Wednesday 22 May 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 12


Bab 12 - Naim Zakaria


Mata, mengapa sukar untuk lelap?  Dia, mengapa sering sahaja wajahnya terbayang di depan mata?  Aku, mengapa hatiku ini libang libu?  Serba tak kena rasanya.  Mengiring ke kiri salah, mengiring ke kanan salah juga.  Duduk salah, baring pun salah.


Mata mengerling jam di dinding, sudah pukul 3 pagi.  Dari memikirkan perkara-perkara yang tidak pasti, lebih baik membuat sesuatu yang berfaedah!  Maka aku bangun, berlalu ke bilik air lantas mengambil wudu’.


Aku bentang sejadah dan dengan lafaz bismillah, aku mulakan solat tahajjud.  Habis bertahajjud, aku sambung dengan solat taubat.  Berjuraian airmataku tatkala lafaz kemaafan aku panjangkan kepada Al Khaliq, Pencipta semua makhluk dan segala sesuatu.  Yang menciptakan setiap makhluk secara sempurna dan dalam bentuk yang sebaik-baiknya dengan ukuran yang paling tepat.  Terasa kerdil diri ini bila aku menyedari terlalu banyak dosaku kepadaNya.  Aku mohon ampun darimu Ya Allah, aku mohon keampunanMu Ya Allah, terimalah taubatku, terimalah taubatku.  Setelah habis berdoa, aku alunkan nasyid taubat nasuha.


Astaghfirullah robbal barroya, Astaghfirullah minal khotoya

Astaghfirullah robbal barroya, Astaghfirullah minal khotoya

Rabbi zidni ‘ilman naafi’a

Wawa fiqni ‘amalan maqbula

Wawa habli rizqan waasi’a

Wa tub ‘alaiya taubatan nasuha

Wa tub ‘alaiya taubatan nasuha


Hati menjadi tenang. Benarlah, ketika hati gundah gulana, tiada yang mampu memberi ketenangan melainkan dengan menyerahkan diri kepadaNya. 


Aku bangun dan memulakan pula solat hajat.  Dalam sujudku yang panjang, aku mohon kepada Ya Rabbi akan kesihatan yang baik untuk kami sekeluarga, juga rezeki yang luas dan diberkati.  Aku juga memohon agar perniagaanku berjalan lancar dan berkembang.  Akhirnya aku memohon agar dipertemukan jodoh yang baik.  Seorang isteri yang mampu menjadi bidadari dunia dan akhiratku, yang cintanya akan membawa aku lebih mencintai Al Khaliqku.


Aku berdiri lagi, kali ini mengangkat takbir ratul ihram untuk memulakan solat witir, penutup solat malamku.  Selesai semuanya, jam menunjukkan pukul empat pagi.  Aku kembali ke pembaringan dan akhirnya terlena.  Syukur, mata yang amat sukar dilelapkan berjaya dipejamkan dan fikiran yang berkeliaran ke sana ke mari akhirnya tenang.  Pastinya berkat bertahajjud.


*******


Hujan semalam masih belum berhenti, membatalkan rancanganku untuk berjogging.  Aku, abah dan mak berjemaah Subuh di rumah sahaja.  Selepas bersolat, aku buka laptop dan memeriksa emel yang bertalu-talu masuk.  Alhamdulillah, ada lima emel dari pelanggan yang berminat menyewa chalet.  Semuanya aku balas dengan segera.  Ada juga satu emel dari sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang bertanyakan tentang Villa Mahabbah.  Pelik, biasanya tempahan dan pertanyaan tentang Villa Mahabbah datang dari butik-butik pengantin dan mak-mak andam yang bekerjasama denganku.  Bagi memelihara nilai eksklusif yang tinggi, penginapan di resort akan dimasukkan di dalam pakej andaman  dan setiap butik atau mak andam yang berjaya mendapatkan pelanggan mereka berbulan madu di resortku akan menerima komisyen.  Ini adalah salah satu strategi pemasaran yang aku laksanakan untuk mempromosikan Villa Mahabbah.


Inilah pertama kali aku mendapat pertanyaan secara langsung dari pelanggan.  Emel tersebut datangnya dari Pembantu Peribadi seorang Dato’.  Katanya Dato’ tersebut ingin mengetahui pakej yang ditawarkan dan berminat juga untuk melawat resort tersebut sebelum membuat tempahan.  Kata orang rezeki jangan ditolak, maka aku segera mencapai beberapa helai kertas dan mula merangka pakej bulan madu yang tidak digabungkan dengan pakej andaman, khas untuk Dato’ tersebut.


