Sunday 25 May 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 35

Assalam dan haix3 kawan-kawan dan pembaca blog Isma.

Mohon ampun beribu ampun sebab lambat upload bab seterusnya.  Minggu sebelum ni saya masuk hospital.  Minggu lepas adik saya pula.  Dia masih di IJN, ada masalah jantung bengkak.  Pohon doa kawan2 semoga adik saya sembuh segera.

Suka tak wajah baru blog ni?  Terima kasih Aimi kerana merubah paras wajah blog Isma.  Harap u ols suka ya rupa baru ni.

JGBH akan diupload di blog sampai Bab 36.  Cerita ni masih panjang sebenarnya.  Isma nak tanya, kalau Isma buat dalam versi e-book, u ols sudi beli tak?  Harga dalam RM10-RM15 gitu.  Bagi tau ya sudi beli tak?

Buat Sharifah, thanks for your words of encouragement.  Rasa lega lepas chat dengan awak.

Selamat membaca u ols!  I hope you enjoy this chapter.



Bila Aish sampai di rumah, kereta MyVi putih yang digunakan Samirah belum sampai.  Mana dia pergi, hatinya bertanya.  Sejak dia balik semalam, Aish belum sempat berbual dengannya.  Ketika dia sampai, Aish keluar berjumpa dengan Luna.  Perjumpaan terakhir untuk menamatkan percintaan mereka.  Bila Aish pulang dari berjumpa dengan Luna, dia sudah memerap dalam biliknya.  Aish pun masa itu tidak ada mood hendak bercakap dengan sesiapa, waima dengan mama dan papanya sekali pun.

            Salam diberikan kepada Khalilah yang sedang menonton tv.  Aish melabuhkan punggung di sebelah mamanya.  Kepalanya disandarkan di atas sofa, di sisi mamanya. 

“Ira belum balik?” soal Aish. 

 “Kalau keretanya tak ada, maknanya dia belum baliklah.”  Khalilah tersenyum.  Dulu bukan main tak suka, sekarang macam orang rindu bunyinya, bisik hati Khalilah.

            “Nak minum?  Ada kopi atas meja tu.”  Kata Khalilah.  Aish balas dengan gelengan.   Matanya melekat pada skrin tv yang sedang menayangkan sinetron Indonesia yang menjadi kegemaran mama, tetapi fikirannya jauh melayang.

            Suara orang memberi salam kedengaran serentak dengan bunyi pintu dibuka dari luar.  Aish segera berpaling.  Wajah manis Samirah yang menyapa matanya segera membuahkan senyuman di bibir.  Khalilah yang memerhatikan Samirah berbisik dalam hati “kan bagus kalau dapat menantu secantik dan selembut Ira.”

            Selepas mandi Samirah terus ke dapur membantu Aunty Kellynya berhidang.  Tidak lama kemudian mereka berempat makan.  Berselera Aish makan dan Khalilah perasan riak wajah anak bongsunya lebih ceria berbanding ketika dia baru balik kerja tadi.

            “Mama, papa… Aish ada benda nak cakap,”  ujar Aish selepas habis meneguk segelas air.  Pinggannya sudah licin.  Khalilah pandang wajah anaknya dengan penuh minat.  Samsudin yang baru habis membasuh tangan panggung kepala.  Samirah yang duduk di sebelah Khalilah turut angkat muka. 

            “Aish… dengan Luna… dah putus.”  Suaranya lirih.  Matanya direndahkan, memandang ke arah pinggannya yang sudah kosong.  Khalilah berhenti menyuap makanan.  Dalam hati dia bersyukur kerana memang itu yang dimahukan selama ini.  Namun di wajah dipamerkan riak simpati terhadap apa yang berlaku kepada Aish.

            “Tak apalah Aish.  Ada ramai gadis yang lebih baik dan lebih sesuai untuk Aish.”  Khalilah memujuk.  Aish mengangguk.  “Aish nak minta maaf… kalau masa Aish tengah couple dengan Luna, Aish ada kecilkan hati mama dan papa.” Samsudin menepuk bahu anak bujangnya. 

Samirah pula rasa canggung.  Dia rasa dia tak sepatutnya berada di situ dan mendengar perbualan mereka sekeluarga.  Tapi ke mana pula dia hendak pergi.  Nasi dalam pinggannya masih tinggal tiga suapan.  Matanya direndahkan.  Sesuap nasi dimasukkan ke dalam mulut.  Bila wajahnya diangkat, matanya bertembung dengan mata Aish.  Menular rasa simpati terhadap Aish di sudut hatinya. 

