Monday 5 May 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 33

Assalam dan hai x3 semua.  Maaf ya lambat upload.  Tak berapa sihatlah sejak dua menjak ni.  Hati meruntun nak menulis tapi badan suruh landing2 atas katil.  Kepala pula berat.  Telinga, hidung, tekak semua mogok.

Harap terhibur dengan entry ini.  Mungkin ini bab terakhir di blog.

Mata Samirah melilau mencari wajah Aidid.  Tidak nampak pun dia di mana-mana.  Mungkin papa yang datang jemput aku, fikirnya.  Sekejap lagi kalau Aidid atau papa masih tidak kelihatan, dia akan telefon Aidid.

            Sebuah BMW X5 berwarna perak yang sangat dikenali berhenti betul-betul di hadapan tempat Samirah berdiri.  Dan sebaik pintu pemandu dibuka, wajah kacak ahli korporat muda berambut pacak menyapa pandangannya.

            My sweet Samira,” Irsyad menegur sambil memberikan senyuman manis.

            “Aidid suruh awak datang?” 

            Irsyad mengangguk.  “Jom sayang.”  Irsyad suakan tangan ke arah kereta.  Sampai saja di kereta pintu dibukakan untuk Samirah.  Tiada pilihan lagi, Samirah masuk ke dalam kereta.  Nak kena Aidid ni, kot ya tak dapat datang bagi taulah, bisik hati Samirah.  Samirah tak sukakan kejutan. 

            How was your flight?”


            “OK.  Maaflah, terpaksa menyusahkan awak datang sejauh ini un…”

            “Shhhh.”  Kata Irsyad.  Jari telunjuk dilekatkan di bibirnya.  “Jangan sekali-kali sebut perkataan menyusahkan.  How could someone whom I miss very much be a trouble Samira?

            Senyuman mekar di bibir Irsyad.  Wajah manis Samirah direnung bagaikan tidak puas dia menatap wajah itu.  Hatinya girang kerana perbalahan yang dia cetuskan beberapa hari lepas dapat diselesaikan dengan segera.  Mujurlah dia mendengar kata angahnya dan cepat-cepat minta maaf kepada Samirah dan mujur juga Samirah bukan jenis yang suka merajuk dan dipujuk.

            “Kita makan dulu sebelum saya hantar awak balik.”  Kata Irsyad sambil memandu.  Seperti biasa Samirah merasakan itu adalah satu arahan, bukan permintaan dan bukan pertanyaan.

            “Maaf Irsyad, saya nak balik terus.”  Jam kereta Irsyad dijeling.  Sudah jam 9.15 malam, badan pun sudah letih.  Apa yang terbayang di mata ketika ini ialah tilam empuk dan bantal gulingnya.

            Riak wajah Irsyad berubah.  Ajak makan pun tak mau, keluh Irsyad dalam hati.  “Takkan tak boleh temankan saya sekejap?”  Dengan suara yang dilunakkan Irsyad merayu.  Dia teringat kata Angahnya dia harus berlembut dengan gadis berprinsip seperti Samirah.


            Samirah mengerling wajah Irsyad.  Irsyad nampak letih dan nampak seperti mengharap sangat agar Samirah menemaninya.  Otak Samirah ligat berfikir, perlukah dia menemani Irsyad atau tidak. 

            “Kita akan menempuh perjalanan lebih kurang satu jam sebelum tiba di rumah saya.  Saya rasa itu sudah cukup untuk kita luangkan masa bersama.  Esok kita masih boleh jumpa.”

Beginikah orang lain bercinta?  Kenapa dia seperti tidak rindukan aku?  Kalau rindu tak bolehkah luangkan masa sikit untuk aku?  Ya dia ada prinsip, tapi tak bolehkah prinsip kolotnya itu dilanggar sekali sekala, lebih-lebih lagi untuk menemani aku yang belum sempat makan malam lagi, benak Irsyad berbicara.

            Irsyad merenung wajah Samirah.  Samirah sudah memandang ke hadapan semula, seperti selalu jarang Samirah memandangnya lama-lama.  Akhirnya keretanya digerakkan.  Sepanjang perjalanan mereka berbual dan Irsyad sedaya upaya cuba mengelakkan dari berbual tentang mama Samirah kerana dia tahu perkara ini amat sensitif bagi Samirah.


