Saturday 15 February 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 21

Assalam dan hai3 semua.  Selamat berhujung minggu (dah nak habis hujung minggu kan?)
Selamat membaca bab 21.  Rasanya ramai yang tak suka Aish Mirza lepas ni. :)


“Lambat balik Aish?”  Suara papanya menegur sebaik saja Aish menapak masuk ke dalam rumah tepat 25 minit selepas pukul 12 tengah malam.  Aish tidak pasti sama ada itu adalah ayat penyata atau ayat soal kerana nada suara papanya mendatar.  Aish datang menghampiri papanya.  Entah cerita apa yang sedang ditonton oleh papanya.  Dia duduk di samping papa.

“Papa belum tidur?  Ada cerita best ke?”  Aish bertanya.  Jarang sekali papa menonton tv hingga ke malam.  Biasanya papa lebih suka membaca.  Papa dan mamanya juga suka bermain catur.

“Papa tak kerja esok, tidur lambat pun tak apa.  Aish tu esok nak kerja.  Aish pergi mana sampai balik lewat macam ni?”

Wajah papanya direnung lama.  Selama ini mama saja yang suka bertanya ke mana dia pergi, lebih-lebih lagi kalau dia keluar dengan Luna.  Malam ini papa pun dah join mama jadi penyiasat pencen.

“Papa tak larang Aish nak bercinta.  Tapi janganlah sampai hanyut dibawa arus percintaan.  Jangan disebabkan asyik bercinta prestasi kerja terjejas, tanggungjawab terabai.”

Samsuddin bercakap dengan lembut.  Harapannya Aish akan termakan nasihat yang diberikan.  Bukan sekali, sudah banyak kali Aish balik lambat bila keluar dengan Luna.  Sebelum ini Samsuddin biarkan saja isterinya menegur.  Tapi malam ini dia rasa sudah sampai masanya dia juga menegur.

Aish pamer riak bosan di wajahnya.  Betul kata Luna, aku dah besar.  Seusia ini aku tak perlu dipantau oleh orang tuaku lagi.  Aku tau apa yang betul, apa yang salah.  Apa yang aku buat ni tak salah.  Setakat keluar dengan Luna, bukannya buat apa melainkan shopping, makan, tengok wayang, bowling dan kemudian lepak di kelab.  Aku tak ambil minuman keras, aku tak merokok, aku tak tidur dengan mana-mana perempuan, aku tak berjudi.  I’ve been a good boy my whole life.  Apa lagi yang papa dan mama mau?  Hati Aish bermonolog.

“Aish naik dulu papa.  Good night,”  bicaranya masih lembut sambil tubuhnya ditegakkan.  Saat ini apa yang diinginkan oleh Aish ialah tilam empuk dan bantal gulingnya.
                                                 
“Tunggu sekejap Aish, mama ada hal nak cakap dengan Aish.”  Belum sempat Aish bangun mama yang baru sampai di anak tangga terbawah memberi arahan.  Aish pandang saja mamanya yang sedang menghampiri.  Mama pun belum tidur?  Apa kes ni?

“Mama dan papa nak minta tolong.  Mulai esok Aish tolong hantarkan Ira pergi kerja dan jemput dia balik.”  Tanpa berlengah Khalilah menyuarakan permintaannya.  Dia bersengkang mata menunggu Aish balik untuk berbincang tentang hal itu yang telah dipersetujui oleh suaminya.  Aish diam.  Muka mamanya ditenung.  Otaknya berfikir.  Berat hatinya hendak memenuhi permintaan mamanya. 

 “Alah, lecehlah Ma. Kenapa pulak Aish?”

“Habis, Aish nak suruh Mama atau Papa? Kami kan dah tak kerja. Aish seorang saja yang keluar pagi, balik petang. Sedang eloklah dia tumpang Aish!” suara Puan Khalilah meninggi memarahi anak bongsunya.

“Tak pasal-pasal Aish kena keluar awal. Suruhlah dia naik bas ke, teksi ke.” Aish masih cuba mengelak dari menghantar dan menjemput Samirah ke pejabat setiap hari. Habislah terganggu rutin hariannya nanti.

