Wednesday 29 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 14

Untuk Malia dan Kak Na,

Saya taip laju-laju.  Semoga menghiburkan.  Jangan lupa comment ya, :)


Bab 14 - Naim Zakaria


Siapa lelaki berkacamata itu?  Itukah Muaz yang pernah disebut dalam perbualan kami?  Orangnya agak berusia, mungkin sekitar awal 30-an.  Tentu lelaki itu ada hubungan dengannya.  Kalau tidak, takkanlah berpeluk sakan.  Siap berpimpin tangan lagi.  Dan bermalam di sini, dalam rumah yang sama!


Perasaan ingin tahu semakin menebal dalam hati, disulami perasaan jelik.  Entah kenapa, terasa sangat jelik melihat dia bermesra dengan lelaki itu.  Aku nampak dengan jelas mereka berpelukan di depan pintu, dan kemudian kedua belah tangannya menyentuh muka lelaki itu sambil tersenyum.  Tidak berapa lama kemudian, dia menarik tangan lelaki itu dan mereka sama-sama masuk ke dalam rumah inap.


Semalaman mereka tidak keluar dari rumah.  Pagi ini, apabila aku melintasi rumah ketika berjogging, kereta lelaki itu masih ada.  Ingin rasanya aku mengetuk pintu rumah inap dan mengheret mereka berdua keluar.  Rumah inap itu aku bina untuk membolehkan pelanggan berkeluarga menginap, bukan untuk pasangan yang belum halal menginap untuk melakukan maksiat.  Malahan, chalet-chalet yang ada juga tidak sekali-kali akan aku sewakan kepada pasangan yang belum berkahwin.  Itu prinsip aku.  Aku lebih rela kerugian daripada mendapat keuntungan dari jalan yang salah. 


Dia berada di tepi sungai rupa-rupanya.  Tempat kegemarannya bermenung.  Di mana lelaki berkacamata itu? 


“Assalammualaikum” aku hulurkan salam pembuka bicara.  Takkan nak terus terjah dengan soalan berapi.


“Wa ‘alaikummus salam” sepatah jawabnya.  Mata memberikan jelingan tajam kepadaku.  Ah, aku tidak takut dengan jelinganmu wahai gadis.  Wajahnya masih mencuka, seperti semalam.  Kelihatannya seperti dia sudah bersiap hendak keluar.


“Mana boyfriend awak?”


“Hah?” itu saja jawapan yang keluar dari mulutnya.  Dahinya berkerut.


“Saya bukan nak mencampuri urusan peribadi awak.  Tetapi, sebagai pemilik tempat ni, saya mesti menjalankan tanggungjawab saya.  Kalau awak nak buat maksiat, tolong jangan buat di sini.  Ada banyak rumah inap dan resort berdekatan sini, awak boleh tinggal di sana.”


“Naim!” dia menengking aku. 


Tinggi suaranya.  Wajahnya yang tadi masam mencuka, kini bertukar menjadi bengis.  Lumrah, orang kalau sudah melakukan kesalahan, tidak mahu mengaku pula.  Maka marahlah dia bila ditegur kesalahannya.


“Apa yang awak merepek ni hah?” 


Tak habis-habis dikatanya aku merepek.  Semalam bila ditanya tentang kehamilannya, dia kata aku merepek juga.  Aku yakin, dari keadaannya, dia mengalami alahan di peringkat awal kehamilan.  Dan, dari tingkah laku mereka berdua, aku sangat-sangat yakin lelaki berkacamata itu kekasihnya.


“Kenapa awak suka tuduh saya macam-macam?  Kalau awak tak suka saya berada di sini, berterus teranglah.  Tak payah cari pasal dengan menuduh saya yang bukan-bukan.”


Wajahnya nampak sungguh tegang.  Dia ingat aku takut?  Kalau setakat dia sudah terlanjur, rasanya aku masih boleh terima.  Tetapi bila sang kekasih datang, bermalam pula di sini, oh maaf, ini sudah terlebih.  Aku tidak akan sesekali berkompromi dalam hal ini. 


“Jangan berdalih Izureen.  Saya nampak dengan mata saya sendiri.”


“Apa yang awak nampak, tak menjelaskan perkara yang sebenar lah!”


