Saturday 29 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 19


Bab 19 – Izureen


Aku sampai di rumah sebaik sahaja azan Maghrib bergema.  Pintu kondo ku buka dan tangan meraba suis lampu.  Kemudian aku pandang ke seluruh ruang kondo yang terpampang di depan mata.  Baru tersedar aku rindukan tempat ini.  Hampir tiga minggu aku tinggalkan, lantai terasa berhabuk.    


Setelah meletakkan beg, aku ke bilik.  Rambut-rambut masih berselerakan di atas lantai, tidak ubah seperti waktu aku meninggalkan tempat ini.  Aku ke dapur dan kembali ke bilik dengan penyapu dan penyodok sampah.  Setelah siap disapu, aku mandi dan bersolat.


Usai solat maghrib, aku kemas pula ruang tamu, sekadar menyapu lantai dan membersihkan habuk yang sudah bertapa di atas perabot.  Kemudian aku ke dapur, membuka peti sejuk untuk mencari bahan yang boleh dibuat makan malamku.  Tiga biji epal yang sudah kecut aku buang.  Susu segar rendah lemak yang sudah luput tarikhnya juga ku campakkan ke dalam bakul sampah.  Aku ambil tiga keping keju untuk dimakan bersama biskut.  Dalam perjalanan pulang tadi, tidak terfikir hendak singgah membeli makanan, jadi cukuplah sekadar memakan biskut malam ini.


Aku sudah terbiasa bersendirian.  Tahun lepas, aku meminta izin Mama untuk berpindah ke kondo ini, atas alasan ingin berdikari.  Namun sebenarnya untuk mengelakkan dari berbalah dengan Mama.  Mama benarkan, dengan syarat setiap petang Jumaat aku balik dan tidur di rumah Mama, pulang semula ke kondo ini pada petang Ahad.  Kebiasaan bersendiri membuatkan aku tidak merasa sunyi atau takut.


Azan dari masjid di seberang kondo bergema, menandakan waktu Isya’ lantas aku mengambil wudu’ dan bersolat.  Selepas solat isya’, aku panjatkan doa ke hadrat Illahi. 


“Ya Allah, aku syukuri rahmat dan kasih sayangMu.  Terima kasih di atas segala kurniaanMu.  Terima kasih ya Allah di atas dugaan yang kau berikan.  Tanpa dugaan ini, aku mungkin masih leka, masih jauh dariMu.  Aku redha dengan ujian ini Ya Allah dan semoga ujian ini membawa aku semakin dekat denganMu.


Ya Rabbi, ampunilah dosa hambaMu ini.  Yang terlalu lama leka dan lalai hingga menjauh dariMu.  Semoga aku tidak lagi mengabaikan tanggungjawabku terhadapMu.  Ampuni aku Ya Allah, ampuni aku Ya Allah, ampuni aku ya Allah.  Bantulah aku untuk sentiasa mengingatiMu, untuk bersyukur kepadaMu dan untuk memperbaiki ibadahku kepadaMu.  Janganlah Engkau sesatkan hatiku setelah Engkau memberi petunjuk kepadaku.


Ya Allah, berilah rahmat dan kasih sayangMu kepada Mama, kakak dan abang.  Terima kasih kerana memberikan mereka kepadaku.  Kasihilah Mama seperti mana dia mengasihiku.  Cucurilah rahmat ke atas arwah Papa, semoga dia damai dalam limpahan rahmatMu. 


Ya Allah, berilah rahmat dan kasih sayangMu kepada Mak Jah sekeluarga.  Terima kasih kerana menemukan aku orang-orang yang baik seperti mereka.


Ya Allah, andai Muaz itu bukan jodohku, jadikan aku redha dengan ketentuan ini.  Lapangkan hatiku dan kuatkan semangatku untuk berdepan dengannya.  Berikanlah kebahagian kepadanya.  Dan jadikanlah aku bahagia, walau tak bersama dia.


Ya Allah, hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk diriku.  Temukanlah aku dengan lelaki yang baik, yang mampu membimbingku ke JannahMu.  Andai aku jatuh cinta lagi, janganlah cintaku kepada seorang lelaki melebihi cintaku kepadaMu.


Ya Rabbi, kurniakanlah kepadaku kebaikan di dunia dan juga di akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab nerakaMu.


Amin.


