Wednesday 14 May 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 34

Assalam dan haix3 semua.  Maaf lambat update bab ni.  Macam-macam perkara yang menambah kesibukan, maka terlambatlah Isma menyambung JGBH.  Maaf ya, teka-teki yang dicetuskan dalam bab sebelum ni tidak terjawab dalam bab ini.  Bab ini kita cool down sikit ya.

Rasa-rasanya nak habiskan JGBH di blog saja, mungkin tidak akan dimanuskripkan.


BAB 34

“Kau rasa betul tak tindakan aku?”  soal Samirah sambil memerhatikan ikan-ikan koi yang riang berenang.

            “Yang mana satu, pasal Irsyad atau pasal mama dan papa?”  Si Abang pula menyoal.  Wajah muram adiknya ditatap.  Menjalar rasa kasihan dalam hatinya bila mengenangkan banyak perkara yang mengganggu emosi Samirah sejak kebelakangan ini. 

            “Pasal Irsyadlah.”

            “Betullah, selagi belum ada ikatan lebih baik jangan terima apa-apa pemberian, lebih-lebih lagi benda yang mahal.  Jangan nanti orang menganggap yang bukan-bukan.”

            Lega hati Samirah mendengar kata-kata abangnya.  Seronoknya bila ada Aidid.  Walaupun semalam dia marah dengan Aidid, malam ini Aidid menjadi tempat dia mencurahkan segala-gala yang mengganggu mindanya.  Semuanya sudah diceritakan kepada Aidid, dari kisah mama dan papa, ke kisah Aish dan Luna, dan akhir sekali kisah Irsyad.

            “Tapi aku tak setuju kau cuba satukan mama dan papa.”  Riak wajah Samirah berubah.  Wajah Aidid ditenungnya dengan rasa tak puas hati. 

            “Aidid, aku cuba nak satukan family kita.  Takkan itu pun salah!”  Samirah bangun dan menuju ke arah abangnya.  Punggungnya dilabuhkan di sebelah Aidid.

            “Aku tak kata pun salah.”

            “Habis tu kenapa tak setuju?”

            “Aku takut kau akan kecewa Ira.”

            “Kenapa pulak?”

            Aidid merenung adiknya.  Dalam kesamaran cahaya malam yang menginjak jam sebelas, di wajah Samirah terpancar terang keyakinan yang jitu.  Begitulah dia, berani dengan setiap keputusan yang diambil. 

            “Ira, kau bukannya mendamaikan dua orang budak kecil yang bergaduh.  Kau cuba menyatukan dua hati yang kecewa dan sudah putus harapan.  Kalau mama masih mahukan papa, dia tak akan minta cerai.  Papa sayangkan mama tapi dia lepaskan mama sebab dia tau dia sudah hilang kepercayaan mama.  Mama dan papa masing-masing tau dia orang dah tak boleh dapatkan semula kebahagiaan kalau masih terus bersama.”

            Samirah merenung tajam wajah abangnya.  “Kenapa kau cepat sangat putus asa?  Hanya sebab dia orang sudah bercerai?  Dia orang boleh rujuk semula Did.  Sedangkan yang bercerai bertahun-tahun pun boleh rujuk semula.  Tengok penyanyi Hattan tu.  Papa dan mama baru saja bercerai, tentu boleh kalau kita betul-betul usahakan.”

            Aidid menggeleng.  Samirah yang yakin juga adalah Samirah yang degil.  “Memang dia orang baru bercerai tapi masalah dia orang dah lama, cuma kita saja yang tak sedar.  Biar sajalah mama dan papa cari kebahagiaan mereka sendiri.  Mungkin itu lebih baik untuk mama.”

            Samirah bangun.  Pinggangnya dicekak.  Di wajahnya terpamer rasa kurang senang.  “Aku tak setuju itu lebih baik untuk mama.  Apa yang terbaik untuk semua orang ialah mama dan papa bersatu semula.  Dia orang dah kenal lama, dah tau kebaikan dan keburukan, kekurangan dan kelebihan masing-masing.  Aku yakin dia orang masih saling menyayangi.”

