Saturday 22 February 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 22


Hari pertama bekerja di Penang.  Dengan izinNya, semua berjalan dengan lancar di pejabat.  Kawan sepejabat kebanyakannya berbangsa Cina.  Di Unit Kemasukan Pelajar hanya Samirah dan Tasya berbangsa Melayu.  Dua lagi rakan sekerja ialah Alex Mun dan Pooi Yee.  Ketua Samirah pula Mr Patrick Tan.  Tapi Samirah tak kisah bangsa apa sekali pun, dia boleh bekerja dengan mereka. 


Petang menjelang.  Samirah sudah boleh pulang.  Hari pertama dia belum sibuk lagi.  Esok lusa dia belum pasti.  Tapi Samirah rasa tak seronok nak melangkah keluar pejabat tepat-tepat jam 5.30 petang.  Tak mau dianggap clock watcher, jadi Samirah menunggu sekejap.  Dia ingat pesan Aish pagi tadi agar jangan lambat, fikirnya setakat menunggu lima minit dia tak akan terlewat.  Alex dan Tasya sudah bersedia untuk balik.  Pooi Yee masih sibuk menaip.


“Tak nak balik ke?”  Alex bertanya ketika melintasi cubicle Samirah.  Jejaka Cina berambut pacak itu memandang Samirah sambil tersenyum.  Style rambut pacak Alex mengingatkan Samirah kepada Irsyad Rifqi.


“Nak. Jawab Samirah sambil mengemas mejanya.


Let’s go down together.”  Alex mempelawa.  Samirah berdiri.  Komputer sudah dimatikan.  Tangannya mencapai beg dan dia ikut Alex.  Sampai di lobi lif, ramai yang sedang menunggu.


“Time macam ni lif selalu penuh.  Kalau you nak cepat dapat lif, either you leave at 5.30 sharp or you leave later.  Pukul enam lif sudah lengang sikit,” Alex menerangkan tanpa dipinta.  Samirah balas dengan senyuman.  Kemudian jam di tangan dikerling.  Sudah 5.37 petang.  Pesanan Aish pagi tadi terngiang-ngiang di telinga.


Betul kata Alex.  Sudah dua lif sampai di tingkat enam tapi penuh.  Samirah sudah risau.  Janganlah Aish membebel nanti.  Lif ketiga sampai tetap penuh, tapi setakat tubuh Samirah yang kecil molek tu, takkan membuatkan siren terlebih muatan berbunyi.  Alex menyua tangan, mempersilakan Samirah masuk.  Sambil berterima kasih cepat-cepat Samirah masuk.  Terasa bersalah pula meninggalkan Alex yang perlu menunggu lif berikutnya.  Tapi kalau dia tak masuk lif itu, entah berapa lama lagi dia perlu menunggu.

                                                 


Kereta Aish sudah menunggu di hadapan kolej apabila Samirah keluar dari bangunan.  Muka Aish pula dah serupa asam kecut.  Belum sempat Samirah memasang tali pinggang keledar, kereta Aish sudah menderum laju.  Tak lama pun dapat dipandu laju kerana jalanraya sesak.  Aish mula mengeluh.  Dengan keadaan jalanraya macam ini, tak mungkin dia boleh sampai ke kondo Luna menjelang 6.30 petang.  Sesuatu harus dilakukan sebelum Luna marah.


“Hi sayang.”  Aish memanggil sebaik saja terdengar suara Luna di hujung talian.


            “I sangkut dalam jam, I sampai lambat sikit.”


 Aish diam.


“Alah, janganlah marah sayang.  Bukannya I sengaja, tadi I busy sangat.  Habis meeting I terus keluar.  Manalah I tau jalan sesak,” Aish memujuk dengan nada suara yang paling lembut.  Lepas tu diam semula, lebih lama.


“OK baby, I promise.  You siap pakai cantik-cantik untuk I. OK.  Bye.”


            Talian dimatikan.  Aish lega.  Mujur otaknya cepat bertindak dan menggerakkan hatinya untuk menelefon Luna.  Mujur juga Luna belum bersiap.  Kalau dia sudah bersiap dan perlu menunggu lama, tentu dia marah.  Luna tak suka menunggu.  Tapi bila ada photo shoot, sanggup pula dia menunggu berjam-jam.  Mungkin sebab dibayar, fikir Aish.