***

Usai solat Subuh aku bersiap untuk ke pejabat.  Niat di hati hendak memberi kejutan kepada Mama.  Semalam aku telah menelefon Kak Ram, pembantu peribadi Mama dan dia memaklumkan Mama akan berada di pejabat sehingga pukul 11.  Selepas itu Mama perlu menghadiri mesyuarat.


Kak Ram menjerit kegirangan melihat aku.  Dipeluknya aku erat-erat.


“Ish budak ni, lama menghilangkan diri” katanya selepas melepaskan pelukan.  Aku sengeh saja.


“Mama macam mana Kak Ram?” soalku.


“Kejap lagi sampailah tu.  Mesti dia suka tengok kamu.  Tau tak, bila kamu tak ada, susah Mama kamu.  P and L Report, bank reconciliation, loan repayment, dan hal-hal kewangan yang lain dia terpaksa handle sendiri.  Nak harapkan Melissa, dia tu fresh graduate, banyak yang dia tak tau.  Dah, jangan nak hilang-hilangkan diri lagi.  Berdosa tau buat Mama kamu susah hati.”


Kan dah kena, dapat tazkirah percuma pagi ni dari Kak Ram.  Tapi aku terima.  Benar apa yang dikatakannya.  Bila abang datang menziarahiku, aku mula tersedar implikasi tindakanku terhadap orang lain, sedangkan sebelum ini Mama telahpun menasihatiku ketika kali pertama aku melarikan diri. 


“Ok Kak Ram.  Reen nak tunggu Mama dalam bilik” dan aku terus berlari ke dalam bilik Mama.  Aku tutup lampu bilik sebaik sahaja aku masuk ke dalam.  Kononnya nanti Mama akan terkejut melihat aku bila lampu dibuka.  Aku kerling jam di tangan.  Sudah lapan sepuluh minit, namun Mama belum tiba.  Tak mengapa, mungkin dia lambat sedikit pagi ni.  Maklumlah kesesakan jalan raya di KL susah dijangka.  Sepuluh minit berlalu.  Akhirnya terdengar derap kaki menghampiri pintu pejabat Mama. 


“Kenapa tak bukak lampu Kak Ram?” kedengaran suara sebaik sahaja pintu dibuka.  Satu kepala dibaluti tudung berwarna hijau epal menjenguk ke dalam sambil tangan menyentuh suis lampu.  Eh, itu bukan suara Mama.


Susuk tubuh berbaju kurung Johor berjalan masuk, melangkah dua tapak kemudian berhenti.


“Allahu akbar!” jeritnya, dan fail yang dipaut terlepas ke lantai.  Terkejut melihat aku yang terpaku di sofa.


“Adik!”


“Kakak!”


“Subhanallah!  Terkejut kakak!  Apa buat duduk dalam gelap ni?”


Kak Rina menerpa ke arahku.  Kami berpelukan di atas sofa.  Terlerai sudah rindu kepada Ka Rina.


“Ya Allah, adik!  Bila balik?  Kenapa tak datang jumpa kakak?” 


“Baru sampai malam tadi.  Ingat nak surprisekan Mama, tetiba kakak yang muncul.  Apa kakak buat kat sini?  Mama mana?”


Kak Rina senyum.  Direnungnya aku, lama.


“Meeting Mama ditukar ke pukul sembilan, so Mama pergi terus ke sana.”


“Kakak buat apa kat sini?”  Kak Rina senyum lagi.  Dia bangun, mengutip fail di atas lantai, meletakkannya di atas meja Mama dan kemudian datang ke sofa, menarik tanganku.


“Jom” dan aku hanya menurutinya.


***

Keadaan Restoran Hameed di seberang Wisma Reelan sibuk pagi itu.  Ramai yang bersarapan sebelum memulakan tugasan harian.  Kami duduk di meja paling dalam, agak jauh dari orang ramai. Aku memesan sekeping roti telur bawang dan segelas teh tarik manakala Kak Rina memesan sekeping tosai dan minuman yang sama.


“Betul ke ni?  Ya Allah, macam tak percaya” ujarku sebaik Kak Rina menghabiskan ayatnya.


“Kakak pun tak percaya, tapi itulah kebesaran Allah. Sesuatu yang dah lama kakak tunggu akhirnya terjadi juga.  Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kakak.  Lepas tiga hari adik tak datang kerja, Mama datang ke rumah.”


 “Mula-mula kakak ragu-ragu, tapi Mama bersungguh-sungguh minta tolong.  Tengok air muka Mama, terasa kesian.  Kakak tak terus bagi jawapan.  Fikir dulu, lepas tu minta pendapat Abang Aeril.  Esoknya kakak terus datang sini.”


