p/s: for those asking, Yes, Rifqi is Irsyad Rifqi. Cerita ini adalah sambungan kisah Irsyad Rifqi.
Selamat membaca, semoga terhibur
BAB 5
“Masuk bilik
aku.” Dia mengarahkan dengan kereknya
sebaik saja aku melabuhkan punggung selepas balik dari makan tengahari. Naani yang bekerja untuk hari terakhir hari
ini sebelum bercuti masih belum pulang.
Sahlah Bos 1B3K ni tak solat Jumaat.
Aku
capai buku nota dan pen sebelum melangkah masuk ke biliknya. Ketuk pintu dua kali dan masuk. Pintu bilik aku tutup seperti yang dia
arahkan semalam. Aku terus duduk di
hadapannya.
“Batalkan
mesyuarat di Kuala Selangor minggu depan.”
Dia bercakap tapi tidak pandang wajah aku. Tak kisah pun sebab sudah tahu dia memang
kerek macam tu.
“Tak
boleh bos. Mesyuarat tu penting. Bos kena jumpa wakil syarikat hiasan dalaman
tu, dengar proposal mereka dan…”
“Aku
cakap batalkan! Kau faham tak?” Dia potong cakap aku dan pandang aku. Wajah kacak dia nampak tidak berseri bila dia
bengkeng.
“Kenapa?” Aku perlu tahu sebab kalau Datin tanya aku
mesti boleh jawab.
“Jangan tanya kenapa, batalkan
saja!”
“Mana boleh suka-suka nak
batalkan. Banyak pihak yang
terlibat. Lagi pun kalau tak ada alasan
yang wajar, mesti Datin tak suka. Projek
ni dah lama tergendala, sejak bos pergi oversea. Bukan ke semua pihak dah bersetuju untuk
sambung semula projek ni?”
Bos 1B3K renung aku dengan riak
tidak puas hati di wajah dia. Nasiblah
kau puas hati ke tidak. Aku sekadar
menjalankan tugas aku. Datin sudah
pesan, pastikan projek resort di Kuala Selangor tu diberi keutamaan sebab sudah
lama tergendala. Datin cakap begitu masa
mesyuarat bulanan minggu lepas. Ms Tan
yang beritahu aku.
“Siapa
bos kat sini, aku ke engkau? Aku suruh
batalkan, just do it.”
“Memang
sekarang saya melapor kepada bos, tapi ketua saya yang sebenar-benarnya
Datin. Saya rasa bab resort Kuala Selangor ni saya kena
dengar cakap Datin. Maaf bos, saya tak
akan batalkan, kecuali kalau bos boleh beri alasan yang Datin akan terima. Itupun lebih baik kalau bos sendiri bercakap
dengan Datin yang bos nak batalkan mesyuarat hari Isnin depan.”
Wah,
beranikan aku? Mana tidaknya, Naani
sudah ajar kalau dia banyak songeh, gunakan saja nama Datin. Walaupun dia bengkeng dan kerek dengan
kakitangan, dia masih hormatkan Datin.
Cuma tahap kehormatan dia mungkin rendah. Sebab itu dia tidak rasa bersalah bercakap
dengan kasar dan tinggi suara kepada emaknya.
Mata
dia masih melekat di wajah aku. Nampak
muka dia bengis. Dada dia berombak,
macam dada orang yang sedang marah sangat.
Mesti dia benci dekat aku sekarang.
Baru dua hari jadi pembantu peribadi dia aku sudah berani melawan. Nasiblah bos, Datin sudah bagi saya lesen
besar. Aku berkata dalam hati.
“Okey,
kau dengarlah cakap Datin. Carry on with the meeting.” Akhirnya dia bersuara. Aku rasa hendak senyum sebab baru hari kedua
bekerja dengan dia aku sudah menang. Tapi
aku tahankan senyuman dari keluar.
Senyum dalam hati sajalah.
“Berambus
sekarang.” Lembut saja nada suara
dia. Tak macam nada menghalau. Agaknya sudah letih tinggikan suara. Aku bangun.
Dalam hati aku mengucapkan alhamduillah kerana berjaya mempertahankan
mesyuarat itu.
“Bos
dah makan?” Aku tanya sambil berdiri.
“None of your business.”
Sah
dia marah.
“Bos
tak pergi solat Jumaat ke?”
“That is also none of your business.”
Sah
dia semakin marah sebab nada suara dia sudah jadi naik semula. Aku buka langkah dan terus keluar dari bilik
dia. Niat asal hendak sambung lagi tapi
cukuplah dulu. Kesian pula tengok wajah
muram dia.
Bila
Naani balik dari solat Jumaat, aku ceritakan tentang kejadian tadi. Naani tersengeh. Terlebih sangat sengehan dia sampai aku naik
rimas.
“Kenapa
kau sengeh macam tu?”
“Aku
lega. Kau boleh kawal si kerek tu. Bolehlah aku pergi bercuti dengan
tenang. Boleh kahwin, masuk rumah baru
dan pergi honeymoon. Harap-harap kau dan Datin tak telefon aku
masa aku cuti. Esok jangan tak datang
tau.” Naani mengingatkan tentang
rancangan kami.
“Jangan risaulah aku mesti datang. Tapi aku tak boleh tunggu sampai petang. Aku ada date.”
