Jemput baca dan jemput komen ya.
LAUTAN KASIHMU
Jiwa ini terasa
kosong. Bukan baru sekarang, tapi sudah lama
aku merasai kekosongan ini. Sejak usiaku
16 tahun. Entah kenapa, rakan-rakan yang
mengelilingiku, ahli keluarga dan saudara mara serta si dia yang manis tapi brutal belum mampu mengisi kekosongan
jiwaku.
Aku tidak berasa
sunyi, cuma sepi. Aku tidak bersendirian
tapi kesepian mencengkam walaupun ketika aku sedang sibuk. Aku ikut kawan-kawan berseronok. Kami pergi karaoke, snooker, bowling dan
macam-macam lagi. Tapi akhirnya aku
kembali sepi. Habis berseronok jiwa aku
masih kosong.
"Lu apasal
Andy? Hari-hari muka gelap. Papa lu tak bagi cukup gaji meh?" Jimmy bertanya dalam dialek
Kantonis.
"Tak ada kena
mengena dengan papa akulah."
"Habis
tu? Pasal awek Melayu itukah?"
Pasal diakah? Rasanya tidak. Dia tak pernah bagi aku masalah.
"Haiya, apa mau fikir pasal itu awek
Melayu. Kau ikut aku pergi cari
amoilah. Apa bangsa semua ada, muka
semua cantik, body… fuyoo... memang
bergetah. Satu malam kau tak tidur
tau. Dia orang terror."
Aku tenung Jimmy
yang sedang tersengeh. Sakit hati aku
bila dia mengajak aku pergi lebih jauh dalam kejahatan.
"Kau ni, tak
ada ke idea yang lebih baik daripada mengajak aku membuat maksiat? Kalau perempuan boleh meredakan kekosongan
jiwa ini, aku akan pilih dia. Bukan
sebarang amoi!"
Jimmy ketawa
berdekah-dekah. Semakin sakit hatiku
bila dia ketawa begitu.
"Itu bukan
maksiatlah tongong! Itu enjoy, fun. Kau nak awek Melayu tu enjoy dengan kau? Jangan
mimpilah! Dia orang ada agama. Kau ada agama? Sedar sikit gadis yang kau puja itu
daratan. Kau pula lautan. Daratan dan lautan boleh bertemu, tapi tak
boleh bersatu."
Tin berlabel
Anchor Beer dibawa ke bibirnya usai dia menempelak aku. Aku capai gelas berisi air teh cina dingin dan
meneguk minuman itu dengan rakus. Hati
yang sedang panas dengan kata-kata Jimmy nampaknya tidak mampu disejukkan
dengan minuman dingin. Aku bangun, pergi
ke kaunter untuk membuat bayaran dan tinggalkan Jimmy.
Aku memandu kereta
tanpa hala tuju. Kata-kata Jimmy benar-benar mengganggu jiwaku. Aku lautan?
Dia daratan? Perumpamaan paling bodoh yang aku pernah dengar. Tapi aku tak hairan. Si Jimmy itu memang tak berapa pandai. Yang dia mahir hanyalah membaiki
motorsikal. Mujurlah kemahiran itu
mendatangkan hasil.
Dia orang ada
agama. Aku pula tidak ada agama. Tapi apa salahnya tak ada agama? Papa dan mama tak ada agama tapi aku tengok
mereka bahagia. Kawan-kawan satu sekolah
dan satu universiti dulu pun ramai yang tak ada agama. Aku nampak mereka gembira. Tapi mungkinkah... kalau mereka ada agama...
mereka akan lebih bahagia dan gembira? Pentingkah dan perlukah agama? Aduh,
berserabut otak aku bila memikirkan hal agama.
Tiba-tiba, sesuatu
di seberang jalan menarik perhatianku.
Aku matikan enjin sebelum melintas jalan ke seberang sana.
"Kenapa
pakcik sembahyang di sini? Depan sana
ada masjid." Aku bertanya selepas
pakcik itu usai bersembahyang.
"Pakcik letih,
nak. Kaki dah tak larat mengayuh
basikal. Kebetulan pakcik nampak paip
air di tepi laut ni. Pakcik ambil wuduk
dan terus solat." Jawapannya membuatkan
hatiku semakin tertanya-tanya.
