Sunday 31 March 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 6


Bab 6 – Naim Zakaria


“Along” panggil Fina perlahan.  Aku memalingkan wajahku kepadanya.


“Ada orang nak sewa homestay.”


“Bagilah” kataku ringkas.  Fina ni, kerja senang pun nak tanya aku.  Bukannya susah, minta orang itu isi borang dan minta deposit untuk satu malam.  Kemudian bawa orang itu ke rumah inap dan terangkan syarat-syarat penginapan yang telah aku gantung pada dinding berdekatan suis lampu.  Semuanya telah aku terangkan kepada Fina.


“Orang tu peliklah Along” katanya dengan wajah berkerut.


“Along keluarlah,” Fina menggesa sambil menolak bahuku.


Aku bangun dan terus menuju ke kaunter pandaftaran.  Sampai di ambang pintu, langkahku terhenti.  Aku kaget.  Dia datang.  Tetapi kenapa begitu keadaannya?  Aku mara dua tapak lagi, mendekati meja di kaunter.  Fina mengikuti di belakang dengan takut-takut.


Dia mengangkat pandangannya ke arahku.  Pandangan kami bertembung.  Dua minggu lepas mata cantik itu memberikan satu renungan sayu.  Namun hari ini keadaannya lebih teruk lagi.  Matanya bukan sekadar merah dan bengkak malahan seluruh wajahnya yang disolek kelihatan sangat comot dengan solekan yang telah rosak, mungkin dicemari oleh air mata yang telah membasahi wajahnya.  Rambutnya yang panjang kini sudah kontot, dengan gaya potongan yang ah…. teruk, sungguh teruk.  Panjang pendek rambutnya, tidak dipotong dengan sekata.  Dia memakai sepasang baju kurung berwarna merah jambu yang dihiasi manik.  Nampak mewah pakaiannya.


“Ikut saya Cik” kataku ringkas sambil membawa kunci rumah. 


“Along.., borang ni,” laungan Fina aku balas dengan goyangan tangan yang bermaksud tidak perlu.  Gadis itu mengikutiku di belakang tanpa sepatah kata.  Dia masuk setelah aku bukakan pintu dan lampu.  .


“Cik, kalau perlukan…”


“Saya tak perlu apa-apa” pantas dia memintas ayatku. 


“Saya tak mahu diganggu” dan dia menutup pintu.


*******


Sudah menjadi rutinku sejak kembali ke kampung dua tahun yang lepas, berjogging selepas kembali dari bersolat Subuh di surau.  Dari rumah aku akan menyusuri jalan bertar yang aku bina untuk kemudahan penyewa rumah inap dan chalet.  Jalan yang dibina di sebelah rumah abah menuju terus ke rumah rumah inap dan berakhir di hadapan rumah itu.  Belum cukup modal untuk aku menyambung jalan bertar itu sampai ke chalet.  Selepas menyusuri jalan itu aku akan melintas pula di hadapan tiga biji chalet di sebelah kanan dan anak sungai di sebelah kiri.  Anak sungai ini tidak terlalu besar dan tidak terlalu dalam, ideal untuk perkelahan.  Ada kawasan yang airnya agak dalam dan di sesetengah tempat banyak bongkah-bongkah batu besar.


Tanah selepas chalet ketiga masih belum dibersihkan.  Aku perlu mendapat pulangan dari homestay dan chalet yang telah siap sebelum menambah bilangan chalet.  Tanah berbukit selepas chalet ketiga aku daki.  Peluh semakin banyak.  Aku suka situasi ini, dapat menyihatkan badan sambil menikmati udara segar dan nyaman.  Dari atas bukit kecil ini aku dapat melihat sungai di bawah dan bumbung-bumbung chalet dan rumah inap juga jelas kelihatan.


Aku melakukan senaman ringan sebelum duduk di atas bangku kayu yang abah bina dan letakkan di atas bukit kecil ini.  Tenang rasanya menikmati udara pagi yang nyaman dan melihat air sungai yang deras dan keruh akibat dari hujan yang turun malam tadi.  Banyak batu yang ditenggelami paras air sungai yang naik selepas hujan. 


Tiba-tiba aku terlihat dia.  Baju kurung warna merah jambu yang dipakainya jelas kelihatan dari atas bukit ini.  Dia berdiri tegak di atas bongkah batu yang paling tinggi di sungai ini.  Jantungku berdetak kencang.  Aku berasa tidak sedap hati.  Jangan-jangan gadis itu merancang sesuatu.  Aku bingkas bangun dan berlari menuruni bukit.  Kemudian belari laju ke arahnya.


