Monday 31 March 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 28


Dari arah lif kedengaran derap sepatu.  Samirah dan Aish sama-sama berpaling ke arah datangnya bunyi.  Susuk tubuh yang sedang berjalan menghampirinya sangat-sangat Samirah kenal.  Kakinya segera melangkah ke arah orang yang paling ingin ditemuinya.


“Mama!”


“Ira!”  Langkah Latifah terhenti.  Nafasnya seolah-olah terhenti juga.  Rasa sebak pantas menguasai hati.  Latifah tahu saat ini pasti akan terjadi.  Tidak selamanya dia boleh menghilangkan diri.  Dia tahu Samirah yang cekal pasti akan berjaya menemuinya.


“Mama,  Ira rindu mama.”  Dengan suara yang bercampur sendu, Samirah pantas meluru ke arah Latifah dan tubuh mamanya segera dirangkul erat.  Latifah membalas rangkulan Samirah.  Matanya terasa panas.


“Kenapa mama tinggalkan kami?”  soalan ditanya sambil diiringi tangisan.  “Mama dah tak sayang Ira lagi?  Mama dah tak sayang papa dan Aidid?  Kenapa ma?” Kepalanya dilentokkan di atas bahu mamanya.  Tubuh mama dirangkul erat-erat, seolah-olah tak mahu dilepaskan.


“Sampai hati mama buat Ira macam ni.”  Tangisan Samirah belum reda.  Latifah menolak lembut bahu anak gadisnya agar wajah Samirah dapat ditatap.  Airmata Samirah diseka dengan jarinya.


“Ira, mama sayang Ira dan Aidid.  Mama rindu Ira.  Setiap yang terjadi adalah ketentuan dari Allah.  Ada sebab kenapa mama berpisah dengan papa.  Ada hikmah atas semua ini.  Jom kita masuk, nanti mama ceritakan.”


Tangan Samirah dipimpin menuju ke pintu.  Melintas di hadapan Aish, Latifah berhenti.  Dia senyum ke arah Aish.  Aish menghulurkan tangan untuk bersalam.


“Aish kan?” soal Latifah kerana dia kurang pasti apakah pemuda yang menemani Samirah ini Aish Mirza atau Jefri Mirza.


“Ya aunty.  Apa khabar aunty?”


“Sihat.  Marilah masuk sekali.”


Aish tidak berganjak dari tempat dia berdiri.  Mukanya dikalihkan ke arah Samirah.  Kebetulan Samirah juga sedang memandang ke arahnya.  Mata mereka bertembung.  Dari renungan mata Samirah, Aish faham apa yang Samirah mahukan.


“Tak apalah Aunty, saya balik dulu.  Tentu Ira dan aunty ada banyak perkara yang nak diceritakan.  Nanti saya datang balik ambil Ira.”


Latifah mengangguk.  Memang betul, alang-alang sudah bertemu dengan Samirah akan diceritakan semuanya.  Dia tidak perlu berahsia dengan Samirah.


“Ira, nanti bila kau dah ready nak balik, call aku.”


Mata mereka bertaut lagi.  Wajah sedih Samirah menimbulkan satu perasaan aneh dalam hati Aish.  Lama Samirah memandangnya hinggakan dia pula merasa kekok.  Aish segera berpaling untuk pergi.


“Abang Aish.”


Langkah dimatikan.  Aish berpaling.  Samirah datang menghampirinya.


“Tolong jangan bagi tau aunty Kelly dan uncle Sam yang Ira dah jumpa mama,” kata Samirah separuh berbisik.  Aish mengangguk walaupun dalam hati bertanya kenapa Samirah mahu perkara itu dirahsiakan.


“Terima kasih,” ujar Samirah sebelum berpatah balik ke arah pintu apartment yang sudah terbuka.  Aish melangkah pergi, diiringi satu perasaan aneh yang menyusup perlahan-lahan dalam hatinya.