Bohonglah kalau Aish tidak sedih apabila cintanya dikhianati.  Hampir lapan bulan dia menjalin cinta dengan Luna, masakan tidak terasa bila percintaan itu putus di tengah jalan.  Namun dalam kesedihan Aish merasa lega selepas mengkhabarkan kepada mama dan papanya.  Bahunya terasa ringan dan dadanya terasa lapang selepas dia memohon maaf kepada mereka.  Dan ketika matanya dan mata Samirah bertaut, hatinya merasa nyaman.


           
Hai Aidid, kau tak pernah hantar servis ke kereta ni, soal Samirah dalam hati.  Sudah beberapa kali dia menghidupkan enjin tetapi gagal.

            “Kenapa,” soal Aish yang baru muncul.  Dia kelihatan segak dengan kemeja ungu muda dan tali leher dari rona yang hampir sama.  “Enjin tak boleh start,” kata Samirah.

            “Bagi aku cuba.”  Samirah keluar dari kereta.  Aish mencuba beberapa kali namun usahanya gagal menghidupkan enjin kereta Samirah.  Samsudin keluar apabila mendengar bunyi kereta dihidupkan berkali-kali.

            “Bateri habis kot,” ujar Samsudin.  Aish buka bonet depan kereta dan memeriksa enjin.  Samirah datang ke sebelahnya dan turut melihat keadaan enjin.  “Ira pergi kerja dengan Aish.  Tinggalkan kunci.  Nanti uncle panggil mekanik datang sini periksa dan kalau perlu, terus repair kereta kamu.”

            “Maaflah Uncle, Ira terpaksa susahkan Uncle.”  Samirah rasa serba salah untuk menerima cadangan Samsudin.  Tapi bila matanya melihat jam di tangan dia tahu dia tiada pilihan.  Kalau dia terus menunggu dia akan sampai lambat ke pejabat.  Samirah masuk ke dalam kereta Aish.

            Selepas agak lama masing-masing mendiamkan diri Aish bersuara “dapat jumpa buah hati masa balik KL?”

            “Dia jemput Ira di airport.  Aidid pandai-pandai saja suruh Irsyad jemput Ira.” 

            “Baguslah, itu maknanya Aidid sukakan dia juga.”

            “Papa pun sukakan dia.  Rupa-rupanya dia ada datang jumpa papa dan bagi tau nak masuk meminang.  Papa dah beritahu dia papa setuju, asalkan Ira juga setuju.”

            Jeda.  Aish tekun memandu.

            “Selagi Ira belum berjaya satukan mama dan papa, Ira tak mau terikat dengan sesiapa pun.  Ira percaya kalau Irsyad betul-betul nak Ira, dia akan sanggup tunggu.  Ira pun percaya mama dan papa boleh bersatu semula kalau Ira usahakan betul-betul.”  Samirah sambung bercerita bila Aish hanya mendiamkan diri.

            “Betullah tu.” 

            “Apa yang betul?”

            “Yang kau cakap tadi, betullah.  Kalau buah hati kau betul-betul ikhlas nakkan kau, dia akan bersabar dan sanggup tunggu kau.  Kalau kau usaha sungguh-sungguh, dan berdoa sungguh-sungguh untuk kedua orang tua kau, dengan izin Allah dia orang akan rujuk semula.”

            Samirah berpaling memandang Aish.  Matanya bersinar.  “Ulang balik apa yang Abang Aish cakap tadi.”  Aish mengerutkan dahi.  Kebetulan mereka sedang berhenti di persimpangan berlampu isyarat, jadi dapatlah dia memandang wajah Samirah.

            “Cakaplah apa yang Abang Aish cakap tadi.”

            “Aku kata, kalau buah hati kau tu ikhlas nak kan kau, dia akan sanggup tunggu kau.  Bukan setakat tunggu, dia akan sokong dan tolong kau.  Kalau kau usaha sungguh-sungguh, kau doa, insyaAllah papa dan mama kau akan bersatu semula.  Banyak kes pasangan yang dah bercerai mereka rujuk semula.  Jadi tak mustahil papa dan mama kau pun akan rujuk semula.”

            Samirah tersenyum.  “Abang Aish rasa salah ke tindakan Ira untuk cuba satukan mama dan papa?”

            “Tak.”  Jawab Aish sepatah.  Senyuman Samirah semakin lebar.  Hari ini, buat pertama kalinya ada seorang manusia yang menyokong usahanya.  Buat pertama kali juga dia merasakan Aish sudah tidak kekwat lagi.  Agaknya dulu dia kekwat sebab dia kena control dengan girlfriend dia, teka hati Samirah.  Teringin hendak tahu kenapa dia putus dengan perempuan tu, tapi Samirah tahankan rasa ingin tahu. 