Kakak berhenti bercakap.  Air teh diteguk sedikit.  Kemudian menyambung ceritanya.


“Macam tak percaya dik, Mama peluk kakak.  Berkali-kali dia ucapkan terima kasih.  Kakak bagitau, kakak setuju kerja di sini, tapi dengan beberapa syarat.”


“Apa syaratnya?”


“Yang pertama, kakak nak kerja tiga kali seminggu saja.  Yang kedua, kakak minta Mama janji jangan marah-marah adik lagi.  Yang ketiga….”


Ayat kakak tergantung di situ.  Airmatanya mula bergenang.  Dengan sebak, dia menyambung “kakak minta Mama terima kakak sebagai anaknya sendiri dan maafkan arwah umi.  Kakak kata, kakak dah tak ada sesiapa lagi melainkan Mama, adik dan Abang Lan.” 


Airmataku turut bergenang. 


“Mama setuju dengan syarat kedua dan ketiga.  Malahan Mama minta maaf atas apa yang dah berlaku selama ini.  Tapi syarat pertama tu, Mama minta kakak pertimbangkan untuk bekerja sepenuh masa.  Kakak tak sampai hati nak tolak, lagipun ini peluang untuk kakak berbaik dengan Mama.  So, here I am, working here full time  kakak menghabiskan ceritanya. 


Alhamdulillah, bisikku di dalam hati.  Terima kasih ya Allah, di atas berita gembira ini.  Satu lagi hikmah kini terserlah.  Dengan aku menghilangkan diri, Mama telah menerima kakak.


*****


“Assalammualaikum Ma” aku tuturkan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke bilik Mama. 


Mama mengangkat mukanya, memandang terus ke arahku.  Riak wajahnya tenang saja.  Aku pula masih berdebar-debar.  Aku aturkan langkah, berjalan perlahan ke arah Mama.


“Bila balik?”


“Malam tadi.” Aku semakin hampir kepada Mama.  Aku hulurkan tangan, Mama sambut.  Aku cium tangan Mama dan kemudian memaut bahunya.  Perasaan sebak menghambat hati, diiringi perasaan bersalah. 


“Maafkan Adik.” Itu saja yang mampu keluar dari bibirku.  Airmata mula bergenang.


“Dah puas menyorok?”  itu pula yang Mama tanyakan.  Aku diam.  Ingat, jangan menjawab, bisik hatiku.


“Ma, Adik minta maaf” aku ulangi permohonan maaf.  Please Ma, say you forgive me, hati berbisik lagi.


 That easy Reen?  You have problem, you disappear.  Tinggalkan Mama sorang-sorang.  Mana nak uruskan hal syarikat, nak cari orang ganti tempat kamu, risaukan kamu lagi.  Is this how a responsible daughter behave? Mula-mula hilang seminggu.  Yang kedua ni dekat tiga minggu.  After this when you have problem, how long are you going to disappear?  Sebulan?  Setahun?  Do you care that we are so worried about you?”


Kalau bebelan Mama dah bercampur Bahasa Melayu dan Inggeris, sahlah Mama marah.  Dan satu lagi tanda dia marah, dia akan panggil aku Reen.  Panggilan Adik hilang entah ke mana. 

Aku capai tangan Mama dan genggam erat-erat.  Airmata bergenang semula.  Perasaan bersalah yang teramat sangat menghambat tangkai hati.


“Sorry Ma, Adik janji tak akan buat lagi.  Adik sedar Adik dah banyak susahkan Mama.  Maafkan Adik” aku rayu kemaafan dari Mama.  Sesungguhnya aku amat memerlukan kemaafan itu.


Don’t promise me anything.  Grow up Reen.  Falling in and out of love is just a small part of life.  Banyak lagi yang perlu kita hadapi dalam hidup ni. Mama risau, entah di mana kamu.  Sihat ke, makan minum kamu macam mana.  Di mana kamu tinggal.  Ada duit ke tidak.  If anything happened to you, we don’t even know where to look for you.”.”


Senangnya Mama kata jatuh cinta dan putus cinta itu hanyalah sebahagian kecil kehidupan.  Sedangkan bagiku cinta sangat penting.  Cinta memberi aku sinar dalam kehidupan, sinar yang menceriakan setiap hariku.  Namun tiada apa yang boleh aku lakukan, melainkan membiarkan saja Mama meluahkan kemarahannya. 