            “Terima kasih kerana jemput saya,” ujar Samirah sebaik saja kereta Irsyad diberhentikan di hadapan rumahnya.  Irsyad tersenyum sambil mengangguk.  Wajah manis Samirah buat dia lupa rasa terkilan yang ada dalam hati. Demi cinta yang ada, setiap kerenah Samirah sanggup diturutinya.

            “Kita jumpa esok,” kata Irsyad dengan lembut. 

            “InsyaAllah.  Drive carefully,” jawab Samirah dan pintu kereta dibuka.  Belum sempat dia keluar Irsyad memanggil lalu kepalanya dipalingkan ke arah Irsyad.


            Dream of me,” bisik Irsyad.  Samirah balas dengan senyuman.  Senyuman yang manis bagi Irsyad.  Cukup manis untuk membuatkan tidurnya lena malam ini.


Kata mama jawapan yang Samirah cari selama ini ada dalam laci itu, lantas laci yang terletak paling bawah itu diselongkar.  Sampul surat yang tersorok di bawah lipatan baju-baju lama ditarik dan apabila matanya melihat gambar-gambar yang tersimpan elok di dalam sampul, jantung Samirah bagaikan hendak gugur.  Samirah mengetap bibir.  Walaupun malam sudah lewat, dia tidak peduli.  Sampai di hadapan bilik papanya, pintu bilik diketuk sekuat hati, menggambarkan kemarahan yang meletus dalam dirinya.

            How could you papa!”  tanpa sedar suaranya naik.  Gambar-gambar yang menghancurkan hatinya disuakan kepada papanya.  Kebetulan Aidid baru naik ke atas, maka dia menghampiri papa dan adiknya.

            Baharin mengambil gambar-gambar itu dan berlalu masuk ke dalam bilik lalu terus duduk di sisi meja kerjanya.  Di wajahnya riak kekesalan terpamer, namun seribu kesalan pun tidak mungkin dapat melunturkan kemarahan dan kekecewaan Samirah.  Aidid meluru masuk dan berdiri di sisi papanya.  Terus ditarik gambar-gambar itu dari tangan papanya dan sebaik saja gambar-gambar itu ditatap, wajahnya keruh.


            “Tak ada perempuan lain ke papa?  Papa kan tau Aunty Nadhrah tu kawan baik mama?” soal Samirah sambil menangis.  Fahamlah dia kini betapa remuk hati mamanya.  Perempuan mana yang boleh menerima hakikat suami yang dicintai bercinta dengan kawan baik sendiri.

            “Ya Allah!  Papa, betul ke semua ni?”  giliran Aidid pula bertanya.  Kalau diikutkan hatinya tidak percaya dengan kenyataan ini namun mustahil matanya menipu.  Perlahan-lahan Baharin mengangguk.

            “Maafkan papa Aidid, Ira.”  Baharin berkata dengan suara yang lirih.  Apa lagi yang boleh dilakukan melainkan memohon kemaafan.  Matanya berkaca. 

            “Papa kesunyian, mama kamu sibuk dengan urusan restoran.  Papa mula rapat dengan Nadhrah apabila dia dapatkan papa satu kontrak besar.”  Suara Baharin bergetar ketika pengakuan itu dibuat.

            “Jadi inilah punca papa dan mama bercerai?  Pandai papa sorok rahsia.  Selama ni Did ingat mama yang salah.  Rupa-rupanya… papa yang buat hal!  Papa penipu!”  Aidid menghempaskan gambar-gambar di atas lantai dan terus meluru keluar dari bilik papanya.  Samirah yang duduk di tubir katil menutup mukanya dan menangis teresak-esak. 


            “Ira.”  Baharin merapati anak gadisnya.  Bahu Samirah disentuh.  “Tolong jangan bencikan papa sayang.  Bukannya papa menipu Ira dan Aidid, tapi… kenyataan ini terlalu pahit untuk papa luahkan.  Percayalah sayang papa sangat-sangat menyesal.  Inilah kesalahan paling besar dalam hidup papa dan kesalahan ini meragut kebahagiaan papa selama-lamanya.”


            “Papa masih ada hubungan dengan Aunty Nadhrah?” soal Samirah dengan suara yang serak.  Matanya merah dek tangisan.  Baharin menggeleng.


            “Terus terang dengan Ira, papa masih sayangkan mama?”  Baharin mengangguk.