“Dalam sebuah rumahtangga, cinta saja tidak cukup untuk menjamin kebahagian dan mengekalkan sebuah perkahwinan”  ujar Latifah dengan penuh keyakinan.  Rambut Samirah diusap dengan lembut.  Kepala Samirah yang terlentok di atas peha mamanya berpaling.  Walaupun masih berbaring, dia boleh nampak wajah mamanya dengan jelas.


            “Ira tak faham.  Mama dan papa dah kahwin lama.  Takkan masih tak memahami antara satu sama lain.”


            “Itulah masalahnya Ira.  Bila kami dah lama berkahwin, papa mengambil mudah tentang perasaan mama, kononnya mama tak kisah.  Tapi apa yang sebenarnya tersorok dalam hati mama, tak pernah ditanya.”


            “Kenapa mama tak berterus terang dengan papa tentang apa yang mama rasa?”


            Latifah diam.  Wajah Samirah ditenung lama.  Alangkah bagusnya kalau Samirah dapat melihat ke dalam hatinya.  Tentu lebih mudah baginya menerangkan kepada Samirah kenapa perceraian harus terjadi antara dirinya dan Baharin.


            “Papa tak ambil berat.  Bila mama kata mama bosan, dia kata carilah aktiviti untuk hilangkan kebosanan.  Bosan yang mama maksudkan bukan bosan kerana banyak masa terluang.  Tapi mama bosan kerana antara mama dan papa sudah tak ada keintiman.”


            “Susah Ira nak percaya.”  Dengan tegas dan yakin Samirah berkata.  Kepalanya diangkat dari ribaan mamanya.  Dia duduk di sebelah mama dengan rasa tak puas hati. 


            “Papa penyayang, lembut dengan kita semua.  Memang papa selalu sibuk, tapi bila dia ada masa dia akan luangkan dengan kita.  Apa yang papa tak ambil berat tentang mama?”


            Latifah melepaskan satu keluhan berat.  Memang dia sudah mengagak Samirah tak akan percaya dengan mudah.  Aidid pun begitu, tak mau mempercayai ceritanya.  Tak mengapalah, akan sampai masanya kebenaran pasti terbukti. 


            “Selama ni Ira nampak mama dan papa bahagia.  Ira tengok mama dan papa saling menyayangi.  Mama tak pernah merungut pasal papa.  Papa pun sama, tak pernah complain tentang mama.  Ira tengok papa sayangkan mama dan mama sayangkan papa.  Macam mana pula mama kata papa tak ambil berat, tak ada keintiman lagi dan tak ada persefahaman?  Ira betul-betul tak faham ma.”


            “Ira.”  Suara Latifah bernada lembut.  Rambut Samirah yang hitam mengurai melepasi bahu diusap.  Kemudian bahu Samirah dirangkul.


            “Bukan semua yang Ira nampak menggambarkan realiti hubungan mama dan papa.  Di sebalik apa yang Ira nampak, banyak juga yang Ira dan Aidid tak nampak.  Demi kamu berdua, mama simpan semuanya… sampai…”


            Suara Latifah sudah bernada sebak.  “Sampai… mama… tak mampu bertahan lagi.”


            Air jernih menitis dari pelupuk mata Latifah.  Ingatan kembali kepada Baharin.  Suami yang dinikahi ketika dia berusia sembilan belas tahun.  Baharin cinta pertama, yang fikirnya akan berakhir dengan hembus nafas terakhir.  Namun, panas yang diinginkan terhenti dek hujan yang turun di tengahari.  Kalau sekadar hujan, mungkin mampu dihadapi.  Namun badai yang melanda rumah tangga mereka.  Segagah hatinya dia menempuh badai, hingga akhirnya dia mengaku kalah. 


            “Mama,” air mata Samirah kembali bergenang.  Rasa simpati menular, berselirat dengan rasa ingin tahu yang amat kuat.  Namun Samirah mengingatkan dirinya agar bertenang dan bersabar.  Biarkan mama bercerita mengikut kemahuannya sendiri.  Tiada apa yang perlu digegaskan.  Dia punya banyak masa untuk menanti mama menyingkap rahsia di sebalik perpisahan dengan papa. 


