SALAM AIDIL ADHA KEPADA PEMBACA SEMUA.
Semoga u ols telah menjalani sambutan Aidil Adha yang penuh berkah.
Selamat membaca... dan jangan lupa beri komen ya.
Tiga
hari Samirah bermenung. Tiga hari juga
dia berendam airmata. Akibatnya
kepalanya sakit. Selera makannya juga
hilang, walhal di dalam kapal terbang ketika berbual dengan lelaki kacak itu, berjenis-jenis
makanan tempatan dibualkan. Ayam golek,
rojak buah, kambing panggang, rendang kerang, laksa, pecal dan macam-macam lagi
terbayang di mata sehingga lidahnya kecur.
Dan jejaka tampan itu pula tambah menyedapkan cerita dengan memberitahu
di mana boleh didapatkan makanan-makanan tersebut dengan murah dan yang paling
penting, sedap rasanya.
Jetlag
belum hilang, ditambah pula dengan kepala yang sakit dan tiada selera makan,
akibatnya Samirah merasa badannya sangat lesu dan tidak bermaya. Fikirannya lagilah lesu. Lesu, beku dan tepu dengan persoalan-persoalan
yang enggan pergi dari mindanya. Puas
papanya dan Aidid memujuk, namun mereka pula dimarahi. Selepas tiga hari Samirah masih berkecil hati
kerana mereka merahsiakan perihal Mama.
Telefon
bimbit dicapai. Nombor Mama didail lagi,
untuk kali yang entah keberapa dalam hari ini saja. Sama seperti sebelum-sebelum ini, panggilan
tidak berjawab. Samirah melepaskan satu
keluhan. Sampai hati Mama tidak menjawab
panggilanku, getus Samirah di dalam hati.
Kenapa Mama tak mau bercakap dengan aku?
Tidakkah Mama rindukan aku? Hebat
sangatkah penangan cinta lelaki muda itu hingga Mama sanggup meninggalkan suami
dan anak-anaknya?
Satu
keluhan berat dilepaskan. Telefon bimbit
dicampak semula ke atas katil. Samirah
berjalan ke arah tingkap biliknya. Di luar sudah gelap rupa-rupanya. Sekejap lagi akan masuk waktu Maghrib dan
pada bila-bila masa sekarang Papa dan Aidid akan tiba di rumah. Terfikir pula oleh Samirah bagaimana Papa dan
Aidid boleh menjadi kuat untuk menanggung masalah yang melanda keluarga
mereka? Kalau Papa dan Aidid kuat,
kenapa aku tidak boleh? Fikir Samirah.
Telefon
bimbitnya berbunyi. Mama! Itulah yang terlintas di kepala, lalu Samirah
pantas menuju ke katilnya dan mencapai telefon yang tercampak ke hujung katil. Namun bukan nombor Mamanya yang tertera di
skrin. Satu nombor yang tidak
dikenali. Lama Samirah merenung skrin
telefonnya, hingga deringan berhenti.
Malaslah nak bercakap dengan sesiapa pun, melainkan Mama, kata Samirah
dalam hati.
Telefon
berdering lagi.
“Siapa
ni?” Samirah bertanya kepada dirinya
sendiri. Boleh jadi Mama. Mungkin Mama sudah menukar nombor telefonnya. Pantas Samirah menekan butang hijau dan
melekapkan telefon ke telinga.
“Assalammualaikum,”
satu suara garau memberi salam. Riak
wajah Samirah berubah.
“Bukan
Mama,” Samirah berbisik halus kepada
dirinya. Sekali lagi suara di hujung
talian memberi salam. Mungkin lelaki itu
si kekasih Mama!
“Waalaikumussalam.”
“Cik
Samira?”
“Ya.”
“Apa
khabar?”
“Alhamdulillah. Siapa ni?”
“Irsyad
Rifqi.”
“Irsyaaad…”
panjang Samirah menyebut, sambil cuba mengingati siapa pemanggil bernama Irsyad
ini.
“Cik
Samira dah lupa? Kad saya dah buang ke?”
Kad
apa? Samirah menggaru kepala yang tidak
gatal sambil berfikir.
“Awak
duduk sebelah saya berbelas jam dari LA, tak ingat?”
MasyaAllah! Irsyad yang itu! Samirah menepuk dahinya. Macam mana aku boleh terlupa, soalnya dalam
hati.
“Irsyad! Sorry,
I am so sorry. Saya ingat awak. It’s
just that… tak sangka awak telefon
saya.”
Suara
garau di hujung talian ketawa kecil. Irsyad
Rifqi gembira kerana Samirah kini sudah mengingatinya. Wajah gadis manis yang peramah terpampang di
matanya. Mujur ada gadis bernama Samirah
itu, penerbangan berbelas jam tidak terasa membosankan.
