Sunday 26 January 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 18


Dia cantik, manis, seksi dan manja.  Kalau ada lelaki yang tak sukakan dia, bodohlah lelaki itu.  Dan aku pula, pastinya lelaki yang paling bertuah kerana dia memilih aku di antara ramai lelaki-lelaki lain yang dikenalinya.  Aish Mirza tersenyum.  Senyuman itu terbit kerana dua sebab.  Yang pertama kerana mengenangkan si cantik manis yang sedang tersenyum menggoda kepadanya sambil mencuba sepasang stiletto ungu.  Yang kedua kerana merasakan dirinya sangat bertuah dapat memiliki gadis itu sebagai kekasihnya.


            Setiap kali berjalan bersama si gadis dia terasa banyak mata yang memandang ke arah mereka.  Mula-mula mata-mata itu mengerling si gadis, kemudian singgah pula ke wajahnya.  Dan kemudian pemilik-pemilik mata akan berbisik sesama mereka sambil menjeling ke arahnya dan kekasihnya.  Pernah dia terdengar ada yang berbisik mengatakan si gadis sangat cantik.  Ada juga yang berbisik mengatakan mereka sepadan.  Maka dalam hatinya tersimpul rasa bangga kerana diapit seorang gadis yang cantik menawan, pandai bergaya dan glamor.


            “Aish, ok tak yang ini?”  Luna bertanya dengan suara manja sambil berdiri mencekak pinggang dengan sebelah kaki dijulurkan ke arah Aish Mirza, berdiri dengan gaya ala-ala model di atas pentas peragaan.


            “Cantik,” jawab Aish pendek.  Mata melekat sekejap saja pada stiletto ungu, sebelum menjalar naik menyusuri betis Luna hingga ke peha. 


            “Betul ke Aish?” soalan meminta pengesahan ditanya lagi, kali ini dengan suara yang lebih dimanjakan.


            “Betul sayang.  Sesuai sangat dengan you.”  Jawap Aish.  Matanya masih pada peha Luna.  Eh aku ni, macam tak biasa pula tengok peha Luna.  Biasa sebenarnya tapi hari ini peha berstoking hitam itu nampak lebih seksi.  Atau mungkin kerana sudah dua minggu tidak bertemu Luna, hatinya pantas bergelora saat melihat Luna hari ini yang memakai blaus peplum tidak berlengan berwarna hitam dipadankan dengan skirt pendek paras peha berwarna hijau lumut.


            Sambil tersenyum dengan pandangan melirik yang menggoda, Luna bergerak ke kaunter pembayaran.  Lengan Aish dipaut erat.  Hatinya berlagu riang.  Bukan saja dapat bertemu dengan Aish, dapat juga memiliki stiletto ungu bertumit runcing yang sudah diintai sejak dua minggu yang lalu.  Bertuahnya badan, dapat buah hati kacak yang tidak pernah kedekut dan sentiasa memenuhi permintaannya.


            Thank you sayang,” dan tanpa segan silu satu ciuman diberikan di pipi Aish.  Aish terkedu.  Merah wajahnya.  Sejak mengenali Luna enam bulan yang lepas, inilah kali pertama Luna mencium dia.  Dicium pula di khalayak ramai, di depan gadis penjaga kaunter yang Aish rasa pura-pura tersenyum melihat gelagat Luna.


            Daring sungguh dia hari ini.  Sudahlah skirtnya sangat pendek, dicium pula aku, hati Aish berkata.  Pantas kakinya dihayun keluar dari butik kasut dan menuju ke eskalator.  Duit hampir 600 ringgit sudah terbang hari ini untuk sepasang stiletto ungu.  Tapi Aish tidak kisah kerana bukan selalu dia membelikan Luna hadiah.  Yang selalunya Luna membawa hadiah untuk dia apabila pulang dari tugasannya.  Bekerja sebagai pramugari, Luna sering terbang ke sana ke mari. 


            I really love the shoes, memang dah lama I idamkan.”  Kata Luna sambil mereka berdiri berpegangan tangan di atas eskalator yang sedang menurun.  Kepalanya dilentokkan di bahu Aish.  Aish di sebelah tersenyum.  Dia gembira kalau Luna gembira.


