Bab
10 – Naim Zakaria
Comel. Itulah perkara pertama yang terlintas di
fikiranku bila menyedari gadis yang melanggar aku ialah Izureen. Rambut senget bengetnya telah dipotong
pendek, di bawah paras telinga.
Kelihatan sedikit kelelakian tetapi, oh dia sungguh comel dalam gaya
rambut begitu.
“Sorry”, tuturnya dan serentak itu jari-jarinya mendarat di rahang
sebelah kiriku. Berderau darahku dengan
sentuhannya. Satu rasa yang tidak ku
fahami menyelinap masuk ke pinggir hati.
Aku meneguk liur.
“Sakit?” Matanya yang
cantik merenung aku sekejap, kemudian beralih ke arah dagu. Jari-jarinya masih di situ.
Masih terpempan, aku
hanya mampu mengangguk. Tapi sebenarnya
tidaklah sakit sangat. Memandang ke
dahinya, terasa ingin menyentuh dahi yang bertembung dengan daguku, namun aku
hanya berdiri kaku. Tidak mungkin aku
melakukan itu, zaman bebas bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim telah
lama aku tinggalkan.
“Excuse me”, kata seorang pelanggan yang hendak mara ke kaunter
menyedarkan aku bahawa kami sedang menghalang laluan. Aku terus keluar dari kedai, dia mengikuti
dari belakang. Rupa-rupanya tiga pasang
mata di luar kedai memerhatikan perlakuan kami dengan penuh minat.
Dalam perjalanan
pulang, aku memandang ke cermin belakang.
Nampak jelas wajahnya. Dia duduk
di tengah, di antara mak dan Fina. Mata
seakan tidak mahu lekang dari wajahnya, namun perhatian harus diberikan kepada
jalan di hadapan.
“Reen, ni untuk
kamu. Pakai ya” kedengaran suara emak
memecah kebisuan. Abah di sebelahku
sudah lelap. Fina, serupa dengan
abah. Pantang duduk dalam kenderaan,
berat saja kelopak matanya.
“Apa ni Mak Jah?” suara
kehairanan meletus dari bibirnya.
“Telekung. Kan kamu kata kamu tak ada telekung. Mak segan, kamu pakai telekung lama Mak yang
dah lusuh tu”.
Jeda. Lama.
Aku menjeling ke cermin. Nampak
wajahnya keruh.
“Bukaklah” emak
menyuruh. Kedengaran bunyi plastik
dibuka.
“Cantik. Berapa harganya?”
“Ini Mak hadiahkan
kepada kamu”.
“Eh, susah-susah je Mak
Jah ni. Saya bayar balik ya”. Dia membuka dompet. Kebetulan lampu isyarat merah, dapat aku
menyaksikan segalanya.
“Jangan, Mak ikhlas
ni. Mudah-mudahan setiap kali kamu
bersolat pakai telekung ni, ada pahala untuk Mak”.
Ada air bergenang di
tubir matanya. Bunyi hon menyedarkan aku,
lantas pemanduan diteruskan.
“Terima kasih”. Aku jeling lagi. Nampak mak senyum sambil menggenggam tangan
Izureen.
*****
Perbualan telefon
dengan Haziq malam tadi masih berlegar di minda ini. Punggungku labuhkan di atas bangku. Mata tertancap pada anak sungai di bawah,
namun fikiran jauh menerawang. Kata
Haziq, Ratna datang berjumpanya. Kata
Haziq, Ratna bertanyakan di mana aku tinggal sekarang. Mujur Haziq tidak memaklumkan bahawa aku kini
sudah bermastautin di kampung halamanku.
Apa yang dia mahukan
dari aku? Apa pun yang telah terjadi,
hidup mesti diteruskan dan aku mahu hidup ini diteruskan tanpa dihimpit
kenangan silam. Setelah tiga tahun,
kenapa dia mencari aku? Adakah kerana
status solonya? Atau mungkin dia sekadar
mahu menjalin semula persahabatan denganku?
