Assalam, mohon ampun sebab lambat upload bab 11.
Ayah masuk hospital, jadi Isma Adeliya sibuk sikit uruskan hal ayah.
Sambil jaga ayah, Isma taip kisah Fina dan Irsyad. Alhamdulillah ayah dah balik rumah semalam.
Jemput baca ya, dan sila komen.
Terima kasih.
BAB 11
Aku masuk seperti
disuruh dan duduk di sofa. Terasa
janggal duduk di ruang tamu yang besar dan mewah seorang diri. Ruang tamu banglo mama pun tak sebesar ruang
tamu rumah Datin. Sunyinya rumah
ini. Macam mana orang boleh tinggal
dalam rumah besar yang sunyi sepi?
Telefon bimbit aku berbunyi. Cepat-cepat aku keluarkan dari saku
seluar. Nama Nafiz terpampang di skrin,
buat aku tersenyum. Jarang Nafiz telefon
aku. Sukanya dapat dengar suara jantan
dia memberi salam. Aku jawab salam
sambil tersenyum.
“Maaf ganggu awak.” Seperti biasa Nafiz sangat bersopan santun
dan berhemah. Di mana hendak cari lelaki
budiman yang penuh sopan dan lembut tutur katanya seperti Nafiz dalam zaman
sekarang ni?
“Eh tak ganggu pun.”
“Boleh kita jumpa lusa? Ada benda nak bincang sikit dengan
awak?”
Nafiz
hendak jumpa aku? Kecil tapak tangan,
stadium Bukit Jalil aku tadahkan. Bukan
selalu Nafiz ajak keluar. Selalunya kami
hanya jumpa di Rumah Umi Sarah dan di Rumah An-nur, kemudian ketika bagi orang
gelandangan makan.
“Lusa? InsyaAllah boleh. Nak jumpa di mana?”
“Rumah Umi Sarah boleh?”
“Boleh. Lepas kerja saya terus pergi.”
“InsyaAllah, kita jumpa lusa. Terima kasih.
Assalammualaikum.”
Aku jawab salam dan matikan
panggilan. Tanpa sedar senyuman
tersimpul di bibir. Seronok dapat cakap
dengan Nafiz walaupun sekejap. Lebih
seronok bila dia ajak jumpa. Lusa nanti
boleh solat berjemaah dengan Nafiz di Rumah Umi Sarah. Biasanya kalau Nafiz datang sana, dia akan
imamkan solat. Dapatlah dengar suara
jantan dia baca surah dengan sedap.
Suara orang berdehem membuatkan aku
berpaling. Dia merenung aku dengan
tajam, sambil menolak kerusi roda yang diduduki oleh Dato’ Ibrahim. Eh, semalam Dato’ elok boleh berjalan, kenapa
hari ni berkerusi roda? Aku bangun
mendekati mereka dan bertanya khabar Dato’.
“Saya macam inilah. Kadang-kadang okey, kadang-kadang tidak. Sejak dari pagi tadi kaki terasa kebas.” Dato’ Ibrahim menjawab perlahan-lahan. Pertuturannya lebih jelas daripada semalam. Kasihan aku tengok dia. Terkenang abah di kampung. Syukur Alhamdulillah, Allah bagi rezeki
kesihatan kepada abah. Setakat ini belum
lagi abah sakit teruk. Setakat demam,
pening dan selsema saja.
“Fina picit kaki Dato’ ya?”
Dato’ Ibrahim mengangguk. Aku duduk di atas lantai yang beralas
permaidani mahal, mungkin dari Turki.
Aku picit kaki kanan sambil baca Bismillah dan Al Fatihah. Emak yang ajar kalau picit badan orang, baca
surah Al Fatihah dan doakan semoga orang yang dipicit hilang kesakitannya. Aku tidak sentuh kulit kaki Dato’ sebab dia
pakai seluar panjang. Tangan berkalih ke
kaki kiri dan aku ulang Bismillah dan Al Fatihah. Tiba-tiba terasa ada tangan atas kepala
aku. Bila aku dongak Dato’ Ibrahim
sedang usap kepala aku sambil tersenyum.
Aku senyum balik. Teringatkan
abah semula. Nanti bila balik kampung
aku hendak picitkan kaki abah sebab rasanya sudah lama aku tidak picit
abah.