            “Papa nak balik dengan mama?”  Jeda, lama sebelum akhirnya Baharin bersuara “hanya kalau mama sudi terima papa.  Tapi papa tak yakin mama Ira akan terima papa semula.  Dia dah ada kawan baru.  Kalau lelaki itu boleh memberikan dia kebahagiaan yang dia impikan, papa tumpang gembira.  Apa yang papa dapat sekarang adalah balasan atas kesalahan papa.”


            Samirah menghela nafas dalam-dalam.  Airmatanya diseka.  Dia bangun dan tanpa sepatah kata lagi, dia keluar dari bilik papanya.



           

“Kenapa kita datang sini?”  soal Samirah yang kehairanan apabila Irsyad memberhentikan keretanya di hadapan bilik pameran Honda di Bandar Sri Damansara. 


            “Jom, temankan saya pilih kereta,” kata Irsyad sambil membukakan pintu kereta untuk Samirah.  Mereka masuk ke dalam bilik pameran dan seorang jurujual lelaki dengan mesra menyapa Irsyad.  Sementara mereka berbual, Samirah menghampiri kereta Honda CRZ yang sedang dipamerkan.  Dia mengamati kereta tersebut, membuka pintunya dan mengintai ke dalam kereta.


            “Suka?”  soal Irsyad yang sudah pun muncul di sisi kereta.


            “Taklah.  Saja tengok.”  Samirah menjawab.  Dalam hatinya dia teringatkan Aish.  Aish pernah bercerita dia minat Honda CRZ tapi belum punya cukup wang untuk membelinya.


            “Jom kita keluar,” Irsyad mengajak dan Samirah menuruti.  Di luar bilik pameran sebuah Honda Jazz sudah menanti untuk diuji. Irsyad masuk ke dalam dan duduk di bahagian penumpang hadapan.  Dia menyuruh Samirah masuk ke sebelahnya. 


            Looks good.  Saya nak awak pandu uji kereta ni.”  Tuan pengarah urusan memberi arahan.  Samirah mengangkat kening.  Dia nak beli kereta, aku pula yang kena pandu uji?  Si jurujual yang ramah masuk dan duduk di belakang.  Kereta digerakkan mengikut arah yang disuruh oleh jurujual.  Samirah sekadar memandu, hanya Irsyad dan jurujual yang bercakap.  Perbualan mereka berkisar tentang kereta Honda.  Habis memandu kereta diparkir semula di depan bilik pameran.


            “Suka?”  Irsyad bertanya.  Wajahnya nampak sangat ceria.  Samirah mengangguk. 


            “Kenapa awak nak beli Honda Jazz?  Awak kan dah ada BMW?”  Soalan ditanya untuk menghilangkan tanda tanya yang bersarang dalam hatinya.


            I am buying it for someone special.” 


            That someone special must be a woman.”


            “Mana awak tau?” soal Irsyad sambil bibirnya mengorak senyuman.


            “Awak suruh saya pandu uji sebab awak nak tau pandangan seorang perempuan tentang kereta ini.  Kalau awak belikan untuk orang lelaki, tentu awak akan pandu uji sendiri.”


            Senyuman Irsyad melebar.  Sejak Samirah berpindah ke Penang, inilah kali pertama dia senyum selebar itu.


            So… awak sudi kan?”


            “Sudi apa?”  Kening Samirah hampir bercantum lagi.


            “Terima hadiah tu daripada saya.  Saya nak awak gunakan kereta tu untuk ke mana-mana saja.  Pergi kerja, pergi jumpa mama awak, anywhere, anytime.” 


            Jeda.  Samirah sekadar memandang ke arah wajah kacak Irsyad.  Wajahnya tenang walaupun dalam hati dia tidak percaya Irsyad sanggup memberikan sesuatu yang sangat mahal kepadanya.  Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.


            “Saya tak boleh terima hadiah semahal ini daripada seorang lelaki yang belum ada ikatan dengan saya.”


            “Untuk buah hati saya, this is not expensive at all.”


            “Tak mahal awak kata?  Benda berharga dekat RM80 ribu ni awak kata tak mahal?  Irsyad, you are crazy.  Lepas tu awak nak bagi pula pada saya!  Jangan buat kerja gila Irsyad,”  suara Samirah meninggi sedikit.  Dahinya berkerut dan matanya membulat.


