Thursday 27 February 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 23


Sudah tiga hari kejadian Samirah tertumbuk Aish Mirza berlalu.  Aish masih marahkan dia sampaikan tak mahu bercakap langsung dengan Samirah.  Samirah dihimpit dua perasaan.  Pertama rasa bersalah kerana tak sengaja menumbuk pipi Aish.  Kedua rasa rimas sebab sejak dia pandai bercakap, belum pernah dia duduk dalam satu kenderaan dengan seseorang tanpa bercakap apa-apa pun.  Hatta dengan pemandu teksi pun dia boleh berbual.


Situasi sunyi sepi menyebabkan Samirah melayan perasaan sendiri.  Teringat dia akan Irsyad Rifqi.  Samirah keluarkan telefon dari beg tangannya.  Pesanan whatsapp yang dihantar oleh Irsyad dua hari lepas dibaca lagi, untuk kali yang entah ke berapa.  Walaupun pesanan dari Irsyad itu sampai selepas 24 jam Samirah menghantar pesanan whatsapp, ia cukup untuk menggembirakan hati Samirah.

+ Salam sayang dari Dubai.

+ Awak ada di Dubai?

Dibalas dengan gambar Irsyad berdiri di hadapan Burj Al Arab.  Dalam gambar itu Irsyad diapit oleh seorang lelaki dan perempuan yang sudah berusia.

+ Yes, with my parents.  Just got here yesterday.  Will be here for a week.  Katanya dalam pesanan ketiga.

+ Wow.  Have fun.  Itu balasan Samirah.

            + Missing you like crazy.  Kalau kita dah bertunang, boleh saya bawa awak.

+ Tak bolehlah.  Kalau dah kahwin boleh. 

+ Maknanya awak sudi kahwin dengan saya?  Yahoooooo.


            Baru Samirah sedar jawapannya tadi menjerat diri.  Memandai saja Irsyad ni buat andaian dia setuju kahwin dengan Irsyad.  Tanpa sedar terukir senyuman di bibir Samirah.  Dan tanpa sedar juga Aish di sebelah sebenarnya sekali sekala mengerling, memandang gelagat Samirah yang jarinya turun naik di atas skrin telefon bimbit sambil tersenyum.


            “Petang ni jangan lambat.  Aku nak pergi function dengan Luna.  Kalau kau lambat petang ni, pandai-pandailah balik sendiri.”  Samirah mengalihkan kepala dari skrin telefon kepada wajah Aish.  Kebetulan Aish juga sedang memandangnya.  Wajah Aish masih tegang.  Bercakap juga akhirnya.  Ingatkan nak mogok bercakap sampai bila-bila.  Desis hati Samirah.




Dalam hidup ini seringkali apa yang dirancangkan tak sealiran dengan apa yang betul-betul terjadi.  Sedaya upaya Samirah cuba keluar tepat-tepat jam 5.30 tapi dia lambat juga.  Bukan salah dia, bila lif pertama sampai penuh dengan pelajar-pelajar yang baru habis kuliah.  Datang lif kedua.  Hanya ada dua orang pekerja pembersihan.  Tapi sebuah tong sampah beroda yang sangat besar turut memenuhi lif.  Setakat badan Samirah yang kecil molek memang boleh dia menyelit.  Tapi aroma sampah yang menerpa hidung membuatkan Samirah tak sanggup berdiri dalam lif yang sama.  Sekali lagi dibiarkan saja lif itu turun.


            Lif ketiga datang barulah Samirah dapat masuk.  Bila dia sampai di luar bangunan kolej, kereta Aish tidak kelihatan.  Jam tangannya dikerling.  5.42, maknanya dia sudah lewat 2 minit.  Teruk betul di kekwat ni, 2 minit pun tak boleh tunggu.  Sudahnya Samirah balik ditumpangkan Alex yang baik hati. 




