Sunday 19 January 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 17


Semua barang-barang keperluannya sudah dimasukkan dalam satu bagasi bersaiz sederhana.  Samirah juga membawa satu back pack mengandungi komputer riba dan sedikit alat tulis serta sebuah beg tangan.  Cukuplah kerana jarak antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hanya sekitar 350 km dan dalam masa 4 jam dia boleh sampai ke KL dari Penang.  Beg tangan dan back pack disangkut di bahu manakala bagasinya dibimbit dan perlahan-lahan Samirah menuruni anak tangga. 


“Awalnya papa turun.”  Samirah menyapa sebaik saja matanya melihat kelibat papanya berdiri di sisi meja makan.  Tiga bungkus makanan yang masih berada dalam beg plastik sudah berada di atas meja.  Jam di dinding menunjukkan pukul 7.15 pagi.


“Papa pergi beli nasi lemak tadi.  Nasi lemak Kak Bedah tu cepat habis, lebih-lebih lagi pada hari Sabtu dan Ahad.”  Baharin menerangkan.  Ditenungnya Samirah dari atas hingga ke bawah.  Empat tahun dulu ketika dia menghantar Samirah ke lapangan terbang, yang berada di depan matanya adalah seorang gadis belasan tahun yang manis, bijak dan naïf.  Hari ini sekali lagi dia akan menghantar anak gadisnya ke lapangan terbang.  Tapi yang berdiri di hadapannya sekarang adalah gadis jelita yang masih manis, tetap bijak, sopan, matang dan berani.


“Oh, sedapnya nasi lemak.”  Samirah mengintai tiga bungkus nasi lemak dalam plastik.  Nasi lemak Kak Bedah memang terkenal di kawasan ini tapi jarang-jarang Samirah dapat menikmatinya.  “Ira buat air ya, papa nak minum apa?”  soalnya sambil tersenyum ke arah papanya.


Seteko kopi ‘o’ diletakkan di atas meja.  Datang pula Aidid dari dapur bersama tiga biji mug.  Baharin yang sudah pun duduk di meja melipat surat khabar yang baru dibaca sampai mukasurat tiga.  Aidid dan Samirah duduk.  Doa makan dibaca dan nasi lemak yang berbungkus dengan kertas berwarna perang yang dilapik dengan daun pisang dijamah.


“Dah siap semua barang-barang yang nak dibawa?”  Baharin menyoal selepas suapan ketiga.


“Dah.”  Jawab Samirah sambil kepala dianggukkan. 


“Khalilah kata dia tak dapat jemput kamu, jadi Ira ambil teksi nanti ya?”  Malam tadi papa dah beritahu, pagi ini diulangnya lagi.  Agaknya papa risaukan aku, bisik hati Samirah.


“Tak ada masalah.  Sedangkan di USA pun Ira boleh survive, setakat Penang papa jangan risaulah”  Samirah berkata dengan lembut tetapi penuh yakin.  Wajah papanya ditenung.  Bukan riak kerisauan yang terpamer di wajah papa, sebaliknya riak kesedihan. 


“Papa, janganlah sedih.  Kalau tak ada urusan, every weekend Ira balik jenguk papa dan Aidid.”  Ayat Samirah membuatkan Aidid yang asyik menikmati nasi lemaknya mengangkat kepala.  Matanya pantas menangkap wajah muram papanya.


“Bila-bila papa rindukan Ira bagi tau Aidid.  I’ll drive you to Penang right away.”  Si anak sulung pula memujuk.  Samirah mengerling abangnya yang duduk di sebelah.


Thanks Aidid.”  Lengan abangnya dipaut.  Kepalanya dilentokkan di bahu Aidid.   Dalam hatinya Aidid pun merasa sedih.  Baru dua bulan setengah ada kawan bergurau dan bergaduh, dah dia nak pergi pula ke Penang.  Agaknya memang sudah ketentuan takdir Samirah akan sentiasa berjauhan dari keluarganya, fikir Aidid.


Tepat jam 8.20 kereta Toyota Camri milik Baharin meninggalkan rumah.  Aidid memandu, Samirah duduk di sebelahnya dan Baharin duduk di belakang. Hari masih awal maka perjalanan sangat lancar.  Sekejap-sekejap Samirah mengeluarkan handphone dari beg tangannya.  Skrin handphone ditenung seketika sebelum handphone dimasukkan semula ke dalam beg.


