BAB
17
Dalam pesanan whatsapp yang dihantarnya malam tadi, dia minta aku jumpa dia di
lobi jam 7.30 pagi. Itu saja. Dia tidak kata dia maafkan aku, dan tidak
juga ada apa-apa respons terhadap permintaan aku yang mahu dia menjaga
batasan. Maka berdirilah aku di lobi
menanti kedatangannya. Bila aku nampak
kereta Mini Cooper S Coupe berhenti depan pintu utama aku cepat-cepat
keluar. Bos 1B3K keluar dari pintu
bahagian pemandu. Kenapa pula dia
memandu sendiri dan tidak gunakan BMW X5 berwarna perak? Satu lagi perkara yang menghairankan aku
ialah dia ni kaya raya tapi setakat pakai Mini Cooper saja. Belilah kereta yang lebih gempak.
“Ikut
aku pergi Ipoh.” Katanya bila dia nampak
aku.
“Bukankah
hari ini bos sepatutnya pergi Kuantan?”
Aku ingat jadual dia jadi aku tanya soalan itu.
“Aku nak pergi Ipoh hari
ni. Kuantan tukar ke Isnin.” Dia jawab dan kemudian dia batuk. Batuk kecil saja.
"Kau ada lesen?”
Aku mengangguk. Dia datang ke bahagian penumpang belah depan
dan berdiri di sisi aku. "Kau drive."
Biar betul dia ni. Aku ni pembantu, bukan pemandu. Aku tidak berganjak.
"Aku tau kau
terpikat dengan wajah kacak aku ni. Tak
payah tenung aku lama-lama. Masuk
sekarang dan pastikan dalam masa tiga jam kita dah sampai Ipoh." Bos 1B3K tersenyum. Memang dia kacak. Nampak muka dia lagi kacak bila dia
senyum. Kemeja berwarna kuning cair
dengan tali leher berwarna biru gelap yang melekat ditubuhnya membuatkan dia
kelihatan segak. Mimpi apa dia malam
tadi, tiba-tiba saja pagi ini murah dengan senyuman?
Tapi si kacak ini sudah
buat darah aku naik pagi-pagi. Kenapa
tidak cakap awal-awal dalam pesanan ringkasnya semalam dia mahu aku ikut dia
melawat hotel? Kenapa tidak cakap
awal-awal dia mahu aku pandu kereta? Aku
tak sukalah dia buat macam ni! Tapi suka
atau tidak aku tiada pilihan. Aku masuk
ke dalam kereta, baca doa naik kenderaan dan terus memandu. Sepanjang perjalanan aku diam saja. Tapi walaupun mulut aku diam, otak aku
berfikir. Apa helah si 1B3K ni? Kenapa aku dibawa bersama? Mana Abang Di? Kenapa ditukar Kuantan dengan Ipoh? Persoalan-persoalan ini hanya berlegar dalam
kepala. Bos 1B3K juga diam sepanjang
perjalanan tapi dia batuk. Makin lama
makin kerap dia batuk. Aku berpaling ke
arahnya.
“Bos tak sihat?”
“Batuk
sikit saja. Mungkin sebab cuaca panas.”
“Itulah,
saya buatkan jadual tak nak ikut.” Rasakan. Asalnya aku atur lawatan ke resort dan hotel
milik Duta Holidays secara berselang sehari.
Dia sendiri yang minta aku tukar dan aturkan setiap hari dia melawat
satu tempat, kecuali pada hari Jumaat. Aku
agak mungkin dia nak habiskan lawatan dengan cepat supaya dia boleh fokus
kepada perkara lain. Tapi letihlah badan
kalau setiap hari keluar daerah.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas sekarang.
Disebabkan
hendak sampai pejabat sebelum jam 7.30 pagi, aku tidak sempat bersarapan. Irama keroncong dalam perut semakin
kuat. Elok pun kuat, biar si 1B3K ni
boleh dengar. Tapi bos hati kering ni
bukannya tanya pun sama ada aku sudah bersarapan atau belum. Dia bersandar sambil kepalanya dihalakan ke
arah tingkap. Bila sampai di Kawasan
Rehat Tapah, aku buat keputusan sendiri.
Aku masuk ke kawasan rehat dan parkir kereta.
“Saya
belum sarapan.” Bos 1B3K berpaling ke
arahku. Dia kelihatan letih.
“Pergilah
makan. Tapi jangan lama.”
