Wednesday 24 April 2013

SAAT KAU LAFAZKAN BAB 9


Bab 9 - Izureen


Butang “end” pada I-phone aku tekan sebaik sahaja mengucapkan salam kepada mama.  Akhirnya, kami berbicara, setelah seminggu aku berada di sini.  Dalam takut-takut aku menelefon mama.  Sangkaanku jauh meleset.  Mama langsung tidak memarahi aku, sebaliknya bercakap denganku dengan nada lembut.  Mama risaukan aku, namun aku yakinkan dia bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan.  Sebelum menghabiskan perbualan, aku minta Mama pertimbangkan untuk mengambil Kak Rina bekerja.  Mama tidak berjanji apa-apa, namun tidak pula melenting seperti selalu bila isu Kak Rina aku timbulkan.


Matahari sudah membiaskan bahangnya walaupun baru sekitar jam sepuluh.  Sungguh selesa berbaring di dalam hammock yang diikat di antara dua batang pokok.  Dedaun pokok yang merimbun memberi teduhan dari limpahan cahaya matahari.  Suasana di tepi sungai sepi dan mendamaikan, tidak seperti semalam ramai orang bermandi manda dan berkelah.  Dua hari lepas, kedua-dua chalet Naim yang telah siap sepenuhnya disewa orang.  Ada juga yang berminat untuk menyewa rumah inap tetapi Fina terpaksa menolak kerana aku masih di sini.


Deruman motorsikal berkuasa tinggi kedengaran sayup-sayup di telingaku.  Mungkin dia sudah pulang.  Sejak hari Rabu, selepas dia membawa aku mendaki bukit kecil di hujung chalet, aku tidak melihat kelibatnya.  Kata Fina dia ke Terengganu.  Semasa ketiadaannya Fina yang menguruskan hal-hal penyewaan chalet dan memandangkan aku punyai masa terluang, aku hulurkan bantuan kepada Fina.


Kedengaran riuh rendah suara anak-anak dari arah rumah Mak Jah.  Pasti Lokman dan Hafiz yang telah berada di sini sejak semalam gembira dengan kepulangan Pak Long mereka.  Aku suka mereka berdua.  Nakal, tetapi sangat comel. Seronok melayan kerenah mereka. Sanggup mereka berendam dalam air sungai, berjam-jam lamanya.  Sampai kecut jari-jari kaki dan tangan.  Ibu mereka, Elida juga ramah orangnya.  Betullah kata orang, orang Perak memang sangat peramah dan mudah mesra.  Kemesraan yang mereka pamerkan membuatkan aku seronok berada di sini.  Lupa seketika lara yang bersarang di hati tatkala bersama mereka.


Deruman motorsikal kedengaran lagi, kali ini bunyinya semakin kuat dan semakin dekat.  Sedetik kemudian motorsikal diparkir berhampiran rumah inap.  Lokman dan Hafiz yang membonceng di belakang mengekek-ngekek ketawa, mungkin seronok dapat menaiki motorsikal. 


Kedua anak comel itu diturunkan dari motorsikal.  Terus mereka belari-lari ke arah air.  Hafiz sempat melambai ke arahku sambil tersengeh, menampakkan giginya yang rongak.


Naim membuka helmet dan memandang ke arahku sambil bersandar di motorsikalnya.  Dia kelihatan macho dalam jaket kulit yang masih membaluti tubuhnya yang tegap.  Mataku turun ke dadanya dan baru aku teringat, dada itulah yang aku langgar semasa di KLIA.  Ya, dialah orangnya.  Kenapa aku tak ingat langsung kejadian di KLIA sebelum ini?


Jaket ditanggalkan dan Naim berjalan ke arahku.  Matanya tidak berkelip memandangku dan senyuman terbit di pinggir bibirnya.  Kacak, detik hatiku.  Ah, Muaz lagi kacak.  Begitulah, setiap kali melihat lelaki kacak pasti aku bandingkan dengan Muaz.  Dan selalunya kau membuat kesimpulan Muaz lebih kacak daripada lelaki-lelaki kacak yang lain. 


“Hai.”  Dia menegurku dahulu.  Aku sekadar membalas dengan senyuman.


“Saya harap hati awak dah tenang sekarang”.


Ya, memang hatiku sudah tenang.  Tidak lagi menangisi nasib malangku.  Tapi sekarang, tiba-tiba jantungku berdegup laju.  Oh jantung, kenapalah laju sangat degupanmu.  Aku larikan mataku dari wajahnya, melihat ke arah Lokman dan Hafiz.  Oh kids, please look at me, save me from this intense moment”, aku berbisik di dalam hati.  Namun mereka berdua leka bermain, langsung tidak melihat ke arah kami.  Aku bangun, duduk di hammock.


“Berapa lami lagi awak di sini?” pelik dengan soalan itu, aku berdiri dan memandang semula ke arahnya. 


“Kenapa, tak suka saya duduk sini ke?” oh mulut, kenapa itu pula yang keluar.  Dan mata, kenapa lekat di wajahnya, pandanglah ke arah lain.


“Suka.  Lagi lama lagi bagus.  Saya harap semakin lama awak di sini, semakin awak mempercayai saya.  You don’t trust me enough to tell me about your problem, remember?” dia mengingatkan aku kata-kata yang aku ucapkan.  Senyuman terukir di pinggir bibirnya. 


Apakah yang harus aku ucapkan untuk membalas kata-katanya.  Kami sama-sama diam dan sama-sama memandang ke arah sungai.  Teringat kata-kata nasihatnya.


“Terima kasih nasihatkan saya”.


