Assalam. Jemput baca Bab 6. Semoga terhibur.
BAB 6
Ketika aku parkir
motorsikal Maxsym 400i berwarna kelabu, kereta Mini Cooper S Coupe Bos 1B3K
sudah terparkir. Kegilaan apakah yang
melanda dia ni, tiba-tiba rajin bekerja?
Selama ini tiap-tiap hari datang lambat, tiba-tiba di hari Sabtu yang
sepatutnya hari rehat dia datang pukul sembilan pagi.
Dia
kata mesti datang dalam masa setengah jam.
Aku sudah terlewat sepuluh minit.
Mana tak lewat, lepas dia telefon tadi aku naik atas dan tukar
pakaian. Asalnya aku sudah pakai jeans
dan t shirt lengan panjang. Memang
sesuailah untuk kerja-kerja mengeluarkan barang-barang Naani dan Thia dari
kotak. Dan sesuai juga untuk dipakai
petang dan malam ini. Bila Bos kata dia
ada mesyuarat, terpaksalah aku tukar kepada pakaian yang lebih sesuai kerana
jeans dan t shirt asal terlalu kasual.
Tukar
baju bermakna kenalah menggosok dulu sebab pakaian pejabat yang sudah digosok
cukup-cukup untuk lima hari. Hendak
minta Mak Mah tolong gosokkan, tidak tergamak sebab dia bukan pembantu rumah
aku. Sebagai orang yang menumpang di
rumah mama, aku rasa tidak wajar menggunakan khidmat Mak Mah seolah-olah aku
ini anak mama sedangkan aku hanya adik kepada menantu mama.
Selepas
tukar baju aku call Naani. Bagi tahu dia aku mungkin tidak dapat datang
ke rumah baru dia. Kalau si bengkeng
benarkan aku balik cepat, aku akan terus pergi ke rumah Naani. Naani pun hairan kenapa dia suruh aku datang
ke pejabat. Sesuatu yang tidak pernah
berlaku sebelum ini.
Pintu
bilik dia tertutup ketika aku sampai.
Aku letak helmet di atas kabinet fail, tarik nafas dalam-dalam dan pergi
ketuk pintu bilik dia. Dengar dia suruh
masuk baru aku buka pintu. Dia sedang
duduk atas sofa sambil membaca. Dia
pakai t shirt berkolar dan seluar bermuda.
Tak berkenan aku tengok seluar bermuda dia yang ternaik sikit bila dia
duduk. Kalau dia berdiri aku rasa seluar
tu paras lutut dia saja.
“Pukul
berapa sekarang?” Dia tanya dengan suara
garang selepas aku beri salam.
“Maaf
bos, saya terpaksa uruskan hal rumah sebelum datang.”
“Kenapa? Kau kena masak untuk anak-anak dulu?”
“Saya
belum kahwin.”
“Aku
dah agak dah. Muka macam kau ni mana ada
orang nak. Aku tengok pun menyampah.”
Kurang
asam, dia kutuk muka aku! Setahu aku
belum pernah orang kata aku tidak lawa.
Orang puji aku cantik adalah.
Cuma ramai yang kata walaupun aku cantik, aku tidak pandai bergaya. Tiap-tiap hari pakai seluar dan blaus
saja. Tudung pula tidak pernah lain
daripada tudung Syria. Tapi itulah yang
paling selesa dan sesuai. Tak kenalah
pakai kebaya bagai kalau naik skuter. Kalau
aku pakai tudung yang ada awning atau
shawl yang kena lilit bagai, susah
nak pakai helmet.
Aku
jeling si bengkeng. Dia buat muka
selamba. Puas hati agaknya dapat kutuk
aku. Tapi aku tidak puas hati kalau
tidak balas.
“Saya
tau saya tak cantik, tapi bos tak payahlah kutuk. Orang kata kalau Allah nak balikkan, benda
yang kita benci boleh bertukar jadi benda yang kita suka. Kalau hati bos bertukar, setakat suka kat
saya okey lagi. Tapi kalau ditakdirkan
bos jatuh cinta dengan saya macam mana?