“Naim, mari sarapan”, laungan emak dari dapur menyedarkan aku bahawa sudah dua jam aku membuat kerja tanpa henti.


Aku simpan kertas-kertas yang penuh dengan berbagai contengan.  Komputer riba aku tutup.  Kemudian aku pergi ke arah dapur dan mendekati meja makan.  Di atas meja sudah terhidang lempeng pisang dan sambal tumis ikan bilis.  Semerbak bau lempeng menerjah ke rongga hidung, membangkitkan seleraku. 


“Mak, Izureen tu ada datang makan kat sini semalam?” soalku sebelum menghirup kopi yang emak hidangkan.


“Ada, kenapa?”


“Malam tadi Naim temankan dia ke kedai, nampak macam tak sihat aje budak tu”.


“Eh, elok aje dia tengahari semalam”, jawap emak, tanpa prasangka.  Aku diam, membiarkan cerita itu mati begitu sahaja.


Malam tadi, ketika mata tidak mahu lelap, aku tidak putus-putus berfikir tentang dia.  Kenapa dia asyik muntah-muntah?  Adakah dia telah terlanjur?  Jika ya, angkara siapa?  Adakah dia sudah terlanjur atau terjadi tanpa kerelaan?  Di mana sahabat karib yang katanya dicintai dalam diam?  Lelaki itukah yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung?  Adakah keluarganya sudah mengetahui akan hal ini, lantas menyingkirnya dari rumah hingga membawa dia ke sini?


Berbagai persoalan bermain di mindaku.  Aku perlu mendapatkan kepastian darinya.  Jika benar dia mengandung, dia perlu dibantu dan aku bertekad membantunya.


“Apa yang kamu menungkan?  Tak baik termenung sambil mengadap rezeki.”


Teguran emak membawa aku ke kembali ke realiti.  Saat mataku menangkap mata emak aku teringat emak bekas bidan kampung.  Tentu emak boleh tahu kalau dia mengandung.  Apa pun aku perlu bertanyakan dahulu dengan Izureen.  Terbit pula rasa simpati di hati bila mengenangkan pasti sukar baginya menghadapi masalah ini berseorangan.


**********

Menjelang Asar, baru aku nampak dia.  Ketika itu aku diluar chalet nombor tiga.  Pekerja Kedai Perabot baru sahaja selesai meletakkan katil, kerusi, almari baju dan kabinet di dalam chalet itu.  InsyaAllah, bermula esok chalet itu sudah boleh disewakan.


Ketika aku berpaling, nampak dia sedang berdiri di gigi air, merenung jauh ke dalam sungai.  Hanya memakai t shirt longgar dan seluar bermuda separas lutut.


“Tak boleh ke pakai yang lebih sopan” omelku di dalam hati.  Entah kenapa, mata tidak berkenan dengan pakaian yang melekap di badannya.  Dulu Ratna lebih daring pakaiannya.  Seluar pendek separas peha, t shirt ketat dan senteng, kadang-kadang tidak berlengan.  Ada juga t shirt yang dikenakan mempunyai bukaan leher yang luas, menyerlahkan hampir kesemua bahagian dadanya.  Tetapi tidak pernah aku menegur pemakaiannya.  Kenapa pula, budak ini, yang tiada apa-apa hubungan denganku, boleh mencetuskan rasa tidak selesa.


Aku menapak ke arahnya, semakin hampir nampak jelas wajahnya yang agak pucat.  Tengahari tadi dia tidak datang makan di rumahku.  Mak pergi membawakan makanan untuknya.  Bertuah dia, mak melayan dia dengan baik, seolah-olah dia sebahagian daripada keluarga kami. 


“Assalammualaikum” aku menyapa di kala langkah tinggal beberapa tapak lagi untuk rapat dengannya.


“Walaikumussalam” menjawab salamku, tetapi tidak memandang ke arahku.


“Dah sihat?” soalku.


“Alhamdulillah, dah lega sikit” matanya masih ke hadapan, bagai tenggelam di dasar sungai .


“Awak sakit apa sebenarnya?” dan kali ini barulah dia berpaling memandangku.


