BAB 7
Ketika aku balik
dari surau Bos 1B3K masih berbual dengan Cik Azira, tapi di luar bilik bos,
betul-betul di hadapan meja kerja aku.
Ya Rabbi, belum habis lagi berborak?
Ini nak berurus niaga ke nak berurus cinta?
“Saya balik dululah Encik Rifqi. Terima kasih kerana beli peluang kepada
syarikat saya. Nanti saya akan hantarkan
proposal dan quotation baru as per your
requirement.” Azira bercakap dengan
lemah gemalai. Wajahnya dimaniskan. Tengok gaya dia macam hendak menggoda
saja.
Bos
senyum. Wah, banyak pahala dia dapat
hari ini sebab banyak sedekahkan senyuman.
Bos hulur tangan untuk bersalam.
Tadi macam tidak mahu lepaskan tangan Priya. Sekarang dengan Azira bos siap genggam tangan
perempuan tu dengan tangan kirinya.
Betullah kata Datin bos suka melayan perempuan lawa.
Azira
ucapkan selamat tinggal kepada aku dengan senyuman yang masih meleret di
wajahnya. Kemudian dia berjalan
melenggang lenggok meninggalkan kami.
Aku nampak mata bos melekat pada tubuh Azira sampailah kelibat dia
menghilang di sebalik pintu kaca. Eloklah
tu, yang perempuan menggoda dan yang lelaki nampak macam sudah tergoda.
“Kau
pergi mana hah, lama kau hilang?” Bos
soal aku dengan suara yang agak keras nadanya.
Wajah bos sudah tidak manis lagi.
“Solat.” Aku jawab sepatah. Aku tinggalkan dia dan masuk ke dalam
biliknya untuk mengutip fail-fail.
“Aku nak keluar sekejap. Kau jangan balik dulu. Aku ada kerja sikit nak buat.” Dia bercakap dan terus keluar dari
bilik. Hah! Kerja apa lagi? Sudah hampir pukul dua petang dan dia masih
hendak bekerja? Kalau dia tidak buang
tabiat, aku rasa dia sudah biul. Mungkin
aku kena tukar daripada 1B3K kepada 2B3K.
Kena ada dua B sebab bos bengkeng ini sudah biul.
“Bos!” Aku laung sambil berlari anak keluar dari
bilik dia. Dia berhenti dan berpaling.
“Saya
tak boleh tunggu. Saya ada hal. Saya nak
balik sekarang.”
“Hal
apa?”
Bos
bertanya sambil memandang aku dengan renungan tajam dan mencekak pinggang. Suka sangat cekak pinggang. Ingat aku takut ke?
“Saya
ada date. Pukul tiga.
Jadi saya kena balik sekarang.”
“Cancel your date. Bagi tau boyfriend
kau yang kena kerja hari ni.”
“Tak
boleh. Boyfriend saya tau saya tak kerja hari Sabtu.”
“Then tell him, from today onwards, kau
kena kerja setiap hari Sabtu.”
“Tak nak.
Bos tak boleh arahkan saya macam tu.
Polisi syarikat kita waktu pejabat ialah Isnin hingga Jumaat, lapan
setengah pagi sampai lima setengah petang.
Kita dah panjangkan waktu bekerja sebab tu kita tak kerja hari Sabtu.” Aku bertegas.
Tidak sekali-kali akan aku benarkan dia membuli aku.
Bos 1B3K mara ke arah aku. Sekali lagi dia mencekak pinggangnya betul-betul
depan aku. Aku tahu dia tidak suka
dengan apa yang aku cakapkan tapi aku peduli apa. Mentang-mentang dia bos, suka-suka dia suruh
aku kerja hari ni.
“Ei,
tolong sedar diri sikit. Kau cakap apa
tadi, syarikat kita? Aku nak ingatkan
kau ini syarikat aku. Aku bos dan kau
pekerja. Sebagai bos aku boleh suruh
mana-mana pekerja yang aku nak untuk datang bekerja pada hari Sabtu, malahan
Ahad sekali pun.”
Muka
dia kelam. Aku tahu dia marah tapi aku
sikit pun tidak takut. Bukan kerana
Datin sudah beri aku green light
untuk bantah dia kalau dia tidak betul.
Tapi kerana aku rasa dia sengaja hendak membuli aku. Masa di surau tadi aku teringat semalam dia
mendengar perbualan aku dan Naani.
Maknanya dia sudah tahu program aku hari ini dan sengaja suruh aku
datang kerja untuk rosakkan program aku.
Mungkin ini strategi dia supaya aku tidak tahan bekerja dengan dia.
Bila
aku diam dia berpaling semula dan berjalan ke arah pintu. Aku cepat-cepat kejar dia. Apa-apa pun, aku tetap hendak balik.
“Bos!
Pernah tak bos sayangkan seseorang selain daripada ibu bapa dan adik
beradik bos?” Aku jerit sikit walaupun
jarak aku dan dia tidak jauh supaya dia boleh dengar dengan jelas soalan
aku. Dia berhenti berjalan dan pusingkan
tubuhnya.
