Saturday 1 June 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 15


Bab 15 - Izureen


Abang melipat kain pelikat yang digunakan untuk bersolat dan dimasukkan ke dalam beg.  Tadi, selepas makan, abang sudah bersolat di rumah Naim.  Mereka berjemaah, diimamkan oleh Naim.  Aku yang keuzuran, mengemaskan meja makan walaupun ditegah oleh Mak Jah. Sambil mengemas aku dapat mendengar dengan jelas setiap butir bacaan surah yang dibaca oleh Naim.  Walaupun hati sedang marah, tersentuh juga apabila mendengar bacaannya.  Mungkin kerana kelunakan suaranya atau mungkin kerana hikmah ayat suci Al Quran itu.


“Tak sangka pemilik tempat ni kawan abang.  Dia tu baik.  Dulu kat hostel dia selalu jadi imam dan tukang baca doa kalau ada apa-apa majlis.  Abang selalu belasah sambal bilis mak dia, disebabkan abang ni senior nak tak nak dia bagi abang makan sambal.”


“Rajin, aktif bersukan dan berpersatuan.  Lepas abang pergi overseas, langsung terputus hubungan.  Dengar cerita tentang dia daripada kawan-kawan saja.”


Aku diam.  Hati masih sakit, tidak terdetik langsung rasa kagum terhadap personaliti lelaki bernama Naim Zakaria yang diterangkan oleh abang.  Melihatkan aku bagai tidak berminat dengan ceritanya, abang akhirnya mendiamkan diri.


“Abang dah nak gerak ke?” aku bertanya sebaik sahaja abang siap memasukkan barang-barangnya ke dalam beg. 


“Ah ah”.  Abang mengeluarkan dompetnya.  Mengambil beberapa keping wang kertas lima puluh ringgit.


“Ni, buat bayar sewa rumah ni” sambil menghulurkan kepadaku.


“Tak payahlah abang, adik ada duit”.  Aku tak mahu menyusahkan abang.  Kehadirannya sudah cukup buatku, dapat melepaskan rindu terhadapnya.


“Ambik lah.  Dah dua minggu adik duduk sini, kalau sehari dua ratus, dua minggu dekat tiga ribu kena bayar”.


“It’s OK, I could afford it”.


“Macamlah banyak sangat duit”.  Abang mencebik.  Ditariknya tangan aku dan diletakkan wang kertas tersebut ke atas tapak tanganku.


“Kalau adik tak ambil, abang tak nak datang jumpa adik lagi”.  Maka aku terpaksa akur dengan arahannya.


“Apa yang menariknya tempat ni, sampai Adik tahan sebegini lama tinggal di sini?”


Soalan Abang buat aku tersenyum.  Abang cuma tidur di sini satu malam, mestilah tak dapat rasakan keistimewaan tempat ini.


“Tempat ni mendamaikan.  Adik suka duduk, lepak-lepak tepi sungai tu.  Tak ada orang, sunyi… membolehkan Adik berfikir.”


“Berapa lama Adik nak berfikir?  Adik duduk di sini lama-lama semata-mata untuk berfikir, orang lain risaukan Adik.  Kerja Adik terbengkalai, orang lain pula jadi mangsa terpaksa siapkan kerja Adik.  That’s not fair, right?”


Hati mengiyakan kata-kata Abang, tapi mulut memilih untuk berdiam diri. 


“Atau ada sesuatu di sini yang membuatkan Adik tak mau balik?”


Kali ini mata pula bekerja, memandang Abang dengan penuh tanda tanya.  Apa maksud Abang?


“Manalah tau, kalau-kalau Adik terpikat dengan tuan pengurus homestay.”


Abang menyengetkan tubuhnya kepadaku dan menaikkan keningnya beberapa kali, sengaja mahu menyakat aku.


“Ish Abang ni, mana ada!  Hati Adik ni masih sedih, masih ada Muaz dalam hati.  Tak semudah itu Adik jatuh cinta.  Mungkin… sampai bila-bila pun Adik tak akan jatuh cinta lagi.  Adik akan sayang Muaz… selamanya.”


