Sunday 12 January 2014

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU BAB 16


Assalam dan hai3 semua.  Jemput baca bab 16.  Dalam bab ni IR cuba mengikat Samirah.  Nak tau dia berjaya ke tak, kenalah baca.  Semoga terhibur.  Jangan lupa komen ya.
Kepada kawan2 Muslim, selamat menyambut Maulidur Rasul.  Semoga semua kasih sayang dan pengorbanan Rasulullah s.a.w yang tercinta akan dapat kita hayati dan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah s.w.t.  Kepada yang menyambut Thaipusam, Isma ucapkan selamat hari Thaipusam (ada ke ucapan macam ni?)
Lusa Isma nak pergi bercuti sekejap.  Nak meluangkan masa dengan keluarga sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.  Ada rezeki, boleh dapat ilham masa cuti.
Take care u ols.  Thanks for your support.
BAB 16


Masa begitu pantas berlalu.  Sedar tak sedar sudah empat hari Samirah bekerja.  Dalam masa yang singkat dia belajar perkara-perkara baru yang tidak pernah dialami ketika belajar dahulu.  Kawan-kawan sepejabat baik-baik belaka.  Ketuanya pun baik juga.  Tapi semua ini sementara kerana Samirah akan berpindah ke kampus Pulau Pinang.  Ikut jadual asal dia akan bekerja selama dua minggu di kampus Subang Jaya.  Tapi pagi ini dia dimaklumkan dia mesti melapur diri di kampus Pulau Pinang pada hari Isnin.  Maknanya pagi Sabtu dia harus bertolak ke Penang.


“Kata hari tu dua minggu di sini, baru pindah ke Penang?”  Baharin bertanya untuk mendapatkan kepastian ketika Samirah menceritakan hal tersebut.  Aidid di sebelah turut terkejut.  Tak seronoklah nanti bila Samirah jauh.


“Dia orang kata kampus Penang perlukan staf dengan segera, jadi dia orang minta Ira report duty on Monday.” Samirah menerangkan sambil mencedok nasi ke dalam pinggan.  Diletakkan pinggan itu di hadapan Baharin.


“Cepatnya.  Tak apalah, kalau itu yang diarahkan, Ira pergilah.”  Suaranya tenang tapi sebenarnya dalam hati Baharin dia sedih.  Nampak gaya terpaksa berpisah lagi dengan Ira.  Sudahlah anaknya dua orang saja, seorang bakal berjauhan sekali lagi darinya.


“Tak apalah Ira, Penang dengan KL bukannya jauh.”  Aidid pula yang bersuara.  Sama seperti papanya, Aidid pun rasa berat hati hendak berjauhan lagi dari Samirah.


“Betul tu.  Nanti weekend Ira baliklah jumpa papa dan Aidid.”


Samirah duduk di sebelah Aidid.  Tangan diangkat.  Aidid membaca doa makan dan mereka mula menikmati makan malam.


“Karang papa telefon Khalilah dan bagi tau dia kamu akan sampai hari Sabtu.”


Samirah mengangguk.  Dan aku kena telefon Irsyad untuk bagi tau perkara ni.  Tentu Irsyad tak suka.  Sampai semalam Irsyad masih memujuk agar dia bekerja saja di KL.  Kata Irsyad dia boleh upah penyiasat untuk mencari mama Samirah.  Tentu saja Samirah tak setuju.  Ini bukan soal mencari mama semata-mata.  Dia mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi di antara papa dan mama dan dia mahu pujuk mama supaya kembali ke pangkuan mereka.



Televisyen yang terpasang tidak menangkap perhatiannya.  Sebaliknya fikiran Irsyad terganggu dengan berita yang disampaikan oleh Samirah selepas dia bersolat Isya’ tadi.  Irsyad mengeluh.  Kenapa cepat sangat?  Soalnya dalam hati.  Dia sudah merancang pelan tindakan yang cukup-cukup memakan masa dua minggu.


Sepatutnya lusa dia akan keluar dengan Samirah.  Tempahan sudah dibuat di Restoran L’Heritage yang menghidangkan makanan Perancis.  Esok selepas solat Jumaat dia akan pergi membeli hadiah istimewa yang ingin diberikan kepada Samirah semasa mereka makan malam pada hari Sabtu.  Tapi sekarang rancangannya sudah terganggu.


