BAB
19
Dia sampai ketika aku sedang menghidang juadah. Di badannya tersarung t-shirt yang aku yakin
milik Along dan seluar slack yang
dipakai pagi tadi. Abah dengan ramah
menjemputnya duduk. Dia pandang aku ketika
melabuhkan punggungnya. Mata kami
bertemu pandang. Aku tidak suka
renungannya kerana sebaik saja mata aku bertatapan dengan matanya, jantung aku mula
main gendang. Agaknya aku lebih selesa
dengan renungan tajam penuh kerek yang selalu dia beri di pejabat.
“Along
tak makan sekali ke mak?” Aku tanyakan
emak sambil menuangkan air ke dalam gelas.
Emak pula mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Dia
makan di rumah dia ler, Kak Long kamu masak.”
Emak menerangkan. Eloklah Along
dan Kak Long tidak makan malam bersama kami.
Kalau Along ada, aku rasa tak selesa.
Macam mana nak selesa, mata Along tu macam ikut saja pergerakan
aku. Aku rasa Along masih tidak puas
hati dengan aku. Aku rasa bos pun tak
selesa kalau Along ada.
Abah
menadah tangan untuk membaca doa makan.
Aku tunduk memandang tapak tanganku yang sudah aku tadah ke langit. Tapi sebaik saja doa dibaca, aku mengangkat
kepala. Eh, pandai pun si 1B3K ni baca
doa makan. Ingatkan selepas berkelana di
Eropah, sudah lupa doa-doa lazim. Bukan
salah aku beranggapan begitu, kan Datin pernah bercerita yang Bos 1B3K sudah
tidak solat dan sangat sosial kehidupannya ketika menetap di Eropah?
Bos 1B3K makan dengan berselera dan
seperti tidak kekok dengan masakan kampung.
Memang sedap pun masakan emak. Ikan
kembong dimasak asam rebus, kacang botol digoreng dengan udang kering, ulam
raja dan sambal belacan. Menunya ringkas
tapi setiap juadah yang emak sediakan dimasak dengan kasih sayang, maka
kelazatannya terasa.
Abah dengan ramah dan mesra melayan
Bos 1B3K. Emak sekali sekala
mencelah. Bos pula sambung sifat lain
macam dari siang tadi. Sifat mesra
rakyat. Elok dia berbual dengan abah dan
emak. Dengan aku dia cuma kerling
saja. Ada juga masa dia pandang aku dia
tengah tersenyum. Bukan senyum dengan
aku tapi tersenyum mendengar celoteh abah.
Walaupun senyuman bos tu mesra dengan mata aku, jantung aku pulak tak
berkenan. Berdegum degam jantung aku bila
mata melekat pada senyuman bos yang mahal tu.
Mahal sebab jarang nampak.
Memang amalan keluarga kami makan
malam sebelum Maghrib. Solat Maghrib
berjemaah di rumah berimamkan abah atau Along.
Tapi sejak Along berkahwin dia lebih kerap berjemaah dengan Kak Long di
rumahnya. Solat Isya’ kadang-kadang emak
jadi imam, kadang-kadang aku sebab Abah dan Along berjemaah di surau. Ketika aku keluar dari bilik siap
bertelekung, Bos 1B3K sudah berdiri di belakang abah. Ini mesti sebab dia segan dengan abah dan
emak. Kalau tidak, aku yakin dia tidak
solat. Macam masa dia ikut aku ke Rumah
Umi Sarah dulu, orang bersolat dia lesap entah ke mana.
Habis bersolat aku bersiap untuk
balik. Pakaian pejabat yang aku gunakan
tadi aku masukkan dalam beg untuk dibawa pulang. Aku dengar suara Along di ruang tamu, agaknya
berbual dengan abah. Bila aku keluar
dari bilik, emak dan Kak Long pun ada bersama.
Along memandang aku, terus berdiri, datang kepadaku dan menarik aku ke
sudut hujung ruang tamu, tempat kami bersolat tadi.
“Kamu nak balik malam ni?” Along bertanya dengan suara yang
diperlahankan. Muka Along tegang. Apa hal Along ni?
