Assalam, jemput baca Bab 10. Semoga terhibur. Bagi komen ya.
Pintu bilik Datin
sentiasa terbuka, sedangkan pintu bilik Bos 1B3K pula sentiasa tertutup. Bilik mereka sebelah menyebelah. Di luar bilik Datin ada meja kerja Naani dan
di belakang Naani tempat Razia, pentadbir pejabat yang membantu Naani. Sekarang Razia kena bantu aku. Tiba-tiba terlintas di fikiran kenapa Datin
suruh aku duduk di luar bilik Bos 1B3K dan bukan di tempat Naani? Belum sempat berfikir lama, Datin sudah
panggil aku masuk ke biliknya.
“Macam
mana mesyuarat dengan wakil syarikat interior
tu?” Datin menyoal sebaik saja aku duduk
di hadapannya.
Aku
ceritakan apa yang terjadi pada hari Sabtu.
Tapi tentulah aku tidak ceritakan perihal Bos 1B3K yang menggatal dengan
Cik Priya dan Cik Azira. Aku hanya
melaporkan apa yang setiap wakil bentangkan dan bincangkan bersama Bos 1B3K.
“Sepatutnya
Suleyman masuk mesyuarat tu dan selepas jumpa dengan mereka dia kena buat
kertas cadangan untuk kelulusan saya dan Rifqi.
Dia sepatutnya senaraikan kelebihan dan kekurangan ketiga-tiga syarikat
dan justifikasi kenapa dia cadangkan syarikat yang dipilih. Rifqi ni, bukan dia tak tau prosedur. Kenapa dia buat macam itu?” Datin mengomel. Aku tadah telinga saja. Agaknya inilah yang Naani katakan, emak dan
anak ada konfik dia jadi mangsa.
“Jumlah
yang kita nak belanjakan ni besar, kita tak boleh terburu-buru pilih vendor dan kita kena buat ikut prosedur
yang betul. Sebab itu saya nak bawa
mereka ke Kuala Selangor dan tengok resort
supaya mereka dapat beri anggaran harga yang paling hampir tepat.”
Datin
mengetuk-ngetuk pen di mejanya. Dia
kelihatan seperti sedang berfikir.
“Hai, kenapalah Rifqi ni suka buat ikut kepala
dia sendiri. Kalau ikut rancangan asal
pun mesyuarat tu sepatutnya pukul sebelas pagi ni kan?”
“Ya, tapi saya dah maklumkan kepada Encik
Suleyman, Ms Tan dan Encik Razali mesyuarat dibatalkan.”
Datin
menyandarkan tubuhnya di kerusi.
Kemudian dia menggosok dahinya beberapa kali. “Rifqi belum masuk?”
“Belum.”
Datin
melepaskan keluhan. “Apalah saya nak
buat dengan Rifqi? Dulu dia sayangkan
syarikat ni. Sekarang dia ada tapi macam
tak ada. Semua urusan dia buat tak
endah. Tengoklah ni, dah pukul sepuluh
belum masuk lagi. Dulu pukul lapan dia
sudah mula kerja.”
Aku diam saja. Hendak bersuara tidak tahu apa yang patut aku
katakan.
“Malam tadi dia tak balik. Entah ke manalah dia pergi, dengan siapa dia
keluar?”
Aku
rasa ayat Datin itu pelik. Bunyinya
macam Bos 1B3K tidak ada kawan.
“Saya harap dia tak minum. Dahlah tak mau solat sekarang ni. Dulu Rifqi anak yang patuh. Sekarang…”
Ayat Datin putus di situ. Aku
rasa sangat-sangat kasihan kepadanya.
Kalaulah aku boleh tolong, aku tidak teragak-agak untuk berikan
bantuan. Tiba-tiba aku teringatkan emak
di kampung.
“Datin, doalah banyak-banyak. Doa seorang ibu yang kesedihan pasti
didengari oleh Allah. Datin pilihlah
waktu mustajab untuk berdoa.”
Datin
Nuridah toleh kepala ke arah aku. Dia
pandang aku lama. Entah apalah yang
bermain di fikirannya. Datin tegakkan
badannya. Diari di meja sisinya
dicapai.