Penang dengan KL bukannya jauh Qi, kata hati memujuk diri.  Bila balik Alor Star kau boleh singgah jumpa dia.  Tapi aku selalu sibuk, balik Alor Star pun jarang-jarang.  Tukarlah yang jarang-jarang tu jadi selalu-selalu Qi.  Demi dia, kau sanggupkan?  Irsyad melayan fikirannya.  Hatinya menanam tekad.  Esok mesti jumpa Samirah.  Samirah mesti tau apa yang ada dalam hatinya.  Tak mau lagi berkias-kias.  Dan dia bersedia menghadapi segala kemungkinan.



Pinggannya sudah licin.  Restoran L’Heritage yang memang terkenal sebagai restoran eksklusif di tengah bandaraya KL sudah semakin lengang.  Jam sudah menginjak pukul 8.45 malam.  Malam ini Samirah bersetuju untuk meluangkan masa lebih setengah jam dengan Irsyad.  Pelik bunyinya, tapi Irsyad terpaksa bersetuju saja.


“Sedap tak?”  Sekadar bermanis mulut, soalan itu ditanyakan.  Samirah nampaknya suka dengan panna cota yang dipilih sebagai pencuci mulut.  Samirah mengangkat mukanya, memandang ke arah Irsyad sambil tersenyum dan kemudian mengangguk.


“Esok tak payah naik flightlah.  Saya hantar awak.” Irsyad Rifqi membuat tawaran.  Dadanya berdebar-debar menanti jawapan daripada Samirah.


Sudu diletakkan dalam piring.  Panna cota sudah separuh dimakan.  Biar betul dia ni, bisik hati Samirah.  Sedangkan dia hantar aku pergi kerja pun aku tak suka, inikan pula nak menempuh perjalanan tiga empat jam, berdua-duaan dengan dia saja.


“Boleh.  Papa dan Aidid kena ikut sekali.”  Jawapan yang diberikan langsung tidak menggembirakan Irsyad.  Itulah Samirah.  Dapat keluar berdua sekadar pergi makan saja.  Paling jauh mereka pergi setakat Bukit Malawati di Kuala Selangor.  Itupun sekali itu sajalah.  Tapi dalam begitu pun dia tetap sukakan Samirah.  Kenapa?  Tak perlu jawapan untuk menyukai seseorang.


Kalau ada ikatan di antara mereka, mungkinkah Samirah akan lebih mempercayai aku?  Fikir Irsyad.  Matanya menerawang ke wajah gadis istimewa.  Cantik dia malam ini.  Anggun dan sopan memakai blaus bercorak tribal dengan skirt kembang.  Warna tudung dan warna skirtnya sama.


“Samira, I want to tell you something,”  kata Irsyad.  Mangkuk panna cota sudah licin.  Samirah panggung kepala.  Wajah Irsyad ditenung sekilas sebelum matanya direndahkan. 


“Esok awak akan pergi jauh dari saya.” 


“Penang dengan KL tak jauh Irsyad.”  Samirah memintas.  Sudah banyak kali dia berkata janganlah dirisaukan tentang dia. 


“Saya tau.  Tapi tetap tak sama dengan awak ada di KL.  Kalau di KL kita boleh selalu jumpa.”


Yalah tu.  Dia tu selalu sibuk.  Mana ada selalu berjumpa.  Paling banyak pun dua kali seminggu.  Tapi elok pun.  Setiap kali berjumpa dada aku macam kena pukul.  Dia ni bukan boleh diagak.  Kadang-kadang tindakan dia buat jantung aku macam nak tercabut.  Kalau jumpa tiap-tiap hari boleh dapat heart attack, hati Samirah berbicara.  Sempat dia mengerling Irsyad.  Wajah Irsyad keruh.  Timbul rasa kasihan bila melihat Irsyad muram.


“Saya takut… awak lupakan saya.”  Sesi meluahkan perasaan sudah bermula.  Irsyad harus meluahkan apa yang dirasa malam ini juga.  Mana tau boleh mengubah keputusan Samirah.


