Tuesday 16 July 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 22


Assalammualaikum, Ramadhan kareem.
Selamat menjalani ibadah Ramadhan untuk semua.  Saya mohon maaf kepada kalian kerana lambat menaikkan bab baru.  Kesibukan dengan kerja-kerja terjemahan dengan deadline yang padat membuatkan saya terpaksa slow down menulis kisah Izureen dan Naim.    Pasti you alls rindukan mereka berdua, saya pun rindu nak menulis.  Dalam terkejar-kejar, saya siapkan bab ini.  Maaflah kalau pendek.  Lebih baik pendek daripada tiada langsung, kan?
Selamat membaca dan selamat berpuasa, bertarawih, dan beramal ibadah di bulan yang sangat mulia ini. 
Bab 22 Naim Zakaria


Semua yang perlu disiapkan, telahpun disiapkan.  Apa yang harus disediakan, juga telah disediakan.  Hanya menanti ketibaan mereka.  Tetamu istimewa dari Kuala Lumpur.  Setelah tiga kali tertunda, akhirnya hari ini Dato’ Wirda Mokhtar, Pengarah Urusan Nadi Hati Sdn Bhd akan datang ke Villa Mahabbah untuk meninjau resort ini.  Katanya untuk melihat sendiri resort kecil yang diketahuinya daripada Tengku Asyraf.


Entah kenapa sejak pagi tadi dadaku berdebar.  Menjelang tengahari debarannya semakin kuat.  Walhal ini bukan kali pertama aku menerima pelawat yang datang untuk melihat resort ini.  Kata Pembantu Peribada Dato’ Wirda, dia akan datang bersama anak perempuannya.  Tidak teringat pula untuk menanyakan nama anaknya.  Jam di tangan aku kerling sekilas.  Sudah pukul 11.45 pagi.  Mereka dijangka tiba sekitar jam 12.30. 


Deringan telefon bimbit mematikan lamunan.  Talib di hujung talian memaklumkan kereta Dato’ Wirda telah masuk ke kawasan resort.  Talib tahu itu kereta dia kerana pembantu peribadi Dato’ telah memberikan nombor pendaftaran keretanya kepadaku.  Komputer riba aku matikan, lantas aku segera bergegas keluar.  Sebuah kereta Audi Q5 meluncur perlahan mengikut arah yang ditunjukkan Talib.


Kereta diberhentikan.  Pintu depan sebelah kiri dibuka.  Seorang wanita dalam usia lima puluhan keluar.  Rambutnya agak keperangan, terjuntai keluar dari selendang yang sekadar diletak di atas kepala.  Pintu pemandu pula terbuka.  Seorang wanita yang jauh lebih muda keluar.  Aku rasa itu anak Dato’ Wirda.  Gadis itu memakai topi dan berkaca mata hitam, wajahnya  putih bersih dan rambutnya pendek.  Aku merapati kereta sambil memberikan senyuman kepada wanita yang aku pasti adalah Dato’ Wirda.


“Assalammualaikum.  Dato’ Wirda, selamat datang ke Villa Mahabbah” aku ucapkan sambil tangan memegang dada kiri dan sedikit menunduk.


Kaca mata hitamnya dibuka.  Senyuman diukir. 


“Zack ya?”


“Saya Dato’.  Ini pembantu saya Talib.  Dia juga pengurus di sini.”  Talib pula menunduk tanda hormat, dengan tangan kanan di dada kiri.


This is my daughter, Izureen.” 


Debaran di dada terus hilang, berderau pula darahku.  Patutlah aku rasa bagai pernah melihat gadis ini.  Tidak disangka selepas dua minggu, dia muncul di depan mata.  Renungan di sebalik kacamata hitam yang dipakainya tidak dapat aku tebak, melainkan aku rapatkan tubuh dengannya.  Namun aku yakin pandangannya tidak lepas dari meneliti aku yang berhadapan dengan Mamanya.  Aku renung dia.  Jeda seketika.  Aku senyum.  Dia balas senyumanku.  Namun entah kenapa aku dapat merasakan senyuman itu bagai dibuat-buat. 


