BAB
16
Pagi ini tanpa diduga Datin Nuridah masuk
pejabat. Datin yang sampai jam 9.30
pagi, nampak segar dan bertenaga. Dia
juga kelihatan anggun dalam jubah biru yang Bos 1B3K belikan kelmarin. Selepas menyerahkan dokumen-dokumen yang
sepatutnya kepada Datin, aku bertanyakan khabar Dato'. Kata Datin demam Dato' sudah kebah
sepenuhnya. Aku rasa lega bila mendengar Dato' sudah sihat.
"Azira macam mana, ada datang
jumpa Rifqi?"
Ada Datin. Siap bersarapan bersama. Lepas tu saya pulak yang kena orderkan nasi lemak. Dia ingat saya ni waitress ke apa? Alangkah
bagusnya kalau aku boleh berkata begitu.
Hakikatnya aku sekadar memberitahu Datin yang Azira datang ke pejabat
minggu lepas tanpa menceritakan tentang sarapan pagi mereka dan makan tengahari
dengan nasi beriani seperti yang diceritakan oleh Kak Razia.
"Saya rasa Rifqi sedang berkawan
dengan Azira sekarang. Saya pernah
terdengar dia berbual dengan Azira di telefon.
Saya tengok dia gembira kebelakangan ni. Sejak kelmarin dia tak lagi moody dan garang. Dia dah kurang bertelingkah dengan saya dan
Dato'. Hah, hujung minggu lepas dia tak
keluar dengan kawan-kawannya. Dia bawa
saya dan Dato' bersiar. Dato’ happy
sangat. Cuma satu, sejak minggu lepas,
setiap malam… lepas makan dengan kami, dia mesti keluar."
Aku nampak wajah Datin ceria sedikit
bila dia bercerita. Aku agak dia suka
anak bongsunya rapat dengan Azira.
"Entah ke mana dia pergi. Saya tak tanya sebab Rifqi tu dah besar. Saya tak mau nampak seperti mengongkong
dia. Lagi pun dia dah tak balik pukul
satu, dua pagi macam dulu. Paling lewat
pun pukul sebelas. Saya bersyukur
sangat-sangat. Saya harap Rifqi terus
berubah jadi baik. Saya dan Dato'
rindukan Rifqi yang dulu."
Datin tersenyum. Melihat Datin gembira, aku rasa seronok. Terkenang emak di kampung yang sentiasa ceria. Aku rindu kat emak. Kemudian Datin bertanyakan tentang
perkembangan pelantikan pereka dalaman untuk Resort Sri Selangor. Aku maklumkan kepadanya Suleyman diberi masa
sehingga esok untuk mengemukakan saranannya.
“Kalau Azira dan Rifqi betul-betul berkawan,
saya tak mahu dia jadi interior designer
Sri Selangor." Datin Nuridah
berkata dengan tegas. Aku tidak faham
kenapa Datin berkata begitu lalu aku bertanya kepada Datin. Kata Datin Nuridah dia tidak mahu menanggung
risiko projek Sri Selangor terbengkalai untuk kali kedua sekiranya perhubungan
Bos 1B3K dan Azira tidak menjadi.
“Sekarang sudah tak ada cerita pasal
Rifqi dengan pelakon tu kan?”
“Tak ada Datin. Setiap hari saya periksa suratkhabar, blog
dan laman web hiburan. Google. Masa
Datin tak masuk pejabat pun saya buat.
Memang tak ada.”
Datin mengangguk. Di wajahnya terpamer riak kelegaan. “Betul agaknya pelakon tu dah tak ada di
Malaysia.” Kata Datin.
“Saya tak tau pasal tu Datin. Sebenarnya saya jarang membaca pasal
hiburan. Nanti saya tanya Kak Razia.”
“Ada orang beritahu saya pelakon tu
dah pergi ke Indonesia, nak cuba nasib di sana.”
Wah Datin lagi terror daripada aku. Aku
langsung tak tahu pasal itu.
“Rifqi sentiasa kata dia tak ada
apa-apa hubungan dengan pelakon tu melainkan kawan biasa. Tapi bila keluar cerita dari sebelah sana,
kononnya ada hubungan istimewa. Saya tak
tau mana satu yang betul, tapi saya terpaksa percaya anak sendiri. Kalau betul, dia dah pergi Indonesia, eloklah. Lagi jauh dari Rifqi lagi baik.”
Aku hanya sekadar menggangguk sebelum
keluar dari bilik Datin untuk meneruskan kerja-kerjaku.