“Tak habis-habis dengan dating. Kalau minggu ni tak berdating tak boleh ke?” Suara Naani sudah bunyi macam merungut. Hai hidup aku, kenapa dia pula yang
merungut? Suka hati akulah nak buat apa.
“Ahad
kau datang tak?” Naani menyoal bila aku
tidak jawab apa-apa.
“Ahad
kau orang nak start pukul berapa?”
“Pukul
sembilan dah ada kat rumah aku.”
“Awalnya. Aku datang lewat sikit ya sebab Kak Rina dan
Abang Lan balik. Mestilah aku kena
sarapan dengan dia orang. Tapi aku tak
boleh lamalah, petang tu aku ada date
dengan Lee Chong Wei.”
Naani
tersengeh. Aku paling ke kiri, nak capai
folder plastik yang aku isikan dengan
sebut harga hiasan dalaman untuk projek Kuala Selangor. Masa itu jugalah aku angkat kepala. Berderau darah aku. Bos 1B3K sedang berdiri tegak depan pintu. Mata dia memandang tajam ke arah aku. Eh bila masa dia buka pintu? Tadi selepas hantar kopi aku tak tutup
rapat-rapat ke pintu tu? Kalau tutup
rapat mesti aku dengar dia pulas tombol pintu kan?
Aku
buat selamba. Pusing balik ke depan,
keluarkan kertas-kertas dari folder plastik
dan baca sebutharga pertama yang dihantar oleh Anjung Décor. Aku baca sekilas lalu saja dulu. Lepas tu tengok pula sebutharga daripada
Nyatoh Interior. Hmm, harga yang
syarikat ni tawarkan lebih rendah. Tapi
masih perlu disemak satu persatu, mana tau ada kos tersorok. Tengok pula sebutharga ketiga daripada Kelap
Kelip. Aku dengar bunyi pintu
ditutup. Aku angkat kepala dan berpaling
ke kiri. Lega, Bos 1B3K sudah
masuk. Pelik, kenapa dia berdiri saja di
pintu dan tidak cakap apa-apa?
Pagi Sabtu memang
menyeronokkan. Boleh sarapan dengan
tenang, tidak perlu tergesa-gesa kerana Pak Mid sudah menunggu. Boleh juga golek-golek atas katil sambil
berborak dengan emak selepas solat Subuh.
Minggu ini aku tidak balik kampung sebab hendak tolong Naani dan Thia
hias rumah yang akan mereka duduki selepas bernikah nanti. Jadi aku sembang lama sikit dengan emak. Hmm, rindunya dekat emak. Suka dengar suara emak dan nasihat yang sama
emak berikan setiap kali aku menelefon.
Habis
bersembang dengan emak, aku turun bawah.
Mama sedang membaca suratkhabar di meja makan. Itu rutin harian mama. Dia mesti baca suratkhabar dan dia baca
banyak suratkhabar bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Agaknya kalau mama faham bahasa Mandarin dan
Tamil, mama akan baca juga suratkhabar Cina dan India. Kalau hari bekerja mama akan sambung baca
suratkhabar dalam kereta.
Aku
duduk dan buka tudung saji. Wah, ada
nasi impit, kuah kacang dan rendang paru.
Sedapnya. Ini satu lagi kebaikan
hari Sabtu. Kalau hari bekerja kami
sarapan yang ringkas-ringkas saja. Tapi
hari Sabtu Mak Mah akan buat sarapan yang istimewa sikit. Apa lagi, aku terus
cedokkan nasi impit untuk mama dan lepas tu untuk diri aku sendirilah.
“Fina nak keluar ke?”
Aku
mengangguk. “Hari ni dah janji dengan
Naani dan Thia nak tolong unpack
barang-barang dia orang.”
“Tak
ajar taekwando?”
“Ajar,
tapi petang sikit. Lepas tu Fina pergi
terus ke An Nur. Fina balik lambat ya
mama. Tak makan kat rumah hari ni.”
Mama
mengangguk. Dia sudah faham rutin
mingguan aku.
“Emak
kirim assalammualaikum.”
Mama
menjawab salam. “Kerja baru macam mana?”
“Setakat
ni okey lagi. Baru dua hari ma, minggu
depan tak taulah macam mana.” Hanya mama
yang tahu pasal pekerjaan aku. Emak dan
ahli keluarga di kampung langsung tidak tahu.
Sebabnya mama kenal dengan Datin Nuridah. Lagi pun dulu masa hendak berhenti dari
syarikat mama, asalnya mama berat nak benarkan aku berhenti. Tapi bila dia tahu aku ditawarkan bekerja di
Duta Holidays, mama benarkan kerana dia kenal benar dengan Dato’ Ibrahim dan
Datin Nuridah.
“Kalau
Rifqi tu menyusahkan Fina, berhenti saja.
Kerja balik dengan mama.”
“Alah
sebulan saja mama, lepas tu Fina balik semula ke bahagian akaun.”
Mama
teguk kopi. Pinggan mama sudah
licin. Aku pula masih berselera lalu aku
tambah lagi nasi impit. Mak Mah muncul
sambil membawa bakul yang penuh berisi dengan barang-barang. Baru balik dari pasarlah tu. Aku beritahu Mak Mah yang aku tidak makan di
rumah hari ni.
Telefon bimbit aku berbunyi. Aku seluk poket dan keluarkan telefon. Perkataan
BOS 1B3K tertera di skrin. Apa
kes dia telefon aku pada pukul lapan setengah pagi hari Sabtu?