“Beritahu Suleyman, Tan dan Razali
saya nak jumpa mereka dalam masa setengah jam dari sekarang. Buat salinan sebutharga yang kita dah
dapat. Kalau Rifqi dah masuk suruh dia
jumpa saya.”
Aku
mengangguk dan bersedia untuk bangun.
“Nanti sekejap. Saya nak minta maaf pasal semalam. Rifqi dah menyusahkan Fina, menggangu hari
libur kamu. Sebagai ganti, kamu ambillah
off satu hari, bila-bila yang kamu
suka.”
Aku
mengangguk. Sebenarnya aku tidak kisah
pun kalau tidak diberi cuti gantian untuk semalam. Sebabnya aku tetap dapat tengok final Piala
Thomas, walaupun tidak sampai habis.
Tapi aku dapat keseronokan yang lain pula. Dapat menemankan Dato’ Ibrahim mengambil
angin di taman mini rumah Datin.
“Terima
kasih sebab datang rumah saya semalam. Dato’
suka Fina.”
Leganya
hati bila dengar ucapan terima kasih Datin.
Sebenarnya semalam ada masa-masanya aku tidak faham apa yang Dato’
Ibrahim cakap kerana pertuturannya belum pulih 100%. Jadi untuk mengelakkan dia bertanya, aku
bercerita. Aku ceritakan tentang zaman
belajar di Australia. Rupa-rupanya Dato’
Ibrahim pun akauntan dan belajar di Australia dulu.
Pukul dua petang
baru dia masuk. Masuk dengan muka
selamba, tanpa ada rasa bersalah langsung.
Elok saja dia melangkah, maknanya kaki dia tidak cedera. Dia masuk terus ke biliknya tanpa memandang
aku langsung. Tak kisah pun dia tak
pandang aku. Tapi bila banyak perkara
yang perlu dibereskan jadi tertangguh, aku kisah.
Dokumen
yang perlu diluluskan sudah dua belas inci tingginya. Datin tidak akan tandatangan dokumen-dokumen
ni selagi Bos 1B3K belum tandatangan.
Aku sudah rimas melihat Kak Razia menjawab panggilan telefon daripada
setiausaha dan kakitangan jabatan lain yang bertanyakan bilakah dokumen mereka
akan ditandatangani. Aku masuk ke bilik
Bos 1B3K.
“Bos, tolong sign semua dokumen tu. Dah
ramai yang telefon hari ni bertanya bila bos akan sign dokumen mereka.”
“Nanti aku sign.”
“Tak boleh nanti. Bos kena sign
hari ni juga. Ini dah tertangguh sejak
hari Khamis lepas. Dia orang dah tanya
bila bos nak bagi approval. Lagi satu, Datin nak jumpa bos. Datin marah sebab bos masuk lambat hari
ni. Setahu saya bos tak ada apa-apa appointment pagi ni. Kenapa bos tak masuk pagi tadi?”
Dengan dahi yang dikerutkan dan
renungan tajam, Bos 1B3K pandang aku.
“Hei, ini syarikat aku, suka hati akulah bila aku nak sign document, pukul berapa aku nak
masuk. Kau buat kerja kau, jangan sibuk
hal aku.” Suara dia sudah tinggi. Muka dia cemberut.
“Dah
tau syarikat bos, kenapa tak buat kerja elok-elok? Kenapa tak jaga syarikat ni dengan baik? Bos tak takut ke bisnes syarikat ni terjejas
disebabkan sikap tak ambil peduli bos ni?
Datin suruh bos balik untuk tolong dia uruskan syarikat, bukannya balik
untuk berpoya-poya. Bos tak kesian ke
dengan emak bos?”
Aku
main redah saja dengan soalan-soalan tu sebab aku sudah bengang sangat-sangat
dengan dia.
Bos
1B3K bangun. Dengan wajah bengis dan
dadanya berombak dia menengking aku “shut
up! Jangan campur urusan peribadi
aku. Dan ingat sikit aku ni bos
engkau. Kalau kau tak sedar diri…
berlagak macam syarikat ni bapak kau yang punya… tunggulah. Aku akan buat kau susah.”
