Ramadhan kareem untuk pembaca blog Isma Adeliya. Jemput baca cerpen di bawah. Cerpen ini saya garap setelah teruja melihat rakan-rakan Bengkel Penulisan Kreatif menghasilkan cerpen mengikut tema yang ditetapkan.
Sekadar bacaan ringan, namun jika ada yang boleh dipelajari darinya, ambillah.
Semoga terhibur.
ABANG A.Y.A.M
Wajah manis Ain Jamaliah direnung
lama-lama. Benaknya masih belum berjumpa
kata-kata yang sesuai. Ain Jamaliah yang
sudah selesai mengeluarkan wang dari dompetnya membalas renungan Andy. Berkerut dahinya melihat wajah Andy.
“Hello
leng chai, lu ada masalah ke dengan
muka gua?”
Andy
tersenyum. “Aku hairanlah. Dengan wajah jelita, badan yang langsing dan
ketinggian kau, kenapa kau buang masa di kampung ni? Kalau kau jadi pelakon, tentu lebih popular
daripada Ayda Jebat.”
Meletus
tawa kecil dari bibir comel Ain Jamaliah.
“Mengarut.” Katanya selepas usai
ketawa.
“Apa
mengarut pulak. Dulu masa sekolah kan
kau selalu berlakon drama. Cikgu dan
kawan-kawan selalu puji lakonan kau nampak real. Ada rupa, ada bakat, mesti kebabom punya leh.”
Jawab Andy. Walaupun membesar
dengan kawan-kawan dan jiran-jiran Melayu dan petah bercakap Melayu, ‘leh’, ‘lor’, ‘ma’, ‘meh’ dan
penyedap kata yang lain masih kental dengan jiwa pemuda Cina yang tinggi lampai
itu.
“Andy
Lim Tuck Weng… aku pun heran. Dengan
wajah kacak kau, ketinggian kau dan suara kau yang macho tu, apa kau buat kat sini?
Kalau kau jadi penyanyi, mesti kebabom mengalahkan artis k-pop. Dah lama tak ada penyanyi Cina lelaki yang
nyanyi lagu Melayu macam Andre Goh yang papa kau minat tu. Kau jadilah penyanyi. Sibuk suruh aku jadi pelakon, buat apa?” Ain Jamaliah menempelak. Wang kertas disuakan kepada Andy.
Sambil
tersenyum, wang diambil. “Kalau aku jadi
penyanyi, siapa nak jual dedak untuk ayam-ayam kau?”
“Samalah. Kalau aku jadi pelakon, siapa nak bela
ayam-ayam kat ladang ayah aku dan siapa nak beli dedak yang kau jual?”
Mereka sama-sama
tersengeh. Begitulah kebiasannya. Saling mengusik, saling memuji dan saling
mengutuk. Namun tiada yang bengang atau
berkecil hati kerana masing-masing sudah masak dengan perangai satu sama
lain. Sudah 12 tahun mereka berkawan,
sejak di tingkatan 1.
Ain
Jamaliah berjalan keluar dari kedai.
Urusan dengan Andy sudah selesai.
Sekarang dia perlu melunaskan satu lagi urusan sebelum pulang ke ladang. Dia
berjalan ke arah Toyota Hilux bapanya dengan langkah yang laju. Hatinya berlagu riang kerana urusan yang satu
lagi akan membolehkan dia berjumpa dengan jejaka idaman. Sejak Idham Musa mengambil alih Restoran
Kuali Emas tiga bulan yang lalu, hati Ain Jamaliah pasti berdegum degam bila
dia perlu berjumpa dengan Idham. Lelaki
yang tiga tahun lebih tua daripadanya bukan saja kacak, tapi murah dengan
puji-pujian dan kata-kata manis yang mengembangkan hati Ain.
