Saturday 6 July 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 21


Bab 21 Izureen


Sudah lebih seminggu aku balik.  Setiap hari aku habiskan di pejabat, menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh dan mengajar Melissa apa yang patut.  Setiap hari juga aku pergi dan balik kerja dengan Mama.  Alhamdulillah, hubungan aku dengan Mama semakin rapat.  Syukur juga aku lihat Mama amat menyenangi Kak Rina.  Terima kasih ya Allah, kerana dengan aku menghilangkan diri Mama menyedari dia sebenarnya memerlukan Kak Rina.  Amarah yang lama Mama pendamkan kini sudah bertukar menjadi perasaan sayang.  Mujurlah Kak Rina juga pandai mengambil hati Mama.


Hujung minggu yang lepas Abang balik.  Seronoknya dapat menghabiskan masa bersama Mama, Abang dan Kak Rina.  Baru terasa seperti keluarga kami sudah sempurna, walaupun tanpa papa.  Sudah lama kemesraan sebegini tidak aku rasakan.  Aku lihat sekali sekala, dalam menungannya airmata Mama bergenang, mungkin terharu dan bersyukur di atas penyatuan keluarga kami.  Dulu jarang sekali aku boleh duduk berbual bersama Mama.  Asal buka mulut, ada saja perbalahan di antara kami.  Namun sekarang tidak lagi, kami semakin memahami antara satu sama lain.  Segala prasangka terhadap Mama telah aku singkir jauh-jauh dari hati ini.  Malahan aku telah beberapa kali memohon maaf dari Mama dan Mama dengan senang memaafkanku. 


Aku belum berjumpa Muaz, tetapi  dia tahu aku sudah balik.  Atas rasa keprihatinan terhadap seorang sahabat, pada hari Jumaat yang lepas aku menelefon Muaz.  Kedengaran di hujung talian dia sangat gembira bila aku menelefonnya.  Lega apabila dimaklumkan hujung minggu itu dia sibuk dengan urusan persiapan majlis pernikahan, maka tidak payahlah aku berjumpa dengannya.  Namun bermula hari Ahad yang lepas, setiap hari dia menelefonku.  Setiap kali bersembang, dia suarakan mahu berjumpa denganku.  Katanya ada perkara yang hendak dibincangkan.  Tetapi bila aku suruh dia ceritakan saja dalam telefon, dia tidak mahu.  Katanya lebih senang berbicara apabila bersua muka.  Dari nada suaranya, tidak kedengaran seperti hal yang hendak dibincangkan itu penting.  Berbagai alasan aku berikan untuk mengelak berjumpa dengannya. 


Tanpa diduga, petang ini dia muncul di pejabatku.


Hi sweetie!” dengan selambanya dia menegur lantas terus duduk di hadapanku.  Aku terkedu.  Mataku pantas menerawang ke seluruh wajah yang sebenarnya aku rindui, namun sentiasa aku tanamkan di dalam fikiran agar jangan merinduinya lagi.


“Eh, buat apa kat sini?  Kau tak kerja ke?” 


“Cuti” jawabnya selamba.  Memang dia selamba orangnya, lebih-lebih lagi dengan aku.


“Oh, kau cuti, lepas tu suka-suka datang sini kacau aku ya.  Tolong sikit Encik Muaz, saya sedang bekerja.”


Dia buat muka selamba juga, langsung tidak terkesan dengan kata-kataku.  Aku biarkan saja dia duduk di situ, mataku kalihkan ke skrin komputer dan meneruskan kerjaku. 


“Kenapa ya?” soalannya aku biarkan saja tidak berjawab.  Sebenarnya aku tidak berapa senang dengan kehadiran Muaz di sini.  Ini pejabat dan waktu pejabat belum berakhir, tidak manis untuk membincangkan hal peribadi semasa waktu pejabat.  Mujurlah Kak Rina keluar menghadiri mesyuarat, jika tidak tentu kehadiran Muaz mengganggu Kak Rina yang berkongsi satu bilik pejabat denganku.


“Sejak kau balik dari bercuti, kau dah lain.  Sombong la kau sekarang ni.  Macam tak nak layan aku je.”


