Friday 26 July 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 24



Assalam semua.  Cepatnya masa berlalu, hari ni dah 18 Ramadhan.  Tinggal 12 hari lagi dan lepas itu Ramadhan akan meninggalkan kita.  Masa untuk kita melipat gandakan amalan di bulan mulia ni.  10 malam terakhir semakin menghampiri.  Kalau boleh dalam 10 malam terakhir itu, saya nak fokus pada tahajjud dan amalan lain yang banyak tak terbuat di awal Ramadhan.  

Malam ni nak berbuka puasa dan tidur di Semenyih.  Sementara itu saya hidangkan bab 24 untuk kalian.  Selamat membaca.  


Bab 24  Naim Zakaria

Sudah hampir seminggu namun masih belum ada berita dari pejabat Dato’ Wirda.  Hatiku tertanya-tanya apakah dia tidak jadi menempah pakej bulan madu untuk anak tirinya?  Aku redha jika itu yang terjadi kerana rezeki di tangan Allah.  Jika Dia memberinya kepadaku, akan tetap menjadi milikku walaupun rezeki itu lambat tiba.

Kegusaran menanti pengesahan daripada pejabat Dato’ Wirda hilang seketika dari mindanya dek kesibukan mengendalikan Teratak Khatijah.  Semua chalet dan homestay disewa orang, bermula dari hari Jumaat hingga ke Ahad.  Malahan Villa Mahabbah juga penuh ditempah pasangan yang ingin berbulan madu. Aku syukuri rezeki yang Allah berikan. Hati berbelah bagi sama ada mahu berada di sini atau pergi ke Villa Mahabbah.  Namun akhirnya aku menetapkan untuk berada di sini kerana esok aku perlu menghantar Fina ke Kuala Lumpur. 

Riuh rendah bunyi orang bermandi manda di sungai sedikit pun tidak menggangu tumpuanku.  Sudah menjadi tabiatku, sangat fokus ketika bekerja.  Beberapa emel telah selesai aku jawab.  Kini aku mula menulis resit bagi pembayaran chalet yang telah dibuat oleh penyewa.  Selepas resit ini disiapkan, aku mahu mengemaskinikan blog pula.  Beberapa orang yang pernah menetap di sini telah dengan baik hati memenuhi permintaanku agar mereka menulis testimoni tentang tempat ini dan pengalaman mereka menetap di sini.  Aku mahu memasukkan testimoni mereka ke dalam blog.

Telefonku berbunyi.  Nombor pejabat Dato’ Wirda tertera di skrin.  Aku harap ada berita gembira.  Suara pembantu peribadi Dato’ Wirda yang membahasakan dirinya sebagai Kak Ram menjamah telingaku.  Kak Ram memaklumkan bahawa Dato’ Wirda telah bersetuju untuk menempah chalet selama dua malam.  Terus sahaja aku catitkan tarikhnya dan berbagai perkara lain yang disampaikan oleh Kak Ram.  Dato’ Wirda mahukan chalet yang hiasan dalamannya berkonsep ala Arab.  Aktiviti yang dimahukan, menu makanan tengahari dan malam dan beberapa perkara lain sudah aku tulis untuk memudahkan aku menghantar sebut harga.  Aku berjanji selewat-lewatnya pada hari Isnin sebutharga itu akan aku emelkan kepada Kak Ram.

Usai perbualan kami aku melafazkan kesyukuran.  Helaian buku nota aku selak agar dapat aku selitkan kertas yang telah dipenuhi dengan perkara-perkara yang diminta oleh Kak Ram sebentar tadi.  Tiba-tiba mataku terpandang perkatan IZUREEN yang ditulis di atas satu mukasurat buku notaku.  Ini tulisan aku, tapi bila aku tulis namanya dan kenapa aku tulis namanya? 

Aku cuba mengingati tetapi gagal.  Sebaliknya yang muncul adalah wajahnya.  Wajah dia sedang ketawa, menangis, tersenyum, menjeling, dahi berkerut, bibir mencebik dan wajah polos ketika lena beradu di atas hammock semuanya silih berganti di hadapan mataku.  Ya Allah, kenapa bayangannya harus muncul lagi?  Adakah aku rindu kepadanya?  Jika ya, kenapa pula aku rindukan dia?  Adakah aku sudah terpikat padanya?  Ah, tak mungkin.  Aku sangat pasti aku tidak akan jatuh cinta pada mana-mana perempuan lagi.  Mungkin aku sekadar seronok mengusik dan menyakatnya, tidak lebih daripada itu.

