My next cerpen. I am not sure if the title is suitable. Harap ada yang sudi beri komen dan cadangan tajuk.
Selamat membaca.
Samirah melangkah penuh yakin, menghampiri banglo setingkat
yang berdiri gagah di hadapannya. Loceng
pagar ditekan dan sebentar kemudian pagar yang diperbuat daripada besi tempawan
itu terbuka dengan sendirinya. Tidak
sampai seminit muncul seorang wanita berusia sekitar 50-an di hadapannya.
Bermula daripada hari ini, dia akan tinggal bersama Aunty
Kelly, sepupu ayahnya. Sepatutnya wanita
dengan nama sebenar Kalisah Ridzuan itu dipanggilnya Mak Su tetapi semenjak
kecil Samirah sudah diarahkan memanggilnya Aunty Kelly. Aunty Kelly menetap di banglo itu bersama
suaminya Samsudin dan anak bongsunya Aish Mirza. Dua lagi anaknya, Jefri Mirza dan Ain Mirza
sudah berumahtangga dan menetap di rumah masing-masing.
**********
Samirah menyusun pakiannya di dalam almari. Selesai menyusun, dia duduk di birai
katil. Matanya melilau ke seluruh
bilik. Dalam hati melafazkan syukur ke
hadrat Illahi, berterima kasih kerana memudahkan urusannya. Mujurlah ada Aunty Kelly yang sudi
menumpangkannya sementara dia dapat menyewa rumah lain. Tawaran kerja yang diperolehi
mengkehendakinya segera melaporkan diri, jadi dia belum sempat mencari rumah
sewa. Papa yang mencadangkan agar
tinggal dulu dengan Aunty Kelly.
Teringkatkan Papa, hati menjadi sayu. Kepulangannya dari luar negara setelah habis
pengajian hanya disambut oleh Papa seorang.
Sedangkan dua hari sebelum penerbangannya, Mama berjanji akan
mengambilnya di KLIA bersama-sama dengan Papa.
Rupa-rupanya ada sesuatu yang besar telah berlaku di antara Papa dan
Mama. Enam bulan mereka merahsiakan
perkara itu dari pengetahuan Samirah.
Hancur luluh hati Samirah bila Papa menceritakan hal yang sebenar
kepadanya. Sungguh dia tidak faham
mengapa perkahwinan yang sudah terbina selama 26 tahun boleh musnah. Bukankah tempoh itu sudah cukup panjang untuk
Mama dan Papa mengenali hati budi masing-masing? Tidakkah mereka saling memahami, menerima
kekuatan dan kelemahan masing-masing dan sepatutnya boleh berkompromi? Mengapakah perceraian menjadi pilihan untuk
menyelesaikan kemelut yang melanda?
Samirah buntu memikirkannya.
Lebih mengecewakan apabila abang juga turut merahsiakan perkara ini
daripada pengetahuannya. Alasan yang
mereka berikan ialah tidak mahu mengganggu konsentrasi Samirah yang akan
menghabiskan pengajiannya.
Samirah menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan
perlahan-lahan. Cukuplah dua bulan dia
bersedih. Hidup mesti diteruskan biarpun
berbagai rintangan yang perlu ditempuhi.
Selagi dia yakin Allah sentiasa ada untuknya, selagi itu dia akan
mengharungi hidup ini dengan kecekalan.
**********
Jam loceng berbunyi tepat jam 3.30 pagi. Aish meraba jam loceng yang membingitkan
telinganya dan mematikan jam tersebut.
Kemudian bangun, duduk tegak di atas katil, mengeliat sedikit dan
menurunkan kakinya ke lantai. Berjalan
ke bilik air, mencuci muka dan menggosok gigi.
Keluar dari bilik air dia memeriksa telefon bimbitnya, kalau-kalau ada
pesanan atau miss call. Telefon dipegang
kemas lalu turun ke bawah.
TV dihidupkan.
Sebentar lagi akan berlangsung perlawanan bola di antara Liverpool
dengan QPR. Kalau sudah makan bola,
tidur bola, mimpi bola, mana ada perlawanan yang boleh diabaikan. Tidak kira pasukan mana yang bermain, MU ke,
Chelsea ke, Real Madrid ke, Barcelona ke, atau pasukan-pasukan lain, harus bagi
Aish menontonnya. Lebih-lebih lagi kalau
Chelsea dan MU, dua pasukan kegemarannya yang bermain. Sanggup bersengkang mata untuk bola.
Leka menonton bola, tiba-tiba tekak terasa kering. Aish mengerling tempoh perlawanan yang
dipamerkan di sudut kiri skrin tv. Lima
minit lagi separuh masa pertama akan berakhir.
Ah, tunggu sajalah. Lima minit
bukannya lama.
Sebaik sahaja perlawanan separuh masa pertama ditamatkan,
Aish bergegas ke dapur. Jarak ruang menonton
dengan dapur agak jauh. Sampai di dapur, terus dia meluru ke peti sejuk. Pintu peti sejuk dibuka, sebotol air sejuk
dicapai. Tak sempat mengambil gelas,
terus dibuka penutup botol dan digogok air yang dingin. Terasa nyaman tekaknya bila air dingin itu
mengalir. Belum puas, digogok lagi air
sejuk sambil matanya menyorot ke arah meja makan di dapur. Tiba-tiba mata Aish tertancap pada satu susuk
berpakaian serba putih, dari atas ke bawah.
Makhluk itu duduk tegak di atas kerusi, matanya bulat memandang ke arah
Aish sambil mulutnya terbuka.