Aish Mirza menggenggam erat kad akses yang diberikan oleh Luna.  Sebelah tangannya memegang kot yang bakal dipakai malam ini.  Kad ini melambangkan kepercayaan Luna terhadapnya.  Dia yakin Luna tidak suka-suka memberikan kad akses ke unit kondonya di Bukit Feringhi kalau Luna belum percaya kepadanya. 


Di balik pintu Luna muncul dengan tubuhnya hanya dibaluti jubah mandi berwarna merah jambu lembut paras lutut.  Sebelah tangannya memaut pintu dan sebelah lagi mencekak pinggang.  Sebelah kaki dijulurkan keluar dari belahan jubah, menyerlah sebatang kaki yang panjang, putih gebu warna kulitnya. 


            “Aish darling, cepat you sampai.”  Teguran Luna dengan suara yang diseksikan membuatkan mata Aish berkalih, dari kaki Luna naik ke wajahnya.  Tapi sekejap saja sebelum mata itu turun dan singgah ke dada Luna yang sedikit tersorok di sebalik jubah.  Luna tersenyum meleret, suka melihat riak wajah Aish yang terpempan melihat gaya seksi dan manja Luna.  Menjadi gaya menggodanya.  Dia perlukan Aish malam ini, jadi eloklah diumpan dulu Aish dengan keseksiannya.


            You tak payah hantar cousin you dulu ke?” soal Luna sambil menarik tangan Aish.  Pintu kondonya ditutup. 


            “Err, tak.  I… suruh dia… dia balik sendiri.  I tak.. tak nak lambat.”  Aish masih terkedu.  Lebih-lebih lagi bila Luna tanpa silu memaut pinggangnya. 


            Oh, so sweet of you.”  Satu ciuman diberikan di pipi kiri Aish.  Aish hanya mampu menelan liur. 


Come, I show you the room.  You bersiap dalam bilik ni.  Kita tak boleh lambat.”  Luna menuntun tangan Aish ke sebuah bilik.  Dengan senyuman yang masih meleret ditinggalkan Aish di situ.  Aish menelan liur lagi sambil matanya melihat lenggokan pinggul Luna yang sangat menggoda. Kalau imannya tidak kuat, mahu saja ditarik Luna ke atas katil. 

           

            Dua puluh minit kemudian Luna keluar dari biliknya.  Rambutnya sudah disanggul, mekapnya tipis, yang tebal cuma gincu merah menyala yang melapisi bibirnya.  Mata Aish melurut turun dari bibir merah Luna, ke leher jinjang yang terdedah dan turun lagi ke dada Luna.  Aish berdiri.  Matanya tajam merenung dada Luna yang terdedah.  Belum pernah Aish tengok Luna berpakaian seseksi itu.


            You nak pergi macam ni?”  Luna mengangguk.   


“Cantik tak I?” soalan ditanya dengan gaya gedik. Luna mencekak pinggangnya dan kemudian memusingkan badannya ke kanan, ke kiri dengan gaya model profesional memperagakan pakaian di atas pentas catwalk. 


You cantik.”  Senyuman  Luna melebar.  “Tapi I rasa pakaian you tak sesuai.”  Senyuman Luna mati.  Selama ini Aish sentiasa memuji pakaiannya.  Inilah kali pertama Aish berterus terang mengatakan pakaiannya tak sesuai.


            What do you mean tak sesuai?  Oklah ni, mengikut tema yang ditetapkan penganjur.”  Luna menjawab.  Tema majlis malam ini ialah elegance, jadi pada firasatnya gaun pendek paras peha dengan jalur dan riben emas di pinggang dan tali nipis ala spaghetti yang tersangkut di bahunya menepati tema tersebut.


            It’s too revealing.  Aish berkata dengan tegas.  Belum pernah dia melihat Luna seberani ini dalam berpakaian, dadanya terdedah habis.  Memanglah Aish suka melihat aset Luna, tapi dia tak suka kalau aset itu diratah oleh mata lelaki-lelaki lain. 


            “Aish, ini sikit ajelah.  I pernah pakai lebih seksi daripada ni tau.”  Dahi Luna sudah berkerut, mukanya sudah cemberut.

