Assalam. Jemput baca ya, bagaimana dalam diam Bos 1B3K membuli Fina dan Fina yang selamba membalas balik. Tapi lepas ni dah tak ada bab buli-buli dah, sebab ..... (sila isi tempat kosong, nge hehehehe)
BAB
9
Bila Kak Rina dan Abang
Izelan balik awal-awal pagi lagi rumah mama sudah riuh rendah. Makanya selepas solat Subuh aku pun
turun. Sembang-sembang dengan Kak Rina, Kak
Mirsya (isteri Abang Izelan) dan mama yang sedang sibuk di dapur. Patutlah bau harum semerbak pagi ni. Rupa-rupanya Kak Mirsya sedang kukus nasi
lemak. Lagi bagus. Kalau sarapan di rumah saja bolehlah aku
keluar awal untuk pergi tolong Naani.
Semalam sudah mungkir janji jadi hari ini aku mesti tolong dia.
Sambil
menikmati nasi lemak kukus yang diiringi oleh sambal sotong yang dimasak oleh
Kak Rina, telur rebus, kacang dan ikan bilis goreng kami berbual-bual. Aku tidak terasa canggung berada dalam
keluarga mama. Mereka melayan aku dengan
baik. Kak Rina dan Abang Izelan sudah
menganggap aku sebagai adik mereka sendiri.
Selepas
mengemas meja makan aku bermain-main dengan anak Kak Rina, Tania Nisya yang tua
setahun daripada Nabil Iman, anak sulung Along. Tania baru bangun tidur dan
sedang menggigit puting botol susunya.
Tania sangat cantik dan petah bercakap.
Wajahnya lebih mirip Abang Aeril (suami Kak Rina).
Aku
kerling jam dinding. Sudah pukul
sembilan setengah pagi. Aku naik ke
bilik, tukar pakaian dan capai beg sandang.
Selepas memberitahu mama dan bersalaman dengan Kak Rina dan Kak Mirsya,
aku keluar. Ketika sedang menghidupkan
enjin motorsikal aku teringatkan peristiwa malam tadi. Rasa marah dan bengang belum hilang. Bos 1B3K suka-suka hati kata aku gatal. Merah padam muka dia selepas aku simbah
dengan air sirap. Dia tenung aku macam
singa lapar tenung mangsa. Selepas itu dia
langsung tidak bercakap dengan aku. Tapi
dia hantar aku ke pejabat semula untuk ambil motorsikal aku. Aku tidak takut pun kalau dia tidak mahu
hantar sebab Nafiz ada.
Ketika aku sampai di
rumah Naani, Thia belum sampai. Aku
tunggu di luar kerana tidak elok kalau aku berdua-duan dengan Naani dalam
rumah. Aku dongak ke atas dan pandang
rumah Naani yang dibeli selepas dia mengikat tali pertunangan dengan Thia. Timbul rasa bangga kerana kawan baik aku
sudah ada harta. Rezeki Naani murah
sejak dia bekerja sebagai PA Dato’ Ibrahim.
Dato’ puas hati dengan kerja Naani dan beri dia bonus yang banyak.
Semua
wang bonus yang diperolehi disimpan untuk majlis perkahwinan dan melengkapkan
rumahnya. Dia mahu Thia masuk rumah yang
sudah lengkap. Sebab itulah sejak dua
minggu lepas, selain daripada sibuk dengan persiapan majlis, mereka juga sibuk
melengkapkan rumah ini yang bakal mereka diami selepas nikah nanti.
Bahu
aku ditepuk. Terkejut beruk aku
dibuatnya. Thia tersengeh. Dia sudah sampai bersama adiknya Shaza.
“Jauhnya
kau termenung. Ingat bos yang kacak dan
kaya tu ke?”
Aku
jeling Thia. “Issh, tak ada maknanya aku
nak ingatkan dia.”
“Manalah
tau, lepas berdating dengan dia
semalam, persepsi kau terhadap dia berubah.”
“Mana ada dating. Aku kena kerjalah. Sengal betul dia tu. Bila masa entah dia telefon supplier dan suruh dia orang datang hari
Sabtu. Aku kena kerja sampai ke petang
tau tak?”
“Kau
berdua sajalah dengan dia kat pejabat?”
“Yalah.” Aku jeling Thia lagi sekali. Shaza sudah pun masuk dalam rumah. Naani sudah muncul depan pintu. Dia tersenyum mendengar perbualan aku dan
Thia.
“Beraninya
engkau. Buatnya dia apa-apakan engkau,
macam mana?”
“Beranilah
dia sentuh aku. Aku belasah dia nanti.”
“Itulah
salah satu sebab Datin pilih kau. Kau
ada tali pinggang hitam taekwando. Kalau
1B3K tu nak ambil kesempatan atas kau, kau boleh pertahankan diri.” Naani menyampuk perbualan aku dan Thia.
