Friday 21 March 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 26


Masuk petang Ahad, bila abang, kakak, ipar duai dan anak saudaranya sudah balik, Aish terasa sunyi. Mama dan papa sudah keluar.  Samirah, entah apa dibuatnya, lantaklah.  Aish tak minat nak tau.  Rasa bengang terhadap Samirah belum surut.  Baik Along, Angah, Kak Maya dan Abang Kamal semuanya suka Samirah.  Aish rasa mereka lebih tumpukan perhatian kepada Samirah.  Buat penat saja dia tak keluar, bukannya mereka berbual dengan dia.  Anak-anak saudaranya pun bukan main suka dengan Samirah, walaupun kali pertama berjumpa.   Lebih menambah sakit hati papa pun sokong Samirah!  Ish, tak patut sungguh dia orang ni.


Entah fius apa yang ada dalam kepalanya, bila rasa sakit hati pada Samirah datang, dia teringat pula kepada Luna.  Bila teringatkan Luna, baru dia sedar dia rindukan Luna.  Rindunya lain macam.  Walhal selalu dia berjauhan daripada Luna yang sibuk terbang ke sana ke mari.  Mungkin kerana dia mahu Luna memujuknya, meminta maaf dan bertanya tentang hatinya yang terluka.  Dan Luna bagaikan mengerti, bila akhirnya nama Luna tertera di skrin telefon.


“Sayang…. I rindukan you.  Kenapa you terus balik malam tu?”  Suara manja Luna yang merengek di hujung talian menggugat hati keras Aish.


“Dah you tak layan I, buat apa tunggu lagi?”


“Bila pula I tak layan?”


You tinggalkan I, pergi menggatal dengan Syed.  Bukan tak layan I namanya tu?”


“Aish dear, you ni macam tak faham kerja I.  I kan duta projek kondo mewah tu.  Sebagai duta, I kena layan potential buyer yang sudah disasarkan oleh syarikat.  You tau tak, disebabkan layanan I, Syed terus tempah 3 unit kondo.  Masyuk tau.  Komisyen tu bolehlah I simpan untuk majlis kahwin kita nanti.”


“Sayang, I miss you soooo much.  I nak jumpa you.  Malam ni I dah kena kerja.” Luna terus memujuk dengan suara yang dimanjakan dan diseksikan.  Hati Aish semakin sejuk.  Hebatnya penangan cinta, dalam marah-marah merindu juga.  Habis saja perbualan dia keluar untuk bertemu dengan Luna.  Dapatlah jumpa Luna dalam 3 jam, sebelum Luna perlu bersiap untuk bekerja.  Ada penerbangan malam ke KL, dan dari KL sambung ke Kota Kinabalu, balik semula ke KL dan entah ke mana lagi. 


Malam itu Aish tidur dengan lena dan hati yang tenang.  Segala penerangan Luna ketika berdating tadi diterima.  Dia mengaku kepada Luna dia cemburu melihat Luna bermesra dengan lelaki lain.  Reaksi Luna hanyalah ketawa dan dengan yakin dia berkata dia tak kisah Aish cemburu kerana itu tanda cinta Aish kepadanya seteguh cinta Luna kepada Aish.  Hati Aish yang keras pantas saja melebur dengan godaan manja Luna.



Minggu kedua Samirah bekerja di Pulau Pinang. Masih lagi dia menumpang kereta Aish Mirza untuk pergi dan balik kerja. Bermakna juga sudah dua minggu dia menadah telinga mendengar segala rungutan dan leteran Aish.


“Lambat lagi!” keras nada suara Aish bila Samirah memasuki keretanya lebih kurang jam 5.50 petang.   


“Kau tak ingat ke pagi tadi aku kata jangan lambat? Petang ni aku dah janji dengan Luna nak jemput dia pukul tujuh di airport.   Ni dah lambat, aku jugak yang kena marah dengan Luna nanti. Luna tu pantang kalau aku lambat sikit, merajuk berhari-hari jadinya. Aku jugak yang teruk kena pujuk dia. Susah sangat ke kau nak punctual?”


Aish membebel. Samirah mendiamkan diri. Dalam hati berdoa agar jalanraya tidak sesak petang ini agar mereka cepat sampai rumah. Kalaulah dia bersayap, mahu sahaja dia meloncat keluar dari kereta ini dan terbang ke rumah. Dah tiga hari mood Aish elok, petang ini meroyan semula.  Betullah kata Aunty Kelly, Kak Ain dan Abang Jefri, kalau Luna ada di Penang, Aish macam cacing kepanasan. 


Telefon di dalam beg berbunyi. Bagus juga ada panggilan, boleh mematikan bebelan Aish Mirza. Samirah tersenyum tatkala melihat nombor papanya di skrin. Salam diberi dan kemudian dia bertanya khabar papa. Selepas itu Samirah diam. Lama diamnya, mendengar dengan penuh khusyuk apa yang dibicarakan oleh papanya.


“Papa, boleh tak papa mesejkan alamatnya? Ira dalam kereta sekarang, tak ada pen dan kertas. Boleh..?” Belum sempat Samirah menghabiskan ayatnya, Aish menghulurkan sebatang pen yang ditarik daripada kocek bajunya.