Aku buka kasut dan menyusuri air hingga sampai ke batu yang terhampir dengannya.  Aku panjat batu itu.  Dia diam tidak berkutik.  Seolah-olah tidak menyedari kehadiranku dan bagai hanyut dalam khayalan.  Teringat pula kata-kata Fina semasa makan malam tadi.  Mungkin gadis ini di bawah pengaruh dadah?  Ah tidak mungkin.  Hatiku kuat menyatakan dia sedang dilanda masalah yang amat besar.


“Cik!” laungku.  Tiada respons darinya.  Masih tegak berdiri merenung kejauhan.


“Cik, bahaya berdiri di situ.  Batu tu licin.  Air tengah deras ni, turunlah”.


Dia berpaling ke arahku.  Wajah comot semalam kelihatan sudah dibersihkan.  Sepi, tiada sepatah kata darinya.  Wajahnya dipalingkan semula ke hadapan.


“Cik, turunlah.  Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.  Jangan ambil tindakan yang bodoh.  Allah melaknati orang yang mengambil nyawanya sendiri”.  Aku semakin risau bila dia terus kaku dan membisu.  Nampak dia menggigil kesejukan.  Kakiku juga semakin sejuk disirami air sungai yang luar biasa dinginnya pagi ini.


“Izureen!” kali ini aku laungkan namanya yang aku ketahui dari borang pendaftaran yang diisinya kali pertama dia menginap di sini.


Dia berpaling.  Keningnya bertaut sambil memandangku dengan riak kehairanan.  Aku hulurkan tangan.  Direnungnya tanganku, tetapi tidak seinci pun dia bergerak.


“Turun ya.  Pegang tangan saya”.  Matanya kini beralih ke wajahku.  Aku anggukkan kepala, memujuk dalam diam.


Perlahan-lahan dia menghulurkan tangan kanannya.  Aku capai pergelangan tangannya dan memegang erat-erat. 


“Hati-hati.  Licin ni” kataku.  Perlahan-lahan dia bergerak.  Kakinya yang tidak beralas hampir mencecah batu tempat aku berdiri.  Sebaik sahaja terkena air, keluar jeritan kecil dari mulutnya.  Mungkin terkejut dek kedinginan air sungai.  Dia mengangkat kakinya semula, kembali berpijak di bongkah besar.


“Jangan takut, saya pegang” aku kuatkan pautan di pergelangan tangannya.


Kakinya dihulurkan sekali lagi dengan berhati-hati.  Namun, dalam pada berhati-hati, dia tergelincir dan hampir terjatuh.  Cepat-cepat aku tangkap pinggangnya dengan tangan kiriku manakala tangan kirinya berpaut pada bahuku.  Aku lepaskan tangannya dan memaut pinggangnya.  Tangan kanannya yang sudah bebas hinggap di bahuku yang sebelah lagi.


Kami sama-sama terkedu.  Mata kami bertatapan.  Pertama kali aku dapat melihat matanya dengan jarak yang amat dekat.  Matanya bundar dan anak mata yang berwarna cokelat itu pasti akan lebih cantik jika tidak dicemari dengan tangisan melampau. 


Dadaku berdetak kencang.  Sudah lama aku tidak bersentuhan dengan perempuan yang bukan muhrimku.  Kalau tidak kerana mahu menolong, pasti aku tidak akan memegang tangannya.  Masalahnya sekarang bukan setakat memegang, aku sedang memaut pinggangnya agar dia tidak terjatuh dan tangannya sudah memaut leherku. 


“Errm, so…sorry” katanya sambil menurunkan kedua tangannya dari bahuku.  Aku tersedar lantas melepaskan rangkulan di pinggangnya.  Aku pegang pergelangan tangan kanannya dengan tangan kiriku dan perlahan-lahan dia mengikuti dari belakang menyusuri batu-batu hingga sampai ke tebing sungai.


Aku lepaskan tangannya dan tanpa sepatah kata dia terus berlalu meninggalkan aku.  Aku menghela nafas panjang, lega dan bersyukur kerana berjaya menyelamatkannya dari mengambil tindakan bodoh.  Selang beberapa langkah, dia berhenti dan berpusing ke belakang, memandangku yang kaku merenung ke arahnya.


“Awak kerja di sini ya?” katanya bila aku semakin menghampirinya.  Aku sekadar mengangguk.  Tidak penting untuk dia tahu siapa aku. 


“Awak tahu nama saya dari borang?” soalnya dan aku jawab dengan anggukan lagi.


“Awak?” soalnya lagi.


