Sementara tu, apa kata kita enjoy dulu dengan kisah Naim Zakaria dan Izureen? Isma tulis edisi khas ini sempena genap setahun Saat Kau Lafazkan berada di pasaran.
SKL sangat bermakna kepada Isma Adeliya kerana novel inilah yang membawa Isma ke dunia penulisan novel. Terima kasih atas sokongan kalian, dan selamat membaca :)
p/s: Walaupun SKL baru setahun di pasaran, setting edisi khas ni dia orang dah kahwin lebih kurang 3 tahun.
SAAT KAU LAFAZKAN versi anniversary
Izureen
Dia kelihatan sangat penat. Sampai saja dari Dungun dia terus melabuhkan
tubuh yang sudah susut sedikit di atas hammock yang digantung pada pokok yang
pernah menyaksikan perbalahan dan lafaz cinta kami. Aku tarik kerusi lipat ke
sisi hammock dan duduk di sisinya. Wajah
kacak yang tampak kelihatan letih itu menimbulkan rasa belas dalam hati. Rambutnya yang kasar aku elus. Aku suakan tubuhku ke depan agar sebuah
kucupan dapat aku hadiahkan di dahinya.
Hmm, penat sangat suamiku ini. Aku rasa baru saja dia baring, sudah ke mana
mimpinya sampai dia tidak sedar aku menciumnya.
Biarlah dia berehat. Dia memang
perlukan rehat secukupnya kerana esok kami akan bertolak ke KL. Melihat dia lena dengan tenang hati merasa
lega. Rindu yang sudah bertapak dalam
hati bagai sudah terlerai.
Aku tegakkan tubuh sebelum berdiri. Pinggang yang agak lenguh kerana banyak
berdiri untuk menyiapkan tempahan tat cokelat aku gosok dengan tangan kanan
sebelum aku berdiri. Tubuhku palingkan
ke arah pondok cinta kami. Baru saja kaki hendak menapak, tangan kiriku ditarik
lembut. Aku berpaling semula dan wajah
letih Naim Zakaria yang sudah celik matanya menangkap pandanganku.
"Kenapa nak tinggalkan
abang? Kan Zureen suka tengok muka
handsome abang?"
Aku duduk semula di atas kerusi
lipat. Naim segera menarik tangan
kananku dan membawa jari jariku ke bibirnya.
"Reen tak nak kacau abang
tidur. Abang nampak letih sangat. Cukup-cukuplah ulang-alik ke Dungun. Talib dan Apit kan dah boleh handle?"
"Letih abang hilang bila
nampak wajah manis Zureen."
Alahai Naim, bahagianya hati ini
saat kau lafazkan kata-kata manismu. Aku
hadiahkan senyuman yang paling manis kepada suamiku.
"Nabil mana?"
Aku beritahu Naim buah hati
pengarang jantung kami ada di rumah emak.
"Kenapa tinggalkan dia dengan
emak? Zureen tau kan abang..."
Aku tekan bibir Naim dengan
jari. "Abah yang suruh tinggalkan."
Aku tahu Naim kurang suka aku
meninggalkan Nabil dengan emak kerana Naim tidak mahu emak penat menjaga empat
orang cucu dan dia tidak mahu Elida yang agak sensitif itu menganggap aku malas
menjaga sendiri anakku. Tapi sebab yang
lebih utama ialah Naim tidak mahu Nabil dibuli kerana pernah beberapa kali
ketika Nabil dan Zetty berebut mainan, Hafiz dan Lokman pantas saja memenangkan
adik mereka. Zetty memang manja kerana
dia satu-satunya anak perempuan Elida, anak saudara perempuan Naim dan Fina
malahan cucu perempuan emak dan abah.
Aku sendiri sangat senang dengan Zetty yang putih gebu itu dan seronok
juga melihat Zetty yang pelat mengusik Nabil.
Tapi suamiku yang over protective
tak mahu Nabil kalah dengan Zetty.
Wajah Naim masih ada riak kurang
senang. Dia bangkit dari hammock dan
menarik tanganku agar mengikutinya. Aku tahu dia hendak mengambil Nabil. Dia memang tak senang duduk kalau Nabil
ditinggalkan di rumah emak dengan anak-anak Elida ada sekali.
"Abang, abah dan emak kan
ada. Takkanlah dia orang biarkan
budak-budak tu bergaduh. Abang
sambunglah baring, kan abang penat?"