Dia sudah bagi kebenaran
jadi aku terus keluar. Elok pun dia
tidak ikut, bolehlah aku bersarapan dengan aman. Aku makan sepinggan nasi lemak dengan segelas
teh tarik. Sambil makan aku hantar whatsapp kepada Kak Razia dan beritahu
dia bos minta aku mengikutnya ke Ipoh.
Mesti Kak Razia terkejut nanti.
Aku juga minta Kak Razia periksa apa yang telah terjadi kepada Abang
Di.
Masa
berjalan balik ke kereta, aku singgah di kedai serbaneka dan belikan Bos 1B3K
sebotol air mineral dan sepeket lozenges Fisherman’s Friend. Bila sampai di kereta Bos 1B3K sudah
terlelap. Kasihan pula aku lihat dia
begitu. Aku masuk dalam kereta dan tutup
pintu dengan perlahan-lahan supaya dia tidak terjaga.
“Dah
kenyang?” Dia bertanya. Agaknya dia sekadar memejamkan mata untuk
berehat dan tidak tidur seperti yang aku sangkakan.
“Alhamdulillah. Ni saya belikan bos air dan ubat sakit
tekak.” Aku hulurkan plastik berisi sebotol
dan sepeket Fisherman’s Friend kepadanya.
Bos 1B3K tenung aku sekejap sebelum mencapai plastik itu. Dia sekadar memegang saja beg plastik,
seperti tidak berminat dengan usaha aku membelikan dia air dan ubat sakit
tekak.
Dia
batuk lagi. Kali ni lebih kuat. Aku rasa kasihan jadi aku tarik plastik dari
tangannya, buka botol air mineral dan hulur kepadanya. Dia ambil dan tanpa sebarang kata dia
menggogok air dari botol. Sementara dia
minum aku ambil pula Fisherman’s Friend dan buka peketnya. Aku suakan kepada bos. Dia tidak ambil peket itu, sebaliknya dia
memandang aku.
“Suapkan.”
Aku tak salah dengar
kan? Aku angkat mata dan pandang
wajahnya. Memang dia nampak letih. “Tangan aku kotor. Tolong suapkan.”
Ish
mengada-ngadanya dia ni. Setakat jari
kotor sikit, takkan tak boleh ambil sendiri ubat tu?
“Please.” Katanya dengan lemah. Matanya masih terarah ke wajahku. Suap sajalah Fina, bukannya susah. Hati aku berbisik. Memang tak susah tapi aku tidak biasa. Belum pernah aku suapkan ubat ke dalam mulut,
melainkan mulut aku sendiri.
Bos 1B3K batuk lagi. Kali ni lebih teruk batuknya sampai dia
tertunduk dan mukanya merah. Aku ni
walaupun mulut kadang-kadang laser, tapi hati aku baik. Tak sampai hati pula aku tengok dia mcam
tu. Aku ambil sebiji lozenge dan suakan
ke mulut Bos 1B3K. Dia tidak buka
mulut. Aku angkat mata. Dada aku berdegup laju sebaik saja pandangan
kami bertaut. Inilah yang paling aku
tidak suka. Aku tidak suka bila dada aku
berdegup laju dan aku tidak suka bila dia pandang aku begitu.
Renungan matanya lembut,
bagaikan meminta simpati dari aku. Dia
seolah-olah larut dalam khayalan ketika matanya leka menerawangi wajahku. Ini bukan kali pertama dia berkelakuan begini
maka aku yakin sebaik saja dia tersedar dari lamunannya akan ada kata-kata
pedas yang meletus dari bibirnya. Tapi
sampai bila hendak terus merenung dan sampai bila tangan aku hendak memegang lozenge? Maka aku sebut namanya.
Dia
bagaikan tersedar. Matanya
berkedip. Dia dekatkan mulutnya dengan lozenge
yang aku suakan. Ketika aku suapkan lozenge
ke dalam mulutnya, jari aku berlaga dengan bibirnya. Belum pernah aku menyentuh bibir mana-mana
lelaki. Debaran dalam dadaku semakin
kuat. Pipi aku membahang.
Rileks Fina, kau
tersentuh bukan sengaja nak sentuh dia.
Hatiku berbisik. Aku kalihkan
muka dan terus pegang stering kereta. Bertenanglah
wahai dada, aku bisik dalam hati. Aku
turunkan gear tangan dan mula memandu. Bos
1B3K masih memandang aku.
“Sweet.” Kata Bos 1B3K. Aku kerling ke arahnya. Dia senyum.
