Maaf juga kerana lambat naikkan bab terbaru. Sibuk dengan persiapan raya dan kerja-kerja di pejabat yang menimbun.
Jemput baca Bab 18. Siapa ingat Naim Zakaria, hero #Saat Kau Lafazkan? Bab 18 ada Naim.
Enjoy!
BAB
18
Emak terkejut melihat aku tetapi tetap
memeluk dan mencium aku dengan gembira.
Emak tanya macam mana aku boleh berada di sini. Aku ceritakan kepada emak yang aku sebenarnya
dalam perjalanan balik ke KL, tetapi dek rindu yang tidak tertahan lagi aku
memandu ke arah utara untuk singgah sekejap di kampung. Aku tanyakan emak di mana abah. Kata emak abah pergi mengambil buah sukun di
belakang rumah Pak Amid. Aku juga
ceritakan kepada emak yang aku datang bersama bos.
“Lah,
kenapa tak diajak bosnya masuk sekali?”
Emak bertanya sambil menuju ke pintu dapur. Aku cubit tempe goreng yang bersembunyi di
bawah tudung saji dan kerling ke emak.
“Dia
tengah tidur.” Aku labuhkan punggung
atas kerusi.
“Kesian
dia. Ajaklah masuk, suruh dia berehat
dalam bilik Along.” Emak berkata sambil
berpatah semula ke meja makan. Suruh si
1B3K tu berehat dalam bilik Along? No way.
Tak naklah dia masuk rumah aku.
Aku belum solat Zuhur
jadi aku beredar ke bilikku selepas meneguk air sejuk yang aku ambil dari peti
sejuk. Sampai di bilik katil kesayangan
bagai memanggil-manggil. Apa lagi, aku
baring sekejap di atas katil. Aduh,
sedapnya dapat baring di atas katil sendiri.
Lagi sedap bila dapat rangkul bantal peluk merangkap bantal busuk. Alangkah bagusnya kalau aku dapat melelapkan
mata sekejap. Tapi kalau aku pejamkan
mata, aku yakin aku akan terlena.
Silap-silap bos 1B3K yang terjaga dahulu. Maka aku bangun dan bersolat.
Usai
bersolat aku pergi ke tepi tingkap untuk mengintai keluar. Kereta comel Bos 1B3K masih di situ. Tapi dari tempat aku berdiri aku tidak boleh
nampak kelibatnya dalam kereta. Tidak
mengapalah, aku yakin dia masih lena.
Sudah alang-alang sampai di rumah, aku menukar pakaian. Kemeja dan seluar aku gantikan dengan t shirt
berlengan panjang dan jeans lusuh. Hmm,
barulah selesa. Aku kenakan tudung dan
berjalan ke dapur.
Ketika
berjalan ke dapur aku dengar suara abah di ruang tamu. Aku berpatah balik, tidak jadi turun ke dapur
sebaliknya berjalan ke ruang tamu dengan hati yang penuh rasa teruja kerana
hendak berjumpa abah. Sebaik saja aku nampak
abah, aku terpempan. Abah sedang berbual
dengan dia! Alamak, bila masa dia
bangun? Macam mana dia boleh dengan
santainya duduk berbual dengan abah? Aku
dekati abah dan salam tangannya.
Kemudian aku cium tangan abah dan peluk abah.
“Abah
sihat? Orang rindu sangat dengan
abah. Tu yang orang drive ke sini. Kalau kena
marah dengan bos pun orang sanggup asalkan dapat jumpa abah.” Sengaja aku cakap begitu, dengan harapan Bos
1B3K tak marah aku. Aku kerling ke
arahnya. Dia nampak tenang.
“Abah
sihat. Kamu ni, ngape tak cakap nak
singgah sini? Lepaih tu ada ke patut
dibiorkan bos kamu tidor dalam kereta?
Ngape tak diajak bos ni masuk sekali?”
Aku
tersengeh ke arah abah. Begitulah yang biasa aku lakukan bila aku buat
salah. Kalau dulu masa kecil abah akan
tarik hidung aku. Sekarang kerja menarik
hidung aku sudah diambil alih oleh Along.
Abah sekadar memandang aku tanpa senyuman tergaris di bibirnya.