Aku tidak mahu lagi terlibat dengan perkara-perkara yang membabitkan
naluri cinta. Kini fokusku hanyalah kepada
perniagaanku. Aku bahagia dengan
kehidupan sekarang. Walaupun sibuk
mengendalikan tiga perniagaan dalam satu masa, aku lebih tenang. Aku miliki kelapangan masa untuk
beribadat. Tidak lagi terkejar-kejar
dari satu temujanji ke temujanji yang lain.
Tiada lagi makan malam, karaoke dan acara yang perlu dihadiri. Kini setiap malam aku berjemaah di surau
untuk Magrib dan Isyak. Tidak lagi
terbabas Subuh, malahan sentiasa bersama abah berjemaah di surau.
Sekali sekala, bila
diminta, aku hulurkan bantuan kepada Haziq.
Kini dia yang menguruskan sepenuhnya syarikat hiasan dalaman kami. 10 peratus dari saham yang aku miliki telah
aku jual kepadanya, menjadikan pegangan saham 60 peratus milik Haziq dan
bakinya milikku. Alhamdulilah, Haziq bukan sekadar rakan kongsi. Dia juga sahabat karib yang mengetahui segala
suka dukaku. Persahabatan yang kami
jalin sejak dari sekolah menengah masih kukuh hingga kini. Kebetulan kami meminati aliran yang
sama. Selepas tiga tahun makan gaji,
kami bergabung untuk menubuhkan Hazack Interior.
Bunyi derapan kaki
disulami gelak tawa mematikan lamunanku.
Fina dan Izureen datang menghampiriku.
“Oh kat sini Along
menyorok ya” Fina bercekak pinggang di hadapanku.
“Kenapa? Kan biasa Along lepak kat sini lepas
jogging”.
“Mak suruh cari, lama
sangat joggingnya. Tak nak sarapan ke?
Ni menung-menung kat sini kenapa, cari ilham apa ni?” Fina dah mula berleter.
Izureen sekadar
tersenyum.
“Ya lah, tengah cari
ilham. Baru nak dapat, kamu datang,
terus hilang ilham tu,” tiba-tiba timbul idea nak menyakat Fina.
“Ilham apa Long?” nada
suaranya menjadi serius, sudah termakan dengan ceritaku.
“Ilham tentang kamu
dengan Pejal lah” aku sengeh kepada adik bongsuku yang naïf ini.
“Apahal orang dengan
Pejal?” Fina membulatkan matanya.
“Ya lah, nak cari ilham
bila masa yang sesuai untuk kahwinkan kamu dengan Pejal”.
“Arrggghh!!! Along ni jahatlah. Kenakan orang ya!!!” kali ini dia mencubit lenganku.
“Adoi sakitlah!” aku
menjerit sambil bangun, hendak melarikan diri dari Fina sebelum cubitannya
beranak pinak di badanku.
Sambil berlari aku
ketawa sekuat hati. Seronok dapat menyakat Fina. Entah kenapa, dia amat tidak sukakan Pejal
sedangkan Pejal tu baik orangnya. Fina
mengejar aku dan akhirnya bila gagal menangkap aku, dia berhenti dengan
nafasnya tercungap-cungap.
“Aik, baru lari sikit
dah semput. Tulah, orang ajak jogging
tak nak. Asyik buat taik mata je. Macam ni punya malas pun si Pejal tu boleh
minat” aku menggiat Fina lagi.
“Eee, Along ni” Fina
kelihatan sudah bengang. Kedua belah
tangannya diletakkan di atas kepala.
“Orang nak
baliklah! Ni, ambil ilham ni, orang
tinggalkan untuk Along” dan dia berlalu sambil menunding jarinya ke arah
Izureen yang turut ketawa melihat gelagat kami.
Tawa kami berhenti serentak dan pandangan kami bertaut.
“Duduklah”, aku suakan
tangan ke arah bangku.
