BAB
3
Aku sedang membaca untuk
kali yang ketiga, senarai skop kerja yang Datin Nuridah berikan petang semalam
ketika telefon berbunyi. Naani di hujung
talian memberitahu Datin Nuridah mahu berjumpa aku dalam masa setengah jam dari
sekarang. Sebaik saja aku meletakkan
ganggang telefon, aku bergerak ke surau.
Solat Zuhur dulu dan selepas itu aku maklumkan kepada Ms Tan Siew Lan
Datin Nuridah hendak berjumpa dengan aku.
Ms Tan siap ucapkan “good luck”
sambil tersenyum.
Senyuman Ms Tan membuahkan debaran dalam hati. Selain daripada Ms Tan, Naani dan beberapa
orang kakitangan di Bahagian Sumber Manusia, tiada yang tahu tentang pertukaran
kerja aku yang akan berkuatkuasa esok. Dan
semua yang sudah tahu mengucapkan perkara yang sama. Sebabnya?
Sebab mereka semua tahu bukan senang bekerja dengan bos 1B3K.
Kata
Ms Tan yang sudah lima tahun bekerja di Duta Holidays, dulu dia baik. Kata Kak Asmah, Penolong Pengurus di Bahagian
Sumber Manusia, dulu semua pekerja sayangkan dia. Walaupun dia tegas dengan pekerja, dia juga
prihatin tentang kebajikan pekerja, tidak sombong dan boleh dibawa
berbincang. Tapi sekarang semua pekerja
takutkan dia, kecuali Naani. Kata Naani
bos 1B3K tidak berani marah dia sebab dia melapur terus kepada Datin Nuridah.
“PA? Buat apa pakai PA? Kan Razia ada, dia boleh uruskan mummy dan Qi sekali.”
Aku
dengar suara bos 1B3K bertanya kepada Datin ketika aku sampai. Pintu bilik Datin terbuka luas. Naani pula tidak kelihatan. Disebabkan aku terawal lima minit, aku tunggu
di luar dan duduk di atas kerusi tetamu yang bersetentang dengan meja Naani.
Aku pasang telinga, ingin tahu apa jawapan Datin Nuridah.
“Kan
Qi akan banyak buat kerja luar? PA yang mummy pilih akan uruskan segala hal
kerja-kerja pejabat. Dia yang akan aturkan jadual Qi, mesyuarat dan majlis yang
Qi kena hadiri. Dia akan pastikan
apa-apa dokumen yang Qi perlu tandatangan dia akan semak dulu. Juga
akan uruskan hal-hal personal yang
perlukan penglibatan Qi, macam bawa daddy
pergi buat terapi, check-up, kenduri
dan lain-lain. Ini sementara, untuk
sebulan saja. Selepas Azwan balik dari
bercuti, it will be back to normal.”
“Mummy, Qi tak perlukan PA. Teruk sangat ke Qi ni? Baik mummy upah saja bodyguard
supaya mummy boleh kawal Qi 24 jam
sehari.”
“Yes, she will also act as your
bodyguard, if she has to.”
Hah? Eh mana ada dalam skop kerja aku juga perlu
jadi pengawal peribadi. Tiga kali aku
baca, memang aku yakin tidak tercatat langsung Tak boleh jadi ni, kena bincang
semula dengan Datin.
“Merepek! Qi tak
perlukan semua ni mummy. Lagi pun bukan senang-senang kita ambil orang
bekerja. Kita tak tau orang tu boleh
dipercayai ke tidak, boleh buat kerja atau tidak. Tak payahlah mummy. Cari saja temporary clerk untuk gantikan Azwan.” Bos 1B3K bercakap dengan tegas. Aku lagi suka kalau dia tidak setuju.
“Mummy dah interview. Kita ambil orang dalam.”
“Siapa?”
“Fina. Budak Accounts Department yang kerja bawah Ms
Tan tu.”
Jeda. Keheningan
yang membuatkan dada aku berdegup laju.
Macam mana agaknya reaksi bos 1B3K bila dia dengar nama aku? Dia kenalkah aku?
“Qi tak tau yang mana satu. Kenapa mummy
pilih budak tu? Bagus ke dia tu? Boleh ke dia kerja dengan Qi? Jangan nanti kena tengking sikit meleleh
airmata. Lepas sehari tak tahan.”
Amboi si kerek ni, ikut sedap mulut dia saja. Kalau tidak kenal aku, jangan buat
andaian. Safinatun Najah binti Yaakob
bukan sebarang pekerja ya.
“Hoi.” Bahu aku
ditepuk. Naani tersengeh. “Kau buat apa duduk sini, kenapa tak masuk
terus?”
“Boleh masuk ke?
Belum cukup setengah jam.”
Naani tidak jawab soalan aku. Sebaliknya dia berjalan ke arah bilik Datin
Nuridah. Pintu bilik yang terbuka
diketuknya sebelum dia memberitahu Datin bahawa aku sudah sampai. Aku dengar Datin kata lima minit dan suruh
Naani tutup pintu bilik. Alamak, tak dapatlah dengar perbualan mereka
lagi. Sambil tersengeh Naani duduk di
sebelah aku.