Sorry we are a bit late” ayat yang keluar dari mulut Dato’ Wirda memecah kesunyian dan mematikan permainan renung merenung di antara kami. 


It’s OK Dato’” ujarku. 


“Sepanjang perjalanan tak ada apa-apa masalah kan?” aku menduga.  Berharap peta yang disediakan tidak mengelirukan mereka.  Sangkaku akan ada pemandu yang membawa mereka tetapi rupa-rupanya Izureen yang memandu.


“Oh the journey was smooth.  Sesak sikit di Genting Sempah tapi lepas tu lancar.  Sampai di Dungun pun senang cari tempat ni.  Your map was accurate.” 


Lega hatiku bila mendengar penjelasan Dato’ Wirda.  Izureen masih tidak bersuara.


“Jemput Dato’ ke kafe, kami sudah sediakan makanan tengahari.  Selepas makan, kami bawa Dato’ melihat sekitar resort ini.”  Talib bersuara dan menyuakan tangan kirinya ke arah ruang santai yang kami panggil kafe.  Memang ianya sebuah kafe tetapi hanya dibuka jika ada tetamu bermalam di sini. 


“Terima kasih” jawab Dato’ Wirda dan melangkah mengikuti Talib.  Aku berpaling ke arah Izureen di belakang, menunggu untuk berjalan beriringan dengannya.


“How are you?” aku ajukan soalan bila dia berada di sebelahku. 


Ada rasa yang sukar difahami dalam hatiku saat ini.  Terkejut, kerana tidak pernah terlintas di fikiran akan bertemu dia di sini, walaupun aku sangat berharap dapat berjumpa dengannya lagi.  Suka, kerana apa yang diharapkan menjadi kenyataan.  Akhirnya bertemu lagi dengan dia, dalam pertemuan yang tidak dirancang.  Risau, kalau-kalau dia tidak senang dengan kehadiranku.  Antara kami masih ada sengketa yang belum didamaikan. 


“Fine.”


Izureen menjawab sepatah, lantas menghayun langkah lebih laju untuk menyaingi Dato’ Wirda dan Talib yang hanya kira-kira lapan langkah di hadapan kami.  Aku buka langkah lebih panjang dan pantas berada semula di sebelah Izureen.


“Jadi, Dato’ Wirda ni emak awaklah ya?” sudah terang lagi bersuluh, terkeluar pula soalan bodoh. 


“Taklah, nenek saya,” jawabnya dengan nada sinis. Kemudian dia mempercepatkan langkahnya, meninggalkan aku sedikit terkebelakang. Terkesima dengan kesinisannya.  Apakah dia mahu bergurau, atau itu tanda masih ada bibit kemarahan di hatinya? 


“Cantik Mama awak” ujarku, sebaik sahaja berjaya menyainginya.  Kafe yang jaraknya hanya 30 meter dari tempat parkir akan terasa jauh jika masing-masing mendiamkan diri.  Kelihatan Dato’ Wirda bertanyakan sesuatu kepada Talib.


How old is she?” soalku bila ayatku sebentar tadi terbiar tidak berbalas. 


“56” akhirnya aku dapat mendengar suaranya.  Namun setakat itu sahaja. 


*********

Sambil menikmati hidangan tengahari, Dato’ Wirda bertanyakan tentang Villa Mahabbah.  Ada soalan yang aku jawab, ada juga yang aku serahkan kepada Talib untuk membuat penerangan.  Sepanjang makan tengahari dan perbualan kami, Izureen tetap membisu.  Dia hanya bersuara apabila ditanya oleh Mamanya.  Kaca mata hitam tetap melekat di mukanya.  Aku memilih untuk duduk berhadapan dengan Dato’ Wirda manakala Talib di sebelahku duduk di hadapan Izureen. Entah kenapa aku rasakan bagaikan dia sering memandang ke arahku ketika makan dan berbual.  Atau mungkinkah aku perasan begitu kerana teruja dapat berjumpa dengannya?


