Sunday 16 March 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 25

Hari bekerja terakhir untuk minggu ini.  Bermakna juga hari ini merupakan hari kelima Samirah bekerja di Penang.  Samirah teruja bila Jumaat datang, sebab esok cuti.  Selain dapat bangun lambat sikit, Samirah juga tak perlu duduk sekereta dengan Aish dan mendengar peringatan daripada Aish agar dia tidak lewat petang nanti.

Sesuatu yang mengejutkan bila perjalanan ke tempat kerja hari ini tidak diiringi dengan bebelan dan peringatan dari Aish agar dia tidak lewat.  Aish tidak bercakap walau sepatah pun.  Kejutan di waktu pagi berlarutan pula hingga ke petang.  Aish setia menunggu di hadapan bangunan kolej.  Samirah tiba di bawah 7 minit terlewat dari waktu yang Aish tetapkan, tapi Aish diam saja.  Dan sepanjang perjalanan balik ke rumah, Aish macam pagi tadi, tak bercakap walau sepatah.

Aish turut masuk ke rumah selepas Samirah masuk.  Khalilah tersenyum melihat Aish.  Mungkin Luna sudah bertugas semula, hati Khalilah meneka.  Malam itu Khalilah bertambah gembira bila Aish turut makan malam bersama.  Berselera Aish makan nasi dengan lauk sambal tumis sotong, pajeri nenas dan sayur bayam. 

            “Esok Jefri dan Ain balik.  Apa nak dimasak ya?”  Khalilah bertanya ketika mereka sedang menikmati makan malam.  Samirah tak pasti sama ada soalan itu untuk Uncle Sam atau Aish. 

            “Buat nasi ayam Kel.  Dah lama awak tak buat nasi ayam.”

            Khalilah mengangguk. 

“Ajaklah Luna makan tengahari di sini esok.”  Kata-kata mamanya membuatkan Aish mengangkat kepala.  Dalam hatinya bersarang rasa hairan.  Sejak dia mengenali Luna, inilah kali ketiga mama mengajak Luna makan di rumah mereka.  Pelik, mama dah suka Luna ke? 

            Aish sekadar mengangguk.  Sejak dia meninggalkan majlis semalam, belum lagi Luna menghubunginya untuk bertanyakan kenapa dia balik cepat.  Lagilah bertambah sakit hati Aish bila Luna tak pedulikannya.  Dia sengaja tak mahu menghubungi Luna kerana hendak tunggu apa tindakan Luna.

            “Lepas ni kita ke masjid Aish,” ajakan papanya membuatkan fikiran Aish kembali ke alam nyata.  Imbasan wajah Luna dan tingkah lakunya di majlis semalam segera menghilang dari fikirannya. “OK papa,” jawab Aish ringkas, namun cukup untuk membuat Khalilah dan Samsudin tersenyum.

           

Riuh rendah kediaman Samsudin dan Khalilah bila anak, menantu dan cucunya berkumpul.  Ain Mirza pulang bersama suaminya Kamal dan anaknya Liana.  Setengah jam kemudian Jefri Mirza pula sampai bersama anak-anaknya Adam yang berusia lima tahun, Faiz yang berusia tiga tahun dan isterinya Maya.

Sudah menjadi kelaziman mereka sampai dekat-dekat waktu makan tengahari.  Khalilah tak kisah anak dan menantunya tak membantu di dapur.  Dia faham mereka juga perlu menguruskan hal anak-anak mereka sebelum pulang ke rumah Khalilah. 

Tugas memasak menjadi lebih mudah dengan kehadiran Samirah.  Gadis manis kecil molek itu ringan tangan. Tanpa disuruh dia turut menyinsing lengan baju untuk menolong Khalilah menyediakan juadah makan tengahari.  Usai memasak Samirah juga tolong berhidang.  Sambil berhidang Samirah berbual-bual dengan Ain. 

“Wah, Ira sekarang dah cantik.  Dah jadi anak daralah katakan.  Ira dah ada boyfriend?” dengan selamba Ain bertanya ketika mereka sama-sama menghidangkan nasi ayam di atas meja.

“Kawan biasa adalah Kak Ain.” Jawab Samirah.  Tapi saat itu juga wajah Irsyad Rifqi terbayang di mata.  “Orang lawa macam kamu ni tak ada boyfriend?  Susah nak percaya.”  Ain menyambung perbualan.  Samirah hanya tersenyum. 

 “Masa kat US tu apasal tak sambar sorang mat salih?”  Tiba-tiba Jefri menyampuk.  Dia menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya.   Tangannya mencapai sehiris timun dari pinggan besar yang baru saja Samirah letak di atas meja.