Tanpa sebarang kata dia
menurut. Aku berkalih dari situ,
membesarkan jarak antara kami. Duduk di
atas akar pokok yang jaraknya lebih kurang 3 meter dari bangku.
“Fina tu manja ya”
katanya sebaik duduk.
“Anak bongsu,
biasalah”.
“Dan awak, abang yang
nakal ya?”
“Taklah. Saya baik.
Tak percaya, tanya mak saya”.
“Tau. Mak awak dah cerita”. Jawapannya mengundang tanda tanya di mindaku.
“Apa yang mak
ceritakan?” aku mara setapak menghampirinya dengan rasa ingin tahu yang
menebal.
“Macam-macam tentang
awak. Mak awak kata awak nak sulong yang
sangat bertanggungjawab. Mak awak kata
awak rajin, kuat bekerja, cekal, dan penyayang”.
“Itu aje?”
“Ada lagi. Mak awak kata pada umur enam tahun awak dah
khatam Quran. Masa di sekolah menengah
awak pernah jadi ketua pengawas. Masa di
universiti awak dapat anugerah dekan 3 kali”
“Awak dah banyak tau
tentang saya tapi saya tak tau tentang awak”.
Riak wajahnya kembali
tenang. Dia senyum. Aduh, comelnya bila senyum.
“Ask me,” katanya, masih senyum.
“Boleh ke?”
Dia mengangguk.
“Tapi ada syarat!”
pantas dia bersuara sebelum aku mengeluarkan soalan.
“Setiap soalan yang awak tanyakan, awak juga
harus menjawabnya”.
“OK.
“Umur?” aku keluarkan
soalan pertamaku.
“26”
“31”
“Asal?” soalan kedua
pula.
“KL”
“Sini”
“Qualification?” soalan ku yang ketiga
“Eh, macam interview kerja pulak” katanya. Aku senyum.
“Perakaunan”
“Oh, sama dengan
Fina. Saya interior designing,”
“Hobi?” soalan
keempat. Dia diam, agak lama.
“Reading”
“Banyak. Membaca, melukis, panjat bukit, main bola”
“Favourite food?” soalan kelima.
Aku sendiri pun nak tergelak dengan soalan ni.
“Western food dan Japanese
food”. Typical city girl, bisikku di dalam hati, jarang yang suka makanan
kampung. Tapi aku tengok berselera
sahaja dia makan hidangan yang mak sediakan.
“Awak?” baru tersedar
aku belum menjawab soalan itu.
“Laksa, especially laksa Kuala Kangsar”.
“Music?” soalan keenam.
Agak-agaknya dia faham ke soalan dengan sepatah perkataan sahaja?
“Christina Peri, Yuna,
Anuar Zain”. Hmm, belum pernah aku jumpa
perempuan yang tidak suka Azuar Zain.
“M Nasir, Search,
Wings, Michael Bolton, Celine Dion, Jason Mraz, Sheila Majid, Sami Yusuf” habis
aku senaraikan penyanyi yang aku suka.
“Orang yang paling
dirindui?” soalan ketujuh.
“Papa” ringkas
jawapannya.
“No one at the moment”, jawapanku.
Betul, aku tidak merindui sesiapa pun.
“Orang yang paling
rapat dengan awak? soalan kelapan.
Jeda. Lama dia diam. Aku biarkan sahaja, sambil mataku merayap ke
seluruh wajahnya. Cuba mentafsir riak
wajahnya.
“Muaz,” akhirnya dia
bersuara. Aku dapat mengesan nada sedih
dalam suaranya. Siapa Muaz? Diakah penyebab kedukaannya, yang membawa
lara hati ke tempat ini? Rasa ingin tahu
bersarang di dalam hatiku. Namun ku
tahankan, belum masanya.
“Mak, abah, Haziq, Fina”
aku pula bersuara.