Sanggup ke tarik balik kata-kata bos tadi?”
Dia
bagi aku senyuman sinis. Itulah senyuman
paling sinis yang pernah aku lihat.
Lepas tu dia kata “selagi otak aku waras, aku takkan jatuh cintalah
dengan kau. Aku tak suka perempuan pakai
tudung. Perempuan pakai tudung ni,
nampak saja baik tapi sebenarnya jahat.
Hipokrit.”
Menyirap
darah aku bila dia kutuk orang perempuan yang pakai tudung. Patutlah hari tu suruh aku datang kerja
jangan pakai tudung. Oh, tak suka
perempuan yang pakai tudung ya? Baik,
aku akan buat dia suka perempuan yang pakai tudung. Macam mana aku nak buat, nanti aku fikirlah.
“Buatkan
aku kopi. Aku belum sarapan lagi.”
“Kopi
tak ada bos. Kak Biah tak kerja hari ni.” Dia ingat aku tea lady ke?
“Kalau
dia tak ada kau buatlah.”
“Saya tak pandai buat kopi. Kalau bos nak jugak saya boleh buatkan, tapi
jangan salahkan saya kalau kopi tu rasa kicap.”
Bos 1B3K berdiri. Dia masukkan kedua-dua tangan dalam kocek dan
pandang aku dengan mata yang tajam. Tak
takut pun. Tapi aku malas nak balas
renungan dia jadi aku rendahkan pandangan.
Terpandang lutut dia. Betullah
seluar bermuda dia labuhnya tepat-tepat atas lutut. Dia ni jahil betullah. Tak tahu ke batas aurat untuk orang lelaki?
Rasa
tidak selesa pula bila dia renung aku lama-lama macam tu. Aku berpaling, hendak keluar dari bilik
dia. Dia pun tidak menegah. Sampai di meja kerja aku, aku keluarkan tiga
fail nipis yang sudah berisi dengan sebutharga yang aku semak semalam. Ketika hendak hantar fail itu ke dalam,
tiba-tiba aku rasa kasihan bila mengenangkan dia belum sarapan. Macam mana hendak kerja kalau perut kosong?
Aku
angkat ganggang telefon. Nombor Restoran
Ketumbar di seberang jalan yang sudah melekat dalam ingatan aku dail. Aku pesan sebungkus air kopi dan sepinggan
nasi lemak. Kata Ani pekerja restoran
yang sudah biasa dengan aku, ada lauk rendang paru dan sambal sotong. Aku pilih rendang paru. Selepas itu aku masuk dan hulurkan fail
kepada Bos 1B3K.
“Kenapa
bos tukar meeting ke hari ni?”
“Sebab
aku dah suruh batalkan meeting pada
hari Isnin, kau tak nak.”
“Tapi
bos hari ini semua orang tak kerja.
Takkan bos seorang jumpa dengan wakil syarikat tu? Dia orang pun tak kerja hari ni. Bos menyusahkan dia orang tau, suruh dia
orang datang hari cuti.”
Aku
luahkan rasa tidak puas hati. Sebenarnya
aku tidak peduli pun bila dia nak bermesyuarat.
Kalau dia suka hari Ahad pun aku boleh aturkan mesyuarat pada hari
Ahad. Tapi aku geram sebab kena datang
kerja hari ini. Kalau bagi tau awal-awal
tak apa juga. Harap-harap aku kena kerja
sekejap saja.
“Firstly, aku tak ada masalah jumpa wakil
syarikat hiasan dalaman seorang diri.
Ini syarikat aku, suka hati akulah.
Secondly, mereka tu pemberi
perkhidmatan, kita bayar mereka. Kalau
mereka nak bisnes dengan kita, mereka kena ikut cakap kita. Kalau datang berbincang masa hari cuti pun
tak sanggup, jangan harap aku nak bagi bisnes.”