Kini dia sudah mencekak pinggang.  Matanya membulat memandangku.  Aku balas renungannya. 


“Kalau begitu, apa perkara yang sebenarnya?  Cakaplah!” aku pula menengking. 


Izureen mengetap bibirnya.  Nafasnya turun naik, nampak jelas dia mengawal kemarahannya.


Listen here Encik Naim Zakaria.  You have got no right to know any of my personal things!  Mind your own business! 


Dia mengangkat kaki, hendak meninggalkan aku.  Kalau dia di pihak yang benar, mengapa dia tidak mahu menceritakan hal yang sebenar?  Aku sentap tangannya dan menarik dia ke arahku.  Agak kuat tarikanku hingga dia terdorong ke belakang.


What are you trying to do?  Lepaslah!”


Belum sempat aku berkata apa-apa, lelaki berkacamata itu menghampiri kami.  Entah dari mana dia datang.  Aku lepaskan tangan Izureen.  Jangan pula dia salah sangka, aku hendak mengapa-apakan Izureen.  Sebaik sahaja dilepaskan Izureen menjeling kepadaku dengan pandangan yang tajam, bagai tembus mataku dijelingnya.  Kemudian dia menggamit lelaki itu.


“Jom,” katanya lantas memaut lengan si lelaki.


Wait” sepatah yang keluar dari si lelaki.  Dia terus mara ke arahku. 


“Zack kan?”  dia menyoal, sambil menghulurkan tangannya.


Kami berjabat tangan.  Aku perhatikan dia dari atas hingga ke bawah.  Cuba mengingati wajah dan susuk tubuh yang berada di hadapanku.  Gagal.


“Zack, kau dah tak kenal aku?  Izelan lah!” dia senyum. 


Izelan?  Aku cuba mengingati orang bernama Izelan yang pernah aku kenali.  Lama aku berfikir, sebelum satu nama dan wajah di zaman persekolahan menengah menjelma di minda.


“Izelan, MRSM Muar?” soalku.


Yes!” dia tersenyum girang bila akhirnya aku berjaya mengingatinya.


“MasyaAllah, lainnya engkau Lan!”  kami sama ketawa.  Kemudian dia mendepakan lengannya dan kami berdakapan, aku menepuk-nepuk bahunya. 


“Dulu engkau putih, tembam.  Sekarang dah kurus, pakai cermin mata pulak tu.  MasyaAllah, manalah aku nak kenal!”


“Engkau pun dah lainlah.  Makin handsome.  Taklah macam time sekolah dulu, nampak nerd aje.”


Kami gelak lagi.  Girang berjumpa rakan lama.  Tak sangka setelah bertahun-tahun tidak bertemu, kami berjumpa di sini.  Lain sungguh penampilan Izelan sekarang.


“Kerja apa sekarang?”


“Doktor.  Engkau?”


“Di sinilah, bisnes sendiri.”


“Eh, aku ada dengar kau ada buka interior design firm?”


Still there, but Haziq is running it full time.  I am mostly here.  Eh, ingat Haziq lagi?”


“Ingat.  Aku ada jumpa dia, rasanya dua tahun lepas.”


 “Dah kahwin?”


“Belum.”


“Samalah kita.”


“Abang” panggilan Izureen menyedarkan kami ada orang ketiga di situ.  Tentunya dia mendengar perbualan kami dan kehairanan.  Aku juga mula kehairanan.  Yang ini Izelan, bukan Muaz.  Apa kaitan Izelan dengan Izureen? 


“Jomlah abang.  Berapa lama lagi nak berborak ni?” wajahnya tampak kebosanan.


“Kejaplah adik.  Dah lama tak jumpa kawan abang ni.  Dulu dia junior abang kat MRSM Muar.  Tak sangka berjumpa semula di sini.”


Adik?  Rasanya aku tak salah dengar, dia memanggil Izureen adik.  Oh oh, maknanya aku sudah salah sangka! 


“Eh Zack, kenalkan my baby sister, Izureen.” 


Izelan menyuakan tangan ke arah Izureen yang sedang memandang aku dengan pandangan seolah-olah dia hendak menerkam aku sekarang.  Memang sah, aku telah tersalah anggap tentang perhubungan Izureen dengan lelaki ini. 