Aku diam,
berfikir. Apa lagi yang hendak ditanya,
sudah lapan soalan tapi belum dapat memberi petunjuk akan kehadirannya di sini.
“Papa awak kerja apa?”
akhirnya soalan kesembilan keluar.
“Dah meninggal.”
“Sorry” aku menghulurkan kata simpati.
“Its OK. Dah lama dah, masa saya berumur 16 tahun.”
“Abah saya kerja
kampung saja. Petani”
Dia senyum.
“Mama awak?” soalan
kesepuluh
“Business woman. Mama ambil
alih bisnes setelah papa meninggal”
“Oh, besar lagi pangkat
mak saya. Dia pegang banyak
jawatan. Minister of Home Affairs, Menteri Kewangan, General Manager, Guru KAFA, chef
dan lain-lain.”
Meledak ketawanya
sebaik mendengar jawapanku. Riak sedih di
wajahnya menghilang.
“Boleh tak kalau saya
pulak tanya soalan?” soalnya bila ketawanya habis.
“Silakan. Tapi syaratnya sama. Setiap soalan awak juga mesti beri jawapan”.
“Kenapa awak belum berkahwin?” terkedu aku mendengar soalan yang tidak dijangka.
“Belum ada jodoh”,
jawapan klise yang paling selamat.
“Tapi mak awak kata
awak ada ramai girlfriend”.
“Itu dulu. Sekarang tak ada seorang pun.”
“Dalam ramai-ramai tu,
takkan tak ada seorang pun yang sesuai?”
Bukankah aku yang mahu mengorek
rahsianya, tapi sekarang dia pula yang mengorek rahsiaku. Tidak mengapa, aku ikutkan saja. Let’s
see how far this will take us.
“Bukan semua girlfriend sesuai menjadi isteri. Bila saya dah jumpa yang sesuai, saya akan
kahwin. Walaupun dia bukan girlfriend saya, kalau dah jodoh dia
akan menjadi isteri saya. Bercinta
bertahun-tahun, kalau bukan itu yang Allah takdirkan, tetap tak akan menjadi
isteri.”
Kami sama-sama
diam.
“Pernah atau sedang
bercinta?” bila diam tidak berkutik, aku ajukan soalan itu.
Dia memandang tepat ke
mataku, dan seketika kemudian mengalih pandangannya. Melihat ke arah sungai di bawah.
Dan kemudian, dengan
suara yang perlahan, dia berkata “pernah dan masih mencintai, tetapi tidak
dicintai”.
Bunyinya seperti orang
yang cintanya tidak berbalas.
“Your turn”, dan dia berpaling ke arahku.
“Cinta saya telah
dikhianati” akhirnya aku luahkan.
“Berapa lama awak
bersedih?” dia menyoal. Mata kami
bertaut lagi. Sekejap, sebelum aku
pandang semula ke arah sungai.
“Lama. Sampai sekarang bila teringat kecurangannya,
hati saya sakit. Tapi hidup mesti
diteruskan. Saya tidak boleh kalah
dengan kekecewaan. Tiada siapa yang
boleh meragut kebahagiaan saya, melainkan Allah.”
Senyap. Kami sama-sama melayan perasaan. Terasa ringan di dada sebaik aku luahkan ayat
tadi.
“Saya fikir dia
cintakan saya, rupa-rupanya dia sekadar menganggap saya sebagai seorang
kawan. Tak lebih daripada itu”.
Bingo! Rasa-rasanya aku sudah mendapat jawapan
kenapa dia berada di sini.
“Kenapa tidak diluahkan
perasaan kepadanya?” aku mengumpan, dengan harapan mendapat lebih banyak
maklumat.
“Dah terlewat. Dia sudah menjadi tunangan orang”.
Ya, betul
tekaanku. Dia ke sini kerana masalah
percintaan.
“Sabarlah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bukan semua yang kita hendak, kita akan dapat. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk
kita. Kalau kita tak dapat apa yang kita
suka, kita belajarlah menyukai apa yang kita dapat”, nasihat yang pernah Abah
berikan kepadaku dahulu, kini aku sampaikan kepadanya.
