Tapi bila dikenang2kan semula, kesian u ols. Tunggu lama kan, so akak upload lah bab 26.
Ini bab terakhir di blog ya. Lepas ni nak fokus siapkan mssnya. Kalau nak tau pasal Irsyad Rifqi, beli Jangan Ganggu Buah Hatiku ya. Akan berada di pasaran sikit masa lagi.
Selamat membaca. Harap suka. Sila komen. Terima kasih sudi singgah.
BAB 26
"Kenapa
muka kau tiba-tiba pucat?" Aku
dengar Roy bertanya tapi mata aku masih tidak berganjak. Roy berpaling ke arah pintu. Aku berdiri.
"Bos." Itu saja yang keluar dari bibirku. Dia kekal berdiri tegak sambil mencekak
pinggangnya. Roy mendekatinya dan
menghulurkan tangan sambil memperkenalkan diri.
Bos 1B3k langsung tidak pedulikan Roy, matanya masih tunak merenung aku
dengan tajam.
"See me when you're done." Sebaris ayat ditujukan kepadaku. Dituturkan dengan suara bernada sangat
tegas. Aku mengesan ada rasa kurang
senang dalam suaranya.
Dia
mengalih pandang dan berkata kepada Roy, "only
guests of the CEO are allowed on this floor.
I don't know you, so please leave."
Dia berpaling dan meninggalkan aku dan Roy.
"Bos
kau tu? Hari tu masa di majlis Naani… yang
ajak kau balik?"
Aku
mengangguk sambil mengemas meja.
Pembalut sandwic Roy aku buang ke dalam bakul sampah. Sandwic aku yang masih berbaki separuh aku
bungkus. Dada aku ketat dengan berbagai
perasaan yang berselirat.
"Kereknya!" Dahi Roy berkerut. Riak tidak puas hati terpamer di wajahnya.
"Sebab
tu aku tak selesa bila kau nak makan kat sini.
Pantri ni untuk kakitangan saja."
Aku berterus terang dengan Roy, walaupun ianya sudah tidak bermakna
lagi.
"Habis
tu, kenapa kau tak bagi tau aku?”
Aku
biarkan soalan Roy tidak berjawab.
Sebenarnya bila melihat Roy bersusah payah membawakan makanan tengahari
aku tidak sampai hati hedak memberitahunya tentang larangan membawa tetamu yang
bukan kakitangan makan di pantri ini.
Lagi pun aku tidak terfikir Bos 1B3K akan datang ke pantri sebab tidak
pernah sebelum ini dia berbuat begitu.
“Let me talk to your boss. Aku akan cakap kau tak salah, aku yang paksa
kau makan di sini dengan aku.”
“Tak
payah Roy. Kau tak kenal bos aku. Dia bukan saja kerek, tapi bengkeng dan
kurang ajar. Biar aku jawab sendiri.”
Roy
datang sebelah aku dan capai tangan aku.
Ish Roy ni, tadi pegang bibir sekarang pegang tangan. Aku tak suka.
"Roy, janganlah." Aku
tarik tangan aku tapi Roy genggam jari-jari aku dengan lebih kuat.
“Kalau
dia marah kau, bagi tau aku. Aku akan
marah dia balik." Sesedap rasa saja
Roy bercakap. Dia ingat dia siapa nak
marah si bengkeng tu? Aku tarik lagi
tangan aku. Kali ini Roy lepaskan, tapi
kedua belah bahu aku pula dipegang. Roy
versi sekarang berani menyentuh aku sesuka hatinya. Ini dah lebih. Muka aku sudah keluarkan riak bengang.
"Kau
boleh kerja dengan aku Fina. Kalau dia
marah kau, just quit. I'm expanding. I can recruit you and make you senior
associate." Memang sah Roy
versi sekarang mulutnya bercakap sesedap rasa.
Macamlah aku hendak bekerja dengan dia.
"Baliklah
dulu Roy, lain kali kita bincang."
Aku palingkan tubuh untuk melepaskan bahu aku dari pautan Roy. Dia lepaskan bahu aku tapi dengan pantas
menangkap tangan aku sekali lagi.
"Macam
mana aku nak balik, kau buat muka sedih. Your
pain is my pain, Fina."
Dalam
keadaan hati aku yang sedang bergelora, aku tak ada masa dan mood untuk ayat-ayat semanis kurma. “Aku okey Roy. Kau baliklah.”