Aku paut pinggang Naim dengan sebelah tangan dan usap dadanya dengan
tangan sebelah lagi. Tindakan aku
menyebabkan Naim tidak dapat bergerak.
"Dah jangan nak goda
abang. Abang nak ambik Nabil." Naim bertegas. Matanya tajam merenung. Renungan tajam itu sangat aku rindukan
setelah empat hari dia menghabiskan masa di Villa Mahabbah.
"Bila masa pulak Reen goda
abang?"
Naim senyum, tangannya naik
menjamah pipiku dan dia cubit lembut sebelum berpaling dan berkata "abang
nak pergi ambil Nabil."
Aku hanya melihat dia pergi dengan
rasa bengang. Tadi dia kelihatan sangat
letih. Nabil punya pasal, hilang
letihnya. Nampaknya aku kalah lagi dengan Nabil.
Naim Zakaria
Dari jauh aku dapat mendengar suara nyaring anak
saudaraku mengekek. Seronok bunyinya Zetty ketawa, bagaikan ada sesuatu yang
sangat melucukan. Tidak terdengar pula
suara Nabil, mungkin mereka tidak bermain bersama. Eloklah begitu sebab Zetty tu suka membuli. Kalau setakat membuli abang-abangnya aku
boleh terima, ini Nabil pun jadi mangsa dia.
Mentang-mentanglah Nabil tu muda tujuh bulan dari dia.
Elida tekun bekerja di
pejabat. Aku menyahut sapaannya sebelum
terus berlalu ke rumah abah. Emak tiada
di dapur. Aku pergi ke ruang tamu dan
melaungkan nama Nabil. Aku dengar suara
Zetty saja. Sebaik saja kaki mencecah
ruang tamu, aku terpempan dengan apa yang ku lihat.
"Zetty! Jangan buat Nabil macam tu. Turun!"
Suara aku yang kuat mengejutkan emak yang terlelap di samping timbunan
pakaian yang sedang dilipat. Zetty
tersengeh memandang aku sedangkan Nabil pula monyok wajahnya.
"Pa' Yong, beeeesh tita main
tuda. Abil jadi tuda, Ety jadi pinshes."
Sakit hati aku mendengar kata-kata
Zetty. Tak padan dengan pelat, asyik
membuli anak aku saja. Aku tarik Zetty
dan turunkan dia dari atas pinggang Nabil yang sedang merangkak. Walaupun Nabil lebih muda daripada Zetty,
tubuhnya lebih besar dan tinggi. Tapi
itulah, harap badan saja besar, tapi lembik dan cengeng.
"Ayah." Nabil peluk aku erat-erat. "Bila ayah balik?" Janggut aku digosok. Itu tandanya Nabil rindukan aku.
"Tadi. Nabil buat apa ni? Kenapa main macam ni?"
"Zetty suruh Nabil jadi kuda,
Nabil jadilah." Dengan selamba
Nabil menjawab. Sebiji macam perangai
selamba Fina.
"Kan ayah dah kata jangan
benarkan Zetty buli Nabil? Kenapa main
macam tu? Kan sakit belakang tu?"
Aku usap belakang Nabil, kemudian
periksa tapak tangan dan lututnya. Mujur
tidak ada apa-apa calar atau lebam.
"Tak sakit." Jawapan Nabil melegakan hatiku. Bagaimana boleh aku buat anak kecil ini faham
betapa aku tidak berkenan dengan cara dia berlembut dan beralah dengan Zetty.
"Deme main-main jer Naim. Yang
kamu marah benor ni ngape? Deme tu
budak-budak yang sihat, elok ler deme tu lasak sikit, terutamanya Nabil
ni. Bior dia lasak sikit." Emak bertanya sambil memandang aku dengan
riak tidak puas hati terpamer di wajahnya.
Emak pun sama dengan Zureen, ambil ringan saja hal budak-budak ni. Nanti kalau Nabil tercedera, siapa yang
susah?
"Jangan dimanjakan sangat anak
tu. Biorkan dia lasak macam Lokman dan
Hafiz. Barulah dia membesor menjadi
budak yang berani, cergas. Kan
Nabil? Nabil nak jadi hero kan?" Emak usap kepala Nabil dan dia mengangguk. Aku tenung emak dan Nabil dengan rasa tidak
percaya. Takkan emak nak Nabil jadi
macam Lokman dan Hafiz? Budak berdua tu
bukan lagi dalam kategori lasak, tapi buas.
