BAB 2
Penerbangan
berbelas jam memang memenatkan. Ditambah
pula dengan perubahan masa dari satu benua ke satu benua yang lain, maka sampai
saja di rumah Samirah terus rebah di katil.
Matanya terlalu mengantuk. Tadi, selepas
menunaikan solat subuh di RnR Dengkil, masuk saja ke dalam kereta terus dia terlelap. Sampai di rumah, mengantuknya semakin tidak
tertahan.
Entah
berapa lama dia tidur, bila tersedar hari sudah petang. Itu pun kerana perutnya sudah mula berkeroncong. Jika tidak, pasti Samirah mahu menyambung
tidurnya. Samirah bingkas bangun dan
menuju ke bilik air. Usai mandi dia
turun ke bawah dan menuju terus ke dapur.
Pintu peti sejuk dicapai, matanya terpandang nota kecil berwarna kuning.
We are at work. Kalau lapar, ada lasagna dalam fridge. Heat it in the microwave. Nak minum buat sendiri ya.
Nota
yang ditulis oleh Aidid dicabut. Samirah
tersenyum. Pintu bahagian dingin beku
dibuka, sekotak lasagna dikeluarkan, dibelek sebentar dan dimasukkan semula.
“Dah
muak makan lasagna. Dah balik sini aku
nak makan makanan tempatan,” Samirah
berbicara sendiri.
Bahagian
dingin beku diselongkar. Tiada yang
menarik minatnya. Pintu bawah peti sejuk
pula ditarik. Matanya menerawang ke
setiap inci peti sejuk. Laci penyimpanan
sayur ditarik. Hanya ada sebatang lobak
merah, dan sebungkus kecil cili padi.
“Hai
Ira, dah lapar sangat macam ni pun, kau memilih! Makan sajalah apa yang ada,” Samirah mengomel sendirian.
“Mama
ni pun satu, dah tau orang nak balik, penuhkanlah fridge ni dengan stok makanan.”
Samirah
mengomel lagi. Akhirnya sebiji telur dan
sebatang lobak merah dibawa keluar.
Kabinet dapur pula dibuka.
Samirah tersenyum lebar tatkala matanya menangkap sebungkus mi
segera. Tidak sampai lima minit kemudian
semangkuk mi segera siap dimasak.
Sebaik
saja dia duduk, Samirah menghidu bau mi segera tersebut. Aduh enaknya.
“Dah
lama aku tak makan mi segera Malaysia.
Hmm… yummy.”
Samirah
bercakap sendiri. Kedua tangannya
diangkat, doa dibaca dan dengan berselera dia makan. Hanya sekadar mi segera, namun dek kerana
sudah lama tidak memakannya, Samirah merasakan mi segera itu sangat lazat. Tidak sah memakan mi segera kalau tidak
diminum supnya. Mi sudah habis ditelan,
apa lagi Samirah pun mengangkat mangkuk dan dibawa ke bibirnya. Perlahan-lahan sup dihirup hingga licin. Mangkuk diletakkan semula di atas meja. Sebaik sahaja Samirah mengangkat kepala,
Aidid sudah berada di hadapannya dan memandangnnya sambil tersenyum.
“Aidid! Bila kau balik?”
“Itulah,
berselera sungguh engkau makan, sampai aku balik pun kau tak sedar.”
Aidid
menarik kerusi dan duduk. Senyum masih
melekat di bibir, terhibur melihat gelagat adiknya.
“Punyalah
banyak benda makanan, mi segera juga yang kau balun.”
Samirah
senyum.
“This is heaven. Dah lama aku tak makan mi segera. Kat sana ada, tapi tak sedap.”
“Papa
mana?”
“Papa
balik lambat sikit.”
Aidid
bangun menuju ke kabinet di dapur. Cerek
diambil dan dia menjerang air. Seketika
kemudian sebaik sahaja air menggelegak, seteko teh tarik disediakannya. Dituang ke dalam mug dan ditarik
tinggi-tinggi.
“Nah. Tentu ni pun kau dah lama tak minum.”
Mug
diletakkan di hadapan Samirah. Membulat
matanya. Pantas mug diambil dan dibawa
ke bibir. Aroma teh tarik yang masih
panas pantas menusuk ke dalam rongga hidungnya.
Dihembus beberapa kali sebelum dihirup.
“Hmm
nice…
dah lama tak minum teh tarik. Sejak
bila kau pandai buat teh tarik?”
“Sejak
mama...”
Ayat
Aidid tergantung di situ. Baru dia sedar
dia hampir-hampir membocorkan satu rahsia yang bakal membuat Samirah
sedih. Samirah memandang abangnya dengan
kehairanan. Aidid melarikan
pandangannya, tidak mahu melihat wajah kerana dia tahu dia tidak sanggup menipu
Samirah. Namun dia sudah berjanji dengan
papa berita itu akan mereka sampaikan bersama-sama kepada Samirah malam nanti.
“Erm…
erm… sejak mama sibuk… aku pun belajar buat teh tarik sendiri. Sekarang dah terror, sedapkan teh tarik aku?”
“Sedap.”
Samirah
mengangguk. Seteguk teh tarik masuk ke
tekaknya. Aidid pantas mengangkat mugnya
dan berlalu dari meja makan. Di dalam
hatinya dia merasa lega kerana Samirah tidak bertanya apa-apa lagi. Harap-harap Samirah tidak perasan
kegugupannya dan perubahan riak wajahnya.
**********
“Ira,”
Aidi memanggil dengan lembut. Dua helai
tisu dihulurkan kepada Samirah.
Tisu
disambut lantas Samirah mengesat airmatanya.