"Till we meet again, aku doakan yang
baik-baik untuk kau." Tangan kanan Roy naik lalu singgah ke
pipiku. Dia elus lembut pipi aku
beberapa kali. Aku semakin rimas bila
Roy semakin berani menyentuh aku.
“Roy! Please
leave!” Hah, kan dah kena
tengking. Siap cakap orang putih lagi,
maknanya aku sudah tidak boleh tahan. Roy
tunak memandang aku. Wajahnya tenang,
bagaikan dia sikit pun tidak terkesan dengan tengkinganku. Matanya yang redup dan riak wajah yang
menyenangkan menimbulkan rasa bersalah.
Dia hanya menunjukkan keprihatinannya, kenapa mesti aku marahi dia?
Tanpa
berkata apa-apa lagi, Roy mencapai kotnya dan keluar dari pantri. Aku mengikutinya dan memerhatikan dia keluar
dari kawasan pejabat. Selepas itu aku
menuju ke meja kerjaku. Bilik Datin
bertutup, maknanya Datin sudah pulang ke rumah.
Kak Razia pula tiada di tempatnya.
Sudah keluar makan tengahari agaknya, sebab sekarang sudah pukul
satu. Aku ketuk pintu bilik Bos 1B3K
sebelum memulas tombol pintu.
Dia
sedang berdiri membelakangkan pintu, memandang ke luar dinding kaca. Aku pergi ke sebelahnya.
"Bos." Aku tegur dia. Dia buat tidak tahu dan terus memandang ke
depan. Habislah aku kali ini. Orang kata berani kerana benar, takut kerana
salah. Rasa bersalah kerana melakukan
perkara yang bertentangan dengan peraturan syarikat membuatkan aku merasa
sangat takut sekarang.
"Bos
tak keluar makan?" Kali ini aku
tanya soalan pula bila dia buat tidak tahu akan kehadiran aku. Dia tetap tidak menjawab. Wajahnya kelat. Aku tahu dia marah. Hai, kenapalah aku tidak terfikir untuk ajak
Roy pergi makan di restoran mamak seberang jalan, yang sebaris dengan Restoran
Sambal? Tapi tak patut pula makan di
situ sedangkan makanan dan minuman tidak beli dari restoran itu. .
"Saya
minta maaf."
Masih
tiada respons. Ini kali ketiga dia buat
perangai tidak bercakap dan sesungguhnya aku sangat rimas bila dia buat
begini. Aku lebih rela bertekak dengan
dia daripada dia diam saja. Aku seru
namanya lagi.
Pintu
bilik bos diketuk. Kak Razia muncul di
balik pintu. Renungan Kak Razia bagai
mengisyaratkan aku supaya bersiap sedia menghadapi amarah bos.
"Mereka
dah sampai Encik Rifqi." Ada
getaran dalam suara Kak Razia, seperti dia juga sedang ketakutan. Kata-kata Kak Razia dibalas dengan kata-kata
"ask them to come in, all at once."
Mr
Raj, Ketua Sekuriti masuk diikuti oleh Putri dan dua orang pengawal berbangsa
Nepal. Kalau ditoreh muka aku sekarang agaknya tidak berdarah. Aku tidak mahu mereka semua bakal dimarahi
kerana kesalahan aku. Tapi pada masa
yang sama aku tidak berani berkata apa-apa.
Bos
1B3K berdiri di hadapan mereka sambil mencekak pinggang. Aku pergi ke sebelah Putri. Pastinya gadis
berusia 21 tahun itu yang akan teruk dimarahi kerana dia penyaring terakhir
sebelum tetamu dibenarkan naik ke atas.
Bos memarahi kami dalam Bahasa Inggeris, agar abang Nepal berdua itu
boleh faham bebelannya.
Usai
memarahi mereka kerana seorang penghantar sandwic boleh memboloskan diri ke
tingkat teratas Wisma Duta yang menempatkan pejabat CEO dan Naib CEO, dia
memandang ke arah Putri.
"Putri,
kenapa tak semak dulu dengan Razia atau Fina sebelum awak benarkan dia
naik? Awak tau atau tidak prosedur untuk
tetamu di bangunan ni?" Suaranya
keras, wajahnya bengis. Walaupun aku
sudah biasa mendengar dia memarahi pekerja, tidak pernah seteruk ini. Aku dapat merasakan Bos sangat, sangat,
sangat marah.
Putri
tunduk tidak menjawab. Tidak kiralah apa
yang dikelentong oleh Roy kepada Putri, ada benarnya soalan Bos 1B3K itu. Kalaulah Putri menelefon aku, tentu aku akan
turun menemui Roy.