“Qi!” Bos 1B3K memandang belakang aku. Aku pun menoleh juga. Datin sedang berdiri di jenang pintu dengan
wajah yang kelam. Datin datang
menghampiri kami dan berdiri di sebelah aku.
“Mummy, I don’t want her in my office!
Dia ni kurang ajar, bercakap dengan Qi macam dia bos besar di sini. Apa kuasa yang mummy bagi dekat dia?” Bos
1B3K bercakap dengan suara yang tinggi kepada Datin.
“Duduk
Qi!” Datin pula menengking bos. Bos akur dengan suruhan emaknya.
“Fina,
tolong keluar dan tutup pintu.” Aku buat
seperti yang Datin arahkan. Pertama kali
sejak aku bekerja di sini Datin bercakap dengan nada garang kepadaku.
Entah
apalah yang mereka dua beranak bincangkan selepas aku keluar. Mereka bercakap dengan suara yang
perlahan. Terkejut juga kerana Bos 1B3K
biasanya bukan peduli yang di depannya itu emaknya, agak-agak rasa hendak
jerit, dia jerit saja.
“Fina,
beraninya awak.” Kak Razia bersuara bila
aku kembali ke meja kerjaku.
“Terpaksa
Kak. Fina tak tahan dengan perangai
dia. Akak tau tak hari Sabtu lepas Fina
kena kerja? Sampai petang pulak tu.”
“Ya
ke? Kesian kamu.”
“Lepas
tu Kak, hari Ahad dia suruh saya datang rumah Datin. Katanya ada kerja dia nak bereskan. Terkocoh-kocoh saya pergi, rupa-rupanya dia
sengaja nak sabotaj plan saya nak
tengok final Thomas Cup.” Semakin
bersemangat aku bercerita dan Kak Razia nampaknya semakin seronok mendengar.
“Ya
ke? Kesian Fina. Habis tu, tak dapatlah kamu tengok Thomas
Cup?”
“Dapat. Fina minta izin Datin untuk tengok di rumah
dia. Kebetulan Dato’ pun nak tengok jadi
Datin minta Fina temankan Dato’. Anak
sulung Datin, suami dan anak-anak dia pun tengok sekali. Meriah.”
Aku
senyum. Sudah dua kali Bos 1B3K cuba
kacau aku, dan dua kali juga dia kalah.
Aku akan pastikan dalam masa sebulan ini dia tidak dapat kacau aku. Jangan ingat aku perempuan dan aku kakitangan
bawahan, dia boleh buli aku.
Pintu
bilik Bos 1B3K terbuka. Datin keluar dan
mengarahkan aku masuk ke biliknya. Bila
aku masuk Datin suruh tutup pintu. Aku
akur juga walaupun rasa pelik sebab setahu aku Datin suka pintu biliknya
dibiarkan terbuka.
“Apa
yang berlaku tadi, sampai kamu dan Rifqi sama-sama meninggikan suara?” Aku ceritakan apa yang berlaku kepada
Datin. Wajah Datin tenang saja ketika
aku bercerita.
“Rifqi
kata kamu biadap. Betul?”
“Maafkan
saya Datin, mungkin tadi saya terlebih emosi sampai tak sedar saya tinggikan
suara kepada Encik Rifqi.”
“Fina,
walaupun saya benarkan Fina lawan cakap Rifqi itu tak bermakna Fina boleh cakap
sesuka hati. Saya izinkan Fina lawan dia
kalau dia melampau, bukannya sentiasa saja melawan cakap dia.”
‘Tapi
Datin dia memang melampau. Masuk lambat
lepas tu tak nak sign dokumen yang
dah bertimbun-timbun. Satu hari Kak
Razia jadi telefonis jawab panggilan pasal dokumen yang dia masih belum sign.’ Alangkah bagusnya kalau aku boleh
jawab macam tu. Alkisah sebenarnya aku
diam saja.
“Rifqi
janji akan sign semua dokumen sampai
habis petang ni juga. Macam mana kamu
nak jaga dia kalau baru tiga hari kerja dengan dia asyik bergaduh saja. Cuba buat macam Azwan, jangan melawan.”