Mataku membuang pandang, dari wajah Abang ke arah TV.  Wajah Muaz terpampang di skrin TV yang tidak dihidupkan.  Satu keluhan aku lepaskan.


“Adik, cinta datang dan pergi dengan izin Allah.  Kadang-kadang orang yang paling kita sayang boleh menjadi orang yang kita benci.  Orang yang kita paling tak suka boleh menjadi orang yang paling menyayangi kita.”


Wah, pandainya Abang bermadah cinta.  Aku pandang semula ke arah Abang.  Matanya tertancap pada skrin TV di hadapan kami.  Nampak macam sedang berkhayal… eh, Abang senyum pada skrin TV!  Aku ni bakal dapat kakak ipar kot?  Aku tepuk bahu Abang.


“Abang… nampak siapa kat TV tu… girlfriend ya?”


Abang sekadar mengalihkan senyumannya kepadaku.  Hmm, tak nak cerita tak apalah.  Memang Abang begitu, jarang mahu bercerita tentang dirinya.


“Zack dah ceritakan kepada Abang, Adik janganlah ambil hati.”


Aku bulatkan mata, tak sangka mamat sengal tu bercerita dengan Abang.


“Dia minta maaf.  Abang kata Abang tak boleh maafkan dia, hanya Adik yang boleh maafkan dia.  Janganlah marah sangat, perkara kecil saja.”



“Dia tuduh Adik macam-macam, Abang kata perkara kecil?”


Suara aku naik sedikit. 


“Dia salah sangka saja.  Biasalah, kadang-kadang pengalaman silam dan situasi membuatkan seseorang itu senang membuat andaian yang salah.  Adik sendiri pun pernah salah sangka, bertahun-tahun menyangka Muaz cintakan Adik. 


Aduh, kan dah terkena batang hidung sendiri.  Aku jeling Abang.  Tapi betullah kata Abang.  Bodohnya aku, bertahun-tahun menyangka cinta Muaz milik aku. 


Abang bangun, menuju ke pintu.  Sebaik pintu dibuka, mamat sengal mulut wajib disamak dengan Clorox sudah tegak menunggu di luar.


“Kau dah nak gerak bro?” soalnya.  Asking the obvious! 


“Ya lah.  Ada rezeki kita jumpa lagi.  Terima kasihlah sebab benarkan adik aku duduk sini lama-lama.  Jangan lupa, bagi diskaun tau”.  Abang sengeh.  Mereka berjabat tangan.


Alright, senang-senang datang lagi Lan.  Agak-agak teringin nak makan sambal bilis, call aje aku.  Taiping ke sini bukannya jauh”.


“Kalau pasal sambal bilis Mak Jah, ribut taufan pun sanggup aku redah”.


Meledak ketawa mereka.  Aku sebak.  Tak rasa lucu langsung.  Sedih abang dah nak balik. 


“Adik, abang pergi ya.  Remember what I said yesterday.  Baliklah, kesian Mama”.


Dari sebak, menjadi syahdu.  Airmata yang asalnya bertakung, kini meluncur laju di atas pipi.  Aku peluk abang, lama.  Rasa sedih nak berpisah dengan abang.  Abang leraikan pelukanku.  Naim memerhatikan gelagat kami.


“Abang, promise you won’t tell Mama I am here” aku pinta abang berjanji, walaupun sejak semalam abang telah berikrar tidak akan memaklumkan pada Mama.  Abang sekadar mengangguk.


“Adik… go home.  Go back to where you belong.  Face the reality,” abang ulangi nasihat yang sama.


I will... when I am ready.”


Abang masuk ke dalam kereta dan pergi.  Sampai di tepi rumah Naim, abang keluar dari kereta dan bersalaman dengan Mak Jah dan Pak Akob.  Memandang ke arahku dan melambai sekali lagi, sebelum masuk ke kereta dan terus pergi.


“Izureen.” Dia memanggil, lembut, sebaik sahaja kereta abang hilang daripada pandangan.