“Apa
yang kau merepek ni?” Dahi dia
berkerut. Tangan dia naik ke pinggang.
“Kalau
bos pernah menyayangi seseorang, tentu bos faham perasaan saya. Saya tak boleh batalkan date saya. Saya tak sampai
hati nak hampakan perasaan orang yang saya sayangi. Tolonglah bos bagi saya balik sekarang.” Aku cakap dengan nada suara yang paling
lembut. Aku buat juga muka minta belas
ihsan. Harap-harap dapat lembutkan hati dia.
Bos
diam. Lama. Dia garu dahi kanan, dekat dengan
kening. Nampak macam berfikir. Aku berdoa dalam hati dia akan benarkan aku
balik. Walaupun aku boleh bantah, tidak
wajar kalau aku tinggalkan saja pejabat.
Mana tau dia betul-betul ada kerja yang perlu dibuat?
“Okey,”
akhirnya bos bersuara. “Kau boleh
balik.”
Yes! Yes! Yes! Aku cuba sorokkan senyuman walaupun hati
sudah gumbira.
“Tapi
aku nak ikut kau pergi dating.”
Eerrk,
dia nak ikut aku? Sah dia ni biul. Mana ada dalam dunia ini seorang bos yang
ikut pekerjanya pergi dating.
“Errm
bos, emak dan abah saya pun… tak pernah ikut saya pergi dating.” Aku cakap dengan
lemah lembut juga supaya dia tidak perasan apa yang ada dalam hati aku. Kalau Along dengar aku bercakap macam ini,
mesti Along muntah. Adik dia yang becok
dan kecoh tiba-tiba sudah jadi ala-ala suci.
“Aku
bukan emak dan abah kau.” Bos jawab
dengan selamba. Muka dia macam orang
tidak ada perasaan. Bukan macam. Memang tidak ada perasaan.
“Sekejap ya bos, saya tanya date saya.” Tadi dia buat muka selamba, sekarang aku pun
buat selamba. Macam tidak kisah dengan
syarat mengarut dia. Aku dail nombor
Nafiz. Sekejap saja dia sudah jawab
panggilan aku. Seperti sebelum-sebelum
ini, terasa sesak nafas bila dengar suara Nafiz dalam telefon. Mana tidaknya, suara garau dia bunyi jantan
sangat.
“Nafiz,
malam ni… kalau… ermm kalau… saya bawak bos saya… boleh tak?” Tentu Nafiz di hujung talian kehairanan
kenapa aku bercakap dengan manja. Tapi
dia tidak tanya apa-apa. Itulah Nafiz,
tidak banyak mulut. Berbeza dengan aku
yang kata Along sejak azali becok.
Nafiz
kata boleh. Dia pesan datang awal
sikit. Aku ucapkan terima kasih dan
matikan talian. Aku pandang bos yang
masih bercekak pinggang memerhatikan aku bercakap dengan Nafiz. Aku dapat kesan riak kehairanan di wajah
bos. Mesti dia hairan boyfriend jenis apa Nafiz ni, tidak
kisah bos kekasihnya ikut berdating. Lantaklah bos hairan ke tidak, yang penting
aku dapat balik.
Setengah
jam kemudian kami sampai ke tempat dating
pertama aku dengan menaiki kereta bos. Muka
bos berkerut. Mesti dia rasa pelik
kerana di hadapan kami ada sebuah rumah banglo dua tingkat yang sudah
usang. Ada sebuah bangunan setingkat di
belakang rumah tersebut. Aku yakin
sangat dalam hati dia tertanya-tanya kenapa aku berdating di tempat macam ini.
Umi Sarah menyambut kedatanganku. Kami bersalaman dan berpelukan seperti selalu. Wajah tabah Umi Sarah yang penuh dengan sifat
keibuan sangat mendamaikan hatiku. Sudah
dua tahun aku mengenali Umi Sarah dan semakin aku mengenalinya semakin aku
kagum dengan ketabahan ibu berusia lima puluh lima tahun yang sentiasa murah
dengan kasih sayang.
“Umi, ini bos Fina.” Aku kenalkan bos yang memandang aku dan Umi
Sarah dengan penuh kehairanan. Sambil
tersenyum Umi Sarah mempelawa Bos 1B3K masuk. Aku terus melangkah masuk ke
dalam rumah dan duduk di sofa yang sudah usang.
Bos duduk di sebelah aku. Seronok
pulak aku tengok wajah dia yang macam blur.
“Minggu lepas Fina tak datang,
mereka bertanya.” Kata Umi Sarah.
“Minggu lepas Fina balik
kampung. Hari ni pun nyaris tak dapat
datang, bos suruh kerja.” Sengaja aku
bercakap begitu sambil mengerling ke arah bos.
Mata dia sedang merayap ke segenap ruang tamu kecil banglo. Aku pasti dalam benaknya penuh dengan tanda
tanya.