Ada nada merajuk di dalam suaranya.  Ah, merajuklah kau Muaz.  Memang aku tidak mahu melayanmu, untuk mengelakkan aku daripada hanyut di dalam perasaanku terhadapmu.  Kau tunangan orang, sedangkan aku mencintaimu.  Bukankah lebih baik kita tidak berhubungan.


“Oi, kau dengar tak apa aku cakap?” suaranya meninggi, dari nada merajuk bertukar ke nada marah.


“Muaz… kan aku tengah kerja ni.”


“Jom keluar kejap, aku ada hal nak cakap dengan kau” dengan selamba dia menjawab, tidak menghiraukan kenyataanku.


“Lepas office hour, boleh?”


“Ya lah tu, nanti lepas office hour kau kata sibuklah, temankan Kak Rinalah, Mama kau suruh itu, inilah.  Ada saja kau tu.  Memang, kau mengelak dari jumpa aku kan?”


Apa yang harus aku katakan kepada si Muaz yang degil ini?  Aku mengangkat kepala dan merenung wajahnya.  Hati mula bergolak, degupan di dada mula menjadi kencang.  Ya Tuhan, betapa aku rindu kepadanya.  Dia tetap kacak, seperti selalu.  Setiap inci wajahnya aku tenung lama-lama, bagai melepaskan rindu yang terpendam di dalam hati.


“Oi!” tegurnya.  Tangannya dilambaikan di depan mataku.


“Tengok aku macam tu sekali, kenapa?  Rindu ek?”


“Ish, tak ada masa aku nak rindu kat engkau.”


“Ooh, so tak rindu ya?  Tapi aku rindu kat kau Izu.  Lama sangat tak jumpa kau.”


Muaz mencebik, buat muka merajuk.  Dulu aku suka bila dia buat begitu, aku tarik muncungnya.  Tetapi sekarang…  tidak mungkin aku akan melakukannya lagi.  Biarlah keintiman kami dahulu menjadi sejarah yang akan aku kenang sampai bila-bila.


“Muaz, kau nampak kan aku tengah kerja.  Nanti pukul lima aku keluar dengan kau, OK?” dengan lembut aku ungkapkan, semoga dia termakan dengan pujukanku.


“OK, I take your words.  Aku tunggu sampai kau habis kerja,” sambil berkata, Muaz menyandarkan badannya ke kerusi di hadapanku. 


“Kau nak tunggu kat sini?” soalku.


“Ya lah, kat mana lagi?”


“Hei, lagi dua jam baru aku habis kerja tau,” suaraku tinggikan sedikit untuk menunjukkan rasa tidak senang.  Takkan dia nak duduk di depanku selama dua jam?


Fine, I shall sit here for the next two hours” dengan selamba dia menjawab.


Crazy!” ujarku.


As always,” jawabnya.  Dulu jawapan sebegitu akan menyebabkan kami terus-terusan bertikam lidah sehingga salah seorang daripada kami mengalah.  Tetapi, kali ini, aku tidak mahu menjawab lagi.  Lantas aku abaikan sahaja dia dan fokus semula kepada komputer di hadapan, menyemak butiran yang telah Melissa masukkan ke dalam sistem UBS.  Dia pula terus membelek telefon bimbitnya.


Akhirnya, selepas satu jam, aku matikan komputer.  Kemudian aku berjalan ke bilik Mama untuk memberitahunya aku akan mengikut Muaz.  Mama membenarkan dan mengingatkan aku agar menjaga batasan kerana Muaz itu tunangan orang.  Mama juga berpesan agar jangan pulang lewat.


“Jom” kataku sambil mencapai tas tangan. 


“Aik, dah boleh balik?” sambil tersengeh dia bangun dari kerusi dan mengikuti aku.


“Tak sampai hati aku tengok engkau tercongok depan aku.  Nasib baik hari ni tak berapa busy tau.  Kalau tidak… kau duduk sini sampai malam” ujarku sambil tangan mencapai suis lampu di tepi pintu.


**********


Where did you go for 17 days?” soal Muaz sebelum menyedut jus tembikai laici yang merupakan minuman kegemarannya. 


Dia membawa aku ke Restoran Bora Asmara di Sungai Penchala.  Mujurlah ketika kami keluar tadi kesesakan jalanraya belum berlaku.  Tidak sampai setengah jam kami tiba di sini dan restoran ini masih lengang.