Aku pandang ke arahnya.  Geram, marah, sakit hati, menyampah semuanya bercampur di dalam dadaku. 


Can we talk?” soalnya lembut.  Nada bagai orang bersalah.  Ya, memang dia bersalah.  Menuduh aku yang bukan-bukan.  Aku nak bunuh diri, aku mengandung, aku buat maksiat di tempatnya.  Setiap tuduhan itu adalah penghinaan bagiku.  Seolah-olah aku gadis yang tidak bermoral di matanya, maka dengan mudah dia membuat andaian.


No” dan aku hempas pintu dengan kuat, biarkan sahaja dia terkulat-kulat di luar.


Mamat sengal mulut nak kena samak dengan Clorox ni memang tak reti bahasa.  Bila aku katakan tidak, angkat kaki sajalah.  Ini tidak, diketuknya pintu bertalu-talu.  Aku masuk ke dalam bilik.  Lantaklah kau! Nak ketuk pintu tu sampai esok pun aku tak kisah.


Aku duduk di atas katil.  Kedua belah tanganku memeluk kaki.  Bunyi ketukan menjadi kelam kerana pintu bilik juga ku tutup.  Aku tarik nafas panjang-panjang, dan melepaskannya perlahan-lahan.  Bermenung di atas katil, memikirkan segala yang telah terjadi, dari kejadian di tasik Putrajaya, ke babak pertunangan, menginjak pula ke detik rambut panjang aku dikorbankan.  Pastinya rambut yang digunting masih lagi berselerakan di lantai bilik.  Fikiran melayang lebih jauh lagi.  Berterbangan ke zaman universiti.  Zaman hati mudaku bergelora. Sekejap sedih kerana perbalahan dengan mama.  Mama mahu aku ambil jurusan perakaunan, sedangkan jiwaku meminati bidang lain.  Datang Muaz menceriakan.  Sekejap sayu rindukan papa.  Muncul Muaz menceriakan.  Sekejap marah kerana mama tidak mahu menerima Kak Rina, juga Muaz yang menceriakan.  Muaz di sana, di sini, di mana-mana dalam setiap detik hidupku.  Mana mungkin aku mudah melupakan dia.


Fikiran bertebaran lagi, terus hinggap di wajah manis Kak Rina.  Gadis yang kehilangan ibu dan bapa di usia belasan tahun, kemudian tidak diterima ibu tirinya.  Namun cekal mengharungi badai kehidupan.  Tidak pernah berputus asa memenangi hati mama, atas pesanan emaknya bahawa ibu tiri harus dihormati seumpama ibu sendiri.  Alangkah bagusnya jika aku dapat meminjam semangat Kak Rina.  Tiga kali putus cinta namun tidak pernah merana kerana cinta.  Itu pilihannya sendiri, katanya kepadaku suatu waktu dahulu.  Dia boleh memilih suka atau duka dan baginya tidak berbaloi untuk berduka kerana cinta.  Kakak, adik rindu kakak.  Menitis airmata tatkala lafaz rindu itu aku bisikkan di dalam hati.


Muncul pula wajah abang.  Baru sahaja abang pergi, rindu kepadanya sudah bertandang di hati.  Abang yang sentiasa melindungiku dan sering sahaja memenangkan aku dalam apa-apa situasi.  Abang yang sangat patuh kepada mama, tidak membantah.  Malah kalau membantah sekalipun, hanya sekadar untuk menyuarakan rasa tidak setuju, akhirnya abang tetap akur dengan setiap arahan dan permintaan mama. 


Pesanan abang terngiang-ngiang di telinga.  Aku seluk kocek seluar sebelah kanan dan membawa keluar segenggam wang kertas lima puluh ringgit.  Bercucuran airmata jatuh, menitis ke atas wang yang abang berikan tadi.  Terima kasih abang, bersusah payah datang jenguk adik, hatiku berbisik.  Aku seka airmata dengan jari.  Terdengar derapan tapak kaki di luar.  Aku angkat muka dan mata tertancap ke arah tingkap.  Tiba-tiba terdetik satu fikiran. 