            “Tak nak keluar ke?”  soal Aish bila Samirah masih kaku di tempat duduknya.   

            “Oh, sorry.  Terima kasih tumpangkan Ira.  Maaf, Ira terpaksa susahkan Abang Aish.”

            “Sama-sama.  Kau memang suka susahkan aku pun.  Dah bawa kereta ke Penang pun kena aku hantarkan pergi kerja. Dah, cepat keluar.  Aku nak pergi kerja.”            Tidak ada perasaan marah, bengang, sakit hati dan yang sewaktu dengannya bila telinganya menangkap setiap patah perkataan yang Aish tuturkan.  Sebaliknya Samirah hanya tersenyum sambil membuka pintu kereta dan keluar.  Aish kehairanan melihat Samirah yang murah dengan senyuman pagi ini. 



Sehelai tudung jenis Syria dan sehelai selendang dipilih.  Sehelai jubah potongan payung berwarna kuning susu dengan corak polka dot di hujung lengan dan kaki juga sudah dibeli.  Kata Aish pagi tadi, pendapat Aidid bahawa lebih penting bagi Samirah memujuk agar mamanya kembali berhijab juga betul.  Jadi petang ini selepas bekerja Samirah cepat-cepat pergi ke sebuah butik muslimah untuk membeli tudung dan jubah. 

Aish bukan setakat menghantarkan, malah menemanimya membeli pakaian tersebut.  Hari ini hari kedua dia menumpang Aish pergi dan balik kerja, sementara kereta MyVi Aidid diperbaiki.  Rupa-rupanya bukan masalah bateri, tapi masalah pada altenator.  Menurut Samsudin, petang ini siaplah kereta itu. 

            “Nah.  Aku hadiahkan untuk mama kau.”  Kata Aish sambil menghulurkan sehelai tudung bawal half moon kepada Samirah.

            “Terima kasih” kata Samirah sambil tersenyum. 

            “Kau nak pergi rumah mama kau hari ni?”  soal Aish sambil mereka berjalan keluar dari butik tersebut.

            “Tak.  Esok Ira pergi.  Mama kata hari ni dia sibuk, ada pelanggan yang dah buat appointment.”
           
“Kenapa tak pergi saja ke spa mama kau?”  soal Aish.  Baru semalam dia mengetahui Aunty Latifah sekarang mengusahakan spa.  Spa itu dikongsi bersama seorang rakan.

“Nak pergi macam mana, mama tak bagi tau di mana spa tu.  Lagi pun Ira tak mau ganggu mama di tempat dia mencari rezeki.”  Mereka berjalan menuju ke eskalator.  Samirah terpandang sebuah kopitiam.  Terbayang pula roti bakar dan teh ais.

“Ira nak belanja Abang Aish boleh?” 

“Kenapa nak belanja aku?”

“Mesti ada sebab ke untuk belanja Abang Aish?”

“Mesti.”

“Habis tu Abang Aish hadiahkan tudung untuk mama, apa sebabnya?”

“Sebab aku sokong usaha kau.”  Jawapan Aish buat Samirah tersenyum.  “Ira nak belanja Abang Aish sebab Abang Aish sokong usaha Ira.  Dah, jomlah.  Nanti kalau kita lambat balik Aunty risau pulak.”

Secara spontan lengan Aish ditarik.  Aish mengikut tapi sampai depan kopitiam langkahnya mati.  Dia berdiri kaku melihat Luna dan Syed Iqbal bergelak ketawa.  Samirah yang memandang Aish dengan rasa hairan cuba mencari apakah yang sedang diperhatikan oleh Aish.

“Itu Luna.  Yang rambut perang tu.”  Kata Aish sebelum berpaling dan berjalan ke arah eskalator.  Samirah melihat ke arah perempuan berambut perang.  Seperti pernah dilihat wajah itu.  Selepas beberapa detik dia dapat mengingati perempuan itulah yang melanggar kereta Aidid.

“Abang Aish.”  Samirah memanggil dan berlari anak mengejar Aish yang sudah pun berdiri di atas eskalator, naik ke atas untuk menuju ke tempat keretanya diparkir.  Nampak jelas di matanya wajah Aish berubah.



Wajah muram Aish sekejap-sekejap menerpa mindanya.  Tadi Aunty Kelly datang ke biliknya untuk bertanya kalau-kalau Samirah tau apa sebabnya Aish muram.  Serba salah Samirah dibuatnya.  Tak cerita, terasa menipu.  Nak cerita, tak banyak yang dia tau.  Namun setelah difikirkan diceritakan juga kepada Aunty Kelly.  Sekarang Samirah rasa risau.  Marahkah Aish kalau dia tau Samirah sudah menceritakan peristiwa petang tadi kepada mamanya? 