"Raj,
is she aware of the procedure?"
"Yes sir.
She was told verbally and in
writing when she first started working." Mr Raj jelling Putri sambil bercakap dan
kemudian dia pun tunduk. Aku yakin semua
yang berada sedang kecut perut dengan amarah Bos 1B3K.
“Awak
sedar tak awak sudah buat kesalahan yang besar?
Nasib baik yang naik dan makan di pantri dengan Cik Fina tadi cuma
seorang penghantar sandwic. Macam mana
kalau yang awak bagi naik tu orang jahat?
Perompak? Musuh syarikat?”
Beria-ia
dia memarahi Putri. Tiba-tiba aku
teringat dia sendiri pernah melanggar peraturan syarikat. Dia paksa aku bekerja pada hari Sabtu dan
membenarkan tiga wakil syarikat hiasan dalaman naik ke tingkat sepuluh Wisma
Duta sedangkan tetamu tidak dibenarkan naik ke tingkat sepuluh pada hari tidak bekerja.
“Saya
akan minta bahagian HR keluarkan warning
letter untuk awak.”
Putri
tersentak. Wajahnya diangkat. Melihat wajah keruh Putri aku tahu masa untuk
bersuara sudah sampai.
“Bos
tak perlu bagi surat amaran kepada Putri.
Dia tak salah. Putri memang ada call saya. Saya yang suruh Putri benarkan lelaki tu
naik. Kalau nak bagi warning letter, bagi pada saya.”
Putri
menoleh ke arahku dengan riak terkejut di wajahnya.
"Okay. Raj, I
want you to initiate a warning letter for Fina, for not complying with the
security procedures and for allowing outsider to restricted area. Call
Shield Security, tomorrow onwards I don't
want foreign guards in this building anymore.
Only locals. Dismiss!"
Semua
keluar. Kecuali aku. Masih ada yang perlu aku selesaikan dengannya
walaupun sebenarnya aku turut kecut perut dengan jeritannya.
"Kau
tak faham ke aku suruh keluar?"
Suaranya bernada sangat tegas dan aku nampak riak kemarahan yang amat
sangat pada wajahnya, riak yang tidak aku lihat sebelum ini. Tapi aku harus beranikan diri walaupun aku
tahu aku salah.
"Faham."
"Kalau
faham, pintu kat situ."
"Saya
tau pintu kat situ. Saya tau bos
marah. Bos memang patut marah..." Ayat aku terhenti di situ kerana Bos 1B3K
angkat tangannya menandakan dia mahu aku berhenti bercakap.
“K.E.L.U.A.R.”
Kata Bos sambil mengetap giginya. Dia
kelihatan seperti sudah hilang sabar. Matanya
buntang memandang aku. Dadanya berombak
dan dia menghela nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Aku mengagak dia cuba mengawal amarahnya.
“Kenapa
kalau bos yang buat tak salah?” Aku
ujarkan soalan itu dengan suara yang mendatar, dengan harapan nada suara aku
akan membantu meredakan kemarahan bos.
“Apa?”
Aku
baca Bismillah sebelum berkata “bos benarkan tiga wakil vendor naik ke sini pada hari Sabtu. Kan salah tu?”
Aku
kekalkan nada suara dan rendahkan pandangan, takut kalau dia akan lebih marah
sekiranya aku tinggikan suara dan tatap wajahnya. Dia datang kepadaku dan berdiri betul-betul
di hadapan aku. Bos berdiri sangat dekat
sehingga aku dapat menghidu haruman tubuhnya.
Tangan di pinggangnya di jatuhkan.
“Aku
boleh buat apa yang aku suka. Aku nak
bawak orang hari Sabtu ke… hari Ahad ke… siang ke… malam ke… itu aku punya
pasal. I made the rules and I am free to break my own rules.”
Sangat
jelas setiap butir perkataan yang dituturkan kerana dia berbisik di
telingaku. Aku juga dapat mengesan
kemarahan dalam suaranya. Besar sungguh
kesalahan aku sampaikan dia masih marah.
Aku beranikan diri untuk memandang wajahnya. Wajah kacak yang kelat itu nampak kerek
sangat.
“Bos
yang baik harus adil, kepada pekerjanya dan dirinya sendiri. Kalau pekerja buat salah didenda, bos buat
salah pun mesti didenda.” Aku telan liur
selepas habis bercakap begitu dengan suara yang kekal mendatar. Jantung aku berdegam degum dengan rasa takut
yang bercampur dengan rasa gementar dan tidak selesa kerana kedudukan kami yang
sangat rapat.
