Thursday 24 April 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 32


Dia ni cengeng betul.  Jumpa emak menangis, jumpa boyfriend menangis.  Nampak berani dan yakin, tapi hatinya sensitif.  Mudah sangat merembeskan air mata.  Aish berkata dalam hati sambil memandu.  Sejak dari meninggalkan rumah tadi wajah Samirah masih cemberut. 


            “Boyfriend kau dah balik KL?”  soalan ditanyakan untuk memecahkan suasana hening.  Namun soalan itu terbiar tanpa jawapan.


            “Kalau boyfriend kau belum balik, petang ni dia ambil kau ke?”  soalan kedua pula ditanya.


            “Tak.” 


            “OK, petang ni aku ambil kau macam biasa.”


            “Ira nak pergi rumah mama.”


            “Ok, aku hantarkan.”


            “Tak payahlah.  Ira pergi sendiri. Balik nanti Ira minta mama hantarkan.” 

           

            “Kenapa tak payah?  Takut boyfriend kau cemburu?”


            Kali ini Samirah berpaling.  Wajah Aish yang kelihatan tenang direnungnya lama.  Macam mana dia tau?  Samirah mengeluh.  Kata orang cemburu itu tandanya cinta.  Tapi bagi Samirah cemburu adalah satu bala, lebih-lebih lagi cemburu tidak berasas yang ada pada Irsyad.  Tak mungkin Abang Aish akan jatuh cinta pada aku dan tak mungkin aku akan terpaut pada si kekwat yang sekejap baik, sekejap tidak, hati Samirah berbisik.


            Telefon bimbitnya dikeluarkan.  Pesanan whatsapp yang dihantar oleh Irsyad malam tadi dibaca lagi.  Saya sayang awak sangat-sangat.  Saya takut kehilangan awak.  Please forget what I said and please forgive me. 


            Samirah sudah membalas pesanan itu dengan kata-kata ‘kalau sayangkan saya, tolong percayakan saya dan hormati prinsip saya.  It hurts when someone whom I give a special place in my heart has doubt in me.’


            “Dia marah kau malam tadi?” 


            Samirah berpaling semula ke arah Aish.  Aish sedang merenungnya.  Rupa-rupanya kereta Aish sudah pun berhenti di hadapan bangunan kolej.


            “Taklah.”


            “Habis kenapa kau menangis malam tadi?”


            Kali ini Samirah terpempan.  Wajah Aish direnungnya lama-lama.  Rasanya malam tadi ketika dia balik tak ada pun terserempak dengan Aish. 


            “Abang Aish intip Ira ya?”


            “Eh, apasal pulak aku mengintip kau.  Siapa suruh menangis dekat taman tu?  Lain kali kalau tak nak orang nampak, menangis dalam bilik ke, bilik air ke.”


            Kening Samirah naik dan hampir bercantum.  Ish si kekwat ni, sekejap bunyinya macam prihatin sangat.  Sekejap menyakitkan hati sungguh!


            “Kalau kau nak, aku boleh cakap pada boyfriend kau tu supaya tak payah cemburu.  Kau tak ada pun ciri-ciri yang boleh buat aku terjatuh hati pada kau.”  Ayat pertama Aish buat hati Samirah sejuk tapi ayat keduanya buat hati Samirah panas.  Kalau ia pun nak berterus terang, berlapiklah sikit bahasa tu.


            “Terima kasih Abang Aish, tapi Ira boleh uruskan Irsyad.  Ira minta maaf sebab dia cemburukan Abang Aish.”  Di penghujung ayat nada suara Samirah sudah bergetar.  Matanya sudah terasa panas.  Samirah menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal perasaannya.


            “Malam tadi Ira nangis sebab… Ira sedih… mama tak ada di sisi bila Ira perlukan mama.  Dan Irsyad… kenapa Irsyad tak nak faham?  Abang Aish pulak, kenapa tak suka Ira?  Kenapa bila bercakap suka menyakitkan hati Ira?”


            Akhirnya empangan airmatanya pecah.  Meluncur laju di atas pipinya titis-titis air jernih.  Sejak malam tadi emosi Samirah sangat terganggu.  Lebih-lebih lagi bila mama tiada di rumahnya.  Ingatkan dapatlah dia mengadu dengan mama tentang perbalahannya dengan Irsyad, tapi rupa-rupanya pemergiannya ke apartment mama sia-sia saja.  Pagi ini, entah kenapa, di hadapan Aish dia gagal lagi mengawal emosinya.


            Aish pegun.  Kerongkongnya terasa tersekat.  Lidahnya kelu. 