Setelah makan, aku dan Talib membawa mereka ke Mahabbah Satu.  Chalet comel ini telah kami siapkan untuk tetamu istimewa ini berehat, bersolat dan melegakan diri. Pintu Villa dibuka.  Talib mempersilakan Dato’ Wirda dan Izureen masuk dan aku menuruti di belakang Izureen.  Sampai di dalam Talib memberi penerangan tentang kelengkapan yang telah tersedia di dalam Villa.  Cukup jelas dan menyeluruh penerangan Talib, membuatkan aku merasa lega dengan kemampuan Talib menguruskan tempat ini.  Bertuah aku mendapat pekerja sebaik dia, yang banyak melegakan aku lantaran masaku lebih banyak dihabiskan di Teratak Khadijah.


Oleh kerana cuaca sangat panas, Dato’ Wirda bersetuju dengan cadanganku untuk membawa mereka melihat persekitaran resort selepas waktu Asar.  Aku dan Talib meminta diri dan meninggalkan mereka berdua untuk berehat dan bersolat.  Kami berjanji akan datang semula pada pukul lima petang.


Selepas menunaikan solat Asar, aku berjalan menuju ke Mahabbah Satu.  Talib tidak dapat mengikutiku kerana perlu membawa anaknya yang tiba-tiba diserang sawan pergi ke hospital.  Aku menyusuri denai berkerikil yang menyambungkan bangunan pejabat dengan villa.  Di bangunan pejabat terletaknya kafe, lobi, tempat rehat dan surau pekerja, tandas dan pejabat.  Pokok buluh cina yang aku tanam di sebelah kanan denai sudah naik tinggi.  Di sebelah kiri terlihat air laut yang membiru, bersempadan dengan pantai berpasir halus.  Ombak lembut mencecah pantai, menghasilkan buih-buih putih. 


Kelibat Izureen yang berdiri memeluk tubuh di bawah pokok sambil memandang jauh ke laut mematikan langkahku. Kakiku beralih arah, menghala ke arah pantai.  Semakin aku mendekatinya, degupan jantung semakin pantas.  Mengapa ada debaran di hati ini?


Aku memberi salam.  Dia berpaling dan menjawab salamku.  Dan matanya yang cantik itu jelas kelihatan, tidak lagi tersorok di sebalik kaca mata hitam. 


“Jauh termenung,” aku mulakan bicara.


Dia diam, kakinya menguis pasir dan matanya mencerun ke bawah.


“Tak sangka ya, selepas dua minggu kita berjumpa lagi.” 


Dia tetap diam.  Kepalanya diangkat dan wajahnya dipalingkan ke arahku.  Untuk beberapa minit kami hanya saling memandang.  Aku hulurkan senyuman tetapi dia tidak membalas senyumanku.  Debaran di dada belum surut.


“Fina dah dapat kerja.  Minggu depan dia mula.”  Kataku lagi, berharap dapat memulakan perbualan.


Alhamdulillah.” 


Sepatah sahaja perkataan yang meluncur dari bibirnya.  Kemudian dia diam lagi. Wajahnya tenang.  Sukar aku menebak apakah yang bermain di mindanya ketika ini. 


“Mana Mama awak?” soalku.


“Mama sakit kepala.  Dah lama Mama tak berjalan jauh naik kereta.  Cuaca pun panas, mungkin sebab tu Mama pening kepala sikit.”


“Nak ubat?”


“Tak perlu.  Mama dah makan tadi.  Sekejap lagi Mama akan keluar.”


Jeda seketika.  Air laut yang tenang aku renung.  Panas mentari semakin reda, angin menderu semakin deras.  Lazimnya di sini semakin petang semakin kencang hembusan bayu.  Suasana yang nyaman untuk pasangan berbulan madu menghabiskan masa bersama di tepi pantai.


Otakku ligat memikirkan sesuatu yang menarik untuk dijadikan topik perbincangan.  Ah otak, kenapa lambat menghantar isyarat ke lidahku, hinggakan tiada sepatah perkataan pun yang mampu aku tuturkan.  Terasa janggal bila kami sama-sama menyepi, sedangkan sebelum ini aku ligat menyakatnya. 