Bila aku berdiri usai memicit kaki
Dato’ Ibrahim, mata aku terpandang wajah Datin yang sedang merenung aku. Datin senyum dan kemudian bertanya kenapa aku
ada di rumahnya. Bila aku beritahu Bos 1B3K yang suruh datang, dia geleng
kepala dan kemudian dia jeling ke arah Bos 1B3K. Si kerek tu buat muka selamba saja, macam
tidak rasa bersalah langsung. Dia tolak
kerusi roda ayahnya ke meja makan.
“Maaf ya Fina, si Rifqi ni
menyusahkan Fina saja.” Kata Datin
sambil menggamit aku ke meja makan. Aku
senyum saja. Takut kalau aku jawab ‘tak
apa’ atau ‘it’s ok Datin’, esok-esok
si kerek ni suruh lagi datang ke rumah dia.
Aku duduk dan tidak lama kemudian kami mula makan.
Ya Allah, inilah sesi makan malam
yang paling membosankan. Mereka ni makan
dengan senyap. Memanglah elok jangan
bercakap sambil makan, tapi dalam keluarga aku kami bersembang sikit-sikit
sambil makan. Bukankah waktu makan
bersama keluarga adalah waktu untuk mengeratkan hubungan sesama ahli
keluarga? Bagi orang yang peramah @
becok @ kecoh macam aku, rasa kekok sangat bila tidak berbual sambil
makan. Jadi apa lagi, kalau mereka tidak
mahu berbual, biar aku yang mulakan perbualan.
“Kak Iqa dah balik ke Datin?”
“Sudah. Lepas Maghrib semalam mereka sekeluarga balik
Alor Setar.”
“Dah lama Fina tak pergi Alor
Setar.”
“Kami pun dah lama tak balik
sana. Rifqi ni sejak balik Malaysia mana
pernah balik Alor Setar. Rafiqa selalu
turun KL sebab anak-anak dia rindu dengan tok daddy dan tok mummy. Lagi satu depa suka Pak Su depa dah balik
Malaysia.”
Oh, Pak Su gelaran yang anak-anak
saudaranya panggil si bengkeng ni. Kalau
aku, elok panggil dia pak suwey atau pak suram.
Baru sesuai. Aku jeling Bos
1B3K. Dia sedang tunduk pandang
nasi. Entah kenapa mata aku terus
melekat di wajah dia. Dia angkat kepala,
suap nasi dalam mulut. Bibir dia
bergerak-gerak mengunyah. Mata dia…
alamak bila aku angkat mata, mata aku bertembung dengan mata dia. Cis!
Malunya. Cepat-cepat aku habiskan
nasi dalam pinggan.
“Kalau
kau nak solat, boleh solat di bilik tetamu.
Lepas tu kita balik office,
tunggu sampai aku siap sign semua
dokumen.” Katanya bila aku kembali ke
meja makan selepas membasuh tangan.
“Qi,
kenapa buat macam tu, tak baik. Bukan
salah Fina pun. Kalau Qi tak masuk
lambat tadi kan dah siap sign
semuanya.” Datin menegur perbuatan anak
bongsunya dengan lembut.
“That’s the price for being rude to me.”
“Kan
Fina dah minta maaf? We agreed you shall finish signing all the
documents today and Fina shall apology to you.” Suara Datin sudah naik sikit, menandakan dia
tidak puas hati dengan perbuatan Bos 1B3K.
“Bila
masa kau minta maaf?” Kali ini dia
berpaling dari ibunya dan memandang aku dengan renungan tajam sambil mencekak
pinggang. Terserlah kebidangan dadanya
bila dia berdiri begitu. Aku kalihkan
mata dari wajahnya dan memandang Datin.
“Sebenarnya
tadi masa saya hantar kopi, saya nak minta maaf. Tapi tak jadi sebab… sebab saya takut Encik
Rifqi marah saya lagi.” Aku tuturkan
dengan suara sedih, meminta simpati dari Datin.
“Ha
tengok Qi, semua staff takut dengan
Qi. Rifqi dulu tak macam ni tau! Apa nak jadi ni Qi? Mummy dah tua, daddy dah sakit, tak boleh ke
Qi tolong mummy dan daddy?”
Alamak,
Datin betul-betul marah. Kasihan pula
aku tengok Bos 1B3K kena marah depan-depan aku dan Dato’. Yang Bos 1B3K pula diam saja, tidak menjawab. Dia masih tenung aku sambil mencekak
pinggang. Inilah masa yang sesuai untuk
aku bertindak.