            Samirah rasa bersalah.  Esok dia akan keluar tepat-tepat jam 5.30.  Tapi kalau dia tak ada pilihan, terpaksa keluar lambat, macam mana?  Tak boleh jadi ni, kena cari jalan.  Dia harus cepat belajar mengenai lalu lintas dan jalan raya di Penang supaya dia tak perlu menumpang Aish setiap hari.


            Sebenarnya bukan dia hendak pun menumpang Aish tapi Aunty Kelly yang beria-ia menyuruh.  Samirah rasa Aish pun tak suka dia naik kereta Aish setiap hari.  Kalau tidak takkanlah berjela syarat diberikan pagi tadi.


            “Kenapa lambat?” Samirah jeling Aish di sebelah.  Peliklah Aish ni, dah berminit-minit duduk dalam kereta dia, baru sekarang ditanyakan soalan itu.  Mata Aish sikit pun tak berkalih dari jalanraya di depan.


            “Lif penuh tadi.  Lif yang ketiga baru Ira dapat masuk.”  Dijawab juga walaupun dalam hati sebenarnya ada rasa tak mau jawab soalan yang Aish tanya dengan nada sombong.


            “Esok-esok kalau kau lambat lagi, aku tinggalkan.  Kau baliklah sendiri.”  Aish memberi amaran.  Sudah dipesan pagi tadi pun tetap dia lambat juga.  Ini baru hari pertama, kalau hari-hari berikutnya dia lambat, lecehlah.  Kalau kebetulan Luna tak ada, tak mengapalah.  Tapi hari yang Luna ada, Aish mesti jumpa Luna.  Bukannya selalu dia dapat jumpa Luna.  Kalau Luna tak bertugas di awan biru pun, Luna selalu sibuk dengan urusan modeling. 


Sejak enam bulan mengenali Luna, inilah kali pertama Luna bercuti selama seminggu dan cuti ini hendak dimanfaatkan dengan menghabiskan masa dengan Aish.  Jadi kalau boleh Aish tidak mahu rugi seminit pun waktu yang boleh dihabiskan dengan Luna.  Dan malang nasibnya, bermula minggu ini jugalah dia perlu menumpangkan Samirah pergi dan balik kerja setiap hari. 


            Perjalanan ke rumah yang sepatutnya mengambil masa 20 minit menjadi 35 minit kerana kesesakan lalu lintas.  Baik Samirah mahu pun Aish masing-masing melayan fikiran sendiri.  Aish berbincang dengan hati sendiri akan nasibnya.  Sudah terbit rasa ingin keluar dari rumah orang tuanya.  Tapi rasa itu belum kuat.  Bila dikenang-kenangkan balik, belum ada alasan kukuh untuk berbuat begitu.  Kalau kerana mengikut kata Luna yang dia terlalu dikongkong mamanya, Aish rasa tak berapa betul pendapat Luna tu.


            Samirah pula sibuk berfikir di mana dan bagaimana hendak mencari mama.  Selepas ternampak kelibat perempuan yang macam mama di tempat makan mi ketam semalam, Samirah segera memberitahu papanya.  Kata papa dia akan minta kenalannya di Penang tolong selidik.  Kata papa lagi, bila ada maklumat papa akan beritahu Samirah.  Tapi hati Samirah berat mengatakan dia tak boleh menunggu saja maklumat dari papa.  Masalahnya dengan ketiadaan kenderaan dan dirinya yang kurang arif tentang selok belok jalanraya di Penang, susah Samirah hendak bergerak.


            “Hoi, dah sampailah!  Kau nak tunggu aku bukakan pintu ke, baru kau nak turun?”  Suara keras Aish menyedarkan Samirah.  Wajah Aish yang tidak mesra direnung sekejap.


            “Terima kasih tumpangkan Ira.  Abang Aish tak turun ke?”  Samirah menyoal sambil tangannya membuka tali pinggang.  Baru dia perasan pagar automatik sudah terbuka tapi kereta Aish diberhentikan di luar.


            “Dah cepat keluar, jangan sibuk hal aku.”  Arahan diberikan diiringi wajah yang cemberut.  Samirah segera keluar.  Belum sempat dia berbuat apa-apa, kereta Aish sudah dipandu laju, meninggalkan dia di luar pagar.  Teruknya dia ni, tak menyempat-nyempat nak jumpa girlfriend.  Samirah merungut dalam hati sambil kaki melangkah mendekati pagar.