“Hai Ain, cantik hari ni.” Belum sempat Ain memberi salam, Idham
menegurnya. Segaris senyuman sedia
menghiasi wajah kacak Idham, menyebabkan dada Ain dipalu rancak dengan debaran
indah. Hari ini rambut Ain Jamaliah
diikat di belakang, menyerlahkan dagunya yang cantik berlekuk dan lehernya yang
jinjang. Kebetulan blaus biru yang
dipakainya sedondon dengan t-shirt yang dipakai oleh Idham.
“Abang Am pun
kacak hari ni. Sesuai warna baju tu
dengan kulit Abang Am. Abang Am sihat?”
“Tadi
tak berapa sihat, tapi sekarang bila nampak Ain, abang Am rasa segar
sikit.” Idham mula mengayat. Baginya tidak salah bermanis mulut dengan
orang yang berurus niaga dengannya.
“Abang
Am kena jaga kesihatan tau. Rehat kena
cukup. Kalau sakit, makan ubat. Nanti kalau Abang Am sakit, siapa nak jaga
restoran ni, kan?” Perkataan ‘kan’
sengaja dileretkan. Kepalanya pula
dilentokkan ke kanan. Kononnya nak bagi
nampak manja.
“Abang
Am cuma letih sikit je. Abang Am nak
mintak maaf, tak dapat bayar duit ayam hari ni. Tadi ramai orang sampai tak sempat pergi
bank. Kalau Ain nak jugak duit hari ni…
boleh, tapi Ain kena tunggu sekejap.
Lepas Abang Am kira duit collection
hari ni baru boleh Abang Am bayar.”
‘Nak
tunggu ke? Ish… nanti lambat sampai
ladang, ayah marah pulak. Tapi kalau
tunggu, boleh sembang-sembang dengan Abang Am yang hensem dan menawan ni. Kalau
tak tunggu, hmmm…’ Ain Jamaliah
berbicara sendiri dalam hati. Wajah
Idham dikerling dan bibirnya melakar senyuman manis sebelum dia menyuarakan
keputusannya.
“Tak
apa Abang Am, esok Ain datang lagi. Hari ni Ain tak boleh tunggu, dedak kat
ladang dah habis langsung. Esok Ain
datang lagi.”
“Ain bagilah
nombor akaun, nanti Abang Am masukkan bayaran terus dalam akaun. Tak payah susah-susah Ain ke sini esok.” Idham bermanis mulut lagi. Dia tahu Ain suka datang ke restorannya kerana
gadis yang berusia 25 tahun itu meminatinya.
“Eh,
tak apalah Abang Am. Mana ada
susah. Ain bukannya jalan kaki datang
sini. Lagi pun esok Ain tak sibuk. Esok Ain datang lagi ya.” Hujung rambutnya yang diikat ditarik dan
dipintal perlahan-lahan. Kepalanya masih
melentok ke kiri dan kanan sambil berbicara.
“Tak
minum dulu?” Idham mempelawa.
‘Alahai, dia ajak
minum. Bukan selalu dia pelawa aku
minum. Kan bagus kalau aku tak payah
balik sekarang. Ayah ni pun satu,
kenapalah tak periksa betul-betul stok dedak tu. Ni dah habis langsung baru kelam kabut suruh
aku beli.’ Hatinya berbicara lagi.
“Minumlah
sekejap. Tak mati kebuluran ayam-ayam Ain
tu,” Idham menyambung. Sengaja dia mahu
membeli jiwa gadis muda yang pada pengamatannya masih mentah dalam pengalaman bercinta.
“Aah… err… maaflah
Abang Am. Ain kena balik. Esoklah ya.”
Walau hatinya meronta mahu memaksimumkan peluang yang ada, Ain Jamaliah
tidak berani melanggar perintah ayahnya.
“Okey esok. Janji tau, esok Ain mesti minum kat
sini. Abang Am belanja ABC special.” Idham mengenyit mata. Dan Ain Jamaliah melangkah pergi dengan hati
yang berbunga-bunga.