“Cepatlah kau kaya macam ni, gaji naik double.
Pandai kau negotiate dengan
Datin ya?”
“Hello, jangan cemburu ya. Aku buat ni sebab nak tolong kau. Dengan risiko kena tengking, herdik dengan si
kerek tu, berbaloilah aku dapat naik gaji.”
Naani angkat kening.
Matanya dibulatkan. Dengkilah tu.
Dia tidak tahu betapa gementarnya aku hendak mengadap si 1B3K
tu. Walaupun Datin Nuridah sudah
menegaskan yang aku melapur terus kepadanya dan bos 1B3K tidak boleh pecat aku,
aku masih takut. Tiba-tiba aku terbayang setiap hari dimarahi oleh dia, disuruh
buat kerja yang tidak sepatutnya aku buat, ditengking di hadapan orang
ramai. Macam mana kalau itu yang
terjadi?
“Shark fin!”
Jeritan Naani membawa aku kembali ke alam nyata. “Datin suruh masuk sekarang.”
Aku bangun. Dengan
lafaz Bismillah aku menghayun langkah ke bilik Datin Nuridah. Dan sebaik saja tombol pintu aku pulas,
jantungku mula berdegup rancak. Tidak
tahulah sama ada ia sekadar perasaan aku saja atau memang betul terjadi. Aku rasakan mata bos 1B3K memandang aku
dengan tajam dan ada kebencian dalam pandangannya.
Datin
Nuridah menunding jari ke arah kerusi kosong di sebelah bos 1B3K. Sebaik saja aku melabuhkan punggung di atas
kerusi, bos 1B3K memusingkan wajahnya.
Aku dapat merasakan pandangannya merayap ke seluruh wajahku. Aku beranikan diri untuk memandang dia. Mata kami bertembung tapi sekejap saja. Aku tidak sanggup membalas renungan tajamnya.
“Bermula
esok, Fina akan jadi pembantu peribadi Rifqi.
Selain daripada menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kerja-kerja di
pejabat, saya mau Fina juga atur dan pantau semua mesyuarat dan majlis-majlis
yang perlu dihadiri oleh Rifqi. Razia
akan bantu Fina untuk kerja-kerja di pejabat.”
Dengan tegas Datin Nuridah memberi arahan. Sekejap dia memandang ke arah bos 1B3K, sekejap
ke arah aku.
Bilik
pejabat Datin Nuridah yang bepenghawa dingin terasa panas. Bintik-bintik peluh terbit di dahi aku. Aku tundukkan wajah,tenung buku nota yang ada
dalam pegangan. Debaran dalam dada masih
belum surut. Aku yakin ada kebencian
dalam cara bos 1B3K merenung aku.
Bertenang Fina, jangan tunjukkan kegugupan kau di depan dia. Hati aku berbisik lalu aku mengangkat semula
wajah. Bos 1B3K sudah memandang semula
ke arah Datin Nuridah.
“Kamu
dah baca job scope yang saya bagi?”
“Sudah
Datin.”
“Ada
apa-apa yang kamu tak faham, atau nak tanya?”
“Tak
ada Datin. Saya faham semuanya.” Aku pandang wajah Datin Nuridah. Rasa simpati menular lagi dalam hati bila
menatap wajahnya yang nampak letih.
Sebenarnya aku nak tanya pasal kerja bodyguard
yang Datin sebut kepada bakal bos aku tadi tapi entah kenapa tidak terkeluar
pula soalan tentang itu.
“Qi,
ada apa-apa nak tanya?”
Bos
1B3K memandang sekali lagi ke arah aku. Kali
ini aku tenung matanya lebih lama daripada tadi. Aku cuba senyum tapi aku rasa otot-otot muka
aku keras. Dia pula masih macam tadi,
renungannya tajam. Boleh tembus otak aku
kalau dia terus-terusan merenung aku macam tu.
Dia
menarik nafas dalam-dalam, bangun dan berkata “no mummy. Qi nak sambung
kerja.” Dia terus berjalan ke arah pintu
dan sebaik saja dia keluar pintu dihempas dengan kuat. Berubah muka Datin Nuridah bila mendengar
bunyi pintu dihempas. Aku pun turut
terkejut.
“Jangan
takut Fina. Rifqi tu sebenarnya
baik. Cuma dia masih berdendam. Saya fikir kalau kita sibukkan dia dengan
macam-macam aktiviti, mungkin boleh kurangkan dia dari berfikir tentang kisah
yang dah lepas. Saya yakin Fina boleh
tolong saya.”
Aku
mengangguk. Aku janji kepada diriku
tidak akan takut kepada bos 1B3K. Dia tu
manusia, aku pun manusia. Kalau betul
kata mereka yang dia dulunya seorang bos yang baik, tentu dia boleh jadi baik
semula. Melainkan kalau hati dia memang
kering. Kalau tengok gaya dia marah
orang dan cara dia melawan Datin, memang nampak macam hati dia kering. Tapi kering ke, basah ke, aku hanya akan tahu
esok bila aku mula bekerja dengan dia, di pejabat dia.