            “Percayalah Ira, mama tak pernah berubah.  Walaupun antara mama dan papa sudah tak ada ikatan, mama tetap hormatkan dia sebagai bekas suami mama.  Kasih sayang mama pada Ira dan Aidid tak surut walau seinci pun.”


            Samirah genggam tangan mamanya kuat-kuat.


            “Sebab itulah Ira sedih bila Ira balik mama tak ada.  Ira perlukan mama, untuk dengar cerita Ira, untuk pujuk Ira bila Ira marah dan sedih.  Ira nak kongsi dengan mama macam-macam perkara, about work, about the guy I’m seeing, about so many things ma.  Tapi bila Ira balik, hati Ira hancur.  Bercerai satu perkara, melarikan diri dari Ira pun satu hal juga.  Ira sedih bila berkali-kali Ira call mama tak jawab.  Ira rasa mama tak perlukan Ira lagi, sedangkan Ira sangat-sangat perlukan mama.”


            “Maafkan mama sayang.  Mama tau Ira mesti marah, tapi mama terpaksa.  Buat sementara waktu mama sengaja mahu menjauhkan diri dari Ira.  Mama tau Ira pasti akan cari mama.  Sebab itulah mama sekadar berpindah ke Penang, supaya Ira boleh cari mama.”


            “Kenapa mama tak tinggal saja di KL?  Apa mama buat di Penang ni?”


            Latifah diam.  Dia berfikir, haruskah diceritakan sekarang, atau nanti saja?  Bagaimana nanti penerimaan Samirah?  Hatinya gusar mengenangkan perkara itu, walaupun dia sedar lambat laun harus diceritakan juga.


“Ira, dah nak maghrib ni.  Apa kata kita bersiap-siap untuk solat.  Lepas solat kita makan dan lepas tu mama hantar Ira balik rumah aunty Kelly?”  Latifah cuba mengubah topik.


Ada riak tidak puas hati di wajah Samirah.  Latifah memaniskan wajahnya sambil mengusap lembut bahu anak gadisnya.


“Nanti mama sambung cerita.”


“Baiklah.  Boleh tak Ira tidur di sini malam ni?  Ira nak tinggal dengan mama.”


Latifah menggeleng.  Samirah mengerutkan dahinya.


“Mama rasa lebih baik Ira balik ke rumah Aunty Kelly.  Biarlah Ira dengar cerita mama sampai habis, lepas tu baru kita bincang.  Hal menetap di rumah Aunty Kelly tu papa Ira yang uruskan.  Mama tak mau papa salah anggap nanti.”


Dalam keterpaksaan Samirah mengangguk.  Satu keluhan dilepaskan.  Kepalanya dilentokkan di bahu Latifah.  Rindu bukan kepalang terhadap mama.




Selepas berfikir seketika, Aish memutuskan dia hendak pergi ke Gurney Plaza.  Malaslah balik rumah, nanti mama tanya pasal Ira apa aku nak jawab.  Tadi Ira pesan jangan ceritakan dulu.  Aish meneka mungkin Samirah malu dengan penampilan mamanya.  Lain sungguh penampilan Aunty Latifah tadi berbanding Aunty Latifah yang ditemui dua tahun lepas.  Ke mana perginya hijab dia?  Walaupun dia masih cantik, Aish lebih gemarkan wajahnya yang dibaluti hijab.


            Sampai di Gurney Plaza Aish merayau-rayau dalam komplek membeli belah tersebut.  Niatnya dia mahu pergi ke sebuah kedai barangan sukan.  Kasut joggingnya sudah uzur, elok sangatlah dia dapatkan sepasang kasut yang baru. 