"Islam tu
mudah nak. Solat di mana saja
boleh. Asalkan tempatnya bersih, pakaian
kita bersih dan menutup aurat, wuduk kita sempurna dan kita menghadap kiblat.” Orang tua itu menerangkan sambil
tersenyum. Wajahnya bersih dan berseri,
macam wajah Pakcik Ramli. Tak kelam
macam wajah papa dan Jimmy.
“Anak ni nama
siapa? Dari mana dan nak pergi
mana?” Ramah pula orang tua ni.
“Nama saya
Andy. Saya baru lepas minum dengan
kawan. Belum tahu lagi nak pergi mana. Lalu kat sini, nampak pakcik sembahyang saya
berhenti. Pakcik nak balik rumah ke?”
“Ya, tapi nak
rehat dulu. Letih belum hilang.” Katanya.
Walaupun dia kata dia letih, aku nampak wajahnya sangat tenang.
“Anak ni nampak
macam ada masalah?”
Itu kisah dua bulan yang
lalu. Aku bersyukur dipertemukan dengan
Pakcik Ahmad. Pak Mad membantu aku
menemui jawapan kepada soalan 'perlukah ada agama'. Pak Mad mengajar aku agama itu perisai, agama
itu kasih sayang dan agama itu usaha. Ia
melindungi penganutnya dari melakukan kejahatan, mengajar kita sayang
menyayangi bukan saja sesama manusia tapi juga dengan haiwan dan alam sekitar
serta mengajar kita berusaha untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Air laut nampak
berkilau disimbahi sinar matahari petang.
Bayu petang yang bertiup lembut memberi rasa nyaman. Entah apa pula helah Pak Mad kali ini meminta
aku menemuinya di tepi laut, tempat perkenalan kami dua bulan yang lepas.
"Assalammualaikum,"
suara Pak Mad memberi salam kedengaran dari arah kanan. Aku berdiri, menjawab salamnya dan menghulur
tangan untuk berjabat.
"Maaf, lambat
sikit," kata Pak Mad.
"Eh tak apa
Pak Mad. Saya pun baru sampai, lebih
kurang 10 minit. Jantung saya banyak
debarlah Pak Mat." Ayatku
membuatkan Pak Mad tersenyum.
"Tak payah
debarlah Andy. Pak Mad pilih tempat ni
sebab ada banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari sebuah lautan. Mari kita order
minuman dulu sebelum bersembang."
Itulah salah satu
sebab kenapa aku selesa dengan Pak Mad.
Dia tidak berdakwah, tapi bersembang.
Sembangnya bukan sembang kosong, tapi sembang berisi yang sangat
terkesan di hatiku.
"Pernah minum
air laut?" Soal Pak Mad sebaik saja
segelas teh ais dan nescafe ais diletakkan depan kami beserta sepiring tahu
bakar dan sepiring cucur udang.
"Sengaja
minum tak pernah… tapi tertelan ada beberapa kali." Aku cuba melawak.
"Ha, baca bismillah dan doa makan."
Arahannya aku
turuti.
"Alhamdulillah, udah betul sebutan
kamu. Pakcik rasa, kamu dah sedia untuk
mengucapkan syahadah."
Aku turut
melafazkan syukur, tapi dalam hati saja.
Aku belum yakin dengan diriku.
"Berbalik
kepada soalan pakcik tadi, apa rasa air laut?" Soal Pak Mad sebelum
mencucuk sepotong cucur udang dan menyuap ke mulutnya.
"Masin lor ... perit tekak bila
tertelan."
"Tapi ikan
dan seafood lain tak masin,
kan?" Sepotong lagi cucur udang
hilang dalam mulut Pak Mad. Kemudian dia
mengunyah sambil tersenyum.
Aku
mengangguk. Mulutku sedang penuh dengan
tahu bakar. Wajah Pak Mad aku tenung,
cuba mencerna apa yang ingin disampaikan melalui metafora sebuah lautan.
"Apa jadi
kalau orang yang tak tau berenang, jatuh dalam laut?" Kacang sangat soalan
Pak Mad hari ni.
