Thursday 11 April 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 8


Bab 8 – Naim Zakaria


Yang sudah berlalu, biarkan ia berlalu. Fail yang lepas sepatutnya ditutup dan disimpan.  Bukannya dibuka dan dipersoalkan.  Redhalah dengan segala yang berlaku, insyaAllah ketenangan milik kamu.


Entah di mana aku jumpa ayat-ayat itu.  Yang pasti aku sukakannya kerana ia memberi motivasi kepadaku untuk menghadapi apa jua dugaan yang Allah berikan.  Ya, aku redha dengan ketentuanMu.  Luka di hati telah kering, tetapi parutnya masih ada. 


Alhamdulillah, Allah memudahkan urusanku.  Atas cadangan rakan kongsiku Haziq, kami memulakan perniagaan resort di Dungun.  Aku serahkan urusan syarikat hiasan dalaman kepada Haziq dan tumpukan perhatian kepada resort ini.  Resort ini sangat unik kerana kami hanya menyediakan percutian berbulan madu.  Setelah dua tahun beroperasi, pentadbiran harian resort ini kami serahkan kepada Talib, pengurus yang telah aku latih dan sememangnya dia sangat boleh diharapkan.  Aku cuma datang dua minggu sekali untuk memeriksa dan menyemak apa yang perlu. 


Tetapi kali ini aku terpaksa berlama di sini untuk memantau persiapan dan menyambut ketibaan sepasang pengantin yang akan berbulan madu di resort ini.  Bukan sebarang pengantin, si suaminya kerabat diRaja daripada sebuah negeri di utara Semenanjung.  Seluruh resort kecilku yang hanya memuatkan empat villa ekslusif dan satu unit spa ditempah oleh kerabat diraja tersebut.  Satu villa akan didiami oleh pasangan pengantin baru selama dua malam, dua lagi untuk didiami oleh pegawai pengiring dan pembantu peribadi manakala satu lagi dibiarkan kosong, tidak dibenarkan sesiapa menyewa kerana pasangan pengantin mahukan privacy.


Petang Jumaat rombongan pengantin tiba.  Alhamdulillah, sang putera ringkas orangnya.  Merendah diri dan tidak banyak kerenah.  Cuma beberapa permintaan yang terpaksa disiapkan seperti pengawal keselamatan yang perlu ditambah bilangannya, menu sarapan pagi, makan tengahari dan malam yang ditukar untuk memenuhi citarasa pasangan pengantin, serta ramuan rawatan spa yang juga ditukar menurut permintaan mereka.  Semua permintaan ini telah disiapkan dan diperiksa oleh pembantu sebelum ketibaan mereka.  Berbaloi menyiapkan semua ini kerana bayaran yang diberikan sangat lumayan.


Seperti yang diminta, malam pertama pasangan pengantin diraja bersantap di pantai di kelilingi limpahan cahaya lilin.  Kami hias indah astaka yang telah terbina menghadap ke laut.  Lilin dinyalakan di sekeliling astaka.  Penggesek biola mengalunkan lagu-lagu cinta yang ditujukan khas oleh sang putera kepada isterinya.  Dari jauh aku melihat suasana indah penuh romantis itu.  Terserlah kegembiraan di wajah si isteri. 


Untuk malam kedua, Tengku Asyraf mahukan sesuatu yang lebih santai.  Maka kami hamparkan sekeping permaidani berbulu tebal di atas pasir. Kami letakkan bantal-bantal kecil di sekeliling permaidani.   Sebuah meja jepun diletakkan di tengah-tengah permaidani dan di atasnya terhidang makanan Jepun yang diminati isteri Tengku.  Pasangan pengantin menikmati makan malam secara bersila ditemani bunyi ombak menghempas pantai dan disaksikan bintang-bintang di langit yang cerah tidak berawan.  Angin bertiup lembut, membuai-buai cahaya dari pelita yang kami pasang di kiri dan kanan permaidani.


Aku bersyukur kerana segala yang kami sediakan memenuhi kehendak Tengku Asyraf.  Beliau dan isterinya sungguh gembira dan terpancar kegembiraan dan kebahagiaan mereka ketika berbual ringkas denganku sebelum berangkat pulang.


Thank you Zack, we had good time.  My wife and I are very pleased with your arrangement”.


“Terima kasih Tengku.  I hope you share this experience with your friends”.


Of course, I akan cadangkan tempat ini kepada kawan-kawan.  Thank you to all your staff too for this special arrangement” katanya sambil menghulur tangan.  Aku sambut jabatnya dengan bisikan Alhamdulillah di dalam hati.


“Sampaikan salam saya kepada isteri awak” kata isterinya pula.  Aku mengangguk sambil tersenyum, rasanya tidak perlu memaklumkan bahawa aku sebenarnya masih solo.  Kemudian menghantar mereka hingga ke kereta. 


Keletihan mula terasa sebaik sahaja badan ku rebahkan di atas sofa di dalam pejabat.  Sudah empat malam sofa itu menjadi alas tidurku.  Aku bercadang melelapkan mata seketika sebelum pulang.  Talib dan pekerja yang lain meninggalkan aku untuk mengemas villa yang telah dikosongkan.