“Orang
minta maaf. Tadi orang tengok bos tidur
lena sangat. Orang tak sampai hati nak
kejutkan bos. Orang ingat lepas solat
nak pergi tengok bos rupa-rupanya abah dah bawa bos masuk.” Terpaksa aku bohong sunat. Sebenarnya aku tidak ada niat langsung hendak
pergi ke kereta meninjau keadaan bos.
“Masa
abah balik dari rumah Pak Mid tadi, abah terkejut bila nengok bos kamu ni
terlentok dalam kereta. Ingatkan
pengsan. Abah ketuk tingkap. Kesian dia, terpinga-pinga bila terjaga. Ish kamu ni, kalau nak bawak bos datang ke
rumah, bagi tau le awei-awei. Boleh mak
kamu masakkan something special.”
Sengehan
aku semakin lebar. Alamak, rugilah tadi
tak dapat tengok keadaan Bos 1B3K terpinga-pinga. Aku kerling ke arahnya. Rupa-rupanya dia sedang pandang aku. Mata dia macam hendak bagi tahu dia sedang control macho tapi sebenarnya dalam hati
dia tersimpan perasaan bengang terhadap aku.
Aku tayang gigi dan kemudian minta diri dan berlalu dari ruang tamu.
Salah satu sebab aku tidak mahu Bos 1B3K
masuk ke rumah ialah abah aku terlebih peramah dan mesra. Baru saja berkenalan dengan Bos 1B3K sudah
dibawanya bos aku itu meninjau sekeliling kawasan chalet Teratak Khadijah. Begitu jugalah yang abah buat kepada Nafiz
ketika dia datang ke sini. Kalau setakat
membawa Bos 1B3K melihat sekeliling kawasan rumah, chalet dan homestay yang
Along usahakan tidak mengapa. Yang aku
risaukan nanti abah akan bercerita macam-macam perkara tentang aku kepada Bos
1B3K. Jangan nanti bos kenakan aku
dengan maklumat yang abah berikan.
Sementara abah bawa dia,
aku berborak di dapur dengan emak. Kak
Ida sudah balik jadi tidak dapatlah aku berjumpa dengan Lokman, Hafiz dan
Zeti. Kak Long ada di rumahnya, Along
pula keluar. Emak masukkan sukun goreng
ke dalam bekas plastik. Aku capai sekeping sukun dan sumbat ke dalam mulut.
Sedapnya makan sukun goreng, lebih-lebih lagi bila buahnya elok ranum. Kalau
buahnya sudah lembik sedikit aku tak suka.
"Bawaklah ke
belakang, boleh bagi bos kamu tu rasa." Ujar emak sambil memasukkan
sedikit gula ke dalam mangkuk kecil. Itu
mesti untuk abah sebab abah suka makan sukun goreng cicah gula. Aku masukkan bekas berisi sukun ke dalam
bakul sambil dalam hati bertanya retikah Bos 1B3K makan sukun?
Kemudian aku bancuh kopi
‘o’ seperti yang emak suruh. Abah dan
emak memang suka minum kopi ‘o’. Termos
berisi kopi ‘o’ pun aku masukkan ke dalam bakul. Selepas tu aku capai empat biji mug plastik
dan sumbat dalam bakul. Muat-muat saja
semuanya dalam bakul kesayangan emak.
Aku jinjit bakul ke wakaf
tepi sungai. Dari jauh aku nampak
kelibat Along, mesti dia baru baliklah tu.
Dia duduk di atas batu besar di gigi air. Membuak rasa rindu terhadap satu-satunya abang
kandungku, diiringi rasa hendak menyakat.
Aku letak bakul atas pangkin dan berjalan perlahan-lahan supaya Along
tidak dengar derapan kakiku. Sampai di belakang Along aku paut kedua bahu Along
dari belakang dengan sebelah tangan dan tutup matanya dengan sebelah tangan
lagi. Along meronta. Aku lepaskan
bahunya dan cucuk pinggang Along. Aku pelik sebab Along tidak gelak. Sebaliknya
dia terus meronta. Tanganku yang menutup
matanya berjaya diturunkan dan apabila Along berjaya memusingkan badannya, aku
terpempan.
