Sunday 9 February 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 20


“Aish, mari sarapan.  Sedap ni Mama buat garlic twist.”  Samsudin mempelawa sebaik saja Aish menjejakkan kakinya ke dalam rumah.  Badannya masih berpeluh kerana bersenam di gimnasium.  Dengan sopan Aish meminta naik ke atas dulu untuk membersihkan dirinya. 


Pakaian yang dipilih tentulah yang akan membuatkan dia nampak lebih kacak di mata Luna.  Haruman badan yang disembur adalah hadiah daripada Luna.  Pewangi jenama Davidoff memang sesuai dengan personaliti Aish yang agak metrosexual.  Luna pula memang suka dengan lelaki metrosexual kerana sesuai dengan dirinya yang suka bergaya dan sentiasa kelihatan glamour.  Jadi sejak berkawan dengan Luna Aish semakin menjaga penampilannya, biar nampak sepadan bila berjalan bergandingan dengan Luna.


Bau harumannya segera menangkap rongga hidung Samirah sebaik saja Aish duduk di sebelahnya.  Terlalu kuat sehingga membuatkan Samirah tiba-tiba terbersin.  Tak mau dianggap kurang sopan, pantas Samirah menoleh ke kiri.  Kembang kuncup hidungnya menahan haruman yang pada fikiran Samirah sangat terlebih.  Uncle Sam yang duduk di hadapan Aish perasan gelagat Samirah. Aish pula berlagak selamba, tangannya pantas mencapai seketul garlic twist yang sudah suam. 


“Nah kopi,” ujar Aunty Kelly sambil menyerahkan sebiji mug berisi kopi susu kepada Aish.  Mug disambut sambil Aish mengucapkan terima kasih kepada mamanya.


“Pakai cantik-cantik, wangi-wangi ni, ada date dengan Luna ke?” Khalilah bertanya.  Dia berharap Aish menjawab tidak.


“Ya.”  Pendek jawapan Aish.  Lagi setengah jam dia perlu keluar kerana pukul 10 dia mesti sudah berada di hadapan kondo Luna.  Luna cukup pantang kalau dia lewat, mahu satu hari dia merajuk, setengah hari dia membebel.


“Tak boleh ke kalau tak jumpa dia hari ni?  Mama baru ingat nak suruh Aish temankan Ira jalan-jalan sekitar Penang.”


Membulat mata Samirah mendengar ayat Aunty Kellynya.  Dia tak minta pun dibawa berjalan-jalan sekitar Penang.  Kalau dia mahu bersiar-siar pun, dia boleh pergi sendiri. 


“Sorry Ma, Aish dah janji dengan Luna.”  Aish pandang mamanya.  Kenapa mama tak tanya aku dulu, hatinya menyoal.  Samirah di sebelahnya langsung tidak bersuara.  Dia ni pun satu, macamlah esok-esok tak boleh berjalan-jalan.  Mesti keluar hari ni juga ke?  Tak pernah datang Penang ke sebelum ni?  Aish masih menyoal dalam hati.


“Aish keluar dengan Luna petang.  Pagi ni bawa Ira jalan-jalan sekejap.”  Samsudin pula memberi arahan.  Berubah wajah Aish bila papanya memberi arahan sebegitu.  Hal lain dia boleh turuti, tapi menangguhkan dating dengan Luna dia tak mahu.

                                                 

“Kau nak pergi mana?  Mesti keluar hari ni juga?  Tak boleh pergi hari lain?”  Terus dilemparkan tiga soalan sambil badannya disengetkan agar menghadap sedikit ke arah Samirah.  Dia ni baru sampai dah buat hati aku sakit.  Mula-mula terkejutkan aku sampai aku kena mop lantai, lepas tu aku kena sapu lantai.  Sekarang kena bawa dia jalan-jalan pula.  Ini baru satu hari dia tinggal di sini.  Kalau satu tahun, masaklah aku, bisik hati Aish sambil merenung tajam ke arah Samirah.


“Eh, tak.  Ira tak ada nak pergi mana-mana.  It’s OK Aunty, Uncle.  I can just stay at home.”  Samirah menerangkan.  Matanya berkalih dari menatap wajah cemberut Aish ke wajah Aunty Kelly dan kemudian Uncle Sam.  Apahal ni, tiba-tiba dia orang suami isteri minta Aish bawa aku berjalan-jalan?


“Ira, esok kan Ira dah mula kerja.  Aunty ingat, sementara ada masa hari ni eloklah Ira pergi jalan-jalan sekitar Penang.  Ira yang kata dah lama sangat tak datang Penang.  Nanti bila dah kerja, Ira dah busy.”