“Papa sekejap,” segera Samirah mencapai pen tersebut. Butang speaker di telefon ditekan. Kemudian dia mengorek begnya mencari kertas. Terjumpa sekeping resit. Diterbalikkan resit tersebut.  “OK papa, apa alamatnya?” Dan jari-jari Samirah cergas menyalin alamat yang diberikan oleh papanya.



Samirah membaca semula alamat di atas resit yang dia perolehi daripada papanya semalam. Teluk Bahang, di mana tempat ini ya? Jauhkah dari sini? Kalau dekat aku boleh pergi sendiri, tetapi kalau jauh bagaimana hendak ke sana, aku bukannya ada kenderaan. Semua persoalan itu berlegar di minda Samirah.


Dia turun dari katil lalu bergerak ke meja tulis. Komputer riba dihidupkan. Modem jalur lebar dicucuk di sisi komputer ribanya. Sebentar kemudian dia melayari laman Google dan membuka beberapa laman sesawang yang disenaraikan oleh Encik Google setelah kata carian “teluk bahang” ditaip.


Setelah komputer ribanya dimatikan, Samirah segera keluar. Niatnya mahu memberitahu Aunty Kelly bahawa dia ingin meminjam kereta Aunty Kelly pada hari Sabtu nanti. Aunty Kelly tiada.  Baru pukul sepuluh setengah malam. Lazimnya di waktu begini Aunty Kelly dan Uncle Sam menonton tv bersama-sama, selepas balik dari surau.  Samirah bergerak ke tingkap. Langsir diselak sedikit dan dia mengintai keluar. Kereta Uncle Sam tidak kelihatan, maknanya mereka berdua mungkin belum balik.


“Intai apa tu?” suara garau yang menegur dari belakang membuatkan Samirah terkejut hingga terjerit kecil. Dia berpaling. Aish Mirza dengan wajah serius memandang tepat ke arahnya dengan pandangan yang tajam. Samirah mengurut dadanya sambil menjeling ke arah Aish.  Bila masa dia ni balik?  Petang tadi kata nak ambil girlfriend dia di airport, tak berdating ke lepas ambil girlfriend tu?


“Tak reti ke nak bagi salam dulu? Buat orang terkejut saja,” marah Samirah.


“Suka hati akulah nak bagi salam ke tidak.” Seperti biasa jawapan yang keluar daripada mulut Aish Mirza pasti menyakitkan hati.


“Aunty Kelly mana?”

           

“Nak buat apa cari Mama aku?”

           

“Nak pinjam kereta.” Dengan jujur Samirah memberitahu.


“Buat apa?” Aish menyoal dengan wajah masam mencuka. Matanya bulat merenung wajah Samirah. Dia mara beberapa tapak mendekati Samirah. Tindakan yang menimbulkan rasa tidak senang di hati Samirah kerana dia sedar hanya mereka berdua di rumah ketika ini.


“Tak apalah,” jawab Samirah ringkas dan bergerak ke kanan, mahu meninggalkan ruang tamu. Aish turut bergerak ke kiri, menghalang laluan Samirah. Samirah mula rasa cuak. Apahal si kekwat ni, main haling-halang orang pula. Getus hatinya. Risau juga, dalam keadaan berduaan begini, kalau-kalau makhluk dilaknati Allah memainkan peranan menghasut niat jahat ke dalam hati Aish.


“Cakap dulu, kenapa nak pinjam kereta Mama?” Aish kini bercekak pinggang di hadapannya.


“Ira nak pinjam kereta Aunty, bukan kereta Abang Aish. Yang Abang sibuk kenapa?” Samirah mula hilang sabar. 


“Kau duduk rumah aku, jangan nak berlagak ya. Apa yang aku tanya, jawab.” Aish Mirza melangkah setapak ke hadapan, mendekati Samirah. Debaran mula terasa di dada Samirah. Jantungnya berdegup kencang. Terasa wajahnya membahang, tidak pasti apakah kerana marah atau gugup dek kedudukan Aish Mirza yang sangat hampir dengannya.


Rasa marah dan takut bersilang dalam hati.  Tetapi malam ini Samirah tidak akan mengalah. Selama ini dia bersabar dengan sikap Aish.. Diangkat wajahnya, mendongak sedikit memandang muka Aish.


“Kalau Ira tak nak jawab?” entah dari mana datangnya keberanian, Samirah menuturkan soalan yang bagaikan mencabar kesabaran Aish. Dia yakin Aish tidak akan berani mengapa-apakannya. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, kaki mengundur setapak ke belakang.


Aish pula maju ke depan, memaksa Samirah berundur lagi. Senyuman sinis tersungging di pinggir bibirnya. Nak main-main dengan aku ya, kau belum kenal siapa Aish Mirza, hatinya berbisik. Selama hari ini tak berani menjawab, malam ni kau nak tunjuk terror ya. 