Samirah turun dari katil.  Tudung yang tersangkut di kerusi dicapai dan dilekatkan di kepalanya.  Pintu bilik dibuka dan dia berjalan ke arah bilik Aish.  Tangan sudah diangkat tapi dia tak jadi mengetuk pintu.  Perlukah perkara itu dibincangkan sekarang?  Tunggu sajalah esok.  Tapi esok aku akan pergi kerja sendiri, petang nak pergi ke rumah mama.  Balik dah malam.  Ish, ketuk sajalah pintu tu Ira, bisik hatinya.  Tangan diangkat semula.  Baru hendak diketuk, pintu ditarik dari dalam.  Samirah terkedu sejekap.  Matanya dan mata Aish bertemu.  Ish, dia ni ada six sense ke?

“Hah, buat apa tercongok depan bilik aku ni?”  Soal Aish.

“Err… Ira… err… Abang Aish belum tidur?”

“Kalau aku dah tidur, takkan aku tidur sambil buka pintu.”  Nada suaranya mendatar tapi wajahnya masih kelam.  Tadi sepanjang perjalanan balik dia tak bercakap.  Sampai rumah dia terus naik ke atas.  Selepas Maghrib dia turun makan tapi tak bercakap sepatah pun.  Habis makan dia naik ke atas dan memerap dalam bilik. 

“Kau nak berdiri di sini sampai esok ke?” soal Aish.  Samirah berganjak ke tepi.  Aish keluar dan terus turun ke bawah.    Samirah turut turun.  Aish sedang menghidupkan tv.  Agaknya ada perlawanan bola yang hendak ditonton, hati Samirah meneka.  Samirah berlalu ke dapur.  Alang-alang sudah masuk dapur, dia menjerang air.    Sebaik saja air mendidih, Samirah membancuh cokelat panas dan dibawa ke ruang menonton.  Tapi Aish tiada di situ.  Tv dibiarkan hidup, dua orang komentator sedang berbual tentang bola sepak.  Samirah berjalan ke arah meja makan.  Di situ Aish sedang termenung.

            “Ira buatkan Abang Aish hot chocolate.”  Tegur Samirah sambil mug berisi cokelat panas diletakkan di sisi Aish.  Wajah muram Aish dijeling sebelum dia melabuhkan punggung depan Aish.

“Ira minta maaf pasal petang tadi.”  Aish angkat kepalanya dan wajah Samirah dipandang dengan renungan tajam.              “Kalau Ira tak paksa Abang Aish pergi kopitiam tu, tentu Abang Aish tak akan nampak dia.”  Samirah merendahkan pandangannya, tak berani melihat wajah Aish lama-lama. 

            “Sebelum ni pun aku dah pernah nampak.  Lebih teruk dari petang tadi.  Berpeluk, berlaga pipi, berpaut pinggang.  Tapi dulu aku tengok dengan mata saja.  Sekarang aku tengok dengan mata hati.  Aku sayang dia.  Tapi dia khianati cinta aku.”  Kata Aish.  Cokelat panas diteguk.

            “Dalam hati aku cuma ada dia.  Tapi dalam hati dia rupa-rupanya aku wujud bila dia perlukan aku saja.  Jadi driver dia, teman dia shopping, bayarkan barang-barang branded yang dia gilakan.  Dan dia gunakan aku sebagai umpan… untuk dapat lelaki yang lebih kaya.  Kenapa semua perempuan nak berlakikan lelaki kaya?  Kenapa aku bodoh sangat, tak nampak helah dia selama ni?”  Ada nada kecewa yang sangat mendalam ketika dia bercakap.  Aish meraup mukanya.  Terlepas satu keluhan dari bibirnya. 

            “Abang Aish, sabar ya.  Mungkin Allah bagi Luna kepada Abang Aish kerana Allah mahu beri pengajaran… atau mungkin juga Allah pinjamkan dia sebab Allah nak bagi seorang yang lebih baik untuk Abang Aish.”  Aish panggung kepala.  Wajah lembut dan polos Samirah direnung.  Cokelat panas diteguk lagi. 

            “Tadi… Aunty Kelly tanya.  Ira ceritakan pasal petang tadi.  Ira harap Abang Aish tak marah.”  Tiada jawapan dari Aish.  Samirah bangun.  Ketika dia sudah berjalan ke arah tangga, Aish memanggilnya.

            “Terima kasih.”  Kata Aish.  Mug diangkat dan dihalakan ke arah Samirah.  Dadanya yang berat sejak petang tadi kini terasa ringan.

            

No comments:

Post a Comment