Wednesday 26 March 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 27

Assalam dan hai3 semua.

Ramai yang tanya Isma bila Irsyad Rifqi nak muncul.  Maaf ya, kenalah u ols rindu lama sikit dengan Irsyad sebab kalau ikut plotting, lagi 2-3 bab baru Irsyad muncul.  Untuk bab kali ini kita ikuti dulu kisah Ira, Aish dan mama Ira.

Irsyad's fan:  jangan marah ya......



BAB 27
Dada Samirah tidak berhenti berdegup dengan kencang.  Riak gementar terpancar di wajahnya.  Berbagai perasaan bersatu dalam hatinya.  Dia berdoa agar mama masih seperti mama yang dulu.  Wajahnya manis dan lembut, tuturnya sopan walaupun orangnya lincah, dan gayanya sederhana. 


            Kakinya menggeletar sedikit ketika mencecah tanah.  Paluan di dada yang bermula sebaik saja kereta Aish memasuki perkarangan Apartment Bukit Pelangi semakin kuat.  Samirah mendongak ke atas.  Tingkat tujuh, bisik hatinya.


            “Jom,” kata Aish yang tau-tau sudah ada di sebelah Samirah.  Aish tenung wajah Samirah dan timbul rasa simpati dalam hatinya.  Dari kereta, ke lif dan akhirnya sehingga lif tiba di tingkat tujuh Samirah tidak bersuara langsung. 


Ketika langkahnya tinggal kira-kira 2 meter daripada unit yang katanya diinapi mama, Samirah berhenti.  “Kau OK tak?”  Aish bertanya selepas beberapa saat.  Dia tidak tau apa nak buat bila melihat Samirah bagaikan teragak-agak untuk meneruskan langkahnya. 


            “Abang Aish… tunggu Ira kat sini.  Ira pergi seorang,” disuarakan.  Kalaulah betul Mama sudah tidak bertudung, biarlah dia saja yang melihatnya.  Dia malu kalau Aish nampak mamanya tanpa hijab. 


Selepas tiga kali Samirah menekan loceng dan hampir lima minit dia tercongok di depan pintu, Samirah sedar nasibnya tidak baik hari ini.  Dengan langkah longlai dia mendekati Aish.


“Mama kau tak ada?” soalan Aish itu dijawab dengan anggukan saja.  Samirah terus berjalan menuju ke lif.  Riak kecewa terpamer jelas di wajahnya.  Aish menuruti dari belakang. 

 “Petang nanti kita datang lagi.  Mudah-mudahan mama kau ada di rumah petang nanti.”  Entah kenapa laju saja ayat itu meluncur dari bibir Aish sambil tangannya kemas memegang stering.


“Betul?”  Samirah bertanya. 


“Betul.”


“Tak menyusahkan Abang Aish ke?”


“Kalau menyusahkan, tak adalah aku offer nak bawa kau datang sini lagi petang nanti.”  Kata-kata Aish buat Samirah tersenyum nipis. 


“Kau ada nak pergi mana-mana tak?”  Kali ini soalan Aish buat Samirah berpaling dan memandang lama ke arah Aish.


“Ira cuma nak jumpa mama.”  Akhirnya Samirah menjawab dengan nada perlahan dan lemah.  Harap-harap dapatlah jumpa Mama, hatinya berbisik.


“Kan aku dah kata tadi petang nanti kita datang lagi.  Sekarang ni, kau ada nak pergi mana-mana tak?  Aku tengah free ni, kalau kau nak jalan-jalan pusing Penang aku boleh bawakan.”  Nada suara Aish Mirza sudah naik tinggi sedikit.  Geram sikit dengan Samirah kerana lain ditanya, lain dijawab.  Samirah sungguh keliru dibuatnya.  Apahal baik sangat dia ni?  Masih rasa bersalah agaknya kerana menyakat aku hari tu.  OK, memandangkan dia dah offer lebih baik diterima tawaran dia.  Lagi pun kalau balik rumah aku akan terfikirkan mama dan akan buat aku lebih sedih, fikir Samirah dalam hatinya.




