Saturday 8 March 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 24

Assalam dan hai semua.  Seluruh negara dikejutkan dengan berita kehilangan kapal terbang MAS 370.  Isma pun turut bersedih.  Kebetulan co-pilot adalah anak saudara kepada mak saudara Isma (anak saudara belah suami beliau).  Sama-sama kita doakan agar semua penumpang dan anak kapal dilindungi Allah dan ditemui segera.

Jemput baca Bab 24.  Jangan marah lebih-lebih kat Aish ya, :)



Thanks Alex.  I owe you one,” kata Samirah sebaik saja kereta Alex berhenti di hadapan rumah Aunty Kelly.  Alex membalas dengan mengatakan tidak perlu berterima kasih kerana pertolongannya itu tidak sebesar mana pun.

Masuk saja ke dalam rumah, Samirah terus mendapatkan Aunty Kelly.  Dia memohon maaf kerana lambat balik dan tidak memaklumkan kelewatannya kepada Aunty Kelly.  Sebenarnya tadi Alex memandu ke beberapa tempat menarik di sekitar Penang.  Alex juga hendak membelanja Samirah makan tetapi Samirah menolak kerana dia tau Aunty Kelly tentu sudah siap memasak untuk makan malam. 

“Ira nak call Aunty bagi tau Ira balik lambat sikit, tapi telefon tertinggal kat office.”  Samirah menerangkan.  Ketika bergegas keluar meninggalkan pejabat, dia terlupa mengambil telefon bimbitnya yang sedang dicas.

            “It’s OK Ira.  Asalkan Ira selamat, Aunty tak risau.  Lagi pun Ira cuma lambat sejam dari biasa.  Aish tak jemput Ira?”

“Tak.  Pagi tadi Abang Aish dah bagi tau dia tak dapat jemput Ira petang ni.  Kebetulan Alex free, dia hantarkan Ira balik.  Masa nak balik Ira minta Alex tunjukkan jalan-jalan kat Penang.” 

            Kalaulah Aunty Kelly tau yang dia ditinggalkan oleh Aish kerana lambat hanya dua minit, tentu Aish akan dimarahi oleh Aunty Kelly.  Samirah faham Aunty Kelly dan Uncle Sam merasakan mereka bertanggung jawab menjaga dirinya sebaik mungkin kerana telah berjanji dengan papanya. 

            “Ira dah makan?” 

            “Belum.”

            “Makanlah.  Aunty dan Uncle dah makan.  Kami nak ke masjid sekejap lagi.  Nasi dan lauk masih ada atas meja tu.” 

            “Ira nak solat dulu.  Lepas tu Ira makan.” 

            Samirah berjalan ke arah tangga.  Pergerakannya diperhatikan oleh Khalilah dengan rasa kagum terhadap sikap gadis itu.  Bijak, berpendidikan tinggi tapi masih mengekalkan sikap menghormati orang tua, lemah lembut dan bersopan santun. 



Aish melangkah masuk ke rumah dengan langkah lemah.  Hatinya sangat-sangat sakit.  Sepanjang dia mengenali Luna, belum pernah Luna menyakiti hatinya.  Kali pertama hatinya disakiti, terasa sungguh pedih.  Malam ini dia baru mengenali sisi baru Luna.  Bukan dia tidak pernah mengikuti Luna ke kelab dan karaoke, tapi semua majlis-majlis itu adalah majlis tidak formal.  Tingkah laku Luna masih boleh dianggap tidak melampaui batas.  Tapi di majlis tadi Aish rasa Luna seperti mahu menonjolkan dirinya agar mendapat perhatian tetamu-tetamu lain. 

            Gaya manja, gelak tawa dan keramahan Luna seperti dibuat-buat.  Bila bercakap dengan lelaki, terutamanya si Syed Iqbal, Luna terlebih menggedik.  Apakah memang Luna sebenarnya begitu dan apa yang ditunjukkan di depan Aish selama ini sebenarnya yang palsu? 

            Aish terus menuju ke biliknya sebaik saja dia sampai di rumah.  Dia duduk di birai katil.  Wajahnya muram apabila mengingati apa yang terjadi di majlis tadi.  Aish mengeluh, sebelum membuka pakaiannya.  Dia hendak mandi dan kemudian tidur.  Sudah beberapa malam dia balik lewat kerana keluar dengan Luna.  Malam ini eloklah dia tidur awal, supaya hati yang panas dapat disejukkan.

            Masuk saja ke bilik air baru Aish sedar ubat giginya sudah habis.  Aish turun ke bawah dan terus pergi ke dapur.  Kabinet di hujung dapur diselongkar.  Aish nampak sabun pencuci pinggan mangkuk, Clorox, cecair pelembut fabrik dan akhirnya matanya jatuh pada tiga kotak ubat gigi yang elok tersusun.  Sekotak ubat gigi diambil, kotak dibuka dan tiub ubat gigi dikeluarkan sebelum Aish membongkokkan tubuhnya untuk mencampak kotak ubat gigi ke dalam bakul sampah yang terletak di sebelah singki.