            Aidid pula berdiri.  Hatinya sudah mula terasa panas.  Batu kedegilan dalam kepala Samirah harus dipecahkan.  “Baik untuk semua orang atau baik untuk kau?  Kau tau tak kau ni pentingkan diri sendiri?  Kau nak mama dan papa rujuk, keluarga kita bersatu tapi apa gunanya kalau dia orang duduk serumah tapi buat hal masing-masing?  Apa faedahnya kalau mama dan papa rujuk kerana terpaksa, bukan kerana dia orang rela?  Untuk puaskan hati kau, tapi hati dia orang terluka?  They know what they are doing.  Kau sendiri dengar dari mulut mama dia dah fikir beratus kali sebelum buat keputusan untuk berpisah dengan papa.”

            “Aku dah boleh terima kenyataan keluarga kita dah berpecah.  Aku rasa lebih baik kita fikirkan macam mana kita masih boleh bersatu sebagai keluarga… walaupun tidak serumah… walaupun mama dan papa sudah berpisah.  Bersyukurlah kedua orang tua kita tak saling memburukkan antara satu sama lain dan mereka sudah saling memaafkan.  Cuba bayangkan keadaan akan lebih sukar kalau mereka saling berdendam.”

            Di hujung ayat suara Aidid mula mengendur.  Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya sambil memejamkan mata.  Terbayang saat-saat sedih ketika mama dan papanya berpisah.

            “Kau tak ada ketika dia orang berpisah… ketika mahkamah mengesahkan talak yang papa lafazkan tu sah.  Aku tengok semuanya… dan apa yang aku nak sekarang… mama bahagia.  Sebagai anak lelaki, lebih penting untuk aku usahakan agar mama kembali semula menutup aurat, jadi diri dia yang dulu… daripada aku usahakan mama kembali kepada papa.”

            Suara Aidid bergetar.  Matanya basah.  Samirah terpempan dan hanya mampu melihat Aidid berlalu dari situ.



Dalam keadaan teragak-agak, Samirah menekan juga nama Irsyad.  Tidak pernah dia menelefon Irsyad seawal pukul tujuh pagi.  Salam diberikan sebaik saja suara Irsyad kedengaran di hujung talian.

            “Good morning sweetie,” kata Irsyad dengan suara yang sedikit serak.

            “Maaf, saya ganggu awak pagi-pagi macam ni.”

            “No worry dear.  Kan saya dah kata you are never a trouble.  Jangankan pagi, malam, senja, subuh, bila-bila masa saja telinga saya sudi mendengar suara merdu awak.”  Di hujung sana Irsyad tertawa kecil.  Di hujung sini pula Samirah merasa lega.

            “Did my call wake you up?”

            “Tak sayang, saya memang dah bangun… dan suka sangat bila dapat dengar suara awak pagi ini.” 

“Awak sedang buat apa tu?”  Samirah masih risau kalau-kalau dia mengganggu.

            “Saya sedang… berbaring di atas tilam empuk saya yang bersaiz king.  Saya… pakai pijama sambil sedang berbual dengan buah hati saya… dan…” sengaja ayatnya dihentikan di situ.

            “Dan apa?” soal Samirah dengan dadanya diiringi debaran kecil. 

            “Dan membayangkan awak sedang berbaring di sebelah saya… sambil…”  Irsyad ketawa kecil.

            “Irsyad!” 

            “Sambil jari-jari awak mengusap pipi saya… dan…”

            “Irsyad!  Enough!  Tak baik tau pagi-pagi cakap yang bukan-bukan.” 

Ketawa Irsyad semakin besar.  Keceriaan Irsyad melegakan Samirah.  Semalam mereka bertengkar, hari ini pagi-pagi lagi sudah bergurau.  Sudahnya hampir dua puluh minit dia berbual dengan Irsyad Rifqi.  Leganya hati apabila perbualan mereka banyak disulami dengan gurau senda dan gelak tawa.  Itu tandanya Irsyad tidak terasa hati dengan perbalahan kecil mereka semalam.