“Ya lah. Esok orang kerja.”
“Nak balik malam-malam dengan bos
kamu? Tau tak tak elok berdua-duaan di
waktu malam dalam kereta dengan lelaki yang bukan muhrim?” Soalan Along sudah buat hati aku panas. Aku tahu apa yang Along katakan itu ada betulnya,
tapi apa pilihan yang aku ada?
“Habis tu, Along nak hantar orang
balik ke? Along boleh tak jangan fikir
yang bukan-bukan? Itu bos oranglah,
bukan boyfriend orang. Orang hormat dia sebagai bos, dia pun hormat
orang sebagai pekerja. Orang tau jaga
dirilah. Along lupa ke adik Along ni ada
tali pinggang hitam taekwando? Kalau bos
orang nak buat benda tak baik kat orang, orang belasah dia.”
Suara aku sudah naik sikit. Along ni masih belum hilang sifat over protectivenya walaupun aku sudah tiga
tahun bekerja. Dia lupa agaknya
sedangkan ketika di Australia pun aku boleh jaga diri, inikan pula di tempat
sendiri. Tapi Along tetap Along, mana
boleh dia cepat berpuas hati dengan jawapan aku.
“Wah pandainya menjawab! Memang kamu hormat dia, dia hormat kamu. Tapi setan tak reti hormat sesiapa tau. Okey, kamu boleh belasah dia kalau dia buat
benda tak baik kat kamu. Tapi macam mana
kamu tau yang kamu tak mulakan apa-apa yang tak baik pada dia? Macam mana Along tau kamu tu jaga
batasan? Tadi pun masa siang benderang
kamu peluk dia, inikan pula dalam malam yang gelap.”
Kali ini Along pula hilang
sabar. Suara Along pun naik tinggi. Aku kehilangan kata-kata, sekadar mampu
merenung Along dengan mata yang mula terasa panas. Separuh hatiku bagaikan tidak percaya Along
tergamak berkata begitu kepadaku. Sampai
hati Along fikir yang bukan-bukan tentang aku.
Kalau orang lain tidak percayakan aku, aku boleh terima. Tapi bila Along yang buat begitu, hati aku
hancur.
“Abang.” Kak Long yang sedang memegang tangan Nabil Imran
menegur dengan lembut sambil menghampiri kami.
Aku berpaling ke arahnya. Di
belakangnya emak, abah dan Bos 1B3K memandang kami. Bos 1B3K!
Bila masa dia ada kat sini? Ya
Allah, malunya aku! Tentu dia dengar
perbalahan aku dan Along.
“Tadi masa kamu singgah di rumah,
kamu fikir dulu tak?” Along merendahkan
suaranya, tapi rasanya sudah terlambat.
Kak Long mengusap belakang dada Along dan menyuruh Along bersabar.
“Orang fikirlah! Orang ingat nak singgah dalam dua jam
saja. Mana orang tau bos nak mandi kat
sungai tu. Mana orang tau abah ajak bos
makan kat sini. Along, orang dah
besarlah! Jangan kongkong orang, boleh
tak?”
Aku juga cuba merendahkan suara,
walaupun sukar dalam keadaan hati aku sedang menggelegak. Kalaulah dia bukan Along, mesti sudah kena
ketuk. Tapi hakikatnya aku hanya boleh
menjegilkan mata dan mengerutkan dahi sambil bercakap dengan mulut separuh
terbuka supaya suara aku tidak keluar dengan kuat.
“Lain kali kalau keluar dengan bos,
atau kawan pejabat yang lelaki terus balik.
Jangan singgah mana-mana.” Along
masih belum puas hati. Aku pula hati
sudah semakin panas.
“Lain kali orang tak nak balik sini
lagi. Along cakap macam ni, orang kecik
hati tau. Jahat sangat ke orang ni
sampai Along boleh fikir yang bukan-bukan?”
Along tidak menjawab dengan mulut,
tapi renungan mata dia aku faham.
“Kak Long, tengoklah Along ni!” Aku terpaksa gunakan talian hayat. Kak Long saja yang boleh kawal Along.