Okey,
aku setuju dengan alasan dia. Walaupun
hati aku sakit sebab kena kerja hari Sabtu.
Bukannya aku tidak biasa bekerja pada hari Sabtu. Masa kerja dengan mama dulu pun selalu juga
aku ikut mama ke pejabat pada hari Sabtu.
“Saya bukan berkira pasal kerja bos, tapi
sebenarnya hari ni saya sudah ada program.”
Aku terangkan kerana tidak mahu dia anggap aku pemalas dan berkira soal
kerja.
Bos
1B3K senyum. Sepatutnya aku suka sebab sejak dua hari lepas boleh bilang dengan
jari berapa kali dia senyum. Pada kebanyakan masa muka dia muram. Ada masanya muka dia bengis. Tapi hati aku sakit tengok senyuman dia sebab
dia buat senyuman mengejek. Aku keluar
dari bilik dia. Hidupkan komputer. Sementara menunggu Cik Priya Kumar daripada
Syarikat Anjung Décor sampai, aku hendak buat kerja sikit.
Baru
hendak tekan papan kekunci, Lan pekerja Restoran Ketumbar sampai. Aku bayar harga makanan dan pergi ke pantri. Kopi aku tuangkan dalam mug. Aku ambil juga sebiji pinggan, sudu dan
garpu.
“Saya
belikan bos sarapan.” Kataku sambil
membawa beg plastik berisi bekas polisterina, pinggan, sudu-garpu dan mug yang
penuh kopi. Aku letakkan di atas meja
bulat yang terletak di tengah bilik dia.
Aku terus keluar. Malas nak
tengok muka dia. Rasa sakit hati sebab
dia sudah ganggu program aku hari ni masih belum hilang.
Lima
minit sebelum pukul sepuluh Cik Priya Kumar sampai. Aku
masuk ke bilik Bos 1B3K untuk beritahu.
Dia suruh aku masuk sekali dalam mesyuarat. Masa hendak keluar aku bawa sekali pinggan,
bekas polisterina, mug dan sudu-garpu. Licin
semuanya! Laparlah tu.
Masa
mesyuarat, aku tengok Bos 1B3K ni tersengeh-sengeh pandang Priya. Memang Priya tu cantik. Kening dia lebat, hidung dia mancung, rambut
dia panjang dan hitam pekat. Aku suka
cara dia bagi penerangan. Jelas dan terperinci. Dia jelaskan satu persatu bahan-bahan yang
digunakan untuk perabot yang syarikat dia bekalkan. Dia juga boleh terangkan justifikasi
penggunaan bahan, saiz dan tempat letak.
Contohnya kenapa gunakan kerusi fabrik dan bukan kulit, kenapa cermin
digantung di sebelah pintu dan kenapa pilih terendak lampu yang lonjong. Aku puas hati dengan penerangan Priya. Tinggal lagi harga yang dia bagi itu aku
tidak pasti adakah berpatutan. Kalau
diikutkan di antara ketiga-tiga sebutharga, harga dia yang paling tinggi.
Dekat
sejam juga mesyuarat kami dengan Priya.
Bos senyum meleret kepada Priya.
Belum pernah aku tengok dia senyum macam itu. Ketika bersalam dengan Priya aku tengok dia
macam berat hendak lepaskan tangan.
Gatalnya!
Wakil
syarikat Kelap Kelip Hias muda orangnya.
Aku rasa kalau tidak baya-baya aku, mungkin muda setahun atau dua tahun
daripada aku. Cantik juga. Nama pun sedap, Ili Natasya. Tapi bila dia buka mulut, hancus.
Boleh nampak keyakinan diri dia kurang dan banyak benda yang dia tidak
dapat terangkan dengan memuaskan. Mungkin kerana dia kurang pengalaman.