“Aish Mirza, cuba bercakap tu pakai akal! Mana ada bas masuk kawasan perumahan ni. Lagipun dia baru mula kerja, mana cukup duit dia nak bayar tambang teksi. Setakat keluar 15 minit lebih awal daripada biasa pun kamu nak berkira? Dia tu saudara kamu!”

            Muka Aish sudah cemberut semula.  Tak logiklah Ira tak mampu bayar tambang teksi, Uncle Baharin tu orang kaya.  Tapi Aish hairan juga, kenapa Ira tak diberikan kereta untuk memudahkan dia bergerak?  Entah-entah Uncle Baharin sudah bankrap, atau perniagaannya mengalami kerugian.  Agaknya sebab itu juga perkahwinan Uncle Baharin dan Aunty Latifah musnah, hati Aish menebak. 

            “Aish bukan berkira Mama, tapi lecehlah Ma.  Bukan untuk Aish, untuk Ira juga.  Katalah Aish lambat keluar dari office, dia kena tunggu.  Atau Aish ada hal dan nak cepat tapi dia lambat keluar, tak pasal-pasal Aish kena tunggu dia.”

            Menyirap darah Khalilah.  Kebetulan dia memang sedang bengang dengan kelakuan Aish sekarang, mudahlah dia marah bila mendengar alasan Aish. 

            “Aish Mirza!  Jangan bagi alasan macam budak-budak.  Kalau kamu lambat, pandailah dia tunggu kamu.  Mama yakin dia tak akan bersungut pasal hal kecil macam tu.  Masalahnya kamu tu yang tak boleh kalau tak berjumpa dengan Luna, kan?  Balik kerja kamu mesti nak pergi jumpa Luna.  Mama tak peduli, kamu jumpa Luna ke, Yuna ke, hantar Ira balik rumah dulu.  Mulai esok Ira akan pergi dan balik kerja dengan kamu.”

            Dahi Khalilah berkerut.  Keningnya naik.  Urat lehernya tegang.  Geram betul dia dengan perangai Aish sekarang.  Dia tak peduli.  Aish mesti buat apa yang dia suruh.  Khalilah tahu Aish sudah besar panjang.  Sudah jadi anak teruna yang sudah layak kahwin.  Dia tahu pada usia Aish sekarang tentulah ada keinginan hendak bercinta.  Dia langsung tak melarang tapi janganlah sampai melebihkan kekasih dari keluarga.

            “Lagi pun Aish, office Ira dengan office Aish dekat dan ikut laluan yang sama.  Apa salahnya kita tolong Ira.  Kita tak tau, esok-esok mungkin Aish perlukan bantuan dia.”  Samsuddin pula bersuara.  Tenang nada suaranya walaupun dalam hati dia juga geram dengan perangai Aish.  Tidak pernah dia mengajar mana-mana anaknya berkira bila hendak memberi pertolongan.

            Aish berdiri.  Tak guna terus berada di situ kalau apa yang dia dapat hanyalah arahan demi arahan daripada papa dan mama.  Luna betul.  Aku sudah dewasa tapi setiap pergerakan aku masih dikawal oleh mama dan papa, hati Aish mendesis lagi.

            “Baiklah.  Mulai esok Aish akan hantar dan jemput Ira.”  Tanpa menoleh ke arah papa dan mamanya, Aish terus naik ke atas.  Perasaan marah dan kecewa bersatu dalam hati.


Allahumma yassir wala tuasir.  Robbi tamim bil khoir.  Birohmatikaya arhama rohimin.  Doa meminta agar dipermudahkan segala urusan dibaca.  Kedua tangannya meraup wajah sambil doa diaminkan.  Dengan bacaan Bismillah Samirah melangkah keluar dari biliknya.  Hari ini ialah hari pertama bekerja di Penang.  Ada rasa teruja, ada juga rasa berdebar dalam hatinya.