Cepat-cepat aku bangun menuju ke tingkap.  Daun tingkap sebelah kiri aku tarik ke dalam.  Capai pula daun tingkap sebelah kanan, dan sebaik sahaja aku cuba menarik daun tingkap, tekaanku menjadi benar.  Tangannya melekat di daun tingkap dan menariknya ke belakang.


“Izureen, please” rayunya dengan wajah meminta belas ihsan.  Macamlah aku akan terpedaya dengan muka kesiannya.


“Hei, awak mengendap saya ya!”


“Mana ada!  Saya nak minta maaf.  Awak tak mau buka pintu, jadi saya datanglah ke tingkap ni.  Mana saya tau awak ada dalam bilik.”


“Nasib baik saya sedang duduk saja.  Kalau saya baru keluar bilik air berkemban ke, tengah baring-baring ke, tengah tukar baju ke, senang-senang aje awak nampak, kan?”


Bertukar riak wajahnya.  Dari muka minta belas ihsan kepada muka marah.  Lantaklah, marahlah aku, ingat aku takut? 


“Izureen, awak ingat saya ni desperate sangat ke, sampai nak mengintai awak?  Kalau setakat muka macam awak ni, jangan perasanlah!  I have better taste and sorry, you don’t fit into my taste!”


Amboi mulut! Bukan setakat kena basuh dengan Clorox, ni nak kena sental dengan berus dawai sekali.  Suka-suka menghina aku.  Aku bertambah berang dan bengang.  Kau belum kenal aku Naim Zakaria.  Aku, kalau diusik, ibarat menjolok sarang tebuan.  Bersedialah menerima sengatan aku.  Aku dekatkan wajahku ke tingkap, agar dia dapat melihat dengan lebih jelas kemarahan dan kejelikan yang terpancar di wajahku.


Excuse me, you have taste?  Dengar sini Encik Naim Zakaria! I don’t give a damn what your taste is, and I don’t care whether I am your taste or not!  Yang saya tau, awak ni suka menyibuk hal orang, menuduh orang tanpa usul periksa, syak wasangka yang bukan-bukan dan yang terbaru, awak ni suka mengendap perempuan!  Memang sesuailah awak buat bisnes ni, senang kan, tiap-tiap hari boleh tengok perempuan.  Kat sungai ada, kat dalam rumah ni ada, dalam chalet ada.  Semua awak boleh tengok!  Entah-entah, your ex tinggalkan awak sebab perangai buruk awak ni!”


Nah kau, aku hamburkan semuanya.  Kelam wajahnya sambil matanya tajam merenung aku.  Namun aku tidak takut dan aku belum puas. 


“Saya anggap semua tuduhan awak itu satu penghinaan.  Awak fikir saya tak ada maruah?  If you had bad experience with girls, don’t think all girls are the same!”


Dia diam.  Merenung saja wajahku tanpa sepatah bicara.  Aku lawan renungannya.  Puas rasa di hati selepas menyuarakan apa yang terbuku di hati sejak semalam. 


“Dah habis?” akhirnya keluar dari bibirnya.


Firstly, saya mohon maaf.  Memang saya silap sebab salah sangka terhadap awak.  Saya tak tau kenapa, tapi apa yang timbul dalam fikiran saya, semuanya salah.  Tolong maafkan saya.”


Semudah itu dia meminta maaf, namun tidak semudah itu aku memaafkan.


Secondly, saya tak berniat mengendap atau mengintai awak.  Percayalah, saya hanya mahu mencuba bercakap dengan awak.  Awak tak mahu buka pintu, jadi saya ke tingkap ni, tak terfikir pun nak ambil kesempatan.  Lagipun kan tingkap ni berlangsir”.


Hermm, banyaklah alasan.  Aku tak percaya.