“Aunty masak apa tu, sedapnya bau?”  soal Samirah selepas memberi salam.  Sebaik sampai di rumah dia naik ke atas, menukar pakaian dan bersolat Asar.  Sekarang dia di dapur menjenguk kalau-kalau ada bantuan yang boleh dihulurkan kepada Aunty Kelly.


            “Eh Ira dah balik.  Aunty masak kari pisang muda dengan ikan masin.  Ira makan tak pisang muda?” Khalilah tersenyum sambil memandang Samirah yang memandang penuh minat ke arah gulai yang sedang menggelegak dalam periuk.


            “Makan.  Sejak balik, Ira belum lagi dapat makan gulai pisang muda.  Wah, mesti sedap ni.”  Senduk di depan mata diambil dan Samirah mengacau sedikit gulai.  Sedapnya aroma ikan masin yang masuk dalam rongga hidungnya.


            “Aish terus pergi lepas hantar Ira balik?”  soal Khalilah sambil tangannya menghiris timun untuk dimakan dengan sambal belacan.  Samirah yang baru hendak mengeluarkan pinggan dari kabinet berpaling ke arah Aunty Kellynya.  Wajah Aunty Kelly yang keruh membuatkan Samirah kelu.  Hendak bersuara tak pasti apa yang patut dikatakan, hendak mengangguk takut wajah Aunty Kelly bertambah keruh.


            “Itulah yang aunty tak suka.  Kalau Luna ada, Aish pantang ada di rumah.  Tiap-tiap hari mesti keluar dengan budak tu.”  Khalilah mengomel sambil menyambung menghiris timun. 


            “Sejak Aish berkawan dengan Luna, perangai dia berubah.  Ira rasa tak Aish sekarang tak sama macam Aish yang dulu?”


            Alamak, apa hal Aunty Kelly ni tanya aku soalan yang susah-susah.  Macam mana nak jawab ni?  Takkan nak cerita perjalanan pergi kerja aku dimeriahkan dengan bebelan Aish tentang syarat-syarat menumpang kereta dia.  Tak sanggup juga dia menceritakan perihal wajah cemberut Aish bila dia lambat turun dari pejabat dan perihal perbualan telefon Aish dengan Luna dalam kereta tadi.


            Bukan Samirah orangnya suka bercerita tentang orang lain.  Lebih-lebih lagi kalau ceritanya ibarat minyak yang dituang ke atas api, hanya akan menyemarakkan lagi api yang menyala.  Samirah juga tak pandai mengadu.  Mungkin pengalaman empat tahun hidup berjauhan daripada keluarga membuatkan Samirah sudah terbiasa menyimpan masalahnya untuk dirinya sendiri.  Cuma sekarang ini sejak balik, dia sudah boleh bercerita dengan Aidid.  Dan seorang lagi yang melegakan hati bila dia dapat berkongsi cerita dengannya ialah Irsyad Rifqi.


            “Ada dia cakap dengan Ira dia nak pergi mana?”  soalan Aunty Kelly Samirah jawab dengan gelengan kepala. 


            Khalilah mengeluh.  “Ingatkan bila kena hantar Ira balik, dia pun balik juga.  Rupa-rupanya dia tetap nak keluar dengan si Luna tu.”  Omel Khalilah.  Barulah Samirah tahu mengapa beria-ia benar Aunty Kellynya menyuruh dia pergi dan balik kerja dengan Aish.


            “Tu ayam goreng berempah tu, dua hari lepas Aish yang minta.  Penat Aunty goreng, dia tak makan di rumah.”  Aunty Kelly terus menyuarakan rasa terkilannya.  Wajah muram Aunty Kelly ditenung lagi.  Timbul rasa kasihan melihat wajah itu.  Kalaulah dengan menghantar Samirah balik dapat membuatkan Aish lekat di rumah, Samirah akan bersabar dengan kerenah Aish agar hajat Aunty Kelly tercapai.



Menjelang Maghrib mereka sudah selesai makan malam.  Samirah membantu mengemas meja dan membasuh pinggan mangkuk.  Usai kerjanya Samirah meminta diri untuk naik ke atas.  Selepas menunaikan solat Maghrib, Samirah turun.  Tak manis rasanya memerapkan diri di dalam bilik, nanti disangka dia tak pandai bergaul.  Lagi pun sebagai menghormati Aunty Kelly dan Uncle Sam yang sudi membenarkan dia tinggal dengan mereka, Samirah rasa dia harus meluangkan masa untuk berbual-bual dengan mereka.