            Aish pusingkan tubuhnya, hendak beredar dari dapur.  Ketika itu jugalah Samirah muncul di dapur dan terus meluru ke singki untuk membasuh tangan.  Hampir Aish terlanggar Samirah yang langsung tak perasan ada seorang manusia di dapur selain dari dirinya sendiri.  Samirah menjerit kerana terkejut.  Aish yang sedang dalam mood tak baik jadi bertambah bengang.

            “Kau ni apahal Ira?  Mata letak dalam poket ke?” Aish bertanya dengan suara yang keras.  Wajah garang Aish membuatkan Samirah terkedu.  Apa hal dia ni, tak pasal-pasal nak marah.  Bukannya terlanggar pun.  Yang dia membongkok tepi singki tu, mana aku nampak. 

            Samirah kalihkan matanya.  Tak sanggup menatap wajah garang Aish lama-lama.  Tapi matanya tak sengaja melurut ke dada Aish yang terdedah.  Aduh!  Pakai tuala saja turun ke bawah!  Tak senonohlah dia ni, bisik hati Samirah.

            “Apa hal ni pandang-pandang aku?  Tak pernah tengok orang pakai tuala ke?”  Aish masih tak puas hati, terus dimarahinya Samirah.  Dia perasan mata Samirah melurut turun ke dadanya.

            “Abang Aish ni, tak reti ke nak pakai elok sikit?”

            “Oi, aku baru keluar dari bilik airlah.  Takkan nak pakai tuxedo keluar bilik air?  Lagi pun ni rumah aku.  Suka hati akulah nak pakai apa.  Aku nak pakai boxer ke, tuala ke, bogel ke, aku punya pasal.”

            Samirah malas melayan.  Terus saja dia beredar dari dapur.  Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membalas kata-kata Aish.  Samirah bukannya jenis perempuan yang boleh diherdik, dimarahi sesuka hati.  Tapi bila difikirkan dia hanya berdua dengan Aish dalam rumah ketika ini, dan keadaan Aish yang pada definisi Samirah separuh bogel, lebih baik dia menjauhkan diri dari Aish.

            Punggung dilabuhkan di atas sofa depan tv.  Tengok tv dululah.  Perut sudah minta diisi, tapi biarlah dulu.  Tunggu sehingga Aish naik ke atas.  Cepat pula si kekwat ni balik, desis hati Samirah.  Mood dia yang memang selalu tak baik lebih teruk lagi malam ini.  Bergaduh dengan girlfriend agaknya, hati Samirah menebak.

            Matanya memandang tv tapi telinga Samirah dapat menangkap derap kaki Aish memijak tangga.  Bila dia yakin Aish sudah naik ke atas, Samirah bangun dan menuju ke dapur.  Pinggan diambil dan dipenuhkan dengan nasi, kari daging dan ubi kentang, sayur kangkung, seekor ikan selar goreng dan sesudu kecil sambal belacan.  Minuman pula cukuplah sekadar segelas air sejuk.

Samirah makan dengan berselera.  Teringat air tangan mama, Samirah menguatkan azamnya dia pasti akan berjumpa dengan mama tidak lama lagi.  Ya Allah, permudahkanlah usaha aku untuk menyatukan semula keluargaku, hati Samirah berdoa sambil mengunyah nasi. 

“Huh, ambil makanan untuk tekak sendiri je!”  jerkah Aish.  Samirah terkejut.  Tangan kirinya dibawa memegang dada sambil matanya mencerun memandang Aish.  Bila masa si kekwat ni turun? Hatinya bertanya sambil matanya berkalih semula ke arah nasi yang baru luak separuh.

 Aish yang memakai t shirt dan seluar bermuda paras lutut terus berlalu ke dapur.  Perutnya masih lapar, mungkin kerana dia tidak menikmati hidangan barat di majlis tadi.  Macam mana nak ada selera kalau mata dan hati sakit melihat kegedikan Luna dan keseksian Luna.  Hari ini dia menyedari bahawa tubuh Luna yang seksi hanya untuk matanya dan dia tak suka lelaki lain melihatnya.

Di dapur Aish mencedok nasi dan lauk pauk ke dalam pinggan.  Sampai di meja makan, dengan selamba Aish duduk di hadapan Samirah.  Selepas membaca doa, dia makan dengan berselera sekali.  Mana tidaknya, sudah lama tidak makan hasil air tangan mamanya.

Samirah angkat muka dari pinggan.  Terpempan dia melihat Aish yang makan dengan sungguh berselera.  Aik, masa dating tak makan ke?  Samirah bertanya dalam hati.  Samirah yang mula makan dulu masih tinggal tiga suap nasinya, tapi pinggan Aish sudah licin.  Aish berdiri dan beredar ke dapur.  Sangka Samirah dia sudah selesai makan, tapi beberapa minit kemudian dia datang semula dengan pinggan yang sudah diisi semula dengan nasi dan lauk.

“Kau apa hal?  Tak pernah tengok orang makan?”  Aish bertanya bila dia perasan Samirah asyik memandang dia makan.  Suaranya sudah tidak bernada garang, tapi masih tinggi sedikit.  Samirah cepat-cepat habiskan nasi dalam pinggannya. 