Aish pegun. Botol air
di tangan terlepas. Kaki terasa sejuk
dijamah air yang mengalir keluar daripada botol. Aish mahu cabut dari situ tetapi kakinya
bagai dipaku di lantai. Pintu peti sejuk
yang digenggam dengan tangan kanan terlepas.
Suasana semakin gelap. Makhluk
itu tiba-tiba bangun.
“Ha....han....hantu!!!” jerit Aish.
Ash menutup matanya rapat-rapat. Dadanya berdegup laju. Mulutnya kumat kamit membaca surah Al
Fatihah. Bacaannya lintang pukang dek terlalu
takut. Sebutan Bismillah pun entah jadi
apa. Sudah lapan bulan keluarganya menetap
di banglo ini, inilah kali pertama dia mengalami suasana yang menakutkan
ini.
Tak semena-mena terdengar pula suara perempuan ketawa. Aish semakin takut, namun diberanikan juga
dirinya. Kali ini dibaca pula surah Al
Alaq. Dibaca kuat-kuat biar hantu itu dengar dan takut. Namun ketakutan yang menjalar dalam hati
menyebabkan bacaannya jahanam. Bunyi
ketawa kedengaran semakin hampir dengannya.
Aish dapat rasakan hantu itu bergerak menghampirinya. Matanya dirapatkan lagi hingga berkerut
mukanya. Dibaca pula surah An Nas. Sama juga, bacaannya tetap ke laut. Tetapi dia berjaya menghentikan hilai tawa
hantu itu.
“Abang Aish!” suara
lembut memanggilnya.
“Abang Aish! Ni bukan
hantu! Ni Iralah!”
Ira? Siapa Ira? Selain daripada Mama dan Papa, bukankah aku
saja yang tinggal di rumah ni. Bila pula
ada orang bernama Ira dalam rumah ni?
Fikir Aish.
“Abang Aish! Buka
mata!”
Kerutan di muka Aish berkurangan. Rasa takut mula surut. Sedikit-sedikit mata dibuka. Bermula dengan mata kiri, kemudian mata
kanan. Bila kedua-dua mata sudah terbuka
luas, terpampang di depannya satu wajah mulus berbalut telekung. Wajah yang dihiasi sepasang mata yang bundar
dan bibir yang cantik menguntum senyuman.
“Hish! Ingatkan
hantu! Kau siapa?” Aish buat muka garang. Tidak suka dengan senyuman mengejek pada
wajah manis itu.
“Oh Abang tak kenal Ira lagi? Saya Ira, anak Uncle Baharin. Semalam masa saya sampai, Abang tak ada di
rumah.” Samirah memperkenalkan dirinya.
MasyaAllah! Aish
menepuk dahinya. Baru dia teringat Mama
ada memberitahu sewaktu bersarapan semalam Ira akan menetap di rumah mereka.
“Yang awak duduk tercongok kat meja tu dalam gelap buat
apa?” Aish masih geram.
“Kopi” jawab Ira sepatah, sambil tangannya yang menggenggam
sebiji mug diangkat. Kemudian dia
berjalan melintasi Aish menuju ke sinki.
“Kenapa pakai macam ni?
Kenapa tengok saya sambil terbeliak biji mata, mulut terlopong? Mestilah saya ingat hantu!” Aish masih tidak puas hati.
“Ira baru habis solat.
Dah Abang Aish tiba-tiba je meluru ke dapur, mestilah Ira terkejut! Pakaian tu pulak, tak senonoh langsung!” Ira terus berlalu, menuju ke bilik tetamu di
sebelah ruang menonton tv yang kini menjadi biliknya.
Aish memandang Samirah yang berlalu pergi dengan dahi
berkerut.
“Solat apa pagi-pagi macam ni?” dia merungut sambil wajahnya ditundukkan,
melihat pakaian yang melekap di badannya.
Baru dia sedar dia hanya memakai boxer.
“OK apa, bukan ada orang nampak” Aish merungut lagi.
**********
“Ala, lecehlah Ma.
Kenapa pulak Aish?”
“Habis, Aish nak suruh Mama atau Papa? Kami kan dah tak kerja. Aish seorang saja yang keluar pagi, balik
petang. Sedang eloklah dia tumpang
Aish!” suara Puan Kalisah meninggi
memarahi anak bongsunya.
“Tak pasal-pasal Aish kena keluar awal. Suruhlah dia naik bas ke, teksi ke.” Aish masih cuba mengelak dari menghantar dan
menjemput Samirah ke pejabat setiap hari.
Habislah terganggu rutin hariannya nanti.
“Aish Mirza, cuba bercakap tu pakai akal! Mana ada bas masuk kawasan perumahan ni. Lagipun dia baru mula kerja, mana cukup duit
dia nak bayar tambang teksi. Setakat
keluar 15 minit lebih awal daripada biasa pun kamu nak berkira? Dia tu saudara kamu!”
**********
Sudah dua minggu Samirah bekerja di Kolej SEGI di Pulau
Pinang. Bermakna sudah dua minggu dia
menumpang kereta Aish Mirza untuk pergi dan balik kerja. Bermakna juga sudah dua minggu dia menadah
telinga mendengar segala rungutan dan leteran Aish. Waktu pagi tiada masalah kerana dia memang
cepat bersiap. Tetapi waktu petang
adalah di luar kawalannya. Bukannya dia
suka-suka boleh keluar pejabat tepat jam 5.30.
Hari ini pun terkejar-kejar dia menyiapkan kerja dan bergegas turun pada
pukul 5.40. Lif pula penuh, terpaksa
menunggu lif yang berikutnya.
“Lambat lagi!” keras nada suara Aish bila Samirah memasuki
keretanya lebih kurang jam 5.50 petang.