            Lampu di dapur sudah menyala, menandakan sudah ada orang di situ.  Rajin sungguh Aunty Kelly, bisik hati Samirah.  Bertuah Aish mamanya setiap hari menyediakan sarapan agar perutnya berisi makanan berkhasiat sebelum pergi kerja.  Hatinya berbisik lagi.  Mujur aku turun awal, boleh hulurkan bantuan.  Tak seronok pula kalau turun cukup-cukup waktu untuk makan dan lepas itu terus pergi kerja. 

            Lengan baju kurungnya dilipat supaya tak basah bila membasuh tangan atau pinggan.  Kaki segera dihayun memasuki dapur.  Susuk tubuh seorang lelaki lengkap berpakaian pejabat segera menangkap pandangan Samirah.  Kakinya berhenti melangkah.  Keningnya naik. 

            “Dah siap?” soal Aish sebaik saja dia berpaling.  Lega hatinya melihat Samirah sudah siap.  Samirah pula memandang Aish dengan rasa hairan.  Awalnya dia bersiap, bisik hati Samirah.

            “Kalau dah jom.  Aku nak keluar awal,”  ujar Aish sebelum meneguk segelas susu perisa cokelat.  Sebaik saja susu menghilang dalam tekaknya, gelas dibawa ke sinki dan dibersihkan.

            “Kita nak keluar sekarang?”  berkerut dahi Samirah ketika soalan itu ditanyakan.

            “Yalah, takkan nak keluar pukul 2 petang.”  Aish menjawab dengan sinis.  Kalau diikutkan hati dia mahu lebih sinis daripada itu.  Biar terpamer perasaan kurang senang yang terbenam dalam hati melalui nada suaranya.  Tapi dia masih boleh bersabar. 

            Masuk kerja pukul 8.30.  Sekarang baru pukul 6.50 pagi.  Teruk sangatkah kesesakan jalan raya di Penang sampai kena keluar awal sangat?  Soalan itu yang berlegar dalam fikiran Samirah.  Maknanya kalau nak sarapan dulu sebelum keluar, esok dia perlu bersiap lebih awal lagi.

            “Apa hal kau tercegat kat situ?  Nak ikut aku ke tak?  Ke kau nak pergi kerja sendiri?”  Tadi nada suaranya sinis.  Sekarang suaranya bernada keras.  Pelik, bisik hati Samirah.  Mata Aish yang sedang merenungnya dengan tajam ditatap.  Samirah rasa tak sedap hati bila pandangannya dan pandangan Aish bertaut.

            “Ira nak minum air sekejap,”  laju dia berjalan menuju ke rak gelas.

            “Cepat sikit.  Aku tunggu kat luar.”  Laju juga Aish meninggalkan dapur. 


Langit belum cerah ketika kereta Suzuki Swift Aish bergerak meninggalkan rumah.  Kereta di atas jalan raya belum banyak ketika mereka keluar dari kawasan perumahan.  Aish memandu dengan tenang walaupun sebenarnya hatinya tidak tenteram.  Kalaulah dia tahu dia perlu menghantar Samirah, tidaklah dia berjanji dengan Luna akan bersarapan bersama pagi ini. 

            Samirah di sisi dikerling.  Samirah kelihatan tenang merenung jalan raya di hadapan.  Ini masa yang sesuai untuk aku bagi tau dia syarat-syarat aku, fikir Aish.  Syarat-syarat yang sudah dikarang dalam kepalanya sebelum melelapkan matanya awal pagi tadi diingati satu persatu.  Kalau Samirah boleh mematuhi syarat-syarat itu, dia tak kisah mengambil dan menghantar Samirah setiap hari.

            “Ira.”

            Samirah berpaling memandang abang dua pupunya yang sedang memandu.  Aish Mirza di sebelahnya tetap memandang ke depan.  Panggil aku tapi tak pandang aku.  Kekwat!  Samirah mengutuk dalam hati.  Memang itu yang dirasakan sejak dia sampai kelmarin.  Rasa-rasa Samirah satu-satunya detik yang Aish tidak kekwat ialah ketika mahu mencalit tepung di mukanya semalam.  Selain dari tu terserlah kelainan dalam sikap Aish berbanding Aish yang dulu.

            “Berapa lama kau nak tumpang aku pergi dan balik kerja?” soalan berapi diajukan.  Samirah terkedu.  Dahinya berkerut sedikit.  Wajahnya tetap menghala ke depan tapi matanya dilirikkan ke kanan.