“Abang, tak baik cakap macam tu
dengan Fina. Nasihat dia elok-elok, tak
boleh ke?” Kak Long memujuk dengan
lembut. Along berpaling ke arah Kak
Long. Emak menghampiri Kak Long dan
mengambil Nabil darinya.
“Abang nak Reen ingatkan kesalahan
lama abang?” Bagus! Elok benar Kak Long tanya soalan itu. Nafas Along turun naik. Dia pandang aku, pandang Kak Long dan
kemudian pandang ke arah Bos 1B3K. Bos
1B3K datang menghampiri kami. Abah ikut
dan bila sampai di sisi Along, abah tepuk bahu Along dan minta Along bertenang.
“Pak Akob, Mak Jah, Encik Naim… saya
minta maaf. Ini semua bukan salah Fina.”
“Ini bukan salah kamu juga.” Abah cepat-cepat menyampuk sambil memegang
bahu Bos 1B3K.
“Sebagai bos Fina, saya akan
selesaikan masalah ni. Fina, kau tidur
sini. Esok aku hantar Abang Di ambil
kau.”
Aku terpempan.
“Kau belum ambil cuti untuk gantikan
hari sabtu yang aku suruh kau kerja.
Jadi esok kira kau cutilah.”
Aku masih terkedu ketika Bos 1B3K
bersalam dengan abah dan Along. Aku
dengar Along minta maaf dan menerangkan kepadanya dia hanya menjalankan
tanggungjawab untuk memastikan kehormatan adiknya terjaga. Bos 1B3K mengangguk dan sambil tersenyum
berkata dia faham dan menghormati pendirian Along. Ketika Bos 1B3K melangkah keluar, aku
tersedar aku berhutang sesuatu dengannya.
“Bos!” Aku melaung dan segera menuruni anak tangga. Aku berlari anak ke keretanya. Dia berpaling.
“Saya nak minta maaf sebab singgah
sini. Saya tak sangka jadi macam
ni. Saya nak minta maaf juga sebab Along
cakap macam tu. Jangan ambil hati dengan
Along saya ya?”
Aku kerling ke arah Along yang sedang
menghidupkan enjin motorsikalnya. Bila
aku pandang semula ke arah bos, wajah dia nampak tenang. Aku harap wajah tenangnya itu bermakna dia
tidak marah dengan aku dan tidak terasa dengan kata-kata Along.
“Kalau bos batuk, makan Fisherman’s
Friend tu. Jangan makan ubat batuk yang
Encik Adnan bagi, kuat sangat ubat tu.
Nanti bos mengantuk. Kalau bos
mengantuk berhenti kat RnR, tidur sekejap.
Berhenti di tempat yang terang. Lock kereta tau, kalau berhenti.”
Bos senyum.
“Tadi saya dah check dengan Kak Razia. Dia
kata Encik Suleyman belum hantar lagi kertas cadangan mengenai interior designer Resort Sri
Selangor. Esok saya akan call dia untuk follow-up.”
Senyuman bos semakin lebar. “Dan satu lagi saya nak ingatkan, bos belum
beli hadiah untuk Naani, eh Azwan. Lusa bos,
dato’ dan datin kena sampai majlis dia sebelum bersanding. Dia akan bersanding pukul satu. Dia kata dah reservekan tempat duduk untuk bos sekeluarga di meja VIP. Dato’ dan Datin kena merenjis pengantin.”
Bos mendengar dengan penuh
minat. Sungguh berlainan dengan situasi
di pejabat. Kalau di pejabat dia
mendengar macam acuh tak acuh saja. Bila
aku bercakap dia pandang ke lain.
Sekarang mata dia tunak di wajah aku dan satu lagi senyuman dia
manis. So unusual! Memang betullah
aku sudah biasa dengan renungan tajam, muka kerek, dan sikap kurang ajar dia
yang selalu buat tak endah bila aku bercakap dengannya. Jadi bila dia renung dan senyum begitu kepada
aku, jantung aku berdegum degam lagi, seolah-olah aku baru habis berlari kerana
dikejar anjing.
“Esok tak payahlah hantar Abang
Di. Dato’ kena buat fisioterapi pukul 10. Saya boleh balik sendiri naik bas. Tak pun, saya suruh Along hantar.”