“Bos,
saya minta maaf. Sebagai tanda saya
ikhlas minta maaf, saya dah bawakkan semua dokumen tu. Bos boleh sign
di rumah saja, tak payah pergi ke office
semula.” Aku ucapkan tanpa memandang
dia. Sebaliknya aku keluarkan secekak
dokumen dari dalam beg silang yang aku bawa.
Dia tak tahu, selepas dia keluar pejabat cepat-cepat aku masuk ke biliknya
dan masukkan semua dokumen yang belum ditandatangani dalam beg silang.
“That’s nice of you Fina, bagus. Hah Qi, sign
saja semua dokumen tu. Fina boleh
balik. Esok Rifqi akan bawa semua
dokumen tu pejabat semula.” Datin
berkata. Ada nada keterujaan dalam
suaranya. Eeeee seronoknya, aku rasa
hendak melompat tinggi-tinggi, kalau boleh sampai langit.
Tangan
Bos 1B3K yang di pinggang jatuh. Dokumen
yang aku hulurkan diambil. Mata dia
mencerlung memandang aku. Rasa macam
hendak tunjuk dua jari dalam isyarat ‘peace’
kepada dia dan cakap ‘dengar tu, mak bos kata saya nice,’ tapi kalau aku buat
tentu dia lagi sakit hati. Aku angkat
kaki, tinggalkan banglo mewah Dato’ Ibrahim.
Bila aku sampai
pejabat pada pukul 8.15 pagi, Bos 1B3K sudah sampai dan sudah mula
bekerja. Dokumen-dokumen semalam sudah
siap ditandatangani bukan saja oleh Bos 1B3K, malahan oleh Datin juga. Agaknya mereka ni tidur lambat malam
tadi. Lebih kurang pukul sebelas
setengah pagi, Bos 1B3K dan Datin berbalah lagi.
“Tiga
jam saja kita rasa aman.” Kata Kak
Razia. Memang betul pun. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Kenapalah dia tidak boleh bercakap dengan
elok kepada emak sendiri.
Bos
1B3K keluar dari bilik Datin. Masuk ke
bilik dia dan hempas pintu bilik dengan kuat.
Aku dan Kak Razia saling berpandangan.
“Kurang
asam! Dia tak tau ke kita ni naik pekak
dengar dia hempas pintu.” Rungut Kak
Razia. Ketika itu jugalah interkom
berbunyi. Di hujung talian Datin
menyuruh aku masuk ke biliknya. Datin
minta aku pujuk Bos 1B3K supaya pergi ke Kuala Selangor. Kata Datin dia bermati-matian tidak mahu
pergi melawat resort di Kuala Selangor yang sudah 80% siap.
Bila
aku tanya kenapa, kata Datin dia tidak pasti.
Kata Datin dia sudah mati akal bagaimana hendak memujuk Bos 1B3K supaya
mengikut Datin, Encik Suleyman dan Encik Razali melawat tapak pembinaan resort
di Kuala Selangor esok. Yang lain sudah
bersetuju untuk pergi. Hanya Bos 1B3K
saja yang enggan. Masalahnya kenapa aku
yang disuruh pujuk si bengkeng tu? Dan
macam mana aku nak pujuk dia? Ish pening
aku memikirkannya.
Pukul
12.30 Datin balik. Kak Raziah pukul 12
tadi sudah keluar lunch. Sekarang sudah
pukul satu. Yang Bos 1B3K pula langsung
tidak keluar dari biliknya selepas berbalah dengan Datin.
Aku
berdiri. Laporan yang Bahagian Jualan
hantar semasa Bos 1B3K sedang berbalah dengan Datin aku bawa masuk ke dalam
biliknya. Aku mara ke mejanya dan
letakkan laporan itu di sebelah lengan kanan dia. Aku sudah fikir pasal permintaan Datin dan
keputusan aku ialah go straight to the point.
“Bos, saya nak cakap sikit. Saya tak tau apa masalah bos. Yang saya tau bos ni menyusahkan hidup bos
sendiri. Asyik bertekak saja dengan Datin. Tak penat ke bergaduh? Bergaduh dengan emak sendiri pulak tu. Bos tak takut jadi anak derhaka ke? Bos ingat bila kita dah besar panjang, kita
boleh lawan mak bapak kita sesuka hati ke?”
Aku tuturkan dengan nada lembut.