Aku toleh ke arah Naani.
Terasa hendak tahu apa lagi alasan Datin pilih aku untuk jadi pengurus
Bos 1B3K.
“Sebab yang lain apa?”
“Kau
cantik dan pakai tudung.”
“Tapi si bengkeng tu tak suka perempuan bertudung. Dia kata semua perempuan yang pakai tudung
hipokrit. Kurang ajar kan?”
“Dia cakap macam tu kat engkau? Memang kurang ajar. Apa kau jawab?” Thia yang terlebih emosional. Sebagai perempuan yang berhijab, tentulah
Thia terasa juga.
“Aku tak jawab apa-apa.
Kalau dijawab nanti berpanjangan.
Aku nak kerja. Macam mana nak
kerja kalau hati sakit. Jadi baik aku
diamkan. Tapi, esok-esok… kalau dia
melampau aku tak akan berdiam diri.”
Telefon aku berbunyi.
Alamak! Apa dia nak?
“Sebelum pukul tiga kau mesti sampai rumah parents aku. Esok aku bagi kau off, ganti semalam dan hari ni.”
Aku
matikan talian. Malas hendak bertanya
dan membantah. Hati rasa tidak seronok
kerana Bos 1B3K sudah kacau program aku.
Walaupun dia kata akan bagi aku cuti esok, tetap tidak sama. Aku hendak tengok final Piala Thomas petang
ini, bukannya petang esok.
Selepas
makan tengahari dan solat Zohor di rumah Naani, aku bergerak ke rumah
Datin. Bos kata mesti sampai sana
sebelum pukul tiga. Alahai, pukul tiga itulah
waktu perlawanan badminton Piala Thomas bermula.
Ketika
aku sampai kereta Bos 1B3K tidak ada. Kereta
Datin ada dan kereta Kak Iqa pun ada.
Ini kali ketiga aku datang ke rumah Datin Nuridah. Kali pertama semasa jamuan hari raya tahun
lepas, kali kedua ketika Datin mengadakan majlis tahlil tidak lama selepas
Dato’ Ibrahim diserang strok. Semua kakitangan
dijemput dan diminta membacakan Yassin serta mendoakan Dato’ cepat sembuh.
Daripada
Naani aku dapat tahu proses penyembuhan Dato’ Ibrahim agak perlahan. Walaupun dia sudah boleh berjalan, pergerakan
kakinya perlahan. Jari kanannya masih
keras dan tidak boleh memegang apa-apa.
Pertuturannya sudah beransur pulih dan sudah boleh difahami, tetapi
masih belum kembali ke tahap normal.
Aku
menegur Kak Iqa yang kebetulan ada di ruang tamu bersama anaknya. Kami bersalaman dan bertanya khabar. Aku kenal Kak Iqa, anak sulung Dato’ Ibrahim
dan Datin Nuridah kerana pernah melatih anak sulungnya taekwando. Masa itu anaknya hendak masuk pertandingan
kebangsaan. Dia minta Naani carikan
orang yang boleh melatih anaknya. Seminggu
aku tinggal di Alor Setar melatih anaknya dari pagi sampai petang. Dengan izin Allah anaknya dapat pingat gangsa. Aku pula dapat bayaran yang boleh tahan
lumayan.
Datin
Nuridah masuk ke ruang tamu. Dia
terkejut nampak aku.
“Encik
Rifqi suruh saya datang.” Aku
menerangkan kepada Datin.
“Lah
Rifqi ni, apalah angin dia? Semalam dia
suruh kamu kerja. Hari ni suruh datang
rumah pula. Dia nak buli kamu agaknya. Nanti dia.
Dia balik sekejap lagi saya akan marah dia.”
Datin
tahu pasal semalam? Baguslah. Tapi yang sekarang ni apa kes? Dia suruh aku datang tapi dia sendiri tiada
di rumah. Memang sah dia nak ganggu
program aku. Kalau semalam program aku
hanya tercuit sikit sebab tidak dapat tolong Naani dan Thia, aku kena pastikan
program hari ini tidak terganggu.
Aku
jeling jam, pandang Datin dan berkata, “tak apalah Datin. Mungkin Encik Rifqi betul-betul ada kerja
untuk Fina buat. Sementara dia balik,
boleh tak Fina tumpang tengok TV? Nak
tengok final Thomas Cup.”
“Eh
boleh, boleh. Dato’ pun ada di bilik
TV. Pergilah temankan dia tengok
badminton.”
Leganya
hati. Aku senyum kepada Kak Iqa dan Datin. Lepas itu ikut bibik ke bilik TV sambil dalam
hati berkata yes! yes! yes! Selepas telefon mama dan beritahu dia aku
balik lewat petang nanti, aku menegur Dato’ Ibrahim.