Senyuman Bos 1B3K hilang. Wajah kacaknya bertukar menjadi kelat. Dia pandang aku dengan renungan tajam yang
biasa aku lihat di pejabat. Lama dia
renung aku tanpa berkata apa-apa.
“Kau jangan nak mengada-ngada balik naik
bas. Tunggu saja di sini.” Akhirnya
dia bersuara. Nada suaranya seperti yang
aku biasa dengar di pejabat, tegas memberi arahan. Aku mengangguk. Ada perasaan aneh yang menyelinap dalam
hati. Bila kereta dia berlalu
meninggalkan perkarangan rumahku, aku tahu apa makna perasaan itu.
Maknanya aku sudah boleh terima sikap
bengkeng, kerek dan kurang ajar bos sementara aku, walaupun baru dua minggu
bekerja dengannya. Dan satu lagi makna
ialah sikap mesra, baik dan sopan, serta renungan matanya yang nyaman dan
senyuman manisnya hanyalah lakonan semata-mata.
Dia tetap bengkeng, kerek, kurang ajar dan kacak. Sayang… muka kacak tak sealiran dengan
perangai.
Usai solat Isya’ berjemaah dengan
emak, aku naik bukit di belakang rumah untuk pergi berjumpa Kak Long. Petang tadi tidak puas bercerita dengan Kak
Long kerana dapat berbual sekejap saja.
Hati yang masih panas dengan kerenah Along perlu disejukkan dan selain
daripada emak, Kak Long juga tempat mengadu yang baik. Kak Long hidangkan aku mini pavlova. Aku memang hantu pavlova, apa lagi 2 biji aku
makan.
“Sebenarnya Kak Long kenal Irsyad
Rifqi.” Sepantas kilat leher aku menegak
bila dengar Kak Long kata begitu.
“Tapi kenal-kenal gitu saja, bukanlah
rapat dan tau serba-serbi tentang dia.
Masa Kak Long sekolah dulu, mama berkawan dengan emak dia. Adalah jumpa sekali sekala bila dia ikut emak
datang rumah Kak Long atau Kak Long ikut mama pergi rumah Datin.”
“Along tau ke?”
“Tau.
Kak Long dah cerita tadi masa kami makan malam. Along tak cakap apa-apa pun, cuma bising
pasal apa yang dia nampak kat tepi sungai.”
“Ala Along ni, kan orang dah kata
orang tak sengaja! Mati-mati orang ingat
bos tu along.”
“Dulu… kisah Along dan Kak Long pun
bermula dengan kes terpeluk.” Kak Long
cakap dengan lembut dan kemudian bibirnya menggaris sekuntum senyuman yang
sangat manis. Tapi nada suara dan
senyuman Kak Long buat tekak aku rasa tersekat.
Aku masih ingat peristiwa yang sudah hampir tiga tahun berlalu kerana
aku nampak apa yang terjadi. Along
menolong Kak Long turun dari batu besar di tepi sungai dan sebaik saja Kak Long
berjaya diturunkan, batu yang licin menyebabkan Kak Long hampir tergelincir dan
akhirnya terpeluk Along. Itulah
permulaan kisah mereka yang berakhir dengan kisah cinta yang manis.
“Sebenarnya Kak Long nak cakap apa?” Aku tanya Kak Long. Dahi sudah berkerut dan kening sudah tinggi. Entah kenapa aku rasa Kak Long seperti mahu
menyampaikan sesuatu.
“Tak ada apa-apa.” Kak Long bangun, bawa piring pavlova yang
sudah licin dan menuju ke sinki dengan senyuman meleret. Eeee, senyuman Kak Long sudah macam serupa
dengan gaya senyuman mengejek Along.
Aku terus berfikir, cuba mencantum
peristiwa petang tadi, kisah Kak Long dan Along serta kata-kata Kak Long
sekejap tadi. Ish, merepeklah Kak Long
ni. Takkanlah aku jatuh cinta dengan
dia. Mustahil. Sangat-sangat mustahil dia jatuh cinta dengan
aku.
No comments:
Post a Comment