“Along!” suara nyaring Fina sudah tiba di pintu, walaupun si pemilik suara belum lagi kelihatan.  Tidak sampai lima saat dia muncul di ambang pintu sambil tersengeh.

“Along, orang ada berita baik!”  Cepat-cepat aku menutup buku nota, tak mahu dia nampak tulisanku.  Teruk nanti aku disakatnya.

What’s up?”  tanyaku sambil memandang ke arahnya.  Adikku yang super hyper ini sudah pun duduk di hadapanku.

“Orang dah dapat rumah!”  jerit si Fina, gembira sungguh dia.

“Alhamdulillah.”  Ujarku, aku turut gembira mendengar berita ini.  Tidak perlulah Fina menyewa bilik dengan kawan-kawannya.  Syukur, hari ini aku mendapat dua berita gembira.  Rezeki berganda dari Yang Maha Esa.

“Di mana?” soalku

“Puchong.”

“Puchong tak ada LRT.  Tak susah ke untuk kamu pergi kerja?”

“Orang ada kawan tinggal dekat area tu, boleh tumpang dia.  Tapi orang ingat nak beli motor.  Lagi senang bergerak.  Boleh tak Along tolong bayarkan deposit dan ambil loan guna nama Along?” 

Aku pandang Fina yang merenungku dengan penuh harapan. 

“Cukup ke gaji kamu?  Nak bayar sewa rumah, loan motor, duit makan, mekap, dating, benda-benda lain?”

“Along ni, orang mana ada pakai mekap.  Setakat lipstik je bukannya mahal.  Dating-dating tak main ek.  Orang tak naklah couple-couple.  Orang nak bercinta lepas kahwin, hah baru berkat!”  dengan gaya manjanya dia menjawab. 

“Ye lah, belum ada orang mengorat kamu, bolehlah kata tak nak couple.  Nanti dah duduk kat KL, dah kenal orang, prinsip kamu tu entah ke mana hilangnya.”  Sengaja aku menduga Fina.

“Along!  Doakan yang elok-elok untuk adik kesayangan Along ni.  Jangan buruk sangka, tak baik.  Sedangkan orang duduk kat Australia pun boleh jaga diri, setakat di KL tu, insya Allah, prinsip orang tak akan berganjak.” 

Dengan yakin Fina menjawab.  Aku bangga mempunyai adik sepertinya.  Walaupun Fina sedikit manja dan gedik, dia sebenarnya seorang gadis yang matang dan pandai berdikari. 

So, boleh tak Along tolong?”

Anggukanku menyebabkan Fina meloncat dari kerusi.  Terus dia berlari ke arahku dan memeluk bahuku dari belakang.

“Terima kasih Along.  You are the best brother in the world!”

“Ish, apa ni peluk-peluk?  Kamu tu dah besar, cer perangai tu senonoh sikit!”

Fina ketawa mengekek.  Bahuku dilepaskan.  Dia duduk semula di depanku.

“Berapa sewa rumah tu?” 

“RM700.”

“Flat ke?”

“Kondo.  Ada kolam renang, kawalan keselamatan, gimnasium.”  Terbeliak mataku mendengar sewa kondominium di Puchong hanya RM700.  Mana boleh dapat kadar sewa untuk sebuah kondo semurah itu.

“Biar betul Fina.  Murah sangat tu.  Jangan-jangan kamu kena tipu tak?” 

“Tak Along.  Orang kenal pemilik kondo tu.  Sebab tu dia bagi sewa murah.”

“Siapa?”

“Esok Along taulah.”  Lantas dia bangun dan meninggalkan aku. 

**********
Kalau mengikut rancangan asalnya, emak dan abah akan turut menghantar Fina ke rumah sewanya.  Tetapi demam Abah masih belum kebah.  Elida menawarkan untuk menjaga Abah dan menyuruh emak mengikut kami ke Kuala Lumpur tetapi emak tidak mahu.