“Tunggu si dia telefon ke?”  Aidid yang perasan gelagat adiknya menyoal.  Samirah diam, malas hendak menjawab soalan Aidid.  Takut nanti kena sakat dengan si abang yang memang dari kecil suka menyakat.


“Kalau dia telefon, atau SMS, berbunyilah telefon tu.  Tak payah intai-intai.” Aidid bersuara lagi.  Samirah mengetap bibir.  Baharin di belakang tersenyum.  Wajah Irsyad Rifqi ketika berbual dengannya malam tadi menjelma semula di minda.



Uncle, saya nak minta izin daripada uncle, untuk menghantar Samira ke Penang esok.”  Ahli korporat muda itu berkata dengan lembut sambil matanya memandang ke arah Baharin sekejap, dan kemudian melekat pula di wajah Samirah.


“Hantar ke airport?”  Baharin menyoal, buat-buat tak dengar.


‘Bukan.  Ke Penang.”


“Buat apa?  Kan tiket dah beli, biarlah saja Ira naik kapal terbang,” Baharin berkata dengan tegas.  Dia tau Irsyad betul-betul sukakan anak gadisnya.  Dia juga sukakan Irsyad.  Dia dapat rasakan Irsyad anak muda yang baik, bertanggungjawab, merendah diri dan bersungguh-sungguh dalam mengusahakan sesuatu.


Irsyad yang duduk berhadapan dengan Baharin diam.  Otaknya ligat mencari alasan untuk mewajarkan tindakannya.  Tak ada alasan yang kukuh.  Dia hanya mahu menghantar Samirah supaya dia dapat meluangkan masa dengan Samirah dan dapat memastikan Samirah selamat sampai ke Penang.


“Kamu dah tanya Ira?”


Irsyad mengangguk.  Samirah di sebelahnya turut mengangguk.


“Apa kata Ira?” soal Baharin lagi sambil matanya berkalih ke arah Samirah.  Nampak dari air mukanya Samirah cemas.  Mungkin dia takut Baharin akan memarahi Irsyad, atau dia takut Baharin akan bersetuju dengan permintaan Irsyad.


“Samira tak mau saya hantar dia sampai ke Penang.”  Irsyad berterus terang. 


“Kalau Ira dah buat keputusan begitu, uncle ikut saja keputusannya.  She’s a big girl.  I am sure she knows what decision to make.” 


Kecewa.  Itu yang Irsyad Rifqi rasakan.  Dia minta diri untuk pulang.  Kopi yang Samirah hidangkan langsung tidak disentuh.


I like him.  Tak ramai lelaki yang berani datang berjumpa orang tua untuk minta izin bawa anak dara orang keluar.”  Kata Baharin sebaik saja kereta Irsyad meninggalkan perkarangan rumahnya.  Samirah yang berdiri di sisi terus memaut lengan papanya.


“Dan papa pun suka cara Ira bawa diri.  Bila keluar dengan dia, tak balik lewat, tak pergi ke tempat yang tak sesuai, tak buat perkara yang di luar batasan.  Wherever you are, please maintain that.”  Anak gadis di sisi direnung lama dan tangan Ira ditepuk lembut. 



“Papa kita dah sampai.”  Laungan Aidid mematikan lamunan Baharin. 


Sebaik saja keluar dari kereta, Samirah bergerak menuju ke kaunter untuk check-in.  Bagasinya dimasukkan sekali, tinggal beg tangan dan back pack saja yang dibawa bersama.  Usai urusan di kaunter Samirah mendekati papa dan abangnya bersama boarding pass dalam pegangannya.


Masih ada lebih kurang 1 jam sebelum berlepas ke Penang melalui penerbangan FireFly.  Maka mereka bertiga beranak berjalan-jalan di sekitar Subang Skypark.  Kebetulan ada pameran kereta Peugeot sedang berlansung, maka laju saja Aidid dan papanya berjalan menuju ke arah kereta-kereta yang dipamerkan.  Biasalah orang lelaki, pameran kereta memang jadi kegemaran.  Samirah pula tidak mau mengikut sebaliknya dia berjalan menyusuri kedai-kedai yang ada dalam Subang Skypark. 