“Fina dapat kerja di mana?”  soalannya memecahkan keheningan.  Lega, sudi juga dia bertanyakan tentang Fina.  Perlahan-lahan, debaran di dada mula surut.


“Sebuah syarikat pembinaan di Bangsar.”  Jawabku, berharap dia mahu meneruskan perbualan, namun dia diam semula.


“Dia ada di KL sekarang, mencari rumah sewa.”


Tiada respons dari Izureen.  Cakaplah sesuatu Izureen, kebisuanmu membuatkan rasa bersalahku datang semula.  Apakah kau masih marah terhadapku?  Tidakkah kau mahu bertanya tentang Fina dan emak, sedangkan kau rapat dengan mereka ketika tinggal di tempat kami.


“Menyesal pulak saya jual kondo di Pantai Dalam tu.  Kalau tidak, Fina boleh tinggal di situ.”


Dia tetap mendiamkan diri.  Nampaknya topik mengenai Fina gagal menarik minatnya untuk berbual-bual denganku.  Pandangannya masih terbenam di laut.


“Bilik untuk disewa banyak, tapi mak lebih suka kalau Fina sewa rumah.  Flat pun tak apa.  Senang kalau kami melawat dia di KL, ada tempat tinggal.” 


Aku memanjangkan cerita tetapi dia tetap jeda.  Oh Izureen, ucapkanlah sesuatu.  Kebisuanmu yang berlarutan semakin meresahkan aku. 


“Mak gembira Fina dah dapat kerja.  Dia risau kalau-kalau Fina lama menganggur.  Susah-susah belajar sampai ke Australia, kalau tak dapat kerja rugilah, kan?”


Dia masih diam.  Aku angkat kepala dan memandang kepadanya.  Dia juga sedang memandang aku.  Tapi sebaik sahaja mata kami bertembung, cepat-cepat dia membuang pandangnya ke laut semula. 


“Fina kata bila dia dah settle down, dia akan contact awak.  Betul ke dia ada janji nak belanja awak dengan duit gaji pertamanya?” 


Dia kaku.  Tidak mengangguk, tidak juga menggeleng.  Matanya kekal tertancap pada laut yang membiru.  Angin petang membuai rambutnya yang tidak lagi ditutupi topi.  Comel, desis hatiku. 


“Izureen……… awak…….. masih marahkan saya?”


Akhirnya aku luahkan pertanyaan itu, agar aku mendapat pengesahan darinya.  Beberapa minit berlalu namun dia tetap membisu.  Jantungku berdegup kencang semula.  Aku sangat yakin dia masih marahkan aku. 


“Awak tahu ke saya nak datang?”  soalanku dibalas dengan soalan. 


“Tak.”  Aku jawab soalannya sambil menggeleng kepala.  Mata kami bertatapan lagi.  Entah kenapa, aku dapat merasakan dia seolah-olah tidak yakin dengan jawapanku.


“Dan saya juga tak tahu awak anak Dato’ Wirda.” 


Kali ini dia memberi satu pandangan aneh.  Apakah maksud renungannya itu?  Bibirnya terbuka, bagaikan mahu mengucapkan sesuatu.  Namun belum sempat Izureen bersuara, laungan Dato’ Wirda memanggil namaku membuatkan kami sama-sama memandang ke belakang.  Dengan tersenyum Dato’ Wirda mendekati kami.  Pakaiannya telah ditukar, seluar khaki dan t-shirt, selendang di kepala ditutupi pula dengan topi.  Mungkin Dato’ Wirda tidak tahan panas.   Dia nampak lebih santai dengan gaya begitu. 


4 comments:

  1. tenkiuuuuu ...mabeles mabelesss :)

    alahai zurin.. jual mahal nyeeeee :D

    abih la naim.. berat berat...

    naim harus dan kena kerja berat nak dpt kan zurin .... heheheeee :D

    ReplyDelete
  2. napa Izureen diam aja ni..kesian Naim

    ReplyDelete
    Replies
    1. Diam bersebab - terkezut jumpa Naim lagi. Menyampah pun ada kot.

      Delete