Tidak lama kemudian mereka pun sampai di Rumah Kelahiran P Ramlee yang terletak di Georgetown.  Samirah terus masuk ke dalam rumah yang masih dikekalkan dalam bentuk asal.  Semua barang-barang pameran, gambar-gambar, poster dan segala yang digantung di dinding rumah diperhatikan Samirah dengan penuh minat dan tekun.   Di luar rumah basikal tua yang pernah digunakan oleh P Ramlee juga ditenung dengan penuh minat.  Usai di situ Samirah masuk pula ke Galeri P Ramlee.  Aish mengikut saja ke mana Samirah pergi.  Sebenarnya dia sendiri belum pernah sampai ke sini walaupun sudah hampir dua tahun dia menetap di Penang. 


Usai di rumah P Ramlee Aish mengajak Samirah pergi ke Rope Walk di Lorong Kulit.


“Rope Walk?  Tempat apa tu?”


“Rope Walk ialah pasar lambak yang famous kat Penang.  Macam-macam barang orang jual.  Jomlah cepat.”


Samirah pantas berjalan menyaingi Aish.  Dia tak pernah dengar pasal Rope Walk.  Rupa-rupanya di tempat ini ditempatkan ramai peniaga yang menjual barang-barang terpakai.  Macam-macam ada, kamera dan telefon bimbit, duit-duit lama, buku dan majalah, barang-barang permainan, barang-barang tembikar dan berjenis-jenis barangan terpakai dan barangan antik dijual di situ.  Satu pengalaman yang menyeronokkan bagi Samirah bila berpeluang meninjau berbagai barangan yang dijual. 


“Nah.”  Ketika Samirah sedang leka memerhatikan piring hitam lama yang dipamerkan oleh seorang penjual, Aish datang menghulurkan sebiji gelas plastik mengandungi air limau asam boi.


“Terima kasih.”  Ucap Samirah. 


“Ada ke orang nak beli benda ni?” soalan ditanyakan sambil Samirah merapatkan sikit wajahnya ke wajah Aish.  Niatnya hendak berbisik agar soalan itu tidak didengari oleh si penjual. Tak semena-mena Samirah ditolak dari belakang.  Tubuhnya melanggar tubuh Aish dan pipinya dan pipi Aish berlaga.  Air limau asam boi tertumpah sedikit membasahi dada Aish.


“Eh, apahal kau ni?”  Aish yang terkedu seketika tatkala pipinya melekat dengan pipi Samirah segera menjarakkan tubuhnya sambil bertanya dengan suara yang kuat.  Samirah pun menjauhkan tubuhnya.  Tak ada sebab dia hendak bergesel pipi dengan Aish, kalau tak kerana dia ditolak.  Samirah segera berpaling ke kanan.  Seorang lelaki berkulit hitam berdiri dengan selamba, tanpa sedikit pun rasa bersalah sambil bercakap dengan bahasa yang tidak difahami oleh Samirah kepada seorang lagi lelaki berkulit hitam di sebelahnya.


“Suka-suka saja tolak orang.”  Samirah bercakap dengan kuat agar Aish boleh mendengarnya.  Biar Aish tau yang dia bukan sengaja hendak melagakan pipinya dengan Aish dan bukan sengaja air limau asam boi disiram di atas dada Aish.


Excuse me sir, you pushed me and you didn’t bother to say sorry,” kata Samirah kepada lelaki berketurunan Afrika itu.  Mata si awang hitam ditenung dengan penuh garang.  Tangannya mencekak pinggang rampingnya.  Si awang hitam pula berlagak selamba, bagaikan tidak terkesan dengan kata-kata Samirah.  Samirah tak puas hati, ditekan bahu si awang hitam dengan telunjuknya.


Hei, you hear me right?  Don’t you care to say sorry for pushing your way and knocking me aside?”  kali ini suaranya dikuatkan.  Si lelaki yang menolak Samirah tersengeh selamba.  Sorry,” katanya pendek.  Tubuhnya dikalihkan hingga betul-betul mengadap Samirah. Senyumannya semakin melebar sambil matanya kini galak merenung Samirah, dari atas ke bawah.  Samirah yang sedang bengang langsung tak takut dengan renungan lelaki itu.  Tapi Aish yang memerhati mula rasa kurang senang, lebih-lebih lagi dengan cara mata gatal si awang hitam merenung Samirah.