            “Ira…”


            Belum sempat ayatnya disudahkan Samirah sudah membuka pintu kereta dan pantas berlalu.  Aish hanya sekadar melihat Samirah menghilang di dalam bangunan kolej.  Kepalanya digelengkan dan satu hembusan nafas dilepaskan dengan kasar.  Kau lupa Aish, Samirah bukan lagi budak kecil yang boleh kau kutuk, marah, ejek dan sindir sesuka hati macam dulu-dulu.


           


Latifah memerhatikan anak gadisnya bercerita.  Sejak dia tiba setengah jam tadi, mulutnya belum berhenti bercakap.  Semua yang berlaku antara dirinya dengan Irsyad dan dirinya dengan Aish diceritakan kepada mamanya. 


            “Ira muda lagi.  Mama rasa tak payahlah bercinta dengan Irsyad tu.  Mama rasa dia tak sesuai dengan Ira.”  Selepas Samirah diam barulah Latifah bersuara.


            “Macam mana mama tau dia tak sesuai dengan Ira?  Dia baik, cuma suka mendesak dan kuat cemburu.  Sebelum ni Ira dah agak dia cemburukan Abang Aish sebab bila kami berbual dalam telefon nada suara dia berubah bila Ira sebut nama Abang Aish.”


            “Dengar sini sayang, kalau Ira dan Irsyad sekadar berkawan, dia tak ada hak untuk cemburu.  Selagi dia belum jadi suami Ira, jangan biarkan dia kawal hidup Ira.  Mama rasa baik hadkan saja perhubungan dengan dia sebagai kawan.  Hati mama kuat mengatakan dia dengan Ira tak serasi.”  Bersungguh-sungguh Latifah mencadangkan. 


            Timbul sedikit kehairanan dalam hati Samirah, tapi segera ditepis rasa hairan itu.  Dia yakin mama bercakap berdasarkan tanggapan yang dibuat selepas mendengar cerita Samirah.  Dia pasti mama akan sukakan Irsyad selepas bertemu dengannya.


 “Dengan lelaki mana pun Ira berkawan, ingat pesan mama, jangan benarkan lelaki tu kawal hidup Ira.  Buat keputusan sendiri, atas sebab Ira mahu, bukan sebab dia mahu.”


            Samirah mengangguk.  Kata-kata mama ada benarnya.  Memang pun setakat ini dia tidak pernah membenarkan Irsyad mengawal hidupnya.  Dia menyenangi Irsyad, cuma Irsyad kadang-kadang susah diduga.  Siapa sangka dia akan muncul di rumah Samirah pagi-pagi buta kerana hendak menghantar Samirah bekerja dan seperti semalam, siapa sangka tiba-tiba dia sudah terpacak di hadapan bangunan kolej.  Irsyad juga suka mendesak dan kuat cemburu.


            “Mama, kenapa Abang Aish tu tak suka Ira?  Kata Aunty Kelly, Abang Aish tu tak suka aturan hidup dia diubah, tapi Aunt Kelly juga yang paksa dia hantar dan ambil Ira setiap hari.  Walau pun Ira bengang dengan mulut dia yang laser tu, Ira juga simpati dengan dia.  Disebabkan Ira dia kena marah dan bergaduh dengan girlfriend dia.”


            Lengan anak gadisnya ditepuk lembut sebelum Latifah bersuara “Ira, Aish tu baik orangnya.  Dia datang dari keluarga yang baik juga.  Mungkin Ira yang tak pandai ambil hati dia.  Apa kata Ira tolong bayarkan duit minyak dia, atau hari Ahad tolong basuhkan kereta dia?  Dapat gaji pertama ni belanja dia makan.  Dulu masa kecil elok saja kamu dengan dia.  Mungkin dia jadi macam tu sebab tekanan dari kekasih dia tu, bukannya sebab dia tak suka Ira.”


Samirah diam, memikirkan saranan mamanya.  Macam mana nak ambil hati si kekwat tu kalau pandang muka dia pun aku takut?  Tapi sejak kebelakangan ni kekwat dia dah kurang, dan dia pun dah tak marah-marah kalau aku lewat.  Macam tadi, aku lewat 15 minit tapi dia langsung tak membebel dan terus saja hantar aku ke sini.  Tak mengapalah, rasa-rasanya masalah ni tak sebesar masalah aku dengan Irsyad.


 “Ira rasa masalah ni boleh selesai kalau Ira tinggal dengan mama.  Tentu Ira tak kena sindir, kena marah dan ejek dengan Abang Aish dan dia pun tak payah kena marah dengan girlfriend dia.”