Dalam sibuk melayan pelanggan, mata Andy
masih sempat mencuri-curi pandang ke arah wajah cemberut yang duduk di atas
kerusi kayu depan kedainya. Riak wajah
Ain ketika sampai di kedainya tadi sudah difahami. Kalau Ain datang dengan muka monyok, maknanya
Ain ada masalah.
“Sementara orang
tak ada ni, ceritalah.” Kata Andy sebaik
saja dia duduk di hadapan Ain. Ain
Jamaliah merenung jauh ke dalam mata Andy.
Renungan mata itu seperti ada kuasa magis kerana setiap kali dia ada
masalah, mulutnya akan ringan bercerita dengan Andy selepas menatap
matanya.
“Kau suka dia
kan?” Suara Andy mendatar sebaik saja
Ain habis bercerita.
Ain mengangguk
lemah. Selemah hatinya yang kecewa bila
Idham tiada di restoran. Bukannya dia
kemaruk dengan ABC special tu, tapi
dia nak sangat duduk bersembang dengan Idham.
Dia nak kenal Idham dengan lebih lanjut kerana dia rasa Idham seperti
tertarik dengannya. Tapi tiga hari
berturut-turut dia hampa.
“Kau ada nombor
dia kan? Telefonlah dia, atau hantar
mesej.” Andy memberi cadangan. Cadangan yang dia sebenarnya tidak suka
langsung.
“Apa aku nak tanya
kalau aku call dia? Takkan nak cakap aku rindu dia? Atau cakap dah tiga hari berturut-turut aku
pergi tapi dia tak ada? Selama ni bila call semua atas urusan ayam. Lagi pun dia dah tinggalkan duit dengan
pekerjanya. Aku tak naklah nampak macam
aku ni syok kat dia.”
Jeda. Sedikit kelegaan menyusup dalam hati Ain bila
dapat berbual dengan Andy. Ada keresahan
dalam hati Andy selepas mendengar cerita Ain.
Perkataan yang sesuai dicari-cari oleh benaknya. Nafas ditarik dalam-dalam.
“Ain,
kadang-kadang apa yang kita suka tu, bukan untuk kita. Kadang-kadang… yang dah ada tu lebih baik
daripada yang dicari-cari.”
Berkerut
berlapis-lapis dahi Ain. Apa si Andy merepek
ni? Bisik hatinya.
Bunyi hon motorsikal yang ditekan
bertubi-tubi membuatkan Andy menoleh ke kanan.
‘Brutal. Banyak sangat
berkawan dengan ayam, itulah padahnya’.
Hatinya mengomel lagi.
“Ni apahal duduk
kat sini? Penat aku tunggu kau kat kedai. Telefon kau tinggalkan kat kedai. Apa kes kau ni?” Sapa Ain sambil turun dari motorsikal.
Andy sorok buku
kecil yang dipegangnya ke dalam beg kanvas yang dihadiahkan oleh Ain semasa dia
menyambut hari lahirnya tahun lepas. Beg
ditolak ke sebelah kanan tubuhnya. Ain pula
dengan pantas duduk di sebelah kiri Andy dan turut menjuntaikan kakinya ke arah
sungai di bawah.
“Sekarang lunch hour aku mah”
“Sejak bila kau
pandai makan lunch kat jambatan
ni?” Ain menyoal sambil merenung Andy
dengan riak kehairanan di wajahnya.
Kebelakangan ini
memang agak susah berjumpa dengan Andy.
Tutup saja kedainya, dia menghilang.
Bila ditanya Uncle Lim, bapa Andy itu menjawab Andy keluar dengan
kawan. Itu yang menghairankan Ain kerana
yang dia tahu hanya dia seorang kawan rapat Andy. Mereka akrab dari tingkatan 1 hingga 5. Sejak mereka di tingkatan 4 Andy kurang
bercampur dengan rakan-rakan yang sebangsa dan seagama dengannya. Dia tidak
menyombong dengan mereka, cuma kurang rapat.
Hubungan Ain dan Andy renggang sedikit ketika Ain melanjutkan pelajaran
di UPM manakala Andy di UM. Namun sejak
setahun yang lepas, ketika mereka sama-sama sudah habis belajar, mereka rapat
kembali.