Dia masuk ke dalam sebuah butik barang kemas.  Bukan mahu membeli, saja mahu melihat-lihat.  Fitrah wanita, memang suka melihat barang perhiasan diri.  Seorang jurujual dengan wajah manis datang menegur.  Dengan sopan Samirah maklumkan dia hanya melihat-lihat.  Galak matanya memerhatikan gelang-gelang yang disusun cantik dalam kaca.  Kemudian matanya melirik pula ke arah rantai-rantai leher yang cantik memikat.  Ada yang siap diletakkan dengan loket berbatu, ada juga yang berloket kosong. 


Sudah puas memerhatikan rantai, Samirah bergerak pula melihat cincin-cincin yang disusun rapi.  Wah, cantiknya, Samirah berbisik sendiri.  Lantas dia teringatkan cincin platinum yang dihulurkan oleh Irsyad Rifqi malam tadi.   Betapa terkesimanya dia bila melihat cincin yang duduk megah di tengah kotak.  Namun keterkesimaan itu tidak lama bila dia sedar dia belum mampu menerimanya daripada Irsyad. 


Hmm, Irsyad… mana dia?  Kata nak datang berjumpa di sini sebelum aku berangkat.  Tak jadi kot.  Entah-entah masih kecil hati sebab papa tak bagi hantar aku sampai ke Penang.  Itulah, orang dah kata tak nak percaya.  Degil, nak tanya juga papa.  Rasakan.  Tapi kesian juga tengok muka dia malam tadi.


“Sayang.”  Meremang bulu roma di tengkuk Samirah.  Perlahan-lahan dia berpaling ke sebelah kiri, arah datangnya suara itu.  Suara yang sangat-sangat dikenalinya.  Tapi kali ini suara itu bagai dibisikkan dekat sangat dengan telinga dia.


“Irsyad.”  Meletus dari bibirnya, diikuti dengan satu senyuman manis.  Leganya hati dan gembiranya jiwa bila Irsyad datang. 


“Hi sayang,” balas Irsyad sambil tersenyum juga.  Jantung Samirah bagai mahu melompat keluar bila Irsyad memanggilnya sayang untuk kali kedua.  Seumur hidup, selain dari papa, mama, Aidid dan si mereng Blake Samuel, belum ada orang lain yang memanggilnya sayang.  Tapi cara Irsyad memanggil sangat lain.  Kedengaran sangat indah di telinga Samirah.


“Ada orang tu, semalam kita bagi dia cincin dalam kotak dia tak mau.  Hari ni dia intai-intai pulak cincin dalam kaca.”  Bisik Irsyad lagi.  Samirah yang masih terpempan dengan kehadiran Irsyad hanya mampu merenung wajah kacak yang memang dinantikan kemunculannya.


“Kalau ada yang berkenan, pilihlah.  Saya bayarkan.”  Samirah balas dengan gelengan kepala.  Dia sekadar menikmati kecantikan cincin-cincin yang dipamerkan, bukannya dia mahukan mana-mana cincin.


“Tak nak?  Tak ada satu pun yang awak suka?”  Samirah tetap menggeleng.


“Yang ini nak?” sambil tersenyum soalan diajukan dan tangan yang diam dalam kocek dikeluarkan.  Oh my, he meant what he said last night, that he will always have the ring with him, in case I changed my mind, suara hati Samirah berbisik.


Kotak cincin dibuka dan disuakan kepada Samirah.  Samirah memandang kaku.  Tadi dia terpempan dengan kehadiran Irsyad, sekarang dia terkedu.  Terkedu hingga tiada sepatah perkataan yang mampu dituturkan.  Terharu juga kerana Irsyad masih bersungguh-sungguh mahu melamarnya. 


Wow, very beautiful ring.  I am sure it is very expensive”. Si jurujual berwajah manis yang teruja.  Tak berkelip matanya memandang cincin dalam tangan Irsyad.  Irsyad mengangkat keningnya kepada si jurujual. 


Of course, for a very special girl it has to be expensive and extraordinary.”  Irsyad menjawab tapi matanya sudah berkalih.  Sekarang melekat kuat pada wajah buah hatinya.