Oleh kerana rancangan sudah bertukar, aku dan Fina ke Kuala Lumpur menaiki motorsikalku.  Fina hanya membawa sebuah beg galas kerana katanya kondo itu dilengkapi dengan perabot dan peralatan rumah.  Aku semakin curiga.  Malam tadi aku telah melayari internet untuk meninjau kadar sewa kondominium di kawasan Puchong.  Paling murah ialah RM1,000.  Itu pun untuk unit studio.  Bagi unit fully-furnished pula paling murah RM1,800.  Namun Fina nampak tenang, tiada langsung riak kerisauan di wajahnya.  Aku harus percayakan dia kerana adikku ini seorang yang berhati-hati.  Pengalaman belajar di negara orang menjadikan dia sentiasa berwaspada.

Kami bergerak selepas Asar dan tiba menjelang Maghrib.  Bumi Puchong basah disirami hujan ketika kami tiba.  Selepas melepasi pondok pengawal, motorsikalku parkir dan kami naik ke tingkat tujuh.  Fina berjalan di hadapan dengan laju, jauh meninggalkan aku.  Mana tidaknya, beg galasnya dan makanan yang dibekalkan oleh emak, diberikan kepadaku manakala dia hanya melenggang dengan beg tangan di bahunya.  Nampaknya dia sangat teruja hendak bertemu dengan pemilik kondo ini.

Semakin hampir ke unit kondo yang terbuka pintunya itu, aku dapat mendengar suara Fina dan suara seorang perempuan.  Kedua-duanya bernada ceria dan mereka bagaikan seronok dapat berjumpa.  Hati merasa lega, aku yakin pemilik kondo ini adalah kawan Fina.  Tentu budak ini anak orang kaya kerana aku tidak fikir seorang graduan yang baru bekerja mampu tinggal di kondo eksklusif ini.

Niat hendak memberi salam terbantut bila melihat dia berdiri di samping Fina.  Mereka ralit berbual hingga tidak sedar aku sudah sampai di muka pintu.

“Eee, cantik rumah Kak Reen.”

“Mana ada, biasa ajelah.  Kata Mak Jah dan Pak Akob nak datang sekali?”    

“Abah demam.  Mak kirim salam.  Mak suruh orang bagi tau, dia berterima kasih sangat-sangat pada Kak Reen sebab ajak orang tinggal di sini.”

“Fina datang dengan siapa?”

Fina tidak menjawab.  Dia memandang ke arah pintu sambil telunjuknya diacukan kepadaku.  Rupa-rupanya Izureen pemilik kondo ini.  Takdir menemukan kami lagi.  Aku senyum kepadanya di saat kami saling memandang.  Tapi senyumanku dibalas dengan jelingan pula. 

“Masuklah.  Buat apa tercegat di situ.” 

Pelawaannya kedengaran seperti dia tidak suka berjumpa dengan aku.  Nampaknya kemarahannya terhadapku masih ada.  Kenapalah dia marah sangat kepadaku.  Apakah dia tidak biasa diusik?  Atau dia seorang yang sangat sensitif, berjiwa halus yang mudah tersentuh?  Hmm, entahlah.  Yang pasti, lagi dia marah, lagi aku suka menyakatnya.

Fina datang kepadaku.  Beg plastik berisi makanan diambil dan dia kembali semula kepada Izureen.  Beg galas Fina aku letakkan di tepi pintu sebelum membuka sepatu dan masuk.  Fina dan Izureen menghilangkan diri di dapur.  Naluri seorang pereka dalaman membuatkan aku meneliti setiap inci ruang tamu kondo ini.  Ruang tamu ini kecil, cukup untuk orang bujang.  Dihiasi dengan perabot yang ringkas, mengikut selera orang muda.  TV LED terletak melekap di dinding, lengkap dengan sistem bunyi yang canggih.  

Di satu sudut ada meja konsol yang dipenuhi dengan gambar-gambar berbingkai.  Aku rapati meja konsol itu dan meneliti gambar-gambar tersebut.  Ada gambar keluarga.  Wajah Dato’ Wirda dalam gambar itu sama seperti rupanya yang aku lihat seminggu lepas.  Seorang budak perempuan bergaun kembang di hadapan Dato’ Wirda.  Pasti itu Izureen.  Mata beralih ke arah budak lelaki yang montel.  Izelan, gemuknya engkau masa kecil dulu, getus hatiku sambil bibir melebarkan sengeh.  Seorang lelaki tegap berdiri di belakang Izelan, pastinya itu arwah bapa mereka. 

“Along, jom minum,” suara nyaring Fina memanggilku. 