           

            “Kalau you kena pakai untuk modeling job, I tak boleh kata apa.  Tapi malam ni, untuk dinner ni, please wear something more decent.”


            “Aish, dress ni match dengan kasut yang you belikan,” Luna sudah melembutkan suaranya, cuba memenangi hati Aish.  Riak wajahnya dimaniskan dan kepalanya dilentokkan dengan gaya manja.  Sebenarnya boleh saja dia menukar kepada pakaian lain, tapi dia punya agenda tersendiri.  Dan untuk memastikan agendanya berjaya dilaksanakan, dia memerlukan dua perkara, Aish dan gaun yang sudah melekat di tubuhnya.


Ramai tetamu berprofil tinggi yang dijemput ke majlis itu, salah seorang daripadanya adalah jejaka kacak dan kaya yang terkenal di Penang.  Selain memenuhi jemputan, Luna berhasrat memikat si jejaka tersebut.  Luna percaya lelaki kaya berprofil tinggi biasanya suka melihat gadis cantik, seksi dan glamorous seperti Luna diiringi oleh lelaki lain.  Barulah ada thrill sekiranya mereka berjaya memikat seorang gadis yang sudah ada boyfriend.  Mereka akan rasa bangga bila berjaya membuat seorang gadis meninggalkan teman lelakinya yang sedia ada untuk mendampingi mereka.  Jadi, Aish wajib hadir ke majlis itu. 


            “I letak shawl ya?”  Belum sempat Aish menjawab, Luna sudah beredar ke arah biliknya. 


“Kolot!”  Luna mencebik sambil tangannya laju mencari selendang yang sesuai dengan gaun.  Kalau tak diikutkan, takut pula Aish tak mau mengikutnya ke majlis pelancaran kondo mewah Sri Pinang yang akan diadakan di Hotel Equatorial malam ini. 


           


Mereka tiba di ballroom hotel tepat pukul 7 malam, ketika majlis cocktail baru dimulakan.  Majlis rasmi akan bermula pada jam 7.30 malam.  Inilah kali pertama Aish mengikut Luna ke majlis sebegini.  Bagi Aish kesudian Luna mengajaknya ke majlis berprestij sebegini juga membayangkan Luna sudah bersedia untuk membawa perhubungan mereka ke fasa yang lebih tinggi.


            Ramai rupanya tetamu yang dikenali oleh Luna.  Pantas saja dia bersalam, berlaga pipi dan berpeluk dengan hampir 10 orang tetamu.  Luna juga memperkenalkan Aish kepada kawan-kawannya.  Terasa bangga bila dia diperkenalkan sebagai ‘boyfriend’, tapi rasa bangga itu menyusut bila melihat Luna tanpa segan silu berlaga pipi dengan beberapa tetamu lelaki.  Terselit rasa cemburu dalam hati Aish bila Luna berbuat begitu. 


            Seorang pelayan menghampiri mereka sambil menatang sebuah dulang yang di atasnya tersusun beberapa gelas berkaki.  Luna mencapai sebiji gelas yang separuh penuh dengan cecair berwarna jernih.


            What is this?”  Aish bertanya sambil menunding jari ke arah gelas berisi cecair berwarna gelap.  Red wine sir,” jawab si pelayan.  Aish mengerling ke arah Luna yang sedang meneguk minuman di dalam gelasnya.


            This one?”  Ditunding pula jari ke arah gelas yang serupa dengan yang dipegang oleh Luna.


White wine sir,” jawapan si pelayan membuatkan Aish terkedu.  Bukan dia tak pernah menghadiri majlis yang menghidangkan minuman beralkohol, tapi terkedu melihat Luna yang sedang meneguk white wine dalam gelas yang dipegangnya.  Dia sendiri walaupun bukanlah seorang yang alim, tau haram meminum wain dan yang sewaktu dengannya.  Aish meminta minuman tidak beralkohol daripada pelayan.