“Abang Jef, Ira pergi sana untuk belajarlah.  Tak berani Ira nak bercinta, takut papa marah.”  Jefri tersengeh.  “Rugilah.  Abang masa kat US dulu, sempat bercinta dengan dua orang makwe.  Dua-dua orang minah saleh.” 

“Eleh, Along tu gatal.  Bercinta dengan minah saleh konon, dapat bini Melayu juga.”  Ain yang bersuara.  Samirah tersenyum mendengar dua beradik itu bergurau senda.

“Bercinta tu untuk cari pengalaman.  Bila dah berkawan dengan ramai orang, baru kita tahu orang macam mana yang kita suka dan sesuai untuk dijadikan pasangan hidup.  Bukan macam Aish ni, baru dapat pramugari seorang dah cintan cintun tak ingat dunia.”

Samirah perasan riak wajah Aish yang baru sampai di meja makan berubah bila Jefri berkata begitu.  Dalam hatinya merasa seronok bila lihat wajah Aish berubah.  Padan muka kau, bisik hatinya.

“Luna tak datang ke Aish?  Kan mama suruh ajak dia makan tengahari?” soal Khalilah yang baru sampai di sisi meja makan dengan sedulang gelas.  Bukannya dia sudah mula sukakan Luna tapi dia mahu Ain dan Jefri melihat sendiri kerenah Luna.  Sebelum ini Jefri pernah berjumpa sekali dengan Luna manakala Ain belum pernah. 

“Luna kerja hari ni.”  Aish berbohong.  Takkanlah nak bagi tahu mereka dia sedang berperang dingin dengan Luna.

Sambil makan mereka berbual.  Ain dan Jefri banyak berbual dengan Samirah.  Kebetulan Jefri juga belajar di Louisiana State University, jadi banyaklah yang diborakkan dengan Samirah.  Aish sekadar mendengar.  Tiba-tiba dia rasa tak seronok kerana hanya mampu menjadi pendengar.  Ish Along dan Angah ni, macamlah Samirah saja yang ada di meja makan sekarang, hatinya merungut.  Samirah ni pun bukan main mesra lagi dengan Along dan Angah.  Kalau dengan aku bukan main berat lagi mulut dia.  Hati Aish terus mengomel. 

“Sedapnya masakan mama.” Kata Ain sambil mencedok sesenduk nasi ayam ke dalam pinggannya.  “Abang nak tambah lagi?” ditanya kepada suaminya Kamal.  Kamal mengangguk lalu satu senduk nasi juga dituangkan ke dalam pinggan Kamal.

“Aish pun nak tambah,” ujar Aish sambil menghulurkan pinggan ke arah  Ain.  Satu sendok nasi masuk dalam pinggan Aish.

“Hai Aish, bukan kau dah tak minat dengan makanan tempatan?”  Jefri menyoal dengan nada mengejek.  Aish rasa macam nak tumbuk abang sulungnya.  Selera tengah ada boleh jadi mati bila diejek begitu. 

“Alah kalau dah perut bendang tu, mana boleh tak makan nasi.  Orang Melayu dengan nasi tak boleh dipisahkan.  Kecualilah kalau terasa diri tu setaraf mat salih.”  Kali ini papanya sendiri yang mengejek.  Merah muka Aish menahan rasa bengang.  Namun dia tetap meneruskan suapan.  Rugilah kalau dia berhenti makan, nasi ayam mama memang tersangatlah sedap.


Makan bersama, solat juga haruslah bersama.  Itu peraturan yang sudah Samsuddin tetapkan setiap kali anak menantunya balik.  Jadi mereka beramai-ramai bersolat Zuhur berjemaah.  Kamal, menantu lelaki tunggal mengimamkan solat.  Samirah yang keuzuran terus berada di dapur.  Tangannya lincah membersihkan dan mengemas dapur.

Usai bersolat mereka sekeluarga melepak pula di ruang menonton TV.    Sambil menonton TV, mereka berbual.  Biasanya sehinggalah sekitar pukul empat.  Selepas itu mereka akan ke ruang makan sekali lagi untuk minum petang.  Kalau Khalilah rajin dia akan sediakan sendiri juadah minum petang.  Tapi hari ini juadah minum petang akan dibeli saja dari gerai goreng pisang dan kuih muih yang berderet di jalan masuk ke kawasan perumahannya.