Saya tak akan lupakan awak.  Awaklah lelaki pertama yang berjaya membuat hati saya tak keruan.  Yang buat jantung saya berdegup lebih deras daripada had laju normal dan buat saya tersenyum sendirian bila teringatkan awak.  Awak juga lelaki pertama yang buat saya jadi gila handphone.  Mana taknya, kejap-kejap saya tengok handphone saya walaupun handphone tu tak berbunyi.  Dan setiap kali saya tengok saya harap nombor awak akan terpampang di skrin.  Samirah berkata, tapi hanya dalam hati.  Perasaan ini tak akan dizahirkan dengan kata-kata kerana belum masanya dia mengakui dia sukakan Irsyad Rifqi lebih daripada suka kepada seorang kawan.


“Saya juga takut… awak…”  Entah kenapa lidahnya tiba-tiba jadi kelu.  Sedangkan apa yang nak diluahkan sudah dirakam elok-elok dalam kotak fikirannya. 


“Irsyad, janganlah fikir yang bukan-bukan.  Awak tau kan, saya nak kerja di Penang supaya senang cari mama.”  Nada suaranya lembut memujuk.  Irsyad menarik nafas dalam-dalam.    


“Samira, boleh tak kalau kita bawa perhubungan ini ke tahap yang lebih tinggi?” niatnya hendak berterus terang tapi ayat yang keluar masih belum straight to the point.


Samirah berpaling memandang ke sisi.  Satu keluhan kecil dilepaskan.  Dia menelan liur.  Sudah banyak kali dia memberitahu dia hanya mahu berkawan.  Irsyad kata dia faham tapi soalan yang baru diajukan menunjukkan Irsyad tak faham.


“Samira.”


Samirah angkat muka.  Degupan jantung sudah jadi seperti baru habis berlari pecut 100 meter.  Tapi Irsyad pula nampak tenang.


“Saya sayang awak.  Awak tau tu kan?”    Irsyad memandang dengan penuh pengharapan.  Angguklah, atau jawablah ya, kata hatinya.  Tapi Samirah hanya diam dan kaku, merenung jauh ke dalam mata Irsyad dan pandangannya terus menusuk ke dasar hati Irsyad.


“Tell me Samira, do you have the same feeling towards me?”


“Ya, saya sayang awak juga.” Akhirnya terpaksa juga Samirah mengakui perasaan yang sudah terbit dalam hati.  Timbul pula rasa kasihan melihat Irsyad bersungguh-sungguh meluahkan perasaannya.  Irsyad menarik nafas kelegaan dan dalam hatinya melafazkan kesyukuran.


“Kalau macam tu, bolehkan saya jumpa papa awak malam ni?”


Dahi Samirah berkerut.  Dadanya kencang semula, teringat ayat Irsyad tadi yang mengatakan mahu membawa perhubungan mereka ke tahap yang lebih tinggi. 


“Kenapa awak nak jumpa papa?” soalan ditanya untuk mengesahkan andaian yang ada dalam hati.


“Saya nak beritau papa awak hati saya sudah terpaut pada anak gadisnya.  Saya ingin beritau saya betul-betul sayangkan awak dan saya nak melamar awak.”


Berderau darah Samirah.  Dia hanya mampu memandang Irsyad.  Itu pun sekejap, hanya untuk beberapa saat sebelum matanya direndahkan.  Dia tidak mampu menatap wajah Irsyad lebih lama kerana dia tidak sampai hati.  Irsyad pasti kecewa kalau Irsyad tau.  Tapi lebih baik dia kecewa sekarang, dari kecewa selepas diberikan harapan.


“Kita bertunang dulu.  Awak carilah mama awak.  Bila urusan awak dan mama awak dah selesai, kita kahwin.”  Irsyad menyambung kata.  Dia tau urusan mamanya adalah keutamaan Samirah sekarang.


Alangkah bagusnya kalau ia semudah yang Irsyad sangkakan.  Samirah dapat merasakan bukannya mudah laluan yang harus dilalui dalam usaha membawa mama pulang semula ke pangkuan keluarga. 


“Kita cari mama awak sama-sama.  Saya akan sokong usaha awak walaupun kita berjauhan.  Saya akan datang ke Penang untuk temankan awak bila-bila masa awak perlukan saya.”  Bersungguh-sungguh Irsyad menerangkan.  Dia nampak sangat optimis.  Samirah dihimpit rasa bersalah dan ada juga rasa curiga.  Dia tak yakin Irsyad mampu meluangkan masa untuk menemaninya.


“Irsyad…saya…” aduh bagaimana nak diluahkan.  Dia tak mau Irsyad kecil hati.