Samirah diam, tidak mahu membalas tegurannya.
“Kau tak ingat ke pagi tadi aku kata jangan lambat? Petang ni aku dah janji dengan Luna nak
jemput dia pukul 6.30, ni dah lambat, aku jugak yang kena marah dengan Luna
nanti. Luna tu pantang kalau aku lambat
sikit, merajuk berhari-hari jadinya. Aku
jugak yang teruk kena pujuk dia. Susah
sangat ke kau nak punctual?”
Aish membebel.
Samirah mendiamkan diri. Dalam
hati berdoa agar jalanraya tidak sesak petang ini agar mereka cepat sampai
rumah. Kalaulah dia bersayap, mahu
sahaja dia meloncat keluar dari kereta ini dan terbang ke rumah. Namun apakan daya, setakat ini dia hanya
mampu menumpang Aish. Kalau tidak kerana
Mama, tentu dia tidak mencari kerja di Pulau Pinang. Demi Mama dan Papa, biarlah dia menanggung
sedikit kesusahan.
Telefon di dalam beg berbunyi. Bagus juga ada panggilan, boleh mematikan
bebelan Aish Mirza. Samirah tersenyum
tatkala melihat nombor papanya di skrin.
Salam diberi dan kemudian dia bertanya khabar papa. Selepas itu Samirah diam. Lama diamnya, mendengar dengan penuh khusyuk
apa yang dibicarakan oleh papanya.
“Papa, boleh tak papa mesejkan alamatnya? Ira dalam kereta sekarang, tak ada pen dan
kertas. Boleh..?”
Belum sempat Samirah menghabiskan ayatnya, Aish menghulurkan
sebatang pen yang ditarik daripada kocek bajunya.
“Papa sekejap,” segera Samirah mencapai pen tersebut. Butang speaker di telefon ditekan. Kemudian dia mengorek begnya mencari
kertas. Terjumpa sekeping resit. Diterbalikkan resit tersebut.
“OK papa, apa alamatnya?”
**********
Samirah membaca semula alamat di atas resit yang dia
perolehi daripada papanya semalam. Teluk
Bahang, di mana tempat ini ya? Jauhkah
dari sini? Kalau dekat aku boleh pergi
sendiri, tetapi kalau jauh bagaimana hendak ke sana, aku bukannya ada
kenderaan. Semua persoalan itu berlegar
di minda Samirah.
Dia turun dari katil lalu bergerak ke meja tulis. Komputer riba dihidupkan. Modem jalur lebar dicucuk di sisi komputer
ribanya. Sebentar kemudian dia melayari
laman Google dan membuka beberapa laman sesawang yang disenaraikan oleh Encik
Google setelah kata carian “teluk bahang”
ditaip. Hati merasa lega apabila
maklumat yang diperolehi menunjukkan tempat tersebut tidak terlalu jauh. Malahan dari Google Map dia berjaya
mendapatkan laluan yang perlu diambil untuk ke Teluk Bahang.
Setelah komputer ribanya dimatikan, Samirah segera
keluar. Niatnya mahu memberitahu Aunty
Kelly bahawa dia ingin meminjam kereta Aunty Kelly pada hari Sabtu nanti. Dia mencari Aunty Kelly di dapur, tetapi
Aunty Kelly tiada di situ. Di ruang
makan juga tiada, di ruang menonton pun sama.
Matanya mengerling jam di dinding, baru pukul sepuluh malam. Lazimnya di waktu begini Aunty Kelly dan
Uncle Sam menonton tv bersama-sama, satu aktiviti yang dikagumi oleh Samirah
kerana mama dan papanya jarang sekali menonton tv bersama-sama. Samirah bergerak ke tingkap. Langsir diselak sedikit dan dia mengintai
keluar. Kereta Uncle Sam tidak
kelihatan, maknanya mereka berdua mungkin keluar sebentar.
“Intai apa tu?” suara
garau yang menegur dari belakang membuatkan Samirah terkejut hingga terjerit
kecil. Dia berpaling. Aish Mirza dengan wajah serius memandang
tepat ke arahnya dengan pandangan yang tajam.
Samirah mengurut dadanya sambil menjeling ke arah Aish.
“Tak reti ke nak bagi salam dulu? Buat orang terkejut saja,” marah Samirah.
“Suka hati akulah nak bagi salam ke tidak.” Seperti biasa jawapan yang keluar daripada
mulut Aish Mirza pasti menyakitkan hati.
Sejak hari pertama dia tiba di sini, Samirah dapat merasakan Aish Mirza
tidak menyenanginya. Suka atau tidak,
tidak penting baginya. Yang penting
Aunty Kelly dan Uncle Sam menerimanya dengan baik. Lagipun dia hanya tinggal sementara di
sini. Cukup masanya dia akan pergi. Berpindah ke rumah sewa atau mungkin pulang
ke Kuala Lumpur.
“Aunty Kelly mana?”
“Nak buat apa cari Mama aku?”
“Nak pinjam kereta.”
Dengan jujur Samirah memberitahu.
“Buat apa?” Aish
menyoal dengan wajah masam mencuka.
Matanya bulat merenung wajah Samirah.
Dia mara beberapa tapak mendekati Samirah. Tindakan yang menimbulkan rasa tidak senang
di hati Samirah. Baru dia sedar hanya
mereka berdua di rumah ketika ini. Tidak
wajar dia berada lama di sini.
“Tak apalah,” jawab Samirah ringkas dan bergerak ke kanan,
mahu meninggalkan ruang tamu. Sepantas
kilat Aish turut bergerak ke kiri, menghalang laluan Samirah. Samirah mula rasa cuak. Apahal mamat ni, main haling-halang orang
pula. Getus hatinya. Risau juga, dalam keadaan berduaan begini,
kalau-kalau makhluk dilaknati Allah memainkan peranan menghasut niat jahat ke
dalam hati Aish.