“Andy, aku ada
benda nak cerita. Ada orang bagi aku
hadiah.” Ain terus bersuara apabila Andy
kekal membisu dan matanya tunak merenung sungai.
“Siapa? Dia bagi kau apa?” Andy menoleh ke arah Ain.
“Tak tau
siapa. Tiap-tiap hari dia bagi aku
seekor anak patung ayam. Comel sangat
anak patung tu. Setiap hari warna anak
patung tu berbeza. Dah lima ekor aku
terima. Dia bagi kad sekali.” Kad kecil ditarik dari dompet dan dihulurkan
kepada Andy.
“Baguslah. Ada orang minat kau. Mesti dia ada kaitan dengan ayam, sebab itu
dia cuma tulis Abang A.Y.A.M.” Kata Andy
sambil tersenyum dan mengembalikan kad kecil kepada Ain.
“Aku harap sangat
Abang Idham yang bagi kad ni.” Ain tersenyum meleret sambil menarik kad dari
tangan Andy. Dia tidak perasan riak
wajah Andy yang serta merta menjadi kelam bila nama Idham disebut.
“Kalau bukan dia,
macam mana?”
“Mesti dia yang
bagi. Aku yakin.” Ain berdiri dan mengatur langkah ke arah
motorsikalnya. Dia berasa sangat gembira kerana akhirnya dapat juga berjumpa
dan berkongsi kisah hadiah daripada pemberi misteri dengan Andy.
Namun kegembiraan
itu tidak dikongsi oleh Andy. Keyakinan
Ain menggusarkannya. Bagaimana hendak
dijelaskan kepada Ain yang nampak sangat yakin?
Kelibat Ain ditenung sehingga hilang dari pandangan sambil bibirnya
terkumat kamit. Buku kecil dan tebal
yang disorok tadi, dikeluarkan sebaik saja Ain berlalu.
Dengan tangan yang terketar-ketar, Ain
Jamaliah meletakkan semula kad itu di atas meja. Matanya terasa panas. Kalau diikutkan hati, mahu saja disiat-siat
kad itu menjadi kepingan halus dan kemudian dicampur dengan dedak. Biar dimakan ayam-ayam di ladang. Wajahnya dipalingkan ke arah ayah dan ibunya
yang sedang bersembang sambil minum petang.
Airmata yang bertakung diseka.
Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek dan SMS dihantar kepada Andy.
Setengah
jam kemudian mulut Ain seperti bertih goreng.
Andy setia mendengar. Hatinya
berselirat dengan dua perasaan. Lega dan
risau. Andy lega bila akhirnya Ain
mengetahui bahawa Idham itu bakal berkahwin.
Maknanya Idham tidak pernah ada hati dengan Ain. Tapi Andy juga risau bila airmata Ain deras
meluncur di atas pipinya.
“Dah
lah tu, jangan sedih sangat. Dia tak
pernah kata dia suka kau, kan? Patung
anak ayam tu pun bukan dia yang hantar.
Kau sedih sebab salah buat andaian, kan?” Tuala good
morning dihulurkan kepada Ain. Itu
saja yang dia ada. Mana nak cari sapu
tangan atau tisu, lainlah kalau dia tahu awal-awal lagi Ain akan menangis
depannya. Kalau diikutkan hati mau saja
dia seka airmata Ain dengan jarinya.
Tapi, bolehkah?
“Aku
malu. Selama ni aku perasan dia suka
aku. Rupa-rupanya dia dah ada
kekasih.” Kata Ain dalam suara
teresak-esak.
“Haiyo,
tak payah malu leh. Aku saja yang tahu kau minat dia, bukannya
satu kampung ni tau. Sudahlah, jangan
sedih. Hati aku sakit bila tengok kau
nangis.” Andy cuba memujuk.
“Sebenarnya…
aku malu dengan kau. Mesti kau kata aku
perasan, kan?” Soal Ain dengan tangisan
yang masih bersisa. Andy garu kepalanya
yang tidak gatal.
