Harap suka bab ini. Selamat membaca dan jangan lupa komen ya.
BAB 24
Minggu ketiga aku bekerja sebagai pembantu peribadi
Datin dan Bos 1B3K. Hari ini hari
Rabu. Sudah dua hari Bos 1B3K tidak
masuk pejabat kerana melawat Hotel Sri Pahang pada hari Isnin dan semalam
katanya dia ke Kuala Selangor. Aku rasa
pelik sebab sebelum ini aku jadi mangsa dan terpaksa gunakan Azira untuk buat
dia pergi Kuala Selangor. Lagi pun Kuala
Selangor tidak termasuk dalam agenda semalam. Datin pula seperti biasa hanya berada di
pejabat dari jam 9.30 pagi ke 12.30 tengahari.
Dua hari
tanpa Bos 1B3K di pejabat adalah hari-hari yang menyenangkan dan
produktif. Slide untuk ceramahnya di UITM sudah aku siapkan. Kertas cadangan pemilihan dan penawaran
kontrak hiasan dalaman Sri Selangor yang disediakan oleh Suleyman sudah aku
baca dan ringkaskan. Seperti yang aku
jangka, Suleyman mencadangkan Azira sebagai juruhias dalaman. Kertas-kertas laporan dan cadangan dari
pelbagai jabatan untuk Mesyuarat Pengurusan minggu hadapan sudah aku
kumpulkan. Cek-cek yang perlu
ditandatangani oleh Bos 1B3K dan Datin sudah aku susun dalam folder beserta dengan baucer
bayaran. Jadual Bos 1B3K untuk bulan
depan juga sudah siap.
Seawal
pukul lapan pagi dia sudah sampai. Pukul
sembilan dia bermesyuarat dengan Ms Tan.
Lama mereka berbincang, dekat satu jam.
Satu perkara yang aku perasan, Ms Tan tidak pernah ke marah dengan Bos
1B3K. Lepas itu dia suruh aku panggil
Encik Suleyman. Hah, yang ini terbalik.
Asyik kena marah saja. Tu, baru
saja dia keluar bilik Bos 1B3K dengan wajah cemberut. Suara bos pun bukan main tinggi lagi bila dia
marah Suleyman.
Aku ketuk pintu dan masuk ke
dalam. Dia sedang tekun meneliti
dokumen-dokumen yang aku serahkan pagi tadi.
Aku nampak semua cek sudah ditandatangani.
“Cantik bunga.” Komen itu dibuat dengan suara yang
mendatar. Aku tidak tahu adakah ia satu
pujian, teguran atau sindiran. Wajahnya
tidak diangkat. Aku letakkan folder plastik atas mejanya.
“Not
from Nafiz, obviously.” Eh, mana dia
tahu? Dia ni ada sixth sense ke? Ish, tak
kanlah. Orang malas solat mana boleh
dapat kelebihan tu. Aku abaikan saja
kata-kata dia dan terus tarik kerusi di hadapannya dan duduk.
“Bos saya nak discuss pasal slide untuk presentation
di UITM. Saya dah…”
“Siapa bagi bunga?” Dia pintas ayat aku. Matanya masih tunak di atas dokumen.
“Kawan.”
“Lelaki?” Dia menulis sesuatu di atas kertas yang
dibacanya.
“Yes.” Kali ini baru dia angkat muka.
“Habis Nafiz macam mana?” Berkerut dahi aku dengar soalan itu.
“Yang bagi bunga tu kawan
sajalah. Dah kenal lama sejak di uni.”
“Tentu ada sebab dia bagi bunga. Dia nak mengorat kau?”
Aku pandang dia dengan rasa pelik
yang memenuhi minda. Kenapa dia berminat
sangat dengan bunga-bunga yang aku dapat? Aku sendiri pun tidak berminat
walaupun jambangan bunga daisy yang
Roy hantar semalam dan bunga violet
yang Roy hantar pagi tadi adalah antara bunga yang aku suka.
“Kau minat dengan Nafiz kan, kenapa
layan lelaki lain?” Ada nada tidak suka
dalam suara Bos 1B3K. Kenapa ya? Aku rasa sebab dia sukakan Nafiz. Aku tengok masa di Rumah Umi Sarah hari tu,
dia berbual mesra dengan Nafiz. Baguslah
kalau dia rapat dengan Nafiz, nanti aku boleh minta Nafiz nasihatkan dia supaya
jangan prejudis dengan wanita yang bertudung.