Emak berdiri. "Jom
minum," katanya lagi sambil berjalan menghala ke dapur. Zetty dan Nabil berlari mengikuti emak. Aku tersenyum melihat mereka berlari
terkedek-kedek. Nabil nampak elok saja,
macam budak lelaki yang aktif. Zetty
yang berada di hadapan tiba-tiba berhenti dan mendepakan tangannya, menghalang
Nabil dari mara.
"Tepilah!" Nabil tepis tangan Zetty namun Zetty tidak
berganjak.
"Tak boyeh. Abil tak boyeh pergi dapur."
Aku mendekati mereka. Nabil berpaling memandangku dengan wajah
cemberut. Aku gerakkan tangan menyuruh
Nabil terus mara ke dapur sambil mulutku menyebut “pergi” beberapa kali dengan
suara yang perlahan.
"Tepilah! Kita nak pergi dapur." Nabil bersuara, kali ini dengan nada suara
yang lebih garang. Bagus, macam itulah
anak aku, mana boleh cepat mengalah.
"Tak bo-yeh!" Kali ini suara Zetty juga semakin tinggi. Aku
nampak sifat garang Elida dalam diri Zetty.
"Tepi!" Nabil semakin garang.
"Tak boyeh!" Serentak dengan jeritan itu, Zetty menolak
Nabil dengan kuat sehingga Nabil terduduk atas lantai. Nabil menjerit dan kemudian menangis. Aku tidak pasti adakah kerana punggungnya sakit
atau kerana dia bengang dibuli oleh Zetty lagi.
Zetty hanya memandang ke arah Nabil dengan wajah selamba, seolah-olah
dia tidak bersalah.
"Ya Allah budak berdua ni
macam anjing dengan kucing. Udah jangan
gaduh. Moh kita makan nugget, opah dah
gorengkan untuk kome berdua." Emak meluru
dari dapur, capai tangan Zetty dan pimpin dia ke dapur. Nabil dibiarkan menangis. Ini tak adil!
Kenapa emak layan Zetty lebih baik daripada Nabil?
Aku melutut di sisi Nabil dan
mengusap rambutnya. Aku pujuk dia supaya
berhenti menangis. Aku tanya sakitkah,
dia menggeleng. Tapi gaya dia menangis macam sakit sangat. Emak keluar semula dari dapur, usap rambut
Nabil dan kesat airmatanya.
"Ala sayang. Kesian cucu opah ni, kena lagi dengan Zetty
ya. Jom ikut opah." Emak dokong Nabil dan membawanya ke dapur.
Nampaknya aku sudah salah anggap terhadap emak.
"Mak, biar Naim
bawak." Aku ambil Naim dari
dokongan emak. Tidak patut aku biarkan
emak mendokong Nabil yang agak besar badannya berbanding usia. Di dapur aku dudukkan Nabil bersetentang
dengan Zetty agar ada jarak yang besar antara mereka.
"Nak!" Jerit Zetty sambil menghulurkan tangan ke
arah Nabil ketika Nabil baru hendak menggigit sekeping nugget. Bulat mata Nabil memandang Zetty yang sudah
menjerit untuk kali kedua sambil menggoyangkan tangannya ke arah nuget yang
dipegang oleh Nabil.
"Zetty, kan ada dalam pinggan
tu untuk Zetty, ngape diambik yang Nabil punya?" Emak bertanya dengan
suara yang sedikit keras. Aku pun sudah
mula rimas dengan kerenah Zetty. Macam
mana Elida mendidik anak sampaikan pada usia tiga tahun Zetty sudah tunjuk
diva? Aku harap Izureen akan membesarkan
anak-anak kami baik.
Zetty terus menjerit meminta nuget
Nabil walaupun emak memujuknya. Sudahnya
Nabil gigit separuh nuget dan berikan separuh lagi kepada Zetty. Barulah si pelat itu diam. Nampak sangat Nabil sering mengalah.
Aku dokong Nabil dan bawa piring
nugetnya ke wakaf di tepi sungai.
Kebetulan Izureen juga sedang berjalan ke arah kami.