"B...b...bos!" Akhirnya dengan bersusah payah berjaya juga
aku keluarkan perkataan itu. Dia diam
sambil merenung tajam ke arahku. Pinggangku ditarik dan aku jatuh terduduk di
atas pehanya. Mata kami bertaut pandang.
Ada debaran yang berdentum dalam dadaku.
Aku pegun melihat matanya. Dia juga kaku. Yang bergerak hanyalah
bibirnya tetapi aku tidak mendengar apa-apa pun dituturkan. Matanya melekat kuat dengan mataku dan tangannya
melingkar utuh di pinggangku.
Aku hendak minta bos
lepaskan aku tapi yang keluar dari bibirku hanyalah perkataan ‘bos’. Seperti yang pernah terjadi sebelum ini Bos
1B3K bagaikan tersedar dari khayalannya. Pinggangku dilepaskan. Hampir saja aku
terjatuh maka secara spontan aku cepat-cepat paut lehernya. Bos 1B3K tangkap lengan aku dan pegang dengan
erat, seolah-olah mahu mengelakkan aku dari terjatuh. Mata kami bertatapan lagi sebelum mata Bos
1B3K menerawang ke sekitar wajahku. Aku
rasa pipi aku panas. Dada aku berdentam
dentum dengan debaran. Aku ingin tarik
tanganku dari lehernya tapi tangan aku kaku.
“Bos… so… sorry. Saya ingat Along tadi.” Akhirnya dengan seribu kepayahan berjaya juga
aku bersuara. Bos lepaskan lengan aku. Satu suara melaungkan nama aku dengan
keras dari belakang. Bila aku berpaling, Along sedang memandang
sambil menghampiri kami. Mukanya kelat
sambil matanya bergilir memandang aku dan Bos 1B3K. Aku cepat-cepat bangun. Dari riak wajah Along aku tahu aku bakal
menghadapi satu situasi yang sukar.
"Astaghfirullahal adzim! Fina! Kamu buat
apa ni? Ni jantan mana yang buat tak senonoh dengan kamu ni?" Along berdiri sambil mencekak pinggang. Along tayang muka garang dengan dahi
berkerut. Cepat-cepat aku depakan tangan
ke arah Along, menghalangnya dari mendekati Bos.
"A... Along, ni… ni bu…
bukan jantan. Ni bos orang. Bos ni a...
abang saya." Aku gugup dan risau.
Janganlah Along fikir yang bukan-bukan. Dari cara Along memandang kami, aku
rasa dia tidak percaya dengan apa yang aku katakan. Aku dekati Along dan bersalam dengannya. Bos
1B3K pun menghulurkan tangannya untuk bersalam.
Along sambut tangan bos sambil memberikan pandangan tajam terhadap Bos
1B3K.
"Bukan kah bos kamu perempuan?" Along bertanya.
"Yang perempuan tu
Ms Tan, bos betul di bahagian akaun. Yang ni... sementara waktu… orang jadi
Pembantu Encik Rifqi."
Dari gaya Along memandang
aku tahu dia masih belum berpuas hati dengan penjelasanku. Jadi aku ceritakan dari mula sehingga
bagaimana aku boleh terpeluk Bos 1B3K. Aku mengaku aku salah kerana menyangka
Bos 1B3K adalah Along. Macam manalah aku tak salah sangka, t-shirt yang
tersarung di badan Bos 1B3K dan seluar paras lutut yang dipakainya milik Along.
"Macam mana Bos
boleh pakai baju tu?" Aku bertanya sambil memandang ke arahnya.
"Abah yang
bagi." Datang satu suara dari belakang.
Aku berpaling dan mataku melekat pada wajah Abah yang sedang meghampiri
kami sambil berpegangan tangan dengan emak.
"Tadi Encik Rifqi ni
kata dia nak mandi sungai tapi tak bawak baju.
Abah ambik pakaian Naim dari ampaian, bagikan pada Encik Rifqi ni."
Abah menjelaskan. Hmmm...jadi abahlah
puncanya aku terpeluk Bos 1B3K.
"Udah le tu. Moh
kita minum.” Emak pula bersuara. Terima kasih emak kerana meredakan
suasana.
"Marilah Rifqi. Naim jom minum sekali. Fina pergi panggil Kak Long." Abah
mempelawa. Bos 1B3K kelihatan
teragak-agak. Aku rasa dia takut dengan
Along. Along mengalih pandangannya ke
arah Bos. Aku risau, takut kalau Along
marah bos kaw-kaw. Along ni bukan boleh percaya sangat.