“Cakap dulu, kenapa nak pinjam kereta Mama?” Aish kini bercekak pinggang di hadapannya.
“Ira nak pinjam kereta Aunty, bukan kereta Abang Aish. Yang Abang sibuk kenapa?” Samirah mula hilang sabar hingga hilang juga
kesopanan bicaranya.
“Kau duduk rumah aku, jangan nak berlagak ya. Apa yang aku tanya, jawab.” Aish Mirza pula mula hilang sabar dengan
sikap Samirah. Kakinya melangkah setapak
ke hadapan, mendekati Samirah. Debaran
mula terasa di dada Samirah. Jantungnya
berdegup kencang. Terasa wajahnya
membahang, tidak pasti apakah kerana marah atau gugup dek kedudukan Aish Mirza
yang sangat hampir dengannya.
Namun Samirah tidak mahu mengalah. Selama ini dia bersabar dengan sikap
Aish. Tetapi malam ini dia tidak akan
mengalah. Diangkat wajahnya, mendongak
sedikit memandang muka Aish. Dua pasang
mata bertembung. Dan dua hati sama
berdebar.
“Kalau Ira tak nak jawab?”
entah dari mana datangnya keberanian, Samirah menuturkan soalan yang
bagaikan mencabar kesabaran Aish. Dia
yakin Aish tidak akan berani mengapa-apakannya.
Namun sebagai langkah berjaga-jaga, kaki mengundur setapak ke belakang.
Aish pula maju ke depan, memaksa Samirah berundur lagi. Senyuman sinis tersungging di pinggir
bibirnya. Nak main-main dengan aku ya,
kau belum kenal siapa Aish Mirza, hatinya berbisik. Matanya tetap lekat pada anak mata Samirah
yang tajam merenungnya. Aish menundukkan
kepala, merapatkan wajahnya dengan Samirah.
Samirah terpempan. Jantung
berdegup semakin laju. Ingin berundur
lagi namun langkahnya tersekat kerana belakangnya sudah tersandar pada dinding.
Tidak sanggup lagi menatap renungan Aish yang bagaikan menembusi jantungnya,
ditutup matanya rapat-rapat. Tidak
pernah dia berdiri serapat ini dengan mana-mana lelaki. Keberanian yang tadinya menggunung, kini
ranap. Terasa menyesal menurut kata
hati.
“Ira” lembut suara Aish memanggil, terdengar dekat di
telinganya. Mujurlah dia bertudung, jika
tidak pasti hembusan nafas Aish akan terasa di telinganya. Jari Aish kini lekat di dagunya,
menjungkitkan mukanya ke atas.
“Betul ni kau tak nak jawab?” soal Aish. Samirah membuka mata dan serentak itu air
jernih menitis dari kelopak matanya. Rasa
takut menyelubungi dirinya. Walaupun
wajahnya kini mendongak, anak matanya dilarikan ke bawah, tidak sanggup menentang
renungan Aish.
“Ira... Ira nak pergi... cari... mama” akhirnya dijawab
pertanyaan Aish, dengan suara yang tersekat-sekat dan diselangi esakan. Dengan segala kudrat yang ada, ditolak dada
Aish dan pantas dia berlari ke biliknya.
Aish kaku. Matanya
hanya mampu melihat Ira berlari dan menghilang.
Terasa bagaikan satu ketulan besar tersekat di kerongkongnya.
**********
Perjalanan ke pejabat yang mengambil masa 20 minit terasa
bagaikan 20 jam. Masing-masing melayan
perasaan sendiri. Samirah menongkat dahi
dengan tangannya disandarkan ke tingkap kereta, matanya memandang ke sisi di
sepanjang perjalanan.
Memang mereka jarang berbual sepanjang perjalanan pergi dan
balik. Namun pagi ini terasa amat
janggal. Aish tahu dia bersalah dalam
hal ini. Niatnya hanya mahu menyakat,
tidak disangka dia telah menakutkan Samirah.
Kalaulah perkara ini sampai ke pengetahuan mama dan papanya, pasti dia
akan teruk dimarahi mereka.
Aish berdehem, cuba untuk memancing perhatian Samirah tetapi
gadis itu tetap memandang ke luar, tidak berpaling walau seinci pun. Dan apabila keretanya berhenti di hadapan
kolej, Samirah terus keluar. Tiada
ucapan terima kasih dan lafaz “assalammualaikum”, seperti lazimnya.
Situasi yang sama berterusan di waktu petang. Aish memandu sambil berlagak tenang, namun di
sudut hati tersisip rasa bersalah yang amat mendalam.
“Bila nak pergi cari mama kau?” akhirnya Aish memulakan bicara. Samirah berpaling. Direnungnya Aish yang sedang memandu. Betul ke dia tanya ni, hati Samirah berbisik. Mukanya dipaling semula ke hadapan.
Giliran Aish pula berpaling, memandang Samirah yang sedang
merenung jalan raya di hadapan. Lampu
isyarat bertukar hijau, Aish meneruskan pemanduan.
“Dengar tak aku tanya tadi?” soal Aish, tetapi kini dengan nada
lembut, tiada nada tegang atau sinis seperti lazimnya.
“Kenapa nak tau?”
Samirah menjawab dengan soalan.
“Ira, jangan cari pasal boleh tak? Jawab sajalah soalan aku. Aku tak mahu kita bergaduh macam malam tadi.”