“Dato’
sihat?”
Dia
mengangguk. Kemudian kami menonton
perlawanan akhir badminton Piala Thomas bersama-sama. Kak Iqa, suaminya dan anak-anaknya pun
ada. Seronok juga menonton dengan mereka
kerana bila Dato’ Lee Chong Wei dapat kutip mata, mereka turut bersorak. Jadi aku pun tidak segan bersorak. Selain daripada taekwando, aku juga minat
sukan badminton.
Sekali
sekala Dato’ Ibrahim bertanya soalan dan aku jawab. Dia tanya perlawanan ini antara siapa dengan
siapa. Aku kata Jepun lawan
Malaysia. Dia tanya siapa nama pemain
Jepun dan Malaysia. Aku kata Tago lawan
Chong Wei. Bila kami bersorak dia tanya
sudah berapa mata. Aku beritahu Chong
Wei sedang mendahului dengan lima belas mata.
Tago baru pungut sembilan mata.
Chong Wei sudah menang set pertama, kalah set kedua. Sekarang bermain di set penentuan.
Di
pertengahan perlawanan Dato’ Ibrahim terbatuk.
Kesian tengok dia batuk. Kak Iqa
urut belakang dada ayahnya. Aku bangun
dan pergi ke dapur. Di dapur aku minta
segelas air suam dari bibik. Ketika aku
membawa gelas ke bilik TV satu susuk tubuh menangkap mata aku.
Bos
1B3K yang memakai seluar bermuda paras lutut dan singlet biru berdiri di jenang
pintu sambil memandang aku dengan mata yang tajam. Suka sangat pakai seluar bermuda. Agaknya selepas setahun setengah tinggal di
Eropah dia sudah tidak tahan cuaca panas di Malaysia. Aku
buat tidak tahu dan terus masuk ke bilik TV.
Aku hulurkan gelas kepada Kak Iqa.
Menular rasa simpati terhadap Dato’ Ibrahim ketika aku melihat Kak Iqa
menuangkan air perlahan-lahan di bibir Dato’. Habis segelas air dia ucakan
terima kasih kepada aku. Kemudian dia
tanya boleh tak bawa dia berjalan di luar.
Alahai,
perlawanan badminton belum habis dan ini set penentuan. Aku serba salah. Belum pun aku beri jawapan Dato’ Ibrahim
sudah berdiri. Bila aku pandang Kak Iqa
matanya bagaikan mengisyaratkan aku agar menuruti permintaan Dato’. Sudahnya aku capai tongkat dan hulurkan
kepada Dato’ Ibrahim. Aku pegang
lengannya dan pimpin dia keluar dari bilik TV.
Di
jenang pintu yang terbuka mata aku bertaut pandang dengan mata Bos 1B3K. Segaris senyuman sinis terbentuk di
bibirnya. Sukalah tu dapat rosakkan
program aku. Ketika aku melintas di depannya dia cuit siku aku. Aku toleh ke arahnya dan dia membisik
“untungnya orang tu, hari ni dapat tengok final
badminton dengan mama dia.”
Dia
ejek aku! Tidak serik agaknya kena
simbah dengan air sirap semalam. Aku
pandang ke lantai, tepat-tepat ke kaki dia.
Gelas air suam yang sudah kosong aku lepaskan betul-betul di atas kaki
dia.
Buntang
mata dia pandang aku. Aku tidak pasti
mata bos buntang sebab dia terkejut gelas jatuh dekat kaki dia, atau sebab dia
nampak ada dua tanduk atas kepala aku.
Aku pura-pura minta maaf kemudian tunduk pandang lantai. Gelas yang diperbuat daripada kaca berkualiti
tinggi tidak berkecai tetapi pecah kepada beberapa kepingan kaca.
Dato’
Ibrahim pandang kami. Kak Iqa dan
suaminya pun pandang kami. Aku dengar
suami Kak Iqa melarang anak-anaknya mendekati kami, takut terkena kaca. Kak Iqa juga menyuruh aku terus membawa
daddynya keluar dan kemudian memanggil bibik untuk membersihkan lantai.
Aku
pandang Bos 1B3K semula dan angkat kening aku.
Dia memandang aku seperti hendak makan aku. Aku pegang lengan Dato’ Ibrahim dengan lebih
kemas dan pimpin dia keluar. Dato’
Ibrahim pandang aku. Aku rasa mata aku
tidak salah bila aku nampak Dato’ senyum.
Aku balas senyuman Dato’. Dato’
tepuk lembut tangan aku yang melilit lengannya.
Aku
harap kaki Bos 1B3K kena kaca gelas yang aku ‘terjatuhkan’ tadi.
No comments:
Post a Comment