"Fina." Along memanggil ketika aku hendak melangkah. "Jaga sikit perangai tu. Jangan dibuat
macam tadi. Kamu tau kan apa hukumnya
bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim kamu?" Alahai Along ni, kot ya pun nak bersyarah,
buatlah kejap lagi. Aku segan dekat Bos
1B3K. Sudahlah terpeluk dia, kena marah
pula depan dia.
"Tau. Orang minta
maaf, bukannya orang sengaja. Kalau orang
tau itu bukan along tak adalah orang paut dari belakang." Aku menjawab dan terus berjalan menghala ke
bukit yang di atasnya terbina rumah Along.
Nanti aku nak luahkan perasaan kepada Kak Long. Macam-macam perasaan yang ada dalam dada aku
sekarang. Malu, geram, bengang dan entah
apa-apa lagi.
Aku sekadar dapat berbual
dengan Kak Long sekitar setengah jam.
Sempatlah aku bercerita bagaimana aku boleh berada di kampung ketika ni
dan apa yang terjadi di tepi sungai tadi.
Sedang rancak berbual, Nabil terjaga.
Terus aku dokong dia dan cium pipi dia puas-puas. Selepas itu aku bawa dia turun ke
sungai. Kak Long suruh aku turun dulu
kerana dia hendak menyarung tudung.
Ketika
aku melintas batu besar yang diduduki oleh Bos 1B3K, aku nampak dia sedang berendam
dalam sungai. Air sungai yang mengalir
deras nampak macam sangat menyegarkan.
Bos 1B3K kelihatan seronok berendam dalam air. Aku teringat dia batuk. Kan tak elok kalau main air masa batuk? Nanti dari batuk boleh merebak ke selsema,
sakit tekak dan demam.
“Bos!” Aku laungkan namanya. Dia memandang ke arahku. “Tak elok berendam lama-lama. Bos tu batuk, nanti dapat selsema pulak.” Habis melaung aku terus berjalan ke arah
wakaf. Sampai di wakaf Along sambung
berleter pasal kejadian aku peluk Bos 1B3K.
Apa lagi pilihan yang ada, tadah telinga sajalah.
“Bos kamu tu pun Along
dah warning. Kalau dia ambil kesempatan, bagi tau Along.”
Mencerlung
mata aku bila dengar Along cakap begitu.
Apalah Bos 1B3K fikir pasal keluarga aku nanti? Yang si bapa terlebih ramah, yang si abang
terlebih garang. Jadi bahanlah aku di
pejabat nanti. Along jegilkan mata dia
kepadaku, menandakan jangan ditegur perbuatannya. Aku mencebik.
“Kamu
ni Naim, adik tu baru sampei udah kamu leterkan. Kan dia dah kata tadi dia terpeluk bosnya
sebab ingatkan bosnya tu kamu. Saiz badan kome nampak lebih kurang
je. Fina tu nak menyakat kamu
tadi.” Abah membela aku. Emak sekadar tersenyum sambil menarik Nabil
dari dokonganku.
Aku
ambil sekeping sukun dan berpaling semula ke arah sungai. Ketika itu juga Bos 1B3K sedang berjalan ke
arah kami. T shirt Along yang agak
sendat dan basah melekat di badan bos, menampakkan dadanya yang bidang. Dada aku berdegup lagi tatkala mata aku
melurut ke dadanya. Ish, apahal jantung ni
asyik berdegup laju? Yang mata ni pula,
banyak benda lain boleh dipandang kenapa dadanya yang aku tenung?
Aku
gigit sukun tapi bila aku hendak kunyah sukun itu, otot-otot rahangku bagaikan
kaku. Bos 1B3K semakin menghampiri
kami. Dia membelok ke arah chalet dan
menghilang dalam chalet . Fuh! Lega.
Tiba-tiba aku sudah boleh kunyah sukun.
“Abah
ajak bos kamu tu makan malam di sini sebelum balik.” Kata abah.
Sukun yang aku telan terasa tercekik di kerongkong. Kan dah kata tadi, abah aku terlebih ramah
dan terlebih mesra.
No comments:
Post a Comment