Khalilah memujuk.  Memang Samirah tidak minta dibawa berjalan-jalan.  Tapi dia sendiri yang mahukan Aish membawa Samirah keluar.  Sengaja hendak membatalkan rancangan Aish dan Luna kerana dia tidak sukakan Luna.  Sudah tiga kali Aish membawa Luna bertemu dengannya dan hatinya tetap tidak boleh menerima Luna. 


I am not free Mama” Aish bertegas.  Tinggi sedikit nada suaranya dan wajahnya tetap cemberut ketika muka mamanya ditenung.  Dia terus berdiri.  Mug dibawa ke dapur.  Riak terkilan terpamer di wajah Khalilah.  Samsudin pula menggelengkan kepala. 


 Aunty, its OK.  Ira akan lama di sini.  Masih banyak masa untuk Ira menjelajah seluruh Penang.  Lagi pun Ira letih sikit.  Ira nak duduk rumah saja hari ni, siapkan pakaian untuk pergi ofis dan… Ira boleh tolong Aunty masak.”


 Pujukan Samirah sedikit pun tidak melegakan hati Khalilah.  Dia setuju dengan apa yang Samirah katakan tapi dia geram kerana gagal menghalang Aish keluar berjumpa dengan Luna.  


“Tak apalah Kel.  Biarlah Aish tu.  Kita saja keluar dengan Ira.  Abang belanja Kel lunch kat luar hari ni, memandangkan pagi ni Kel dah susah-susah buatkan roti untuk Abang.”  Samsudin pula memujuk. 


Khalilah mengangguk.  Tangan Samsudin yang di atas meja ditepuk lembut.  Wajah Samirah ditenung.  Sejuk hatinya saat melihat wajah polos Samirah.  Saat matanya dan mata Samirah bertembung, Samirah memberikan sebuah senyuman.  Senyuman ikhlas, bukan seperti senyuman Luna yang dibuat-buat.


“Aish pergi dulu Ma, Pa.”  Kata Aish sambil melintas di ruang makan.  Wajah mama dan papanya dikerling sekilas.  Samirah tidak diendahkan.  Dia harus pergi cepat, sebelum kedua orang tuanya memaksa dia membawa Samirah berjalan-jalan.  Hish Ira ni, menyusahkan betul, Aish merungut sambil menghidupkan enjin kereta Suzuki Swiftnya.



Sejak kecil dia sudah diajar jangan menyusahkan orang lain.  Dia juga diajar jangan banyak songeh.  Jangan memilih makanan, apa yang dihidangkan makan saja, asalkan halal.  Sedap makan banyak, tak sedap jamah juga.  Kata mama ramai hati yang tercalar jika makanan dibazirkan. 


            Tapi ada satu perkara yang kata mama harus dipilih dengan dengan teliti.  Pilihlah kawan yang baik kerana kawan yang baik akan membawa banyak kebaikan kepada diri kita.  Pilihlah kawan berdasarkan hatinya dan adabnya, bukan kerana pangkat, rupa, harta atau perkara lain.  Aish masih ingat semua pesanan itu tapi entah macam mana sejak berkawan dengan Luna, pesanan mamanya tidak lagi dipraktikkan.


            Bila dengan Luna dia hanya makan di restoran mewah.  Maaf ya, tempat makan yang jatuh dalam kategori gerai, warung dan restoran biasa-biasa tidak boleh dijejaki oleh Luna.  Jadi Aish pun tak masuk tempat-tempat begitu.  Luna sangat memilih makanan dan apa yang dimakan oleh Aish pun dipantau.  Makan ikan, kurangkan makan daging dan ayam.  Lebihkan sayur, tapi bukan sayur tempatan.  Kangkung, pucuk paku, pucuk ubi, kacang botol dan yang seumpamanya bagi Luna tak setaraf dengan broccoli, asparagus, butterhead, romaine dan juga green dan red coral.  Tekak Melayu Aish lama-lama semakin mesra dengan sayuran dan salad barat. 


            Aish juga tak bawa Luna melepak dengan kawan-kawannya.  Dulu dia suka melepak dengan kawan-kawan di Padang Kota Lama dan Gurney Drive sambil makan dan minum.  Kadang-kadang mereka layan mi udang di Teluk Bahang.  Tapi sejak berkawan dengan Luna, aktiviti lepak, borak, makan, gelak-gelak dengan kawan-kawannya sudah lama ditinggalkan.  Dia hanya keluar dengan Luna.  Bila Luna tak ada di Penang, barulah Aish keluar dengan kawan-kawannya.  Itu pun dia hanya keluar dengan kawan-kawan yang sealiran dengannya.  Kawan-kawan yang punya girlfriend ala-ala model, pramugari atau aktres.   Barulah setaraf dengan Aish.