Samairah sedar kebelakangan ini mereka kerap berbalah.  Sudahlah berjauhan, bila berjumpa mereka bertengkar.  Bukannya Samirah sengaja mencari pasal, tapi dalam banyak keadaan Irsyad suka memaksa, cuba membuat keputusan untuk dirinya dan masih terus-terusan mendesak agar Samirah pulang saja ke KL.  Irsyad sama seperti Aidid, menganggap tindakannya cuba menyatukan semula mama dan papanya adalah tindakan yang sia-sia.

Habis berbual dengan Irsyad, Samirah turun dengan niat hendak menyiapkan sarapan.  Dia mahu mengalihkan fikirannya daripada memikirkan soal mama dan papa.  Cukuplah airmatanya tumpah bila melihat gambar-gambar yang memaparkan kemesraan papa dan Aunty Nadhrah.  Tiba-tiba telefon bimbit di dalam sakunya berbunyi.  Butang hijau ditekan dan salam yang diberi dijawab. 

“Kau… apa khabar?”

“Ira OK.”

“Kau balik hari ni kan?”

“Ya.”

“Dengan kereta?”

“Ya, Ira bawa kereta Aidid.”

“Kau bawa kereta seorang diri?”

“Ya.”

“Pukul berapa gerak dari KL?”

“Belum tau lagi, mungkin lepas makan tengahari.  Kenapa?”

Senyap.  Samirah pandang telefon.  “Abang Aish,” panggilnya selepas menunggu sekejap.

“Ah… ya.”  Itu saja jawab Aish.   Kening Samirah naik sebelah.  Apahal Abang Aish ni, tak pernah-pernah telefon.  Bila telefon macam pelik bunyinya.

“Aku… aku nak pesan… elok-elok bawa kereta.  Kau biasa ke drive seorang?  KL ke Penang tu jauh.”

“InsyaAllah Ira boleh.”

“OK.  Drive carefully.  Jumpa nanti.  Assalammualaikum.”

Salam dari Aish dijawab.  Telefon diletakkan di atas meja.  Wajah Aish terbayang di mata.  Agaknya hari ini Aish keluar tak?  Abang dan kakaknya balik semalam, tentu riuh rendah rumah Aunty Kelly dengan gelagat anak-anak dan cucu-cucunya.  Alangkah seronoknya kalau rumahnya juga riuh rendah, tidak sepi seperti sekarang.  Sejak mama pergi, rumah ini sepi dan tidak berseri lagi, bisik hati Samirah.

            “Papa dah beli sarapan.  Nasi lemak kukus Kak Bedah,” sapa Baharin yang baru muncul dari dapur.  Samirah berpaling.  Baharin cuba tersenyum namun Samirah nampak dengan jelas garis-garis duka yang mendiami wajah papanya.

            “Sekali sekala Ira balik, ingat nak buatkan papa sarapan, rupa-rupanya papa dah beli.”  Kata Samirah sambil duduk.  Nasi lemak dicapai.  Aroma nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang sungguh menyelerakan.

            “Siapa call tadi?  Aish?”  Soalan Baharin dijawab dengan anggukan kerana mulut Samirah penuh dengan nasi lemak.

            “Papa, boleh tak kalau Ira nak tinggal dengan mama?”  Soalan diajukan bila mulutnya sudah kosong. 

            “Kenapa tak nak tinggal dengan Khalilah?  Dia orang sekeluarga tak layan Ira dengan elok?”

            “Eh, taklah papa.  Aunty Kelly dan Uncle Sam sangat baik.  Anak-anak dia orang pun baik.  Cuma Ira rasa lebih baik duduk dengan mama.  Di rumah tu ada Abang Aish.  Ira… kurang selesa.”

            Baharin panggung kepala.  “Kenapa?  Aish ada buat benda tak elok pada kamu ke?”

            “Ish papa ni, ke situ pulak.  Taklah, Abang Aish tu OK.  Dia tu pelik.  Kadang-kadang garang, kadang-kadang kekwat, kadang-kadang baik.  Ira kena jaga aurat Ira, depan dia… depan Uncle Sam.  Jadi Ira rasa lebih baik tinggal dengan mama.”

            Baharin mengangguk.  Lega hatinya mendengar penerangan Samirah.  “Papa tak ada masalah, bergantung kepada mama Ira.  Kalau dia benarkan, Ira tinggallah dengan mama.  Tapi seelok-eloknya habiskan dulu bulan ni di rumah Khalilah.  Bila dah duduk dengan mama nanti sekali sekala jenguklah Aunty Kelly.  Jangan lupa jasa dia menumpangkan kamu di rumahnya.”