            “Sayang, jom makan.  I dah lapar,”  Luna membuat permintaan dengan suara merengek.  Dia tahu Aish suka gaya rengekannya.  Rengekannya kedengaran sangat manja di telinga Aish.  Tangan Luna digenggam erat dan mereka menuju ke sebuah restoran makanan barat yang terletak di dalam Gurney Paragon Mall.


            Seperti yang dijangkakan, Luna hanya memesan salad.  Tapi nanti akan dicuit sikit fish and chips yang dipesan oleh Aish.  Setakat menghilangkan rasa teringin.  Dia perlu menjaga badan dan penampilannya kerana selain dari bertugas sebagai pramugari, Luna juga model sambilan yang terkenal di Pulau Mutiara.  Dengan dua profesyen tersebut, tentulah berat badannya tak boleh naik walau setengah kilo sekali pun.


            Mulut baru hendak menyuap cebisan ikan dori goreng apabila telefon bimbitnya berbunyi.  Aish segera menjawab panggilan.  Suara Mama memberi salam di hujung talian kedengaran seperti sedikit marah jadi cepat-cepat Aish menjawab salam.


            “Aish kat mana sekarang?”


            “Tengah makan.  Kenapa mama?”


            “Ingatkan nak suruh pergi airport, ambil Ira.  Kan Mama dah bagi tau dia sampai hari ni, kenapa cepat sangat Aish keluar pagi ni?”  suara Khalilah bernada tinggi.  Bengang dengan kerenah anak bongsunya.  Kalau buah hatinya ada di Penang, Aish memang tak lekat di rumah.  Keluar awal pagi, balik lewat malam.  Tak balik langsung pun pernah terjadi.  Bukanlah Khalilah hendak mengongkong anak bujangnya yang sudah berusia 28 tahun, tapi bila perkara yang sudah dimaklumkan tidak diambil peduli, memang patut dia marah.  Lagipun dia kurang senang dengan gadis bernama Luna yang amat digilai oleh Aish.


            “Mama tak cakap pun nak suruh Aish ambil dia kat airport.  Mama cuma bagi tau dia sampai hari ni.”  Aish menjawab sambil dalam hati tertaya-tanya apakah dia salah dengar kata-kata Mama semalam?  Dia yakin dia dengar dengan betul Mama memberitahu yang Samirah akan sampai hari ini tapi tak pula Mama meminta dia menjemput Samirah di airport.


            “Mama baru nak bagi tau, Aish dah keluar rumah.  Sarapan pun tidak pagi tadi.  Apa yang tak sabar sangat nak jumpa dengan Luna?”


            Aish diam.  Kalau mama sudah menyebut nama Luna, dia faham maksud yang tersirat.  Bukan perihal dia tidak boleh menjemput Samirah di airport yang menjadi isu sekarang.  Isu yang sebenar-benarnya ialah mama tidak suka dia keluar berjumpa dengan Luna.  Kenapalah mama tak suka Luna?  Sempat lagi Aish berfikir. 


            “Jangan balik lambat sangat.  Kita ada tetamu.”


            “Baik Mama.”   Sopan Aish menjawab.  Telefon diselit semula ke dalam kocek.  Matanya pantas menangkap mata Luna yang merenungnya dengan pandangan tidak puas hati.


            “Apa mak you nak?” Soalan ditanya dengan riak tidak puas hati di wajah. 


            Nothing urgent,” Aish tidak mahu memanjangkan cerita.  Sebelum ini sudah banyak kali Luna menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Mamanya.  Kata Luna Mama Aish terlalu mengongkong.  Di pihak Aish pula dia tak pernah merasa dirinya dikongkong sebab memang selama ini Mama memberi kebebasan kepadanya.  Mama cuma bising kalau dia keluar dengan Luna.


            “Aish, you tak nak pindah ke?  You are already 28, you don’t have to stay with your parents,”  Luna bercakap dengan suara manja.  Dia tak suka Mama Aish yang pada pandangannya mahu mengawal Aish bagaikan dia anak kecil.