“Awak tak yakin dengan saya?  Saya serius Samira.  Saya sayang awak.”  Irsyad merayu.  Satu kotak kecil dikeluarkan dari sakunya dan digenggam kemas.


“Ini untuk awak.  Sebagai tanda saya betul-betul serius dalam perhubungan kita.”  Kotak dihulurkan kepada Samirah.  Matanya merenung wajah manis si gadis sambil hatinya berdoa agar Samirah menerima hadiah itu.  Samirah terkedu. 


Dengan teragak-agak Samirah menghulurkan tangan dan mengambil kotak kecil itu daripada Irsyad.  Matanya menangkap pandangan Irsyad sekilas sebelum kotak dibuka.  Sebentuk cincin platinum tidak berbatu duduk megah di tengah kotak, cantik bersinar dipanah cahaya lampu. Samirah sebak dan terharu.  Dia hanya mampu memandang kaku.


Irsyad menanti dengan penuh debaran.  Terlalu berdebar hinggakan peluh keluar di dahinya.  Sungguh dia tidak pernah mengalami debaran sebegini.  Dalam hatinya tidak henti-henti dia berdoa agar Samirah menerima lamarannya.  Please say yes, bisik hatinya.  Kalau dia nak kahwin terus pun aku sanggup, asalkan dia kekal buah hati aku.  Kalau sudah ada ikatan, biarpun berjauhan, tentu ada komitmen untuk terus menyayangi dan kekal setia.


Kotak cincin ditutup.  Buntang mata Irsyad memandang Samirah.  Dahinya berkerut.  Peluh semakin banyak keluar walaupun udara dalam Restoran L’Heritage terasa dingin. 


“Maafkan saya Irsyad.  Saya belum sedia untuk diikat.  Kita akan tetap berkawan.”  Kata Samirah penuh yakin.  Kotak kecil ditolak ke arah Irsyad.  Matanya mengerling ke atas.  Riak kecewa jelas terpamer di wajah Irsyad.  Maafkan saya, bisik hatinya. 


I don’t like long distance relationship.” Irsyad bertegas.  Jeda.  Baik Irsyad mahu pun Samirah melayan perasaan sendiri.


            “Berapa lama saya harus tunggu, sebelum awak bersedia untuk menerima lamaran saya?”


“Saya tak tau.”  Samirah menggelengkan kepalanya.


“Kalau macam tu, apa salahnya kita bertunang dulu?  Sekurang-kurangnya ada ikatan antara kita, bukan sekadar kawan.  Saya maukan awak lebih daripada saya maukan seorang kawan.  Apa yang saya rasa sekarang, tak pernah dicetuskan oleh mana-mana gadis.  Saya maukan apa yang saya rasa sekarang terus mekar dalam hati.”


Kalaulah meyakinkan Samirah semudah memberi arahan kepada kakitangannya, sudah tentu Irsyad tak perlu menegaskan dengan bersungguh-sungguh.  Tegang urat lehernya dan timbul garisan di dahinya.  Dia cuba sedaya upaya tak berbunyi seperti mendesak.


Samirah mula rimas.  Sepanjang dua bulan lebih mengenali Irsyad Rifqi, satu-satunya perkara yang dia kurang suka tentang Irsyad ialah dia suka mendesak.  Permintaannya kadang-kadang berbunyi macam arahan.  Bila dia merayu pun Samirah rasa bunyinya lebih kepada mengarah.  Orang dah biasa jadi bos memang macam ni agaknya, teka Samirah dalam hati.  Tapi di sebalik satu sikap itu, dia lelaki yang baik.


“Kalau awak ikhlas di mana pun saya berada, perasaan itu tetap akan mekar dalam hati awak.  Kalau sudah ditentukan awaklah jodoh saya, biar di mana pun kita, akan tetap bersatu.  Saya yakin dengan awak dan saya minta awak yakin juga dengan saya.”


Tegas, penuh keyakinan dan mata Irsyad ditenung dengan berani.  Ini hidupnya, dia mahu membuat keputusannya sendiri.  Walau dalam hati tersemat rasa sayang kepada Irsyad, Samirah tidak mahu larut dalam perasaan cinta yang baru berputik.  Cinta itu ada, tapi belum cukup untuk dia memilih Irsyad daripada mamanya. 