            Kebetulan Aish ada, suruh sajalah Aish pergi beli.  Dan bila terpandang wajah Samirah, muncul satu idea di benak Khalilah yang hari ini hatinya gembira kerana Aish turut sama berada di rumah.  Banyak kali juga bila Ain dan Jefri balik Aish tiada kerana dia lebih pentingkan berdating dengan Luna daripada berkumpul dengan abang dan kakaknya.

            “Ira, tolong Aunty boleh?”  Samirah yang sedang berbual dengan Maya berpaling memandang ke arah Khalilah.

            “Tolong temankan Aish pergi beli kuih untuk minum petang.”  Permintaan Aunty Kelly yang baik hati bukanlah susah untuk dipenuhi.  Tapi pergi dengan Aish yang kekwat adalah satu perkara yang kalau boleh Samirah hendak elakkan. 

            “Jom cepat.”  Aish melaung dari pintu.  Samirah segera menuju ke pintu.  Alamak, tak sempat nak mengelak.  Pergi sajalah Ira, bukannya mati pun.  Tahankan saja mulut pedas si kekwat tu.  Harap-harap dia tak cakap apa-apa, Samirah bercakap dalam hatinya.

            “Kita jalan kaki?”  soal  Samirah bila Aish sudah keluar melalui pagar kecil. 

            “Yalah.  Bukannya jauh.  Sebelum pintu gerbang masuk ke taman ni saja.  Takkan orang muda macam kau ni tak larat jalan?”  Samirah mengetap bibir.  Dia ni, aku tanya salah.  Tak tanya pun salah.  Tak pernah kah sesiapa bagi tau si kekwat ni mulut dia macam longkang?  Samirah mengomel dalam hati sambil berjalan di belakang Aish.

            “Kau ni apasal lembap sangat?  Tak boleh jalan cepat sikit ke?”  Aduh, berdesing telinga Samirah menahan bisa mulut Aish.  Sudahlah cuaca panas, kena sembur pula dengan mulut bisa Aish, apa lagi hati Samirah pun terbakar.  Langkahnya dilajukan sehingga dia menyaingi Aish.  Wajah Aish dikerling dengan ekor mata.  Kalau diikutkan hati mau saja dilepaskan satu penumbuk ke bibir Aish.  Biar lebam.  Kalau bibir dah lebam mungkin kurang sikit si kekwat ni bercakap.

            Tidak sampai sepuluh minit kemudian mereka sudah berada di hadapan sederet gerai yang menjual berbagai jenis kuih muih.  Terliur Samirah melihat beraneka kuih yang dijual.

            “Apa kita nak beli?” soalan Aish membuatkan Samirah terkedu.  Bukan kerana soalan yang ditanyakan tapi kerana cara soalan itu ditanyakan.  Nada suara Aish mendatar.  Tiada nada marah, tiada nada sinis, tiada juga nada mengarah.  Rasanya inilah kali pertama sejak Samirah menetap di rumah Khalilah Aish bercakap dengan elok kepadanya.

            “Errm, kita beli popiah basah,” Samirah cepat-cepat menjawab bila dia perasan mata Aish sudah mula merayap ke sekitar wajahnya.  Tak sanggup dia membiarkan si kekwat merenung dia lama-lama.

            Sudahnya mereka membeli popiah basah, cakoi, talam ubi, kuih ketayap dan karipap.  Samirah rasa seperti membeli di pasar Ramadhan pula.  Terkenangkan pasar Ramadhan, hatinya menjadi sayu.  Dulu di setiap bulan Ramadhan, restoran mama juga meriah dengan berbagai jenis kuih.  Bukan mama yang buat, tapi dihantar oleh beberapa orang suri rumah yang mencari rezeki dengan menjual kuih muih.  Mama cuma mengambil sedikit dalal dari hasil jualan kuih.

            Leka melayan fikiran, Samirah tak perasan dia sudah berjalan di tengah-tengah jalan raya.  Aish yang berjalan di hadapan tiba-tiba merasa tak sedap hati.  Bunyi deruman kereta mewah jenis sport pantas menangkap telinganya.  Aish berhenti melangkah dan berpaling. 

            “Ira!”  Aish menjerit sambil meluru ke arah Samirah.  Dengan sebelah tangan dia menarik Samirah sekuat hati ke tepi jalan.  Sebaik saja Samirah berjaya ditarik, sebuah kereta Masserati berwarna oren melintasi mereka dengan laju.

            “Gila!  Dalam kawasan perumahan pun nak bawa laju-laju!”  Rungut Aish sambil matanya memandang ke arah kereta yang sudah jauh meninggalkan mereka.  Bengang betul dia dengan perbuatan si pemandu yang memandu laju sesuka hati.  Tahulah awak tu bawa kereta sport berkuasa tinggi, tapi tak payahlah bawa laju-laju dalam kawasan perumahan.

