish tu anak manja sebenarnya, dia cemburu bila perhatian kami dan abang kakaknya berkalih pada Ira.  Sekejap saja tu.  Aunty rasa masalah sebenar dia ada pada Luna.”

            Alamak, Aunty Kelly tau ke pasal Abang Aish selalu marah aku bila aku lambat?  Hati Samirah bertanya.  Wajah Khalilah yang penuh keibuan ditenung.

            “Janganlah Ira susah hati.  Aunty tau Ira pun ada masalah keluarga yang membebankan fikiran Ira.  Aunty sekadar bertanya, kot-kotlah Aish ada berkongsi masalah dia dengan Ira.”

            “Tak Aunty, Abang Aish tak pernah bercerita.”

            “Tak apalah Ira, tidurlah ya.  Maaflah Aunty ganggu Ira.”  Khalilah berdiri.  Bahu Samirah dipegang lagi sebelum dia melangkah keluar dari bilik.



Samirah mengalihkan mukanya ke arah Aish yang memandu dengan tenang.  Wajahnya masih diselaputi riak muram.  Samirah pandang semula ke depan.  Kepala yang tidak gatal digaru.  Macam mana ni, nak tanya ke tidak?  Nanti kalau ditanya takut dianggap penyibuk. 

            “Kau nak cakap apa?”  tiba-tiba Aish bersuara.  Samirah terkejut.  Ish, dia ni boleh baca fikiran orang ke, tanya hati Samirah.  Aish yang tekun memandang ke depan ditenung lama-lama.

            “Err… Abang Aish… bo… boleh tak…” 

            “Kau nak jumpa mama kau petang ni?”  Samirah mengangguk walaupun sebenarnya bukan itu yang nak ditanyakan. 

            “Nanti petang aku hantarkan.”

            Hanya bunyi dari radio kereta yang kedengaran selepas itu.  Perjalanan ke pejabat Samirah berbaki separuh lagi.  Samirah menarik nafas panjang.  Tanya sajalah Ira, apa nak ditakutkan.  Bukannya tak biasa kena marah dengan si kekwat ni, kata Samirah dalam diam kepada dirinya sendiri.

            “Abang Aish, Ira ada benda nak tanya.”  Matanya pantas mengerling ke arah Aish sebaik saja ayat itu habis diucapkan.  Aish tetap diam.

            “Abang Aish ada masalah ke?” Dilontarkan juga soalan itu walaupun dalam hati ada kegusaran tentang reaksi Aish.

            “Kenapa?  Muka aku macam orang ada masalah ke?”  Nada suara Aish mendatar.  Samirah rasa dia tak kisah dengan soalan Samirah.

            “Dua tiga hari ni Ira tengok Abang Aish muram saja, macam orang ada masalah.”

            “Habis kalau aku masalah, apa kena mengena dengan kau?” 

            Amboi bahasa.  Peninglah aku dengan dia ni.  Mula-mula kekwat, lepas tu baik, sekarang dah kekwat balik.  Nak kata andropause, muda lagi.  Tempoh berdiam diri sudah berakhir jadi Samirah mesti balas.  Bila teringatkan Aunty Kelly, tak jadi pula nak balas secara sarkastik.

            “Kalau Ira punca Abang Aish ada masalah, Ira minta maaf.  Ira banyak susahkan Abang Aish.  Hujung minggu ni Ira balik KL, ambil kereta.  Lepas tu Ira tak tumpang Abang Aish lagi.  Abang Aish… kalau marah nyamuk, janganlah bakar kelambu.  Aunty dan uncle risau bila Abang Aish muram, asyik terperap dalam bilik, kurang bercakap dengan dia orang.  Dia orang tertanya-tanya kenapa perangai Abang Aish tiba-tiba berubah.”


            Apa yang perlu dikatakan sudah pun terluah.  Sedikit perasaan lega menyelinap dalam hati Samirah.  Tiada perbualan lagi sehingga mereka tiba di depan kolej.  Aish memerhatikan Samirah berjalan lalu menghilang dalam bangunan.  Kata-kata Samirah terdengar semula di telinga.  Aish melepaskan keluhan.  Aku tak marah kau Ira.  Aku marah kepada diri aku sendiri.  Hati Aish berkata.

No comments:

Post a Comment