"Lemas lor."
"Tapi kita
tak akan lemas kalau jatuh dalam lautan kasih Allah. Tengok laut tu dan fikirkan, di dalamnya,
terlalu banyak tanda kebesaran Allah.
Pernah dengar ungkapan lautan tak bertepi?"
Aku
mengangguk.
"Lautan tak
bertepi. Semakin dilayari semakin
luas. Semakin diselami, semakin
dalam. Beribu malah mungkin berjuta
makhluk di dalamnya. Bermacam-macam cerita ada dalam sebuah lautan.” Aku mengangguk lagi, namun sebenarnya masih
belum nampak apa yang Pak Mad ingin sampaikan.
“Kenapa Allah
mencipta lautan tak bertepi? Supaya kita
sedar akan kebesarannya. Bahawa
sesunguhnya kuasa dan kekuatan kita terbatas tapi Allah mampu mencipta
segala-galanya. Kepada Dia kita
berharap, hanya kepada Dia.”
Aku mengangguk
juga. Kali ini lebih jelas mesej yang
hendak disampaikan oleh Pak Mad.
"Nah."
Pak Mad hulur sebuah beg plastik. Aku
keluarkan sebuah buku tebal dari beg plastik itu.
"Quran?"
"Ya. Itu lautan ilmu. Buku yang seharusnya menjadi panduan semua
orang."
"Tapi saya
belum Islam, bolehkah saya baca Quran?"
"Kenapa tidak
boleh? Bacalah, dan belajarlah
darinya. Pakcik belikan yang ada
terjemahan. Baca terjemahannya
dulu."
Aku pegang buku
tebal itu. Dulu, ramai kawan-kawan
Melayu bawa Quran ke sekolah tapi tiada seorang pun yang mempelawa aku
membacanya. Maka aku menganggap buku
suci ini eksklusif untuk orang Muslim saja.
"Ni, budak
perempuan yang kamu suka tu, pakcik nak kamu jumpa bapaknya."
"Untuk apa
Pak Mad?"
Soalanku dibiar
tidak berjawab. Lidi ditangan Pak Mad
kini mencucuk sepotong tahu bakar. Pak
Mad angkat kepala, pandang aku dan senyum.
Tidak pernah aku rasa
berdebar sebegini, walhal ini bukan kali pertama aku berjumpa dengan ayah Ain
Jamaliah. Berbagai persoalan melanda
benakku, terutamanya tentang penerimaan Pakcik Ramli tapi pesanan dan nasihat Pak
Mad berjaya mengatasi hasutan jahat yang cuba menggagalkan usahaku.
Aku beri salam dan
hulurkan tangan untuk berjabat. Pakcik
Ramli memandang aku dengan riak tidak percaya di wajahnya. Mungkin kerana sebelum ini aku tidak pernah
bersalam dengannya, apatah lagi memberi salam.
Akhirnya hanya tanganku disambut, salamku tidak dijawab.
“Pakcik
sihat?” Aku memulakan perbualan.
“Alhamdulillah. Andy nak jumpa Ain ke? Dia tak da, dah balik rumah.”
“Eh tak, saya nak
jumpa pakcik. Sebenarnya… saya nak minta
pertolongan pakcik.” Apabila mendengar
kata-kataku, Pakcik Ramli menjemput aku duduk.
Dia turut melabuhkan punggungnya atas kerusi di sebelah kananku. Pada waktu petang begini ramai pekerja
ladangnya yang sudah pulang. Aku sengaja
datang pada waktu ini kerana Ain juga sudah pulang.
“Apa halnya Andy,
ada masalah besar ke?”
Aku menarik nafas
dalam-dalam, meyakinkan diriku sekali lagi ini adalah pasti. Sekali aku melakukannya, tidak boleh berpatah
balik. Dan aku mahu melakukannya dengan
betul dan ikhlas.
“Saya nak masuk
Islam.” Aku ucapkan dengan lancar, dengan jelas dan dengan sangat yakin.
“Allahu akbar! Betul ke ni Andy?” Terbeliak mata Pakcik Ramli.
“Betul lor.