Menjelang pukul dua belas tengahari Datin Nuridah
pulang. Katanya dia mahu makan tengahari
bersama dengan Dato’ Ibrahim untuk memastikan Dato’ betul-betul makan dan
mengambil ubat selepas makan. Kata Datin
lagi dia risau kalau Dato’ tiba-tiba hilang selera makan.
Selepas
makan tengahari aku masuk ke bilik Bos 1B3K untuk mengambil fail lama Resort
Sri Selangor. Aku hairan kenapa fail
yang satu ini disimpan dalam bilik Bos 1B3K dan bukan dalam kabinet fail di
belakang tempat duduk Kak Razia seperti fail-fail yang lain. Fail biru setebal dua inci itu aku semak di
meja kerjaku. Setiap dokumen yang ada
dalam fail itu aku teliti satu persatu.
Ada
lima syarikat hiasan dalaman yang berminat dengan projek Sri Selangor. Bibir aku mengukir senyuman bila melihat ada
sebut harga dari Syarikat HaZack Décor.
Itu syarikat Along. Harga yang
syarikat Along sebutkan agak kompetitif berbanding empat syarikat yang lain. Tidak ada apa-apa mengenai Azira atau
syarikatnya yang boleh aku perolehi dari fail lama itu. Dua kali aku semak, tetap tidak jumpa
apa-apa. Aku nampak Suleyman ketika itu
sudah pun berkhidmat di Duta Holidays dan memegang jawatan yang sama seperti
sekarang iaitu ketua Bahagian Perolehan.
Tidak ada sebarang kertas cadangan mengenai juruhias dalaman dalam fail
itu. Aku rasa mungkin belum sempat
dipilih, Bos 1B3K sudah meninggalkan tanahair.
Fail
itu aku tutup dan aku bawa masuk ke bilik Bos 1B3K. Aku
letakkan semula fail itu di rak yang sama.
Ketika aku hendak menutup pintu kaca kabinet yang terletak di sisi kanan
meja Bos 1B3K, satu suara bertanya dengan keras, “kau cari apa di situ?”
Aku
menjerit kecil kerana terkejut. Ish dia
ni, kot ya pun bagilah salam dulu. Cepat
pula dia balik dari Melaka.
“Tadi saya ambil fail lama Resort Sri
Selangor. Saya nak tengok quotation lama, untuk bandingkan berapa
peratus peningkatan kos hiasan dalaman.”
Nasib baik otak aku cepat berfikir.
Aku rasa jawapan itu logik. Tentulah
kos sekarang lebih tinggi berbanding kos dua tahun yang lepas, tapi mana tahu
mungkin ada kos yang masih sama.
“Siapa
suruh?” Bos 1B3K bertanya sambil
mendekati aku. Kedua belah lengannya
disilangkan di dada. Dia berdiri
betul-betul di hadapan aku, membuatkan aku terkepung di antara dia dan kabinet.
“Tak
ada sesiapa. Saya cuma nak tau.” Aku jawab dengan tenang walaupun sebenarnya
hati sudah mula tidak senang. Cara dia
memandang dan kedudukannya yang rapat dengan aku membuatkan aku rasa tidak
selesa.
“Listen.
Aku dah tutup fail lama dan buka fail baru. Jangan nak memandai-mandai buat benda yang
aku tak suruh. Faham?” Nada suaranya tegas. Matanya tajam menikam jauh ke dalam dasar
mataku. Aku mengangguk. Mulut becokku tiba-tiba tidak dapat
dibuka. Dia mara setapak lagi,
mendepakan tangannya ke depan dan menekan pintu kabinet. Bau haruman yang melekat di tubuh Bos 1B3K
masuk ke dalam rongga hidungku. Aku
semakin tidak selesa. Belakang tubuhku
sudah melekat dengan dinding kabinet.
“Satu
lagi, don’t ever, ever open this
cabinet. Whatever that are inside here,
are not your concern. In two week’s time
you will be back at your place down there so don’t bother checking the old
records. Aku nak ingatkan kau, kau
dekat sini sementara saja jadi buat apa yang perlu saja. Tak payah nak tunjuk rajin… nak tunjuk pandai…
nak tunjuk baik.”
Kali
ini walaupun nadanya tegas, suaranya perlahan dan sangat dekat dengan telinga
aku. Agaknya kalau aku tidak pakai
tudung, boleh terasa hembusan nafasnya di telingaku. Aku tutup mata dan sendengkan sedikit tubuhku
ke kanan untuk menjarakkan wajahku dari wajahnya. Dada aku berdegup laju. Hati aku sakit dengan kata-katanya dan
perbuatannya. Aku rasa dia buat begitu
kerana hendak menakutkan aku.