“Kan dah kata, aku pergi holiday.” Aku memandang ke arah pancuran air di sebelah kiri, cuba untuk mengelak dari bertembung pandangan dengan Muaz.


“Cuti… ke mana?” soalnya. 


Somewhere” ujarku.  Tidak perlu aku memberitahu segala yang telah berlaku.


Why are you being secretive?”  Dari bersandar, badannya kini dirapatkan ke meja.  Kedua belah tangannya diletakkan di atas meja.


Aku paling ke arahnya.  Nampak dari riak wajahnya dia tidak berpuas hati dengan jawapanku.


“Muaz, kau kawan baik aku kan?”


“Dunia dan akhirat” seperti selalu, itulah yang akan dikatakan oleh Muaz.  Jawapan yang mengundang getaran sayu di hatiku. 


As a good friend, you must respect my privacy.  Ada benda yang aku boleh ceritakan, ada yang tak boleh.”


“Hai, takkan kisah pergi bercuti pun tak boleh cerita?  Apa yang rahsia sangatnya kisah percutian kau?”


Aku diam.  Otak ligat berputar, memikirkan bagaimana hendak mematahkan soalan si Muaz. 


“Tunjuklah kat aku gambar kau pergi bercuti.  Kau pergi dengan siapa?  Selain daripada aku, kau bukannya rapat dengan sesiapa.  Kak Rina dan Mama kau ada di sini…”


Ayat Muaz tergantung di situ,  matanya merenung tajam, bagai menusuk ke dalam mataku.  Dulu aku suka membalas renungannya, kadang-kadang dengan gaya manja agar dia tergoda.  Sekarang, cepat-cepat aku kalihkan pandangan ke arah pancuran air yang terletak tidak jauh dari tempat kami duduk.

“Aku tak percaya kau pergi holiday.  Kalau betul, takkan gambar pun tak boleh tunjuk kat kau.  Kau pergi umrah ke?” 


Aku geleng kepala.


“Kau sakit, masuk hospital, lepas tu berehat kat rumah atau kat mana-mana?” 


Aku geleng juga.  Jeda seketika.  Aku mati kutu, apa yang harus aku katakan kepadanya.


“Hah!  Kau kahwin ya?  Kahwin sorok-sorok, kat ermm… Golok?”


Soalan yang ini hampir membuatkan aku tergelak.  Entah dari mana dia mendapat ilham itu.


“Merepeklah kau ni!  Kalau aku kahwin, dah tentulah aku jemput engkau.  Lagipun, siapalah yang nak kahwin dengan aku ni…  orang macam aku ni tak ada lelaki yang nak.”


“Manalah tau, kot-kot engkau kena tangkap basah ke…. atau selama ni kau kekasih gelap suami orang.  Kes macam ni banyak yang kahwin kat Golok tau.”


MasyaAllah!  Sampai ke situ fikirannya.  Mengarut!


“Hish!  Kau ni memang tak sayang mulut lah!”


Dia senyum.   Aduh, kacaknya bila dia senyum begitu.  Senyuman yang sudah lama tidak ku lihat.  Wahai hati, kuatlah.  Jangan hanyut dalam perasaan cinta kepadanya.  Ingat, dia tunangan orang.  Aku mengingatkan diriku.


“Tak apalah kalau kau tak mau cerita.  Yang penting kau dah balik dan dah ada depan aku sekarang.  By the way, kenapa kau kata tak ada lelaki yang nak kan engkau?  Masa kat uni dulu, ramai yang minat kat engkau, engkau tu saja jual mahal… memilih sangat… entah lelaki macam mana yang engkau nak.”


Aku menelan liur, namun bagaikan ada batu besar yang mengekang di kerongkongku.  Mudahnya kau berkata Muaz.  Tidakkah engkau fahami bahawa aku tidak melayan lelaki-lelaki lain kerana aku hanya mahukan kau sebagai kekasihku.  Tiada orang lain dalam hati ini selain Muaz Najmi.  Engkaulah sahabat, engkaulah juga kekasih.  Namun, kenapa hanya aku yang memiliki perasaan itu, kenapa bagimu aku hanya layak menjadi sahabatmu?


“Izu, are you OK?”


Muaz bertanya, mungkin dia nampak perubahan riak wajahku. 


Of course I am OK.”


Aku cuba menguntum senyum, jus oren di dalam gelas aku sedut melalui straw.  Otak mula berfikir lagi, mencari idea untuk mengubah topik perbincangan daripada tentang aku kepada tentang dirinya.


“Macam mana persiapan majlis?” 


Alhamdulilah, tiba-tiba muncul idea untuk berbual mengenai persiapan majlis perkahwinannya.  Sebenar-benarnya aku tidak peduli, malahan tidak mahu ambil tahu tentang persiapan Muaz untuk hari besarnya nanti.


Progressing well.  Esok aku akan pergi kursus perkahwinan.”


“Belajar elok-elok ya.  Kau akan jadi imam kepada isteri dan anak-anak kau.  Nak jadi imam yang baik, mestilah ada ilmu.  So Encik Muaz, esok, masa di kursus perkahwinan tu, jangan main-main.”  Aku memberi peringatan kepadanya.


“Kau cakap macam tu, buat aku nervouslah.”  Aku nampak riak wajahnya berubah.  Tadi ceria, sekarang muram sedikit.


“Ops… sorry.  Tak sangka Encik Muaz yang sentiasa cool ni, rupa-rupanya ada perasaan nervous.”  Aku mengusiknya. 


Dia diam.  Sesuatu yang bukan dia.  Biasanya jika diusik, cepat saja dia membalas.  Matanya kini bertembung dengan mataku.  Sama-sama merenung.  Timbul rasa gementar di dalam hati.  Redup matanya memandang, membuat hati makin tidak keruan.  Cepat-cepat aku kalihkan pandangan.  Menyesal pula aku memandang tepat ke mukanya tadi.


 Muaz mencapai kedua belah tanganku yang terletak di atas meja dan menggengam jari jemariku.  Aku terpempan dengan tindakannya.  Aku tarik tanganku namun dia menggenggam dengan kuat.  Aku pandang ke arahnya dan mata kami bertembung lagi.  Ya Allah, kuatkan semangatku.


“Muaz, lepaskan tangan aku,”  aku pinta kepadanya.  Mataku kalih ke arah jari-jari kami yang bersatu.  Sekali lagi aku tarik tanganku dan seperti tadi, dia kuatkan genggamannya.


“Izu, aku rindu sangat kat kau” permintaanku tidak dipedulikan dan ungkapan yang meragut tangkai hatiku dilafazkannya.  Dulu luahan rindu itu segera aku balas dengan luahan yang sama.  Sekarang jika aku katakan aku juga rindu kepadanya, apakah aku akan mendera perasaanku sendiri?  Aku juga rindukan kau Muaz.  Rindu terhadap seorang sahabat juga kekasih yang telah bertahun aku cintai.  Namun apa maknanya rindu ini sedangkan kau bakal menjadi milik perempuan lain?


“Izu.”  Lembut suaranya memanggilku.  Ya Allah, kuatkan hatiku.  Hilangkanlah rasa cinta yang ada di dalam hati ini.  Tukarkanlah rasa sayang kepada kekasih menjadi rasa sayang kepada seorang sahabat. 


Aku tarik tanganku buat kali yang ketiga.


“Dulu kau tak macam ni.  Sekarang pegang tangan sikit pun tak boleh?”  Ada nada marah dalam ungkapan itu.  Aku terkejut mendengar kata-katanya.  Tergamak dia berkata begitu.


“Muaz, kau tunangan orang.  Tak manis kita begini.  Lagipun haram kita bersentuhan.” 


Aku fikir dia akan terkesan dengan kata-kataku.  Namun Muaz tetap selamba menggenggam erat tanganku.


“Kenapa kau gunting rambut?  Tak lawalah macam ni.”


Aku diam, namun dalam hati merasa terkilan dengan kata-katanya.  Walaupun Muaz selamba orangnya, tapi seingat aku belum pernah dia terus terang mengatakan aku tak lawa.  Yalah, siapalah aku sekarang kepada Muaz.  Tentu sahaja tunangannya adalah gadis yang paling cantik di matanya sekarang.


Terus aku rentap dengan kuat kedua belah tanganku hingga terlepas dari genggamannya sambil menengkingnya sekali lagi.  Muaz terkejut dengan tindakanku. 


“Dulu kau tak macam ni.  What happen Izu?  You disappeared for two weeks and you came back a different person!” 


Muaz marah.  Aku faham benar nada suara dan wajahnya bila marah. 


“Muaz, tolong sedar kau tu dah bertunang.  Kalau tunang engkau nampak, apa dia akan fikir?  Tak pasal-pasal dia ingat kita ada affair.  Dulu kita lalai Muaz, kita tahu haram bagi kita bersentuhan tapi kita buat juga.  Kau bakal jadi suami orang, bakal memimpin isteri kau.  Dari sekaranglah kau kena amalkan kelakuan yang baik.  Kalau kau masih nak sentuh aku, aku tak mahu jumpa kau lagi.”


Aku pasti muka aku merah sekarang.  Biasanya bila aku marah, muka aku akan jadi merah.  Tapi biarlah muka aku jadi merah ke, hijau ke, kelabu ke, aku tetap perlu menyatakan perkara yang benar kepada Muaz.  Cukuplah dulu aku dihanyutkan oleh perasaan cinta kepadanya, hingga merelakan bahuku dirangkul, rambutku dibelai, dan pipiku dicubit.  Aku tahu semua itu haram bagi kami, namun demi cinta kepadanya aku biarkan dia melakukannya.  Rupa-rupanya cinta itu tidak berbalas.  Segala kemesraan dan keintiman antara kami hanya plutonik bagi Muaz.  Jahilnya aku, membiarkan dia menyentuhiku kerana mengharapkan cintanya.


“Aku nak balik” ujarku sambil bangun.  Dalam keadaan kami sama-sama sedang marah, baiklah aku balik sahaja.  Tidak mengapa jika Muaz tidak mahu menghantarku, aku boleh minta Pak Mid datang menjemputku.


Aku terus berjalan ke pintu restoran sambil menggagau telefon bimbit di dalam beg.  Nombor Pak Mid aku dail tetapi tiada jawapan.  Aku dail sekali lagi, tetap tidak berjawab.  Nampaknya tiada pilihan, terpaksa meminta pertolongan Kak Rina untuk menjemputku di sini.


“Izu I am sorry” lembut tuturnya.  Aku pusing ke arahnya sambil mematikan panggilan kepada Kak Rina yang baru hendak aku buat.  Riak kekesalan terpamer di wajah Muaz, memadamkan api kemarahan yang masih bersisa di dalam hati.


“Jom,” tuturnya pendek sambil berjalan menghala ke kereta.


Kami sama-sama diam sepanjang perjalanan ke rumahku.  Hanya lagu-lagu yang keluar dari corong radio menjadi penghilang sunyi perjalanan 20 minit yang aku rasakan seperti 20 jam.  Janggal sungguh berada di dalam kereta bersama Muaz tanpa berbicara dengannya.  Namun mungkin berdiam diri adalah pilihan yang terbaik buat kami.  Aneh, lagu-lagu yang dimainkan oleh DJ yang bertugas semuanya bagai menceritakan rasa hatiku.  Bermula dengan lagu “Patah Seribu” dendangan Sheila Hamzah, beralih ke lagu “Jar of Hearts” dendangan Christina Perri, lagu “I Will Always Love You” dendangan Whitney Houston, “Aku Yang Tersakiti” dendangan Judika dan beberapa lagu lain bagaikan kena dengan kisahku. 


Kereta diberhentikan di hadapan banglo milik Dato’ Wirda.  Kereta Mama sudah terparkir, maknanya Mama tidak pulang lewat hari ini.  Aku menanggalkan tali pinggang keledar.  Mata hinggap di wajah Muaz.  Dan di waktu yang sama, dia juga berpaling memandangku.


“Izu, maafkan aku ya.  Aku janji aku tak buat lagi.  Janganlah sampai tak nak kawan dengan aku lagi,” sayu suaranya memohon maaf.


Jangan kata berkawan, berkahwin dengan dia pun aku sanggup.  Tapi apakan daya, sudah takdirNya dia bukan jodohku.


“Aku maafkan.  Aku pun minta maaf sebab tengking kau tadi.”


“Terima kasih kerana ingatkan aku.  Kau betul, apa yang aku buat dulu salah.”


“Kita minta ampun pada Allah.”  Muaz angguk.  Semoga Allah ampunkan dosa kami, bisik hatiku.


Thanks for the drink” ujarku sambil membuka pintu kereta.  Dan keretanya terus meluncur laju meninggalkan aku.


Malam itu, selepas solat Isya’ aku panjangkan doa ke hadratNya.  Aku mohon keampunan dari Yang Maha Esa.  Aku rayu keampunan dariNya kerana tiada yang lebih bermakna bagi seorang hamba selain daripada mendapat kemaafan dari Al Khaliqnya. Sebak menguasai dada, lantas melimpahkan juraian air mata tatkala menginsafi kekhilafan diri.  Kemudian aku minta ditetapkan hatiku agar tidak sekali-kali kalah dengan tuntutan perasaan cinta terhadap Muaz yang belum hilang.  Aku redha dengan ketentuanNya dan tidak mahu bersedih dengan apa yang telah terjadi.  Lalu aku juga berdoa agar diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.


Aku juga mendoakan kesejahteraan untuk Mama, Abang dan Kak Rina.  Juga mendoakan agar arwah Papa sentiasa dalam limpahan rahmat Illahi.  Kemudian aku memohon dipertemukan dengan jodoh yang baik, seorang imam yang akan menjadi pemimpin rumahtanggaku yang akhirnya akan membawaku ke syurga.  Akhir sekali, seperti dalam setiap doaku, aku mohon kesejahteraan untuk Mak Jah sekeluarga.  Sejak aku balik, tidak pernah aku tinggalkan mereka di dalam doaku.


Aku membuka telekung dan menyangkutnya.  Kemudian berjalan ke arah radio dan menghidupkannya.   Lagu “Aku Yang Tersakiti” dendangan Judika sedang berkumandang.  Tiba di satu bahagian lagu tersebut, aku menjadi sebak dengan bait-bait lagu yang amat menyentuh hatiku.


Oh Tuhan tolonglah aku

Hapuskan rasa cintaku

Aku pun ingin bahagia

Walau tak bersama dia


Ya, sangat kena lirik itu dengan situasiku sekarang.  Aku ingin bahagia, walaupun tanpa Muaz.  Ya Allah, hapuskanlah rasa cinta yang masih ada. 

Mata masih sembap akibat tangisan.  Pintu bilikku diketuk dan belum sempat aku bangun membuka pintu, Mama muncul di sebalik pintu.


“Adik, jom makan” ringkas ujar Mama.  Dulu jarang sekali Mama menjejakkan kaki ke bilikku, apatah lagi sekadar untuk mengajakku makan.  Tetapi sejak aku pulang, Mama sudah berubah.  Atau aku sebenarnya yang telah berubah, semakin patuh kepada Mama dan tidak lagi rajin berbalah dengannya.


“Kenapa ni?” Mama melangkah masuk lalu duduk di pinggir katil di sebelahku.  Soalan Mama terbiar tanpa jawapan.  Airmata yang bergenang, menunggu masa untuk luruh menghalang aku untuk bersuara.  Pasti aku akan menangis jika membuka mulut.


“Reen, you were fine the whole week.  Hari ni jumpa budak Muaz tu, dah jadi balik.  Dah lepas ni tak payah jumpa dia lagi.” 


Tegas kedengaran nada suara Mama.  Tadi di pejabat, sebenarnya Mama tidak mahu aku keluar dengan Muaz, namun akhirnya Mama membenarkan setelah aku memujuk.


I am OK Ma” ujarku dan segera aku lentokkan kepala ke bahu Mama. 


Cara ini dapat meredakan kemarahan Mama.  Dulu semasa kecil, bila Mama marah aku akan minta ampun dan melentokkan kepala ke bahu Mama.  Apabila hubungan kami menjadi dingin, aku tidak melakukannya lagi.  Kini, terasa ringan bebanan di hati bila dapat bermanja dengan Mama.


Mama pegang tanganku dan mengusapnya dengan lembut.


“Adik,  you are a big girl now.  At your age, you should know what is good for you.  I don’t think meeting Muaz is good for you kalau lepas jumpa dia Adik sedih semula.  Mama gembira bila Adik balik dalam keadaan ceria, bersemangat.  Mama tak mau tengok Adik bersedih.”


“Memang Adik cuba elak dari jumpa dia, tapi tadi bila dia dah tercongok depan Adik, kesian pula kalau tak ikut dia.  Dia tak bersalah Ma.  Adik yang tak bernasib baik dalam hal ni.  Tak patut kalau Adik putuskan persahabatan kami.”


Kepala ku angkat dari bahu Mama.  Mata memandang ke arah wajah Mama yang tidak dimakan usia.  Hati mengharapkan Mama faham situasiku.


“Mama tak kata jangan kawan dengan dia lagi.  Mama nak Adik kuat.  Tempoh bersedih dah berakhir.  Sekarang masanya untuk meneruskan hidup.  Cinta baru akan datang, tapi sementara cinta yang baru itu muncul, Adik harus tabah.  Kalau rasa masih lemah, lebih baik jangan jumpa dia.”


Aku diam, menghadamkan kata-kata Mama dalam mindaku.  Terkenang perjalanan hidup Mama sendiri yang berliku.  Tentu hati Mama hancur berderai ketika mengetahui bahawa dalam diam, dia telah bertahun-tahun dimadukan.  Dan juga hutang-hutang yang arwah Papa tinggalkan yang akhirnya berjaya Mama langsaikan.  Namun tidak pernah aku mendengar Mama mengeluh.  Ya, jangan bersedih Izureen.  Cinta baru pasti akan datang.


Aku genggam erat tangan Mama.  Senyuman yang bagai tersiksa untuk dipamerkan, aku lemparkan kepada Mama. 


“Jom makan.  Esok kita nak ke Terengganu” ujar Mama sambil berdiri. 


Aku turut berdiri, berjalan ke arah radio dan mematikannya.  Selepas ini aku tak mahu dengar lagu-lagu sedih lagi.  Aku berjalan pula ke arah pintu bilik, menuruti Mama yang sudah menuruni anak tangga.  Ada rasa teruja dalam hati ini, bila teringat esok kami akan ke Terengganu.  Semoga sesuatu yang baik, yang indah menanti kami di sana.

10 comments:

  1. mabeles toing toing!!! :) best best! :)

    tak pahamla muaz ni.. kenapa tak nak buat gap kalau dah tau dia dah jadi tunang orang...? orang lain kawan jugak tapi tak der la layan kawan macam layan kekasih.. tak paham la...
    kenapa ada certain lelaki tak leh beza nak layan orang pompan sebagai kawan dan layanan seorang girlfriend... wat ladies mudah perasan je.... sedih la... tak der batas... sorii emo pulak :D

    pi terengganu tu.. hehehe jumpa naim kat challet dia tak ? :D
    best best! tenkiuuuuuu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia, ramai lelaki yang mulut manis suka mengayat, tapi tak sedar ayat2 terlebih power dia orang tu meninggalkan kesan dalam hati perempuan. Dan ramai juga perempuan yang mudah tersalah tafsir kemesraan dan keramahan seorang lelaki tidak semestinya menggambarkan perasaan sebenarnya.

      Dalam kes Izureen, she was lonely and Muaz appeared at the right time, tu yang dia sayang sangt kat Muaz.

      Sebenarnya Muaz pun sayang kat Izureen.....

      Cukup, tak boleh bagi tau banyak2, tunggu bab2 seterusnya ek.

      Delete
    2. Sian zurin, tu la ek.. sebab tu selagi tak der ikatan, islam tak bagi pompan kawan dgn lelaki saja2... kang tak pasal2 misscomunication lalu terjerat dgn perasaan sendiri....
      anyway: Isma Adeliya, ramadan mubarak semoga ramadan ini membawa beribu2 barakah dah rahmat dalam hidup kita umat islam.. amin...

      Delete
    3. Malia,

      Terima kasih.
      Selamat menjalani ibadah puasa dan semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada yang sebelumnya.

      Delete
  2. Replies
    1. Alah, janganlah gitu Baby Mio. Entah2 Muaz tu baik tau.

      Thanks for reading :)

      Delete
    2. Baby Mio,

      Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya

      Delete
  3. done...tak sabar nak gi terengganu hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan Kniedaz.
      Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya.

      Delete
  4. kalau tak membebankan bulan puasa ni.. sambung bab baru ye.. tak sabar nak tunggu apa jadi kat terengganu :)

    ReplyDelete