Aish menundukkan kepala, merapatkan wajahnya dengan Samirah. Samirah terpempan. Jantung berdegup semakin laju. Ingin berundur lagi namun langkahnya tersekat kerana belakangnya sudah tersandar pada dinding. Tidak sanggup lagi menatap renungan Aish yang bagaikan menembusi jantungnya, ditutup matanya rapat-rapat. Tidak pernah mukanya serapat ini dengan muka mana-mana lelaki. Keberanian yang tadinya menggunung, kini ranap. Terasa menyesal menurut kata hati.


“Ira” lembut suara Aish memanggil, terdengar dekat di telinganya. Mujurlah dia bertudung, jika tidak pasti hembusan nafas Aish akan terasa di telinganya. Jari Aish kini lekat di dagunya, menjungkitkan mukanya ke atas.


“Betul ni kau tak nak jawab?” soal Aish. Samirah membuka mata dan serentak itu air jernih menitis dari kelopak matanya. Rasa takut menyelubungi dirinya. Walaupun wajahnya kini mendongak, anak matanya dilarikan ke bawah, tidak sanggup menentang renungan Aish.


“Ira... Ira nak pergi... cari... mama” akhirnya dijawab pertanyaan Aish, dengan suara yang tersekat-sekat dan diselangi esakan. Dengan segala kudrat yang ada, ditolak dada Aish dan pantas dia berlari ke biliknya.  Aish kaku. Matanya hanya mampu melihat Ira berlari dan menghilang. Terasa bagaikan satu ketulan besar tersekat di kerongkongnya.




Perjalanan ke pejabat yang mengambil masa 20 minit terasa bagaikan 20 jam bagi Aish.  Selama ini dia tak pernah terasa kekok duduk berdua dalam kereta dengan Samirah.  Yang dia rasa hanyalah marah.  Marah kerana dia rasa dia macam pemandu, setiap hari menghantar dan mengambil Samirah. Paling dia tak suka bila kena tunggu Samirah yang sentiasa lambat keluar dari pejabat. 


Memang mereka sangat-sangat jarang berbual sepanjang perjalanan pergi dan balik. Namun pagi ini terasa amat janggal. Aish tahu dia bersalah dalam hal ini. Niatnya hanya mahu menyakat, tidak disangka dia telah menakutkan Samirah.   Aish rasa Samirah bukan setakat takut, malahan dia marah dengan Aish.  Apabila keretanya berhenti di hadapan kolej, Samirah terus keluar. Tiada ucapan terima kasih dan lafaz “assalammualaikum”, seperti lazimnya. 


Situasi yang sama berterusan di waktu petang. Aish memandu sambil berlagak tenang, namun di sudut hati tersisip rasa bersalah yang amat mendalam.  Dia sedar tindakannya malam tadi sangat keterlaluan.  Samirah bukan lagi gadis kecil yang boleh disakat dan antara dia dan Samirah ada batas aurat dan pergaulan yang perlu dijaga.


“Bila nak pergi cari mama kau?” akhirnya Aish memulakan bicara. Samirah berpaling. Direnungnya Aish yang sedang memandu. Betul ke dia tanya ni, hati Samirah berbisik. Aish juga berpaling, dan saat matanya menangkap renungan mata Samirah, dia tahu kesilapannya malam tadi sangat besar.


“Dengar tak aku tanya tadi?” soal Aish, tetapi kini dengan nada lembut, tiada nada tegang atau sinis seperti lazimnya.  Tetap tiada reaksi dari Samirah.


“Ira, jangan cari pasal boleh tak? Jawab sajalah soalan aku. Aku tak mahu kita bergaduh macam malam tadi.”  Samirah bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Si kekwat ni tersalah cakap ke? Apa yang terjadi malam tadi bukan salah aku, kekwat ni yang mulakan dahulu.


“Ira,” kali ini Aish melunakkan suaranya.  “Lusa.” Akhirnya Ira menjawab.


“Pukul berapa?”


“Pagi.”


“Aku bawakan kau pergi.”


Samirah menoleh ke arah Aish yang tetap memandang ke hadapan. Biar betul kekwat ni, aku tak minta tolong, dia sendiri menawarkan diri. Rasa was-was mula bersarang dalam hati. Entah-entah dia nak kenakan aku, bisik hatinya.


“Tak apalah, Ira pergi sendiri.”


 “Tengok alamatnya,” pinta Aish sambil tangannya disuakan ke Samirah.


Samirah pandang Aish lagi. Mata Aish tetap ke jalanraya, tetapi tangan sebelah kiri disuakan ke Samirah. Akhirnya dengan perlahan Samirah keluarkan resit dari dalam beg tangannya dan diberikan kertas kecil itu kepada Aish. Setelah membaca tulisan di atas resit itu, Aish kembalikannya kepada Samirah.


“Aku minta maaf.”  Samirah menoleh lagi ke kanan. Dahinya berkerut, matanya membulat memandang Aish.  “Pasal malam tadi, aku minta maaf.” Bagaikan mengerti apa yang bermain di minda Samirah, Aish ulangi permohonan maafnya.


“Aku tak sengaja. Don’t worry, it won’t happen again.”


Tak sengaja konon! Samirah mencebik.

No comments:

Post a Comment