“Maafkan Adik Ma” aku ucapkan lagi, setelah lama Mama mendiamkan dirinya.  Ketika itu pintu bilik dan di sebalik pintu Kak Rina muncul.


Come here Rina,” Mama memanggil.  Kak Rina menyertai kami di sofa. 


You both are my daughters.  Mama sayang kamu berdua.  Mama minta maaf dengan Rina atas apa yang Mama dah buat pada kamu sebelum ini.  Adik, maafkan Mama juga kerana terlalu bertegas dan garang dengan kamu.”


Air jernih jatuh dari mata Mama.  Aku sebak dan Kak Rina juga berair matanya.


 “Mama tak buat apa-apa kesalahan, macam mana Rina nak maafkan.”  Ujar Kak Rina.  Rangkulan mama dilepaskannya.  Kemudian Kak Rina cium pipi Mama, mula-mula belah kanan, kemudian belah kiri. 


Aku bersyukur melihat Mama dan Kak Rina sudah berbaik.  Terserlah satu lagi hikmah dari takdirMu ya Tuhan.


“Adik, jangan tinggalkan Mama lagi.  Apa masalah yang datang.. jangan lari, jangan sembunyi.  Kita hadapi bersama…sebagai sebuah keluarga.  Susah senang, kita tanggung sama-sama.  Selama ni, bukan Mama tak berminat dengan masalah Adik.  Cuma Mama nak Adik kuat…cekal.  Jangan lembik, sikit-sikit mengadu… sikit-sikit merajuk.  Mama tak mau Adik perangai macam tu lagi.””


Airmataku merembes keluar.  Sebelum ini setiap kali ada perbalahan di antara kami, Mama akan bertegas.  Dan ketegasannya sering membuatkan aku merajuk, berhari-hari bermasam muka dan pernah juga tidak bertegur sapa dengan Mama.  Betapa berdosanya aku terhadap Mama. 


“Maafkan Adik Ma.  Adik faham sekarang.  Adik akan berubah.”


“Dah lama Mama maafkan Adik” ujar Mama sambil mendakapku.


Akhirnya kami bertiga berpelukan, masing-masing masih menangis.  Tangisan keinsafan buat diriku, yang juga diiringi dengan tangisan kesyukuran.


**********


Berselera aku makan.  Dua kali tambah nasi.  Mana tidaknya, sudah lama tidak merasa air tangan Mak Kiah.  Apatah lagi hampir tiga minggu sekadar menelan biskut, roti dan mi segera di waktu malam.  Gulai kurma daging dengan kentang, sayur petola tumis air dengan suhun, sambal belacan dan cencaru belah belakang adalah menu makan malam kami. 


“Adik, sebenarnya ke mana Adik menghilang dekat tiga minggu?” soal Kak Rina.  Mama yang sedang mencubit ikan cencaru mengangkat mukanya, turut menanti jawapanku yang masih sibuk mengunyah.


Dengan beria-ia aku menceritakan di mana aku tinggal serta pengalaman hampir tiga minggu tinggal di homestay.  Terbayang-bayang wajah Mak Jah, Fina, Pak Akob, Elida dan anak-anaknya dan…. Naim.  Naim?  No way!  Tak mahu aku mengingati mamat sengal yang menuduh dan bersangka buruk terhadapku.  Dah lah tu, suka menyakat pula.


“Adik buat apa di sana?  Tak bosan ke?”  barulah kali ini Mama bersuara.


 “Tak Mama, tak rasa bosan.  Tapi lama-lama Adik mula rindu kat Mama, arwah Papa, Kakak, Abang.  Bila teringat Muaz, Adik rasa sedih, kecewa, rasa diri ini bodoh pun ada.  Bila teringatkan Mama… Adik rasa bersalah, rasa takut…. Mama mesti marah Adik”


 “Habis, sepanjang kat sana Adik bersedih aje lah?” soal Kak Rina. 

“Mula-mula sedih tapi perlahan-lahan rasa sedih mula kendur.  Mak Jah banyak beri nasihat.  Adik bergaul dengan Mak Jah dan anak-anaknya, terutama anak bongsunya Fina.  Jadi sikit-sikit dapat lupakan kesedihan.”


Muncul wajah Fina di ruangan mata.  Terkenang kembali perkara-perkara yang kami lakukan bersama.  Tanpa sedar tersimpul senyuman di bibirku.  Eh… kenapa wajah Naim pun muncul?  Kacaulah dia ni.  Tapi memang di beberapa peristiwa… bila ada Fina, adalah Naim.  Terus mati senyumanku bila wajah dan gelagat Naim muncul di ruangan mata.  