“Awak
sihat?” Samirah bertanya.
“Sihat. Awak?”
“Sihat.”
“Ya
ke? Tapi kenapa saya dengar suara awak
macam serak-serak sikit? Awak sakit
tekak ke?”
Samirah
ketawa kecil. Ketawa pura-pura untuk
menutupi kedukaan yang melanda hatinya.
“Encik
Irsyad, saya tak sakit tekak. Mungkin
suara saya kedengaran lain sebab sekarang awak di darat dan jauh dari
saya. Hari tu awak duduk bersebelahan
dengan saya, di udara. Tentulah lain
bunyinya.”
Irsyad
diam.
“Irsyad.”
“Hmm..” Itu saja yang keluar dari mulut jejaka tampan
tersebut.
“Irsyad, are you still
there?”
Irsyad
ketawa kecil sekali lagi.
“Why are you laughing?” tinggi sedikit suara Samirah, kehairanan bila
Irsyad tiba-tiba diam, tiba-tiba ketawa.
“Saya
ketawa sebab saya gembira.”
“Kenapa
awak gembira?”
“Sebab
dapat dengar suara awak.”
Samirah
terdiam, tidak tahu bagaimana hendak menjawab kata-kata Irsyad Rifqi.
“Kenapa
awak gembira dapat dengar suara saya?” akhirnya soalan itu yang keluar dari
mulut Samirah.
Irsyad
pula yang terdiam, lama dan Samirah sabar menunggu. Fikirannya kosong, tidak terfikirkan apa-apa.
“Sebab…
bila saya dah sampai rumah… saya teringatkan awak… dan saya… tertunggu-tunggu bila awak akan telefon. Dah tak sanggup menunggu, sebab tu saya telefon.”
Samirah
terkedu.
*********
“Papa,
esok Ira nak keluar jumpa kawan.”
Baharin
mengangkat kepala dan memandang tepat ke arah Samirah dan kemudian berkalih
pandang ke arah Aidid yang duduk di sebelah Samirah. Kedua-dua anak dan bapa saling memandang
dengan kehairanan. Satu keajaiban
apabila setelah tiga hari, malam ini akhirnya Samirah turun untuk makan malam
bersama ayah dan abangnya. Satu
keajaiban lagi bila tiba-tiba Samirah memberitahu esok dia hendak keluar
bertemu seorang kawan.
“Ira
nak jumpa siapa?”
“That guy… yang Ira jumpa dalam flight.”
Baharin
mengangguk. Dalam hatinya dia melafazkan
kesyukuran kerana sudah ada tanda Samirah sudah pulih dari kesedihannya.
“Yang
kau kata offer kau kerja?” Aidid bertanya sambil mengerling Samirah di
sebelahnya. Tangannya berhenti menyuap
nasi ke mulut.
Samirah
mengangguk. Matanya masih tertancap ke
dalam pinggan di hadapan. Berselera
sungguh dia makan. Apa tidaknya, sudah
tiga malam menahan lapar semata-mata kerana marahkan papa dan Aidid. Panggilan telefon dari Irsyad Rifqi tadi
telah menceriakannya sedikit dan pelawaan Irsyad untuk bertemu esok disambut
dengan gembira.
“Nak
jumpa di mana?” Aidid bertanya lagi.
“Pavilion.”
“Pukul
berapa?” Soal Aidid lagi.
“12.”
“Dia
tak kerja ke?” Satu lagi soalan dari
Aidid. Baharin sekadar memerhatikan dan
mendengar sesi soal jawab di antara dua orang anaknya.
“Kerja. We are
meeting up for lunch.”
“Esok
aku hantar kau.”
“Tak
payah, Ira boleh pergi sendiri.”
“No. I want to meet the guy who’s dating my
sister.”
“I am not dating him! Kami nak jumpa untuk lunch dan borak-borak, itu saja.
Yang kau ni tanya macam-macam apahal?”
Suara
Samirah sudah naik, bengang sungguh dia dengan abangnya yang banyak soal dan
sibuk nak menghantar dia ke Pavilion.
Bukannya dia tidak boleh pergi sendiri, lagi pun Aidid perlu bekerja.
“Tak
boleh ke aku tanya? I just…”
“Aidid,” tegur Baharin. Aidid tidak jadi meneruskan ayatnya. Bila wajah papanya dipandang, Baharin
menggelengkan kepala, memberi isyarat agar Aidid jangan bersuara lagi.