 “Ira!”  Aish memanggil ketika Samirah bergerak ke dapur.  “Tolong buatkan aku kopi,” arah Aish bila Samirah memusingkan bahu ke arah Aish.

Pemalas!  Buatlah sendiri.  Ni sengaja nak buli aku.  Dari kecil sampai sekarang, asyik nak membuli saja kerjanya.  Ingatkan bila dah besar, fikiran dia matang.  Tapi sama saja macam masa kecil-kecil dulu.  Cuma dulu walaupun suka membuli, Aish tak lokek menghulur bantuan kalau diminta.  Sekarang, setakat tumpang dia pergi dan balik kerja pun macam susah sangat.  Samirah mengacau air kopi yang sudah siap.  Mug dibawa ke meja dan diletakkan di sebelah Aish.  Sempat matanya mengerling ke dalam pinggan Aish yang sudah licin.

“Sedapkan masakan emak sendiri?  Lebih sedap daripada masakan di restoran mewah.”  Sengaja dia berkata begitu, bila teringatkan setiap malam hati Aunty Kelly sayu bila Aish tak balik makan di rumah.

“Memanglah.  Mak aku pandai masak.”  Jawab Aish selamba.

“Dah tau masakan emak tu sedap, baliklah makan di rumah.  Abang Aish tau tak, tiap-tiap hari Aunty Kelly masakan lauk kegemaran Abang Aish?  Aunty Kelly sedih tau bila Abang Aish tak balik makan.”

“Kau sibuk kenapa?”  keegoan seorang lelaki bernama Aish Mirza terpancar saat soalan itu meluncur dari bibirnya. 

“Ira bukan nak menyibuk.  Ira sekadar nak ingatkan Abang Aish.  Tiap-tiap hari Ira tengok wajah Aunty Kelly muram bila hanya Ira seorang yang masuk ke rumah.  Dia mengharapkan bila Abang Aish hantar Ira, Abang Aish balik sekali.  Tapi setiap malam juga Aunty Kelly hampa.”

Berubah air muka Aish bila Samirah habis bercerita.   Tidak disangka selama ini dia telah menyebabkan mamanya bersedih.  Tanpa sepatah kata Samirah berlalu dari situ.  Dia lebih rela terperap dalam bilik daripada mengadap Aish Mirza.  Tapi baru beberapa langkah, kakinya dimatikan.  Samirah teringat sesuatu.  Tubuhnya dipalingkan ke belakang.

“Abang Aish.”  Aish panggung kepala bila dengar Samirah memanggilnya. 

“Tak geli tekak ke makan makanan Melayu?”  Dengan nada mengejek soalan diajukan.  Muka Samirah pun penuh dengan riak mengejek.  Sakit hati Aish bila melihat wajah Samirah, sama dengan sakit telinganya mendengar soalan yang keluar dari mulut comel Samirah.  Wajah Samirah ditenung dengan pandangan tajam.

Tanpa menanti jawapan Aish Samirah berlalu dan terus naik ke atas.  Puas hatinya dapat menyindir Aish.  Dari Aunty Kelly dia tahu tentang kerenah Aish yang kini sudah tak suka makan makanan Melayu.  Tak suka konon, sampai dua pinggan nasi dibalunnya.  Hipokrit! 


Nak tidur awal lagi.  Perut pun baru saja diisi, tak sesuai kalau dia berbaring.  Samirah duduk bersila di atas katil dan mengeluarkan komputer ribanya.  Setelah komputer dihidupkan Samirah membuka Instagramnya.  Matanya terpaku melihat beberapa gambar yang dimasukkan oleh Irsyad Rifqi.  Semuanya gambar-gambar dia dan keluarganya di Dubai.  Cantik pemandangan di Dubai membuatkan Samirah teringin hendak ke sana.  Namun yang lebih menarik perhatian ialah jejaka pengarah urusan yang nampak kacak dan santai dalam setiap gambarnya. 

Usai melayari Instagram, Samirah buka pula Facebook.  Ralit dia membaca berbagai posting yang diletakkan di Facebook oleh rakan-rakan Facebooknya.  Tiba-tiba dia disapa oleh Aidid yang kebetulan sedang online.  Agak lama juga dia bersembang dengan Aidid. 

Samirah bertanya bolehkah kalau Aidid datang ke Penang hujung minggu ini dan hantarkan kereta MyVinya kepada Samirah.  Malangnya Aidid tak dapat memenuhi permintaan Samirah kerana dia sudah berjanji untuk mememani papanya pergi ke majlis persandingan anak pembekal syarikat papa.


Tak mengapalah.  Mungkin ada hikmahnya aku perlu terus menumpang si kekwat tu, Samirah memujuk hatinya.  Kepada Aidid dan papa sedikit pun tidak diceritakan tentang masalah yang ditanggung apabila terpaksa menumpang Aish setiap hari.  Samirah tak mahu merisaukan papa dan Aidid.  Dan Samirah lagi tak mahu kalau papa menyuruhnya pulang saja ke KL.

No comments:

Post a Comment