“Kurang ajar betul!” Samirah menjeling si awang hitam dan terus beredar dengan laju.  Aish  terkedu melihat kegarangan Samirah.  Dulu masa kecil, dia ni lembik.  Tak berani marah orang, selalu saja harapkan si Aidid membantu dia bila kena usik dan buli.


“Kau ni Ira, macam tu sikit pun nak marah.” Ujar Aish sebaik saja sampai di sebelah Samirah yang tidak berapa jauh di hadapan.


“Mestilah.  Suka-suka saja langgar orang.  Lepas tu tak reti nak minta maaf.  Abang Aish pun sama, suka-suka saja nak marah Ira.  Tak gentleman langsung!”  Suara Samirah masih bernada marah.  Langkahnya dilajukan. Hilang moodnya untuk melihat barang-barang lain yang diniagakan di Rope Walk. 


“Dah, jom kita pergi makan,” dengan selamba Aish mengajak.


“Ira tak nak makan.  Abang Aish pergilah makan.  Ira nak pergi balik ke apartment Mama.”  Tangannya direntap sehingga terlepas daripada pegangan Aish.


“Kan aku kata aku bawa pergi situ petang nanti.  Sekarang kita pergi makan dulu.”  Suara Aish mengendur sedikit, renungan mata Samirah mengingatkan dia peristiwa dia mengusik Samirah di rumahnya sehingga Samirah menangis.  Dia tau Samirah sedang marah sekarang.


“Tak payahlah.  Ira boleh pergi sendiri.  Nanti Abang Aish juga yang kata Ira ni menyusahkan Abang Aish.”


“Kalau aku rasa kau menyusahkan, tak adalah aku temankan sampai ke sini.”


“Abang Aish tak ikhlas!  Abang Aish buat semua ni sebab rasa bersalah kan?  Bukan sebab nak tolong Ira.  Abang Aish jangan tipulah, selama ni Ira tau Abang Aish anggap Ira ni menyusahkan.  Abang Aish jangan risau, bila Ira dah jumpa mama nanti, Ira pindah.  Abang Aish dah tak perlu tumpangkan Ira lagi dan Abang Aish takkan kena marah lagi dengan girlfriend.  Ira minta maaf kalau selama ni Ira penyebab Abang Aish dimarahi girlfriend.”


Ada nada sebak dalam suara Samirah.  Seumur hidupnya dia belum merasa betapa dia adalah satu bebanan kepada seseorang.  Tapi dengan Aish, dia sangat-sangat terasa.  Aish  Mirza melepaskan keluhan.  Memang selama ini dia terasa kehadiran Samirah menyusahkan hidupnya.  Tapi bila Samirah menangis tempoh hari, dia sedar tak baik dia berfikiran begitu. 


“Sorry.”  Satu patah perkataan yang Samirah nantikan dari tadi, akhirnya meletus keluar dari bibir Aish.




Sama seperti pagi tadi, jenuh Samirah menekan loceng tapi pintu unit apartment tetap tertutup rapat.  Perasaan kecewa menjalar dalam hati namun Samirah tak mahu menyerah kalah.  Apa pun dia tetap akan berjumpa dengan mama hari ini.  Tubuhnya dipalingkan.  Aish yang sedang ralit memandang skrin telefon bimbit dijeling sekilas sebelum perlahan-lahan Samirah menjatuhkan tubuhnya dan bersila di hadapan pintu.


            “Berapa lama kau nak tunggu?”  tanya Aish bila dia perasan Samirah sudah bersila dengan riak kecewa terpampang di wajah.


            “Sampai Ira dapat jumpa mama.  Kalau Abang Aish nak balik, pergilah.  Nanti Ira balik sendiri.”


            “Entah-entah mama kau tak tinggal sini.”


            “Sebab itu Ira kena tunggu.  Abang Aish pergilah balik.”


            Aish datang rapat kepadanya dan terus duduk bersila di sisinya.  Samirah menginjakkan sedikit badannya, biar ada jarak walaupun sedikit antara dia dan Aish.


            “Dah berapa lama engkau tak jumpa mama?”


            “Dua tahun.”


            “Papa dan mama kau dah bercerai dua tahun?”  ada nada kehairanan dalam suara Aish.  Sebenarnya dia tidak pernah ambil tahu akan hal Uncle Baharin dan Aunty Latifah. 


            “Tak, baru dua bulan lebih.  Tak lama sebelum Ira balik dia orang berpisah. Masa Ira balik bercuti dua tahun lepas, dia orang OK aje.”