“Sibuk aje nak tau” menjeling aku sekilas.  Kenapa dia enggan memberitahu?  Malu, mungkin juga.  Mana-mana gadis yang sudah terlanjur tentulah malu hendak membuka pekung di dada.


“Apa salahnya.  Mungkin saya boleh bantu”.


“Awak nak bantu macam mana?”


Aku diam.  Ya tak ya jugak, bagaimana aku boleh membantunya?  Jeda.  Otak mula berfikir sambil masih terus memandang dia, dan dia, matanya tetap lekat ke hadapan.  Terimbas peristiwa kami bertengkar kerana dia merasakan aku terlalu menyibuk dan dia belum cukup kenal denganku untuk mempercayai aku.  Tapi dia dah setuju berkawan denganku jadi apa salahnya aku menghulurkan bantuan.


“Saya akan cuba setakat yang mampu.  Dah berapa bulan?”


“Apa?”


Izureen memalingkan wajahnya kepadaku, memandang dengan dahi berkerut.


“Kandungan awak tu, dah berapa bulan?”


Kali ini bukan sekadar wajahnya, seluruh tubuhnya dipalingkan ke arahku.  Matanya yang cantik itu, yang sangat suka aku tatapi, kini membulat memandangku.  Dahinya semakin berkerut, mulutnya menganga sedikit.  Aku cuba mentafsir maksud renungannya.  Ada riak marah di mata itu.  Mungkin dia tidak suka aku bertanyakan hal ini.


“Dia tak mahu bertanggungjawab, kan?”


“Apa yang awak merepek ni?’  suaranya tinggi.  Sekarang dia bercekak pinggang pula.  Mungkin dia malu hendak mengaku akan hal yang sebenar, jadi dia marah bila aku bertanya dan cuba menafikan dengan mengatakan aku merepek.


“Awak mengandungkan?  Dan dia tak mahu bertanggungjawab.  Sebab itulah awak datang sini, kan?”


Wajahnya terus berubah, makin nyata riak kemarahan di wajahnya.  Dia menggetap bibir bawahnya.  Mungkin dia tak suka akan apa yang aku katakan, tetapi bagiku menjadi tanggungjawab untuk menasihatinya.


“Jangan buat tindakan bodoh.  Dah banyak sangat kes ibu yang mengandung hasil dari hubungan luar nikah bertindak melulu, meninggalkan anak yang dilahirkan, campak anak dari rumah flat, buang anak dalam mangkuk tandas.  Berdosa besar.  Jangan sesekali awak buat begitu.  Sudahlah berzina itu dosa besar, mengambil nyawa bayi yang tidak berdosa itu juga satu dosa”.


Aku sekadar mahu mengingatkan, bukan mencampuri urusan peribadinya.  Aku harap dia mengambil iktibar dari kes-kes pembuangan dan pembunuhan bayi yang banyak dilaporkan di media kebelakangan ini.


“Naim!”  tinggi suaranya ketika menyebut namaku. 


“Awak ni sengal lah!  tengkingnya, lantas berlalu meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.  Apa maksud dia memanggil aku sengal?  Aku bukannya mahir bahasa orang muda zaman sekarang.

  

“Izureen!” 


Laungan aku tidak dihiraukannya.  Dia menghilang di sebalik pintu rumah inap.  Pintu rumah dihentam kuat.  Marah sungguh dia.  Tapi kenapa?  Mengaku sajalah, aku akan tolong setakat yang boleh.  Kalau dia bersikap begini bagaimana dapat aku tolong dia?

5 comments:

  1. hahaha :D adehhh sakit perut baca :D haha ...memang la naim tu sengal.... main terjah je hahaha :D tanya awak mengandung ke cukup la.. jgn la tanya dan komen meleret2 kat org tengah hangin menstrual .... kompom malu naim nanti hahaha :D adehhh... :D hahaha :D

    sambung la bab 13 :D hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia, gaduh besar lepas ni. Tunggu bab 13 ya :))

      Delete
  2. suka suki je naim,serkap naim padat hahaha
    cepat sambung isma

    ReplyDelete
  3. Kak Na, ada lagi. Bab 13 lagi besar serkapnya. Sabau ya, on the way!

    ReplyDelete
  4. haih... abihla enko zurin... hahaha :D naim is getting into zurin's nerves now :D hahaha :D bom nuclear nak meletup dah :D haha :D

    ReplyDelete