**********
Blaus
merah labuh mencecah peha dipadankan dengan seluar palazzo berwarna hijau
lumut. Skaf berwarna putih dengan corak
polka dot kecil berwarna merah dililit di kepala. Samirah mengoles bibirnya dengan gincu
berwarna koko cair, warna gincu kegemaran Samirah kerana warna itu tidak
terang, kelihatan natural dan tidak menonjolkan bibirnya. Mata sudah dicelak nipis. Minyak wangi disembur sedikit di pergelangan
tangan kiri sebelum digesekkan di atas tangan kanan. Cukuplah, dia tidak mahu wangiannnya terlalu
kuat hingga menarik perhatian lelaki.
Penghawa
dingin dan lampu dimatikan. Samirah
turun ke bawah, menuju terus ke kabinet kasut.
Kasut bertumit rendah dari jenama stepcare
diambil dari dalam kabinet dan dijinjing ke pintu. Dengan lafaz Bismillah Samirah keluar. Kasut di tangan diletakkan dan di atas lantai
sebelum disarungkan ke kaki. Pintu
dikunci dan sebaik sahaja dia berpaling, sebuah kereta MyVi berwarna perak
muncul di depan pagar. Samirah merenung
kereta dan pemandunya dengan rasa tidak puas hati. Kepalanya digelengkan.
“Kan
aku dah kata, aku boleh pergi sendiri,” rungut Samirah sebaik sahaja
punggungnya dilabuhkan di tempat duduk penumpang hadapan.
Aidid
memandang adiknya sambil tersengeh.
“Kau
tak payah kerja ke?” suara Samirah sudah
ada nada bengang.
“Kerja. Aku keluar sekejaplah,” selamba Aidid menjawab. Mentang-mentanglah bekerja dengan papa,
suka-suka sahaja dia keluar untuk menjemput dan menghantar Samirah bertemu
dengan kenalannya.
Samirah
duduk tegak, memandang terus ke hadapan.
Bibirnya dimuncungkan, bengang dengan sikap Aidid yang seolah-olah
hendak mengongkong pergerakannya. Papa
pun tak buat macam ni, rungut Samirah di dalam hati.
“Did,
aku dah besar, dah boleh jaga diri sendiri.
Kau tak payah susah-susahkan diri jemput dan hantar aku.”
Rasa
tidak puas hati dengan tindakan abangnya diluahkan. Kereta sudah sampai di simpang jalan besar.
“Banyaklah
engkau punya besar! Engkau tu muda
setahun je dari aku. Apa salahnya aku
hantarkan, tak payah engkau susah-susah menapak ke stesen LRT. Lagi pun sekarang ni banyak kes ragut. Engkau dah lama tak balik, engkau tak tau
keadaan kat KL sekarang.”
Aidid
mempertahankan tindakannya. Samirah
menjeling ke arah abangnya. Bibirnya
dicebikkan, sambil dia mengajuk percakapan Aidid. Kemudian mereka saling mendiamkan diri. Aidid memberi tumpuan kepada pemanduannnya,
Samirah pula melayan perasaan. Hatinya
masih sedih walaupun dia cuba memujuk hatinya.
Harapannya dengan keluar bertemu Irsyad Rifqi, sekurang-kurangnya dia
dapat mengalihkan fikirannya daripada Mama.
Tidak
sampai setengah jam mereka sudah sampai ke pusat bandar, mungkin kerana waktu
makan tengahari masih jauh maka jalan raya belum sesak.
“Ira,” Aidid menegur. Ira menoleh ke arah abangnya.
“Kau
marah aku ke?”
Samirah
memberikan satu jelingan kepada Aidid.
“Sebenarnya,
ada benda yang aku nak bagi tau, tapi aku tak boleh bagi tau kau depan
Papa. Sebab tu aku jemput kau di rumah
tadi.”
Kepala
Samirah berpaling semula ke arah Aidid.
Hilang riak sedih daripada wajahnya, timbul pula riak kehairanan. Apa yang Aidid ingin beritahu mestilah
sesuatu yang sangat serius dan perlu dirahsiakan daripada Papa, bisik hati
Samirah.
“Mama…”
“Sebenarnya
Mama dah jauh berubah… bukan dari segi kasih sayang kepada kita, tapi juga dari
segi penampilan. Itu yang aku nampak
bila aku jumpa Mama. Papa tak tau, aku
tak sanggup bagi tau Papa.”
“Berubah? Berubah macam mana?” Dahi Samirah berkerut dan jantungnya tiba-tiba
berdegup laju.
“She smokes.”
“What?”
Mata Samirah membulat. Wajah
Aidid di sebelah direnung dengan pandangan tidak percaya. Teringat betapa tegasnya Mama dulu,
mengingatkan dia dan Aidid jangan sekali-kali merokok, sementelah Papa sendiri
tidak merokok.
“Tudung
dah tak pakai.”
Dagu
Samirah jatuh.
“Aku…
aku… aku rasa Mama duduk serumah dengan lelaki tu.”