Aku lega. Nasib baik aku belikan
dia Fisherman’s Friend perisa black
currant. Kalau beli yang original extra strong tu rasanya tak
manis, berangin saja.
Urusan di Hotel Sri Ipoh selesai. Hotel ini kecil jadi tidak perlu masa yang
lama untuk melawatnya. Lagi pun Bos 1B3K
tidak memeriksa setiap bilik, hanya tiga bilik yang dipilih secara rawak. Dia juga meninjau bilik mesyuarat, bilik
jamuan, dapur dan lobi. Selepas itu dia
berbincang sekejap dengan Pengurus Hotel Sri Ipoh, Encik Adnan. Bos bertanyakan apa-apa masalah yang ingin
dibawa ke pengetahuannya. Encik Adnan
yang asalnya terkejut dengan kedatangan kami kelihatan selesa berbincang dengan
bos.
Aku
melihat sisi berbeza Bos 1B3K hari ini.
Sikap bengkeng dan kerek yang aku biasa lihat di pejabat tidak langsung
kelihatan hari ini. Dia bersikap sangat
profesional dan mesra dengan semua kakitangan, dari Encik Adnan hinggalah ke
kakitangan bawahan. Ketika menegur
kesilapan, dia bercakap dengan nada yang elok.
Tidak sekali pun aku mendengar dia meninggikan suara. Ketika memberikan nasihat dan pandangan, dia
bercakap dengan merendah diri.
Dia juga menegur dengan
ramah tetamu yang menginap di hotel. Dia
bertanyakan mereka adakah mereka selesa menginap di Sri Ipoh, adakah apa-apa
aduan yang ingin mereka suarakan dan kepada yang check-out dia berpesan agar datang lagi. Aku yakin mereka tidak menyangka lelaki kacak
berkemeja kuning cair yang bercakap dengan mereka adalah sebenarnya pewaris
rangkaian hotel dan resort milik Duta Holidays.
Aku hairan kenapa dia tidak berperangai begini bila di pejabat?
Selepas
makan tengahari, kira-kira jam 1.30 kami bergerak meninggalkan Hotel Sri
Ipoh. Aku nampak riak keletihan semakin
ketara di wajah Bos 1B3K. Batuknya
berkurangan sedikit, mungkin kesan dari ubat batuk yang diambil. Encik Adnan yang prihatin sempat meminta
pekerjanya membelikan sebotol ubat batuk dari farmasi yang berdekatan. Selepas makan tengahari tadi Bos meneguk
sesudu besar ubat batuk itu. Mujur dia
tidak suruh aku suapkan.
Sama
ada ianya kesan ubat batuk, atau akibat keletihan, Bos 1B3K terlelap sebaik
saja aku mula memandu. Kesesakan lalu
lintas di waktu tengahari memperlahankan perjalanan kami. Akhirnya setelah berjaya keluar dari bandar
Ipoh, aku memandu ke arah lebuhraya.
Perkataan
‘Kuala Kangsar’ yang terpampang pada papan tanda membuatkan rindu terhadap
emak, abah, dan ahli keluarga yang lain semakin membara. Sudah sebulan tidak
berjumpa mereka. Terbayang-bayang wajah
Nabil Imran yang comel dan pipi Nur Zetty Aishah yang gebu. Senyuman manis emak dan lawak abah bagaikan
memanggil. Aroma kek panas yang baru
keluar dari ketuhar Kak Long bagaikan menggamit.
Aku
kerling ke kiri. Bos 1B3K tidur dengan
lena. Kepalanya terlentuk di tingkap
kereta. Satu idea melintas dalam
benakku. Bos perlu berehat. Aku perlu berjumpa keluargaku. Beranikah aku menanggung risiko akan dimarahi
oleh bos nanti? Aku tarik nafas
dalam-dalam, baca Bismillahi rahmanirahim dan memandu ke arah Kuala Kangsar.
Lebih kurang pada jam tiga
petang, kereta comel Bos berhenti betul-betul di hadapan rumah abah. Aku turunkan tingkap bahagian pemandu dan
belakang, matikan enjin, buka pintu kereta perlahan-lahan dan tutup dengan
perlahan-lahan juga. Angin petang yang
mendamaikan bertiup kencang. Aku yakin
angin nyaman ini akan menambahkan kelenaan bos.
Tidur lena-lena ya bos. Saya
minta dua jam saja. Cukuplah untuk saya
melepas rindu kepada orang-orang kesayangan saya.
No comments:
Post a Comment