Dia memandangku
lagi. Mata kami bertaut. Ada getaran yang aneh di dalam hatiku. Aku ubah pandangan, tidak mahu larut dalam
renungannya. Terdetik di hati kenapa
pula perbualan yang bermula dengan ceria, harus bertukar moodnya menjadi sayu.
“Next question?”
Dia menggelengkan
kepala. Nampak masih sayu. Aku mula berfikir, mahu menjernihkan suasana.
“OK, next question. Apa ciri-ciri lelaki idaman awak?” entah dari
mana aku mendapat idea untuk bertanyakan soalan ini.
“Susahlah soalan
ni. Kalau tak nak jawab, boleh tak?”
“Tak susahlah. Jawapannya tentu ada dalam hati awak. Takkan awak tak tahu orang macam mana yang
awak suka? Kalau tak nak jawab, tak
apalah. Tapi kalau tak jawab, awak tak
akan tahu ciri-ciri wanita idaman saya,” aku cuba mengumpan.
“Ok, saya suka lelaki
yang bertanggungjawab. Tegas. Protective,
but not over protective. Jujur. Sopan.
Rajin bekerja. Hormat kepada
semua orang.. Tidak merokok. Lebih tinggi daripada saya…. dan….. tidak terlalu
cerah. Boleh membimbing saya”.
Banyaknya kriteria,
bisikku dalam hati.
“Your turn” dia mengingatkan.
“Wanita idaman saya
ialah…. wanita yang cintanya seperti mak saya”
“Hah?
Macam mana tu?” dia kelihatan naïf dan comel ketika menanyakan soalan
itu.
“Cinta mak pada abah,
sangat ikhlas. Mak sanggup bersusah
payah dengan abah. Mak tak pernah
merungut. Terima abah seadanya. Pendamping abah yang setia. Pernah sekali abah tanya apa hadiah yang mak
mahukan untuk hari lahirnya. Mak jawab,
dia hanyakan mahukan cinta abah. Kerana
bagi mak, cinta abah adalah segala-galanya dan cinta abah adalah hadiah terbaik
untuknya”.
Kami sama-sama terdiam
selepas itu. Lama. Kemesraan abah dan emak terbayang
dimata. Kasih sayang yang masih utuh di
antara mereka menjadi inspirasi kepadaku dalam mencari kebahagiaanku
sendiri. Mampukah aku mengecapi bahagia,
seperti kedua orang tuaku?
“InsyaAllah, satu hari
nanti awak akan dapat cinta sejati awak,” akhirnya dia bersuara, memecahkan
kebisuan di antara kami. Izureen berdiri
dan mahu melangkah pergi.
“Izureen,” panggilku,
mematikan langkahnya. Aku mendekatinya.
“Ya?”
“Fesyen rambut ni sesuai dengan awak. You
look very cute.”
Izureen senyum. Manis!
Dan berlalu pergi. Satu perasaan
aneh menyelinap di tangkai hati.
Perasaan yang sudah lama tidak aku rasakan.
laaaaa kat sini ke sambungan nyeee ? heheeee tercarik2 saya mana bab2 seterusnya lepas bab 3 :D heheheeee
ReplyDeleteOh you found it! Selamat membaca ya. Pls, pls, pls give me your comment. Ini percubaan pertama saya menulis novel, pasti banyak kekurangan.
ReplyDeleteSalam,
ReplyDeleteSaya baru sampai ke blog ini dan sangat suka novel ini. Tak boleh berhenti membacanya...syabas ^_^
Walaikumussalam Kniedaz.
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi singgah. Selamat membaca, semoga terhibur menyelami kisah Izureen, Naim dan Muaz. Ada beberapa bahagian terhasil dari kisah sendiri. Ada juga dari kisah kenalan. Harap boleh beri komen untuk pembaikan di masa hadapan.