Dia panggung kepala. Muka dia ketat. Muka ketat memang pakej sekali dengan
perangai yang kerek. Jadi walaupun Bos
1B3K kacak, kekacakan dia hilang bila muka dia ketat.
“Datin suruh bos pergi Kuala
Selangor saja. Bukan suruh pergi Papua
New Guinea ke, Zimbabwe ke. Pergi
sajalah.”
Dia
masih diam. Bagus, aku nak sambung
bercakap lagi. Orang becok macam aku
mana reti bercakap sikit-sikit.
“Kadang-kadang kita perlu korbankan
perasaan kita untuk buat orang lain gembira.
Bila orang yang kita sayangi gembira, kita pun akan rasa gembira
melainkan deria gembira kita sudah rosak.
Saya tak pasti apa masalah yang bos hadapi sampaikan bos fobia dengan
Kuala Selangor tu. Tapi tolongah bos,
dengarlah cakap Datin. Orang yang dengar
cakap ibu bapa hidupnya insyaAllah diberkati.”
Dia tetap diam. Pelik.
Semalam kami bergaduh bagai nak rak bila aku tegur dia. Hari ini dia diam saja. Aku anggap saja dia bagi peluang untuk aku
bercakap.
“Bos bertuah tau masih ada ibu
bapa. Saya tengok Dato’ dan Datin sangat
sayangkan bos. Kalau emak bapak jauh
macam saya ni, tak teruk lagi. Seminggu
sekali boleh balik kampung. Tapi kalau
tak ada mak bapak, macam adik-adik saya di Rumah Umi Sarah tu, lagi teruk. Pernah tak bos terfikir betapa beruntungnya
kita dibandingkan dengan adik-adik tu?
Mereka tu kalau diberi sesaat pun, cukuplah asalkan dapat jumpa balik
dengan mak bapak mereka yang dah tak ada.”
Aku rasa pening aku akan naik taraf
menjadi migrain sekejap lagi. Sebabnya
Bos 1B3K tetap membatu dan membisu.
Pelik sungguh. Bukankah dia tidak
suka aku berleter, macam sebelum-sebelum ini?
“Bos,
…”
“Cukup! Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Dah banyak kau bercakap. Keluar sekarang.”
Akhirnya keluar juga suara Bos 1B3K
dan akhirnya dia paling ke arah aku.
Mukanya kelat dan ketat. Matanya
memandang aku dengan tajam. Tidak penat
ke dia ni asyik marah dan emosional saja?
“Datin suruh saya pujuk Bos. Tolonglah
Bos, pergilah tengok projek Kuala Selangor tu.”
Aku lembutkan lagi suara dan bercakap dalam nada merayu.
“Apa masalahnya kalau aku tak
pergi? Apa dalam syarikat ni aku sorang
saja yang boleh buat kerja ke? Apa gunanya
ketua jabatan dalam syarikat ni, kalau benda senang pun aku kena buat sendiri?”
Terus
terang cakap walaupun aku tidak suka berlawan cakap dengan dia, aku rasa lega
bila Bos 1B3K tidak lagi berdiam diri.
Sebabnya bila dia lawan balik, itu bermakna dia mendengar dan beri
perhatian kepada apa yang aku cakap.
“Datin nak Bos pergi sebab Bos yang
kena buat kelulusan, vendor mana akan
diberi kontrak interior designing resort
tu.”
“Aku dah buat keputusan. Aku akan bagi kepada syarikat Azira.”
Azira? Ya Azira!
Itu adalah umpan yang bagus.
“Kalau bos pergi Kuala Selangor,
saya akan minta Cik Azira datang sekali.
Kan lebih baik kalau dia dapat tengok dengan mata kepala sendiri,
daripada berdasarkan gambar-gambar yang Encik Rafiq bagi. Mungkin selepas tengok dia boleh buat
keputusan yang lebih tepat. Mana tau dia boleh kurangkan harga.”
Bos 1B3K diam. Aku rasa dia sedang memikirkan cadangan
aku. Tapi lama pulak dia diam. Deputy
CEO apa ni, nak buat keputusan yang senang pun kena fikir lama-lama? Tiba-tiba dia berdiri. Dia buka kot dan sangkut di atas kerusi. Kemudian dia capai telefon bimbit dan
masukkan dalam poket.
“Bagi tau Abang Di, ambil aku dan
Datin di rumah esok. Kami pergi Kuala
Selangor dari rumah. Hantar emel kepada
yang lain, suruh mereka sampai sana sebelum pukul sepuluh. And
make sure I see Azira there.”