"Sakit hati abang dengan Zetty
tu. Asyik membuli Nabil saja. Tadi dia suruh Nabil jadi kuda lepas tu dia
naik atas belakang Nabil dan suruh anak kita merangkak pusing ruang tamu rumah
emak. Lepas tu nugget Nabil semua dia
nak. Inilah sebab abang tak bagi Zureen
tinggalkan Nabil di rumah emak. Kalau
nak tinggalkan Zureen mesti ada sekali. Faham?"
Entah kerana penat atau memang
kerana hati ini sakit melihat Nabil dibuli oleh Zetty, aku bercakap dengan
suara yang sedikit keras.
Wajah Izureen berubah.
Izureen
Naim sudah lama lena sedangkan aku masih
terkebil-kebil merenung siling dalam kegelapan malam. Banyak yang ingin aku bicarakan dengannya
namun sejak kepulangannya dari Dungun petang tadi aku hanya mampu menyulam rasa
kecil hati kepadanya. Aku faham dia
penat. Aku juga mengerti dia sayangkan
Nabil Imran dan seboleh-bolehnya dia mahu melindungi Nabil. Tapi aku tetap merasakan sejak kebelakangan
ini aku dan Naim semakin jauh? Adakah
aku yang terlebih sensitif atau memang perhatian Naim kepadaku sudah semakin
berkurangan?
Aku tolak gebar dan turun dari
katil. Pintu gelangsar yang sedikit renggang
aku tolak dan aku keluar ke balkoni.
Angin malam teras sangat mendinginkan, bagai mengiringi kesayuanku. Dalam kepekatan malam aku tidak mampu melihat
sungai di bawah. Seperti hatiku yang
tidak mampu mencerna perasaan yang terbuku dalam hati.
Malam ini sepatutnya dapat aku
khabarkan berita gembira kepada Naim namun aku hampa. Kehampaan yang menjentik hati tiba-tiba
memudahkan airmataku jatuh. Aku
melepaskan keluhan kecil. Satu-satunya
cara untuk merungkai kemelut perasaanku adalah dengan berterus terang dengan
Naim. Esok, aku akan meluahkan apa yang
terbuku dalam hati kepada Naim. Mungkin
semasa dalam perjalanan ke KL aku boleh bercerita, asalkan dia tidak meminta
aku memandu dan dia tidur hingga kami sampai KL, seperti yang terjadi bulan lepas.
Angin yang bertiup terasa semakin
dingin. Kesejukan terasa di pipi yang
basah dengan airmata. Aku berpaling
dengan niat mahu masuk ke bilik semula.
Namun kaki tidak bergerak kerana mata sudah menangkap wajah Naim yang
berdiri di jenang pintu sambil merenung aku.
Dalam kegelapan malam aku mampu melihat dengan jelas renungan tajam
matanya yang menusuk jauh ke dasar hati.
Matanya bersinar. Aku nampak kasih sayang dan cinta yang tulus dalam
sinaran mata Naim Zakaria. Aku juga
nampak garis-garis keletihan di wajahnya.
Ya Allah, isteri apakah aku ini,
yang pantas berkecil hati bila perhatian sang suami terhadapku mula menyusut,
sedangkan mungkin dia tidak sengaja? Airmataku
menderas lagi. Naim sudah berada
betul-betul di hadapanku.
"Abang punca tangisan ini
kan?" Dia menyoal sambil jarinya
menyeka pipiku. Aku kalihkan mataku dari
wajahnya. Tiada gelengan, tiada anggukan
dan tiada kata-kata yang mampu aku suarakan.
"Maafkan abang kalau kata-kata
abang petang tadi melukakan hati Zureen."
Aku
pandang semula Naim, mata kami bertaut. "Abang
tau Zureen tak suka abang manjakan sangat Nabil. Mak pun tegur abang tadi. Maafkan abang. Abang hanya mahu jadi ayah yang terbaik untuk
Nabil. Abang tak sedar rupa-rupanya
Abang telebih dalam hal ni."
Ujarnya sambil membelai rambutku
yang dihembus bayu. Aku mengangguk,
menandakan aku faham dan aku sudah tidak marah akan hal Nabil. Tapi hati ini masih belum lega. Perlukah aku luahkan sekarang, atau esok saja
ketika kami pulang ke KL?
"I know I have been busy
lately. Sampai tak sempat luangkan masa
untuk Zureen." Suara Naim seakan
berbisik, dan tangan kekarnya sudah melingkar di pinggangku. Perkataan ‘lately’ itu tidak tepat kerana
sebenarnya dalam tahun ini Naim sentiasa sibuk.