Baharin yang duduk di sebelah mengusap lembut tangan anak gadisnya.
“Macam
mana semua ni boleh terjadi?”
“Selepas
Mama kamu berkenalan dengan lelaki tu.”
“Siapa
lelaki tu?”
Aidid
duduk di sebelah Samirah. Rahangnya
bergerak-gerak, tanda dia sedang marah.
Setiap kali teringatkan pemuda yang berusia beberapa tahun lebih tua
darinya, hatinya sangat sakit. Pemuda
yang hadir dalam hidup Mamanya dan dengan pantas mengkucar-kacirkan hidup
mereka, memecah belahkan keluarga mereka dan akhirnya rumah tangga papa dan
mama tidak dapat diselamatkan lagi.
“Papa…
mama dan papa dah kahwin lama… Ira rasa
tak boleh terima. Sepatutnya papa dan
mama dan faham perangai masing-masing… dah…”
Ayatnya
tergantung, tidak mampu diteruskan.
Airmatanya bercucuran semula.
Hati Samirah hancur. Patutlah
mama tidak menjemputnya di KLIA.
Patutlah Mama tidak menjawab panggilannya tadi. Kenapa semua ini boleh berlaku? Kenapa Papa tidak melakukan sesuatu agar Mama
tidak meninggalkan mereka? Kenapa Aidid
membiarkan Papa dan Mama berpisah?
“Ira…”
Aidid
memegang bahu adiknya, ditarik rapat adik kesayangan dan diusap bahu Ira. Samirah berpaling memandang abangnya.
“Di
mana Mama sekarang Did?”
Aidid
sekadar menggelengkan kepala.
“Kau
ada jumpa Mama?”
Aidid
menelan liur. Bagaikan ada sekatan di
kerongkongnya. Haruskah diceritakan
keadaan Mama sekarang ini kepada Samirah?
Kalau diceritakan sekarang, bukan Samirah sahaja yang akan bersedih,
pasti hati Papa juga akan luluh.
“Aidid,
kau ada jumpa Mama tak?” Soalan diulang
dengan nada suara yang lebih keras.
Aidid
sekadar mengangguk.
“Bila? Macam mana keadaan Mama?”
“Last month, selepas Papa lafazkan
talak… Mama… OK.”
Aidid
menelan liur lagi. Cukuplah itu sahaja,
tidak tergamak menceritakan keadaan Mama yang sebenarnya kepada Samirah. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Papa
sekarang.
“Jom
Did, bawa aku jumpa Mama.”
Aidid
melarikan matanya dari Samirah, tidak mahu Samirah melihat riak kurang senang
di wajahnya. Perlahan-lahan kepalanya
digelengkan. Samirah memandang abangnya
dengan kehairanan. Tidak rindukah Aidid
pada Mama? Marah sangatkah Aidid hingga
tidak mahu berjumpa dengan Mama lagi?
“Papa…
kenapa…”
Samirah
berhenti bercakap, airmatanya dikesat.
“Kenapa
mudah sangat… papa lafazkan talak.
Kenapa… papa tak pujuk Mama?”
Baharin
hulurkan tangannya dan meraih tangan Samirah.
Diusap lembut tangan anak kesayangan.
“Ira
Papa dah buat segala-galanya, tapi Mama Ira tetap mau bercerai. Hatinya bukan untuk Papa lagi, tak ada
gunanya menghalang Mama pergi kalau hatinya bukan untuk kita lagi. Papa malu, dah tua-tua pun bercerai, tapi itu
jalan terakhir yang terpaksa Papa ambil selepas semua usaha untuk memujuk Mama
gagal.”
“Aidid…”
Samirah
memandang pula kepada abangnya. Aidid
mengerti ayat yang tergantung itu bermakna Samirah mahukan penjelasan.
“Aku
dah pujuk Mama tapi Mama berdegil. Kata
Mama… dia mahukan hidup baru.”
Ada
riak kemarahan dalam wajah Aidid.
Samirah tahu Aidid bukannya orang yang cepat marah. Sedari kecil Aidid sangat penyabar orangnya,
sama seperti Papa.
“Aku
lagi sedih Ira, sebab aku tengok semua ni terjadi. Sampai satu tahap aku terlalu marah dan mula
membenci Mama. Dan aku… aku kasihankan
Papa.”
Aidid
mengangkat muka, matanya bertembung dengan mata Baharin. Di dalam hati dia kagum dengan ketabahan
Papa. Macam mana Mama boleh jatuh cinta
dengan lelaki muda itu sedangkan Papa adalah seorang suami yang sangat penyayang
dan bertanggungjawab?
“Kenapa
kau tak bagi tau aku tentang semua ni?
Kalau Ira tak balik, maknanya Ira tak akan tau yang Mama dan Papa dah
bercerai?”
Naik
sedikit suara Samirah kerana memang dia kecewa dengan Papa dan Abangnya yang
merahsiakan satu kemelut besar yang melanda keluarga mereka.
“Kami
tak mau Ira susah hati. Ira jauh, kalau
Ira bersedih di sana Papa dan Aidid tak ada untuk pujuk dan tenangkan Ira.”
Baharin
memberi penjelasan.
“Lagi
pun kami tak mau pelajaran kau terganggu.”
Aidid pula memberi penjelasan. Namun apa pun alasan yang papa dan abangnya
berikan, Samirah tetap kesal dengan tindakan mereka. Hatinya dua kali terluka, sekali kerana
perceraian ibu bapanya dan sekali lagi kerana perkara itu dirahsiakan
sehinggalah kepulangannya. Kalau sekali
terluka pun sakit, inikan pula dua kali terluka.
No comments:
Post a Comment