            Usai membeli sepasang kasut jogging, Aish menuju ke sebuah kedai  kopi terkemuka.  Mahu membasahkan tekak sementara menunggu Samirah memanggilnya.  Aish memesan segelas latte, air kopi yang mula digemari sejak dia berkawan dengan Luna. 


            Ketika matanya menyorot ke arah gelas berisi latte, ingatannya berkalih kepada Luna.  Rasa bengang terhadap Luna belum surut.  Kelmarin dia tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas terlewat sepuluh minit.  Bukan dia sengaja, seperti biasa Samirah lambat keluar daripada pejabat.  Bila diceritakan kepada Luna sebab dia lambat, Luna terus marah.


            “Sampai bila you mesti hantar dan jemput budak tu?”  wajah Luna yang keletihan nampak garang, ditambah pula dengan suaranya yang tinggi.


            I tak tau.”


            I tak suka.  I tak nak you hantar dan jemput dia lagi.  You are not her driver Aish.  Lagi pun you dah besar.  Takkan benda macam ni pun you have to listen to your parents?  Dah banyak kali I cakap your parents is over controlling you.  I suruh pindah you tak nak.  You said you love me, but you are not listening to me!”


            Bebelan Luna tidak dihiraukan.  Sebaliknya Aish terus memandu.


            “Sampai bila you nak biarkan your parents control your life?  Dengan gaji you tu, takkan you tak mampu sewa flat ke, apartment ke?”


            Aish tetap diam.  Dalam hatinya sudah berputik rasa rimas dengan bebelan Luna tapi kalau dilayan nanti makin teruk jadinya.  Jadi lebih baik dia diam saja. 


            “Yang budak perempuan tu pun satu.  Kalau tak ada duit nak beli kereta, naik bas sajalah.   I rasa dia sengaja nak ambil kesempatan atas diri you, dan you pulak senang-senang saja biarkan dia mempergunakan you.  Tak cukup parents you mengarah you itu ini, budak tu pun sama!”  Luna melipat lengan di dada.  Ini bukan kali pertama Aish lambat dan dalam masa dua minggu ini, penyebab kelewatan Aish ialah dua pupunya itu.


“Aish, do you hear me?”  suara Luna naik lagi.  Geram betul dia dengan Aish yang buat derk saja terhadap tegurannya.


            Yes I hear you.  You ni, I lambat sepuluh minit saja, bukannya sepuluh jam.  Yang you membebel ni apa hal?  Tak cukup ke you bercakap buat announcement dalam kapal terbang, you nak sambung bercakap kat atas darat pulak.”


            Buntang mata Luna bila mendengar jawapan yang terbit dari mulut Aish.  You tau kan I tak suka orang lambat.  I penat tau.  I nak cepat-cepat balik, nak rehat.”


            “Bukannya I sengaja nak lambat.”


            I tak peduli you sengaja ke tidak.  I nak mulai minggu depan you jangan tumpangkan budak tu lagi.  Hantar I balik teruslah.  I penat sangat ni, tak ada selera nak makan.”


            Dahi Aish berkerut.  Apa masalah si Luna ni, benda kecil pun nak diperbesarkan.  Baguslah kalau tak jadi pergi makan, aku pun penat juga, bisik hati Aish.


            “Kalau you penat, I suggest you keep quiet.  Lagi banyak you membebel, you jadi lagi stress and stress will make you feel more tired.”


            Ayat yang Aish lepaskan dengan selamba buat hati Luna semakin panas.  Selama dia bercinta dengan Aish, belum pernah Aish buat dia rasa marah seteruk ini.  Wajah kacak Aish ditenung dengan mata yang tajam.  Satu keluhan berat dilepaskan sebelum dia memalingkan wajahnya ke arah tingkap. 


            Kalau aku tau jadi macam ini, baik aku terima tawaran Syed Iqbal yang beria-ia nak datang menjemput aku di airport, getus hati Luna.  Sabar Luna, sikit masa saja lagi apa yang kau hajatkan pasti tercapai, bisik hati Luna memujuk dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment