Tuesday 23 July 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 23

Akhirnya, berjaya disiapkan.  Selamat membaca. 

Bab 23  Izureen


Mama sampai tepat pada masanya.  Di ketika aku tidak mahu membicarakan soal perasaan.  Marah, bengang, benci, gembira atau apa perasaan pun adalah hak aku.  Aku berhak untuk masih marah terhadapnya kerana syak wasangkanya terhadapku terlalu berat.  Sebenarnya rasa marah yang ada sudah semakin berkurangan.  Aku sedar di sebalik salah sangka yang dilemparkan kepadaku, dia dan keluarganya telah melayan aku dengan sangat baik.  Aku tidak boleh melupakan budi mereka.


Di dalam hati aku lafazkan kesyukuran bila mendapat tahu Fina sudah mendapat kerja.  Terbayang wajah nakal Fina.  Kalaulah aku ada adik seperti dia, tentu setiap hariku meriah dengan celoteh dan karenahnya. 


Aku berpaling ke belakang.  Wajah Mama nampak lebih segar berbanding tengahari tadi.  Di dalam hati aku berterima kasih kepada Mama kerana muncul pada detik yang tepat.  Namun pandangan Mama yang semacam membuat aku rasa tidak selesa. 


Sorry Zack, I had a headache,” ujar Mama sambil tersenyum.  Terdetik di hati, kalau di pejabat Mama payah mengeluarkan senyuman.  Tetapi hari ini Mama terlalu murah dengan senyuman. 


“Dato’ macam mana sekarang, dah lega?” dengan senyuman manis dia menyoal Mama.  Meluat aku melihat gayanya.  Teringat detik-detik perbalahan kami ketika aku menginap di homestaynya.  Ish, rasa nak muntah!


“Alhamdulillah, I am fine now.  Saya ni dah tua, dah lama pulak tu tak berjalan jauh, sampai pening di buatnya.”


“Kalau Dato’ nak pergi klinik, saya boleh bawakan.” Ujarnya sambil senyuman membodek masih lekat di bibir.  Memang saat ini aku rasa nak muntah.  Telingaku terasa gatal.  Menyampah sungguh dengan pembodekan yang dilakukan Naim terhadap Mamaku.  Kalau boleh hendak sahaja aku beritahu Mama perihal si Naim yang menjengkelkan.  Namun Mama kelihatan suka pula.


No worry, I am fine now.”


“Kalau begitu mari saya tunjukkan tempat ni kepada Dato’ sekarang.  Silakan Dato’.”  Dia mempersilakan Mama berjalan dahulu.  Kemudian dia menyaingi Mama, manakala aku mengikuti mereka.


Kami dibawa ke Mahabbah Dua.  Sebuah chalet batu yang lebih besar daripada Mahabbah Satu yang kami duduki.  Saat aku melangkahkan kaki ke dalam, aku terpana dengan hiasan dalamannya.  Sungguh moden dan sesuai dengan citarasaku.  Kepala katilnya berbentuk hati berwarna merah.  Sebuah sofa cleopatra terletak tidak jauh dari katil.  Di depannya ada sebuah meja kopi yang dihiasi dengan beberapa batang lilin berwarna-warni.  Sebuah televisyen LED melekat di dinding dan di atas televisyen tersebut tersusun gambar-gambar dua ekor burung yang bagaikan sedang bercumbu.  Burung-burung tersebut kelihatan sangat comel.


Mataku mencerun melihat lantai.  Jubin-jubin biru disusun berselang seli dengan jubin-jubin merah jambu dan kuning lembut.  Satu kombinasi warna-warna pastel yang sangat menarik.  Sehelai ambal berbulu lembut terasa nyaman bila dipijak.  Di sebelah kiri bilik pula sebuah kaunter minuman dihias cantik dengan tiga biji pasu berlainan saiz yang diisi dengan Kristal berwarna-warni berbentuk hati. 


Yang paling aku suka ialah penataan cahaya di chalet ini.  Lampu di tengah-tengah siling boleh bertukar warna dari merah ke hijau, ke biru dan ke kuning.  Pencahayaan yang membangkitkan suasana romantis.  Disediakan juga pemain CD dan DVD.  Sepanjang kami di dalam chalet tersebut, Naim memainkan CD tiupan saksofon Kenny G.


Mama seorang yang cerewet dan mementingkan ketelitian.  Lazimnya Mama susah berpuas hati dengan sesuatu yang baru pertama kali dilihat.  Namun hari ini Mama tidak begitu.  Dia mendengar dengan teliti setiap penerangan Naim dan kelihatan berpuas hati dengan apa yang diterangkan kepadanya. 


Kemudian kami beralih pula ke Mahabbah Tiga.  Menurut Naim di sinilah Tengku Asyraf dan isterinya menetap ketika mereka berbulan madu.  Hiasan dalamannya berkonsep retro.  Mama terus teruja tatkala memasuki chalet ini, mungkin kerana mama memang sukakan konsep retro.  Sama seperti Mahabbah Dua, dinding chalet ini dibiarkan putih.  Lantainya dihiasi jubin berwarna hitam dan putih.  Gambar-gambar Kuala Lumpur, Penang, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru di sekitar tahun 60an dan 70an digantung di dinding, memberikan mood retro.  Di satu sudut sebuah gramofon, seterika lama dan replika beca kecil disusun kemas.


Selesai meninjau Mahabbah Tiga, kami dibawa pula ke Mahabbah Empat, unit chalet yang terakhir.  Mahabbah Empat lebih unik lagi kerana dihias mengikut penataan gaya hiasan dalaman ala Arab.  Mama nampaknya sangat menyukai chalet ini.  Mama banyak bercakap dan bertanya soalan.  Aku lebih senang memerhati dan mendengar perbualan Naim dan Mama.


Kami dibawa pula duduk di gazebo.  Di hadapan setiap chalet ada satu unit gazebo kecil.  Sebaik sahaja kami melabuhkan punggung, datang seorang pekerja membawa dulang berisi tiga gelas air sirap selasih.  Terasa sejuk dan nyaman tatkala air sirap yang aku teguk meluncur menuruni tekak.


“Bila ada tempahan, gazebo ini kami hias dengan warna kegemaran pasangan pengantin,” kata Naim tanpa kami pinta.


“Di sini pengantin akan menikmati makan malam secara candle light dinner,” Naim menyambung lagi.  Tangannya lincah mencapai dua buah album gambar dan diserahkan setiap satu album kepada aku dan Mama.  Kami belek gambar-gambar yang terdapat dalam album itu.  Dalam hati aku merasa kagum di atas kebolehannya menjalankan perniagaan percutian berbulan madu.  Rupa-rupanya banyak aktiviti yang pernah disediakan untuk pasangan yang berbulan madu.  Ada gambar pasangan pengantin menunggang kuda, bermotorsikal, makan malam di gazebo dalam suasana romantis dilimpahi cahaya lilin, pasangan pengantin menikmati makan malam sambil ditemani pemain gitar dan biola, juga ada gambar pasangan pengantin menari sambil berdakapan. 


Mama ralit melihat setiap gambar di dalam album.  Selesai satu album, diambil pula album di hadapanku dan dengan tekun mama membelek setiap gambar yang terpampang.  Aku mengangkat kepala dan di saat itu mataku bertembung dengan renungan Naim.  Entah sudah berapa lama dia merenung aku.  Redup pandangannya, membuatkan jantungku tiba-tiba berdegup laju. 


Are you married?” soalan Mama memaksa matanya berkalih dari wajahku.


“Belum.”


I am impressed.  A bachelor man like you has wonderful ideas for honeymoon.  Dari mana kamu dapat idea membuka tempat ni?”  Mama memulakan sesi temuduganya.


“Dari ibu bapa saya.  Mereka orang kampung, tidak berpelajaran tinggi, tidak berkesempatan berbulan madu.  2 tahun lepas merekalah tetamu pertama yang menginap di sini.  Pada hari ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 29, buat pertama kalinya mereka berpeluang berbulan madu.” 


Jawabnya, dengan mata yang bersinar.  Aku nampak sinar yang menandakan kegembiraan seorang anak kerana dapat melakukan sesuatu untuk ibu bapanya.  Terdetik di hati apakah yang telah aku lakukan setakat ini untuk menggembirakan Mama?


“Wah, baguslah kamu ni.”  Mama nampaknya memang benar-benar kagum dengan Naim.


“Tentu besar pelaburan kamu untuk tempat ni.”  Mama menyilangkan tangan di dada dan bersandar.  Jarang aku nampak Mama dalam keadaan rileks sebegitu, lebih-lebih lagi di pejabat.


“Saya jual sebahagian saham di dalam syarikat hiasan dalaman kepada rakan kongsi saya.  Kereta dan kondo juga saya jual untuk mendapatkan modal.  Alhamdulillah, banyak juga yang dapat dikumpulkan.  Banyak masa, tenaga dan wang yang telah saya korbankan.  Kalau ikutkan rancangan, ada banyak lagi yang ingin saya lakukan.  Tapi saya harus tunggu dulu, bila kedudukan kewangan sudah kukuh, barulah boleh saya laksanakan.”


Aku nampak matanya bersinar lagi, nampak kecintaannya terhadap perniagaan penginapan bulan madu yang diusahakan.  Dan rasa kagum yang sedikit kini semakin bertambah, sehingga aku terlupa rasa marah dan meluat terhadapnya yang pernah terbit dalam hati.


“Apa kata kalau Dato’ dan Cik Izureen bermalam di sini?”  pelawaan yang tidak dijangka itu membuatkan aku hampir tersedak.


“Tak boleh.  I have meeting with Peniagawati tomorrow.”  Cepat Mama membalas.  Memang Mama tidak betah duduk diam.  Pada hujung minggu pun penuh aktivitinya.  Tapi bagus juga, aku tidak fikir aku mahu bermalam di sini.


What about dinner then?  Dalam setengah jam lagi kita dah boleh makan.  We can eat and watch the sun set at the same time.” 


Mama mengerling jam di tangan.  Aku juga buat begitu.  Sudah pukul 6.30 petang.  Jika kami terima pelawaannya, bermakna kami akan bertolak pulang selepas Maghrib.


I am ok.  Adik macam mana?  You are the one who’s driving home.  If you don’t mind, Mama ikut saja.”  Mama memandangku. 


“Boleh Mama.”  Jawapanku membuat Mama tersenyum.  Mataku berkalih pula ke arah Naim.  Ada senyuman di pinggir bibirnya.  Entah kenapa aku rasakan senyuman sinis itu seolah-olah ditujukan kepadaku. 


So what are you going to serve us, young man?  I don’t want the same food as lunch.  It better be special, kalau tidak sia-sia sahaja kami tunggu” kata-kata Mama menyebabkan mataku membulat.  Gaya diva Mama sudah muncul.  Aku terasa Mama sengaja hendak menguji Naim.  Bagiku dipelawa makan pun cukup bagus.  Rasa teruja hendak makan sambil melihat matahari terbenam.  Namun Naim kelihatan tenang.


“Dalam masa singkat ni, kami hanya dapat siapkan pasta.  I hope you don’t mind.”


Oh I love pasta” jawab Mama. 


“Kalau begitu Dato’ tunggu sebentar ya.”  Dan dia berlalu.  Sakit hatiku kerana dia langsung tidak bertanyakan apakah aku tidak kisah dihidangkan dengan pasta.  Nampak sangat dia memang hendak membodek Mama. 


I like him” tutur Mama, memaksa aku mengalihkan pandangan ke arah Mama. 


“Baik budaknya.  Well mannered, good looking, hunk of a man, educated, bercita-cita tinggi.  Mama suka orang muda macam ni.  Sesuai dijadikan suami.”


Buntang mataku mendengar kata-kata Mama.  Biar betul Mama ni, takkanlah dah tersangkut dengan Mr Annoying tu.


“Mama!” tinggi sedikit suaraku menegur Mama.  Mama menjungkitkan keningnya.


“Don’t tell me you have a taste for younger man.”  Manalah tau, kot-kot setelah 10 tahun menjanda, citarasa Mama berubah.


“Haish!  Mengarutlah kamu ni.  Bukan untuk Mamalah.  I am just talking in general.  Kalau nak cari suami, cari yang macam dia!”


“Kita tak kenal dia Mama.  Orang boleh berpura-pura baik, perangai sebenar mungkin lain.”


“Adik tinggal di homestay dia 17 hari, takkan tak boleh tengok perangai dia macam mana?”


Berderau darahku.  Aku cuba menelan liur tetapi bagaikan ada seketul batu yang menyekat kerongkong.  Bagaimana Mama tahu?


He told me about your staying at his place.  Mama sukakan kejujuran dia.  Boleh saja dia diamkan hal ini tapi dia berterus terang dengan Mama.”


Aku pegun.  Dalam hati tertanya-tanya apakah yang diceritakan kepada Mama.  Apakah Mama tahu setiap insiden yang terjadi di antara kami berdua?   Kalau diikutkan hati hendak sahaja aku mencari Naim sekarang dan bertanyakan tentang hal ini.  Renungan Mama pula menimbulkan tandatanya di benakku.  Mama memandangku seolah-olah hendak menduga reaksiku.


Hari semakin gelap.  Bayu yang bertiup terasa semakin nyaman.  Minit-minit berikutnya baik aku dan Mama hanya mendiamkan diri, melayan fikiran sendiri.  Aku cuba berlagak tenang namun di dalam hati tersimpul rasa geram dan marah kepada Mr Annoying itu.  Kenapa dia memandai-mandai bercerita kepada Mama?


Kedatangan seorang pekerja Naim mematikan lamunanku.  Pekerja itu menolak sebuah troli ke arah kami.  Sebiji jug diletakkan di atas meja, diikuti tiga biji gelas.  Kemudian dia menuangkan jus tembikai di dalam gelas-gelas tersebut.  Muncul pula Naim, dia berhenti di troli, mengambil sebiji pinggan yang bertutup dan kemudian meletakkannya di hadapan Mama.


“Untuk Dato’ kami buatkan seafood spaghetti aglio olio,” katanya sambil membuka penutup pinggan.  Semerbak aroma spaghetti yang baru dimasak menerjah ke rongga hidung.  Dia kemudian berlalu ke troli dan datang semula menatang sebiji pinggan.  Diletakkan pinggan itu dihadapanku.  Tanpa sedar perlakuannya aku perhatikan dengan penuh minat.  Kepalaku mendongak melihat wajahnya.  Sebaik sahaja pinggan diletakkan, matanya berkalih lalu melekat di mataku.  Untuk seketika kami saling bertatapan.


Mama berdehem.  Cepat-cepat Naim kalihkan pandanganya.  Tangannya membuka penutup pingganku. 


“Untuk Izureen, garlic and chili prawn fettucini.” 


Mataku tertancap pada hidangan di hadapan.  Aroma fettucini yang masih panas membuka seleraku.  Naim masih sibuk berhidang.  Sup brokoli diletakkan di atas meja, juga sepinggan salad macaroni untuk dirinya sendiri.  Pekerjanya membukakan napkin untuk Mama dan aku.  Naim mengambil tempat di depanku.  Tangannya diangkat menadah ke atas dan dengan lafaz Bismillah doa makan dibacakan.


Lazat!  Itulah yang terlintas di fikiranku sebaik sahaja fettucini aku kunyah perlahan-lahan.  Mama juga sukakan spaghettinya.  Mama suakan garpunya ke pingganku dan mengambil sedikit fettucini.  Setelah beberapa kunyahan Mama memuji keenakan makanan kami.  Aku juga mengambil sesuap spaghetti dari pinggan Mama.  Memang lazat!


Sambil makan Mama dan Naim rancak berbual.  Kali ini Naim yang lebih banyak bertanya.  Soalannya berkisar tentang perniagaan Mama.  Nampaknya dia kagum dengan kejayaan Mama memajukan perniagaan.  Aku pula lebih banyak mendengar, hanya sekali sekala bersuara bila ditanya. 


Hari semakin gelap.  Matahari semakin tenggelam.  Satu pemandangan indah yang sudah lama tidak aku lihat.  Pingganku sudah licin.  Mama masih menghabiskan makanannya.  Naim bangun.  Kemudian datang semula ke meja memegang bekas lilin yang sudah dipenuhi dengan beberapa batang lilin.  Lilin-lilin itu dinyalakan, menjadikan suasana di gazebo itu romantis, dengan alunan desiran ombak dan bayu yang bertiup lembut.


Selesai makan kami pulang ke chalet untuk bersolat dan membersihkan badan.  Aku yang sudah siap, keluar dahulu dari chalet.  Naim sudah berada di hadapan chalet, menunggu kami. 

Aku meluru ke arahnya.  Kesempatan ini harus aku gunakan sebaiknya sebelum Mama keluar.


“Apa yang awak ceritakan kepada Mama?” terus aku ajukan soalan itu kepadanya.  Dia tidak menjawab, sebaliknya memandangku dengan dahi berkerut.


“Mama kata awak bagi tau dia saya tinggal di homestay awak.” 


Suaraku meninggi sedikit, geram dengan sikap buat-buat bodoh yang dipamerkan oleh Naim.  Tak mungkin dia tidak boleh mengingati apa yang telah diceritakan kepada Mama.


“Bukan awak sendiri yang beri tau Mama awak?” Naim menyoalku.


“Ya, tapi saya tak cerita siapa pemilik tempat tu dan apa yang terjadi antara kita!” 


Dahinya berkerut lagi.  Benci aku melihat reaksinya.  Hatiku semakin panas.  Tiba-tiba dia mendekatkan tubuhnya kepadaku.  Tubuh kami agak rapat hinggakan aku dapat menghidu haruman yang digunakannya. 


“Apa yang terjadi antara kita…?  Hmm.. I don’t think I remember.  Why don’t you tell me what happened between us?” 


Tuturnya perlahan, bagaikan berbisik.  Kepalanya direndahkan, menyebabkan wajahnya semakin dekat denganku.  Senyuman sinis tersungging di pinggir bibirnya.  Matanya merenung aku tidak berkedip.


Aku pegun.  Dadaku berdegup kencang.  Mata tidak lagi mampu membalas renungannya.  Aku larikan pandangan, tetapi kenapa mata ini harus turun perlahan-lahan ke hidungnya… bibirnya… dagunya.  Aku dapat rasakan mukaku berbahang.  Aku mahu lari dari suasana janggal ini, tetapi kakiku bagaikan terpasak di tanah.


“Reen!’  Kedengaran suara Mama memanggilku.  Dalam kegelapan malam Mama mungkin tidak nampak kami yang agak terlindung oleh pokok.  Seperti petang tadi, Mama datang tepat pada masanya.  Aku berpaling ke arah suara Mama.  Kaki mula menapak ke arah datangnya suara Mama namun langkahku terhenti kerana dia sudah berdiri di hadapanku, menghalang aku untuk mara ke hadapan.  Kalau ikutkan hati, ingin saja aku tolak dia ke tepi namun aku hanya mampu memandang ke arahnya.  Debaran di dada masih belum surut.


Please drive carefully.  I want you to reach home safely.  Bila dah sampai nanti call saya.” 


Bagai berbisik dia berpesan.  Matanya merenung jauh ke dalam mataku.  Ada sesuatu dalam renungannya dan entah kenapa aku bagaikan larut dalam renungannya itu, diiringi dengan paluan di dada yang semakin kuat.  Jika tadi dadaku berdebar kerana bengang dengan sikapnya, kali ini aku tidak pasti apakah punca debaran ini semakin kuat. 