Kami belum bercuti ke mana-mana.
Bila balik ke KL pun Naim tetap sibuk dengan urusan syarikat hiasan
dalamnya. Semua itu tidak menjadi
masalah kepadaku sebelum ini kerana aku faham tanggungjawab Naim menguruskan
tiga perniagaan dalam masa serentak.
Tapi hari ini aku sangat terasa dengan sikap Naim.
"Tapi sesibuk mana pun, abang
tau perkembangan Zureen, cuma tak sempat berbual pasal tu. Esok, sebelum balik KL kita pergi klinik
untuk sahkan."
Kali ini keningku ternaik dengan
kata-kata Naim. Aku merenung tepat ke
dalam matanya dan dia melukis senyuman di bibir dengan reaksiku.
"Abang dah tahu?"
Naim mengangguk. "Sebelum abang pergi Dungun abang dah
tau."
"Mak cakap?"
Naim menggeleng.
"Habis tu, Ida?"
Naim menggeleng lagi.
"Fina?"
Senyuman Naim melebar. "Budak tu, sejak ada Irsyad Rifqi dalam
hidup dia, dah jarang call Along dia ni."
“Habis macam mana abang tau?” Aku menyoal sambil dalam hati aku cuba meneka
bagaimana Naim mengetahui tentang kehamilanku.
Naim tarik tubuhku agar rapat dengannya dan melepaskan satu ciuman di
dahiku. Hatiku semakin sejuk.
“Reen rindu abang. Ingatkan petang tadi nak bagi tau abang, tapi
abang sibuk dengan Nabil. Nak bagi tau
malam, awal-awal abang dah lelap.”
Akhirnya aku memilih untuk berterus terang, agar Naim faham kenapa aku
terkilan.
"Kali terakhir Zureen suka cium
ketiak abang masa mengandungkan Nabil.
Lepas bersalin mana ada Zureen cium ketiak abang lagi. Tapi lately….”
Aku tekup mulut Naim. Malulah bila dia ingatkan tentang tabiat pelik
aku yang suka mencium ketiaknya sebelum tidur semasa mengandungkan Nabil
dulu. Nampaknya tabiat yang sama
berulang. Naim turunkan tanganku dan
genggam erat.
"Keluarga kita akan
bertambah. Sebelum alahan Zureen start,
abang nak siapkan kerja di Dungun supaya boleh jaga Zureen. Sebab tu abang stay lama sikit kat Dungun. InsyaAllah lepas renovation selesai, abang
akan pergi sana sebulan sekali saja.
Masa tu abang janji, akan luangkan banyak masa dengan Zureen."
Aduhai Naim, betapa berbunganya
hatiku saat kau lafazkan janjimu. Aku
tahu suamiku pasti akan mengotakan janjinya kerana dia suami yang
bertanggungjawab, anak yang bertanggungjawab dan bapa yang… over protective.
"Abang."
"Hmm."
"Janganlah manjakan sangat
Nabil. Reen tak nak Nabil tu jadi lembik
sebab ayahnya selalu cover. Biarkan dia
handle sendiri situasi. InsyaAllah dia
akan tau macam mana nak bawa diri nanti.
Tapi kalau sikit-sikit abang protect dia, Reen takut dia nanti tak pandai
berkawan, lembek, cengeng. Nanti dia tak
pandai berkawan. Reen dah rasa membesar
tanpa kawan. I grew up as a lonely
girl."
"Abang akan cuba. Bukannya apa, abang kesiankan Nabil. Dia seorang, sedangkan Zetty tu ada
abang-abangnya yang protect dia. Abang
ingat bila abang tolong dia, dia akan jadi lebih confident."
"Nanti Nabil akan ada
adik-adik. Sebagai anak sulung dia kena
tough supaya dia boleh protect adik-adiknya.
Macam mana dia nak belajar jadi berani dan cekal kalau abang asyik
protect dia?"
Naim
mengangguk. Tubuhku ditarik dengan
lembut ke dalam rangkulannya. Hatiku
terasa damai dan dadaku terasa ringan.
Bunga-bunga bahagia berkembang mekar dalam jiwa.
“Abang harap kali ni kita dapat
anak perempuan. Biar Zetty ada
saingan. Padan muka dia, semua orang tak
akan manjakan dia lagi.”
Naim! Saat kau lafazkan ayat itu aku hanya mampu
tersenyum.
No comments:
Post a Comment