Kedua
belah tangan Samirah dibawa ke muka dan mulutnya ditekup. Matanya buntang dek terkejut. Ada rasa antara percaya dan tidak percaya
dalam hatinya. Terlalu sukar untuk
diterima kerana dia tahu Mamanya perempuan baik.
“Jangan
sampaikan semua ni kat Papa, nanti Papa lagi kecewa.”
Aidid
mengarahkan. Masalahnya sekarang ini
Samirah yang kecewa, terlalu kecewa seleaps mendengar cerita Aidid. Kesedihan yang baru sedikit terubat kini
perlahan-lahan menjadi semakin parah.
Kalau sebelum ini dia bersedih di atas perceraian Mama dan Papa dan
tindakan Papa dan Aidid tidak memaklumkan perkara itu kepadanya, kini kesedihan
itu bertambah dengan perubahan tingkah laku dan penampilan Mama, seperti yang
diceritakan oleh Aidid.
“Aidid,
betul ke apa yang kau cakap ni?” Samirah
bertanya kerana berita yang disampaikan oleh Aidid itu kedengarannya terlalu
susah untuk diterima. Ada nada sebak
dalam suaranya.
“Betul
Ira. Aku jumpa Mama dua minggu
lepas. Mama yang call aku, dia nak jumpa kerana nak minta aku sampaikan barang
kepada engkau. Tapi Mama tak mau Papa
tau dan selepas berjumpa Mama dan tengok keadaan dia, aku pula tak mau Papa
tau.”
Aidid
menerangkan. Sambil memandu Samirah dikerlingnya
sebentar. Kasihan dia melihat raut
kesedihan di wajah adiknya. Bagi Aidid,
dia sudah puas bersedih. Sekarang sudah
tidak kuasa lagi untuk memujuk Mama kerana semua itu sudah puas dilakukan
sebelum Papa melafazkan talak, yang dijatuhkan atas permintaan Mama, bukan
kerana Papa yang mahukan.
“Malam
ni aku akan bagi kau barang yang Mama suruh serahkan. Aku tak dapat bagi sebelum ni sebab engkau
berkurung saja dalam bilik. Kalau Papa
nampak dan bertanya, aku akan katakan kawan engkau yang minta aku sampaikan
kepada engkau.”
Samirah
kelu. Fikirannya kusut. Aidid memberhentikan kereta di hadapan
kompleks membeli belah Pavillion di Jalan Bukit Bintang.
“Cheer up sis. Engkau nak jumpa lelaki kacak, tak sesuai
buat muka macam tu,” Aidid cuba menceriakan Samirah yang duduk tegak, kaku
memandang hadapan.
“Macam
mana aku nak ceria Did, Mama…”
“Aku
faham. Itulah yang pernah aku rasakan,
malahan sampai sekarang rasa sedih, kecewa, terkilan, kasihankan Papa, marahkan
Mama… semuanya masih aku ada. Tapi aku
sudah boleh menerima takdir ini. Kau
kena kuat Ira, suka atau tidak kita kena terima keadaan ini. Life
has to go on. Go and enjoy your lunch
with this guy. I won’t pick you up later…
sebab kau dah besar kan?”
Tangan
Samirah digenggam kuat oleh Aidid, seakan-akan mahu memberi semangat kepada
adiknya. Samirah menoleh ke arah
abangnya. Dengan berat satu keluhan
dilepaskan.
“Thanks Aidid.”
Aidid
mengangguk, dan memberi satu senyuman kepada Samirah.
**********
Fikirannya
berkecamuk. Setiap butir perkataan yang
dituturkan oleh Aidid kembali terngiang-ngiang di telinganya. Samirah larut dalam fikiran yang menerawang
di sekitar perihal Mama, sehingga tidak sedar sudah 10 minit dia menunggu
Irsyad Rifqi.
Bunyi
telefon bimbitnya membawa Samirah ke alam realiti. Jam tangan dikerling, sebelum tangannya
menyeluk beg yang terselimpang di atas bahu kanan untuk mengambil telefon
bimbit. Ada satu pesanan ringkas dari Irsyad
Rifqi. Jangan pula dia tak jadi datang,
bisik hati Samirah.
+Maaf
saya lambat sikit. Jangan marah ya.
Telefon
dimasukkan semula ke dalam beg. Samirah
mengeluh. Harap-harap ini bukan tabiat dia,
bisik hatinya lagi. Sebetulnya Samirah
tidak suka lelaki yang datang lambat bila ada temujanji. Baginya lelaki yang datang lambat tidak budiman
kerana membiarkan perempuan menunggu.
Samirah
mengatur langkah, menyelusuri kedai-kedai di dalam kompleks Pavillion. Tidak sampai 20 langkah, satu suara garau
memanggilnya dari belakang.
No comments:
Post a Comment