Irsyad membuang pandang ke sisi.  Meneguk liur dengan rasa terkilan.  Susahnya nak dapat Samira.  Hatinya mengeluh.  Mungkin ada hikmahnya  Qi. Mungkin kerana dia permata yang cantik berkilau, bukan kaca yang bergemerlapan hanya bila disimbah cahaya.  Tapi kerana dia permatalah aku mau mengikat dia.  Aku takut.  Gadis seperti Samirah mudah disukai.  Aku sendiri pun pantas menyukai dia, hanya selepas berbual dalam penerbangan.  Kalau dia di sini, papanya yang kuat mengongkong itu ada.  Jauh di Penang sana, siapa yang akan pantau dia?  Kalau dia dah jadi tunang aku, sekurang-kurangnya ada kesedaran dalam dirinya untuk menjaga batas pergaulan.  Cuba lagi Qi, jangan putus asa.  Irsyad terus berbicara dengan dirinya sendiri.


Samirah yang duduk dengan lengan berlipat di dada ditenung sekali lagi.  Nafasnya ditarik dalam-dalam untuk mendapatkan kekuatan untuk memujuk Samirah. 


“Samira, after we spent hours together in the plane, I can’t stop thinking about you.  I waited patiently for you to call, but you didn’t.  But the waiting was worth it, because you are here with me tonight.  I’ll wait for you, until you’re ready.   I hope and I pray that this wait will also be worth it.”


Entah kenapa bibir Irsyad lancar berbicara bila Bahasa Inggeris yang digunakan.  Di telinga Samirah suara Irsyad kedengaran seperti berbisik, tiada nada mengarah, juga tiada nada mendesak.  Matanya diangkat dan panahan mata Irsyad segera menangkap pandangannya.  Dua pasang mata bertaut, saling merenung.  Dada Irsyad berdegup laju, dada Samirah bagaikan dipalu.  Lidah Samirah kelu. 


“Cincin ini akan sentiasa berada dengan saya sebab… andai kata awak menukar fikiran, saya boleh terus datang kepada awak dengan cincin ini.  Ingat tak saya pernah kata saya harap satu hari nanti bila awak terima cincin dari seorang lelaki, lelaki itu adalah saya?”


Samirah mengangguk.  Jantungnya masih berdegup laju.


Promise me Samira, satu hari nanti awak akan terima cincin daripada saya.”


Mata Irsyad merenung tajam ke dalam mata Samirah.  Menanti dengan debaran apakah yang akan dijawab oleh Samirah.  Tentu dia sekali dia mahu Samirah menjawab sekurang-kurangnya dengan perkataan ‘ya’.  Atau kalau Samirah malu, jawab dengan anggukan pun sudah cukup melegakan hatinya.  Tapi Samirah hanya merenung ke arahnya.  Nafasnya bagaikan tersekat, dadanya terasa ketat dan peluh masih terbit di dahinya.  Jawablah Samira, jangan buat aku resah menunggu.


Akhirnya mata Samirah berkalih.  Memandang ke sisi Irsyad, melurut ke kotak cincin di atas meja, dan naik semula ke wajah Irsyad.  Nafas ditarik dalam-dalam dan dengan yakin dia berkata “bolehkah awak berjanji dulu, cincin itu awak tak akan berikan kepada orang lain?”


Irsyad Rifqi tersenyum.  Smart, as always, katanya dalam hati sebelum bibirnya berbicara “I bought it for you.  It’s meant only for you.  No other girl deserves this ring.”


Giliran Samirah pula tersenyum.  Suruh kita berjanji, dia sendiri pun tak berani.  Pandai mamat korporat ni menjawab dengan jawapan selamat.  OK, aku juga akan bagi jawapan selamat kepadamu.


OK, then we shall see… where the ring ends.  It could land on my finger, it could also land on someone else’s finger.  Saya rasa cukuplah saya yakin dengan awak… dan awak yakin dengan saya.  Saya tak perlukan janji awak sekarang.  Jadi awak pun tak perlukan janji saya.”


Irsyad menelan liur lagi, masih juga dengan rasa terkilan di hati.  Benarlah bukan mudah mendapatkan Samirah.  Kata daddy yang sukar didapati itulah yang kita mahukan sangat-sangat.  Kata mummy dia boleh meminta 150 orang kakitangannya menuruti arahannya, tapi belum tentu seorang gadis bernama Samirah akan memenuhi permintaannya.  Kata hatinya pula one day she will be mine.  I promise.

No comments:

Post a Comment