Samirah bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru
didengarnya. Betulkah pendengarannya,
atau si Aish yang tersalah cakap? Apa
yang terjadi malam tadi bukan salahnya, Aish yang mulakan dahulu.
“Ira,” kali ini suara
Aish meninggi sedikit, mungkin bosan menanti jawapan daripada Samirah.
“Esok.” Akhirnya Ira
menjawab.
“Pukul berapa?”
“Pagi, pukul 9.”
“Aku bawakan kau pergi.”
Samirah menoleh ke arah Aish yang tetap memandang ke
hadapan. Biar betul mamat ni, aku tak
minta tolong, dia sendiri menawarkan diri.
Rasa was-was mula bersarang dalam hati.
Entah-entah dia nak kenakan aku, bisik hatinya.
“Tak apalah, Ira pergi sendiri. Nanti malam Ira cakap dengan Aunty nak pinjam
kereta dia.”
“Kau tau ke jalan-jalan kat Penang ni?”
“In sya Allah, boleh cari.
Google maps kan ada.” Ira
menjawab penuh yakin.
“Tengok alamatnya,” pinta Aish sambil tangannya disuakan ke
Samirah.
Samirah pandang Aish lagi.
Mata Aish tetap ke jalanraya, tetapi tangan sebelah kiri disuakan ke
Samirah. Akhirnya dengan perlahan
Samirah keluarkan resit dari dalam beg tangannya dan diberikan kertas kecil itu
kepada Aish. Setelah membaca tulisan di
atas resit itu, Aish kembalikannya kepada Samirah.
“Aku minta maaf.”
Samirah menoleh lagi ke kanan. Dahinya berkerut, matanya membulat memandang
Aish.
“Pasal malam tadi, aku minta maaf.” Bagaikan mengerti apa yang bermain di minda
Samirah, Aish ulangi permohonan maafnya.
“Aku tak sengaja. Don’t worry, it won’t happen again.”
**********
Samirah merenung Selat Melaka di hadapannya. Airmata menitis deras di pipinya. Apa yang dilihatnya tadi terbayang-bayang di
hadapan mata. Minggu lepas, dengan
bantuan Aish yang tetap berkeras mahu membawanya mencari mama, dengan mudah
mereka berjumpa alamat yang diberikan oleh papanya. Nasib tidak menyebelahinya kerana tiada yang
membuka pintu apartment di tingkat tujuh.
Hari ini mereka datang lagi, namun belum sempat Samirah dan Aish naik ke
tingkat tujuh apartment, Samirah nampak mamanya. Tetapi apa yang dia nampak bukanlah sesuatu
yang dijangka. Malah sangat-sangat di
luar jangkaan dan membuatkan hatinya remuk.
Kecewa dan sedih bersatu. Dia
kaku memandang mama berjalan sambil berpegangan tangan dengan seorang lelaki muda.
Mamakah itu? Kenapa
mama jadi begitu? Kenapa pakaian mama
tidak seperti apa yang biasa mama pakai?
Mana hilangnya tudung yang menutup aurat mama? Siapa lelaki itu? Kalau dia bukan muhrim mama, mengapa mama
sanggup bersentuhan dengan lelaki itu? Patutlah
kata abang dia hanya berjumpa dengan mama sekali sahaja dan dia tidak mahu
berjumpa lagi dengan mama.
“Ira,” lembut suara Aish memanggil, membawa Samirah kembali
ke alam nyata. Samirah berpaling ke arah
Aish. Sapu tangan yang dihulurkan Aish disambut, lantas airmatanya dikesat. Habis dikesat, tumpah pula airmata yang
baru. Samirah terlalu sedih, hingga
tidak mampu berhenti menangis.
“It’s ok to cry, for
crying can heal your pain and wash away your sorrow.”
Samirah mengangguk, mengiyakan kata-kata Aish.
“Ira tak sangka,” katanya dengan suara yang serak dek
tangisan yang berterusan.
“Masa baru balik dari US, bila papa bagitau mereka dah
bercerai, Ira nangis. Ira call mama, tapi
mama tak nak bagitau kenapa mereka bercerai dan tak nak Ira tau di mana dia
tinggal. Ira nangis lagi. Dua bulan Ira bersedih. Tapi tak sama dengan hari ni. Bukan sedih dan kecewa saja, Ira malu. Kenapa mama jadi macam tu?”
“Dia tetap mama Ira.
Dia mama yang baik kan? Mungkin
dia terpengaruh, atau ada faktor lain yang menyebabkan dia berubah. Ira boleh bawa dia balik ke pangkal jalan.”
Aish menelan air liur.
Bagaikan tidak percaya dia memberi nasihat. Sedangkan selama ini dia yang sering
dinasihati. Oleh papa, mama, abang Jeff
dan kak Ain, juga oleh kawan-kawan. Aish
Mirza, anak bongsu yang banyak songeh hari ini bercakap bagaikan seorang lelaki
yang matang kepada gadis manis bernama Samirah yang semakin dekat di hatinya.
Baik Aish mahupun Samirah tidak menyedari, tidak jauh
daripada mereka, sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan hati yang
membengkak.
**********
“Ira!”
Langkah Samirah mati tatkala mendengar namanya dipanggil
dengan keras. Dia berpusing dan di
hadapannya seorang gadis berambut perang, memakai t shirt sendat dengan seluar
jeans paras lutut berjalan menghampirinya.
“Kenal aku?” soal gadis berwajah garang itu.
Samirah merenungnya dari atas ke bawah. Sudah tentu dia kenal. Inilah orangnya yang sering menyebabkan dia
dimarahi oleh Aish sekiranya dia lambat keluar daripada pejabat.