“Saya
tau apa yang saya buat tadi salah. Saya
tak sepatutnya ajak kawan saya makan di pantri.
Semua tu terjadi sebab….”
Aku
tidak dapat teruskan ayatku. Seperti
tadi Bos 1B3K angkat tangan. Kami
bertentang mata. Aku harap dia dapat
melihat kekesalan yang terpancar dari sinaran mataku. Dari matanya pula aku melihat kemarahan dan
kekecewaan.
“Aku
tak ada masa nak layan perempuan gatal yang menipu. Lebih baik kau bukak saja tudung kau tu. Perangai gatal kau tu tak sesuai dengan
tudung atas kepala. Berlagak baik… alim,
tapi sebenarnya gatal! Ada hati nak
bersuamikan lelaki baik, tapi perangai sendiri teruk!”
Aku
terkesima. Tidak terfikir bos akan
berkata begitu. Terluka. Sangat dalam luka di hati aku. Ini kali ketiga atau keempat dia kata aku gatal
dan kali ini lebih menyakitkan bila dia sentuh pasal tudung. Aku kehilangan kata-kata, hanya mampu
merenung kosong ke wajahnya.
“Lagi
satu, kalau nak menggatal, jangan buat dalam syarikat aku, bangunan aku.”
Dia
sebut lagi perkataan tu. G.A.T.A.L. Dan
peristiwa tiga tahun lepas yang sudah semakin nipis dalam kotak ingatanku
kembali menebal. Aku tutup mata
rapat-rapat, cuba menyingkirkan kenangan yang menyakitkan tapi semakin lama
wajah mereka semakin jelas. Dadaku
terasa ketat, nafasku tersekat. Aku
menekup telinga kerana bukan saja wajah mereka, tetapi suara mereka semakin
nyaring terdengar. Aku goyangkan kepala
ke kiri dan kanan tapi suara dan wajah mereka tetap tidak mahu pergi.
“Fina!” Aku dengar suara Bos 1B3K tapi tidak sekuat suara
perempuan itu. Perempuan itu tunjal
kepala aku dengan jarinya sambil memanggil aku berbagai nama. Sundal. Gatal. Perampas suami. Perosak rumah tangga. Pisau cukur.
Penggoda. Gatal. Aku hanya mampu menangis sambil memegang
kepala yang aku tundukkan. Dia masih
tidak puas hati. Tangan aku ditarik dan
satu tamparan kuat menyinggah pipiku.
Tubuhku terpaling. Aku jatuh
terjelepok atas lantai. Tangisanku
semakin kuat tetapi tidak cukup kuat untuk menghentikan serangannya.
"Sudahlah
Yang." Kata si suami.
"Nanti. I belum puas hati. Budak ni kena ajar cukup-cukup biar dia
serik. Perempuan gatal macam ni kalau
tak diajar, esok-esok dia buat lagi. You all semua, better beware of this girl.
Kalau tak nak laki you kena
kacau, jangan kawan dengan budak gatal ni!"
Dia
hina aku, tuduh aku dan serang aku seolah-olah aku tidak ada perasaan. Dia malukan aku depan orang ramai tanpa
sekelumit pun rasa curiga terhadap suaminya sedangkan aku sedaya upaya tidak
melayan suaminya yang bukan setiap hari, tapi boleh dikatakan setiap detik
menggoda aku.
Aku
terus menangis. Imej perempuan itu dan
suaminya sangat jelas di mata. Kata-kata
mereka sangat jelas aku dengari. Aku turut
mendengar suara Bos 1B3K sayup memanggil namaku. Tubuhku terasa melayang sebelum aku jatuh.
“Fina!”
Terasa
ada tangan yang menarik aku.
“Saya
tak gatal…tak goda dia…saya tak…” Ayat
itu tidak dapat aku habiskan. Airmata
sudah berjejeran di atas pipiku. Kepala
aku bergoyang ke kanan dan kiri. Wajah
dan suara perempuan itu tetap tidak mahu pergi.
Muka lelaki bacul yang sanggup membiarkan isterinya menyerang aku
sedangkan dia yang salah, semakin kabur.
“Fina,
kenapa ni?”
Aku
kehilangan suara untuk berkata-kata.
Hanya esakan aku yang kedengaran.
Kepala aku terasa sangat berat. Kaki
pula terasa sangat ringan.
“Fina! Fina!
Bukak mata! Jangan macam ni
Fina! Please!”
Gelap.
Sunyi.
No comments:
Post a Comment