“Saya kawan saja dengan dia. Dah kenal lama sejak di universiti. Kalau saya nak bercinta dengan dia, dari dulu
lagi dah buat.”
Dia tunduk semula, menulis sesuatu
atas laporan di hadapannya dan sambung membaca.
Peliklah perangai dia hari ni.
Apa terjadi dalam tempoh dua hari dia tidak masuk pejabat sampaikan
tidak ada kebengkengan, kekerekan dan kekurang ajaran dalam tutur kata dan
bahasa tubuhnya? Muka dia pun tidak
kelat.
"Err... Bos... slide ni, saya
dah masukkan pointers yang bos
nak. Tapi saya rasa terlalu panjang… too wordy. Mungkin kita patut ringkaskan dan letak bullet points saja." Aku suakan plastic folder berisi slides
yang sudah aku cetak untuk dia semak.
"Email
to me. I'll clean it up and finish
it." Hati rasa lega
bila telinga mendengar jawapannya. Bibir
pun gembira sampai koyak senyuman tapi sekejap saja sebab bila mata aku melekat
dengan matanya, jantung aku bagaikan hendak melompat dari tingkat sepuluh Wisma
Duta. Alahai, kenapa dia pandang aku
macam tu? Renungan matanya sama seperti
ketika aku menyuapkan lozenge ke mulutnya minggu lepas. Tak boleh jadi ni, baik aku blah dulu. Tapi ketika aku hendak berdiri, bos bersuara.
"Sebenarnya masa kita pergi
majlis Azwan, itulah kali pertama daddy
keluar. Sebelum ni dia hanya keluar
untuk pergi check-up dan fisio. A..aku…aku…" Eh apasal si bengkeng ni tergagap pulak? Aku tak jadi berdiri.
“Aku...aku nak cakap terima kasih for your willingness to go to Azwan's
wedding with us. We didn't want to
inconvenient you but we had no choice.
Daddy refused to go unless you came with us. You've been nice to daddy. He likes you.”
Alahai, itu saja yang dia nak
cakap. Punyalah siksa sampai
tergagap-gagap. Tapi bila cakap dalam
Bahasa Inggeris lancar pulak. Dasar
kerek! Orang berbudi, kita
berbahasa. Walaupun aku tak berapa
berkenan dengan dia, aku hargai ucapan terima kasih dia. Lebih-lebih lagi bila dia ni bukan jenis yang
murah dengan perkataan terima kasih.
Rasa-rasanya, sudah masuk minggu ketiga aku bekerja dengannya, inilah
kali pertama dia ucap terima kasih.
"Sama-sama. Saya tak anggap pun perkara tu menyusahkan
saya."
Matanya masih tunak melekat di wajah
aku. Jantung aku berdegup laju semula.
"Satu lagi aku nak bagi tau
kau...kau...kau..." Tiga kali
'kau' lepas tu dia diam.
"Cakap orang putih sajalah bos!" Oops, terkeluar ayat tu, dengan suara yang
tinggi pulak. Dia senyum. Tak tahulah kenapa dia senyum. Yang aku tahu senyuman tu cantik. Sama macam senyuman yang dia bagi masa aku
pesan macam-macam sebelum dia beredar dari rumah abah minggu lepas.
Bos 1B3K tarik nafas dalam-dalam dan
selepas tu berkata, "you were
stunningly beautiful last Saturday."
Jeda.
Aku pandang dia, dia tenung aku.
Dalam masa tiga hari dua orang lelaki menuturkan perkataan yang sama
kepada aku. Kalau masa Roy bercakap
kelmarin aku terkedu sebelum ketawa terbahak-bahak, dengan Bos 1B3K lain pula
jadinya. Aku rasa pipi aku panas dan
kalau aku tak pegang dada aku, jantung aku boleh melompat keluar dek degupan
yang teramat kuat.
5 saat, 10 saat, 15 saat dan akhirnya
aku kembali ke realiti. Tak mungkin dia
akan puji aku. Ini mesti ada niat
tersembunyi. Aku berikan senyuman semanis
gula-gula kapas. Manis, tapi rasanya
cepat menghilang bila gula-gula kapas mencair.