“Hei,
aku tak pernah kata apa-apa. Sokong
tidak, halang pun tidak.” Suara Andy
tinggi sedikit. Dia tak suka bila Ain
menyangka yang bukan-bukan tentang dirinya.
“Terima
kasih, sebab selalu ada untuk aku.” Kata
Ain dan tanpa disangka wajahnya ditekap pada dada Andy. Tangannya turut melekap atas dada Andy. Andy terkedu.
Dia teragak-agak, apa yang perlu dibuat.
‘Bolehkah kalau aku usap belakang dia?
Atau elus rambut dia sambil tenangkan dia? Hish mana boleh!’ Hatinya berasional.
“Jangan
macam ni leh. Nanti orang ingat kita ada skandal.” Kata Andy.
Bahu Ain ditolak lembut. Airmata
Ain dikesat dengan hujung tuala good
morning. Matanya diangkat dan
bertemu dengan mata Ain. Tiada kata-kata
lagi antara mereka, hanya renungan mata yang berbicara tanpa suara. Renungan mata Andy, seperti biasa,
mendamaikan hati Ain.
‘Kadang-kadang…
yang dah ada tu lebih baik dari yang dicari-cari.’ Suara Andy bergema dalam benak Ain.
“Ain, ke mana tadi?” Soalan ibunya menyapa telinga sebaik saja Ain
tiba di rumah. Matanya menyorot
cawan-cawan berpiring yang ada di atas meja.
Kelihatannya seperti ada tetamu yang baru pulang.
“Ain
pergi jumpa Andy sekejap.” Jawab Ain
sambil merapati meja kopi.
“Ayah
tengok Ain rapat dengan Andy,” Ramli bersuara sebaik saja Ain duduk di
hadapannya. Ain tidak menjawab. Bayangan wajah Andy, gurauannya, nasihatnya
semua bersilih ganti muncul dalam benaknya.
“Ayah tak suka Ain
kawan dengan Andy ke? Kan kami dah kawan
sejak sekolah?”
“Ayah tak kata pun
ayah tak suka. Ni baru kejap tadi, ada
orang melamar kamu.” Kata Ramli dengan
suara yang paling lembut namun tidak mampu menghalang Ain dari terkejut. Bulat matanya memandang ayah dan ibunya silih
berganti.
“Siapa?”
“Orang
yang tiap-tiap hari hantar patung anak ayam tu.
Orang sini.” Ibunya yang
menjawab. Jawapan yang menyebabkan dahi
Ain berkerut berlapis-lapis.
‘Orang
sini? Aku tak tau pun ada orang kampung
ni yang minat dengan aku.’
“Ayah
dah terima lamarannya. Minggu depan Ain bertunang.”
“Mana
boleh ayah terima saja, tanpa tanya Ain dulu.”
Ada nada tidak suka dalam suara Ain.
Wajah ayahnya direnung dengan tajam.
“Kalau
orang lain, pasti ayah tanya Ain dulu.
Tapi dia… ayah yakin dengan dia. Setiap
bapa dalam dunia ni mahukan anaknya bahagia.
Percayalah, ayah tahu apa yang Ain perlukan. Dia sesuai dengan Ain.”
Kata-kata
ayahnya langsung tidak melegakan. Bibirnya
dimuncungkan. Ain melarikan diri ke
dalam bilik. Tubuhnya dihempas ke atas
katil. Belum hilang sedih di hati kerana
Idham yang diminati bakal menjadi suami orang, dapat pula berita dia dilamar
lelaki misteri. Ain mengeluh.
“Assalammualaikum,” suara macho itu menyapa telinganya, membuatkan
dia berpaling. Wajah jejaka yang sudah
sah mendapat pangkat tunangnya ditenung lama sambil dia berdiri. Salam dijawab.