            “Samira listen!”  Pergelangan tangan Samirah digenggam kuat-kuat.  “Saya tak mau awak susah-susah menumpang orang, naik teksi ke sana ke mari.  Sekiranya menyayangi awak, merindui awak, mengambil berat tentang awak adalah satu kegilaan… saya sanggup gila sepanjang hayat.”


            Samirah terkedu.  Terkebil-kebil matanya memandang Irsyad.




Irsyad melepaskan keluhan.  Kepalanya disandarkan di atas sofa sambil matanya merenung siling.  Samirah tetap Samirah yang sama.  Jam lapan malam sudah mula minta dihantar pulang.  Ingatkan dapatlah meluangkan lebih sikit masa dengan Samirah.  Sebaliknya Samirah mahu menghabiskan masa dengan abang dan papanya.  Irsyad juga rasa kecil hati bila Samirah tidak sudi menerima kereta Honda Jazz yang ingin dia dibelikan.   


Irsyad tidak punya niat lain, sekadar mahu Samirah bebas bergerak tanpa perlu bergantung kepada dua pupunya.  Memang dia cemburu sangat-sangat dengan Aish tapi dia cuba sedaya upaya membuang perasaan cemburu dan memahami situasi Samirah.  Bukan dia mahu menunjuk kekayaannya dengan membelikan Samirah kereta.  Kalau dia mahu menunjuk-nunjuk, dia boleh belikan kereta yang lebih mahal lagi.  Tapi perkara semudah itu pun Samirah tak mau faham.  Malah siap berbalah dengannya di bilik pameran Honda petang tadi, demi untuk menegaskan dia tidak akan sekali-kali menerima pemberian kereta dari Irsyad.


Deringan telefon mengganggu pelayaran fikiran Irsyad Rifqi.  Sebaik saja matanya melihat nama yang tertera di skrin telefon, bibirnya mencebik.  Namun panggilan itu dijawab jua.


“Qi!”  Suara nyaring yang kedengaran di corong telefon tambah menyakitkan hati Irsyad.


“Qi, you kena tolong I,” kali ini ada esakan dalam suara Nellyza.  “Qi, I jumpa Qeef semalam…”  Nellyza berhenti di situ.  Esakannya semakin kuat.  “Sampai hati angah you tu, I setia menunggu dia… tapi… semalam… dia mengaku dia dah ada orang lain.  You tau tak siapa perempuan tu Qi?”


“Tak.”  Irsyad menjawab pendek.  Saat itu juga wajah teman wanita angahnya yang ditemui minggu lepas terbayang di matanya.  Walaupun baru sekali berjumpa, Irsyad dapat merasakan wanita itu lebih sesuai dengan angahnya berbanding Nellyza.


You kata girlfriend you tinggal di Penang.  I nak you minta tolong girlfriend you, carikan perempuan tu.”


What?”  Irsyad bersuara.  Keningnya hampir bercantum. 


“Kalaulah I jumpa perempuan tu, I nak ganyang dia.  Kurang ajar betul!  Banyak lagi lelaki lain, kenapa dia pilih Qeef?  Qeef pun satu, you percaya tak dia kata selama ni dia anggap I macam adik saja, dia tak ada perasaan cinta pada I.  Habis tu kenapa bagi harapan pada I selama ni?”  Esakannya sudah berhenti dan kini suara Nellyza bernada garang dan penuh dendam.


Nelly, listen.  Angah I dah besar, dia tau apa yang dia buat.  I believe what he told you is the truth.  We have known you from small Nelly, perhaps you got it wrongly for all the kind words and treatment that angah has given you.  Terimalah hakikatnya Nelly yang you dan angah I are just childhood friends.”


  Di hujung talian Nellyza meraung.  Tak sanggup dia mendengar raungan dan esakan Nellyza, lantas Irsyad mematikan talian.  Aku pun ada masalah aku sendirilah, getus hatinya.  Wajah Samirah menjelma di depan matanya.  Bilalah gadis kecil molek yang menghuru-harakan hati aku akan jadi milik aku?  Irsyad bertanya dalam hati.  Kalau boleh Irsyad mahu Samirah cepat uruskan hal mamanya dan pulang ke KL.  Bila-bila masa saja dia boleh berikan pekerjaan kepada Samirah dan bila-bila masa saja dia sudah bersedia menjadikan Samirah teman hidupnya.

No comments:

Post a Comment