Setengah jam selepas aku balik semula ke tempat aku di
Bahagian Akaun, telefon aku berbunyi. Ini mesti Naani, tentu dia sibuk hendak
tahu apa yang Datin dan bos 1B3K cakap.
Aku kerling jam tangan. Sudah
pukul lima lima puluh petang. Tinggal
aku seorang saja di pejabat ketika ini.
“Datang pejabat aku sekarang.” Suara garau yang memberi arahan dengan keras
itu bukan suara Naani. Aku jawab “okey”
dan terus letak telefon. Alamak, masa aku
nak baliklah dia telefon. Aku
cepat-cepat capai buku nota dan pen dan terus naik ke tingkat 20. Jantung aku sudah bernada irama lagu Gangnam
Style.
Bilik dia terbuka luas ketika aku sampai tapi sebagai
tanda hormat aku ketuk pintu bilik yang terbuka. Biasanya memang macam itulah aku buat kepada
Ms Tan, Datin dan bos-bos lain.
“Kau buta ke? Dah
nampak pintu tu terbuka, masuk sajalah.” Bos 1B3K bercakap dengan wajah yang
langsung tidak mesra alam sambil berdiri mencekak pinggang di belakang mejanya.
“Close the door.” Dia mengarah.
Aku turuti arahannya.
“Duduk situ,” katanya lagi sambil menunding jari ke arah
sofa kulit di sebelah kanannya. Tak ada
masalah, aku lagi suka kalau duduk jauh daripada dia.
“Aku nak berterus terang dengan kau. Aku tak suka idea mummy… tapi aku dah malas nak berbalah dengan mummy so aku ikutkan saja.
Aku nak tau kenapa kau setuju untuk kerja sebagai PA aku?”
Bos 1B3K duduk selepas ajukan soalan itu kepada aku. Dari riak wajah dia aku dapat rasakan aku
mesti beri satu jawapan yang betul-betul hebat sehingga dia tidak boleh cabar
jawapan aku.
“Sebab Datin tu CEO syarikat ni. Mana-mana pekerja pun akan turut arahan
Datin. Siapalah saya untuk melawan
arahan Datin.” Aku bagi jawapan ini dulu
walaupun sebenarnya sudah ada jawapan lain dalam kepala.
“Bukan semua arahan harus diikuti dengan membuta
tuli. Kalau Datin suruh kau terjun
lombong, kau nak terjun?”
Alahai, cerita pasal terjun lombong. Bungee
jumping pun aku pernah buat, setakat terjun lombong, itu perkara kecil. Tapi sebenarnya aku belum pernah terjun
lombong.
“Bergantung kepada keadaan. Kalau saya perlu terjun lombong untuk
selamatkan seseorang, saya akan buat.
Kalau ganjaran yang menanti berbaloi, saya akan buat juga asalkan tak
melanggar agama.”
Bos 1B3K senyum.
Aku rasa sinis sangat senyuman dia.
“So besarlah
ganjaran yang Datin janjikan?”
Okey, masa yang sesuai sudah tiba. Aku nak keluarkan jawapan yang power, harap-harap dia terkedu.
“Besar bagi saya, tapi bagi orang kaya macam bos mungkin
tak besar langsung. Sebesar mana pun
ganjaran yang Datin bagi, itu bukan alasan utama. Saya sekadar mengikut arahan Datin. Bila saya pandang wajah sayu Datin, saya
teringat emak saya di kampung. Macam
manalah perasaan emak saya kalau saya ingkar arahannya. Tentu emak kecil hati kalau saya melawan
cakap emak.”
Muka
dia berubah. Tadi nampak berlagak sangat
rupa dia. Sekarang muka tegang dia sudah
kendur. Rasakan kau. Dia diam.
Matanya sudah berkalih dari memandang aku ke arah pintu. Lama dia tenung pintu itu, sebelum dia
mengeluh.
“Dengar sini baik-baik,” akhirnya dia bersuara dan
memandang aku semula. “Jadi pembantu
peribadi aku tak bermakna kau boleh campur tangan dalam hal-hal peribadi dan
hal-hal keluarga aku. Kau uruskan
hal-hal kerja saja. Jangan sibuk pasal
aku dan mummy. Kalau kau campur tangan dalam hal peribadi
aku, aku akan pastikan kau tak tahan kerja dengan aku. I can
make your life miserable. Understand?”
Tegas nada suara dia.
Aku mengangguk. Memang aku pun
tidak berminat dengan hal peribadi dia.
Aku cuma akan uruskan hal-hal yang berkaitan dengan urusan syarikat
sementara Naani bercuti.
“Satu
lagi, esok datang kerja jangan pakai tudung.
Aku tak suka perempuan yang pakai tudung.”
Hah? Dia ni main-main ke? Tapi muka dia serius.
No comments:
Post a Comment