            Jeda.  Mata Aish menjelajah ke seluruh wajah sedih Samirah.  Walaupun wajahnya sugul, kecantikannya terserlah.  Tiada lagi budak cengeng yang sentiasa dilindungi oleh abangnya.  Sebaliknya di depan matanya sekarang Samirah nampak cantik, berani dan berkeyakinan. 


            “Kenapa Aidid tak datang sekali ke Penang? Dah lama aku tak jumpa dia.”  Tiba-tiba Aish teringatkan Aidid.


            Samirah menarik nafas panjang-panjang dan menghembusnya kasar.  “Dia dah pernah jumpa mama.  Dia kecewa dengan apa yang dia nampak… dan…”  Samirah sebak lagi.  Tekaknya terasa kesat.  Ayat itu tak mampu dihabiskan. 


            Sekali lagi Aish rasa bersalah.  Ingatkan kalau bertanya pasal Aidid, bolehlah diubah topik perbualan.  Rupa-rupanya pusing balik ke topik mama Samirah.  Sudahnya Aish biarkan saja Samirah melayan perasaan.  Telefon bimbitnya dikeluarkan dari saku dan dia mula membuka laman Facebook.  Entah berapa lama mereka duduk bersila di depan pintu, Aish pun tak perasan.  Sedar-sedar bahunya terasa berat.  Samirah terlelap!  Kepalanya elok saja terlentok di sisi bahu Aish. 


            Aish gerakkan bahunya sedikit dengan harapan Samirah akan terjaga.  Tapi Samirah masih lena.  Jam tangannya dikerling.  Sudah lebih lima belas minit rupa-rupanya mereka duduk menunggu.  Hai dia ni, dalam sedih pilu pun sempat terlelap, hati Aish berbisik.  Jangan dia mimpi sudah, nanti tak pasal-pasal aku kena tumbuk macam minggu lepas.




Bunyi dan gegaran telefon bimbitnya menyedarkan Samirah.  Cepat-cepat kepalanya diangkat dan membuka beg tangannya untuk mengambil telefon.


            “Walaikumussalam.  Awak apa khabar?” suara lembut Samirah kedengaran berbunyi ceria ketika menjawab panggilan. 


            “Saya di apartment mama.”


            Senyap.


            “Belum dapat jumpa.  Ni saya tengah tunggu mama balik.”


            Senyap.


            “Tak.  Abang Aish temankan saya.”


            Senyap.


            “Jangan risau saya OK.  Abang Aish temankan saya.  Kalau dia tak temankan pun, saya tetap akan tunggu mama.  Awak doakan ya, saya dapat jumpa mama hari ni.”


            Senyap.


            “Awak nak datang Penang?  Saya ingat nak balik KL next weekend.  Kita jumpa kat KL sajalah nanti.  Tak payah awak susah-susah datang ke Penang.”


            Senyap.  Kali ini lebih lama.


            “Oklah, nanti kita borak lagi ya.  Take care.”  Salam diberi dan Samirah menyimpan telefonnya dalam beg.  Secara spontan dia berpaling ke arah Aish.


Boyfriend?” soal Aish sambil memicit-micit bahunya yang lenguh memangku kepala Samirah.  Samirah mengangguk.


Sorry Ira terlelap tadi.”  Samirah perasan sejak dia mula menjawab panggilan telefon Aish belum berhenti memicit bahunya. Rasa bersalah muncul lagi.  Memang begitu sifat Samirah, cepat terasa dirinya bersalah.  Sebenarnya dia tak suka susahkan orang.


“Kau ni bukan badan saja berat, kepala pun berat.”  Dengan selamba Aish berkata dan terus berdiri.  Punggungnya pun sudah rasa kematu. 


“Maafkan Ira.  Abang Aish baliklah.  Tak tau berapa lama lagi Ira kena tunggu.  Ira dah banyak susahkan Abang Aish, baliklah.”


Suaranya yang lembut, renungan matanya yang redup dan keazaman yang jitu yang terpamer pada wajah Samirah menimbulkan rasa kagum dalam hati Aish.  Matanya bagaikan digam pada wajah manis Samirah.  Dia sedar dia mahu berada terus di sisi Samirah.

No comments:

Post a Comment