“Abang Aish.”  Panggilan dengan suara yang lembut mempersonakan telinganya membuatkan Aish berpaling ke arah pemilik suara yang entah bila sudah berada dalam dakapannya.  Agaknya tadi ketika dia berjaya menarik Samirah, tangannya yang sebelah lagi pantas merangkul pinggang Samirah sambil beg-beg plastik berisi kuih muih digenggam kemas.

Mata Aish merayap ke wajah Samirah yang kelihatan pucat, mungkin kerana terkejut dengan apa yang baru saja terjadi.  Sebelah tangan Samirah mengurut dadanya manakala yang sebelah lagi tanpa sedar sedang berpaut di atas bahu Aish.  Samirah angkat muka dan pandang Aish.  Aish pandang Samirah.  Samirah terkejut.  Aish terkedu.

“Abang Aish,” Samirah memanggil lagi.  Suaranya kedengaran di telinga Aish seperti berbisik.  Terasa sedap di telinganya bila dipanggil begitu.  Dahi Samirah berkerut.  Dia mahu meminta Aish melepaskan rangkulan kemas di pinggangnya.  Tapi renungan mata Aish membuatkan lidah Samirah kelu.

“Lain kali jangan berangan sambil berjalan!”  Samirah dilepaskan.  Kasihan juga melihat wajah Samirah pucat tak berdarah.  Mesti makan masa nak hilang rasa terkejut tu.

“Dan satu lagi, jangan perasan aku nak peluk kau.  Tiang lampu tu lagi sedap dipeluk daripada kau!”  Aish sambung berjalan.  Samirah menarik nafas dalam-dalam.  Ingat tadi nak ucapkan terima kasih pada Aish, tapi sekarang dia rasa nak hantuk kepala Aish dekat tiang lampu tu. 



“Kau OK tak?”  Suara itu buat Samirah berpaling.  Perlahan-lahan dia mengangguk dan kemudian berpaling semua ke arah singki.  Kepala paip dipusingkan. Tuala kecil yang disangkutkan di dinding sebelah singki diraih untuk mengeringkan tangan yang baru dibasuh.

            “Muka tu pucat lagi.”  Nada suaranya mendatar. 

            “Ira…  rasa terkejut tu ada lagi.”  Kata mulut.  Kata hatinya apahal kau sibuk pulak?  Tadi bukan main lagi marah aku, sekarang boleh pun cakap elok-elok.

            “Nah, minum.”  Baik pulak dia, tak pernah-pernah hulurkan aku air.  Hati Samirah berbisik namun mug berisi teh ‘o’ panas dicapai dari tangan Aish.  Terasa sedikit lega bila teh dihirup perlahan. 

            “Nasib baik aku ada, kalau tidak engkau dah leper kena lenyek dengan kereta tu tadi.”  Berdesing semula telinga Samirah.  Tapi nada suara dia mendatar, renungan mata dia lembut dan teh ‘o’ yang diberikan oleh Aish terasa menyegarkan.  Sabar sajalah Ira.  Ada betulnya cakap dia.  Yang kau mengelamun sampai berjalan di tengah jalan siapa suruh.

            “Tu tadi teringatkan buah hatilah tu,” sinis pula nada suaranya sekarang, seolah-olah mengejek.  Samirah merenung tepat ke dalam mata Aish, cuba mencari apa yang tersirat dalam hatinya.  Samirah hairan bagaimana dia boleh berubah, sekejap kekwat, sekejap baik, dan lepas tu kekwat semula.

            Samirah sedar dia sepatutnya berterima kasih kepada Aish.  Tapi hatinya membara dengan perasaan bengang campur geram campur sedih.

            “Ira teringatkan mamalah.  Ira bukan macam sesetengah orang tu, kemaruk bercinta.”  Langkah diatur untuk keluar dari dapur.

            “Kau sindir aku?”  Aish berdiri di depannya, menghalang laluan.

            “Siapa makan mentos, dialah terasa berangin,” kening diangkat, kaki dihanyun menghala keluar.  Samirah bertembung dengan Uncle Sam yang baru masuk ke dapur. 

 “Peribahasa sekarang dah tak pakai cili ya, pakai mentos pulak.” kata Samsuddin yang sempat mendengar perbualan akhir antara Samirah dan Aish.  Samsuddin senyum sambil menunjukkan ibu jarinya dalam isyarat ‘bagus’ kepada Samirah.  Aish tarik muka sambil menjeling papanya.

No comments:

Post a Comment