Aku berjalan ke arah meja makan makan empat dudukan yang diletak bersebelahan dinding dapur.  Izureen menuangkan air oren ke dalam gelas.  Memang pun tekak terasa dahaga setelah dua jam menunggang motorsikal.  Terus saja aku teguk air oren tersebut sehingga kosong gelasku.  Mata terus menangkap wajah bersih Izureen.  Niat hendak menyakat timbul lagi.  Tidak mengapa, sabar dulu.  Lagi pun Fina ada, aku tidak mahu menyakat Izureen di hadapan Fina. 

“Kuih ni mak buat pagi tadi,” suara Fina memecahkan suasana sepi di antara kami bertiga.  Tangannya lincah membuka bekas berisi kuih lepat pisang dan talam ubi.

“Sambal tu mak kata simpan sikit untuk abang Izelan.  Mak suruh Kak Reen simpan dalam peti sejuk.  Bagi pada abang Izelan bila dia balik nanti.”

“Susah-susah saja Mak Jah ni.”

Suara Izureen kedengaran lembut di telingaku.  Tangannya terus mencapai kuih talam.  Fina juga turut makan.  Aku pula tidak terasa hendak makan kuih-kuih tersebut.  Mataku pula tidak mahu berkalih daripada wajah mulus itu. 

“Bilik Fina yang mana?” soal Fina sambil menguyah.  Hendak saja rasanya aku lepuk adikku ini. Mujurlah tidak tercekik.

“Yang kiri tu,” jawab Izureen sambil jarinya menunding ke arah bilik.  Tanpa sebarang bicara Fina mengambil beg galasnya di tepi pintu dan menuju ke bilik tersebut.

“Fina simpan barang kejap ya,” katanya sebelum menutup pintu bilik.

Tinggal kami berdua di meja itu.  Aku lihat Izureen bagaikan tidak selesa.  Lantas aku berdiri dan berjalan menuju ke balkoni.  Sebenarnya jantungku sudah mula berdegup laju.  Sebentar kemudian, tanpa ku duga dia juga datang ke balkoni.

“Ni awak punya.”  Dia menghulurkan sepasang cermin mata hitam dan kemudian bergerak ke hujung balkoni.

“Mana..” soalan tidak sempat ku habiskan.

“Terjatuh ketika kita berlanggar di KLIA.”

Ingatanku berputar kembali kepada insiden seorang gadis melanggarku di KLIA semasa aku menjemput Fina yang baru pulang dari Melbourne.  Ketika kami berlanggar, gadis tersebut kelihatan seperti pernah aku jumpa, namun aku gagal mengingatinya.  Hanya selepas tiba di rumah dan menyedari cermin mataku hilang, barulah aku teringat pada gadis aneh yang menetap di homestayku.  Dan selepas teringatkannya aku terus catat namanya di dalam buku nota.

“Terima kasih.  This is my favourite sunglass.”  Dia hanya mendiamkan diri.  Aku tidak lagi berminat hendak mengusiknya.  Ada perkara serius yang perlu aku bualkan dengannya.

“Terima kasih kerana benarkan Fina tinggal di sini.  Tolong tengok-tengokkan dia.  Awak tak kisah ke kalau sekali sekala mak dan abah saya datang ke sini?”

“Datanglah.  Sebenarnya Fina tinggal seorang di sini.  Sejak balik dari homestay awak, mama tak benarkan lagi saya tinggal sendirian.”

Izureen bercakap tanpa memandang ke arahku.  Mungkin tidak sudi memandang lelaki yang menjengkelkan ini.  Padamu aku menjengkelkan, tetapi padaku engkau menyeronokkan.  Teringatkan sesuatu, lalu aku mengeluarkan dompet.  Wang sebanyak RM700 aku hulurkan kepadanya.

“Sewa bulan ini.  Terima kasih kerana tak mengenakan sewa yang tinggi.”

Dia enggan mengambil wang tersebut.  Berpaling ke arahku pun dia tidak sudi.  Matanya tetap memandang pokok-pokok di bawah. 

“Tak payah.  Saya masih berhutang dengan awak. Awak kata Abang Lan dah bayarkan sewa homestay.  Rupa-rupanya Abang bayarkan separuh sahaja.” 

“Sewa homestay tu urusan awak dengan saya.  Saya dah halalkan.  Yang ini pula untuk urusan sewa rumah ni antara Fina dengan awak.” 

Aku hulurkan sekali lagi wang itu kepadanya.  Namun dia hanya memandang wang tersebut dan menggelengkan kepala.  Matanya yang bundar itu tetap tidak dialihkan ke arahku. 