            “Ira, uncle dan aunty nak keluar.  Biasanya kami solat Isya’ berjemaah di masjid.  Malam ni ada kelas mengaji selepas solat, jadi kami balik lambat sikit.  Ira nak ikut?”  Uncle Sam yang baik hati menerangkan dan mempelawa sebaik saja matanya menangkap kelibat Samirah menuruni tangga. 


            Samirah menggelengkan kepala.  Sambil tersenyum dia berkata “maaf Uncle, Ira nak solat di rumah saja.”  Mungkin malam-malam akan datang dia akan ikut Aunty Kelly dan Uncle Sam ke masjid.  Samirah mahu beribadat di rumah saja malam ini. 


            “Tak apakan, kami tinggalkan Ira seorang?”  Aunty Kelly pula bertanya, ada nada serba salah dalam suaranya.


            “Eh, tak apa Aunty.  Jangan risau, Ira dah besar.  Aunty dan Uncle pergilah.”  Samirah senyum lagi.  Uncle Sam berjalan menuju ke kabinet kunci.  Segugus kunci diambil dan dihulurkan kepada Samirah.


            “Ira ambil kunci ni, manalah tau kamu nak keluar.  Yang ini remote pagar, yang ini kunci pagar kecil dan yang ini kunci pintu.”  Diterangkan satu persatu oleh Uncle Sam. 


            “Rasanya tak perlu Uncle.  Ira tak ada nak pergi mana-mana.  Uncle balik dalam pukul berapa?”


            “Tak tentu.  Biasanya tazkirah habis pukul 10.  Kadang-kadang kami balik terus, kadang-kadang kami lepak minum-minum dengan geng masjid,” jawab Uncle Sam.  Aunty Kelly di sebelah mengangguk, mengiyakan kata-kata suaminya.



Tinggallah Samirah seorang diri dalam rumah berkembar dua tingkat yang terletak di kawasan perumahan ekslusif Beverly Heights di Bukit Gambir.  Rumah itu terasa sunyi, tapi tak menjadi masalah kepada Samirah yang sudah biasa tinggal sendirian dan berjauhan dari keluarga. 


            Selepas aunty dan unclenya pergi, Samirah menghidupkan televisyen.  Masih ada setengah jam sebelum masuk waktu Isya’.  Jarinya menekan satu demi satu saluran tv yang ada, akhirnya berhenti pada satu saluran yang sedang menayangkan berita.  Selepas beberapa minit terasa bosan menonton berita yang tak habis-habis memaparkan kisah politik tanahair.  Macamlah hal politik saja yang perlu diambil tahu, bisik hati Samirah.  Mata masih memandang tv, tapi otaknya mula bertebaran. 


Mula-mula singgah di wajah Irsyad Rifqi.  Hmm, tak ada berita dari Irsyad.  As usual, he is always busy.  Entah berapa hari lagi barulah dijawab mesej yang aku hantar pagi tadi, bisik hati Samirah.


Hilang wajah Irsyad, muncul wajah mama.  Bukan wajah mama yang manis bertudung, tapi wajah yang dia nampak di restoran mi ketam semalam.  Betulkah itu mama?  Apakah mata aku yang tersilap?  Dari jauh susuk tubuh perempuan itu memang macam mama.  Bentuk mukanya pun macam mama.  Kalaulah perempuan itu memang mama, bersediakah aku untuk menghadapi kenyataan bahawa mama memang sudah berubah?  Dan lelaki berjambang nipis yang menuntun tangan mama, itukah lelaki yang kata Aidid telah memporak perandakan keluarga mereka?  Bersediakah aku menghadapi lelaki itu? 



Lelaki berjambang nipis itu kacak.  Dagunya berlekuk, bibirnya nipis, keningnya lebat.  Tapi Samirah tak suka matanya.  Matanya galak memandang Samirah, ditenung dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.  Dan entah kenapa Samirah merasakan pandangannya itu pandangan seorang lelaki gatal.  Ya lah, kalau tak gatal kenapa isteri orang dikacau.  Isteri orang itu pula jauh lebih tua dari dirinya sendiri. 