“Cik Luna. Apa
khabar?” Tanpa prasangka Samirah
menghulurkan tangan untuk berjabat.
Wajahnya dimaniskan dengan senyuman.
Sebaliknya huluran tangannya tidak bersambut, senyumannya tidak
berbalas.
“Kau tau kan Aish tu boyfriend
aku?”
Soalan dijawab dengan anggukan.
“Good. Then stay away from him. Jangan ganggu buah hati aku!”
Dengan tegas Luna memberi arahan. Matanya tajam memandang Samirah. Kebencian, cemburu dan amarah yang membusung di dada tergambar
di sebalik renungannya.
“Sorry Cik Luna,
saya tak faham,” Samirah bersuara.
“Jangan buat-buat tak faham.
Masa you baru datang sini,
Aish bukan main menyampah dengan you.
Sekarang ni dah jadi lain. Entah
apa yang you dah buat. Aku nak bagi peringatan sekali lagi, jangan
ganggu buat hati aku.”
Luna berlalu pergi, meninggalkan Samirah yang masih
termangu-mangu.
**********
Samirah menyidai sejadah dan telekung. Di dalam hati dia melafazkan kesyukuran
kerana berjaya bangun untuk bertahajjud.
Sesungguhnya bukan mudah mengorbankan waktu tidur untuk bertahajjud
kepada Allah. Keletihan, rasa mengantuk
yang amat sangat dan rasa malas yang hebat seringkali menggagalkan rancangan
untuk bersolat di sepertiga malam.
Kerana itulah Allah memberi ganjaran yang besar kepada hambaNya yang
rela mengorbankan waktu tidur demi melaksanakan solat sunat ketika insan lain
lena diulit mimpi.
Tekak terasa kering.
Samirah membuka pintu biliknya.
Belum sempat keluar, dia mendengar bunyi dari ruang menonton tv. Pastinya Aish Mirza sedang bergembira melayan
siaran perlawanan bola sepak. Samirah
mengenakan tudungnya sebelum keluar dan menuju terus ke dapur. Sampai di dapur, terasa hendak minum hot
chocolate. Lalu dia menjerang air. Sementara air mendidih, paket kecil
mengandungi Cadburry Hot Chocolate disiat dan isinya dituang ke dalam mug.
Tiba-tiba lampu di ruang yang menempatkan meja yang
berdekatan dengan dapur dinyalakan. Aish
Mirza datang menghampiri Samirah.
“Abang Aish, tengok bola?”
soal Samirah. Dibalas Aish dengan
anggukan.
“Nak minum?” Aish
mengangguk lagi.
“Hot chocolate?”
“Boleh.”
Dua mug berisi hot
chocolate diletakkan di atas meja.
Samirah mengambil tempat duduk bertentangan dengan Aish.
“Ira bangun solat?”
Samirah sekadar mengangguk.
Bibirnya dimuncungkan ke tepi mug, meniup sedikit hot chocolate yang masih panas.
“Ira bangun solat, saya pula bangun tengok bola. Malu saya dengan Ira. “ Ujar Aish perlahan. Matanya merenung mug di atas meja. Memang itulah yang dirasakan sekarang. Untuk bola, sanggup dia mengorbankan
tidurnya. Untuk bertahajjud, belum
tentu.
“Apa kata setiap kali abang Aish bangun untuk tengok bola,
bangun awal sikit dan buat tahajjud dulu.
Atau pun selepas habis game,
abang Aish solatlah. Tengok bola dapat
seronok tapi buat tahajjud dapat pahala”
Samirah memberi cadangan.
Aish mengangguk.
Dalam hati mengakui kebenaran kata-kata Samirah.
“Ira masuk dulu.”
Samirah berdiri, mahu membawa mug yang sudah separuh kosong ke bilik. Tidak elok duduk berduaan dengan Aish.
“Ira,” laungan lembut Aish mematikan langkahnya. Wajah Aish direnung.
“Thanks.” Ujar Aish sambil tersenyum. Samirah merendahkan pandangan. Tidak sanggup menatap senyuman Aish. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini,
jantungnya berdetak laju bila bertentang mata dengan Aish.
**********
“Are you okay?” soal Aish bila Samirah lama mendiamkan
diri.
Samirah hanya mampu mengangguk. Airmata diseka dengan jari. Teringat pertemuan dengan mama petang
tadi. Pertemuan yang kelima dalam masa
dua bulan. Di akhir setiap pertemuan,
dia memujuk mamanya agar kembali kepada papa, namun jawapan mama tetap
sama. Kata mama dia bahagia dengan
kehidupannya sekarang. Kata mama lagi
bulan hadapan dia akan bernikah dengan Zaqeef, jejaka yang 13 tahun lebih muda
daripadanya.
Dalam setiap doanya, Samirah memohon agar Allah memberi
petunjuk kepada mama. Dia juga berdoa
agar Zaqeef benar-benar ikhlas mahu mengahwini mama, dan dapat membawa mama
kembali ke landasan yang benar. Samirah
redha akan ketentuan ini. Dia sangat
yakin di sebalik kejadian, ada hikmah yang Allah sembunyikan. Lambat laun hikmahnya pasti akan
terserlah.
Samirah menarik nafas lega.
Dada terasa lapang selepas menceritakan semuanya kepada Aish, sambil
mereka berjalan menyusuri Gurney Drive.
Aish yang dulu dingin terhadapnya kini sentiasa menghantar dan
menjemputnya pada setiap pertemuan dengan mama, kemudian sudi pula mendengar
segala luahan hatinya. Tiada lagi
rungutan dan bebelan dari mulut Aish.