Bukanlah
Safinatun Najah namanya kalau berdiam diri saja. Aku ada dua pilihan sekarang. Buka langkah taekwando dan bagi Bos 1B3K satu
pukulan atau tendangan. Lebih tepat
lagi, beri tendangan di celah kangkangnya. Tapi kalau aku buat begitu mungkin aku akan
didakwa menyerang bos dan dibuang kerja.
Jadi aku ambil pilihan kedua.
Aku
tarik nafas dalam-dalam dan buka mataku perlahan-lahan. Segaris senyuman sinis tersungging di pinggir
bibirnya. Agaknya dia seronok melihat
aku ketakutan. Aku tenung matanya. Mata kami bertembung lagi. Kalau tadi aku rasa renungannya tajam
menikam, sekarang aku cuba beri dia renungan tajam menikam juga. Biar dia tahu aku pun pandai merenung
orang. Aku cuba berlagak tenang walaupun
sebenarnya dada aku penuh dengan irama k-pop yang rancak giler.
“Encik
Irsyad Rifqi.” Untuk pertama kali
selepas dua minggu bekerja dengannya aku memanggil dia dengan namanya. Matanya berkedip dan renungan tajamnya
kendur.
“Saya
minta maaf. Tak ada sesiapa beritahu
saya dalam kabinet ni ada barang berharga atau maklumat sulit atau kenangan
silam yang Encik Rifqi cuba usir. Jangan
risau, saya tak akan buka lagi kabinet ni.
Saya tau saya hanya sementara saja di sini dan saya sangat berharap
tempoh dua minggu akan datang dengan cepat.
Saya tak sabar nak balik kerja di bahagian Akaun. Di sana kerja saya dihargai tapi di sini
Encik Rifqi anggap saya macam pekerja yang tak ada perasaan. Kalau Encik ada masalah dengan gadis
bertudung, jangan ingat semua gadis bertudung sama seperti gadis bernama
Samirah.”
Muka
dia berubah. Tangan yang mendepa
dijatuhkan. Matanya dikalihkan dari
wajahku. Tubuhnya diinjakkan. Aku cepat-cepat beredar sambil di dalam hati
melafazkan kesyukuran kerana dia tidak melakukan sesuatu yang lebih teruk ke
atasku. Sampai di jenang pintu aku berpaling.
Dia sedang bersandar di kabinet, sebelah tangannya disimpan dalam kocek. Sempat mata aku menangkap wajahnya yang kini
muram. Tiba-tiba ada rasa simpati
terhadapnya yang mengetuk hatiku.
Cepat-cepat aku singkirkan rasa itu.
Orang seperti si 1B3K tidak layak mendapat simpati dariku.
Hairan. Itulah
yang aku rasakan apabila Abang Latif memberitahu Nafiz sudah lama tidak datang
ke Rumah Warga Emas An Nur di waktu malam.
Kenapa dia tidak datang ke sini sedangkan rumah ini ayahnya sendiri yang
asaskan sebelum diserahkan kepada Abang Latif?
Selama dua tahun aku mengenalinya dan mengikuti kerja-kerja amal yang
dilakukan oleh Nafiz, aku tahu setiap petang dia pergi ke rumah An Nur. Di Rumah An Nur inilah dia akan solat
Maghrib, makan malam, solat Isya’ dan balik.
Hampa. Itu juga yang aku rasakan apabila tidak dapat
berjumpa dengan Nafiz. Aku hendak sangat
berjumpa dengan dia. Kali terakhir kami
berjumpa ialah ketika Abi Yusuf memberitahu ada seorang dermawan yang mahu
membiayai kos pembinaan bangunan baru untuk Rumah Anak Yatim Umi Sarah. Selepas itu Nafiz senyap tanpa berita. Aku meneka mungkin dia sibuk. Ayah dia tidak berapa sihat jadi mungkin dia
sibuk menziarahi ayahnya yang kini menetap di kampung. Mungkin juga jawatan pegawai pentadbiran di
sebuah syarikat penerbitan menuntut lebih perhatian daripada Nafiz.
Selepas
menegur dan bertanya khabar dengan beberapa orang warga emas yang menginap di
Rumah An Nur, aku beredar dari situ.
Abang Latif, pengurus Rumah An Nur mempelawa aku untuk makan malam di
situ. Namun aku tolak pelawaannya. Aku ke sini untuk berjumpa dengan Nafiz,
bukan untuk makan. Dan bila Nafiz tiada, semua mood ceria aku berubah serta
merta. Ish parah ni.