            Samirah mengangguk sambil tersenyum.  Memang dari awal dia yakin papa tidak akan menghalang dia tinggal bersama mamanya.

            “Berapa lama Ira nak tinggal di Penang?”  Soalan Baharin membuahkan riak kehairanan di wajah Samirah.  Sepatutnya berapa lama dia tinggal di Penang bukan lagi isu kerana dia boleh tinggal dengan mama.

            “Irsyad Rifqi ada bagi tau papa, dia nak jadikan kamu isterinya.”  Nasi yang sudah dikunyah tidak jadi ditelan.  Wajah papanya direnung lama-lama.  Dadanya tiba-tiba berdebar.

            “Papa kata papa tak ada masalah terima dia sebagai menantu papa.  Aidid pun sukakan Irsyad.  Tapi kata putus ada pada Ira.  Kalau Ira dah sukakan Irsyad, papa rasa eloklah kalau kamu berdua…”

            “Papa,” ayat Baharin dipotong.  Samirah menggelengkan kepalanya.  “Ira belum sedia nak jadi isteri Irsyad.  Ira sukakan dia tapi ada perkara lain yang Ira nak usahakan dulu.”

            “Apa?  Nak satukan mama dengan papa?  Jangan paksa mama kamu Ira.  Tak ada gunanya kalau mama kembali kepada papa sebab dia terpaksa.”

            Wajah Samirah berubah.  Kata-kata papanya sama seperti kata-kata Aidid malam tadi.  “Papa dengan Aidid sama saja.  Kenapa tak percaya Ira boleh usahakan untuk satukan keluarga kita?  Kalau papa betul-betul sayangkan mama, kenapa papa tak pergi ke Penang dan pujuk mama?”  Ada nada marah dalam suara Samirah.  Wajah papanya dijeling sebelum pandangannya dikalihkan ke arah lain.

            “Sebab… papa tak layak untuk mama Ira.  Papa dah ragut kepercayaan mama terhadap papa.  Dan satu lagi sebab, yang Ira belum faham…  mencintai seseorang tidak bererti kita akan memiliki orang yang kita cintai.” Ada getaran dalam suara Baharin.  Matanya tidak bersinar.  Samirah terasa kerongkongnya kesat dan matanya panas bila melihat wajah duka papanya.

            “Apa yang sudah terjadi tak boleh dibalikkan.  Janganlah Ira abaikan hak Ira untuk bahagia dengan Irsyad kerana nak memperbetulkan keadaan antara mama dan papa.  Irsyad lelaki yang baik.  Papa yakin dia boleh jaga Ira.  Papa nak Ira fikirkan tentang niat murni Irsyad.”

            Samirah diam.  Wajah Irsyad Rifqi menjelma di depan mata, berselang seli dengan wajah mamanya. 



Tangan Aidid disalami sambil dia berpesan agar Aidid menjaga papa.   Sejak melihat gambar papa dan Aunty Nadhrah, Aidid langsung tidak bercakap dengan papa.  Aidid mengangguk. 

“Aku rasa bersalah pada mama dan aku marah sangat dengan papa.”  Suara Aidid serak dan sebak.  Samirah rapat ke abangnya dan belakang Aidid diusap.

            “Kirim salam pada mama.  Nanti aku datang Penang.”  Samirah mengangguk.  Dia sendiri pun masih bersedih sebenarnya, namun disingkirkan sekejap kesedihan itu.  Bahu Aidid dipaut.  Baharin berdehem, mengisyaratkan dia sudah muncul di luar.  Samirah pergi ke arah papanya dan menghulurkan tangan untuk bersalam.  Baharin menarik anak gadisnya ke dalam pelukan.  “Maafkan papa.  Tolong jangan bencikan papa.” 


            Dua ayat yang diucapkan cukup untuk melunturkan kemarahan dalam hati Aidid.  Bapa dan adiknya dirapati dan dia merangkul tubuh mereka erat-erat.  

No comments:

Post a Comment