Dia terus keluar dari bilik tanpa
memandang aku. Aku tidak kisah pun. Lagi suka kalau dia tidak pandang sebab muka
ketatnya itu buat aku rasa menyampah.
Mesti dia tidak pernah dengar senyuman itu satu sedekah, sebab itu dia
kedekut senyuman. Aku keluar dari bilik
dia sambil tersenyum. Gembira
sangat-sangat. Berjaya juga aku
laksanakan tugas yang Datin suruh. Tapi
cepat-cepat aku ingatkan diri jangan terlalu yakin. Mana tahu tiba-tiba si kerek tu tukar
fikiran.
“Amboi, happy semacam tu kenapa? Si
bengkeng tu ajak kahwin ke?” Apalah Kak
Razia ni merepek. Terus mati senyuman
aku.
“Kak, kalau dia ajak kahwin
takkanlah saya senyum. Perempuan gila
saja yang sanggup kahwin dengan orang macam dia.”
“Mana kau tau? Kau pernah gila ke?”
“Ish Kak Razia ni. Saya happy
ni kak, sebab dia setuju pergi Kuala Selangor esok. Saya umpan dia dengan Cik Azira yang jelita
dan menggoda tu. Yang saya cerita dengan
akak dia datang hari Sabtu pakai cantik-cantik, cakap dengan bos lemah lembut,
manja-manja. Saya tengok bos macam dah
terpikat dengan dia.”
“Hah, bagus-bagus. Pandai pun kau. Eloklah kalau Encik Rifqi tu berkawan dengan
perempuan yang elok-elok. Kesian Datin
dan Dato’ kalau dapat menantu artis yang tak berapa elok perangainya.”
“Bukan semua artis perangainya tak
elok kak.”
“Memanglah. Tapi yang selalu keluar paper dan blog dengan
Encik Rifqi tu nampak sangat tak elok perangainya. Kalau kau jadi mak mentua, kau nak dapat
menantu yang pakai tak senonoh, suka bersosial, merokok dan minum?”
Aku geleng kepala. Lepas tu capai dompet. Giliran aku pula keluar makan tengahari. Sambil berjalan aku teringat kata-kata Kak
Razia. Cepat-cepat aku berdoa supaya
jodoh aku nanti lelaki yang baik-baik.
Yang macam Nafiz. Bukan yang
macam Bos 1B3K.
Ish, tak payah risaulah Fina pasal
jodoh. Jodoh tu Allah yang
tentukan. Bukan ke orang kata lelaki
yang baik ialah untuk perempuan yang baik.
Aku rasa aku memang boleh masuk dalam kategori perempuan yang baik. Aku tutup aurat. Tidak tinggal solat, melainkan ketika
ABC. Walaupun tidak baca Quran setiap
malam, aku usahakan baca Surah Al Kahfi setiap malam Jumaat. Kalau tidak sempat Al Kahfi, aku baca Surah
Yasin. Hormat orang tua. Baik dengan kawan-kawan. Buat kerja amal. Tak cukup baik lagi ke?
InsyaAllah, jodoh aku nanti lelaki
yang baik. Kalau dapat baik macam Nafiz
tu…alahai bestnya. Terbayang di mata
solat berjemaah dengan dia. Lepas tu
mengaji sama-sama. Dia betulkan bacaan
aku yang salah sambil tersenyum. Aku
senyum balik kat dia sebelum sambung bacaan.
Dum!
Aduh, sakitnya kepala aku. Ya Allah, macam mana aku boleh tidak perasan
dinding kaca ni, sedangkan setiap hari aku jalan di lobi ni? Itulah… berangan lagi pasal Nafiz, kan dah terlanggar
dinding kaca. Kenapalah Dato’ Ibrahim
mesti guna dinding kaca untuk Wisma Duta ni?
Aku pandang kiri dan kanan. Lega sebab tidak ada orang nampak. Mungkin pengawal berbangsa Nepal di lobi
nampak tapi tidak kisahlah kalau dia orang nampak. Pandang depan semula sambil gosok dahi.
Errk… bila masa pula si bengkeng ni
ada di lobi? Dia berdiri betul-betul
depan tangga selepas pintu kaca. Dia
pandang aku. Dia tidak senyum. Tapi dia ketawa. Seronok betul dia dan Abang Di gelakkan aku!
No comments:
Post a Comment