Tidak mengapalah.  Nanti akan aku berikan wang itu kepada Fina.  Mungkin dia segan mengambilnya daripadaku kerana merasakan dia masih berhutang denganku.  Jeda.  Dia tetap melihat ke arah pokok-pokok di bawah.  Aku pula cuba mencari topik untuk melanjutkan perbualan kami. 

“Kenapa tak call saya?”

Kepalanya dipusingkan ke arahku.  Matanya yang bundar memandang tepat ke mataku, dan memukau mataku agar tidak berkalih daripada memandangnya.  Dahinya dikerutkan.  Aku mara setapak mendekatinya. 

“Saya risau.  Mujurlah mama awak menghantar pesanan memberitahu awak dah selamat sampai.”

Tiada respons darinya.  Izureen memandang semula ke hadapan.  Mungkin dia tidak percaya apa yang aku katakan.  Atau mungkin kerisauanku tentang keselamatannya tidak membawa sebarang makna kepadanya. 

Laungan azan kedengaran sayup-sayup.  Aku memohon menumpang solat di rumahnya.  Lantas dia masuk ke dalam.  Seketika kemudian dia muncul semula di balkoni dan memaklumkan sejadah sudah dibentangkan.  Dia menghantarku ke pintu bilik.

Selesai bersolat aku lipat sejadah dan meletakknya di tubir katil.  Pasti bilik ini bilik Izureen.  Mataku tertancap pada sekeping gambar dikelilingi bingkai berwarna merah jambu.  Aku hampiri meja dan membawa gambar itu dekat dengan mataku.  Izureen tersenyum manis di samping seorang lelaki.  Inikah Muaz?  Entah kenapa ada perasaan yang aneh menyelinap di sudut hatiku bila memandang lelaki di dalam gambar itu.  Kalau betul lelaki itu Muaz, aku berharap dapat berjumpa dengannya.  Aku mahu marah dia kerana melukakan hati gadis yang baik ini.

Bunyi pintu diketuk, lantas aku letakkan semula gambar itu.  Bila pintu ku buka, Fina berdiri di hadapanku.

“Along nak makan dulu sebelum balik?’

“Tak.  Nanti lewat sampai rumah.  Along penat ni, nak balik dah.”  Aku berjalan ke arah pintu.  Izureen tidak pula kelihatan.

“OK,  Along bawa motor baik-baik tau.  Terima kasih hantarkan orang.  Kejap ya Along.”  Fina bergerak ke bilik di sebelah kiri ruang tamu yang kini sudah menjadi biliknya.  Pintu bilik diketuk sambil dia memanggil Izureen.

Izureen muncul di sebalik pintu dengan memakai telekung. 

“Kak Reen, Along dah nak balik,” Fina memaklumkan.

Aku kaku di tempat aku berdiri.  Wajah Izureen yang mulus nampak lebih cantik dibaluti telekung. Pasti dia akan kelihatan lebih cantik jika bertudung.  Mujurlah Fina datang menghulurkan tangan untuk bersalam, jika tidak aku akan terus terpaku menatap wajahnya.

Tanpa kata-kata, hanya dengan satu anggukan, aku melangkah pergi.  Pergi dengan hati yang tidak keruan.  Oh Tuhan, perasaan apakah ini yang hadir dalam hatiku?

6 comments:

  1. hehehe... best best.. garangnye la zurinnnnn :D
    takut wooo... :D
    Selamat menunggu lailatul qadar Isma Adeliya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Same to you Malia, selamat menjalani ibadah. Semoga kita sama2 dapat mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Saya sambung kisah Naim dan Izureen lepas raya, ok.

      Delete
    2. No prob... ramadhan datang setahun sekali, moga dapat barakah ameen... :)

      Delete
  2. ala...kenapa reen dingin kat naim? kesian dia...
    lepas raya baru sambung ya?
    Selamat menunaikan puasa dan menyambut aidilfitri Isma ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kniedaz,

      Thank you for reading.
      Kesian kat Naim? Jangan risau Naim ni degil, lagi dingin lagi dia nak dekat.

      Selamat menjalani ibadah puasa dan selamat hari raya.
      Jumpa lagi di blog ni lepas raya nanti ya.

      Delete
  3. Thank you baby mio. Selamat menjalani ibadah puasa dan selamat hari raya. Kita jumpa di blog ini selepas raya ya.

    ReplyDelete