Thirdly, awak pulak yang menuduh saya.  Saya tak sekeji yang awak sangkakan, belum pernah lagi saya mengintai mana-mana perempuan yang menginap di sini dan insyaAllah, saya tak akan lakukan perbuatan tu.  Lagipun kalau saya berniat jahat dengan awak, dah lama saya boleh buat.”


Aku menelan liur.  Mata berkalih, memandang lantai.  Betul, aku pula yang menuduh dia, sedangkan aku sendiri tidak suka disangka yang bukan-bukan.  Teringat juga beberapa insiden di mana boleh sahaja dia mengambil kesempatan terhadapku. 


“Fourthly, whatever happen between me and my ex is none of your business and …”


Ayatnya tergantung di situ.  Aku panggung kepala, memandangnya dengan tanda tanya, kenapa dia tidak menghabiskan ayatnya.


“I do not have problems with girls...”


Dia berhenti lagi.  Kali ini dia senyum, sebelah bibirnya terherot dengan senyuman.  Menyampah aku tengok senyuman sengetnya itu. 


I do not think you are the same as those girls that I have known before but….”


Dia merapatkan wajahnya denganku.  Rapat, hinggakan aku dapat menyedut haruman badannya.  Aku terkedu, menelan liur lagi.  Dada mula berdetak laju.


but… you are worse than those girls  akhirnya, disudahkan ayat itu, dengan perlahan-lahan, sebutir-sebutir perkataan dituturkannya.  Dan sebaik ayat itu dihabiskan, dia menjarakkan dirinya, kembali ke posisi asal.


Kurang asam, mengutuk aku!  Aku buntangkan mata dan melihat terus ke dalam matanya.  Aku ketap bibir, sesuatu yang lazim aku lakukan bila aku sedang bengang.  Dahiku mengerut.  Pastinya kemarahanku sudah terpamer di wajahku.  Dia senyum lagi, bagaikan mengisyaratkan bahawa dia seronok melihat aku marah.


“Naim, awak ni kan…… annoying!” aku luahkan kemarahan sambil menunding jari ke arahnya.


Dia senyum.  Lagilah aku bertambah bengang.  Orang tengah marah, boleh pulak dia senyum.


“Ya ke?”  bertanya soalan yang membuatkan tahap kemarahan naik mencanak.  Memang nak kena dia ni. 


“Yes!  You are irritating, annoying dan saya rimas dan menyampah sangat-sangat dengan awak.  Belum pernah ada orang yang minta maaf dengan saya, dan seminit kemudian membuat saya marah semula!”  


Dia masih tersenyum.  Merapatkan semula tubuhnya kepadaku.  Mujur ada dinding yang memisahkan kami.  Namun tingkap yang separuh terbuka itu membolehkan dia menundukkan wajahnya, amat rapat denganku.  Tindakan yang membuatkan jantungku berlari lebih pantas.  Debaran dan amarah yang bercampur, menjadikan aku kaku, tidak terfikir aku boleh sahaja berinjak ke belakang.


But I found you interesting.” Bisiknya, sambil matanya merenung tepat ke mataku, dan aku hanya terpaku di situ, bagaikan larut di dalam renungan matanya.


Dengan perlahan-lahan dia menjarakkan tubuhnya, sambil matanya tidak lekang dari mataku.  Tanpa apa-apa bicara lagi dia berlalu, meninggalkan aku dengan dada yang bagai dipalu dan perasaan yang bercampur baur.



5 comments:

  1. mabelessss ... dah ada bab baru! yeye! :) :D
    hmmmmm naim....naim...... interesting! :D haha :D
    ala..saja je naim ni nak wat zurin marah..dah tu je cara dia nak dekatkan diri dgn zurin... disguised tactic naim ni .... :D hehe

    ReplyDelete
  2. Malia, Naim suka menyakat. Lepas ni lagi banyak dia menyakat

    ReplyDelete
  3. hehee.. common sebab lelaki kan suka tengok response pompan bila kena sakat....makin pompan melenting makin best sakat.... heheheee....

    ReplyDelete
  4. Aduh...dalam bergaduh ada manisnya...tak sabar nak tunggu next episod...

    ReplyDelete