            Latifah melepaskan nafas dengan berat.  “Mama takut papa Ira tak suka.”


            “Kenapa pula papa tak suka?  Ira nak tinggal dengan mama, bukannya dengan orang lain.”  Naik sedikit suara Samirah.  Dia tak faham kenapa susah sangat mama nak benarkan dia tinggal dengan mama?


            “Ira kena faham, papa yang minta Auty Kelly jagakan Ira.  Jadi lebih baik papa sendiri yang cakap dengan Aunty Kelly.  Kita pun tak mau Aunty Kelly kecil hati kalau Ira pindah dari rumah dia.”

           

Samirah memikirkan kata-kata mamanya.  Betul juga kata mama.  Dia harus bincangkan dulu perkara ini dengan papanya.  “Esok lepas kerja Ira balik KL naik flight.  Nanti Ira cakap dengan papa Ira nak tinggal dengan mama.  Ira akan bawa kereta ke sini.  Hmmm bestnya lepas ni dah tak perlu tumpang Abang Aish dan boleh makan masakan mama setiap hari.”


            Bahu mamanya dirangkul.  Samirah lentokkan kepala di bahu mamanya sambil tersenyum girang.  Latifah melepaskan keluhan kecil namun tidak disedari oleh Samirah.

 



Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas agak sibuk pada petang Jumaat.  Agak lama menunggu untuk memberhentikan keretanya di hadapan pintu masuk balai berlepas, akhirnya Aish membuat keputusan untuk masuk saja ke kawasan parkir.


            “Abang Aish tak payahlah susah-susah hantarkan Ira sampai dalam.”  Kata Samirah. 


            “Tak apalah, aku pun tak sibuk.  Aku temankan kau sampai kau boarding.” 


            Samirah akur saja.  Dalam hatinya terdetik tidak mahu menyusahkan Aish tapi kalau diluahkan perasaannya takut nanti jadi berbalah pula.  Keluar dari kereta Aish menemaninya ke kaunter daftar masuk. 


            “Ada lagi setengah jam sebelum boarding.  Ira nak belanja Abang Aish minum… boleh?”  Pesanan mama semalam agar dia berusaha mengambil hati Aish terngiang-ngiang di telinganya.


            Pelik.  Tak pernah-pernah nak belanja aku.  Semalam satu hari moodnya tak baik, hari ni bukan setakat nampak ceria, siap nak belanja aku minum.  Aish berkata dalam hati.  Wajah manis Samirah yang sedang tersenyum ditenungnya lama.  Perlahan-lahan kepalanya dianggukkan.


            “Siapa jemput kau di LCCT?” Soal Aish selepas menghirup lattenya.


            “Aidid.”


            “Kenapa buah hati tak jemput?”


            “Ira tak minta dia jemput.”


            “Kenapa?”


            Haish si kekwat ni, itu pun dia nak tau.  Sabar Ira, jangan cepat marah.  Gaya dia tanya tu macam ikhlas nak tau.  Bersangka baiklah dengan dia, kata hati Samirah.


            “Kalau dia jemput Ira, dia mesti akan ajak makan, duduk sembang-sembang.  Ira tak nak.  Ira nak balik terus.”


            Aish mengangguk.  “Aku harap kau orang dah tak bergaduh lagi.”


            “Tak.  Dia dah minta maaf.  Dia mengaku dia cemburu dan Ira dah bagi tau tak perlu cemburu.  Hati Ira tetap pada dia.”


            Aish mengangguk lagi.  Lega. 


            “Abang Aish dengan Luna macam mana?”  Aish panggung kepala dan memandang tepat ke wajah Samirah.  Lama dia merenung sebelum bahunya diangkat.


            “Nanti Ira balik bawa kereta, Ira dah tak tumpang Abang Aish lagi.  Abang Aish dah tak payah gaduh dengan Luna lagi.  Ira tak nak kerana Ira Abang Aish bergaduh dengan girlfriend.”


            Aish paksa bibirnya untuk tersenyum.  Biarlah luka yang sudah ada dalam hati tidak terlihat pada riak wajah.  Senyumannya buat Samirah merasa lega lalu dibalas dengan senyuman juga.  Untuk seketika mereka sekadar merenung. Ada sesuatu dalam wajah lembut itu yang membuatkan mata Aish melekat padanya.  Samirah pula tiba-tiba rasa malu bila Aish merenungnya begitu. 


            “Ira rasa dah boleh masuk sekarang,” kata Samirah.  Pandangannya dilarikan dari wajah Aish.  Aish berdiri.  Beg sandang yang diletakkan di kerusi sebelah diambil.  Sebuah buku dikeluarkan dan dihulurkan kepada Samirah.              “Nah.  Boleh baca dalam flight nanti.”