“Irsyad, awak ni tak putus asa kan?”


Not until I get a yes from you.”


Samirah merendahkan matanya.  Otaknya ligat berfikir, mencari ayat pematah yang tidak boleh dijawab lagi oleh Irsyad.  Tapi tak ada sepatah perkataan pun yang menjelma.  Sudahnya wajah tampan Irsyad ditatap semula.  Kemudian matanya jatuh ke cincin.  Kotak cincin ditarik dari tangan Irsyad.  Irsyad tersenyum.  Dibelek sekejap cincin itu.  Kemudian kotak cincin ditutup dan diserahkan semula kepada Irsyad.  Hilang senyuman dari bibir Irsyad.


“Simpan elok-elok.”  Kata Samirah.  Tubuhnya dipalingkan.  Matanya menangkap kelibat Papa dan Aidid yang meninjau-ninjau kereta Peugeot yang dipamerkan.  Pantas kakinya menghala ke arah mereka.


“Samira,” Irsyad memanggil dan tangannya pantas menangkap lengan Samirah.  Kaki Samirah terhenti. 


I want to talk to you in private,”  macam biasa permintaan Irsyad kedengaran seperti satu arahan.  Sesuatu yang Samirah boleh terima bila mengenangkan Irsyad sudah biasa bertegas dengan kakitangannya.  Samirah mengerling ke arah papa dan abangnya yang masih leka dengan sang Peugeot.  Kakinya melangkah ke arah kafe donut dan Irsyad pantas mengikut.


“Saya ada 10 minit saja,” ujar Samirah sebaik saja dia duduk.  Irsyad pantas menarik kerusi di hadapan Samirah.


“OK, I just need 5 minutes.   Let’s plan our future now.”  Kata Irsyad sambil melabuhkan punggungnya.  Malam tadi selepas keinginannya untuk menghantar Samirah ke Pulau Pinang dihalang oleh papa Samirah, dia pantas berfikir.  Tentu ada cara dia boleh membuatkan Samirah bersetuju menerima lamarannya.  Atau sekurang-kurangnya memberikan satu komitmen terhadap perhubungan mereka.


Aduhai, apa lagi Irsyad ni, hati Samirah mengeluh.  Begini ke kalau berkawan dengan Pengarah Urusan?  Semua perkara mesti nak disahkan segera.  Semua hal mesti diselesaikan cepat-cepat. 


Samira, where do you see us in five years’ time?  Irsyad terus menyoal dengan wajah yang penuh berharap.  Samirah pula memandang dengan rasa tidak percaya. Ini bukan soalan lazim masa temuduga ke?   Bunyi macam where do you see yourself in five years’ time?  Dan lazimnya aku menjawab Errm, I belive in five years’ time I will be holding at least an Assistant Manager position.  Oh my Irsyad!


  “Saya serius Samira.  Kita perlu merancang dari sekarang.  Awak pergi Penang, cari Mama awak.  Set yourself a deadline.  Katakan, tiga bulan.  Kalau jumpa Alhamdulillah.  Kalau tak jumpa lepas tiga bulan awak balik KL.  Kita bertunang.  Saya tak nak bertunang lama-lama.  Paling lama pun enam bulan.  Then kita kahwin.  In five years’ time, insyaAllah kita dah ada dua orang anak.”


Dagu Samirah jatuh.  Dia merenung Irsyad dengan mulut ternganga dan dahi yang berkerut.  Biar betul! 


“Kenapa awak buat muka macam tu?  Awak tak percaya?  Ini plan saya, untuk kita berdua.  Saya harap awak setuju dengan plan ni.”  Berkerut dahi Irsyad ketika bercakap, bersungguh-sungguh dia mahu Samirah bersetuju sampai tegang urat lehernya. 


Samirah menutup mulut.  Dia menarik nafas dalam-dalam sambil menutup matanya.  Nafas dilepaskan.  Mata dibuka.  Wajah Irsyad yang buat muka minta simpati direnung.  Timbul rasa kasihan terhadap Irsyad yang bersungguh-sungguh menagih cintanya.  Tapi dia sedar dia perlu kasihankan dirinya terlebih dulu.