“Sama-sama”.  Aku memandang I-phone di tangan.


“Terima kasih juga kerana pinjamkan charger.  Sorry, tak sempat pulangkan, awak dah pergi.”


“Sama-sama.  Ambillah charger tu.  Saya tak perlukan charger tu lagi”.


“Izureen, boleh tak kalau saya nak jadi kawan awak?”  soalnya.  Aku naikkan muka untuk melihat wajahnya.  Mencari riak keikhlasan dalam sinar matanya. 


“Pak Long!  Hafiz jatuh”  belum sempat aku memberi jawapan, laungan Lokman bergema.  Kami sama-sama meluru ke arah sungai.  Hafiz menangis memegang lututnya yang tercalar.


“Alah, sikit aje ni.  Hafiz kan hero, dah jangan nangis” katanya memujuk lantas meniup lutut Hafiz.  Didokongnya Hafiz sambil berkata “jom, Pak Long hantar balik”


“Tak nak, Hafiz tak nak balik.  Nak main lagi”.


“OK, Hafiz rehat dulu ya.  Nanti dah hilang sakit main lagi” dia membawa Hafiz ke hammock dan dibaringkannya. 


“Kita nak naik jugak” lalu dia mendokong Lokman dan membaringkan Lokman di sebelah adiknya. 


“Ok, dua-dua rehat dulu”.  Budak dua beradik itu akur dengan perintahnya.


I am waiting for your answer” katanya sebaik mendekati aku yang masih kaku di gigi air.


“OK, kita boleh berkawan, but nothing more than friend.”


Dia senyum.  Kenapalah dia suka buat senyuman senget begitu?


“Alooongggg” Fina datang berlari ke arah kami.   Nampak dia gembira sangat.  Senyumannya lebar hingga ke telinga.


“Apa hal ni?” Naim bertanya kehairanan.  Aku pun hairan dengan gelagat Fina, terlompat-lompat sambil memegang sehelai kertas A4.


“Ni, baca, baca” dia suakan kertas tersebut ke muka Naim.


Naim turut tersenyum selepas habis membaca emel yang disuakan oleh Fina.


Good.  Tapi jangan gembira sangat, ni baru panggil interview.  Belum tentu dapat kerja tu”.


“Along doakan orang ya.  Bukan senang tau nak dapat interview, ramai yang memohon.  Tadi staff HR yang call tu bagi tau lima orang sahaja yang dipanggil, termasuk Fina”.


Oh, rupanya Fina telah dipanggil untuk menghadiri temuduga.


***


Petang itu aku mengikut mereka ke Bandar.  Fina hendak membeli pakaian, katanya pakaian yang ada tidak berapa sesuai untuk temuduga.  Pak Akob dan Mak Jah pun pergi bersama.  Kami pergi menaiki van Pak Akob.  Naim tidak memiliki kereta, hanya motorsikal Kawasaki Ninja ZX-10R sahaja kenderaan yang dimilikinya. 


Sampai di Bandar, kami menuju ke sebuah pusat membeli belah.  Di sana Fina mencari pakaian yang dikehendak,i ditemani ibunya.  Naim dan Pak Akob entah ke mana.  Aku pula mencari salon, dengan niat hendak memotong rambutku.  Mahu ku betulkan rambutku yang  senget benget ini.  Naim meminta semua berjumpa semula di depan eskalator dalam masa 1 jam.


Seorang gadis Cina tersenyum mesra kepadaku sebaik sahaja aku masuk ke dalam salon itu.  Aku maklumkan hasratku untuk memotong rambut.  Setelah aku duduk, dibeleknya rambutku. 


“Mana awak potong rambut ini?”


“Apasal?” soalku, rasanya aku tahu apa yang bermain di fikirannya.


“Banyak teruklah!  Kalau orang bikin rambut saya ini macam, saya sue itu orang!”


Aku diam.  Hati di kala lara, fikiran pun tidak betul.  Akibatnya rambut menjadi mangsa.


“Sekarang ha, mau potong pendek habis oh.  Nanti kasi panjang balik, baru rambut cantik balik.  Ini atas pun rambut hitam sudah keluar.  Kasi pendek semua, sudah hitam semua baru cantik”.


Setelah selesai urusan di salon, aku terus menuju ke eskalator.  Aku yang terawal tiba di sini.  Memandangkan mereka belum tiba, aku meninjau kedai-kedai yang terletak di tingkat paling bawah itu.  Sebuah kedai menjual peranti menarik minatku lantas aku memasuki kedai tersebut.  Sekadar melihat-lihat berbagai jenis telefon bimbit, telefon pintar, tablet dan peranti lain yang dipamerkan, tiba-tiba aku teringat yang aku memerlukan pengecas I-phone.  Walaupun Naim sudah menawarkan pengecasnya, aku rasa segan hendak menerima.


“Ada jual charger I-phone tak?” aku tanyakan kepada budak lelaki di kaunter.


“Ada, sana” dia menunjukkan ke arah kananku.


Aku berpaling ke kanan dan ketika itu seorang lelaki tiba, tidak sempat mengelak aku terus bertembung dengannya.  Aduh, aku menjerit kecil.  Sakit dahiku.  Dia juga mengaduh, sambil memegang dagu sebelah kiri.  Dahinya berkerut.


“Naim!” oh, rupa-rupanya aku telah terlanggar dia.  Dia memandangku.  Hilang kerutan di dahi, keningnya pula terangkat.  Lama dia memandang aku, bulat matanya dan kemudian, perlahan-lahan, senyuman terukir di pinggir bibir kirinya.

No comments:

Post a Comment