“Mama dengar ada jejaka kacak kat homestay tu,” ujar Mama sambil tersenyum.  Rupa-rupanya Mama sedang memerhatikan gelagatku.


Ini mesti Abang yang bercerita.  Aku mencebik.  Ya, memang dia kacak tapi apa guna wajah yang kacak kalau perangai menjengkilkan.


 “Huh… kacak lagi Muaz.  Mula-mula dia macam baik je, bagi nasihat kat Adik.  Tapi makin lama tinggal kat situ, Adik tak suka kat dia.  Dia tuduh adik yang bukan-bukan.  Rupa-rupanya dia kawan sekolah Abang.”


 “Tak semestinya apa yang kita suka itu elok, dan apa yang kita tak suka itu tak elok.  Kadang-kadang apa yang kita nampak tak sama dengan kisah sebenarnya.  Entah-entah orang yang kita sayang tak sayangkan kita, orang yang kita benci boleh jadi orang yang kita sayangi satu hari nanti.”


Aku diam, tapi dalam hati membenarkan kata Mama.  Aku sayangkan Muaz sebagai kekasih namun dia hanya sayangkan aku sebagai sahabat.  Aku redha, ini yang telah tertulis untukku.  Selepas ini aku akan jaga hatiku, agar tidak mudah jatuh cinta kepada mana-mana lelaki.  Terbayang pula wajah Naim.  Issh, simpang malaikat 44.  Aku cuma tak suka padanya, bukan benci.  Namun tak mungkin dia akan jadi orang yang aku sayangi.

10 comments:

  1. Zurin: aku cuma tak suka padanya, bukan benci.. hahaha .... iyo la tu zurin.... :D
    naim 'meroyan' la sekarang ek tak jumpa lagi zurin :D hehehe...best best....

    ReplyDelete
    Replies
    1. kononnya Izureen tak nak bencikan Naim, sebab takut terjatuh cinta. Ini pengalaman kawan saya, bermati-matian kata tak bencikan orang yang minat pada dia sebab mak dia kata jangan bencikan seseorang, takut orang yang dibenci tu nanti jadi orang yang disayangi

      Delete
  2. Replies
    1. betul Kak Na, tunggu ya bab dalam hati ada taman, lambat lagi nak sampai bab tu.

      Delete
  3. bila naim nak jumpa balik ngan izureen ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kniedaz, saya tak pasti nak buat macam mana... akan jumpa tak lama lagi atau lambat lagi nak dijumpakan

      cer bagi suggestion

      Delete
  4. Dah teka dah zurin nak main ayat selamat.. takut hati berubah 360 degree.. hehe tapi tak suka boleh jadi suka.... hehe... hati tu Allah pegang.. bila2 masa Allah boleh ubah sekelip masa...

    saya boleh ketawa besar masa zurin mencebik kat mama dia pasal naim :D haha :D dapat bayangkan betapa menyampah nya zurin tiap kali nama naim mencecah gegendang telinga dia ..hehe

    abang zurin supporting tul kat mama dia... macam ada plan je nak jodohkan adik dia dgn junior sekolah aka tukang supply sambal ikan bilis kat hall :D ... tak cukup dgn promote naim masa kat homestay, abangnya siap cerita kat mama sapa zurin jumpa kat homestay ... abangnya macam nak tolong zurin lupakan experience pahit dgn muiz... dan nak kenen2 kan naim kat zurin... okay la tuh....

    btw, good job! ;) tak sabar nak tau apa citer next episode :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia,

      Dalam episod akan datang, tp tak sure lg episod berapa, kita akan mengenali Izelan, abang Izureen sebagai abang yg sangat patuh pd mamanya, dan sangat sayangkan adiknya.

      Berpeluh dan berperang dengan kesibukan nak menyiapkan cerita ni.

      Tapi untuk Malia dan kawan2 lain, saya gagahkan juga. Anda semua pemangkin semangat saya. Terima kasih banyak2.

      Delete
    2. Tak pe Isma Adeliya,
      kami seronok baca, moga dpt idea mencurah2 masa menulis... insyaAllah penat lelah berbayar dan saya doakan cerita ni di publish jadi hard copy amin.... wahhh... Izelan abang yang cool dan protective , so kalau naim wat hal kat zurin abih la naim, dpt side kick Izelan :D

      Delete