“Irsyad, perlukah kita merancang sekarang?”  dengan lembut Samirah bertanya, bimbang kalau-kalau hati Irsyad terguris. 


“Ira!  Dah masa untuk boarding.”  Aidid melaung.  Lega hati Samirah apabila Aidid datang tepat pada masanya.  Samirah berdiri, memandang ke arah Aidid dan mengangkat tangannya, menyuruh Aidid tunggu sebentar.


“Saya pergi dulu.  Saya akan call awak bila dah sampai nanti.  Take care.”  Beg tangan dicapai dan Samirah bersedia untuk melangkah.  Irsyad segera berdiri dan mencapai tangan Samirah.


“Saya sayang awak.”  Dengan sangat yakin laju saja pengakuan perasaannya dituturkan.  Irsyad mara, merapatkan tubuhnya sedikit dengan Samirah.


“Janji dengan saya, hati awak hanya untuk saya.”  Tegas nadanya dan matanya merenung Samirah dengan renungan tajam.  Bergetar hati Samirah ketika membalas renungan Irsyad. 


“Ira!”  Aidid melaung lagi. Samirah berpaling sekilas ke arah abangnya, sebelum memandang Irsyad semula.


I will miss you.  I will find time to come to Penang to see you.”  Akhirnya tangan Samirah dilepaskan.  Take care sayang,” diucapkan dengan penuh rasa cinta.


Samirah segera mendapatkan papa dan Aidid yang sudah menunggu di luar kafe donut.  Jantungnya berdegup laju.  Mereka berjalan beriringan.  Cukup tiga tapak Samirah berhenti.  Tubuhnya dipusingkan.  Irsyad yang berdiri kaku di hadapan kafe donut ditenung dan tangannya melambai ke arah Irsyad.  Dengan lemah Irsyad membalas lambaian. 


Aku tak pernah sukakan seorang gadis seperti aku sukakan dia.  Hati Irsyad berbicara.  Dan bila aku dah sukakan seseorang, kenapa harus dia pergi?  Betul Penang bukannya jauh.  Tapi sedangkan dua-dua di KL pun kami jarang berjumpa, apa lagi bila sudah berjauhan.   Satu keluhan berat dilepaskan dan matanya tetap merenung sehingga Samirah hilang dari pandangannya.



“Ira, jaga diri baik-baik.  Duduk dengan orang kena pandai bawa diri ya sayang.”  Ujar Baharin sambil membalas genggaman Samirah.  Bukannya Samirah tidak pernah berjauhan daripadanya, tapi kali ini rasa sedih itu lebih mendalam, berbanding ketika menghantar Samirah berlepas ke USA empat tahun lepas.


            “Papa jaga diri papa juga tau.  Jangan risaukan Ira.  Jangan fikir apa-apa tentang mama.  Ira nak papa sentiasa gembira.”  Samirah pula berpesan.


            “Ira pun jangan risaukan papa.”


            “Jangan risaukan aku juga,” pantas si Abang mencelah. 


            “Aku tak risaukan engkaulah!  Did kau jaga Papa ya.”


            “Yalah aku jaga papa.  Nak harapkan kau, tak payah!”  Aidid buat memek muka.  Namun jauh di sudut hati terasa kesedihan apabila terpaksa berpisah lagi dengan Samirah. 


“Ira… dah jumpa Mama nanti… jangan lupakan Papa ya.”  Suara Baharin tersekat-sekat.  Ada kesedihan dalam suaranya. 


Mata Samirah terasa panas.  Airmata sudah bergenang. “Mana boleh Ira lupakan Papa.  Ira hanya ada satu Papa, satu Mama dan satu Aidid.”


Tangan Papanya disalami dan kemudian Ira memeluk Papa.  Berkalih pula ke arah Aidid.  Bahu Aidid dipeluk.  Abang merangkap kawan baik merangkap kawan bergaduh pun berkaca matanya.  Perlahan-lahan Samirah menapak ke arah balai berlepas.


Terasa berat hatinya meninggalkan Papa dan Aidid sedangkan dia baru saja balik.  Terasa berat juga meninggalkan Irsyad Rifqi sedangkan satu rasa indah terhadap jejaka itu baru saja berputik.  Namun demi Mama, dicekalkan hatinya.   

No comments:

Post a Comment