“Duduk sekejap ya. Umi ambil air. Lepas minum nanti kita pergi ke
belakang.” Umi Sarah terus berlalu ke
belakang.
“Fina.” Bos panggil.
Bila aku toleh ke arahnya, bos bertanya “ini rumah boyfriend kau?” Aku jawab
dengan anggukan saja. Terasa hendak
ketawa tengok wajah bos.
Umi Sarah keluar bersama sebiji dulang
berisi dua biji cawan tidak berpiring, sepiring biskut Marrie dan sebiji
teko. Bila Umi Sarah letakkan dulang di
atas meja, aku terus capai teko dan tuangkan air teh ‘o’ ke dalam cawan. Aku hulurkan kepada bos. Dia teragak-agak hendak mengambil cawan itu.
“Jemput minum Encik. Air bujang dengan biskut kering saja.” Umi Sarah mempelawa. Bos mengangguk dan cuba senyum. Nampak macam tidak ikhlas saja senyuman
bos.
“Air bujanglah elok Umi. Tak ada susu macam ni lagi elok. Kan susu tu manis. Biskut kering ni pun bagus. Tak manis sangat, tak masin. Kalau yang ada krim bagai tu dahlah manis,
ada pewarna. Fina rasa ini terbaik.”
Aku angkat ibu jari dan tunjuk
kepada Umi Sarah. Sambil baca bismillah aku patah dua sekeping biskut Marie,
celup dalam teh ‘o’ dan sumbat dalam mulut.
Pandang Umi Sarah yang sedang tersenyum memandang aku. Toleh pula ke arah bos. Cawan masih dipegang, belum cecah pun ke
bibir dia.
“Bos duduk sekejap ya, saya nak
tukar baju.” Kataku kepada Bos 1B3K
selepas habis secawan teh aku teguk.
Lima minit kemudian bila aku kembali ke ruang tamu, bos tengok aku atas
bawah, atas bawah. Berkerut lagi dahi
dia.
“Kenapa pakai macam ni? Kita nak pergi mana?” Bos bertanya sambil bangun dari kerusi. Rasa nak gelak bila tengok dia
terpinga-pinga.
Aku
sarung selipar dan berjalan ke belakang rumah.
Di belakang rumah Umi Sarah ada sebuah gelanggang badminton. Sekumpulan kanak-kanak dalam lingkungan usia
dua ke dua belas tahun sedang bermain di situ.
Makcik Piah dan Makcik Leha sedang memerhatikan mereka. Makcik Piah dan Makcik Leha adalah adik
beradik dan mereka sepupu Umi Sarah.
Amri,
budak berusia sepuluh tahun nampak aku datang dan terus berteriak nama
aku. Bila yang lain dengar mereka semua
berlari ke arah aku. Aku pun
berlari-lari anak ke arah mereka.
Perasaan kami serupa, saling merindu dan gembira dapat bertemu. Seorang demi seorang menyalami dan mencium
tangan aku. Tiba-tiba terasa seluarku
ditarik. Aku pandang ke bawah. Anak yatim yang paling kecil, Sakinah sedang
memandang aku dengan penuh harapan. Aku
bongkokkan badan dan dukung Sakinah. Aku
cium pipinya yang gebu. Dia buat aku
teringatkan Nur Zety Aishah, satu-satunya anak saudara perempuan yang aku ada.
“Kak
Fina, kenapa minggu lepas tak mai?” soal Huda.
Dia berusia sebelas tahun dan anak yatim yang paling tua di sini. Ibu bapanya berasal dari Baling, Kedah. Bapanya sudah meninggal dan ibunya bekerja di
kilang. Huda menetap di sini bersama
adiknya Hamdan dan Husna.
“Sorry sayang, Kak Fina balik kampung.”
“Kak
Fina, bawak coklat tak?” Lokman pula
bertanya. Kalau tak salah aku umur
Lokman sembilan tahun.
“Sorry Man, Kak Fina kerja hari ni, ni
Kak Fina datang terus dari pejabat. Tak
sempat beli coklat. Lain kali Kak Fina
bawa ya.”
“Kami
dah lama tak makan coklat,” kata Shuib.
Rasa bersalah menyelinap dalam hati aku.
Ini semua Bos 1B3K punya pasal.
Kalau dapat keluar awal tadi, tentu aku sempat belikan mereka
coklat. Aku paling ke belakang.
Bos
sedang pandang Shuib dan kemudian pandang aku.
Aku gamit dia. Bila dia sudah
berdiri di samping aku, aku serahkan Sakinah kepadanya. Elok saja bos dukung Sakinah, tidak kekok.
“Ini bos Kak Fina. Nama dia Uncle
Rifqi. Bagi salam kat Uncle Rifqi.”
Dengan
suara yang nyaring mereka serentak mengucapkan “assalammualaikum Uncle Rifqi.”
Bos tidak jawab. Matanya masih
tertancap pada anak-anak yang berdiri depan kami. Dari riak wajahnya aku mengagak dia terpempan
dengan apa yang dilihatnya.
No comments:
Post a Comment