            Aish berubah dari seorang yang santai, selamba dan tak banyak kerenah kepada seorang yang banyak songeh.  Pakaiannya mesti sentiasa kemas dan rapi.  Tak boleh berkedut sedikit pun.  Barang-barangnya langsung tak boleh disentuh oleh anak-anak saudaranya.  Bermain dan bergurau dengan mereka pun dia kurang gemar, lebih-lebih lagi kalau budak-budak itu berpeluh badan dan comot muka mereka.  Jangan kata mendukung anak-anak saudaranya, menyentuh pun Aish tak mau.


            Inilah antara sebab Khalilah dan Samsudin tidak gemarkan Luna.  Dulu anak bongsu kesayangan mereka sering menemani orang tuanya ke sana ke mari.  Rasa-rasa malas nak masak, Khalilah minta Aish memandu untuk makan di luar.  Aish tak membantah dan tak kisah makan di gerai, warung atau tempat makan yang dipilih oleh mama atau papanya.  Sekarang, jangan haraplah.  Walaupun sekali sekala dia masih keluar dengan mama dan papanya, songehnya banyak.  Kalau makan di restoran dia ikut serta.  Kalau gerai atau warung, sanggup dia tinggalkan mama dan papanya dan datang semula menjemput mereka selepas mereka habis menjamu selera.


Dulu, kalau Khalilah teringin nak makan jeruk, Aish dengan rela menemani mamanya ke Jalan Chowrasta.  Sekarang kalau diminta banyak alasannya.  Jalan sesaklah, tempat itu tak bersihlah, penatlah dan macam-macam alasan lain yang kadang-kadang bagi Khalilah tak masuk akal.  Abang dan kakaknya pun merungut jarang dapat jumpa Aish.  Sudahlah mereka balik dua minggu sekali, batang hidung Aish tak kelihatan.  Kalau dia ada di rumah, itu maknanya Luna tiada di Penang.


Luna pun lain macam perangainya.  Tak pandai mengambil hati orang tua langsung.  Pada kali pertama Aish membawa dia pulang untuk diperkenalkan kepada Khalilah dan Samsudin, sudah terserlah kerenahnya.  Hidangan nasi dengan gulai lemak nenas dan ikan masin, sayur kobis goreng berencah udang, ayam goreng dan sambal belacan langsung tak disentuh.  Alasannya sudah kenyang.  Padahal kata Aish sehari sebelum itu, dia ingin membawa Luna makan tengahari di rumah mereka.  Bila dipelawa makan pengat pisang, kata Luna dia tak biasa makan manisan Melayu.  Sudahnya Khalilah, Samsudin dan Aish makan manakala Luna yang duduk di sebelah Aish sibuk dengan telefon bimbitnya.


  Diajak berbual, Luna seperti tak berminat.  Soalan diajukan dijawab acuh tak acuh.  Matanya pula sibuk melilau meneliti setiap ruang rumah berkembar dua tingkat yang didiami Khalilah.  Bila bercerita pula Luna tak berhenti mulutnya bercakap tentang tempat-tempat yang sudah dilawatinya sepanjang bekerja sebagai pramugari.  Khalilah dan Samsudin sudah bertahun-tahun tinggal di merata tempat di luar Negara, jadi mereka tak hairan pun dengan tempat-tempat yang diceritakan oleh Luna.  Tapi Luna tak peka.  Bercerita macam dia seorang saja yang pernah pergi ke luar Negara.



“Ira mana, tak nak ikut ke?” soal Samsudin.  Khalilah yang fikirannya menerawang mengenangkan Aish dan Luna tersedar dari lamunan.


            “Dia ikut.  Kejap lagi turunlah tu.”  Jawab Khalilah.  Badan yang tadinya disandarkan ke sofa ditegakkan.  Samsudin duduk di sebelah isterinya.  Tangan si isteri diraih dan digenggam.


            “Apasal monyok muka tu?”  Samsudin perasan riak di wajah isterinya lain.


            “Abang, perasan tak Aish dah lain sekarang?”  soalan ditanya sambil wajahnya dipalingkan ke arah si suami.  Samsudin tidak menjawab, sebaliknya wajah isterinya ditenung lama.


            “Dulu Aish manja dan rapat dengan kita.  Sekarang Kel rasa dia dah jauh dari kita.”  Khalilah meneruskan bicara.  Sebenarnya sudah lama hendak disuarakan hal itu kepada suaminya, tetapi masih mampu ditahan. 


            “Dia dah besar Kel.  Biasalah orang bujang, tentu ada aktiviti sendiri.”  Samsudin memujuk.  Khalilah melepaskan satu keluhan.  Ada benarnya kata Samsudin.  Tapi hatinya tetap merasakan Luna adalah penyebab kepada perubahan sikap Aish.  Dia harus mencari jalan untuk menyedarkan Aish.