Namun terselit juga rasa gusar di hati Samirah, khuatir kalau-kalau
keakraban mereka disalah anggap oleh Luna.
Kejadian Luna memberi amaran kepadanya dua bulan lepas terbayang semula
di mindanya. Diceritakan peristiwa itu
kepada Aunty Kelly, tetapi dia meminta Aunty Kelly merahsiakan dari pengetahuan
Aish.
“Aish!” baru sahaja
dia teringatkan Luna, muncul pula gadis berambut perang itu di hadapan
mereka. Bulat matanya memandang Aish dan
Samirah.
“Patutlah tak nak keluar dengan I, rupa-rupanya berdating
dengan budak ni!”
Baik Aish mahupun Samirah pegun, terkejut dengan kehadiran
Luna.
“Hei perempuan! Kau
tak faham bahasa ke? Kan aku dah bagitau
jangan ganggu buah hati aku! Kau tentu
tak suka kalau orang kacau boyfriend
kau kan, so stay away from my boyfriend!”
Luna merenung tajam, bagaikan tembus anak mata Samirah dek
renungannya. Kemudian berkalih pandang
ke arah Aish. Terus bertukar riak
wajahnya, dari bengis menjadi manis.
Senyuman dilemparkan kepada Aish.
Tangan Aish diraih.
“Aish, I miss you
sayang. Kenapa dah lama tak call?”
“Call buat apa, you bukannya ada. Asyik fly
aje.” Jawab Aish sambil menarik
tangannya, namun genggaman Luna semakin kuat.
“Mana ada, I fly few
days a week je sayang. Lepas tu I
terperap je kat rumah. Bosan tau.” Luna bercakap dengan gaya manja, bikin
Samirah rasa menyampah melihatnya.
Rupa-rupanya minah perasan ni stewardess,
bisik Samirah di dalam hati. Samirah
bergerak ke tepi, menjarakkan dirinya daripada mereka berdua.
“Kalau bosan ajaklah boyfriend
you yang berderet-deret tu
keluar. Kan you yang kata, kalau setakat orang macam I, berderet-deret nak jadi boyfriend
you,” Aish bernada sinis. Memang itulah yang diucapkan oleh Luna
ketika mereka bertengkar tiga minggu yang lepas.
“Memanglah I ramai
boyfriend, but you know right, they are just friends. You
sorang saja yang betul-betul buah hati I,” Luna bernada merengek. Aish semakin rimas, direntap tangannya
daripada genggaman Luna. Samirah rasa
hendak muntah, lantas dia angkat kaki.
“Listen carefully, I
have never been your buah hati, you
know that very well. I rasa you faham kalau I dah
lama tak call you, maknanya this relationship can’t go. For your info, I ada buah hati lain dan I nak
pesan jangan ganggu buah hati I.”
“Must be that bitch
named Ira, right?” Luna bernada
geram. Memang dia sudah agak Aish sudah
jatuh hati dengan sepupunya itu, namun sebelum ini sering Aish
menafikannya.
Menyirap darah Aish bila mendengar gelaran yang diberikan
oleh Luna kepada Samirah. Dia tahu
sebelum ini Luna pernah memberi amaran kepada Samirah. Hari ini, dia mahu memberi amaran yang sama
kepada Luna.
“She’s not a bitch,
she’s an angel. Orang macam kau tu
yang layak dipanggil bitch. Aku nak ingatkan sekali lagi, jangan ganggu
buah hati aku. Antara kita tak ada apa-apa
hubungan. In case you forgot, we broke off three weeks ago.”
Aish beredar, meninggalkan Luna yang sedang bengang. Laungan Luna tidak dihiraukannya. Petang ini dia yakin dia telah membuat
keputusan yang tepat memutuskan hubungan dengan Luna. Semakin lama mengenali Luna, dia tahu gadis
itu tidak sesuai dengannya. Wajahnya
cantik, tetapi akhlaknya kurang.
Berlagak bagaikan mencintainya tetapi Aish tahu sebenarnya Luna sering
keluar dengan lelaki lain. Ditambah pula
dengan sikap kuat cemburu, suka mengongkong, perasan dan sentiasa mahu
permintaannya dipenuhi, elok sangat mereka berpisah.
**********
“Sungguh ke Ira?” tanya Puan Kalisah. Ada nada sedih dalam suaranya. Samirah bagaikan penyeri rumahnya, teman
berbual, kawan memasak dan pendamping sewaktu membeli belah. Suaminya dan anak-anaknya juga sukakan
Samirah.
“Betul aunty. Dah tak
ada sebab untuk Ira terus tinggal di sini.
Mama tetap tak akan balik kepada kami.
Lebih baik Ira balik KL, boleh temankan papa.”
Samirah juga sedih.
Sudah tiga bulan dia menumpang di rumah Aunty Kelly, banyak jasa Aunty
Kelly sekeluarga kepadanya. Dia pasti
akan merindui keluarga ini.
“Habis tu, bila Ira nak balik?” soal Puan Kalisah. Dia tahu dia tidak berhak menghalang Samirah
pulang.
“Lusa. Papa dan abang
akan datang jemput Ira. Mereka pun dah
lama tak ziarah aunty kan?”
Puan Kalisah hanya mampu mengangguk. Wajah Samirah direnungnya lama-lama.
Keesokan harinya dimaklumkan perkara itu kepada Aish. Nampak jelas wajah Aish berubah bila mendapat
berita tersebut. Puan Kalisah yakin
hanya Aish yang dapat menghalang Samirah dari pulang.
**********
Suasana di Gurney Drive riuh rendah dengan kehadiran
penduduk tempatan dan pelancong di petang Sabtu. Ada yang menjamu selera, ada yang sekadar
berbual-bual, ada juga yang berjalan-jalan di sepanjang pantai.