Inilah pertama kali aku dengar ada
nada marah dalam suara Datin. Aku
mengangguk. Hendak kata apa lagi. Aku sendiri yang setuju jadi pembantu
peribadi si kerek tu, terima sajalah.
Tak apalah Fina, sebulan saja.
Aku pujuk diri aku.
Aku
keluar dari bilik Datin dan ketika berjalan keluar, aku teringat azam aku nak buat
dia suka perempuan yang pakai tudung. Nampak
gayanya dengan perbalahan kami tadi, dia akan semakin tidak suka dengan
perempuan bertudung. Sekarang pun dia
sudah generalisekan perempuan pakai tudung macam-macam, selepas bertekak dengan
aku sebentar tadi tentu dia akan fikir yang lebih teruk tentang perempuan
berhijab.
Aku
tarik nafas dalam-dalam sambil melabuhkan punggung di atas kerusi. Aku sedar ketika kemarahan sedang memuncak,
sebaik-baiknya aku bersabar. Memarahi
Bos 1B3K tadi tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menimbulkan masalah lain
pula. Tak apalah, aku ni kakitangan
bawahan saja. Biarlah aku mengalah. Mengalah bukan bererti aku kalah.
Aku
telefon pantry dan minta Kak Biah
buatkan satu mug kopi. Kopi itu
kemudiannya aku bawa masuk ke bilik Bos 1B3K.
Macam biasa ketuk dulu sebelum buka pintu. Hati terasa lega bila mata aku menangkap dia
sedang meneliti sekeping baucer bayaran.
Beberapa baucer sudah diletakkan di sebelah kanan, bermakna dia sudah
mula menandatangani dokumen. Tapi masih
ada banyak lagi yang perlu ditandatangani.
Alamak, pukul berapa nak habis ni?
“Nak
apa?” Bos 1B3K bertanya dengan suara
yang mendatar. Agaknya dia sudah tidak
marah.
“Saja
nak tengok bos.” Aku pun tidak tahu
kenapa itu yang terkeluar dari mulut. Sebenarnya
aku hendak minta maaf tapi lain pula yang keluar.
Aku
mara ke mejanya dan letakkan mug berisi kopi panas di hadapannya. Dia tunduk memandang kertas dan kemudian
menurunkan tandatangannya di atas cadangan menderma ke persatuan pengusaha
hotel yang disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat.
“Maaf
bos, saya nak tanya banyak lagi ke?”
Bos
1B3K panggung kepala dan pandang tepat ke mata aku.
“Yang ini semua belum sign. Aku akan siapkan malam
ini. Kau tak boleh balik selagi aku
belum habis sign semua ni.”
Biar betul!
Yang dia sudah semak dan tandatangan tidak sampai satu inci. Berapa lama aku kena tunggu? Sabar Fina, sabar. Tunjuk kat dia perempuan pakai tudung boleh
bersikap professional, tak marah-marah sampai tinggikan suara. Be
professional okey. Hati aku
mengingatkan.
“Saya nak ingatkan bos, pukul tujuh
nanti makan malam dengan Dato’ dan Datin.”
Dia tidak menjawab. Matanya masih memandang dokumen sambil
tangannya sibuk menulis. Entah apa yang
dia komen. Jawabnya Bahagian Promosi
kena buat semula kertas cadangan sebab aku tengok banyak yang dia conteng. Kemudian dia ambil dokumen berikutnya. Aku angkat kaki, keluar dari bilik dia. Baru jalan lima langkah dia panggil nama aku.
“Pukul enam ikut aku balik. Lepas makan kita datang sini semula. Kau kena duduk di pejabat sampai aku habis sign semua dokumen ni. Kau yang kata tadi mesti sign semua hari ni kan?”
Habis saja bercakap dia tunduk
semula. Aku sudah angin. Kenapa pula aku kena ikut dia balik
makan? Ini mesti kes nak mengenakan aku
lagi. Tak apa, kita tunggu dah lihat. Kalau dia berani kenakan aku macam semalam
dan kelmarin, siaplah dia. Dia tak tau,
Datin dan Dato’ sukakan aku.
No comments:
Post a Comment