Dadaku
terasa berat dan ketat serta hatiku sakit ketika berjalan ke arah skuter. Aku
cuba singkirkan rasa hampa kerana tidak dapat berjumpa Nafiz. Bila aku buat begitu, peristiwa di pejabat
pula yang menerjah fikiran. Kejadian di
pejabat petang tadi masih menghantui fikiranku.
Aku ingin tahu kenapa kabinet itu adalah kawasan larangan buatku. Tapi pada masa yang sama aku memujuk hati agar
jangan ambil peduli tentang fail lama dan kabinet itu. Aku harus sedar inisiatif dan komitmen yang
tinggi mungkin tidak diperlukan sebagai pembantu sementara Bos 1B3K.
Wajah
Bos 1B3K muncul di ruangan mataku. Wajah
dia ketika merenung tajam ke arahku, wajah dia ketika tersenyum sinis dan wajah
muramnya ketika aku hendak keluar dari biliknya. Wajah muram itu muncul di lama ruangan
mataku. Walaupun separuh hatiku berkata
tidak perlu bersimpati kepadanya, hatiku yang separuh lagi pula berkata aku
terlalu celupar dan tidak patut menyebut nama Samirah. Datin yang beritahu aku Bos 1B3K berkelana ke
Eropah selepas Samirah yang dicintainya berkahwin dengan orang lain. Kata Datin Bos sangat cintakan Samirah tapi
entah di mana silapnya hubungan mereka tidak berakhir di jinjang pelamin.
Kesian
dia. Bukan dia minta cintanya putus di
tengah jalan. Yang kau pergi ingatkan
dia tentang kisah duka dia buat apa?
Kenapa mulut tu kurang ajar sangat, sampai sebut nama Samirah? Cuba kalau kau di tempat dia, kau suka tak
kalau orang sebut kisah cinta kau yang terkandas? Kalau pun kau nak menjawab kata-kata dia, tak
payahlah sebut nama bekas kekasih dia.
Kau suka kalau orang sebut pasa Pejal?
Atau orang bercerita tentang kisah kau dan Rasydan Miang?
Hati
baik aku berbisik. Aku sedar aku sudah
buat salah. Macam mana hendak buat dia
suka perempuan bertudung kalau aku tidak tunjukkan akhlak yang baik? Esok aku akan minta maaf dengan Bos
1B3K. Tapi esok dia tak masuk
pejabat. Baik aku minta maaf
sekarang. Mungkin hati aku akan tenang
selepas minta maaf.
Aku
keluarkan telefon bimbit. Aku taip ‘bos
saya minta maaf pasal petang tadi. Saya
sedar saya tak patut cakap macam tu kat bos.’
Aku tekan butang hantar. Aku rasa
lega. Sama ada Bos 1B3K maafkan aku atau
tidak, itu adalah haknya. Yang penting
aku sudah sedar akan kesilapanku dan sudah meminta maaf.
Tapi, ketika aku mencapai helmet
terasa dada aku masih belum lapang sepenuhnya.
Terasa macam masih ada lagi perkara yang aku perlu nyatakan kepada Bos. Aku letak semula helmet, seluk kocek dan
keluarkan semula telefon bimbit.
‘Saya
hormatkan bos. Saya harap bos jaga
batasan, jangan sampai rasa hormat saya terhadap bos hilang. Tolong jangan gatal, berdiri dekat-dekat,
bisik-bisik kat telinga saya lagi. Saya
masih belum hilang deria pendengaran.
Tudung saya tak membuatkan saya pekak.
Lagi satu, setahu saya belum ada orang yang jadi pekak sebab pakai
tudung.’
Aku
baca semula apa yang aku sudah taip, tekan butang hantar. Aku simpan telefon bimbit dalam beg silang
dan capai helmet. Sekarang baru
betul-betul rasa lega sebab apa yang terbuku di hati sudah aku luahkan. Enjin skuter aku hidupkan. Rasa bersalah terhadap Bos 1B3K sudah
menyusut tapi rasa hampa kerana tidak dapat berjumpa dengan Nafiz masih
bersarang dalam hati. Di mana
Nafiz? Apa dia buat sekarang? Di saat aku sangat-sangat ingin bertemu
dengannya, adakah dia ingatkan aku?
Telefon
bimbitku berbunyi. Bos 1B3K balas
pesanan whatsapp aku. Dahi aku berkerut sesudah membaca pesanannya.
Apa yang dia hantar tak ada kena mengena langsung dengan kedua-dua pesanan yang
aku hantar kepadanya sekejap tadi.
No comments:
Post a Comment