            La Tahzan Gadisku,” kata Samirah perlahan sambil memandang ke arah kulit buku.  Aish mengangguk.  Kata Wizan buku itu sesuai untuk dihadiahkan kepada gadis seusia Samirah jadi Aish belikanlah.


            “Untuk Ira?”


“Habis tu?  Takkan aku belikan untuk Aidid pulak.”  Samirah panggung kepala.  Dia tak terasa marah dengan nada suara Aish.  Sebaliknya dia tersenyum.  “Terima kasih.  Nanti Ira baca.  Ira pergi dulu.  Terima kasih hantarkan Ira ke sini.” 


Aish memerhatikan sehingga kelibat Samirah menghilang.  Teringatkan kata-kata Samirah tadi, dia tersenyum sinis.  Sudah lebih daripada seminggu dia tidak berhubungan dengan Luna.  Panggilan dan pesanan Luna semuanya dibiarkan tidak berjawab.  Sebelum-sebelum ini, bila saja Luna bekerja mereka sentiasa berhubung melalui telefon.  Pagi Luna ada penerbangan, tengahari Aish sudah merindu.  Sekarang rasa rindu kepada Luna tidak ada dalam hatinya. 


            Aish melangkah ke arah tempat parkir kereta.  Tidak lama kemudian satu susuk tubuh yang dikenalinya menangkap pandangannya.  Aish melajukan langkahnya.  Dadanya berdebar.  Hatinya sakit bila melihat pinggang ramping berbalut pakaian seragam pramugari dirangkul mesra oleh lengan sasa seorang lelaki.  Dengan kasar lengan kirinya menarik tangan halus si gadis.


            “Hei, apa ni?”  Jerit Luna sambil tubuhnya tertarik ke belakang kerana lengannya ditarik dengan kuat.  Dan apabila matanya menangkap wajah Aish, Luna terkedu.  Syed Iqbal yang turut berpusing terlepas rangkulan pada pinggang Luna.


            “A… Aish.”  Itu saja yang mampu keluar dari bibir Luna.  Wajah Aish yang merenung tajam ke arahnya menimbulkan rasa takut dalam hati Luna.  “A… apa you buat kat sini?”  Luna bertanya.  Aish tidak menjawab, sekadar memandang Luna dengan hati yang membara.


            “Hello Aish,” sapa Syed Iqbal sambil dengan selamba menghulurkan tangan untuk berjabat.  Mata Aish berkalih ke arah Syed Iqbal pula.  Diberikan lelaki itu pandangan tajam, sama seperti yang diberikan kepada Luna.  Tangan Syed Iqbal tidak dihiraukan.  Sudahnya Syed Iqbal turunkan tangannya.  Dia membisikkan sesuatu kepada Luna sebelum berlalu meninggalkan Luna dan Aish.


            “Err… II baru sampai.  Kebetulan terjumpa dengan Syed, so Syedhe offers to send me home.”  Luna gugup.  Renungan mata Aish adalah sesuatu yang tidak pernah dilihatnya.  Jejaka tampan yang muda dua tahun daripadanya nampak sungguh marah. 


            He offers to send you home?  Baguslah.  Kereta dia lebih besar dan lebih hebat daripada kereta I.  Memang itu yang you idamkan selama ni kan?  Kalau you dah tak suka kat I, just be frank with me.  You nak sangat dengan Syed tu, pergilah.  Jangan cari I lagi!”


            Luna terpempan.  Tidak disangka akan bertemu Aish di sini.  Memang dia mahu memutuskan perhubungannya dengan Aish, tapi bukan dengan cara ini.  Dia sedang merancang hendak mencari jalan agar Aish boleh dipersalahkan di atas retaknya perhubungan mereka.  Mengikut perancangan Luna, malam ini dia akan menelefon Aish dan mengajak Aish untuk keluar esok dan bila mereka berjumpa esok dia mahu memberitahu Aish dia sudah tidak tahan dengan sikap Aish yang lebih mementingkan ibu bapa dan Samirah daripada Luna.  Nampaknya rancangan Luna gagal.


            “Aish!  Dengarlah explanation I!”  Luna melaung bila Aish terus berlalu.  Laungan Luna tidak dihiraukan, sebaliknya Aish terus berjalan dengan laju.  Hatinya tebal dengan kemarahan dan kekecewaan.  Benarlah kata Molly dan Wizan, Luna sudah mengkhianati cintanya.

No comments:

Post a Comment