Bos
1B3K ni memang jahat. Mentang-mentanglah
budak itu kurang pengalaman, dia buli cukup-cukup. Macam-macam soalan yang tidak berkaitan dia
tanya. Aku tengok budak itu
tergagap-gagap menjawab. Bila budak itu
kata dia tidak pasti dan perlu bertanya dulu dengan ketuanya, bos marah
pula. Kesian aku tengok budak tu,
berpeluh dalam bilik bos yang kuat penghawa dinginnya.
Setengah
jam kemudian wakil syarikat Nyatoh Interior sampai. Aku terkedu tengok dia. Subhanallah,
cantiknya dia. Wajah dia sangat
manis. Mekap dia tipis dan nampak
natural. Rambut dia panjang mencecah
bahu dan beralun di hujung. Cara dia
berpakaian nampak profesional. Skirt
potongan A paras lutut dipadankan dengan blaus putih berlengan panjang dan ada
ropol di bahagian dada. Aku tabik
kepada orang yang sanggup berdandan lawa-lawa pada hari Sabtu yang bagi aku
adalah hari bersantai.
Masa
dia salam dengan aku tangan dia terasa sangat lembut. Dia hulurkan kad nama. Nama dia Azira Mohd Amin. Patutlah, dia Pengarah Urusan. Sesuailah gaya dan penampilan dia dengan
jawatannya.
Kalau aku terkedu, tidak tahu apa
perkataan yang sesuai untuk aku gambarkan reaksi bos bila melihat Azira. Mata bos tidak berkelip ketika Azira
melangkah masuk ke dalam bilik pejabat bos dengan gaya persis seorang model
sedang buat catwalk. Belum pun Azira hulurkan tangan, bos sudah
hulur tangan dia dulu. Bos ni, tak tau
ke haram bersalaman dengan bukan mahram?
Azira bercakap dengan lemah lembut
dan sentiasa tersenyum. Bos pun sentiasa
tersenyum. Punyalah lebar senyuman bos
sampai macam nak terkoyak mulut dia.
Lepas tu bila Azira bercakap bos asyik pandang muka dia. Dia tunjuk risalah pun bos tetap pandang
wajah dia. Aku pula yang rimas dengan
gelagat bos.
Sudah satu jam tapi belum nampak
tanda yang mesyuarat dengan Azira akan berakhir sekejap lagi. Bos tidak banyak tanya. Dia banyak mengiyakan saja. Berbanding dengan Azira, aku lebih suka cara Priya
tadi. Lebih profesional dan tertumpu
kepada hal hiasan dalaman. Azira ni
banyak menyimpang ke lain. Sedang cerita
pasal fabrik sofa boleh pula dia tanya bos suka atau tidak tengok wayang. Apa kena mengena fabrik sofa dengan wayang?
Bila
bos jawab ya dia tanya pula pernah atau tidak terlelap ketika menonton
wayang? Bos jawab tidak pernah. Dia kata pula kerusi di panggung wayang tidak
selesa, sebab itu bos tidak pernah terlelap ketika menonton filem. Ya ke?
Aku rasa kalau filem yang ditonton itu membosankan, aku boleh
tertidur. Tidak kiralah kerusinya selesa
atau tidak. Rupa-rupanya dia hendak
beritahu fabrik yang dia bekalkan sangat tinggi kualitinya sehingga dapat
memberi keselesaan kepada tetamu resort dan boleh membuatkan tetamu terlena
sambil menonton tv!
Lepas
tu cerita pasal gula-gula getah pula.
Aku sudah tidak beri perhatian jadi aku tidak tangkap apa kaitan hiasan
dalaman dengan gula-gula getah. Fikiran
aku menerawang sehingga teringatkan Along.
Aku yakin Along tidak macam Azira bila berurusan dengan klien. Disebabkan sudah terlalu bosan aku minta diri
untuk keluar dengan alasan hendak ke bilik air.
Sudah pukul satu lima belas minit.
Nampak gayanya memang tidak dapat pergi tolong Naani dan Thia.
No comments:
Post a Comment