            Why should I?”  tanya Aish.  Dia tahu Luna pun tak sukakan Mamanya.  Dia sedar kalau dia serius mahu membawa perhubungannya dengan Luna ke tahap yang lebih tinggi, dia harus melakukan sesuatu agar Mama dan Luna saling menyukai. 


            You know I don’t like the way your mum controls you.”  Luna berterus terang. 


            “Belajarlah suka Mama I.  Dia bakal mak mertua you.”  Aish memujuk dengan nada tenang.  Jari Luna digenggam lembut.  Luna mengangkat wajahnya dan memandang Aish dengan pandangan menggoda.  Dia senyum.  Bergelora hati Aish melihat senyuman itu. 



Samirah melangkah penuh yakin, menghampiri rumah berkembar dua tingkat di hadapannya. Loceng pagar ditekan dan sebentar kemudian pagar yang diperbuat daripada besi tempawan itu terbuka dengan sendirinya. Tidak sampai seminit muncul seorang wanita berusia sekitar pertengahan 50 di hadapannya.


“Ira!”  Khalilah menjerit dan segera mendapatkan Samirah. 


“Ira cantik sekarang, dah jadi anak dara,” ujar Khalilah sambil memegang bahu Samirah.  Senyuman tergaris di bibir nipis Samirah.  Mereka berpelukan dan saling melagakan pipi.



            Aunty pun masih cantik.  Ira rasa Ira makin tua, tapi Aunty tetap nampak muda macam kali terakhir Ira jumpa Aunty,”  Samirah pula memuji.  Memang itu hakikatnya.  Aunty Kelly masih tetap cantik seperti enam tahun lepas.


            “Ada-ada sajalah Ira ni.  Dah jom masuk,” ujar Khalilah sambil menarik lengan Samirah.  Apabila Baharin menelefonnya meminta dicarikan rumah sewa untuk Samirah, Khalilah menawarkan agar Samirah tinggal saja dengannya.  Kebetulah di rumahnya ada bilik kosong dan kebetulan juga Khalilah kesunyian. 


“Sunyi rumah Aunty.  Mana yang lain?” soal Samirah sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di atas sofa.


            Uncle Sam dan Aish dah keluar.  Tinggal Aunty seorang saja di rumah.  Jef dan Ain ada kat rumah dia oranglah.  Memang sunyi rumah ni.  Hujung minggu bila Jef dan Ain balik, riuhlah sekejap.”  Khalilah bercerita sambil menuangkan air jus oren yang sudah disiapkan ke dalam gelas.


            “Minum Ira,”  gelas disuakan kepada Samirah.  Selepas mengucapkan terima kasih Samirah meneguk minuman sejuk itu.  Terasa nyaman tekaknya bila minuman itu masuk ke dalam kerongkong.


            “Kak Ain, Abang Jef dan Abang Aish sihat?” 


            “Dia orang sihat.  Jef dah ada dua orang anak, Ain seorang.  Minggu ni dia orang tak balik.  InsyaAllah minggu depan Ira dapat jumpa dia orang.  Aish pun sihat.  Biasalah orang bujang, hujung minggu mana mau lekat di rumah.”  Khalilah tersenyum.  Wajah manis Samirah yang saling tak tumpah wajah Latifah diamatinya.  Terkenangkan Latifah, timbul perasaan simpati pada Samirah.


            “Ira, Aunty tumpang sedih atas apa yang berlaku kepada mama dan papa Ira.” 


            Samirah memandang terus ke mata Khalilah.  Dipaksa bibirnya mengukir senyuman, namun ternyata sukar.  “Ira kena kuat untuk hadapi dugaan ini.”  Khalilah memberi nasihat.


            “InsyaAllah Aunty.  Ira dah puas menangis masa baru balik.  Sekarang Ira dah tak mau menangis.  Ira nak cari mama dan dengar sendiri dari mulut mama kenapa perceraian ini terjadi dan Ira nak pujuk mama balik semula ke pangkuan kami.”


            Yakin dan berani.  Itulah yang Khalilah nampak pada diri Samirah.  Berbeza dengan Samirah yang ditemui enam tahun lalu ketika Samirah sekeluarga menghadiri majlis persandingan Jefri.  Ketika itu Samirah kelihatan manja dan naïf. 