            “Maaf Aunty, Uncle… Ira lambat sikit bersiap.  Papa telefon tadi.  Papa kirim salam pada aunty dan uncle.”  Lembut suara Samirah memohon maaf.  Sejuk hati Khalilah mendengarnya.  Wajah Samirah ditenung.  Terbayang wajah Latifah.  Ke mana wanita itu pergi?  Kenapa tergamak ditinggalkan Baharin yang baik hati, serta anak-anak yang elok terdidik seperti Samirah dan Aidid? 


            “Eh Ira tak lambat pun.  Uncle pun baru saja bersiap.  Hah apa lagi, jomlah kita,”  ujar Samsudin sambil bangun dari sofa.  Tangan Khalilah ditarik lembut. 



“Boleh Ira kita makan kat sini?”  tanya Khalilah sebaik saja Samsudin memberhentikan kereta.  Di hadapan mereka terpampang sebuah warung yang sangat terkenal dengan hidangan mi ketam.  Kata orang Penang mi ketam di sini adalah yang terbaik di kawasan Kuala Juru.


            “Boleh aunty.  Ira tak kisah.”  Samirah menjawab sambil tangannya membuka pintu kereta.  Dia memang tak kisah soal makan.  Yang penting halal dan bersih.  Warung itu penuh sesak dengan pelanggan.  Mungkin kerana sudah waktu makan tengahari dan hari itu hari Ahad.  Mereka duduk di meja yang agak jauh ke belakang.  Sebaik saja duduk pelanggan datang membawakan menu.


            “Ira pernah makan mi ketam?” soal Samsudin.  Samirah menjawab dengan gelengan.  Kalau mi udang dia sudah banyak kali makan.  Mi ketam langsung tak pernah.


            Uncle cadangkan Ira rasa mi ketam.  Mi ketam di sini the best in Penang.”  Samsudin mengesyorkan sambil ibu jarinya dibuat isyarat bagus dan ditunjukkan ke arah Samirah. 


            Tidak lama kemudian semangkuk mi ketam dan segelas limau ais dihidangkan di depannya.  Samsudin dan Khalilah pula berkongsi seekor ikan siakap bakar dan sepinggan kalian goreng dimakan dengan nasi putih. 


            “Sedap,” kata Samirah selepas dua tiga sudu kuah mi ketam dihirup.  Bulat matanya memandang ke arah Khalilah dan Samsudin.  Tersenyum Khalilah melihat gelagat Samirah. 


            Mereka makan sambil berbual-bual santai.  Banyak yang Samirah tanyakan kerana memang sudah lama sungguh dia tidak datang ke Penang.  Samsudin dan Khalilah dengan senang hati menawarkan untuk membawa Samirah bersiar-siar bila mereka ada kelapangan nanti.  Dan Samirah dengan sopan mengucapkan terima kasih di atas pelawaan mereka.


            Sedang rancak berbual tiba-tiba Samirah terdiam.  Matanya tertancap pada satu sudut warung.  Khalilah dan Samsudin memandang Samirah dengan rasa hairan.


            “Kenapa Ira?”  tanya Khalilah.  Soalan itu tidak dijawab.  Sebaliknya Samirah tiba-tiba bangun.  Matanya masih pada sudut yang sama buat seketika, sebelum bergerak, bagaikan menyorot satu pergerakan.


            “Ira.”  Samsudin pula memanggil tapi tidak diendahkan Samirah.  Samsudin memalingkan kepalanya, cuba mencari apa yang sedang diperhatikan oleh Samirah.


            Dari jauh perempuan itu nampak macam mama.  Tapi mama pakai tudung, perempuan itu tidak.  Dan perempuan itu jalan berpegangan tangan dengan seorang lelaki sambil berlalu meninggalkan warung.  Ish, tak mungkinlah, bisik hati Samirah.  Terasa hendak pergi ke arah perempuan itu, tapi dia takut.  Takut kalau-kalau perempuan itu memang mama.  Dan kalau perempuan itu memang mamanya, dia segan dengan Aunty Kelly dan Uncle Sam.  Kalau perempuan itu memang mama, betullah kata Aidid.


            Sudahnya Samirah memerhatikan saja perempuan itu masuk ke dalam sebuah kereta Honda CRZ.  Jantungnya berdegup pantas.  Ya Allah, aku mohon kepadamu apa yang aku nampak itu salah.  Semoga pandangan aku menipu.  Semoga perempuan itu bukan mama.  Hatinya berdoa sambil dia perlahan-lahan duduk semula.


            “Ira… Ira nampak orang tu.  Nampak macam kawan kat kolej dulu.”  Cerita yang disampaikan oleh mulut tak serupa dengan kisah yang dirasakan dalam hati.  Hati Samirah masih dipagut dengan satu persoalan besar.

No comments:

Post a Comment