“Perempuan pakai tudung memang cantik
bos. Lebih-lebih lagi yang namanya
Safinatun Najah. Not just last Saturday,
but all the times.” Aku berdiri,
tolak kerusi dan berpaling untuk keluar.
Tak sanggup aku berada lebih lama dalam pejabat dia sebab walaupun aku
cuba berlagak selamba, sebenarnya jantung aku masih berdegam degum.
Buka
tingkap hati untuk Roy. Itu nasihat mama
yang aku pegang. Aku fikir apa salahnya
aku beri peluang kepada Roy. Mana tahu,
mungkin dia lebih baik daripada Nafiz. Maka
aku terima pelawaan Roy untuk menemaninya menghadiri majlis makan malam
pelanggan firmanya.
Aku
sampai di Hotel Royale Chulan tepat jam 7 petang. Roy yang segak mengenakan sut hitam dengan
kemeja berwarna kuning mentega dan tali leher berwarna ungu terung sudah
menantiku di lobi. Aku terkedu apabila
memandang Roy. Bukan kerana dia sangat
tampan, tetapi kerana pakaiannya dan pakaian aku langsung tidak sepadan.
“Hai
sayang,” Roy menegur tapi aku balas dengan memberi salam. Roy jawab salam aku.
“Kau
tak cakap pun ni majlis formal. Pakaian
aku tak sesuailah Roy.” Memanglah tidak
sesuai langsung. Seperti biasa aku
berseluar panjang dan blaus lengan panjang.
“Jangan
risau sayang. Aku dah sediakan segalanya
untuk kau. Ini kunci bilik. Naik atas, bersiap dan turun balik. Setengah jam cukup kan?”
Aku
pandang Roy dengan rasa tidak percaya.
Kalau tadi aku terkejut dengan penampilannya, sekarang aku terkejut bila
mengetahui dia sudah menyediakan pakaian untuk aku. Dan lima minit kemudian bila aku sampai ke
bilik bernombor 718, aku terkejut untuk kali ketiga.
Sepasang
baju kurung moden berwarna kuning mentega yang dihiasi dengan sulaman berwarna
ungu lembut di hujung lengan dan baju, serta sehelai selendang berwarna ungu terung
sudah dihamparkan di atas katil. Warna
pakaian aku dan Roy sama. Aku yakin dia
memang merancang semua ini. Pandangan
aku berkalih ke arah meja konsul.
Pencuci muka, krim pelembap, berus dan ubat gigi serta minyak wangi elok
tersusun di atas meja. Semua
barang-barang itu memang dari jenama yang aku gunakan. Aku terpempan.
Walau
pun Roy beri aku setengah jam, aku ambil masa 40 minit kerana aku tunaikan
solat Maghrib sebelum turun ke lobi.
Hati rasa lega kerana sudah bersolat.
Tidak perlulah aku tinggalkan majlis yang sedang berlangsung untuk pergi
bersolat. Roy suakan lengannya kepadaku. Aku faham dia mahu aku paut lengannya dan
berjalan beriringan masuk ke dalam dewan.
Tak naklah! Lantas aku
menggeleng.
“It’s okey. Aku faham.
Aku sengaja nak uji kau. I am glad you remain the same Fina that I
felt in love with when we were in uni.”
Roy hadiahkan aku senyuman.
Kalaulah gadis-gadis yang meminati Roy di universiti dulu nampak
senyumannya sekarang, boleh jadi mereka pengsan.
Kami
berjalan beriringan menuju grand ballroom. Semakin kami menghampiri dewan, aku
terpandang seorang lelaki yang aku kenali.
Dia berdiri beberapa kaki dari pintu masuk dan sibuk bersalam dan
menyapa tetamu yang hadir. Jantungku
berdegup pantas. Ya Allah, kenapa mesti
aku jumpa dia di sini?
Langkahku
terhenti. Aku rasa hendak pusing
balik. Tapi bolehkah aku berbuat
begitu? Apa kata Roy nanti?
“Kenapa
Fina?” Roy yang dua tapak mendahuluiku
bertanya sambil berpaling.
“Tak…
tak ada apa-apa.”
“Kenapa
muka kau pucat?” Roy menghampiriku dan
merenung wajahku. Jantungku masih
berdegup laju, kakiku terasa berat, mukaku pucat dan sebenarnya aku rasa dadaku
ketat dan susah hendak bernafas. Ya
Allah, bantulah aku untuk bertenang.