“Korang nak ke mana?” tiba-tiba muncul persoalan di benak lantas terpancul dari mulutku.  Mata tidak sanggup menatap wajah garang Izureen.


“Kami nak pergi makan.  Lepas ni aku kena balik Taiping.”


“Eh jomlah makan kat rumah aku.  Dulu, bila aku balik ke asrama, engkau selalu belasah sambal bilis mak aku.  Hari ni mak aku masak sambal bilis.  Dah lama engkau tak rasakan?  Jomlah.” 


Aku menarik lengan Izelan dan dia tersengeh sambil menurutiku.


“Abang!”  Izureen masih tercegat di belakang kami.  Kami berdua berpaling memandangnya.  Matanya tepat melihat ke arah Izelan, sambil menggelengkan kepalanya, menandakan dia tidak mahu makan di rumahku.


“Jom adik,” tanpa sebarang pertanyaan, Izelan menarik lengan Izureen.  Dalam terpaksa Izureen menapak, mengikuti kami ke rumahku.



**********


Berselera sungguh Izelan makan.  Lauknya biasa sahaja, sambal bilis, ikan masin goreng, gulai lemak pucuk paku berencahkan udang kering, ulam timun dan sambal belacan.  Tapi yang disentuhnya cuma sambal bilis dan pucuk paku.  Berkali-kali dia memuji kelazatan sambal bilis emak.


“Dulu makcik, masa kat asrama, saya memang tertunggu-tunggu sambal bilis makcik.  Tak ada nasi, dengan roti saya makan.  Tak ada roti, biskut lemak pun jadi.  Kalau Zack balik tak bawa sambal, kecewa saya.”


Berderai ketawa kami. 


“Ada lagi ke sambal ni Jah?  Kalau ada, bungkuskan untuk tuan doktor ni, bawak balik ke Taiping.”


Abah memberi arahan.


“Ada sikit lagi tu, nanti makcik bungkuskan.” Emak senyum.


“Tak payahlah mak.  Kalau dia nak lagi, dia kenalah datang sini selalu” sengaja aku menyakat Izelan.


Meriah suasana makan tengahari kami dengan kehadiran Izelan.  Sambil makan, kami bercerita tentang kisah kami di asrama.  Izelan tua setahun daripadaku.  Dia banyak membantu aku ketika aku mula memasuki MRSM.  Sekali sekala perbualan kami diiring gelak ketawa apabila ada peristiwa lucu yang diperkatakan.  Emak dan abah turut ketawa bersama.


Namun satu wajah itu kekal mencuka.  Izureen makan pun sedikit sahaja.  Ketika sedang makan, mata kami bertaut dan dengan pantas dia memberikan aku satu jelingan tajam.  Rasa bersalah menyelinap dalam hati.  Macam manalah aku boleh terfikir benda yang bukan-bukan tentang dia?


Emak perasan akan gelagatnya dan bertanyakan kepadaku ketika aku membasuh tangan di singki.  Aku hanya katakan aku tidak tahu, tidak berani menceritakan hal sebenar kepada emak.  Kalau emak tahu, tentu aku akan dimarahi.  Ish, macam manalah aku boleh buat silap?


6 comments:

  1. Kak Na,

    Dia bendul sebab sebenarnya dalam hati ada taman ha ha ha

    ReplyDelete
  2. hahaha :D dah teka dah mesti naim ingat abang zurin tu pak we dia..haha :D habisla lepas ni kompom bom atom hiroshima kuadr dari tempat zurin menginap menuju ke bilik tido naim ..heheee ...
    sure zurin rimas dgn naim punya perangai.. caring tapi menyakitkan ati je .. :D haha ....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia, yang sorang caring tapi menyakitkan hati
      yang sorang lagi rimas tapi rindu
      boleh buat gitu?

      Delete
  3. hahaha :D tu namanya zurin benci tapi rindu :D hehee..

    tapi zurin macam blur je tak.. macam paham2 lagi si naim dah ada taman dalam hati :D hehe... sebab ati zurin tgh sakit dek ke'caring'an naim yg tersangat la lebih... hehehe ..

    kompom naim malu dgn abang zurin kalau zurin cerita kat abang dia apa yg berlaku between both of them.. wahahaa :D

    ReplyDelete