 You ni, minum sajalah.  Setakat dua tiga teguk tak jadi apa-apalah.”  Bisik Luna sambil bercakap dengan mengetap giginya.  Berubah air muka Aish bila mendengar kata-kata Luna tapi Luna buat muka selamba.  Tidak lama kemudian seorang lelaki ditemani seorang gadis Cina menghampiri Luna.  Kepada Aish diperkenalkan Syed Iqbal yang diapit oleh Molly.


Selepas bersalaman, Aish sekadar mendengar perbualan di antara Syed Iqbal dan Luna.  Dari perbualan mereka, Aish mengagak mereka sudah beberapa kali bertembung di beberapa majlis sebelum ini.  Pelayan datang menghulurkan minuman.  Syed Iqbal mengambil segelas red wine dan meneguk minuman itu.  Molly juga mengambil minuman yang sama dan Luna mengambil segelas lagi white wine.  Rasa kurang senang menjalar lagi dalam hati Aish, namun demi menjaga air muka Luna, dibiarkan saja. 


Rasa kurang senang dalam hati Aish berterusan sepanjang majlis.  Mana tidaknya, Luna asyik berkepit dengan Syed Iqbal.  Sudahnya Aish berbual dengan Molly.  Mujurlah Molly peramah, kalau tidak Aish pasti bosan di majlis itu.  Mata Aish pun sakit melihat mata Syed Iqbal yang galak merayap di atas muka, leher dan dada Luna.  Hatinya lebih sakit lagi kerana selendang yang menutupi bahu dan dada Luna sudah hilang entah ke mana.  Salad udang bersama pes avocado, sup labu berkrim, dada ayam panggang dengan sos oren dan epal dan mango brulee tidak mampu menaikkan selera Aish bila hatinya sudah sakit. 


Habis makan, pengacara majlis mengundang wakil pihak penganjur ke atas pentas.  Sang wakil menerangkan tentang projek kondo mewah Sri Pinang sambil di layar ditayangkan slaid mengenai kondo mewah itu.  Selepas habis penerangan daripada sang wakil, tetamu dijemput untuk melihat model-model unit kondo yang dipamerkan.


“Aish, I nak pergi tengok model kondo tu,” kata Luna sambil berdiri.  Dari nada suaranya tak kedengaran seperti dia mengajak Aish melihat bersama dengannya.  Syed Iqbal juga sudah berdiri.  Molly sudah menghilang entah ke mana.


“I pinjam girlfriend you sekejap ya,” kata Syed Iqbal dengan senyuman yang menjengkelkan di mata Aish.  Belum sempat Aish berkata apa-apa, lengan Syed Iqbal sudah melingkar di pinggang Luna.  Hati Aish sakit sangat-sangat melihat kegatalan Syed Iqbal.  Lebih sakit lagi bila melihat Luna menggedik melayan Syed Iqbal.  Hilang mood Aish hendak terus berada di majlis itu. 


“Mana girlfriend you?” soal Molly yang baru muncul entah dari mana.  Mata Aish menerawang ke seluruh wajah Molly sebelum turun ke leher dan dada Molly.  Sedangkan Molly yang bukan beragama Islam pun tak berpakaian seseksi Luna.


            “Dia pergi tengok model kondo dengan boyfriend you.”  Akhirnya soalan Molly dijawab dengan tidak bermaya.


            Syed is not my boyfriend.”  Molly menjawab selamba.  Gelas berisi red wine yang tinggal seinci dibawa ke bibirnya dan habis diteguknya air syaitan itu.            We are ex-colleague.  Dia tak ada partner so dia ajak I datang dengan dia.”  Di mata Aish senyuman Molly kelihatan seperti mengejeknya.


            Dah lama kenal Luna?”  soalan Molly membuatkan Aish tak sedap hati. 


            “Kami baru kenal, just over six months.”


            “Nampak Luna tu macam minat dengan Syed.  Syed pun macam minat dengan dia.  .”


            Kali ini memang sah Aish tak sedap hati.

No comments:

Post a Comment