“Naim,” jawabku ringkas.  Tidak perlu dia tahu nama penuhku Naim Zakaria.  Dan aku tidak tahu kenapa aku tidak menyebut “Zack”, nama panggilan yang biasa digunakan oleh kawan-kawan dan kenalan.  “Naim” adalah nama panggilan di kalangan keluarga terdekat.


“Terima kasih Naim” katanya dan terus berlalu, meninggalkan aku dengan berbagai misteri yang belum terungkai.


*******

Dia datang ke kaunter ketika aku sedang sibuk melayan pertanyaan dari seorang wanita yang datang bersama lelaki yang ku kira adalah suaminya.  Sekadar duduk di kerusi melihat aku bekerja.  Sebaik sahaja pasangan tersebut berlalu, dia mendekatiku.


“Kat mana tempat makan yang terdekat?”


“Kalau nak sedap dan bersih, kena pergi ke pekan.  Tak jauh, lebih kurang 20 minit dari sini.  Keluar simpang besar jalan kampung ni, cik belok kanan dan ikut papan tanda arah ke pekan.  Ada banyak kedai makan di situ” aku jawab soalannya.  Dia kelihatan santai dengan t-shirt dan seluar jeans, namun masih berwajah suram.


“Terima kasih,” ringkas jawapannya dan dia mahu beredar.  Kenapa cepat sangat dia hendak pergi.


“Cik, kalau sudi, jemputlah makan di rumah saya” aku mempelawa.  Entah apa yang menggerakkan hati, mungkin rasa ingin tahu yang mendalam mendorong aku membuat pelawaan itu. 


 “Di mana rumah awak?”


“Tu, yang di depan tu”


“Tak menyusahkan ke?”


“Apa pulak menyusahkannya.  Mak saya memang kena masak untuk abah dan adik saya.  Kalau setakat cik seorang, tak membebankan langsung.”


 “Tak apalah, saya boleh keluar ke pekan”.


Kemudian dia terus pergi meninggalkan aku yang masih diulit kehairanan.  Perasaan ingin tahu semakin menebal di dalam hati.


*******


“Wah, Along jadi hero tadi mak”  si becok Fina bercerita sambil tangannya mencedok nasi.  Kepulan asap bersama aroma nasi yang baru ditanak menambah rasa laparku.  Aku pandang Fina dengan mimik muka melarangnya dari terus bercerita.  Rupa-rupanya dia nampak kejadian pagi tadi.


“Apa terjadi?” soalan emak terbiar tidak berjawab kerana satu suara lembut memberi salam.  Dia berdiri di pintu dapur, tidak jauh dari meja makan kami.  Emak menyambut salam lantas menuju ke pintu, manakala aku bingkas bangun.  Kaget melihat dia.


Aku lihat dia menyalami tangan emak kemudian masuk ke dapur kami.  Terus dia menghampiri Fina dan menghulurkan tangan untuk bersalam.  Emak mempelawa dia duduk di sebelah Fina, betul-betul di hadapanku.  Aku senyum kepadanya, gembira dia menerima pelawaanku.


“Jemput makan Reen” dengan mesra emak mempelawa.  Dia kelihatan malu-malu.  Fina pula mengangkat kening kepadaku, seolah-olah ingin bertanya.


“Terima kasih makcik”


“Panggil saja Mak Jah.  Yang ni anak bongsu Mak, Fina.  Dia baru habis belajar kat Australia. Yang lelaki ni anak sulong Mak, Naim.  Anak kedua Mak dah kahwin, duduk di pekan tapi selalu jugak dia balik sini.  Makan ya, jangan malu-malu.  Tapi lauknya lauk orang kampung ler.  Biasa ke makan lauk kampung ni?” dengan ramah Mak Jah bercerita sambil mengambil tempat di sebelahku.


“Sikit-sikit tu boleh Mak Jah” katanya sambil mencedok kuah asam keladi ke pinggannya.


Berselera dia makan, nampak seperti kelaparan sangat.  Tidak banyak yang dibualkan ketika makan.  Sepatah yang emak dan Fina tanya, sepatah dijawabnya.  Aku pula tidak bertanya apa-apa.  Tiba-tiba aku kelu.  Bagai tidak percaya dia duduk makan di depanku kerana ketika aku mempelawanya sejam tadi, dia kelihatan langsung tidak berminat.


Selepas makan, dia membantu Fina mengemas meja walaupun emak melarangnya.  Telefon bimbitku berbunyi lantas aku menuju ke ruang tamu untuk menjawab panggilan.  Bila aku kembali ke dapur, dia sudah tiada.

No comments:

Post a Comment