Aish Mirza merenung air laut yang membiru. Suasana redup dengan bayu yang berhembus
lembut bagaikan selari dengan hatinya yang gundah gulana. Dia tidak mahu Samirah pulang. Wajah mulus Samirah yang duduk berhadapan
dengannya ditenung. Hati menjadi tenang
menatap wajah yang langsung tidak dicemari dengan secalit mekap pun. Namun keayuannya terserlah.
“Ira,” Aish memanggil lembut. Samirah mengangkat muka, memandang Aish. Mata mereka bertatapan. Dadanya tiba-tiba berdegup pantas. Entah kenapa, semenjak mereka semakin rapat,
selalu sahaja jantungnya berdegup pantas bila mereka saling berpandangan.
“Jadi ke balik esok?”
Aish bertanya soalan yang sudah diketahui jawapannya. Jauh di sudut hati dia berharap Samirah akan
berkata “tidak”.
Samirah sekadar mengangguk.
Kemudian wajahnya ditundukkan, matanya berkalih merenung jus tembikai di
atas meja. Debaran di dada belum surut,
timbul pula rasa sebak. Rasa yang kuat
bertandang bila mengenangkan dia akan merindui Aish dan keluarganya.
“Boleh tak kalau saya minta Ira jangan balik?”
Samirah panggung kepala.
Membalas renungan Aish yang bagaikan menyerap seluruh raganya.
“Tak ada sebab untuk Ira terus tinggal di sini.” Matanya dilarikan semula ke bawah.
“Ada.” Aish menarik
nafas dalam-dalam. Dadanya bagaikan
dipalu-palu. Gementar ini harus hilang,
maka perasaan yang terbuku ini harus diluahkan segera.
“Ira mesti tinggal di sini, untuk jadi penghibur dan teman
bicara saya, selagi ada hayat dan selagi diizinkan Allah.”
Samirah panggung kepala semula. Merenung wajah Aish dan cuba mentafsir maksud
permintaan Aish. Dia tahu namanya
bermaksud penghibur atau teman bicara, tetapi apakah yang sebenarnya ingin
disampaikan oleh Aish.
“Esok papa dan Aidid datang, kan?” soal Aish.
Dibalas Samirah dengan anggukan.
Otak masih mencerna kata-kata Aish Mirza tadi.
“Boleh kan esok, kalau saya beritahu papa Ira, saya nak
kahwin dengan Ira?”
Samirah memandang Aish tanpa berkelip. Separuh hatinya tidak percaya dengan apa yang
baru didengarinya, separuh lagi hatinya bersorak keriangan. Kini dia tahu apakah punca debaran yang
sering bertandang di dada bila berhadapan dengan Aish. Terasa wajahnya membahang. Air jerneh mula bertakung di kelopak mata,
tangisan kegembiraan yang akan menitis bila-bila masa sahaja.
“Tu muka merah tu, maknanya setuju kan?” Aish mengusik, bibirnya mengorak
senyuman.
Samirah hanya mampu mengangguk. Akhirnya tumpah juga airmata kegembiraan
itu. Lafaz syukur terbit dari
bibirnya. Sebuah senyuman dihadiahkan
kepada Aish.
**********
“Kenapa Ira?” soal
Samirah.
“Kenapa tidak?” soal
Aish Mirza.
“Kan dulu abang tak suka Ira?”
“Kan masa tu abang tak kenal Ira?”
Kedua-dua mereka diam.
Mereka berjalan sambil berpegangan tangan menyusuri Pantai Cenang. Pulau Langkawi menjadi lokasi berbulan madu,
hadiah daripada Puan Kalisah dan suaminya.
Aish berhenti berjalan.
Badannya dipusingkan menghadap Samirah.
Kedua-dua tangan isterinya digenggam lembut.
“Iralah satu-satunya manusia yang berjaya membuatkan abang
berhenti memakai boxer waktu tengok bola seorang diri di tengah malam.”
Samirah ketawa sekuat hatinya. Terasa sangat lucu kata-kata yang diucapkan
oleh Aish. Sangat lucu hinggakan dia
tidak mampu berhenti ketawa. Tangan
kanannya dibawa menekup mulut. Aish
tersenyum lebar, suka melihat gelagat isterinya.
“Abang ni kelakarlah,”
ujar Samirah di hujung tawanya.
Aish menggenggam erat tangan kiri Samirah dan dibawa ke
mulut lalu dikucup.
“Ira jugalah yang menyedarkan abang tentang kepentingan
tahajjud. Sebelum kenal Ira, abang tak
pernah solat tahajjud, kecuali masa ikut program di universiti dulu. Itu pun berapa kali aje abang buat dan habis
universiti abang tak ambil berat langsung pasal amalan bertahajjud.”
“Alhamdulillah,” sepatah jawab Samirah. Dia bersyukur kehadirannya dalam hidup Aish
membawa kebaikan.
“Ira janji, Ira akan jadi penghibur dan teman bicara abang,
selagi Allah izinkan.”
Aish senyum. Direnung
wajah manis isterinya. Di dalam hati dia
bersyukur dipertemukan dengan Samirah.
“Abang janji, abang akan jalankan tanggungjawab sebagai
suami dan ayah kepada anak-anak kita sebaik mungkin. Ira akan bantu abang kan, ingatkan abang
kalau abang terlupa, tegur abang kalau abang buat silap?”
Samirah senyum. Hati
berbunga bahagia dengan lafaz ikrar suaminya.
“In sya Allah” ujarnya.
“In sya Allah,” balas Aish.
No comments:
Post a Comment