Sudah dua bulan saya belajar pasal Islam. Betul-betul belajar punya, dengan seorang
lelaki. Saya jumpa dia kat Pantai
Merdeka. Dia bekas tentera, selalu
petang-petang kayuh basikal tepi pantai tu.
Boleh kan, pakcik tolong Islamkan saya?”
Janganlah dia
tolak permintaan aku. Tiga hari lepas
ketika Pak Mad meminta aku menemui Pakcik Ramli, aku kehairanan. Namun setelah diterangkan aku mengerti kenapa
Pak Mad mahu aku memilih Pakcik Ramli sebagai orang yang membawa aku ke pejabat
agama untuk melafazkan syahadah. Pak Mad
akan terus mengajar aku, namun pada masa yang sama dia juga mahu aku
mendapatkan bimbingan ustaz.
“Ya Allah, Andy…
perkara baik macam ni, mana boleh pakcik tak tolong. Kamu betul-betul ni? Bab agama ni jangan buat main-main nak. Agama Islam ni agama suci. Kalau nak masuk, masuk betul-betul. Jadi orang Islam betul-betul. Jangan tukar agama saja tapi lepas tu tak
amalkan.”
“Demi Allah
pakcik, saya tak main-main. Saya dah
jatuh cinta dengan Islam. Saya perlukan
pakcik… tolong saya, bimbing saya.”
Mataku terasa
panas. Sungguh hebat kuasaMu Tuhan, baru
melafazkan niat memeluk agamaMu sudah memberikan satu kelegaan perasaan yang
tak mampu aku zahirkan dengan kata-kata.
“Alhamdulillah. Demi Allah, Pakcik akan tolong kamu setakat yang
pakcik mampu.” Pakcik Ramli menggenggam
tanganku. Kuat genggamannya, bagaikan
menyuntik satu semangat ke dalam diriku.
Semangat untuk memulakan hidup baru.
Hidup beragama. Bukan lagi hidup
seperti dulu.
“Tapi saya nak
minta pakcik rahsiakan hal ni. Dari
semua orang, termasuk keluarga pakcik.
Biarlah selepas mengucap syahadah nanti perlahan-lahan saya umumkan
sendiri kepada keluarga dan kawan-kawan.”
Pakcik Ramli
mengangguk-angguk dan menepuk lembut tanganku.
Matanya juga berkaca.
Air laut beralun-alun
ketika bot yang kami naiki membelah lautan dengan laju. Langit membiru dengan cantik sekali, dihiasi
tompokan awan putih. Di kejauhan aku
nampak pulau yang menjadi destinasi kami.
Pakcik Ahmad dan Ustaz Karim rancak bersembang.
Alhamdulillah, aku sudah bergelar saudara baru sejak dua
minggu yang lalu. Hari ini Pakcik Ahmad
membawa aku ke Seminar Kesempurnaan Solat di sebuah pulau di utara
Semenanjung. Rezeki seorang saudara
baru, Ustaz Karim memberiku diskaun 30% manakala Pakcik Ahmad pula menaja
yuranku.
“Jauh termenung tu Andy.
Ingatkan siapa?”
“Dia.”
“Jangan tenggelam dalam lautan cinta kepada seorang
gadis, sebelum kamu menyelami lautan cinta Illahi. Carilah Tuhan, pasti kamu akan dapat cinta
manusia.” Pak Mad menasihati. Aku hadiahkan senyuman kepadanya, menandakan
aku menghargai nasihatnya.
“Dia yang saya maksudkan ialah Dia yang telah
menggerakkan hati saya untuk menegur Pak Mad tiga bulan yang lepas. Saya bersyukur sangat-sangat kerana Dia
memilih saya, dan hasilnya saya rasa tenang sekarang. Dulu saya ada duit, ramai kawan tapi jiwa
rasa kosong. Sekarang tak lagi.”
Pakcik Ahmad tepuk bahuku.
“Alhamdulillah.”
Alhamdulillah, bisik hatiku. Lautan, langit, bumi, segala-galanya adalah
guruku. Guru untuk aku mengenali sifatMu
ya Rabb. Akan terus aku selami lautan kasihMu Allah Ya Rabbul Izzati.
No comments:
Post a Comment