            “Dah tak cukupkah perempuan muda yang belum berkahwin dalam dunia ni, sampaikan mama saya pun awak nak kacau?”  Samirah bertanya dengan suara yang tinggi nadanya.  Matanya merenung tajam ke arah lelaki berjambang nipis itu.  Lengan mama dipegang kuat-kuat, tak mau mama pergi kepada lelaki itu.


            “Ira, sudahlah tu.  Jangan cakap macam tu.  Dia tak kacau mama.  We both like each other.”  Mama merayu.  Lelaki berjambang nipis itu senyum.  Sakit hati Samirah memandang senyuman sinis yang terbit dari bibir nipis lelaki itu.  Mama dijeling sekilas.  Hatinya terluka dengan kata-kata mama.  Sampai hati mama menangkan lelaki itu. 


            “Kau dengar kan apa mama kau cakap?  Faham kan sekarang?  Mama kau tu, buah hati aku.  We love each sooooo much.  So, jangan ganggu buah hati aku!  Let her enjoy her life.”  Si jambang merapatkan wajahnya ke wajah Samirah. Sambil bercakap keningnya dijongketkan dan matanya dijegilkan. 


Samirah mengetap bibir.  Dadanya berombak menahan kemarahan.  Tangan kanannya sudah mengepal penumbuk.  Dia sudah tak boleh bersabar lagi.  Si jambang nipis ini perlu diajar.  Jangan ingat aku perempuan, aku takut dengan kau.  Demi mama, aku sanggup bertarung dengan kau.  Siap kau jambang nipis!


“Awak ni kurang ajar!”  jerit Samirah.  Serentak dengan jeritannya, tangan kanannya menghadiahkan satu penumbuk.  Tepat kena pada pipi kanan si jambang nipis.  Rasakan!  Cakap macam tu lagi.  Ingat mama aku apa hah, suka-suka mengaku mama aku buah hati kau.  Mama sebut like, dia memandai sebut love.  Dan dia tak ada hak melarang Samirah mendekati mamanya.


Si jambang nipis memegang pipi kanannya sambil menjerit kuat.  Eh, tapi lain pula suara si jambang nipis ni bila dia menjerit.  Rasa macam pernah Samirah dengar suara itu.  Mama pula menggoncang-goncang bahu Samirah sambil menjerit “Ira!”  Eh, kenapa suara mama pun lain?


“Ira!”  Sekali lagi namanya disebut.  Suara lelaki.  Mata Samirah terbuka.  Sekelilingnya terang.


“Kau dah gila ke hah?”  suara lelaki yang sama menengkingnya.  Samirah berpaling.  Di sisinya Aish Mirza sedang memegang rahang kananya.


“Astaghfirullahal adzim!  Ya Allah!  Ira mimpi!”  Sepantas kilat Samirah bangun, duduk tegak di atas sofa.  Allahu Rabbi, tadi dia menonton berita.  Entah bila dia terlelap.  Setakat terlelap tak jadi hal, dia siap bermimpi pula.  Setakat bermimpi pun tak jadi hal.  Yang dah jadi hal sekarang ialah dalam mimpinya dia menumbuk lelaki berjambang nipis, realitinya pipi kanan Aish Mirza menjadi mangsa.


“Sakitlah kau tumbuk aku!  Siap kata aku kurang ajar.  Aku tak buat apa-apalah!”  Aish masih marah, rahang kanannya diusap-usap.  Tak padan dengan kecil dia ni, kuat tumbukan dia.  Menyesal aku suakan muka kat dia tadi.  Keluh hati Aish.


“Ma… maafkan Ira.  Ira bermimpi tadi.  Yang Abang Aish ada kat tepi Ira ni kenapa?”  Baru Samirah tersedar Aish Mirza sedang duduk betul-betul di sisinya. 


“Aku baru balik.  Aku dengar kau menjerit.  Aku datanglah dekat nak tengok kau.  Tak pasal-pasal kau tumbuk aku.”  Aish mendengus.  Terus dia berdiri dan berlalu, meninggalkan Samirah yang masih termangu-mangu. 


Samirah beristighfar lagi.  Tangannya meraup muka.  Kemudian dia menggelengkan kepalanya.  Kesian Abang Aish, hatinya berkata.

No comments:

Post a Comment