“Duduklah.” Suara macho
itu berbunyi lagi, seperti mengelus lembut telinganya. Senyuman menghiasi wajah putih bersih
itu. Mata Ain masih tunak di wajah tunangannya. Terasa seperti bermimpi tapi Ain tahu inilah
realiti.
“Aku
tak sangka… selama ni… kaulah Abang Ayam.
Dan aku lagi tak sangka, rupa-rupanya dah 3 bulan kau jadi saudara
baru. Pandai kau rahsiakan dari aku, ya?”
“Maafkan
aku Ain. Bukan sengaja aku rahsiakan
tapi bila kita jumpa, kau sibuk dengan cerita kau. Aku tak ada peluang nak bagi tau kau yang aku
dah peluk Islam dan…”
Jari jemari Ain direnung. Cincin berhias sebutir belian kecil yang
menghiasa jari manis Ain bagaikan memberi satu kekuatan kepada Andy. Dia duduk di sebelah Ain, namun membiarkan
ada jarak yang agak besar di antara mereka.
“Aku segan nak
mengaku aku cintakan kau. Kau minat
orang lain. Bila Idham edarkan kad
jemputan kahwinnya, aku cepat-cepat suruh papa jumpa ayah. Aku tau kau kecewa dan aku nak rawat
kekecewaan kau.”
Jeda. Hanya desiran angin petang yang menjadi
bahasa cinta mereka.
“Kau marah aku?”
Ain
menggeleng. Wajahnya dipalingkan ke arah
Andy. Senyuman disedekahkan kepada encik
tunang. ‘Patutlah wajah dia lain sejak
dua menjak ni. Nampak bersih dan
tenang. Rupa-rupanya dia sudah disirami
nur Islam.
“Mohamad Andy Lim
Abdullah, tau tak betapa leganya aku bila aku dapat tau Abang A.Y.A.M tu
rupa-rupanya kau?”
Andy
menggeleng. Sungguh dia tidak tahu
kerana selepas lamarannya diterima oleh Encik Ramli, dia cuba mengelakkan dari
bertemu dengan Ain. Dia takut kalau Ain
tahu dialah Abang A.Y.A.M, Ain tidak mahu berkahwin menerimanya. Setelah majlis pertunangan selesai kelmarin
barulah dia memberanikan diri berjumpa dengan Ain petang ini.
“Patutlah kau
pernah kata kadang-kadang apa yang kita suka tu, bukan untuk kita. Kadang-kadang yang dah ada tu lebih baik dari
yang dicari-cari.”
Dua pasang mata
bertembung pandang. Lama, sebelum Ain
Jamaliah membuang pandang ke arah cincin di jari manisnya. “Terima kasih sebab selalu jadi pendengar
yang setia. Selepas ni, jangan jemu mendengar
ya.”
Andy
tersenyum. “Selagi Allah mengizinkan,
selagi itu aku sedia mendengar ceritamu, sayang.”
Giliran
Ain tersenyum. Pipinya merona. Wajahnya ditundukkan. Pertama kali Andy memanggilnya sayang, sudah
terkesan jauh ke dasar hati.
“Tau
tak apa makna A.Y.A.M?” Suara macho yang sering mendendangkan lagu di
setiap konsert sekolah terasa seperti mengelus telinganya. Ain Jamaliah mengangkat kepala. Renungan matanya bagai meminta Andy
memberikan jawapan.
“Andy
Yang Amat Menyayangimu.”
Bibir Ain Jamaliah
koyak dengan senyuman sebelum berkata, “untuk aku, Andy You Are Mine. Boleh
kan?”
“Sekarang belum
lagi leh. InsyaAllah, lepas kita
nikah nanti aku akan jadi AYAM kau.
Halal punya. Sekarang belum halal.” Kata Andy, kemudian melukir senyuman di
bibirnya.
Ain turut
tersenyum sebelum lafaz Alhamdulillah
meluncur dari bibirnya. Mujurlah Abang
A.Y.A.M itu Andy, kalau orang lain belum tentu dia boleh berlapang dada.
No comments:
Post a Comment