“Fina.” Kali ini ada kegusaran dalam nada suara
Roy. Aku mesti kuatkan semangat. Aku tak boleh malukan Roy.
“Aku
okey Roy. Penat sikit. Tadi banyak kerja dan tak sempat lunch.
Sebab tu agaknya kepala ni rasa pening sikit.” Aku berbohong. Bukanlah aku suka dan biasa berbohong. Tapi untuk kali ini aku terpaksa.
“Kita
masuk sekejap. Lepas makan kita terus
balik, tak payah tunggu sampai dinner
ni habis. Don’t worry, I will take care of you.”
Aku
mengangguk. Roy suakan lengannya. Aku
tarik nafas dalam-dalam dan paut lengan kekar Roy. Kami sambung berjalan ke arah ballroom. Tenanglah hati, jangan goyah. Dia tak akan ganggu kau Fina. Aku berbisik
kepada diriku sendiri. Ya Allah lindungi
aku. Aku berdoa dalam hati.
"Roy! Thank
you for coming." Dia menyapa
Roy sambil tersenyum. Mereka
bersalaman. Roy mengucapkan terima kasih
kerana menjemputnya ke majlis itu.
"Dato’,
kenalkan… my sweet heart, Safina.”
Dia
berpaling ke arahku. Aku kuatkan
genggaman pada lengan Roy. Rileks Fina,
rileks. Jangan takut. Hati aku berbisik sambil aku cuba maniskan
wajah.
“Safina,
what a small world.” Dia berkata sambil mempamerkan senyuman gatal
yang memang sudah jadi trademarknya
bila berhadapan dengan perempuan.
“Dato’
kenal Safina?”
"Of course, ex-staff saya ni. You
have good taste Roy.” Dia
gelak. Roy pun gelak. Hati aku sakit. Jantung aku berdegup lebih laju. Dalam suasana berhawa dingin, aku sebenarnya
berpeluh. Mujurlah ada tetamu lain yang
tiba, kami terus masuk ke dalam dewan dan dibawa ke meja kami. Syukurlah meja kami letaknya jauh dari meja
utama.
"Bila
dia dapat Dato’?" Aku menyoal Roy
sebaik saja kami duduk.
"Few months ago. He is my biggest client." Jawab Roy dan dia terus bercerita. Kata Roy sudah tiga tahun pelanggannya itu
menjalankan perniagaan membekal peralatan dan jentera pembinaan. Dari ceritanya aku faham bahawa Roy
mengkagumi pelanggan terbesarnya itu.
Kata Roy ketika syarikat lain meragui kemampuan firma Roy, dia pula
sebaliknya dan tanpa ragu menggunakan syarikat Roy untuk perkhidmatan audit
dalaman.
Perbualan
kami terganggu apabila rakan kongsi Roy tiba.
Seorang lelaki yang berumur awal empat puluhan bernama Idris
diperkenalkan kepadaku. Idris membawa
isterinya yang diperkenalkan kepadaku sebagai Heliza. Hatiku merasa sedikit lega apabila Heliza
duduk di sebelah kiriku. Di sebelah
kanan Roy mengapitku. Aku berbual dengan
Heliza. Wanita yang aku rasa berumur
lewat tiga puluhan itu sangat cantik dan ramah.
Berbual dengannya membantu menyingkirkan rasa cemas dan gusar dari
hatiku. Tidak lama kemudian seorang lagi
rakan kongsi Roy tiba. Aku diperkenalkan pula kepada Ramesh Ramayah dan
pasangannya Cynthia Moorthy.
“Wah,
Roy sudah ada girlfriend! Baguslah.
Kalau tidak, kami semua berdua dia seorang solo.” Ramesh berkata sebaik saja dia duduk. Yang lain-lain mula mengusik. Idris bertanya bila kami akan mendirikan
rumah tangga.
“Malam
ni. Saya dah bawak mas kahwin
siap-siap. Habis function ni kami pergi nikah.”
Roy menjawab dengan selamba.
Kalaulah boleh, aku akan cubit Roy kuat-kuat, macam yang aku selalu buat
kepada Along. Sudahlah memandai
memperkenalkan aku sebagai kekasihnya, dia bergurau pula pasal nikah.
"Eloklah
tu Roy. Jangan tunggu lama-lama, nanti
dikebas orang.” Ramesh berkata.