Entah berapa lama aku tidur.  Tiba-tiba aku dikejutkan oleh suara Talib.  Katanya ada orang ingin berjumpaku.  Aku bangun menuju ke bilik air dan mencuci muka.  Setelah muka dikeringkan, aku keluar ke kaunter. 


Satu wajah yang sangat aku kenali tersenyum kepadaku. Betulkah apa yang aku lihat?  Jika betul, mengapa dia berada di sini? 


“Zack, how are you?”


Sepi.  Aku masih ragu-ragu.  Ku renung wajahnya.  Masih sama.  Senyumannya tetap menawan.  Badannya kekal langsing  dan rambutnya menari-nari dihembus angin petang yang bertiup manja. 


“Zack, takkan dah tak kenal I kot” ujarnya sambil melentok manja.  Gelagatnya masih tidak berubah, tetap seperti dahulu.


Talib yang sedari tadi hanya memandang sepi akhirnya bersuara, menyuruh aku membawa dia masuk ke pejabat.  Namun aku keluar, tidak mahu bicara kami nanti didengari oleh pekerjaku.


You dah kurus sikit ya,” katanya sebaik sahaja kami duduk di atas lantai astaka.  Aku pastikan jarak antara kami agak jauh, tidak mahu menimbulkan syak wasangka.  Ungkapannya tidak ku jawab.  Sebetulnya aku tidak tahu apa yang hendak diucapkan.  Kehadirannya terlalu mendadak.


I jumpa Fina di airport.  Dia yang bagi tau tentang tempat ni. Kebetulan tadi I dari rumah kawan, so I singgah.  Tak sangka you ada di sini.  Seronok dapat jumpa you.”  Oh begitu, hanya kebetulan.  Satu perasaan lega menyelinap di hati. 


“Bila you balik?”


“Baru sampai dua hari.”


Husband you tak ikut?” aku tahu dia sudah bercerai, tetapi sengaja buat tidak tahu. 


We have separated” ringkas jawapannya.  Wajahnya masih selamba, tiada riak kesedihan langsung.


I am sorry” aku menghulur simpati, namun hati masih tidak pasti apa sebenarnya yang aku rasakan.


It’s ok.  I have no regrets.  Buat apa kahwin kalau tak bahagia” mudah dia meluahkan bicara.  Tangannya menguis rambut yang menyapu pipinya.  Seperti dulu, dia sentiasa yakin.  Dan kini kelihatan semakin matang.


“Berapa lama di sini?”


“Sekejap je.  My cousin kahwin next week.  Ingat tak cousin I, Syafwan?  Dah nak kahwin dah budak tu,” katanya sambil tergelak kecil.  Entah apa yang melucukan baginya, dan aku tidak ingat yang mana satu Safwan.


I nak balik KL.  Next week Khamis balik kampung and then Sabtu malam will fly back to Perth.”  Dia menerangkan tanpa aku meminta.  Dari kejauhan aku melihat seorang lelaki berjalan ke arah kami.  Ratna juga melihat ke arah lelaki itu.  Dia bingkas bangun.


“I pergi dulu Zack,” katanya sambil mengangkat tangan kepada lelaki tersebut.  Sepantas dia muncul, sepantas itu juga dia pergi.  Aku hanya memandang dia pergi dengan fikiran yang kosong. 


“Wah, cun la makwe tu bos,” tegur Apit, pekerjaku yang berjawatan penyelia.  Apit baru habis memerika villa yang telah dikemas. 


“Budak tengah naik macam ni lah bos, pantang nampak awek cun” si Talib menyampuk.


Aku senyum sumbing.  Tak tau apa nak dikatakan.  Tetapi memang betul, Ratna masih jelita.  Senyumannya tetap menawan dan lenggok tubuhnya tetap menggoda, masih seperti dulu.  Namun hati ini, parut yang masih tinggal belum kering sepenuhnya. 


Aku jeling sekilas jam di tangan.  Sudah jam enam petang.  Aku belum bersolat asar.  Kalau mengikut rancangan awal, aku sepatutnya bertolak jam empat dan akan sampai ke rumah jam sembilan malam. 


“Balik esok ajelah bos, rehat kat sini dulu… boleh belanja kami makan malam ni” Apit berkata, bagaikan dapat membaca fikiranku.









2 comments:

  1. kenapa cerita ni sama dgn blog http://mek-yang.blogspot.com/2013/02/saat-kau-lafazkan.html ?.. adakah penulisnya orang yang sama juga? apa2 pun, cerita ni mmg best.. =D

    ReplyDelete
  2. sharifah nurhidayah,

    Terima kasih kerana sudi singgah. Ya, kedua-dua blog tersebut adalah blog saya.

    Terima kasih kerana sudi membaca. Saya baru nak berjinak2 dlm bidang penulisan, sangat2 mengharapkan komen membina.

    Singgah lagi ya.

    ReplyDelete