Mama memanggil lagi, mengganggu permainan mata kami yang bagaikan berbicara tanpa suara sesama mereka.  Naim menginjakkan tubuhnya ke tepi, membolehkan aku mara ke hadapan.  Dia mengekoriku lantas berjalan ke arah Mama.  Naim menegur Mama dan kemudian dia mengiringi kami ke kereta.  Jarak di antara chalet dan kereta kami agak jauh dan sepanjang perjalan menuju ke kereta, Naim dengan ramah melayan Mama berbual.  Aku tidak dapat menafikan dia memang pandai mengambil hati Mama.  Tidak hairanlah kalau Mama terpesona dengan Naim, tanpa mengetahui dia sebenarnya bukanlah baik sangat.


Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat jalan kepada Mama, Naim bukakan pintu kereta untuk Mama.  Cepat-cepat aku masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin.  Aku mengerling sedikit ke kiri, mengintai wajahnya yang sedang tersenyum sambil bercakap dengan Mama.  Bukannya aku suka hendak memandang Naim, namun sebelum balik apa salahnya aku memandang dia, sekadar menghormati layanan baiknya kepada kami pada kunjungan ini.  Namun matanya pantas menangkap renunganku.  Cepat-cepat aku memandang ke hadapan semula sebaik sahaja pandangan kami bertaup.  Jangan nanti dia perasan aku sengaja hendak menengok dia sebelum balik.  Aku turunkan gear tangan, masukkan gear dan memusingkan stering. 


Kereta Mama meluncur perlahan-lahan meninggalkan perkarangan Villa Mahabbah. Tidak sampai 15 minit selepas kami bertolak, Mama sudah melelapkan mata.  Dendangan lagu yang berkumandang dari radio menemaniku sepanjang pemanduan, diiringi satu wajah yang sekali sekala menerpa minda.  Naim Zakaria… kenapa kita berjumpa lagi?  Kenapa aku terlalu marah kepadamu?  Kenapa begitu mudah engkau menyakiti hatiku dan mudah juga engkau memberikan satu debaran yang tidak aku fahami? 


Persoalan demi persoalan tentang Naim Zakaria akhirnya berlalu dari mindaku tanpa sebarang jawapan.  Aku menumpukan perhatian terhadap pemanduan dan lima jam kemudian sebaik sampai di rumah, pesanan Naim agar aku memandu dengan berhati-hati dan menelefon dia bila sudah sampai nanti terngiang-ngiang di telinga.  Perlukah aku memenuhi permintaannya?

8 comments:

  1. tekiu... mabeles berjuta kali :)

    haih zurin, prasangka buruk jangan sekali.. tapi dah ada taman dalam hati je tu zurin ;) heheheee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malia,
      Terima kasih berjuta kali juga kepada awak yang setia mengikuti perjalanan cerita ini.

      Dalam hati Zurin dah ada taman, tapi tamannya belum ada bunga. Hati masih pada Muaz... jeng jeng jeng ....

      Delete
    2. aduhhh .. haih naim.. beratla awak naim :D
      kerja kena 'overtime' nak dapatkan zurin ni naimmmm :D :D :D

      Delete
    3. Memang berat Malia, ditambah pula gangguan Muaz dan Ratna. Tapi Naim ramai penyokong. Ni tengah type bab 24, adoi mengah

      Delete
    4. hehehe tenkiu Isma Adeliya, sebab menaip cerita ni dgn tekun dan menarik demi kami ni :)

      moga-moga tergerak ati Zurin nak call naim bagitau yang dia dah sampai ..... hehehehe

      by the way, selamat menunggu lailatul qadar kepada pembaca-pembaca muslim blog ni.. moga bertemu rahmat Allah dan diampunkan dosa kita dibulan rahmat ni... ameen... :')

      Delete
  2. aww..suka..suka..reen call la Naim, bagitau dia dah selamat sampai ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kniedaz,

      Yang sorang berdebar menunggu panggilan dari si dia. Yang sorang buntu haruskah dibuat panggilan itu?

      Delete
  3. Terima kasih baby mio.

    Take care!

    ReplyDelete