"Amboi
Roy, gatalnya… tak sempat-sempat nak menikah." Heliza mencelah.
"Dah
lama saya tunggu dia, rasa dah tak sanggup nak menunggu lagi." Sekali lagi Roy menjawab dengan selamba. Kalau ikut hati aku hendak saja aku jawab
bukan masalah aku. Aku tidak pernah
suruh dia tunggu aku. Tapi aku diam
saja. Perbualan mereka terhenti apabila
empat orang kakitangan senior mereka tiba serentak. Sama seperti tadi, Roy memperkenalkan aku
sebagai kekasihnya. Perbuatan Roy
merisaukan aku. Macam mana nanti, kalau
apa yang dihajatkannya tidak tercapai?
Makanan
dihidangkan tidak lama kemudian. Aku
makan dengan penuh seleran kerana aku memang gemarkan makanan Cina. Setengah jam kemudian, ketika pengacara
majlis mengumumkan acara berikut, iaitu ucapan dari Dato’ pemilik syarikat, jantung
aku berdegup laju semula. Rasa cemas dan
takut tiba-tiba datang walaupun aku tahu tidak ada apa yang perlu aku
takutkan. Ya Allah, kenapalah payah
untuk aku bertenang? Aku meminta diri
untuk ke tandas. Aku tidak mahu terus
berada dalam dewan majlis.
“Fina!” Satu suara memanggilku ketika aku hendak
masuk dalam bilik air. Aku angkat
kepala.
“Cik
Azira. Buat apa kat sini?” Aku hulurkan tangan untuk bersalam dan
hadiahkan senyuman.
“I attend majlis syarikat Crane and Crates. You?”
Maknanya dia menghadiri majlis yang sama dengan aku.
“Saya
pun di majlis tu.”
“Oh really?
You datang dengan siapa?”
“Kawan. Syarikat dia beli meja di majlis tu jadi dia
ajak saya. Syarikat Cik Fina pun beli
meja ke?”
“Oh
tak, saya dapat jemputan untuk dua orang, jadi saya ajak Rifqi. Saya pergi dulu ya.” Dia senyum dan berlalu pergi. Aku melangkah masuk ke bilik air. Terfikir pula aku tidak nampak bos dan Azira
tadi. Mungkin mereka sampai kemudian
atau lebih awal. Lagi pun dewan majlis
itu besar, mana mungkin aku nampak semua tetamu yang hadir.
Selepas
keluar dari tandas aku berjalan ke arah dewan dengan hati yang berat. Pertama kerana aku tidak mahu bertembung
dengan dia lagi. Kedua kerana aku rimas
dengan cara Roy melayan aku. Dia
bersungguh-sungguh melayan aku sehinggakan setiap makanan disendukkan ke dalam
piringku dan setiap kali aku habis makan dia akan bertanya apakah cukup makanan
untuk aku. Dia juga sentiasa menjenguk
cawan berisi teh cina dan meminta isian semula sebaik saja aku kosongkan cawan
aku. Aku rasa seperti Roy melayan budak
berusia lima tahun.
Hati
yang berat seperti hendak gugur apabila mataku menangkap kelibat dia. Aduh, kenapa mesti dia berada di luar dewan,
betul-betul di hadapan pintu masuk? Dan
kenapa mesti Bos 1B3K berada dengannya? Aku
cepat-cepat berpaling, berjalan ke arah lif dan naik ke bilik 718. Aku keluarkan telefon bimbit dengan niat
hendak memberitahu Roy aku tidak sihat dan terpaksa balik ke bilik. Satu pesanan dari Bos 1B3K sudah berada dalam
peti Whatsapp.
+
Bila aku kata perempuan bertudung hipokrit, kau marah. Tapi malam ni kau sudah buktikan kepada aku,
kau memang hipokrit dan gatal.
Menyirap darah aku selepas aku baca
pesanan itu. Rasa geram, bengang dan
yang sewaktu dengannya memenuhi ruang hati.
Tak habis-habis si 1B3K ni mengutuk perempuan bertudung.
Ya
Allah, kau balikkan hati bos aku yang bernama Irsyad Rifqi agar dia menyukai
perempuan bertudung. Semoga si 1B3K
jatuh cinta dan bertemu jodoh dengan seorang perempuan bertudung. Amiiin.
No comments:
Post a Comment