            “Aku tak kisah kau tumpang aku, tapi kau kena ikut syarat-syarat aku.”  Kali ini ayat Aish buat Samirah memalingkan muka ke arahnya. 

            “Aku tak suka orang lambat.  Aku nak setiap pagi pukul 6.45 kau mesti dah turun ke bawah.  Lagi bagus kalau kau dah tunggu aku dekat porch.  Petang, kau habis kerja pukul 5.30 kan?”

            Samirah mengangguk.

            “Paling lewat 5.40 kau mesti dah sampai depan kolej.  Jangan lambat dari tu.  Kalau kau lambat, aku tinggalkan.  Pandai-pandailah kau balik sendiri.”

            Samirah mengangguk lagi.  Rasa macam jadi pelajar sekolah pula, desis hatinya.

            “Kalau aku lambat, tunggu.  Jangan memandai nak balik sendiri.  Jangan complain.” 

            Samirah sudah tak kuasa mengangguk.  Perkataan terakhir Aish buat keningnya ternaik.  Do I look like I like to complain?  Soalnya dalam hati.

            “Lastly, kita balik terus.  Tak boleh singgah mana-mana.  Kalau kau ada urusan, perlu singgah mana-mana, kau uruskan sendiri.  Aku tak layan.”
           
Samirah kalih kepalanya dari menghadap Aish ke arah jalanraya.  Bibir bawah digigit.  Matanya tajam memandang ke depan.  Bengang.  Itulah perasaannya sekarang ini.  Susah sangat Abang Aish ni nak tumpangkan aku.  Agaknya aku ni menyusahkan dia.  Tapi kalaulah menumpangkan aku membawa kesusahan kepada dia, cakaplah elok-elok.  Bukannya aku tak boleh pergi dan balik kerja sendiri.  Mana pergi Abang Aish yang nakal tapi baik hati dulu?  Kenapa yang duduk di sebelah aku ini lain sangat orangnya?

            Sibuk melayan fikiran Samirah tak sedar kereta Aish sudah pun diberhentikan di hadapan bangunan Kolej. 

            “Dah sampai.  Kau tak nak keluar ke?  Kalau nak menung, sambung kat luar.  Jangan buat dalam kereta aku.  Aku nak pergi kerja.”  Amboi lasernya mulut, bisik hati Samirah.  Dikerlingnya Aish sekilas. 

            “Terima kasih.  Maaflah kalau Ira menyusahkan Abang Aish.”  Tangan Samirah pantas menolak pintu kereta.  Kaki melangkah keluar.  Tanpa berpaling dia terus menuju ke pintu masuk bangunan.  Suasana di lobi bangunan sunyi sepi.  Yang ada hanyalah pengawal.  Mana tidaknya, baru pukul 7.30 pagi.  Samirah melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan di lobi.

            Fikirannya mula melayang.  Teringatkan papa dan Aidid.  Nombor Aidid didail.  Gembiranya hati dapat berbual dengan abang merangkap kawan baik.  Tapi tak dapat berbual lama kerana Aidid hendak bersiap untuk pergi kerja.  Salam untuk papa dititipkan kepada Aidid. 

Muncul pula wajah dia.  Wajah kacaknya ketika tersenyum membuatkan Samirah tersenyum juga.  Hendak telefon dia, terasa kurang sesuai pula mengganggu Irsyad di awal pagi.  Lantas Samirah sekadar menghantar pesanan whatsapp, bertanya khabar dan memaklumkan dia teruja hendak mula bekerja di tempat baru.


            Yang terakhir muncul di minda ialah wajah mama.  Mama manis dan sopan dalam hijab berwarna ungu.  Itulah wajah terakhir mama yang dia lihat.  Ketika itu mama, papa dan Aidid menghantarnya ke KLIA dua tahun lepas setelah cutinya berakhir.  Samirah mengetap bibir.  Matanya terasa panas.  Benaknya bertanya di mana mama?  Tidakkah mama rindu kepadaku?’

No comments:

Post a Comment