            Usai berbual-bual, Khalilah membawa Samirah ke tingkat atas untuk ditunjukkan biliknya.  Ada empat bilik di atas.  Setiap satu bilik untuk anak-anaknya dan satu lagi bilik tetamu yang akan menjadi bilik Samirah.  Setiap bilik dilengkapi dengan bilik airnya sendiri.


            “Besarnya bilik ni Aunty,” spontan meletus dari bibir Samirah apabila kakinya menjejak ke dalam bilik.  Kabinet pakaian pasang siap melekat di dinding.  Ada meja tulis dan ada juga meja solek.  Samirah mengucapkan terima kasih kepada Khalilah yang sudi membenarkannya tinggal di rumah itu.


            Setelah Khalilah beredar Samirah menyusun pakaiannya di dalam almari.  Barang-barang lain dikeluarkan dan disusun.  Siap mengemas dia menunaikan solat Zuhur.  Dalam doanya Samirah melafazkan kesyukuran kerana Allah memudahkan urusannya.  Dia juga berdoa akan usahanya mencari mamanya akan dipermudahkan.  Dan akhir sekali didoakan kesejahteraan untuk papa, mama dan Aidid.


            “Mari kita makan Ira,” Khalilah memanggil sebaik saja Samirah turun ke bawah.  Samsudin yang dipanggil Uncle Sam sudah pulang.  Selepas menegur Uncle Sam dan berbual ringkas, Samirah terus ke dapur membantu Khalilah menghidang makanan.


            “Aish mana?” soal Samsudin.  Wajah isterinya ditenung.


            “Mana lagi, dating dengan si Lunalah.”


            Samirah perasan ada nada kurang senang dalam suara Aunty Kelly.  Terbayang wajah Aish Mirza ketika mereka bertemu enam tahun lalu.  Timbul rasa teruja hendak bertemu dengan Aish.  Aish yang nakal dan suka menyakat.  Tapi Aish rajin juga memberi nasihat, terutamanya ketika Samirah tidak dapat membuat keputusan bidang apa yang hendak dipelajari selepas habis SPM.  Tapi sejak dia belajar di Amerika, dia langsung tidak berhubung dengan Aish. 



Sehingga malam menjelma kelibat Aish tidak kelihatan.  Samirah sudah bersedia hendak melelapkan mata.  Telefon bimbitnya berbunyi dan satu pesanan whatsapp masuk.


            Hai sayang, how’s thing? Irsyad Rifqi menghantar pesanan. Samirah tersenyum.  Dibiarkan dulu pesanan itu tidak berjawab.


            It’s been only hours, yet I am already missing you.  Rasa nak terbang ke Penang sekarang juga.  Nak jumpa awak.  Kali ini senyuman Samirah semakin lebar.  Jari-jarinya mula menekan huruf-huruf yang tertera di skrin telefon.


            Awak tak ada sayap, mana boleh terbang.  Butang hantar ditekan.


            Saya gunalah sayap AirAsia atau FireFly.  Samirah tersenyum membacanya.


            Jangan susahkan diri.  I’m fine.  Aunty Kelly is treating me well.  Butang hantar ditekan.


            Glad to know you are well.  Missing you.  Rindukan saya tak?


            Sedangkan kepada papa dan Aidid pun dia belum rindu, wajarkah dia pantas merindui Irsyad?  Kepalanya digelengkan.  Dia yakin belum ada rasa rindu.  Tapi takkan nak berterus terang, nanti hati Irsyad terluka.


            Apa awak buat bila rindukan saya?  Soalan itu ditaip sebelum butang hantar ditekan. 


            When I miss you, I imagine you are beside me.  I wish I could kiss you, I wish I could hold you.  Oh I want you so badly.  Will you be mine? 


            Belum habis lagi Irsyad merayu.  Walau tidak berada depan mata, usaha merayu tetap diteruskan.


            Please say yes Samira.  I am crazy without you.  Please don’t drive me crazy.  Datang lagi satu pesanan whatsapp.  Lama ditenung ayat itu.  Masalahnya sekarang bukan Irsyad saja yang gila, Samirah rasa dia pun naik gila memikirkan bagaimana mahu menolak Irsyad dengan baik.

No comments:

Post a Comment